Pages

Senin, Maret 31, 2008

Dua Ulama Luar Berperanan Besar Dalam Kerajaan Pontianak


HAJi Ismail Al-Kalantani (kiri) dan Saiyid Abdullah Az-Zawawi dua ulama luar yang berperanan besar dalam kerajaan Pontianak.

Ismail Al-Kalantani, Mufti Kerajaan Pontianak

Ulama yang berasal dari Kelantan ini pernah penulis riwayatnya di dalam Majalah Pengasuh yang diperlengkapkan oleh Ismail Awang. Selanjutnya dimuat dalam buku Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (jilid 1), yang diselenggarakan oleh Ismail Che Daud dan diterbitkan oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, cetakan pertama, 1988. Beberapa tahun kemudian penulis menemui data-data baru mengenai ulama Kelantan yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak di Kalimantan Barat ini, oleh itu riwayat mengenainya ditulis kembali di dalam ruangan Agama, Utusan Malaysia ini. Nama lengkapnya ialah Ismail bin Haji Abdul Majid bin Haji Abdul Qadir al-Kalantani. Lahir di Kampung Labok, Macang, Kelantan. Mengenai tahun lahir dan wafatnya masih perlu dikaji kembali. Pendapat awal menyebut bahawa Ismail Kelantan lahir pada tahun 1293 Hijrah/1876 Masihi. Ismail Che' Daud menjelaskan pada notanya bahawa ulama tersebut lahir pada awal tahun 1300 Hijrah/1882 Masihi. Demikian tentang wafatnya bahawa pendapat awal menyebut tahun 1365 Hijrah/1946 Masihi, Ismail Che' Daud menyebut kemungkinan pada tahun 1370 Hijrah/1951 Masihi atau terkemudian lagi.

Pendidikan

Ismail dan abangnya Muhammad Nuh (yang kemudian dikenali sebagai Haji Nuh Kaya) setelah memperoleh pendidikan asas di Kelantan, dihantar belajar ke Mekah. Di Mekah, Ismail sempat mengikuti majlis pengajian Syeikh Ahmad al-Fathani, sama ada di rumah mahu pun di Masjid al-Haram. Ada orang meriwayatkan bahawa Ismail Kelantan pulang ke Kelantan sesudah haji pada tahun 1325 Hijrah/1908 Masihi, iaitu tahun kewafatan Syeikh Ahmad al-Fathani (wafat 11 Zulhijjah 1325 Hijrah/18 Januari 1908 Masihi). Riwayat lain menyebut bahawa setelah Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia, Ismail Kelantan meneruskan pengajiannya kepada beberapa orang ulama besar Mekah, antaranya Saiyid Abdullah az-Zawawi (lahir 1266 Hijrah/1850 Masihi, wafat 1343 Hijrah/1924 Masihi), Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi dan ramai lagi. Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi berasal dari Termas (Jawa) adalah seorang ulama besar Mazhab Syafie dan ahli dalam ilmu hadis. Beliau mempunyai beberapa karangan yang besar, antaranya Muhibah Zawin Nazhar yang tebalnya empat jilid.Hubungan mesra antara Ismail Kelantan dengan Saiyid Abdullah az-Zawawi sejak beliau belajar di Mekah lagi, yang ketika itu Saiyid Abdullah az-Zawawi adalah seorang Mufti Mazhab Syafie di Mekah. Ketika pergolakan Wahhabi di Mekah, beberapa orang ulama tidak aman tinggal di Mekah, termasuklah Saiyid Abdullah az-Zawawi. Haji Ismail Kelantan mengikut gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi itu berhijrah dari Mekah ke Riau dan selanjutnya ke Pontianak. Sewaktu Saiyid Abdullah az-Zawawi menjadi Mufti Pontianak, Ismail Kelantan terus bersama gurunya itu, belajar pelbagai bidang ilmu tiada henti-hentinya walau pun ilmu yang dikuasainya cukup banyak dan memadai. Riwayat lain menyebut bahawa Ismail Kelantan pulang ke Kelantan lebih awal (1325 Hijrah/1908 Masihi), dan selanjutnya pergi ke Cam/Kemboja.

Ilmu Falak

Ismail Kelantan tidak sempat menamatkan ilmu falak yang dipelajarinya daripada Syeikh Ahmad al-Fathani. Oleh itu setelah Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia, beliau meneruskan pendidikan khusus tentang ilmu falak itu daripada Syeikh Muhammad Nur bin Muhammad bin Ismail al-Fathani. Ketika mempelajari ilmu falak daripada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, beliau bersama Syeikh Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar.Mengenai ketokohan Ismail Kelantan dalam ilmu falak dapat dibuktikan dalam karyanya Pedoman Kesempurnaan Manusia. Menurut cerita Ustaz Abdur Rani Mahmud (ketika masih hidup sebagai Ketua Majlis Ulama Kalimantan Barat), bahawa Ismail Kelantan adalah orang pertama yang menyebarluaskan ilmu falak di Pontianak, khususnya atau Kalimantan Barat umumnya.

Ke Pontianak Sebagai Mufti

Selain bersama gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi di Pontianak, Ismail Kelantan pernah menziarahi Syeikh Muhammad Yasin, seorang ulama yang berasal dari Kedah, yang tinggal di Kuala Secapah, Mempawah. Pada tahun kedatangan Ismail Kelantan ke Kuala Secapah, Mempawah itulah Syeikh Muhammad Yasin Kedah meninggal dunia. Ismail Kelantan juga menziarahi Wan Nik, seorang ulama sufi yang berasal dari Patani. Beliau tinggal dalam bandar Mempawah.Dalam waktu yang relatif singkat, kealiman Ismail Kelantan tersebar di sekitar Mempawah dan Pontianak. Oleh sebab itu Adam, seorang hartawan Bugis di Sungai Itik, Pontianak, iaitu seorang yang sangat haus dengan ilmu pengetahuan, menjemput Ismail Kelantan mengajar di rumahnya.
Bukan itu saja, atas kehendak Adam dan Mu'minah binti Haji Muhammad Thahir, mereka menjodohkan anak perempuannya dengan Ismail Kelantan. Perkahwinan dengan anak Adam itu merupakan perkahwinan Ismail Kelantan yang pertama di Pontianak. Detik-detik terakhir akan kepulangannya ke Kelantan, Ismail berkahwin lagi dengan Jamaliah yang berasal dari Tasik Malaya, Jawa Barat. Perkahwinan kedua ini adalah atas kehendak dan perintah Sultan Muhammad, Sultan Pontianak. Daripada sepucuk surat Ismail Kelantan kepada Syarif Muhammad bin Syarif Yusuf, Sultan Pontianak, tarikh Pontianak: 28 Februari 1924, dapatlah diketahui bahawa mula-mula beliau dilantik sebagai Naib Hakim di Rad Agama Pontianak mulai tarikh 12 Ogos 1920 Masihi. Pada tarikh penulisan surat 28 Februari 1924, kedudukan Ismail Kelantan adalah sebagai Mufti di Kerajaan Pontianak. Sewaktu Ismail Kelantan menjadi Mufti Pontianak, ada tiga orang ulama yang bernama Ismail. Dua orang lagi ialah Ismail bin Abdul Lathif (lebih dikenali dengan Ismail Jabal) dan Ismail bin Abdul Karim (lebih dikenali sebagai Ismail Mundu). Ismail bin Abdul Lathif berpangkat Adviseur Penasihat Rad Agama Kerajaan Pontianak. Ismail bin Abdul Karim (wafat pada hari Khamis, 15 Jamadilakhir 1376 Hijrah/16 Januari 1957 Masihi) pula adalah Mufti Kerajaan Kubu, sebuah kerajaan kecil di bawah naungan Kerajaan Pontianak. Ketiga-tiga ulama tersebut sangat terkenal di dalam Kerajaan Pontianak. Bahkan kerajaan-kerajaan lain di seluruh Kalimantan/Borneo.

Pulang Ke Kelantan

Ismail Kelantan pulang ke Kelantan sekitar tahun 1937. Di Kota Bharubeliau menjadi guru di Jami' Merbau yang berstatus sebagai pendidikan tinggi Islam ketika itu. Murid-murid yang diterima di Jami' Merbau adalah orang-orang yang telah mendapat pendidikan yang cukup memadai, yang datang dari seluruh Semenanjung dan Patani.
Semangat
Selain mengajar di Jami' Merbau, Ismail Kelantan juga menjadi guru dan imam di Istana Sultan Kelantan. Ismail Kelantan adalah hafiz al-Quran tiga puluh juzuk, fasih ketika berpidato dan berkhutbah di atas mimbar. Kelebihannya pula dapat mempengaruhi dan membakar semangat pendengar. Dalam satu peristiwa pergaduhan yang didalangi Bintang Tiga yang terjadi di Kota Bharu, Ismail Kelantan telah berpidato sehingga menaikkan semangat juang orang Melayu.

Penulisan

1. Fatwa Daripada as-Saiyid Abdullah Ibnu Almarhum as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi Jawab Soal Dari Tanah Jawa, diselesaikan pada 25 Syawal 1330 Hijrah. Kandungannya mengenai ayat-ayat al-Quran dalam piring hitam. Diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu daripada karya asalnya yang ditulis dalam bahasa Arab, Rejab tahun 1326 Hijrah. Dicetak dengan kehendak as-Saiyid Ja'far bin Pangeran Syarif Abdur Rahman al-Qadri Pontianak. Dicetak di Mathba' Haji Muhammad Sa'id bin al-Marhum Haji Arsyad, No. 82 Arab Street Singapura, pada 25 Syawal 1330 Hijrah oleh Muhammad bin Haji Muhammad Sa'id, Basrah Street, No. 49 Singapura.
2. Risalah Pada Bicara Jum'at dan Sembahyang Zhuhur Mu'adah, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Tarikh salinan 3 Rabiulawal 1345 Hijrah. Manuskrip disalin oleh Khathib Peniti Kecil, diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422 Hijrah/22 Disember 2001 Masihi. Kandungan perbahasan khilafiah mengenai sembahyang Jumaat dan sembahyang Zuhur atau mu'adah.
3. Pedoman Kemuliaan Manusia, kandungannya membicarakan rampaian berbagai-bagai ilmu, termasuk falakiyah. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Ma'arif, Kota Bharu, Kelantan. Taqriz/pujian: Tuan Guru Ahmad Mahir bin Haji Ismail Kemuning, Kadi Besar Negeri Kelantan (ditulis pada 22 Januari 1938), Tuan Guru Nik Muhammad Adib bin Syeikh Muhammad Daud, Jawatan Tinggi Kadi Pelawat atau Pemeriksa Kadi-kadi Dalam Kelantan (ditulis 22.11.37), Tuan Guru Abdullah Tahir bin Ahmad, Guru Besar Ugama Dalam Kelantan dan Anggota Ulama Dalam Majlis Ugama Islam Kelantan (ditulis 14 Zulkaedah 1356 Hijrah).

Keturunan dan Murid

Sewaktu Ismail Kelantan pulang ke Kota Bharu, Kelantan, tiga orang anaknya dengan isteri pertama telah berumah tangga, ketiga-tiganya tidak ikut pulang ke Kelantan. Anak-anaknya yang pernah ditemui penulis ialah anaknya yang tinggal di Parit Sungai Keluang, Peniti, Kecamatan Siantan, Kabupaten Pontianak. Suaminya bernama Arif. Seorang anak Ismail Kelantan yang perempuan lainnya tinggal di Pontianak. Dipercayai ketiga-tiga anak Ismail Kelantan melahirkan keturunan yang ramai di Pontianak atau pun telah berpindah ke tempat-tempat lainnya.Antara sekian ramai murid Ismail Kelantan di Pontianak yang sangat rapat dengan penulis ialah Ustaz Abdur Rani Mahmud. Beliau termasuk salah seorang guru penulis. Jawatan terakhir beliau ialah Ketua Majlis Ulama Kalimantan Barat. Beliau adalah tempat rujukan segala kemusykilan mengenai Islam bagi masyarakat umum dan pihak pemerintah di Kalimantan Barat. Cerita-cerita mengenai kelebihan atau keistimewaan Ismail Kelantan banyak penulis dengar dan catat daripada Abdur Rani Mahmud. Menurut Abdur Rani Mahmud, Ismail Kelantan adalah orang pertama menyebarkan ilmu falak secara meluas di Pontianak. Katanya, ``Kemungkinan Haji Ismail Kelantan hafal Quran tiga puluh juzuk kerana di mana saja beliau duduk, mulutnya sentiasa membaca ayat-ayat al-Quran. Tangannya senantiasa memegang tasbih. Kalau mengajar mata pelajaran apapun yang diajarkannya semuanya secara hafal walau pun kitab ada di depannya.''

