Pages

Selasa, Agustus 12, 2008

Sheikh Abdullah Fahim, Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara

Sheikh Abdullah Fahim dilahirkan pada tahun 1870 di Makkah, Arab Saudi di satu tempat yang tidak jauh dari Masjidil Haram yang bernama Shuib Ali. Bagaimanapun ada juga pihak lain yang mengatakan ulama terkenal ini dilahirkan di Kampung Kubur Panjang, kira-kira 32 kilometer dari Alor Setar, Kedah.

Sheikh Abdullah Fahim adalah anak kedua daripada empat orang adik-beradik. Bapanya Sheikh Ibrahim bin Haji Tahir bermastautin di kota Makkah dan menjadi guru agama di Masjidil Haram dalam bidang pengajian al-Quran. Semasa hayatnya, Sheikh Ibrahim Tahir juga pernah dilantik sebagai ahli lembaga pengelola Masjidil Haram selama tujuh tahun. Kedua beranak ini dikenali oleh masyarakat Makkah sebagai keturunan Jawa dan Patani.

Sheikh Abdullah Fahim pernah menuntut dengan 45 orang guru agama terkenal dan mendapat kelulusan dalam lebih 15 bidang ilmu Islam. Kemahiran utama datuk kepada Perdana Menteri Malaysia kelima ini adalah dalam bidang ilmu Falak dan Kesusasteraan Arab. Sewaktu berada di Makkah, beliau mengambil kesempatan mempelajari ilmu politik Islam.

Kesedaran beliau untuk mempelajari selok-belok ilmu politik Islam ini jelas menunjukkan bahawa beliau adalah seorang ulama yang cintakan ilmu pengetahuan yang seimbang antara dunia dan akhirat. Di samping itu, ia juga membuktikan betapa Sheikh Abdullah Fahim seorang ulama yang memiliki pemikiran terbuka serta tidak terkongkong sifatnya.

Semasa tinggal di Makkah, Abdullah Fahim mendirikan rumah tangga dengan Hajjah Wan Habsah Haji Abdullah. Mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Ghazali dan Ahmad Badawi. Ghazali dan ibunya, Wan Habsah meninggal dunia di Makkah.

Dalam bidang agama, Abdullah Fahim mengajar ilmu usuluddin, falak, tafsir al-Quran dan Hadis di Masjidil Haram. Pelajarnya terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk yang berasal dari Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei, Sumatera, Jawa, Pattani, Filipina, India dan China. Disebabkan oleh kemasyhurannya, apabila pulang ke Tanah Melayu pada 1921, Abdullah Fahim sering diundang untuk menyampaikan ceramah atau memberi pendapat pada seminar dan forum mengenai Islam. Ketinggian ilmu agama yang beliau miliki turut diakui oleh ulama terkenal Indonesia, Profesor Dr. Hamka.

Sekembalinya beliau ke Tanah Melayu pada 1921, Abdullah Fahim tinggal di kampung Limbong Kapal, Alor Setar, Kedah dan menjadi guru di Maahad Mahmud yang ketika itu menggunakan sistem pendidikan secara pondok. Pada peringkat awal kepulangan beliau ke tanah air, beliau terpaksa menggilap semula kemahirannya berbahasa Melayu mkerana sudah sekian lama tidak mengamalkan bahasa itu.

Selepas menetap di Kedah selama beberapa tahun, pada 1925, beliau berpindah ke Kepala Batas, Seberang Prai, Pulau Pinang. Semasa mula-mula tinggal di Kepala Batas, beliau mengajar agama di anjung rumahnya dan di Masjid Kepala Batas. Apabila jumlah muridnya semakin bertambah, ulama yang merupakan Mufti pertama Pulau Pinang ini mengasakan penubuhan Madrasah Daeratul Maarif al-Wataniah di Kepala Batas yang tenaga pengajarnya termasuklah anak beliau, Ahmad Badawi.

