Pages

Kamis, Februari 21, 2008

Sheikh Ahmad Jelebu

Anak Padang Sumatera ini bukan sebarangan anak bujang di zamannya. Beliau keluar merantau ke negeri orang setelah memenuhkan dadanya dengan ilmu persilatan dan asas agama yang kukuh. Jiwanya teguh dan liat. Dalam pelayarannya ke beberapa buah negara seperti India dan negara-negara Timur Tengah, Sheikh Ahmad sempat merakamkan adegan-adegan yang begitu mencabar.
Latar Belakang
Sheikh Ahmad Bin Sheikh Ibrahim dilahirkan dalam tahun 1887 di Padang, Indonesia. Bapanya Sheikh Ibrahim adalah guru agama yang mengamalkan aliran tarekat dan bersuluk. Beliau tidak berminat untuk mengikuti tarekat dan memilih untuk mendampingi aliran kaum muda di Bukit Tinggi. Di sana Sheikh Ahmad berguru dengan bapa Almarhum Prof Dr Hamka iaitu Haji Abdul Karim Amrullah di Madrasah Sumatera Tawalib. Ketika itu usianya dianggarkan dalam awal 20an. Beliau pernah bercerita tentang diri Almarhum Pak Hamka yang agak nakal semasa kecilnya, Almarhum itu pernah menyimbah air kepada murid-murid di Madrasah ketika mereka mengambil wuduk di sumur.
Merantau Ke Negeri Orang

Tidak dapat dipastikan destinasi awal yang mula disinggahinya, samada di India atau di Tanah Suci Mekah Al Mukarramah. Tetapi kedua-dua tempat itu pernah menjadi tempat pengajian agama ketika usianya 20an. Isterinya Siti Binti Ahmad menyatakan, Sheikh Ahmad pernah menuntut di Mekah dan di India lebih dari tiga tahun. Walau bagaimanapun, banyak masanya dipenuhi dengan bertabligh dan mengembara dari suatu tempat ke suatu tempat. Kerana suka mengembara di beberapa kawasan di pendalaman, beliau boleh bertutur beberapa loghat suku kaum Arab dan Parsi. Allahyarham juga boleh berbahasa Urdhu dan Inggeris. Antara negara-negara Timur Tengah yang pernah dilawatinya ialah Mesir, Plestine, Iraq, Iran dan beberapa negara sekitarnya.
Suatu ketika Sheikh Ahmad keluar menyertai sekumpulan orang Arab di padang pasir Semenanjung Arab. Mereka telah terserempak dengan seorang Arab berkuda yang membawa senjata api. Tetamu yang besar dan tinggi itu tiba-tiba menyerang atau memukul kepala Sheikh Ahmad dengan senjatanya., Sheikh Ahmad bertindak pantas membalas serangan dengan melibaskan kakinya ke leher lawan. Gerakan pantasnya itu menyebabkan Arab itu rebah ke bumi. Tindakan tersebut menyebabkan orang-orang Arab yang menyertainya terkejut melihat anak Jawi yang bertubuh kecil itu boleh menumbangkan Pak Arab yang tidak sebanding dengannya. Mereka hairan bagaimana kedua kaki dan tangan Sheikh Ahmad boleh bertindak pantas. Ekoran dari peristiwa itu Sheikh Ahmad menjadi rakan yang dihormati dan dikenali oleh orang-orang Arab di pendalaman. Orang Arab yang telah dibunuhnya itu adalah penjenayah yang sangat dikehendaki oleh pemerintah ketika itu.
Menjadi Hakim Mahkamah Syariah
Sheikh Ahmad pernah dilantik menjawat jawatan Hakim di Mahkamah Syariah di Plestine dalam tahun 1940an. Beliau berada di Plestine lebih kurang 2 tahun dan pernah berkahwin dengan perempuan Plestine. Hasil perkahwinannya itu, beliau memperolehi seorang anak lelaki yang diberi nama Abdul Aziz Sheikh Ahmad. Jodohnya dengan wanita Arab ini tidak berpanjangan. Anak lelakinya itu menjadi doktor perubatan dan pernah berutus surat sebelum ini, tetapi selepas terjadi perang Arab – Israel, perhubungan mereka telah terputus.
Cabaran di Benua India
Semasa menuntut di India pula, Sheikh Ahmad pernah mendaki pergunungan Himalaya di utara India. Tujuan beliau mendaki gunung itu ialah untuk bertemu dengan manusia yang bertapa dalam gua di pergunungan. Beliau mendapat tahu gua tersebut dijadikan kawasan pertapaan dan penuh dengan perkara-perkara mistik. Kerana sifat ingin tahu dan menyukai cabaran, beliau bertekad untuk memulakan pendakian. Perjalanan ke destinasi tersebut memakan masa hampir sebulan berjalan kaki atau lebih kurang 3 hari 3 malam menunggang kuda.
Ramai penduduk di kaki gunung menasihati beliau supaya membatalkan rancangannya untuk ke kawasan tersebut. Pergi bermakna akan menemui kematian kerana halangan-halangan dahsyat akan berlaku. Sebaliknya pula, Sheikh Ahmad menganggap peringatan tersebut sebagai motivasi bagi dirinya dan yakin kekuasaan Allah melebihi segalanya. Dalam perjalanan malam di bawah bulan purnama yang menerangi kawasan pergunungan itu, beliau telah didatangi seorang gadis mirip wanita Khasmir yang cantik. Sheikh Ahmad tahu wanita ini jelmaan syaitan yang dipuja oleh manusia yang bertapa di gua tersebut. Dengan pantas Sheikh Ahmad menikam perempuan tersebut dengan kerisnya. Malangnya, beliau telah jatuh pengsan. Keesokkan paginya, beliau telah dijumpai oleh penghantar makanan ke gua tersebut. Tangannya masih menggenggam ulu keris dan sekeping upih melekat di hujung senjatanya.
Setelah melepasi beberapa halangan, akhirnya Sheikh Ahmad sampai ke pintu gua tersebut. Gua yang berbilik-bilik itu dihuni oleh orang yang bertapa mengikut tahap-tahap keilmuan atau senioriti. Mereka berkeadaan tidak terurus dengan rambut dan janggut yang panjang serta berbau busuk. Ada kalangan mereka hidup bagai nyawa-nyawa ikan atau seperti bangkai bernyawa. Anak Jawi berhati cekal ini telah berdailog dan memarahi manusia yang sesat tersebut. Beliau sempat berdakwah agar mereka kembali kepada fitrah manusia dan menganut Islam. Ketua orang yang bertapa itu telah menepuk bahu Sheikh Ahmad kerana kagum dengan kecekalan dan keberanian beliau sampai ke kawasan tersebut. Malah Ketua orang bertapa itu juga tahu Sheikh Ahmad telah membunuh orangnya ( wanita jelmaan) dan membayangkan Sheikh Ahmad akan menjadi tumpuan orang pada suatu hari nanti.
Sheikh Ahmad juga pernah berdepan dengan pengamal-pengamal sihir. Antaranya ketika berkunjung di Madras, keimanan beliau telah dicuba oleh seorang pengamal sihir yang menunjukkan kebolehannya mengarahkan sepohon tamar berpindah dari satu tempat ke satu tempat. Pengamal sihir itu juga memindahkan seorang gadis cantik tidur ke bilik Sheikh Ahmad. Apabila ditanya apakah tujuan dan ilmu yang diamalkan, pengamal sihir itu berkata itulah Ilmu ' sehari tua daripada Tuhan' yang ingin diturunkan kepada Sheikh Ahmad. Beliau telah menempelak perbuatan syirik dan sesat tersebut.
Berhijrah ke Tanah Melayu
Sheikh Ahmad telah memilih Sungai Petani, di Kedah sebagai destinasi barunya. Di Kedah ini beliau bertabligh di beberapa masjid dan surau. Oleh kerana kebagusan perangai dan ilmunya, maka ramai pula yang tertarik hati untuk dijadikan menantu dan tidak kurang pula iri hati. Beliau telah difitnahkan ingin merebut tunang seorang pemuda tempatan. Selepas sholat isya' di masjid, lima atau enam pemuda tempatan telah mengepung beliau di sebuah titi yang sempit. Sheikh Ahmad telah diserang bertubi-tubi dan dengan mudah pula ia menjatuhkan lawannya ke sungai.
Di Kedah, Allahyarham Sheikh Ahmad mempunyai dua isteri. Isteri pertamanya orang Alor Star dan kedua dari Sungai Petani. Hasil perkahwinannya itu beliau dianugerahkan 2 cahaya mata. Beliau mendapat anak perempuan dari isteri kedua dan diberi nama Zaleha. Dua tahun berikutnya isteri pertamanya pula melahirkan anak lelaki bernama Mokhtar. Mereka berusia lebih kurang 66 dan 64 tahun sekarang. Pernah suatu ketika terjadi peristiwa bapa mertua beliau menyepak isterinya ( ibu mertua) yang tengah bersholat. Bapa mertuanya seorang yang panas baran dan suka meminta wang dari isterinya. Sheikh Ahmad telah menegur perbuatan ganas dan biadab bapa mertua itu. Bapa mertuanya telah mengupah seorang berketurunan Jawa yang dikatakan pandai mengayungkan mangsanya untuk membinasakan Sheikh Ahmad menantunya.
Suatu petang, Jawa tersebut bertemu dengan Sheikh Ahmad di jalanan. Beliau menghulurkan tangan untuk berjabat salam. Apakala tangan mereka bersalaman, Jawa tersebut telah menggoncang kuat tangan Sheikh Ahmad, Sheikh Ahmad yang mahir dalam dunia persilatan itu merasakan Jawa itu telah mengayungkannya (memukul secara bathin) sehinggakan jantungnya dirasakan putus. Dia terasa beberapa titisan darah keluar dari jantungnya. Dengan kepakarannya, beliau memulangkan pukulan angin itu dengan membalas goncangan salam tangan lawan. Seminggu selepas kejadian itu Jawa itu dikhabarkan mati. Menurut Sheikh Ahmad, pada zahirnya dia boleh maut dengan pukulan gayung Jawa itu boleh membunuh tetapi beliau mampu membalasnya dengan izin Allah.
Berpindah Ke Jelebu
Di Jelebu, beliau menetap di Kampung Triang kira-kira 5 km dari Pekan Kuala Klawang. Beliau berkahwin pula dengan seorang gadis sunti tempatan bernama Mahaya. Isteri beliau ini meninggal dunia dan tidak meninggalkan zuriat. Di Triang, beliau telah membuka pusat pengajian dan ramailah anak-anak kampung belajar agama dengan Sheikh Ahmad. Antara anak murid beliau ialah Dato' Rais Yatim Ahli Parlimen Jelebu dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan. Beliau sangat rapat dengan Ustaz Hashim Abdul Ghani Mudir Pusat Pengajian Ittiba' As Sunnah di Parit, Kuala Pilah kerana sealiran dengannya. Selepas kematian isterinya Mahaya, Ustaz Hashim telah menjodohkan Sheikh Ahmad dengan anak muridnya bernama Siti Binti Ahmad dalam tahun 1966.
Ketika berkahwin dengan Siti Binti Ahmad, usia Sheikh Ahmad telah menjangkau 78 tahun dan isterinya pula seorang janda muda berusia 28 tahun. Menurut Puan Siti Ahmad ( kini berusia 66 tahun) ketika diwawancara pada 20 Mac 2004, Sheikh Ahmad adalah seorang guru dan pengamal perubatan Islam yang kuat beribadah dan pandai berkata-kata. Walaupun telah berusia namun perwatakan dan tubuh badannya masih sehat dan bergaya. Ramai pengikut fahaman kaum muda dari Kuala Pilah datang menziarahinya untuk belajar dan berubat termasuklah bapa saudara penyusun Haji Mahmud Fasih dan Allahyarham bapa penyusun sendiri.