Saiyid Abdullah Az-Zawawi, Mufti Syafi'iyah Makkah

Ulama yang dibicarakan kali ini juga seorang bangsa Arab yang cukup terkenal di dunia Melayu, bahkan secara berantai mulai datuk, ayah, beliau sendiri hingga keturunannya berperanan penting dalam penyebaran ilmu-ilmu Islam di dunia Melayu. Untuk menulis riwayat ini saya gunakan beberapa sumber.

Sumber daripada bahasa Arab ialah tulisan Syeikh 'Umar Abdul Jabbar yang dimuat dalam Kitab as-Siyar wa at-Tarajim. Sumber bahasa Melayu ialah sebuah risalah judul Kaifiyah 'Ala Thariqah An-Naqsyabandiyah Al-Mujaddidiyah Al-Ahmadiyah Li Al-'Allamah Al-Quthub Ash-Shufiyah As-Saiyid Muhammad Shalih Ibnu As-Saiyid Asy-Syarif 'Abdur Rahman Az-Zawawi (cetakan Mathba'ah al-Ahmadiyah al-Kainah fi Bandar Riau al-Mahrusah al-Mahmiyah, 11 Muharam 1313 H). Selain itu, sumber yang paling penting ialah catatan-catatan (manuskrip) yang saya peroleh dari istana kerajaan Pontianak.

Sumber yang tidak kurang penting ialah wawancara beberapa orang di antaranya keturunan beliau Saiyid Muhammad Yusuf bin Saiyid 'Ali az-Zawawi (pernah menjadi Mufti Terengganu).

Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih bin Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi. Lahir 1266 H/1850 M. Saya masih meragui tahun wafat 1343 H/1924 M yang disebut oleh Syeikh 'Umar Abdul Jabbar, kerana beberapa tahun sesudah tahun itu Saiyid Abdullah az-Zawawi masih berada di Pontianak. Jika diperhatikan tahun lahir tersebut, ia bersamaan dengan tahun lahir Saiyid Abu Bakri Syatha (lahir 1266 H/1849 M). Dengan maklumat ini mudahlah kita menjejaki guru-guru ulama yang diriwayatkan ini.

- Apabila kita membicarakan ulama Arab keturunan ‘Saiyid’ yang tersebut pada judul, dapat kita jejaki mulai dari datuknya lagi yang pernah datang ke dunia Melayu. Datuk beliau bernama Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi. Dalam sebuah catatan yang diperoleh dari istana kerajaan Pontianak disebutkan bahawa pada tahun 1295 H/1878 M, Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi datang di Pontianak mengajar beberapa ilmu dan membaiah Tarekat Naqsyabandiyah.

- Anak Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi yang bernama Saiyid Muhammad Shalih (lahir 1246 H/1830 M, wafat 1308 H/1890 M) pula pernah datang ke Pulau Penyengat, Riau. Beliau juga mengajar pelbagai ilmu dan sempat membaiah Tarekat Naqsyabandiyah al-Mujaddidiyah al-Ahmadiyah kepada Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi (wafat 1317 H/1899 M), iaitu Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga yang ke-X (Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga yang terakhir).

- Syeikh 'Umar Abdul Jabbar menulis bahawa Saiyid Abdullah az-Zawawi belajar di Madrasah ash-Shaulatiyah, Mekah. Sebagaimana diketahui dalam sejarah bahawa yang mendirikan madrasah tersebut ialah Syeikh Rahmatullah bin Khalilur Rahman al-Hindi al-'Utsmani (salah seorang keturunan Saidina 'Uthman bin 'Affan). Oleh sebab sudah jelas bahawa Saiyid Abdullah az-Zawawi belajar di madrasah tersebut, maka sudah pasti beliau adalah termasuk golongan murid yang pertama belajar kepada ulama keturunan Saidina 'Uthman bin 'Affan r.a itu. Sanad pelbagai ilmu Islam dapat diketahui melalui Syeikh Rahmatullah bin Khalilur Rahman al-Hindi al-'Utsmani yang banyak dibicarakan dalam pelbagai kitab.

Sumber Arab

- Pendidikan Saiyid Abdullah az-Zawawi melalui jalan yang lain pula, terutama dalam ilmu tasawuf dan tarekat, dapat diketahui daripada sumber Arab dan Melayu. Saiyid Abdullah az-Zawawi belajar kepada ayahnya, iaitu Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi. Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi belajar kepada ayahnya, iaitu Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi. Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi selain belajar kepada ayahnya juga belajar dengan Saiyid Muhammad Mazhhar al-Ahmadi. Beliau ini belajar dengan Syeikh Ahmad Sa'id al-Ahmadi yang belajar dengan Syeikh Abi Sa'id al-Ahmadi. Syeikh Abi Sa'idbelajar dengan Syeikh Abdullah ad-Dahlawi. Syeikh Abdullah ad-Dahlawi ini adalah ulama yang sangat terkenal terutama dalam bidang ilmu hadis. Selain nama-nama yang tersebut di atas, Saiyid Abdullah az-Zawawi juga belajar dengan beberapa orang ulama di Mekah termasuk juga dengan Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

- Telah diketahui umum bahawa Saiyid Abdullah az-Zawawi ialah Mufti Mazhab Syafie di Mekah. Hampir-hampir tidak ada orang menceritakan bahawa beliau menduduki beberapa jabatan penting di Makkah ketika beliau belum berpindah ke dunia Melayu. Tetapi Syeikh 'Umar Abdul Jabbar menulis bahawa pada zaman pemerintahan Syarif Husein di Mekah, Saiyid Abdullah az-Zawawi memegang jawatan sebagai Ketua Majlis Syura, Ketua Majlis Syuyukh dan Ketua 'Ain Zubaidah. Di samping menyandang kedudukan yang tinggi di Mekah, Saiyid Abdullah az-Zawawi juga giat mengajar. Ramai ulama yang berasal dari dunia Melayu belajar dengan beliau di Makkah yang kemudian menjadi ulama besar yang berperanan penting dalam penyebaran Islam di negeri mereka masing-masing atau tempat-tempat lainnya.

- Saiyid Muhammad Yusuf az-Zawawi, salah seorang cicitnya, ketika saya temui di Masjid Negara meriwayatkan bahawa sewaktu Prof. Dr. Snouck Hurgeronje datang ke Mekah dia kagum dengan kehebatan ilmu dua orang ulama. Yang seorang bangsa Arab, iaitu tok Ana (maksudnya diri beliau atau Saiyid Yusuf az-Zawawi, pen:) yang bernama Saiyid Abdullah az-Zawawi. Snouck belum puas kerana yang dimaksudkannya bukan ulama Arab tetapi ulama yang berasal dari dunia Melayu. Dia mencari ulama itu untuk kepentingan bangsanya, bangsa Belanda. Akhirnya, Snouck datang kepada Tok Enta (maksudnya diri saya atau Mohd. Shaghir Abdullah, pen:) iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.

Syeikh Ahmad al-Fathani marah kepada Snouck kerana beliau yakin bahawa Snouck masuk Islam hanyalah sebagai tipu muslihat. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh Snouck mengucap syahadat. Saiyid Muhammad Yusuf az-Zawawi menutup perbualan bahawa dalam buku Snouck Hurgeronje judul Mecca, cetakan awal dalam bahasa Belanda, terdapat dua keping gambar. Pada bahagian depan ialah gambar Saiyid Abdullah az-Zawawi dan pada halaman berikutnya gambar Syeikh Ahmad al-Fathani. Saiyid Muhammad Yusuf az-Zawawi juga meriwayatkan bahawa kewafatan Saiyid Abdullah az-Zawawi adalah kerana ditembak sewaktu beliau hendak keluar dari rumahnya di Taif.

Hijrah ke dunia Melayu

- Menurut tulisan Syeikh 'Umar Abdul Jabbar, Saiyid Abdullah az-Zawawi pernah mengembara ke India, Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia, China dan Jepun tanpa memberikan keterangan yang lengkap tujuan pengembaraan itu. Daripada beberapa informasi yang diperoleh melalui wawancara, kedatangan Saiyid Abdullah az-Zawawi di dunia Melayu adalah sebab beliau membantah fahaman yang beraliran Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab yang sangat terkenal sebagai pencetus fahaman Wahabiyah.

- Menurut riwayat, ada beberapa orang ulama terpaksa berhijrah dari Mekah ke dunia Melayu kerana mereka menolak fahaman Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab yang berpengaruh dalam pemerintahan di Hijaz termasuk Mekah. Antara ulama Mekah yang berhijrah itu termasuk ulama besar Mufti Syafi'iyah Makkah iaitu Saiyid Abdullah az-Zawawi. Saiyid Abdullah az-Zawawi pernah datang ke Johor dan Riau - Lingga, namun atas permintaan Sultan Pontianak beliau meneruskan perjalanannya di Pontianak. Di Pontianak, beliau dilantik sebagai Mufti Kerajaan Pontianak.

- Ketika Saiyid Abdullah az-Zawawi berada di Pontianak, orang yang membantu beliau dalam banyak hal terutama dalam berkomunikasi dengan orang-orang Melayu ialah Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani, salah seorang murid beliau sejak ketika masih berada di Mekah lagi. Belum dijumpai riwayat yang jelas apakah ulama Kelantan itu datang ke Pontianak ikut bersama-sama gurunya itu berhijrah dari Makkah sebab tekanan pemerintah yang berfahaman Wahabi atau sebab-sebab lain. Yang jelas Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak kemudian daripada gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi.

- Syeikh 'Umar Abdul Jabbar tidak menyebut sesuatu judul penulisan Saiyid Abdullah az-Zawawi. Tetapi ada sebuah karya Saiyid Abdullah az-Zawawi saya peroleh daripada simpanan istana Sultan Pontianak melalui Syeikh 'Isa asy-Syarwani, salah seorang keturunan ulama besar sahabat Saiyid 'Abdullah az-Zawawi. Beliau ialah Syeikh 'Abdul Hamid asy-Syarwani, penulis Hasyiyah Tuhfah Syeikh Ibnu Hajar. Risalah yang ditulis dalam bahasa Arab diberi terjemahan makna bahasa Melayu oleh murid beliau, Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani. Pada halaman depan tertulis: “Ini fatwa daripada as-Saiyid Abdullah ibnu al-Marhum as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi jawab soal dari tanah Jawa ghafarallahu lahu Amin, bertarikh 25 Syawal 1330 H.” Diberi keterangan di bahagian bawahnya, “Dicapkan dengan kehendak as-Saiyid Ja'far bin Pangeran Syarif Abdur Rahman al-Qadri Pontianak, Amin Dicapkan pada Mathba' al-Haji Sa'id bin al-Marhum al-Haji Arsyad, tukang cap dan penjual serba serbi jenis kitab-kitab Arab - Melayu, nombor 82 Jalan Arab Street, Singapura pada 25 Syawal 1330 H oleh Muhammad bin Haji Muhammad Said Basrah Street, nombor 44, Singapura.”

Kalimat terakhir dicatatkan, “Diharap kepada ahli al-ilmi yang memandang segala makna yang tergantung ini sekiranya jika ada salah dan terang salahnya mintalah dibetulkan supaya jangan jadi panjang kesalahannya.” Selanjutnya disebut Ismuhu al-faqir ilallah nail al-amani Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani.

* Kandungan Risalah Fatwa Saiyid Abdullah az-Zawawi membicarakan suara dalam piring hitam. Yang diutamakan adalah mengenai hukum ayat-ayat atau surah-surah al-Quran yang dimuat dalam piring hitam. Atau dalam perkembangan sekarang seperti kaset, cakera padat dan lain-lain. Sebagai contoh terjemahan bahasa Melayu yang digunakan adalah seperti berikut, “telah zahir satu alat yang bercakap dengan huruf dengan berlagu dan pantun-pantun yang bersalah-salahan, berlagu-lagu dan menjerit. Dan ada zahir pada setengah-setengah lauhnya yang dinamakan piring itu rekod namanya bacaan Quran dan bang. Dan jadilah ia berpanjangan pada tiap-tiap pasar, dan pada tiap-tiap perkumpulan, dan pada tiap-tiap kedai kopi. Dan dijualkan dia pada tiap-tiap toko (kedai) dan kebanyakan yang menjual itu bangsa Nasrani dan Majusi (China), dan lain daripada mereka itu....”

Dipetik dari:
Akhbar Utusan Malaysia, ruangan Uama Nusantara karya Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah

Minggu, Maret 30, 2008

Haji Muhammad Yasin, Merantau Kembangkan Ajaran Islam

Ulama tersohor Kedah mengembara, buka pondok pengajian di Kalimantan Barat selepas 20 tahun tuntut ilmu di Makkah

Lebih 100 tahun lalu, ketika British melebarkan jajahannya di seluruh Tanah Melayu, seorang pemuda dari Kedah menaiki kapal dan belayar jauh meninggalkan kampung halamannya di utara tanah air.

Dengan satu cita-cita kudus, dia merentas laut dan akhirnya sampai di kepulauan Kalimantan Barat. Misinya ketika itu hanyalah satu - menyebarkan dakwah ajaran Rasulullah SAW kepada penduduk kawasan asing supaya syiar Islam benar-benar menjangkau seluruh pelusuk dunia.

"Ketibaan Haji Muhammad Yasin di wilayah Pontianak di kepulauan itu kemudian disambut baik Sultan Pontianak ketika itu, Sultan Syarif Yusuf bin Syarif Abdul Hamid al-Qadri," kata Setiausaha Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia (Pengkaji), Abd Halim Muhamed ketika menceritakan jasa dan sumbangan besar tokoh ulama itu.

Beliau berkata, Haji Muhammad Yasin adalah seorang daripada ribuan ulama Melayu Nusantara yang namanya semakin hilang daripada ingatan masyarakat ketika ini. Jasa dan sumbangan mereka dikhuatiri akan lenyap ditelan masa jika tiada usaha untuk mengetengahkan sumbangan dan jasa mereka, dilakukan pihak tertentu.

"Haji Muhammad Yasin, sama seperti ulama lain pada zaman itu dihantar untuk berdakwah dan menyebarkan ilmu agama ke kawasan asing yang penduduknya masih kurang pengetahuan mengenai Islam.

"Akan tetapi berbeza dengan kebanyakan pendakwah pada hari ini, apabila ulama dulu pergi berdakwah ke suatu tempat, mereka tidak pulang-pulang lagi; kebanyakan mereka menetap di kawasan baru itu dan meninggal dunia di sana," katanya.

Menceritakan mengenai asal usul Haji Muhammad Yasin, Abd Halim berkata, kajian dilakukan pengasas Pengkaji iaitu Allahyarham Wan Mohd Saghir Abdullah mendapati ulama dari Kedah itu pernah menuntut ilmu di Makkah lebih 20 tahun sebelum diarahkan berdakwah di Kalimantan Barat.

"Ketika di Makkah, Haji Muhammad Yasin menyara hidupnya dengan mengambil upah menyalin pelbagai kitab Melayu Jawi. Kitab yang paling banyak disalin olehnya ialah kitab Siyarus Salikin karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani," katanya.

Pada zaman itu iaitu lewat abad ke-19, pemerintah di kepulauan Kalimantan Barat terutama Pontianak, Mempawah dan Sambas memiliki hubungan yang rapat dengan institusi keagamaan di Pattani.

Mereka akan mengirim surat, barang dan wang kepada ulama Pattani termasuk kepada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani pada setiap tahun.

"Oleh kerana banyak surat yang diterima daripada tiga kerajaan itu, maka Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani mengutuskan beberapa muridnya termasuk Haji Muhammad Yasin untuk berdakwah dan mengajar di sana," katanya.

Amanah yang diterima dengan telus itu seterusnya menjadi episod baru bagi kehidupan Haji Muhammad Yasin. Dengan penuh harapan, beliau berangkat ke Kalimantan Barat, suatu kawasan asing yang jauh dari kampung halamannya.

Ketibaan Haji Muhammad Yasin di Pontianak kemudian membuka pintu hati Sultan Syarif Yusuf untuk meminta ulama itu mengajar ilmu agama di istana selain kepada masyarakat kerajaan berkenaan. Permintaan itu dipersetujui Haji Muhammad Yasin pada mulanya tetapi melewati beberapa bulan, jiwanya mula berbuai.

Beliau berpandangan bahawa mengajar ilmu agama dengan cara menerima gaji mencerminkan kurangnya sikap tawakal terhadap Allah SWT. Lalu dimohonnya kepada Sultan Pontianak itu untuk dia mengembara ke utara, menuju Mempawah atau Sambas.

"Wan Mohd Saghir menulis dalam kajiannya bahawa Haji Muhammad Yasin lebih suka berdikari daripada diarahkan oleh orang lain dan beliau memilih mengembara ke arah utara kerana ia simbolik kepada mendaki atau naik ke atas yang melambangkan segala cita-cita akan tercapai.

"Sebaliknya apabila menuju ke selatan, ia adalah bersifat menurun, maka akan menempuh gangguan dan cubaan serta kejayaan sukar dicapai," katanya.

Abd Halim berkata, tujuan pengembaraan Haji Muhammad Yasin sebenarnya bertujuan mencari lokasi yang sesuai untuk dia membuka satu institusi pengajian pondok bagi meneruskan kesinambungan pengajaran ilmu agama dan penyebaran dakwah.

Selepas berjalan kaki sejauh 60 kilometer, Haji Muhammad Yasin kemudian tidak lagi meneruskan pengembaraannya kerana sebuah lokasi yang mengalirnya air sungai dan letaknya di tepi laut, diyakininya sesuai untuk dibuka pondok pengajian.

Kedua-dua jalan air iaitu menerusi lautan dan sungai itu diyakini akan memudahkan orang ramai hadir ke lokasi berkenaan seterusnya mudahlah untuk beliau menyebarkan ilmu agama dan dakwah di situ.

"Tempat berkenaan ialah Kampung Kuala Secapah yang terletak di muara Sungai Mempawah. Di Sungai Mempawah itulah dahulunya tempat pahlawan Bugis bernama Upu Daeng Menambon melabuhkan perahunya sebelum mudik ke hulu sejauh kira-kira empat kilometer, lalu membentuk sebuah Kerajaan Islam yang dinamakan Kerajaan Mempawah," katanya.

Nyata hasrat Haji Muhammad Yasin untuk membuka institusi pengajian pondok di kawasan itu disambut gembira penduduk setempat lebih-lebih lagi mengenangkan beliau adalah ulama tersohor yang mahu mengajar ilmu agama di tempat mereka.

"Kedatangan beliau ke Mempawah dipercayai pada zaman pemerintahan Gusti Ibrahim yang bergelar Penembahan Ibrahim Shafiuddin iaitu dari 1872 hingga 1887," katanya.

Menurut riwayat, Haji Muhammad Yasin membina sebuah rumah yang besar di Kampung Kuala Secapah dan mengasaskan sistem pondok ala Pattani di sana.

Sebaik mengetahui pembukaan institusi pengajian pondok oleh ulama berkenaan, maka ramai orang berbondong-bondong ke kawasan itu untuk menimba ilmu.

Dalam waktu yang singkat, banyak pondok kecil didirikan anak muridnya di sekeliling rumah beliau. Beliau mengajar pelbagai ilmu agama selain kesenian Islam antaranya Hadrah, Berzanji, Nazham dan Burdah dan warisan kesenian itu masih kekal di Mempawah sehingga kini.

"Dari sudut peribadinya, Haji Muhammad Yasin dianggap masyarakat sebagai seorang ulama yang memiliki keramat. Sejak kedatangannya di Mempawah, sengketa sesama penduduk tidak lagi berlaku seperti sebelumnya malah rezeki dan hasil tanaman padi dan kelapa di kawasan itu melimpah ruah.

"Satu daripada keistimewaan akhlak ulama ini ialah beliau tidak mahu membunuh binatang walau sekecil nyamuk sekalipun. Haji Muhammad Yasin sememangnya banyak melakukan ibadat, beliau memiliki bilik khas untuk melakukan beribadat sendirian selain tempat yang digunakan untuk berjemaah," katanya.

Bertahun menabur jasa dan dakwah di tempat itu, Haji Muhammad Yasin kemudian kembali ke rahmatullah. Beliau akhirnya dimakamkan di Mempawah, suatu kawasan asing yang jauh dari kampung halamannya.

"Kewafatan Haji Muhammad Yassin bagaimanapun tidak menamatkan usaha dakwah di Kalimantan Barat khususnya di Mempawah. Usaha beliau diteruskan Haji Abdul Rahman Kelantan dan apabila tokoh ulama itu juga meninggal dunia, usaha dakwah diteruskan pula Pengasas Pengkaji, Wan Mohd Saghir sekitar 1968," katanya.

Ulama berjihad tentang penjajah guna pena, tulisan

Berbanding pahlawan Melayu yang menentang penjajah, jasa dan sumbangan ulama Melayu kurang dikenali masyarakat pada hari ini.

Mungkin ramai sedikit mengenali nama-nama seperti Tok Kenali di Kelantan, Tok Ku Paloh di Terengganu atau Abdullah Fahim di Pulau Pinang, lantaran ulama itu adalah datuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Setiausaha Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia (Pengkaji), Abd Halim Muhamed, berkata sebenarnya, terdapat ribuan nama yang tersenarai sebagai ulama Melayu Nusantara malah sumbangan mereka tidak boleh dipertikaikan sama hebatnya dengan pejuang penentang penjajah.

"Jika dilihat kepada peribadi pahlawan dulu, mereka juga arif dalam ilmu agama. Pahlawan dulu berjuang dengan menentang penjajah tetapi watak yang memainkan peranan mencetuskan kesedaran untuk membela agama, bangsa dan tanah air sebenarnya ialah ulama," katanya.

Beliau berkata, berbanding pahlawan yang berjihad menggunakan senjata, ulama berjihad menerusi pena dan tulisan apabila menghasilkan kitab bagi menyebarkan ajaran Islam.

"Malah, kehebatan ulama Melayu silam menyebabkan ada antara mereka yang mengajar ilmu agama di Makkah sehinggakan Bahasa Melayu seolah-olah menjadi bahasa kedua di Tanah Suci itu.

"Mereka juga sanggup dihantar merantau ke tempat yang asing semata-mata mahu menyebarkan syiar Islam malah ramai antara mereka yang tidak pulang lagi ke kampung asal kerana meninggal dunia di tempat asing itu.

Katanya, ulama dulu juga tidak sewenang-wenangnya mengaku diri mereka dengan gelaran 'ulama' sebaliknya gelaran itu diiktiraf sendiri oleh masyarakat dan ulama yang lebih besar.

Abd Halim bagaimanapun berkata, tidak dinafikan yang semakin ramai masyarakat pada hari ini yang tidak lagi mengingati nama dan sumbangan ulama silam dan dikhuatiri warisan berharga itu akan hilang melewati masa jika tiada usaha untuk mengumpul serta menghargai nama dan sumbangan mereka dilakukan pihak bertanggungjawab.

"Kesedaran itulah yang menyebabkan Pengkaji ditubuhkan pada 1996 iaitu untuk mengkaji bagi mengenali sejarah hidup tokoh ulama ini selain memelihara warisan kitab yang dihasilkan mereka.

"Sambutan terhadap pameran ulama yang kami lakukan sebelum ini nyata mendapat maklum balas memberangsangkan sekali gus membuktikan masyarakat mahu mengenali kalangan ulama ini tetapi tidak banyak kajian terhadap mereka yang diketengahkan," katanya.

Beliau berkata, sebelum penubuhan Pengkaji, usaha mengumpul, mendokumentasi dan menyebarkan hasil khazanah ulama Melayu sudah dilakukan pengasas persatuan itu iaitu Wan Mohd Saghir Abdullah.

"Wan Mohd Saghir mula mengkaji dan mengumpulkan maklumat mengenai ulama ini sejak beliau berusia 12 tahun lagi bagi menunaikan wasiat datuknya Syeikh Ahmad al-Fathani yang disampaikan oleh ibunya, Hajah Wan Zainab.

"Bagi mendapatkan maklumat berhubung kajiannya, Wan Mohd Saghir tidak saja meneliti dokumen lama tetapi sanggup pergi ke tempat tokoh ulama itu berdakwah antaranya di Kepulauan Riau dan Sumatera, Brunei, Pattani dan Kalimantan Barat selain dalam negeri," katanya.

Malah, Wan Mohd Saghir sanggup membeli karya dan kitab karangan ulama silam dengan harga mahal semata-mata mengenangkan sukarnya untuk menjumpai kitab berkenaan di mana-mana pada hari ini.

"Sehingga kini sudah lebih 200 biografi ulama yang dikaji Wan Mohd Saghir menerusi Pengkaji selain koleksi transliterasi kitab lama serta karya ulama silam," katanya.

Bagi menyambung usaha memartabatkan warisan ulama silam yang dipelopori Wan Mohd Saghir itu, Pengkaji kini bekerjasama dengan syarikat Khazanah Fathaniyah untuk menerbitkan kembali kitab lama karangan ulama silam bagi membolehkan orang ramai mempelajari ilmu yang terkandung dalamnya.

"Buat permulaan kami mencetak dua kitab lama iaitu kitab ajaran solat 'Mun-yatul Mushali' karangan Syeikh Daud al-Fathani dan 'Faridhatul Faraid' karangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang mengulas persoalan akidah.

"Kami juga berharap untuk menerima sumbangan orang ramai supaya membeli kitab ini untuk diwakafkan kepada pelajar institusi pengajian pondok di Kemboja," katanya.

Kamis, Maret 27, 2008

Syeikh Yusuf Makasar, Pembela dan Penjunjung Kebenaran

Syeikh Yusuf Makasar berasal dari keluarga bangsawan tinggi di kalangan suku bangsa Makassar dan mempunyai pertalian kerabat dengan raja-raja Banten, Gowa, dan Bone. Syeikh Yusuf sendiri dapat mengajarkan beberapa tarekat sesuai dengan ijazahnya. Seperti tarekat Naqsyabandiyah, Syattariyah, Ba'alawiyah, dan Qadiriyah. Namun dalam pengajarannya, Syekh Yusuf tidak pernah menyinggung pertentangan antara Hamzah Fansuri yang mengembangkan ajaran wujudiyah dengan Syekh Nuruddin Ar-Raniri dalam abad ke-17 itu.

Syekh Yusuf sejak kecil diajar serta dididik secara Islam. Ia diajar mengaji Alquran oleh guru bernama Daeng ri Tasammang sampai tamat. Di usianya ke-15, Syekh Yusuf mencari ilmu di tempat lain, mengunjungi ulama terkenal di Cikoang yang bernama Syekh Jalaluddin al-Aidit, yang mendirikan pengajian pada tahun 1640.

Syekh Yusuf meninggalkan negerinya, Gowa, menuju pusat Islam di Mekah pada tanggal 22 September 1644 dalam usia 18 tahun. Ia sempat singgah di Banten dan sempat belajar pada seorang guru di Banten. Saat ia mengenal ulama masyhur di Aceh, Syekh Nuruddin ar Raniri, melalui karangan-karangannya, pergilah ia ke Aceh dan menemuinya.

Setelah menerima ijazah tarekat Qadiriyah dari Syekh Nuruddin, Syekh Yusuf berusaha ke Timur Tengah. Beliau ke Arab Saudi melalui Srilanka.

Di Arab Saudi, mula-mula Syekh Yusuf mengunjungi negeri Yaman, berguru pada Sayed Syekh Abi Abdullah Muhammad Abdul Baqi bin Syekh al-Kabir Mazjaji al-Yamani Zaidi al-Naqsyabandi. Ia dianugerahi ijazah tarekat Naqsyabandi dari gurunya ini.

Perjalanan Syekh Yusuf dilanjutkan ke Zubaid, masih di negeri Yaman, menemui Syekh Maulana Sayed Ali. Dari gurunya ini Syekh Yusuf mendapatkan ijazah tarekat Al-Baalawiyah. Setelah tiba musim haji, beliau ke Mekah menunaikan ibadah haji.

Dilanjutkan ke Madinah, berguru pada syekh terkenal masa itu yaitu Syekh Ibrahim Hasan bin Syihabuddin Al-Kurdi Al-Kaurani. Dari Syekh ini diterimanya ijazah tarekat Syattariyah. Belum juga puas dengan ilmu yang didapat, Syekh Yusuf pergi ke negeri Syam (Damaskus) menemui Syekh Abu Al Barakat Ayyub Al-Khalwati Al-Qurasyi. Gurunya ini memberikan ijazah tarekat Khalwatiyah setelah dilihat kemajuan amal syariat dan amal Hakikat yang dialami oleh Syekh Yusuf.

Melihat jenis-jenis alirannya, diperoleh kesan bahwa Syekh Yusuf memiliki pengetahuan yang tinggi, meluas, dan mendalam. Mungkin bobot ilmu seperti itu, disebut dalam lontara versi Gowa berupa ungkapan (dalam bahasa Makassar): tamparang tenaya sandakanna (langit yang tak dapat diduga), langik tenaya birinna (langit yang tak berpinggir), dan kappalak tenaya gulinna (kapal yang tak berkemudi).

Cara-cara hidup utama yang ditekankan oleh Syekh Yusuf dalam pengajarannya kepada murid-muridnya ialah kesucian batin dari segala perbuatan maksiat dengan segala bentuknya. Dorongan berbuat maksiat dipengaruhi oleh kecenderungan mengikuti keinginan hawa nafsu semata-mata, yaitu keinginan memperoleh kemewahan dan kenikmatan dunia. Hawa nafsu itulah yang menjadi sebab utama dari segala perilaku yang buruk. Tahap pertama yang harus ditempuh oleh seorang murid (salik) adalah mengosongkan diri dari sikap dan perilaku yang menunjukkan kemewahan duniawi.

Ajaran Syekh Yusuf mengenai proses awal penyucian batin menempuh cara-cara moderat. Kehidupan dunia ini bukanlah harus ditinggalkan dan hawa nafsu harus dimatikan sama sekali. Melainkan hidup ini harus dimanfaatkan guna menuju Tuhan. Gejolak hawa nafsu harus dikuasai melalui tata tertib hidup, disiplin diri dan penguasaan diri atas dasar orientasi ketuhanan yang senantiasa melingkupi kehidupan manusia.

Hidup, dalam pandangan Syekh Yusuf, bukan hanya untuk menciptakan keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi. Namun, kehidupan ini harus dikandungi cita-cita dan tujuan hidup menuju pencapaian anugerah Tuhan.

Dengan demikian Syekh Yusuf mengajarkan kepada muridnya untuk menemukan kebebasan dalam menempatkan Allah Yang Maha sa sebagai pusat orientasi dan inti dari cita, karena hal ini akan memberi tujuan hidup itu sendiri.

Rabu, Maret 26, 2008

Haji Wan Musa Tuan Tabal, Pernah Mengundang Perdebatan Hebat

Haji Wan Musa bin Tuan Tabal, merupakan salah seorang Mufti Kelantan yang pernah mengundang perdebatan khilafiyah antara beliau dengan beberapa orang ulama para sahabat yang seperguruannya dan ulama-ulama lainnya.

Riwayat Mufti Haji Wan Musa pernah ditulis oleh Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Hasan dalam buku Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan (cetakan pertama, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan, 1977), juga oleh Ismail Awang yang dimuat dalam majalah Pengasuh dan kemudian dimuat dalam buku, Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (1). Juga ditulis oleh beberapa orang lainnya.

Oleh sebab riwayat Mufti Haji Wan Musa sudah agak banyak ditulis sebelum ini, maka dalam artikel ini saya utamakan membahas sepucuk surat yang dikirim oleh Haji Wan Musa dari Kota Bharu, Kelantan kepada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani di Mekah. Surat bertarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M. Oleh yang demikian, banyak perkara yang tidak dibicarakan dalam tulisan-tulisan yang terdahulu terdapat dalam artikel ini.

Berdasarkan tahun kelahiran Haji Wan Musa 1291H/1874M, dapatlah dipastikan bahawa beliau adalah abang pada Haji Wan Abdullah yang lahir 1293H/1877M (riwayatnya dimuat dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, 30 Oktober 2006). Haji Wan Musa pula adalah adik pada Mufti Haji Muhammad yang lahir 5 Rejab 1287H/1 Oktober 1870M. Haji Wan Musa meninggal dunia pada hari Sabtu, 24 Zulkaedah 1357H/14 Januari 1939M. Para guru ketiga-tiga putera Tuan Tabal yang tersebut adalah sama, iaitu dimulai dari pendidikan asas oleh Tuan Tabal sendiri, kemudian mereka melanjutkan pelajaran di Mekah. Guru mereka ketika di Mekah yang paling berkesan ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani yang masih ada hubungan kekeluargaan dengan mereka.

Bahasan Surat

Surat Haji Wan Musa tarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M, beliau menggunakan hampir semua gelaran kebesaran Syeikh Ahmad al-Fathani yang pernah diberikan oleh para ulama lainnya. Haji Wan Musa menulis: “Alhamdulillah wahdah, bahawa ditaslimkan ke bawah Hadhrat Sa'adah wa Qudwah al-Ulama' al-'Amilin wa 'Umdah al-Atqiya' al-Kamilin Fakhr al-A'yan wa Bahjah az-Zaman wa Qurrah 'Ain al-Ikhwan al-Ghani bi Kamalih 'an al-Ishtinab lima hawah min 'Ulwu al-Janab Uztazuna al-'Allamah wa Mulazuna al-Fahamah, kakanda Wan Ahmad bin al-Mukarram al-Haji Wan Muhammad Zain al-Fathani yang di Mekah al-Musyarrafah pada Syu'ib 'Ali ...” Semua gelaran yang ditulis dalam bahasa Arab tidak saya terjemah, kerana telah saya kupas dalam buku judul Syeikh Ahmad Al-Fathani Pemikir Agung Melayu dan Islam, jilid 1.

Haji Wan Musa menggunakan perkataan ‘kakanda’ untuk ganti nama Syeikh Ahmad al-Fathani, lazimnya panggilan daripada seorang murid kepada guru ialah perkataan ‘ayahanda’. Panggilan ‘kakanda’ yang digunakan tidak salah kerana masih ada hubungan kekeluargaan antara Haji Wan Musa dengan Syeikh Ahmad al-Fathani yang status persaudaraan boleh dipanggil `berpupu-puan.’ Dalam kekeluargaan, Tuan Tabal adalah pangkat ayah saudara Syeikh Ahmad al-Fathani antara dua atau tiga pupu. Lebih dekat lagi kerana Hajah Wan Kaltsum, ibu Haji Wan Musa, adalah kakak Syeikh Wan Ali Kutan. Isteri Syeikh Wan Ali Kutan bernama Hajah Wan Aisyah.

Beliau adalah adik beradik dengan Hajah Wan Cik ibu Syeikh Ahmad al-Fathani. Di antara anak Syeikh Wan Ali Kutan dan Hajah Wan Aisyah, ialah Haji Wan Abdur Rahman, Hajah Wan Fatimah, dan lain-lain bererti saudara sepupu Haji Wan Musa dari pihak ibu Haji Wan Musa kakak Syeikh Wan Ali Kutan. Haji Wan Abdur Rahman dan Hajah Wan Fatimah juga saudara sepupu Syeikh Ahmad al-Fathani dari pihak ibu sama ibu adik-beradik. Sekiranya tidak melalui jalan perkahwinan atau jalan yang disebutkan ini, Syeikh Wan Ali Kutan dan kakaknya Wan Kaltsum adalah pangkat ayah dan ibu saudara Syeikh Ahmad al-Fathani.

Oleh sebab itulah maka dalam surat Haji Wan Musa menggunakan perkataan ‘kakanda’ untuk diri Syeikh Ahmad al-Fathani, tidak menggunakan perkataan ‘ayahanda’, walau pun beliau seorang murid. Dan beliau menyebut dirinya ‘adinda’, tidak perkataan ‘anakanda’.

Setelah kalimat dalam bahasa Arab, Haji Wan Musa mengharapkan doa Syeikh Ahmad al-Fathani untuk keluarga, terutama diri dan anak-anak beliau termasuk dalam perhimpunan ulama, Haji Wan Musa menulis, “... serta adalah upah umrah tiga rial bagi Mek Cik binti Abdus Shamad boleh kakanda tolong menghasil akan dia. Dan ada pun tiga rial, adinda minta kakanda tolong beli kitab al-Fawaid al-Madaniyah atau al-Makkiyah dan adinda taraddud (maksudnya: ragu-ragu, pen) sedikit antara dua nama itu, yang ada menyebutkan Ishthilah at-Tuhfah, dan lainnya. Dan minta kekanda tolong beli kitab Mushthalah al-Hadits satu, dan Ushul Fiqh satu yang kecil-kecil, mana-mana yang elok pada hadrat kekanda. Dan kitab Nashaih ad-Diniyah satu.

“Maka jika tidak cukup rial itu, maka kekanda suruh Ahmad anak Haji Muhammad Manan beri dahulu. Kemudian boleh adinda bayar kepadanya di Jawi. Maka boleh kekanda terima ambil rial yang tersebut itu bersama-sama dengan surat ini di dalam bungkus rial yang adinda kirim kepada Ahmad ibnu Haji Muhammad Manan.”

Dalam petikan di atas dapat diketahui ada adik beradik Haji Wan Musa yang perempuan, ialah Mek Cik binti Abdus Shamad. Belum begitu pasti apakah Mek Cik binti Abdus Shamad itu sama ada kakak ataupun adik Haji Wan Musa, dalam dugaan saya kemungkinan adalah kakak.

Dalam kalimat-kalimat di atas dapat dibuktikan bahawa Haji Wan Musa seorang yang sangat gemar kepada pelbagai jenis kitab ilmu pengetahuan. Ada orang meriwayatkan bahawa Haji Wan Musa selalu menyisihkan wangnya untuk menambah jumlah kitab yang dimilikinya. Setiap kitab yang dibeli pasti dibaca, bukan hanya disimpan atau dijadikan perhiasan saja.

Pada konteks di atas dipastikan bahawa Ahmad ibnu Haji Muhammad Manan adalah sebagai utusan Haji Wan Musa kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Haji Ahmad bin Haji Muhammad Manan (lahir 1301H/1884M, wafat 1357H /1938M) termasuk murid Syeikh Ahmad al-Fathani dan selanjutnya juga menjadi murid Haji Wan Musa. Haji Ahmad bin Haji Muhammad Manan termasuk dalam golongan ulama besar yang terkenal di Kelantan.

Perkembangan khilafiyah di Kelantan selalu dilibatkan orang kepada Mufti Haji Wan Musa. Barangkali polemik Haji Wan Musa yang paling awal ialah antara beliau dengan Imam Haji Wan Daud. Transliterasi surat tentang itu selengkapnya sebagai berikut: "Dan lagi adinda maklum kepada hadrat kakanda, adalah adinda berkhilaf sedikit dengan Imam Haji Wan Daud pada bicara suatu masalah. Maka jadi munazharahlah adinda dengan dia, pada malam Selasa 10 Rabiulawal. Maka tiadalah adinda boleh ketahui siapa yang benarnya, kerana tiada hakim yang boleh memutuskan perbalahan itu. Maka adinda harap hadrat kakanda tolong menyatakan kepada adinda, adakah betul faham adinda itu atau ia yang betul?

Supaya adinda pakai kemudian hari pula. Maka masalah yang jadi perbalahan itu, dan kaifiat balahannya adinda surat pada satu kertas, adinda bubuh bersama-sama dengan surat ini supaya boleh kakanda ketahui daripada awal hingga akhirnya. Tetapi ibaratnya sehabis-habislah tiada eloknya, harapkan kekanda maaf banyak-banyak. Dan jika ada salah adinda pada tempat mana-mananya di dalam surat itu, maka minta kekanda nyata kepada adinda pada tahun hadapan ini supaya boleh adinda ketahui, ’’...Yang dimaksudkan pada kalimat... pada malam Selasa, 10 Rabiulawal ... itu ialah pada tahun 1322 H. Tarikh 10 Rabiulawal 1322H jika dijadikan tahun Masihi ialah 24 Mei 1904M.

Semua buku yang membicarakan tentang polemik Haji Wan Musa tidak pernah menyebut peristiwa antara beliau dengan Imam Haji Wan Daud. Demikian juga tentang tarikh dan tahun kejadian, 10 Rabiulawal 1322H/24 Mei 1904M tidak pernah disebut. Semua polemik Mufti Haji Wan Musa dengan beberapa orang ulama hanya disebut mulai berlaku tahun 1916 M (lihat Sejarah Perkembangan Ulama Kelantan, hlm. 120).

Imam Haji Wan Daud yang tersebut juga salah seorang murid Syeikh Ahmad al-Fathani, menurut riwayat selain pernah menjadi Imam Masjid Muhammadi, beliau juga pernah menjadi Mufti Kelantan. Imam Haji Wan Daud meninggal dunia tahun 1326 H/1908 M, lebih kurang empat tahun setelah perselisihan pendapat dengan Haji Wan Musa. Haji Wan Musa dilantik menjadi Mufti Kelantan menggantikan Imam Haji Wan Daud yang tersebut itu.

Sehingga artikel ini saya tulis, saya belum dapat menjejaki masalah-masalah yang menjadi pertikaian pendapat antara Haji Wan Musa dengan Imam Haji Wan Daud yang tersebut dalam surat di atas kerana dalam surat hanya menyebut: “Maka masalah yang jadi perbalahan itu, dan kaifiat balahannya adinda surat pada satu kertas, adinda bubuh bersama-sama dengan surat ini supaya boleh kakanda ketahui daripada awal hingga akhirnya.”

Permasalahan yang dinyatakan “adinda surat pada satu kertas ...” yang maksudnya dilampirkan bersama surat tarikh 16 Rejab 1322H/25 September 1904M hingga kini belum dijumpai. Jawapan Syeikh Ahmad al-Fathani mengenai yang tersebut juga belum dijumpai.

Kaum Tua - Kaum Muda

Pada zaman yang sama dengan Haji Wan Musa di Minangkabau muncul istilah Kaum Tua dan Kaum Muda. Pada pandangan saya, Haji Wan Musa, sukar untuk dituduh sebagai Kaum Muda, kerana banyak perbezaan dengan pemikiran yang dinamakan Kaum Muda di Minangkabau, Jawa dan tempat-tempat lainnya di Indonesia. Sebagai contoh Kaum Muda di Indonesia menolak amalan dalam sesuatu tarekat sedangkan Haji Wan Musa adalah seorang yang sangat berpegang teguh dan beramal dengan Tarekat Ahmadiyah.

Beberapa pegangan hukum fiqh dalam Mazhab Syafie ada yang dipertahankan oleh Haji Wan Musa. Sebaliknya sesetengah peribadi pengikut Kaum Tua hanyalah berpegang dengan longgar dan rapuh. Sebagai contoh tentang hukum zakat fitrah dan wakaf. Haji Wan Musa secara konsekwen tetap berpegang seperti ulama-ulama Syafieyah lainnya, zakat fitrah mestilah segera dibagikan kepada yang berhak menerimanya, tidak boleh digunakan untuk pembangunan walau untuk membina masjid sekali pun. Sesuatu yang dinamakan ‘wakaf’ tidak boleh diperjual belikan walau dengan alasan apa pun juga.

Bagaimanapun saya tidak menafikan bahawa ada beberapa perkara yang lain, nampaknya ada persamaan antara Haji Wan Musa dengan Kaum Muda di Indonesia.

Sebagai contoh tentang melafazkan Ushalli, masalah jilatan anjing, talqin, dan lain-lain. Khusus mengenai yang tersebut ini Haji Wan Musa ditentang oleh hampir keseluruhan ulama Kelantan termasuk Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani yang ketika itu sebagai Syeikh al-Islam Selangor. Sanggahan Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani terhadap Haji Wan Musa ditulis dalam kitab Tazkiyatul Anzhar wa Tashfiyatul Afkar (selesai ditulis pada 17 Muharam 1339H/30 September 1920M).

Sumber:
Akhbar Utusan Malaysia, ruangan Ulama Nusantara, Haji Wan Musa Tuan Tabal, Pernah Mengundang Perdebatan Hebat karya Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah

Senin, Maret 24, 2008

Sheikh Fadhil Banten, Rujukan Istana Johor

Sheikh Fadhil Banten atau Syeikh Kiyai Haji Fadhil bin Haji Abu Bakar al-Banten dilahirkan di Banten, Jawa Barat sekitar tahun 1287 Hijrah/1870 Masihi dan meninggal dunia di Bakri, Muar, Johor pada 29 Jamadilawal 1369 Hijrah/18 Mac 1950 Masihi, dikebumikan di Batu 28 Langa, Muar.Sebelum riwayat ini diteruskan, dirasakan perlu menjelaskan nama `Banten' kerana ada orang memperkata bahawa ulama yang diceritakan ini berasal dari `Bentan'. Hal ini terjadi hanyalah kerana ada orang yang tidak dapat membezakan antara Banten dengan Bentan. Banten, kadang-kadang disebut juga dengan Bantan, kadang-kadang Bantam. Banten pada zaman dulu mempunyai kerajaan sendiri. Setelah Indonesia merdeka ia dimasukkan ke dalam Propinsi Jawa Barat dan setelah reformasi, menjadi propinsi sendiri yang dinamakan Propinsi Banten.Ada pun Bentan adalah sebuah pulau di Kepulauan Riau, yang kedua terbesar sesudah Pulau Natuna. Bentan sangat penting dalam sejarah dan geografi, sama ada zaman kerajaan Melaka mahu pun zaman pembentukan kerajaan Riau-Lingga-Johor dan Pahang dan takluknya, zaman Riau-Johor dan terakhir sekali menjadi Riau-Lingga.Ulama yang dikisahkan ini berasal dari Banten bukan dari Bentan. Banten memang ramai melahirkan ulama yang terkenal, antara yang terkenal di seluruh dunia Islam ialah Syeikh Nawawi al-Bantani yang diakui oleh dunia Islam dengan gelar Imam Nawawi ats-Tsani (Imam Nawawi yang ke-2). Sedang dari Bentan hingga kini belum diketahui nama ulamanya, yang ada hanyalah ulama Riau yang berasal dari pulau-pulau lainnya. Antara ulama Riau yang mengajar di Mekah peringkat guru pada Fadhil ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga.

Pendidikan


Selain mendapat pendidikan dari kalangan keluarga sendiri, Fadhil juga memasuki pelbagai pondok pengajian di Banten. Sekitar usia tiga puluhan, barulah beliau melanjutkan pendidikannya di Mekah. Sewaktu masih berada di Banten lagi, Fadhil telah mengenal beberapa thariqat yang berada di Banten, antaranya ialah Thariqat Qadiriyah yang tersebar di seluruh Jawa yang dibawa oleh murid-murid Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar Sambas (lahir 1217 Hijrah/ 1802 Masihi, wafat 1289 Hijrah/1872 Masihi). Salah
seorang khalifahnya yang paling terkenal, yang berasal dari Banten ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani (wafat 18 Safar 1315 Hijrah/19 Julai 1897 Masihi). Thariqat Naqsyabandiyah yang tersebar di Banten juga berasal daripada ulama Sambas tersebut melalui Syeikh Abdul Karim al-Bantani. Oleh itu dipercayai bahawa Fadhil telah ditawajjuh dengan kedua-dua thariqat tersebut oleh Syeikh Abdul Karim al-Bantani, ulama Banten yang sangat terkenal itu. Setelah berada di Mekah, Fadhil menerima pula Thariqat Tijaniyah, walau bagaimana pun tidak jelas daripada siapa beliau menerima thariqat itu. Selain belajar, di Mekah beliau membantu saudara sepupunya Hajah Halimah mengurus jemaah haji.

Datang Ke Johor


Penghulu Mukim Langa bernama Haji Daud sangat tertarik pada keperibadian, keilmuan dan kerohanian yang ada pada Fadhil, maka penghulu itu berusaha memujuk ulama yang berasal dari Banten ini supaya datang ke Johor. Akhirnya hasrat Daud tercapai juga. Maka dalam tahun 1915 Masihi, Fadhil Banten sampai di Johor. Beliau mengajar di Kampung Langa, Muar. Selain pelbagai ilmu Islam yang asas seperti fardu ain, Fadhil lebih menekankan Wirid Khaujakan atau Khatam Khaujakan yang sangat terkenal dalam ajaran Thariqat Qadiriyah dan Thariqat Naqsyabandiyah.Fadhil melebarkan sayap dakwahnya bukan hanya di Kampung Langa tetapi juga termasuk dalam Bandar Maharani (Muar), Bakri, Bukit Kepong dan tempat-tempat lainnya. Pendek kata banyak surau dan masjid yang menjadi tempat beliau mengajar. Ajaran beliau dapat diterima oleh semua pihak termasuk Sultan Johor.


Sultan Johor Mohon Pertolongan

Perang dunia kedua meletus antara tahun 1939 hingga tahun 1945. Dalam masa darurat itulah Sultan Ibrahim, Sultan Johor merasa perlu menyelamatkan Kerajaan Johor, termasuk diri peribadi dan keluarganya dengan apa cara sekali pun. Atas nasihat beberapa insan yang arif, baginda mendekati seorang ulama sufi yang sangat mustajab doanya. Ulama yang dimaksudkan Syeikh Fadhil. Beliau tidak perlu didatangkan dari luar kerana beliau memang telah bermustautin di Johor. Baginda menitahkan Datuk Othman Buang, Pegawai Daerah Muar ketika itu untuk mencari dan menjemput ulama sufi itu datang ke istana baginda. Hajat Sultan Ibrahim itu dipersetujui oleh Syeikh Fadhil, namun walaupun sultan telah menyediakan sebuah rumah dekat dengan istana di Pasir Pelangi tetapi beliau lebih suka tinggal di Masjid Pasir Pelangi. Pada waktu malam beliau hadir di sebelah bilik peraduan Sultan Ibrahim membaca wirid untuk menjaga keselamatan sultan. Walau bagaimana pun untuk lebih mudah melakukan pelbagai amalan wirid dan munajat kepada Allah, beliau memilih masjid yang lebih banyak berkatnya dari rumah. Oleh itu Fadhil lebih banyak melakukannya di dalam masjid. Akhirnya Sultan Ibrahim memperoleh ketenangan jiwa kerana keberkesanan dan keberkatan doa Syeikh Fadhil. Selanjutnya perang dunia kedua selesai dan baginda memberikan anugerah kepada ulama sufi tersebut. Ustaz Haji Ahmad Tunggal dalam bukunya menyebut, ``Sultan telah menganugerahkan pangkat kepada Haji Fadhil, iaitu ia dilantik sebagai Mufti Peribadi Sultan. Jawatan ini berbeza dengan Mufti Kerajaan. Mufti Peribadi adalah bertanggungjawab kepada sultan. Ia memberi nasihat dan fatwa jika dikehendaki oleh sultan.''Selain anugerah yang berupa kedudukan itu, Sultan Ibrahim juga membiayai Fadhil dan isterinya menunaikan ibadah haji, dan memberikan hadiah-hadiah yang tidak terkira besar dan banyaknya. Sumbangan yang tiada terhingga besarnya kepada Sultan Ibrahim ialah beliau telah membuka pintu kebebasan seluas-luasnya kepada Kiyai Syeikh Fadhil untuk menubuhkan kumpulan-kumpulan Wirid Khaujakan di seluruh Kerajaan Johor tanpa sebarang halangan. Berdasarkan tulisan Ustaz Haji Ahmad Tunggal, peringkat awal pembentukan kumpulan tersebut di Pontian diketuai oleh Haji Ahmad Syah. Di Batu Pahat oleh Kiyai Saleh. Di Muar oleh Haji Abdul Majid dan di Mersing oleh Haji Siraj bin Marzuki.

Keturunan dan Murid

Daripada isteri yang pertama, Syeikh Fadhil memperoleh empat orang anak; seorang lelaki dan tiga perempuan. Anak lelakinya ialah Orang Kaya Penghulu Haji Abdul Hamid. Setelah isteri pertamanya meninggal dunia, beliau pindah ke Bandar Muar dan berkahwin lagi dengan seorang janda beranak dua. Kedua-duanya ialah Haji Othman bin Haji Azhari dan Haji Ali bin Haji Azhari yang meneruskan perjuangan Syeikh Fadhil. Antara murid Syeikh Fadhil ialah Sahibus Samahah Haji Ahmad Awang yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Johor. Murid dan anak tirinya, Haji Othman Azhari, dalam buku Amalan Wirid Khaujakan dan Huraiannya, pada tahun 1994 adalah sebagai Yang Dipertua Badan Kebajikan Jamaah Khaujakan, dan ramai lagi. Daripada buku Amalan Wirid Khaujakan dan Huraiannya oleh Ustaz Ahmad Tunggal yang memperoleh pendidikan di Universiti Al-Azhar, Mesir itu banyak perkara yang dapat kita ketahui. Antaranya bahawa terasasnya Badan Kebajikan Jamaah Khaujakan yang sangat meluas di seluruh Johor adalah bermula daripada Syeikh Fadhil. Amalan Wirid Khaujakan masih subur dan berkesinambungan di Johor seperti juga di beberapa tempat lain di seluruh dunia Islam.Pada pandangan penulis, walaupun ada golongan anti amalan sufi yang menuduh bahawa orang-orang sufi mengamalkan perkara-perkara bidaah dan khurafat, tuduhan melulu seperti itu tidak berasas sama sekali kerana Wirid Khaujakan dan beberapa amalan golongan sufi selainnya juga bersumberkan al- Quran dan as-sunah. Mereka yang beramal dengannya bukan terdiri daripada golongan awam saja tetapi juga termasuk ulama-ulama besar terkenal yang mampu membahas al-Quran dan hadis. Ia bukan diamalkan oleh orang-orang di dunia Melayu sahaja tetapi juga di tempat-tempat dalam belahan dunia. Penulis tidak sependapat dengan beberapa pandangan yang menuduh bahawa apabila beramal mengikut sufi mengakibatkan ketinggalan dalam membina kemajuan duniawi, kerana ternyata tidak sedikit golongan sufi yang menghasilkan karya, mencetuskan pemikiran yang bernas maju, menghasilkan sesuatu pemikiran baru pada setiap zaman dan lain-lain. Kebijakan Sultan Ibrahim yang memahami keadaan zaman darurat menghadapi huru-hara perang dunia kedua yang sukar diatasi dalam bentuk zahiri semata-mata, sehingga baginda memerlukan insan takwa seperti Syeikh Fadhil, patut dicontohi oleh pemimpin-pemimpin kita masa kini dan zaman-zaman yang akan datang. Setelah kita mengetahui dalam dunia sekarang bahawa nyawa seolah-olah tiada harganya, situasi dunia yang tiada ketentuannya, termasuk dunia Melayu juga, maka patutlah umat Islam Melayu memperbanyak zikir, wirid, selawat dan lain-lain sejenisnya demi kebaikan dan ketahanan diri Muslimin dan dunia Melayu sejagat.

Sumber:
Akhbar Utusan Malaysia, ruangan Ulama Nusantara, Sheikh Fadhil Banten, Penyebar Wirid Khaujakan Di Johor karya Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah

Minggu, Maret 23, 2008

Tok Sheikh Jarum, Tajam Fikirannya Umpama Jarum

Tok Sheikh Jarum atau nama penuhnya ialah Haji Wan Muhammad ldris bin Haji Wan Jamal dilahirkan pada tahun 1266 Hijrah bersamaan 1849 Masihi. Beliau dilahirkan di Kampung Bendang, Daerah Jaha dalam Wilayah Yala, Patani.
Gelaran 'Jarum' di hujung nama Haji Wan Muhammad ldris dikatakan berpunca dari peristiwa sewaktu Raja Patani mengumpul beberapa orang ulama di istananya untuk berbincang masalah ´hukum rejam´ dalam Islam. Ketika Raja Patani meminta Haji Wan Muhammad ldris memberikan pendapat, ulama yang paling muda itu dapat menjawab dengan pintar dan tepat. Ketajaman fikiran yang difikirkan oleh raja seperti 'Jarum' itulah menyebabkan baginda menggelarnya, 'Tok Sheikh Jarum'.

Berdasarkan sumber kedua, iaitu catatan yang diperolehi dari cucunya, Haji Wan Muhammad ldris adalah berasal dari keturunan ´Al-Jarmi´ di Hadhramaut, Tanah Arab. Di dalam catatan tersebut tertulis :"Sheikh ldris atau Sheikh Jarum bin Jamal masyhur dengan panggilan Wan ldris bin Wan Abdul Jamal bin Abdul Latif bin Sheikh Muhammad Shamsuddin bin Muhammad Fakeh bin Muhammad Yassin bin lbrahim Al-Hadharamaut bin lbar Hadharamaut Al-Jarmi". Salah seorang anak Tok Sheikh Jarum yang terkenal yang memakai gelaran ini ialah Haji Abdul Rahman Al-Jarum.

Tok Sheikh Jarum mula mempelajari pelajaran agama Islam dari gurunya yang juga sebagai ayah angkatnya bernama Haji Minai atau lebih dikenali dengan panggilan Tuan Minai atau Tok Sheikh Minai iaitu pengarang kitab Kashfal-Litham dan Aqidat Al-Najin yang sangat terkenal. Beliau telah membawa Tok Sheikh Jarum ke Mekah untuk menunaikan haji. Apabila beliau kembali ke tanahair, Tok Sheikh Jarum tidak ikut serta kerana beliau mahu mendalami pengajiannya di dalam bidang bahasa Arab, Usuluddin, Tafsir dan Fiqah.

Sekembalinya dari Mekah, Tok Sheikh Jarum mengajar beberapa tahun di pondok Tuan Minai di Bendang Dalam, Patani. Kali kedua beliau berangkat ke Mekah ialah pada tahun 1895 dengan ketiga-tiga orang isterinya dan dua orang muridnya yang berasal dari Kedah iaitu Haji Mohamad Salleh Haji ldris dan Haji Muhammad Taib. Kali ini beliau tidak tinggal lama di Mekah kerana cita-citanya ingin pulang ke tanahair untuk mengasaskan perkampungan pondoknya sendiri.

Pada awal tahun 1900, Tok Sheikh Jarum bersama isteri-isterinya meninggalkan Mekah dan berniat untuk singgah di Kedah. Di Kedah, beliau tinggal di rumah seorang muridnya, Haji Awang di Pondok Kubang Siam. Berita ketibaan ulama Patani di kampung itu dan kemasyhurannya telah sampai ke pengetahuan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah melalui Sheikh Ahmad Daim, Kadi Besar Kedah waktu itu. Baginda dikatakan meminta supaya Tok Sheikh tinggal menetap di Kedah untuk mengembangkan syiar Islam di samping diberi tugas menjadi Guru Agama di istana. Permintaan baginda itu diterima oleh Tok Sheikh Jarum kerana bersesuaian dengan cita-citanya.

Tok Sheikh Jarum diberi tempat tinggal percuma di bandar Alor Star. Tetapi disebabkan suasana kesibukan dan kebisingan di bandar tidak sesuai baginya tinggal terus di situ, maka beliau memohon suatu tempat atau kawasan untuk membolehkan beliau membangunkan sekolah pondoknya. Permohonannya dibenarkan dan setelah diberi, Tok Sheikh Jarum memohon suatu tempat yang terletak di Derga. Di situlah beliau meneroka dan mendirikan perkampungan pondoknya dengan bantuan orang-orang dari Kanchut, Alor Star.

Dalam beberapa tahun sahaja, purata jumlah pelajarnya bertambah setiap tahun sehingga pondoknya meningkat kepada dua ratus buah. Oleh kerana pertambahan tersebut, Tok Sheikh Jarum membahagikan kawasan pondoknya kepada dua bahagian iaitu ´pondok luar´ dan ´pondok dalam´. Di samping mengajar di pondoknya, beliau juga kerap ke istana untuk mengajar agama kepada putera-puteri diraja. Setiap kali ke istana, beliau menaiki kereta kuda khas yang datang mengambil dan menghantarnya pulang.

Mata pelajaran yang diajar oleh Tok Sheikh Jarum di pondoknya termasuklah Usuluddin, Tafsir, Fiqah dan bahasa Arab. Anak-anak murid Tok Sheikh Jarum ramai yang berjaya menjadi ulama terkenal di samping menjadi imam dan ada pula yang menurut jejaknya mengasaskan pondok masing-masing.

Tok Sheikh Jarum merupakan salah seorang ulama yang pernah dipilih menduduki barisan Majmak Ulama Dua Belas berpusat di Masjid Zahir, Alor Star yang dipengerusikan oleh Syeikhul-lslam Kedah, Haji Wan Sulaiman Wan Sidek. Mereka berkumpul setiap malam Jumaat bermuzakarah tentang agama dan mengeluarkan sesuatu fatwa.

Selain dari bidang agama, Tok Sheikh Jarum juga sering diminta mengubati orang-orang sakit dan beliau juga arif dalam melihat tuah ayam dan burung. Kebetulan pada waktu Tok Sheikh Jarum mendirikan pondoknya, Derga merupakan pusat atau gelanggang menyabung ayam yang terkenal di Alor Star.

Tok Sheikh Jarum disifatkan sebagai seorang ulama yang bertindak tegas dan tetap pendirian. Satu contoh yang dapat dikaitkan dengan sifat tersebut ialah penghijrahan beliau ke Kedah disebabkan tidak bersetuju di atas dasar pemerintahan Thai yang memaksanya mengorek sebatang taliair di kampungnya.

Kira-kira sepuluh tahun ia diasaskan, pada tahun 1909 pondok itu ditakdirkan musnah dalam suatu kebakaran besar. Punca kebakaran itu dihubungkaitkan dengan pembakaran ikan terubuk kerana boleh dikatakan setiap hari rata-rata penghuni pondok itu membakar ikan terubuk. Kebakaran yang amat dahsyat itu tidak dapat dicegah kerana ianya berlaku dalam sekelip mata. Kesan yang masih tinggal dan dapat disaksikan hingga ke hari ini ialah tiga buah telaga batu di kawasan itu. Salah sebuah daripadanya masih dapat digunakan lagi airnya.

Pihak kerajaan bertindak segera membina rumah-rumah panjang di kawasan itu untuk para penghuni dan juga tempat belajar agar pengajian dapat diteruskan. Dua tahun kemudian iaitu pada 6 April 1911, Tok Sheikh Jarum meninggal dunia ketika berusia 63 tahun. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Derga. Pondok yang diasaskannya beransur-ansur menemui zaman kejatuhannya.

Sehingga kini, walaupun Tok Sheikh Jarum tiada lagi, boleh dikatakan ramai anak cucunya tergolong dalam kumpulan orang-orang yang dihajati oleh beliau, antaranya termasuklah:
1. Tuan Haji Abdul Rahman AI-Jarumi, anaknya yang menjadi Guru Agama Diraja di zaman Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Beliau meninggal pada tahun 1954.
2. Tuan Haji ldris bin Haji Abdul Rahman. Cucunya yang mengasaskan Pondok Alor Mengkudu, Alor Star.
3. Tuan Haji Hussin bin Haji Abdul Rahman. Cucunya yang pernah menjadi imam Masjid Zahir, Alor Star.
4. Dato´ Sheikh Tajuddin bin Haji Abdul Rahman (Dato´ Mursyid Diraja). Cucunva yang kini dilantik sebagai Ahli Majlis Fatwa di Jabatan Agama Islam Kedah dan juga selaku Pengetua Sekolah Menengah Nahdhatul Hasanah, Melele, Jitra.
5. Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Mohd. Noor. Cucunya yang juga seorang ´Hafiz´. Meninggal di Mekah pada tahun 1987.
6. Tuan Haji Nawawi bin Haji Ahmad. Cucunya yang pernah bertugas sebagai Nazir Sekolah-sekolah Agama Kedah. Terkenal sebagai seorang ´Qari´ dan Penggubah Nasyid, juga seorang pendakwah yang berpengaruh. Banyak mengasaskan sekolah-sekolah agama termasuk Tarbiatul Banat di Seberang Perak, Alor Star bersama Ustaz Haji Saad bin Said, pada tahun 1948 yang kemudiannya dipindahkan ke Jalan Pegawai, Alor Star pada tahun 1958 dengan memakai nama Attarbiatul-lslamiah. Tuan Haji Nawawi meninggal pada 10 April 1985.
7. Tuan Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Rahman. Cucunya iaitu seorang guru bersara dari Maktab Mahmud, Alor Star. Kini menjadi imam Masjid Al-lrfan, Derga.
8. Tuan Sheikh Abdul Razak bin Haji Yusof, cucunya yang berkelulusan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Kini bertugas sebagai Pegawai Pendidikan Sekolah-sekolah Agama di Jabatan Agama Islam Kedah.
9. Fadzil bin Mohd. Noor (Allahyarham). Cicitnya yang berkelulusan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Pernah bertugas sebagai pensyarah di universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur. Bekas Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas).
10. Ustaz Muhamad Amin Al-Jarumi, cicitnya yang kini menjadi Pensyarah di Universiti Teknologi Mara.

Selain nama-nama tersebut, masih terdapat cicitnya yang bernama Haji Abdullah bin Haji ldris atau lebih dikenali dengan nama Haji Abdullah Sarah yang membuka sebuah perkampungan pondok terbesar di Kampung Sarah, Patani. Sistem pengajaran dan pembelajaran di pondoknya masih mengekalkan ciri ciri sistem tradisional.

Jumat, Maret 21, 2008

Syeikh Nawawi al-Bantani, Digelar Imam Nawawi Kedua

Nama Imam Nawawi tidak asing lagi bagi dunia Islam terutama dalam lingkungan ulama-ulama Syafi'iyah. Ulama ini sangat terkenal kerana banyak karangannya yang dikaji pada setiap zaman dari dahulu sampai sekarang. Pada penghujung abad ke-18 lahir pula seorang yang bernama Nawawi di Banten, Jawa Barat. Setelah dia menuntut ilmu yang sangat banyak, mensyarah kitab-kitab bahasa Arab dalam pelbagai disiplin ilmu yang sangat banyak pula, maka dia digelar Imam Nawawi ats-Tsani, ertinya Imam Nawawi Yang Kedua. Orang pertama memberi gelaran demikian ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Gelaran yang diungkapkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam seuntai gubahan syairnya itu akhirnya diikuti oleh semua orang yang menulis riwayat ulama yang berasal dari Banten itu. Sekian banyak ulama dunia Islam sejak sesudah Imam Nawawi yang pertama (wafat 676 Hijrah/1277 Masehi) sampai sekarang ini belum ada orang lain yang mendapat gelaran Imam Nawawi ats-Tsani, kecuali Syeikh Nawawi, ulama kelahiran Banten yang dibicarakan ini. Rasanya gelaran demikian memang dipandang layak, tidak ada ulama sezaman dengannya mahupun sesudahnya yang mempertikai autoritinya dalam bidang ilmiah keislaman menurut metode tradisional yang telah wujud zaman berzaman dan berkesinambungan.

Sungguhpun Syeikh Nawawi ats-Tsani al-Bantani diakui alim dalam semua bidang ilmu keislaman, namun dalam dunia at-thariqah ash-shufiyah, gurunya Syeikh Ahmad Khathib Sambas tidak melantik beliau sebagai seorang mursyid Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, tetapi yang dilantik ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani, iaitu ayah saudara kepada Syeikh Nawawi al-Bantani, yang sama-sama menerima thariqat itu kepada Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Apakah sebabnya terjadi demikian hanya
diketahui oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas dan Syeikh Nawawi al-Bantani. Syeikh Nawawi al-Bantani mematuhi peraturan yang diberikan itu, sehingga beliau tidak pernah mentawajuh/membai'ah seseorang muridnya walaupun memang ramai murid beliau yang menjadi ulama besar yang berminat dalam bidang keshufian.

Lahir dan Pendidikan

Nama lengkapnya adalah Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar ibnu Arabi bin Ali al-Jawi al-Bantani. Beliau adalah anak sulung seorang ulama Banten, Jawa Barat, lahir pada tahun 1230 Hijrah/1814 Masehi di Banten dan wafat di Mekah tahun 1314 Hijrah/1897 Masehi. Ketika kecil, beliau sempat belajar kepada ayahnya sendiri, dan di Mekah belajar kepada beberapa ulama terkenal pada zaman itu, di antara mereka yang dapat dicatat adalah sebagai berikut: Syeikh Ahmad an-Nahrawi, Syeikh Ahmad ad-Dumyati, Syeikh Muhammad Khathib Duma al-Hanbali, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Maliki, Syeikh Zainuddin Aceh, Syeikh Ahmad Khathib Sambas, Syeikh Syihabuddin, Syeikh Abdul Ghani Bima, Syeikh Abdul Hamid Daghastani, Syeikh Yusuf Sunbulawani, Syeikhah Fatimah binti Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Yusuf bin Arsyad al-Banjari, Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman al-Falimbani, Syeikh Mahmud Kinan al-Falimbani, Syeikh Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani. Demikian saja para gurunya yang dapat dicatat daripada berbagai-bagai sumber, dan berkemungkinan banyak yang belum dapat dicatat di sini.

Dipercayai beliau datang ke Mekah dalam usia 15 tahun dan selanjutnya setelah menerima pelbagai ilmu di Mekah, beliau meneruskan pelajarannya ke Syam (Syiria) dan Mesir. Setelah keluar dari Mekah kerana menuntut ilmu yang tidak diketahui berapa lamanya, lalu beliau kembali lagi ke Mekah. Keseluruhan masa beliau tinggal di Mekah dari mulai belajar, mengajar dan mengarang hingga sampai kemuncak kemasyhurannya lebih dari setengah abad lamanya. Diriwayatkan bahawa setiap kali beliau mengajar di Masjidil Haram sentiasa dikelilingi oleh pelajar yang tidak kurang daripada dua ratus orang. Kerana sangat terkenalnya beliau pernah diundang ke Universiti al-Azhar, Mesir untuk memberi ceramah atau fatwa-fatwa pada beberapa perkara yang tertentu.

Belum jelas tahun berapa beliau diundang oleh ahli akademik di Universiti al-Azhar itu, namun difahamkan bahawa beliau sempat bertemu dengan seorang ulama terkenal di al-Azhar (ketika itu sebagai Syeikhul Azhar), iaitu Syeikh Ibrahim al-Baijuri (wafat 1860 Masehi) yang sangat tua dan lumpuh kerana tuanya. Kemungkinan Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Syeikhul Azhar yang terkenal itu termasuk salah seorang di antara guru kepada Syeikh Nawawi al-Bantani.

Murid-Murid

Diriwayatkan bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani mengajar di Masjidil Haram menggunakan bahasa Jawa dan Sunda ketika memberi keterangan terjemahan kitab-kitab bahasa Arab. Barangkali ulama Banten yang terkenal itu kurang menguasai bahasa Melayu yang lebih umum dan luas digunakan pada zaman itu. Oleh sebab kurang menguasai bahasa Melayu, maka tidak berapa ramai muridnya yang berasal dari luar pulau Jawa (seperti Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu dan Patani). Tetapi Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa beliau menerima satu amalan wirid daripada Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani, dan Syeikh Abdul Qadir itu menerimanya daripada Syeikh Nawawi al-Bantani. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II) sebenarnya bukan peringkat murid kepada Syeikh Nawawi al-Bantani tetapi adalah peringkat sahabatnya. Syeikh Nawawi al-Bantani (1230 Hijrah/1814 Masehi) lebih tua sekitar empat tahun saja daripada Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II, 1234 Hijrah/1817 Masehi). Adapun murid Syeikh Nawawi al-Bantani di pulau Jawa yang menjadi ulama yang terkenal sangat ramai, di antara mereka ialah, Kiyai Haji Hasyim Asy'ari, Pengasas Pondok Pesantren Tebuireng, Jawa Timur, bahkan beliau ini dianggap sebagai bapa ulama Jawa dan termasuk pengasas Nahdhatul Ulama. Murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang terkenal pula ialah Kiyai Haji Raden Asnawi di Kudus, Jawa Tengah, Kiyai Haji Tubagus Muhammad Asnawi di Caringin, Purwokerto, Jawa Barat, Syeikh Muhammad Zainuddin bin Badawi as-Sumbawi, Syeikh Abdus Satar bin Abdul Wahhab as-Shidqi al-Makki, Sayid Ali bin Ali al-Habsyi al-Madani dan ramai lagi.

Salah seorang cucunya, yang juga mendapat pendidikan sepenuhnya daripada beliau ialah Syeikh Abdul Haq bin Abdul Hannan al-Jawi al-Bantani (1285 Hijrah/1868 Masehi - 1324 Hijrah/1906 Masehi). Pada halaman pertama Al-Aqwalul Mulhaqat, Syeikh Abdul Haq al-Bantani menyebut bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani adalah orang tuanya (Syeikhnya), orang yang memberi petunjuk dan pembimbingnya. Pada bahagian kulit kitab pula beliau menulis bahawa beliau adalah `sibthun' (cucu) an-Nawawi Tsani. Selain orang-orang yang tersebut di atas, sangat ramai murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang memimpin secara langsung barisan jihad di Celegon melawan penjajahan Belanda pada tahun 1888 Masehi. Di antara mereka yang dianggap sebagai pemimpin pemberontak Celegon ialah: Haji Wasit, Haji Abdur Rahman, Haji Haris, Haji Arsyad Thawil, Haji Arsyad Qasir, Haji Aqib dan Tubagus Haji Ismail. Semua mereka adalah murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang dikaderkan di Mekah.

Karya-Karya

Berapa banyakkah karya Syeikh Nawawi ats-Tsani al-Bantani yang sebenarnya belum diketahui dengan pasti. Barangkali masih banyak yang belum masuk dalam senarai yang ditulis oleh penulis-penulis sebelum ini. Saya telah memiliki karya ulama Banten ini sebanyak 30 judul. Judul yang telah saya masukkan dalam buku berjudul Katalog Besar Persuratan Melayu, sebanyak 44 judul. Semua karya Syeikh Nawawi al-Bantani ditulis dalam bahasa Arab dan merupakan syarahan daripada karya orang lain. Belum ditemui walau sebuah pun karyanya yang diciptakan sendiri. Juga belum ditemui karyanya dalam bahasa Melayu, Jawa ataupun Sunda. Oleh sebab kekurangan ruangan di antara 44 judul di bawah ini saya catat sekadarnya saja, ialah:
1. Targhibul Musytaqin, selesai Jumaat, 13 Jamadilakhir 1284 Hijrah/1867 Masehi. Cetakan awal Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311 Hijrah.
2. Fat-hus Shamadil `Alim, selesai awal Jamadilawal 1286 Hijrah/1869 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah Daril Kutubil Arabiyah al-Kubra, Mesir 1328 Hijrah.
3. Syarah Miraqil `Ubudiyah, selesai 13 Zulkaedah 1289 Hijrah/1872 Masehi. Cetakan pertama Mathba'ah al-Azhariyah al-Mashriyah, Mesir 1308 Hijrah.
4. Madarijus Su'ud ila Iktisa'il Burud, mulai menulis 18 Rabiulawal 1293 Hijrah/1876 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, akhir Zulkaedah 1327 Hijrah.
5. Hidayatul Azkiya' ila Thariqil Auliya', mulai menulis 22 Rabiulakhir 1293 Hijrah/1876 Masehi, selesai 13 Jamadilakhir 1293 Hijrah/1876 Masehi. Diterbitkan oleh Mathba'ah Ahmad bin Sa'ad bin Nabhan, Surabaya, tanpa menyebut tahun penerbitan.
6. Fat-hul Majid fi Syarhi Durril Farid, selesai 7 Ramadan 1294 Hijrah/1877 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1304 Hijrah.
7. Bughyatul `Awam fi Syarhi Maulidi Saiyidil Anam, selesai 17 Safar 1294 Hijrah/1877 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah al-Jadidah al-'Amirah, Mesir, 1297 Hijrah.
8. Syarah Tijanud Darari, selesai 7 Rabiulawal 1297 Hijrah/1879 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah `Abdul Hamid Ahmad Hanafi, Mesir, 1369 Masehi.
9. Syarah Mishbahu Zhulmi `alan Nahjil Atammi, selesai Jamadilawal 1305 Hijrah/1887 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1314 Hijrah atas biaya saudara kandung pengarang, iaitu Syeikh Abdullah al-Bantani.
10. Nasha-ihul `Ibad, selesai 21 Safar 1311 Hijrah/1893 Masehi. Cetakan kedua oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1323 Hijrah.
11. Al-Futuhatul Madaniyah fisy Syu'bil Imaniyah, tanpa tarikh. Dicetak di bahagian tepi kitab nombor 10, oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1323 Hijrah.
12. Hilyatus Shibyan Syarhu Fat-hir Rahman fi Tajwidil Quran, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1332 Hijrah.
13. Qatrul Ghaits fi Syarhi Masaili Abil Laits, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1321 Hijrah.
14. Mirqatu Su'udi Tashdiq Syarhu Sulamit Taufiq, tanpa tarikh. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah 1304 Hijrah.
15. Ats-Tsimarul Yani'ah fir Riyadhil Badi'ah, tanpa tarikh. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Bahiyah, Mesir, Syaaban 1299 Hijrah. Dicetak juga oleh Mathba'ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, 1342 Hijrah.
16. Tanqihul Qaulil Hatsits fi Syarhi Lubabil Hadits, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, tanpa tarikh.
17.Bahjatul Wasail bi Syarhi Masail, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Haramain, Singapura-Jeddah, tanpa tarikh.
18. Fat-hul Mujib Syarhu Manasik al- 'Allamah al-Khatib, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1328 Hijrah.
19. Nihayatuz Zain Irsyadil Mubtadi-in, tanpa tarikh. Diterbitkan oleh Syarikat al-Ma'arif, Bandung, Indonesia, tanpa tarikh.
20. Al-Fushushul Yaqutiyah `alar Raudhatil Bahiyah fi Abwabit Tashrifiyah, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Bahiyah, Mesir, awal Syaaban 1299 Hijrah.

Sumber:
Akhbar Utusan Malaysia, ruangan Ulama Nusantara, Syeikh Nawawi al-Bantani, Digelar Imam Nawawi Kedua karya Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah

Rabu, Maret 19, 2008

Salam Maulidur Rasul 1429H


Selamat menyambut Maulidur Rasul 1429H saya ucapkan buat seluruh kaum muslimin dan muslimat. Sempena Maulidur Rasul kali ini, biarlah sama-sama kita kembali menyusuri sirah Rasulullah saw, meneladani sifat & peribadi Rasulullah saw dan mengikuti segala sunnah Rasulullah saw dengan sebenarnya. Sebagai menghormati Maulidur Rasul ini, saya akan perturunkan sirah mengenai kelahiran, nama & nasab Rasulullah saw. Ikuti perjalanan yang menarik selebihnya sempena Maulidur Rasul ini lebih lanjut di blog sy yg khusus mengenai sirah Rasulullah saw di http://uswahhasanah.blogspot.com

Kelahiran Rasulullah SAW

1. Allah Ta'ala berfirman: "Sungguh Allah telah memberi kurnia kepada orang-orang yang beriman ketika Allah mengutus di antara mereka seorang rasul dari golongan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, membersihkan (jiwa) mereka, dan mengajarkan mereka Al Kitab dan Al Hikmah dan sebelum itu, mereka benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata." (QS. Ali Imran:164)

2. Allah Ta'ala berfirman: "Katakanlah: "Sesungguhnya saya ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku bahwa sesungguhnya Tuhan kamu adalah Tuhan yang Esa." (QS. Al Kahfi:11)

3. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam pernah ditanya tentang puasa pada hari Senin. Beliau menjawab: "Pada hari itulah aku di lahirkan, lalu diangkat menjadi Rasul dan diturunkan Al-Qur'an kepadaku." (HR.Muslim)

4. Rasullauh Shallallahu 'Alaihi wa Sallam dilahirkan pada hari Senin bulan Rabi'ul Awal di Makkah Al Mukarramah tahun Al Fiil (571 M), berasal dari kedua orang tua yang sudah ma'ruf. Bapaknya bernama Abdullah bin Abdul Muthallib dan ibunya bernama Aminah binti Wahb. Kakek beliau memberinya nama Muhammad. Bapak beliau meninggal dunia sebelum kelahirannya.

5. Sesungguhnya termasuk kewajiban seorang muslim adalah hendaknya dia mengetahui kedudukan Rasul yang mulia ini, berhukum dengan Al Qur'an yang diturunkan kepadanya, berakhlak dengan akhlaknya serta mengutamakan dakwah kepada Tauhid yang mana risalahnya dimulai dengannya sesuai firman Allah Ta'ala:"Katakan: Sesungguhnya saya hanya menyembah Rabbku dan saya tidak mempersekutukan sesuatupun dengan-Nya." (QS. Al-Jin:20)

Nama dan Nasab Rasulullah SAW

1. Allah Ta'ala berfirman: "Muhammad adalah Rasulullah." (QS. AlFath:29)

2. Rasullullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda: "Saya memiliki lima nama: Saya Muhammad, saya Ahmad, saya Al-Mahi yang Allah menghapus kekufuran denganku, saya Al-Hasyir yang manusia dikumpulkan di atas kedua kakiku, dan saya Al-'Aqib yang tidak ada Nabi pun setelahnya." (Muttafaq 'Alaih). Dan Allah menamakannya dengan "Raufur Rahim"

3. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam mengenalkan dirinya kepada kita dengan beberapa nama: "Saya Muhammad, saya Ahmad, saya Al Muqaffy (Nabi terakhir) dan Al Hasyir, saya Nabi At Taubah, Nabi ArRahman." (HR. Muslim)

4. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda: "Tidaklah kamu heran bagaimana Allah memalingkan dari saya cacian orang-orang Quraisy dan laknat mereka? Mereka mencaci dan melaknat saya dengan sesutu) yang sangat tercela, dan saya adalah Muhammad." (HR. Bukhari)

5. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda : "Sesungguhnya Allah telah memilih dari keturunan Ismail Kinayah, dan dari Kinayah Allah memilih Quraisy, dari Quraisy Allah memilih bani Hasyim, dan dari bani Hasyim Allah memilih saya." (HR. Muslim)

6. Dan Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda yang artinya: "Namailah diri kalian dengan nama-nama saya, tapi janganlah kalian berkuniah (mengambil gelar) dengan kuniah saya. Karena sesungguhnya saya adalah Qasim sebagai pembagi diantara kalian." (HR. Muslim)

Rasulullah SAW, Seolah-olah Kamu Melihatnya

~ Bahawasanya Rasulullah saw adalah manusia yang paling tampan wajahnya, paling bagus bentuk penciptaannya, tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek. (Muttafaq alaih)

~ Bahawasanya Rasulullah saw berkulit putih dan berwajah elok. (Muslim)

~ Bahawasanya badan Rasulullah saw tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu pendek, dadanya bidang, janggutnya lebat, rambutnya sampai ke daun telinga, aku (sahabat) pernah melihatnya berpakaian merah dan aku tidak pernah melihat yang lebih indah daripadanya. (Bukhari)

~ Bahawasanya wajah Rasulullah bulat bagaikan matahari dan bulan. (Muslim)

~ Bahawasanya apabila Rasulullah saw gembira, wajahnya menjadi bercahaya seolah-olah seperti belaian bulan dan kami semua mengetahui yang demikian itu. (Muttafaq alaih)

~ Bahawasanya tidaklah Rasulullah saw tertawa kecuali dengan senyum dan apabila kamu memandangnya maka kamu akan menyangka bahawa baginda memakai celak pada kedua matanya, padahal baginda tidak memakai celak. (Tirmizi. Hasan)

~ Dari Aisyah ra, dia berkata

"Tidak pernah aku melihat Rasulullah tertawa terbahak-bahak sehingga kelihatan batas kerongkongnya. Akan tetapi tertawa baginda adalah dengan tersenyum". (Bukhari)

~ Dari Jabir bin Samurah ra, dia berkata:

"Aku pernah melihat Rasulullah saw pada malam bulan purnama. Aku memandang baginda sambil memandang bulan. Baginda mengenakan pakaian merah. Maka menurutku, baginda lebih indah daripada bulan." (Tirmizi, dia berkata: Hadis hasan gharib. Dan disahihkan oleh al-Hakim serta disetujui oleh az-Zahabi)

Sumber:
- Mengenal Peribadi Rasulullah SAW karya
Syeikh Muhammad Jamil Zainu
- http://uswahhasanah.blogspot.com