Selain terkenal sebagai pendidik agama, ulama dan pejuang politik Islam, Sheikh Abdullah Fahim juga adalah penulis handalan yang banyak karyanya tersiar dalam majalah dan akhbar di negara Arab pada 1920-an. Selain itu, tulisannya dalam bahasa Melayu pula banyak diterbitkan di Tanah Melayu dan Singapura.

Pendek kata, sepanjang hayatnya, Abdullah Fahim telah menggunakan segala ilmu yang di kurniakan oleh Allah kepadanya untuk memberi manfaat kepada umat Islam dari seluruh pelosok dunia. Jariah yang beliau curahkan itu mengalir hingga ke hari ini apabila ramai muridnya menjadi guru agama, mufti, kadi dan sebagainya yang mencurahkan khidmat bakti demi kesejahteraan masyarakat di dunia dan akhirat.

Ulama yang Tegas dan Pentingkan Perpaduan

Selain itu, Sheikh Abdullah Fahim adalah salah seorang daripada ulama yang tegas dan sangat prihatin kepada perpecahan umat Islam. Beliau memberikan nasihat kepada orang Melayu supaya jangan mengikut ajaran Khawarij yang mencetuskan perbalahan di kalangan umat Islam apabila mereka keluar dan berpisah daripada kepimpinan Saidina Ali r.a.. Beliau juga pernah menunjukkan tingakan tegas dengan meninggalkan majlis yang menyerang dan memperkecilkan orang melayu yang berpegang kepada mazhab Syafie.

Beliau juga pernah merayu supaya orang melayu berpegang teguh dengan semangat perpaduan ummah dan bersatu padu dalam kesatuan bangsanya.

Kesetiaan Abdullah Fahim dalam Politik

Walaupun Abdullah Fahim tidak begitu terkenal dalam arena politik tanah air, tetapi beliau sebenarnya amat berjasa kepada negara, khususnya kepada UMNO. Ini kerana, ketika sebilangan besar mereka yang dianggap sebagai ulama meninggalkan parti itu untuk menyertai PAS, beliau dan anaknya, Ahmad Badawi tetap setia menyokong UMNO dalam perjuangannya membela nasib bangsa dan seluruh penduduk Tanah Melayu mengira kaum dan agama.

Kesetiaan Abdullah Fahim terhadap perjuangan UMNO tidak dapat dinafikan apabila beberapa hari selepas parti itu ditubuhkan pada Mei 1946, Yang DiPertua Pertama parti itu, Onn bin Jaafar dating menemuinya dan meminta beliau menjadi ahli UMNO pertama bagi kawasan Seberang Prai Utara.

Sebaik sahaja Abdullah Fahim, menandatangani borang keahlian, Onn menyematkan lencana UMNO pada kolar kot beliau. Lencana tersebut dipakai oleh Abdullah Fahim hingga akhir hayatnya bagi membuktikan betapa beliau amat menyayangi dan menghayati perjuangan parti itu.

Sumbangan Abdullah Fahim Yang Berharga (Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara)

Nama Sheikh Abdullah Fahim juga berkait rapat dengan kemerdekaan Tanah Melayu kerana beliaulah tokoh yang diberi kepercayaan untuk memilih tarikh yang dirasakan serasi untuk dikemukakan kepada pentadbiran Inggeris.

Semasa beliau dikunjungi Tunku Abdul Rahman dan para pemimpin UMNO lain untuk mendapatkan tarikh berkenaan, Abdullah Fahim mencadangkan dua tarikh iaitu 31 Ogos 1957 dan 31 Ogos 1962. Pada pendapat beliau, tarikh 31 Ogos 1957 paling sesuai memandangkan segala usaha dan perjuangan rakyat Malaya sudah sampai kepada masanya untuk membuat tuntutan dan sekiranya pihak British tidak bersetuju dengan tarikh itu, maka satu lagi tarikh yang sesuai dan baik untuk Tanah Melayu mencapai kemerdekaan ialah 31 Ogos 1962.