Aliran Kaum Muda
Sebagaimana yang dinyatakan, Sheikh Ahmad mula terpengaruh dengan aliran Kaum Muda sejak belasan tahun lagi ketika mengaji dengan bapa Almarhum Pak Hamka. Ketika Pak Hamka pernah berkunjung ke Kuala Pilah dalam tahun 1960an, beliau sempat berjumpa Sheikh Ahmad. Mereka berbincang tentang perjuangan Islam di Indonesia. Pak Hamka telah dipenjarakan oleh Sukarno sebaik tiba dari Malaysia disebabkan perbezaan ideologi dan pengaruh kominis di Indonesia ketika itu.
Pengikut As Sunnah pimpinan Ustaz Hashim Abdul Ghani di Kuala Pilah sering berpolemik
dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan kerana perbezaan pandangan dalam perlaksanaan syariat. Sheikh Ahmad juga pernah dipanggil untuk menjelaskan fahaman beliau dalam masalah membayar zakat fitrah dengan amil lantikan kerajaan.
Oleh kerana sering menghadapi tekanan maka mereka telah mengadakan deklarasi pada 26 Disember 1982 (11 Rabiulawal 1403) di mana wakil pendukung al-Sunnah dari seluruh Malaysia telah berhimpun di Kuala Pilah, bertempat di Ma'ahad Ittibaus-Sunnah. Dalam perhimpunan ini, sebuah deklarasi kewujudan keluarga al-Sunnah Malaysia diisytiharkan.
Dalam Deklarasi itu dinyatakan, takrif Keluarga al-Sunnah iaitu:
Suatu golongan umat muslimin yang terdiri daripada mereka yang menganut pegangan agama Islam yang berdasarkan Kitab al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w. yang sahih, ijmak para sahabat, dan qiyas dalam jurusan keduniaan. Keluarga al-Sunnah itu terdiri daripada golongan muslimin yang sejak dahulu dikenali sebagai: Kaum Muda, Kaum Wahabi, Kaum Salafiyin, Ansarus-Sunnah, Ittibaus-Sunnah, Muhammadiah, al-Islah, Syah Waliyullah al-Dahlawi, al-Maududi, dan sebagainya. Mereka ialah golongan yang tidak bertaklid kepada sesuatu mazhab, tetapi boleh melakukan ittiba', iaitu menerima dan mengikut sesuatu pendapat yang muktabar setelah diketahui keterangannya dengan jelas dari Kitab al-Quran dan al-Hadis. Mereka tidak tersekat untuk melakukan ijtihad jika mempunyai syarat dan kemampuan.
Tattoo Di Lengan
Suatu keanihan pada batang tubuh Sheikh Ahmad ini ialah ada 'tattoo' lukisan kekal di lengan kirinya. Lukisan ini dikatakan dilukis oleh seorang Hindu semasa beliau menuntut di India dan tiada penjelasan kenapa beliau membenarkan ianya dilakukan. Tetapi beliau pernah memberitahu beliau sering berdepan dengan golongan pengamal sihir dan kebatinan. Di akhir hayatnya, Sheikh Ahmad ada menemui seorang doktor perubatan untuk membuang gambar tattoo di lengan kirinya itu tetapi sukar dihilangkan. Sheikh Ahmad mengatakan perkara itu tidak mendatangkan gangguan kepadanya dan ia meletakkan keyakinan kepada Allah mengatasi segalanya.
Di hari-hari tuanya, Sheikh Ahmad lebih banyak menghabiskan masa berzikir panjang dan membaca kita-kitab dalam simpanannya. Apabila datang orang ramai ingin berubat atau meminta bantuan, beliau akan memberi tazkirah agama terlebih dahulu dan menyakinkan pengunjung supaya sering berserah diri kepada Allah SWT. Kali terakhir beliau menunaikan fardhu haji ialah tahun 1981 dihantar oleh Dato' Rais Yatim. Dikatakan apabila di Mekah, Sheikh Ahmad terlalu sibuk menyahut jemputan penduduk Mekah seolah-olah beliau kembali ke kampung halamannya.
Meninggal Dunia
Sheikh Ahmad menghembuskan nafas terakhirnya pada tanggal 30 Disember 1989 dikala usia lanjut 103 tahun. Jenazahnya disemadikan di Kampung Gagu, Triang. Beliau meninggalkan seorang balu Puan Siti Binti Ahmad dan anak angkat perempuan yang mengalami terancat akal berumur 31 tahun. Allahyarham bolehlah dianggap tokoh agama yang juga mempunyai kemahiran seni pertahanan diri yang tinggi. Cubaan berdepan golongan ahli sihir, kebatinan dan penjenayah yang boleh menjejaskan aqidah dan nyawa tidak pernah meluntur semangatnya untuk menyampaikan dakwah. Beliau benar-benar mewarisi bakat pahlawan bangsa yang tega dan cekal.
Sumber:

2 komentar:

alfindani mengatakan...

Salaam.

Jazakallahu khaira atas biografi Tok Ayah (datuk) saya ni.

kud mengatakan...

Ye.arwah tok sheikh ni jugak la yang bagi nama ug saya bawak sampai kiamat.xpnh jumpa arwah tok..al-fatihah