Apabila kedua-dua tarikh tersebut dibincangkan pada mesyuarat peringkat tertinggi UMNO, Ketua pemuda UMNO, Saadon Haji Jubir menolak tarikh alternatif 31 Ogos 1962 dan bertekad bahawa sekiranya British menolak tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan negara ini, pemuda UMNO akan bertindak secara habis-habisan untuk menentangnya.

Walau bagaimanapun dengan nasihat Abdullah Fahim dan kebijaksanaan Tunku, akhirnya seperti yang terakam dalam sejarah tanah air, Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya pada 31 Ogos 1957. Tarikh keramat ini sebenarnya bukan dipilih dengan sesuka hati oleh Abdullah Fahim tetapi melalui ilmu firasat yang beliau miliki. Tarikh inilah yang kini dirayakan setiap tahun oleh seluruh rakyat Malaysia yang menghargai erti kemerdekaan.

Mungkin juga tidak ramai yang mengetahui bahawa pada pertemuan untuk membincangkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu itu, Abdullah Fahim memberitahu Tunku bahawa selepas lima tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, negara ini akan bertukar namanya. Ramalan yang dibuat berdasarkan ilmu firasat yang beliau miliki itu ternyata benar apabila dengan kehendak Allah jua, Tanah Melayu telah ditukar namanya kepada Malaysia lima tahun selepas kemerdekaannya.

Walaupun ramai orang yang kagum dengan kelebihan yang dimiliki oleh Sheikh Abdullah Fahim, tetapi bagi beliau dan ahli keluarganya, semua itu adalah pemberian Allah kepada sesiapa jua yang dikehendakinya.

Sungguhpun Abdullah Fahim bukan pemimpin utama UMNO, tetapi buah fikiran beliau sebagai orang tua dan ulama yang dihormati amat diperlukan dalam menangani sesuatu isu besar yang dihadapi oleh rakyat dan negara. Sebagai ulama, segala kata-kata dan buah fikirannya diyakini bebas daripada sebarang kepentingan diri serta mendapat petunjuk dari Allah.

Sifat Peribadi Abdullah Fahim

Dalam kehidupan sehariannya, Sheikh Abdullah Fahim adalah seorang yang mudah sekali bergaul mesra dan amat disenangi oleh penduduk setempat yang terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum. Pernah dikatakan bahawa pekedai-pekedai di sekitar Pulau Pinang biasanya berasa amat bertuah sekiranya Sheikh Abdullah Fahim masuk ke kedai mereka tetapi akan berasa bimbang sekiranya barang di kedai mereka itu di katakannya mahal, maka alamatnya jualan pekedai itu pada hari itu akan merosot. Begitulah pula sebaliknya pekedai selalu berharap Sheikh Abdullah Fahim akan masuk ke kedai mereka kerana kehadirannya menjadi petanda bahawa jualan mereka pada hari itu akan laris.

Itulah antara keistimewaan yang dimiliki oleh Sheikh Abdullah Fahim yang merupakan seorang wali yang amat dihormati oleh penduduk Pulau Pinag, terutamanya di Seberang Prai dan Kepala Batas.

Sampainya Ajal Beliau

Akhirnya sampailah sudah kesudahan riwayat hidup seorang ulama dan tokoh kemerdekaan yang terkenal dan tiada tandingannya. Sheikh Abdullah Fahim menghembuskan nafas terakhir pada 28 April 1961 pada waktu pagi iaitu pukul 8 di rumahnya di Kepala Batas. Ketika itu, usia beliau ialah 92 tahun. Jenazah beliau disemadikan di tanah perkuburan di perkarangan Masjid Kepala Batas, Pulau Pinang.

Sheikh Abdullah Fahim meninggalkan seorang anak iaitu Ahmad Badawi dan beberapa orang cucu, di antaranya ialah Perdana Menteri kita yang dikasihi, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.

Nukilan:
M.A.Uswah,
Oktober 2007,

Sandakan.

(Artikel di atas merupakan di antara senarai pencalonan Sayembara 50 Melayu Terbilang 2007 yang saya sertai di http://esastera.com)

0 komentar: