Pages

Rabu, Mei 30, 2012

Tanda Kiamat: Banyaknya Terjadi Pembunuhan

Di antara tanda-tanda kiamat yang dikatakan Nabi SAW adalah banyaknya terjadi pembunuhan. Orang yang membunuh tidak mengetahui apa sebabnya ia membunuh, orang yang dibunuh tidak mengetahui apa kesalahannya hingga ia dibunuh.

Demi Zat yang jiwaku ada di tanganNya, dunia tidak akan pergi (kiamat) hingga datang suatu masa, di mana seseorang yang membunuh, tidak mengetahui apa sebabnya ia membunuh, begitu juga orang yang dibunuh tidak mengetahui apa kesalahannya (hingga ia dibunuh). Maka ada (sahabat) bertanya, "Mengapa hal itu boleh terjadi?" Baginda menjawab, "Al-Haraj (pembunuhan), yang membunuh dan yang dibunuh semuanya masuk neraka." (Muslim)

Keadaan ini sama terjadi dengan suasana di Syria pada hari ini. Ramai rakyatnya dibunuh oleh pemimpinnya yang kita tidak ketahui kenapa dia ingin membunuh rakyatnya dengan sesuka hati. Sudah ramai yang menjadi korban di tangan seorang pemimpin Muslim yang mungkin tidak punya hati nurani yang nafsu kejahatan telah menguasai seluruh tubuhnya. Apa yang mampu kita lakukan adalah dengan membanyakkan berdoa dan melakukan doa qunut Nazilah seperti yang dianjurkan oleh Nabi SAW.

Membaca doa qunut (nazilah) dalam keadaan-keadaan tertentu merupakan bantuan berupa doa kepada sesama umat Islam. Sedangkan mendoakan musuh kaum musimin supaya hancur telah dicontohkan dari Rasulullah SAW dengan cara berdoa (berqunut nazilah) ketika solat, tepatnya setelah membaca sami’allahu liman hamidah pada rakaat terakhir.

Ditulis dan disusun Muhammad Abdulloh Suradi,
30 Mei 2012.

Rujukan Hadith: Misteri Akhir Dunia karya Dr Muhammad bin Abdurrahman al-Arifi 
Rujukan lain: Koreksi Total Ritual Shalat

Rabu, Mei 23, 2012

Drs. Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris, Tokoh dan Penulis Buku Hadith di Malaysia

Seorang tokoh yang sederhana hidupnya dan amat meminati bidang ilmu hadith dan sanggup berbakti demi penyebaran hadith Baginda s.a.w. hingga ke akhir hayatnya.


Drs. Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris dilahirkan pada 30 Januari 1933 di Kampung Gaal, Pasir Puteh, Kelantan.


Pendidikan


Setelah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Gaal, Pasir Puteh seperti kanak-kanak yang sebaya dengannya. Beliau kemudiannya telah melanjutkan pengajian agama pondok Wakaf Bunut, Pasir Puteh Kelantan. Manakala di peringkat sekolah menengah pula beliau telah melanjutkan pelajaran di Kota Bharu di Jami’ Merbau al-Ismaili dari tahun 1949 hingga tahun 1945. Semasa di Jamie’ Merbau al-Ismaili beliau merupakan salah seorang murid yang pintar dengan mendapat Syahadah Ibtida’iyyah (Mumtaz) dengan pencapaian keseluruhan sebanyak 81.2.18.


Setelah menamatkan pengajian peringkat Thanawi di Jami’ Merbau, beliau telah menyambung pengajian di peringkat Ijazah Perguruan Tinggi Agama Islam Negeri (P.T.A.I.N) Jogjakarta, Indonesia pada tahun 1955 dengan mengikuti kursus pra perguruan selama 2 tahun hingga 1957. Setelah itu beliau menyambung pengajian lagi di Fakulti Syariah, Institut Agama Islam Negeri (IAIN) al-Jami’ah al-Islamiyah, Jogjakarta Indonesia pada tahun 1957. Semasa di IAIN itu, beliau telah mengikuti kursus Quda’ selama beberapa tahun. Akhirnya beliau berjaya meraih gelar Sarjana Agama dari Fakulti Syariah setelah tamat pengajian.


Semasa menuntut di IAIN, minat beliau dalam bidang ilmu hadith mula membara apabila beliau amat terpengaruh dengan guru-gurunya seperti Prof Dr. T.M. Hasbi as-Siddiqi yang juga banyak memberi sumbangandalam bidang penulisan buku-buku hadith. Selain dari Prof Dr. T.M. Hasbi as-Siddiqi beliau juga banyak berguru dengan tokoh-tokoh besar seperti Prof Dr Hamka, Profesor Qahar Muzakkir, Prof Mokhtar Ali, Dan Pro Dr Abmad Shalabi dari Mesir


Keperibadian


Beliau merupakan seorang bapa yang penyayang terhadap anak-anak dan keluarga.


Seorang kenalan rapat beliau, En. Nik Mohd Yusoff menyatakan, “Drs. Abdul Ghani Azmi adalah seorang yang tekun dan tetap pendirian dalam sesuatu perkara yang dilakukannya.” Malah beliau amat komited dengan tugas dan minat yang mendalam terhadap ilmu hadith sehinggakan beliauakan memperuntukan masa pada setiap hari untuk menulis khususnya dalam bidang hadith.


Tidak Fanatik Mazhab


Drs Abdul Ghani sempat mempertahankan tesisnya yang bertajuk “Masalah Pidana Mati Kerana Riddah Dalam Hukum Islam” pada 20 September 1963 di hadapan suatu kumpulan yang terdiri dari tiga orang pemeriksa iaitu Prof T.M. Hasbi as-Siddiqi, A. Hanafi (M.A.) dan Wasith Aulawiy (M.A.), tepat pada saat beliau dan rakan-rakanya dipanggil pulang justeru konfrantasi yang tengah mengamuk.


Selepas merangkul gelar ‘Drs.’ Abdul Ghani dikenal sebagai seorang anak muda yang tidak fanatic mazhab. Sangat jelas betapa semasa di Indonesia beliau telah terpengaruh banyak oleh guru-gurunya, di samping terbawa-bawa arus pemikiran pemurnian Islam gaya Muhammadiyah yang pada waktu itu sangat dominan di Jogjakarta.


Ketegasannya Terhadap Hadith-Hadith Dhaif dan Maudhu’


Ciri menarik daripada personaliti beliau ialah ketegasannya atau katakanlah keterbukaannya dalam menentang amalan-amalan khurafat dan bid’ah dalam masyarakat umat Islam. Beliau pernah menyatakan kekesalannya tentang banyaknya penggunaan hadith-hadith dhaif dan malahan maudhu’ dalam kehidupan keagamaan umat Islam, yang akibatnya tidak lain ialah: berlakunya penyimpangan amalan dari ajaran atau sunnah Rasulullah saw.


“Saya sangat menyayangkan apabila institusi agama yang sepatutnya berperanan meluruskan amalan umat, tiba-tiba menjadi penyebar hadith dhaif atau maudhu’ pula.” Kata-kata yang pernah diluahkannya.


Menurut beliau, hadis-hadis seperti ini banyak ditemui dalam khutbah-khutbah Jumaat dan khutbah nikah terbitan Majlis-Majlis Agama Islam negeri.


Seperti inilah biasanya nada ucapan beliau dan di atas keyakinannya yang seperti ini, selepas bersara, beliau berusaha mengumpul, mengkaji dan menyemak hadith-hadith yang kemudiannya diterbitkan dalm bentuk buku dan sesetengahnya menjadi siri rencana bersambung dalam majalahPengasuh.


Beliau berpendapat bahawa memang terdapat banyak amalan dan kepercayaan bi’dah dan khurafat dalam masyarakat umat Islam di Malaysia hari ini. Sebahagiannya tidak lain, menurutnya, adalah kerana meluasnya penggunaan ‘hadith-hadith’ yang sebenarnya bukan hadith. Malangnya, kata beliau, “Hampir tidak pernah ada usaha lagi membanteras keadaan seperti ini oleh institusi-institusi yang berkaitan atau individi-individu berwewenang.”


Masih menurut beliau lagi ialah: Turut berperanan dalam penyebaran ini ialah pengajian kitab-kitab jawi yang banyak mengandungi hadith-hadith yang dipertikaikan kesahihannyaa. Juga pengajian kitab-kitab klasik, termasuk tafsir yang memuat unsur-unsur dongeng dan Israiliyyat. “Sayangnya, kitab-kitab inilah yang banyak dipelajari dan dibaca di masjid-masjid dan madrasah-madrasah,” katanya.


Memberi Tumpuan Pada Menulis


Selepas bersara dari menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Kota Bharu dan Ketua ABIM Negeri Kelantan pada Disember 1988, beliau mengunci diri di rumah, memberi perhatian sepenuhnya kepada bidang yang menjadi minatnya selama ini iaitu menulis, tetapi tidak sempat dilaksanakan kerana sibuk dengan tugas jawatan. “Inilah masanya beliau tidak diganggu,” kata isterinya.


Difahamkan, pada waktu ini, beliau bekerja sepanjang hari di kamarnya, berhabis masa dengan membaca, menulis, menyalin, menyemak dan menterjemah. Selama tempoh ini dia tidak kemana-mana, tidak ada kegiatan kemasyarakat, tidak ada seminar, tidak ada politik dan tidak ada segala-galanya. “Beliah hanya keluar rumah sekali-sekala, itu pun lebih banyak atas urusan keluarga,” cerita isterinya.


Menurut isterinya lagi, masa kerja beliau cukup padat, iaitu mulai jam 7.30 pagi hingga 12.00 malam. Tidak ada masa rehat, kecuali untuk makan, mandi dan solat. Jadual ini berlangsung tetap untuk selama lima tahun pertama, ertinya sehingga 1993. Mulai 1994 jadual ini berkurang sedikit, tetapi tetap tidak ada hari yang sunyi dari bunyi ketikan mesin taip di rumahnya (beliau masih menggunakan cara lama dalam menulis).


“Malah, sehinnga pada waktu beliau ditimpa sakit pada 1996 pun, beliau masih lagi aktif menulis dan menyemak pruf untuk buku-bukunya,” lanjut isterinya.


Karya-karyanya


Drs Abdul Ghani telah menghasilkan sejumlah lebih 20 buah tajuk buku, antaranya 13 judul yang telah terbit (tidak termasuk siri tulisan dalam Pengasuh yang terbit hamper setiap keluaran). Buku-buku yang telah terbit antaranya ialah:

1. Himpunan Hadith-Hadith Sahih (3 Jilid)

2. Himpunan Hadith Maudhu’ dan Yang Sangat Dhaif (Jilid 1)

3. Amalan Bi’dah Bulan Muharam, Rejan, Sya’ban dan Ramadhan (al-Hidayah Publishing)

4. Panduan Solat Sunat Rasulullah s.a.w.(Darul Numan)

5. Persoalan Aqidah Islam (terjemahan daripada risalah Syeikh Abdul Aziz Baz)

6. Kewajipan Wanita Islam (Pustaka Aman Press)

7. Kedudukan al-Sunnah Dalam Syariat Islam (terbit sendiri)

8. Dan lain-lain.

Manakala buku-buku yang belum terbit (sesetengahnya dalam pruf akhir):

1. Asas Ulum al-Quran dan Ulum al-Hadith

2. Kutukan dari Langit dan Bumi

3. Himpunan Hadith-Hadith Dhaif (Jilid 1, 2)

4. Solat-Solat Sunat yang bukan Berasal dari Sunnah

5. Dan lain-lain


Pulang Ke Rahmatullah


Setelah mengalami dan menderita sakit barah selama hampir 2 tahun, akhirnya pada hari Sabtu, 4 April 1998 jam 7.30 pagi, beliau menghembuskan nafas yang terakhir di sisi keluarga di rumahnya berhampiran Masjid Telipot, Kota Bharu, Kelantan. Ramai keluarga dan sahabat kenalan mengiringi jenazah beliau ke tempat peristirehatannya yang terakhir.

Beliau meninggalkan seorang balu, Hajah Rashidah binti Haji Wan Ismail, bekas sisiwi Univerisiti Muhammadiyah, Surakarta pada tahun 1961 dan lapan orang anak (empat lelaki dan empat perempuan).


Harapan beliau dalam usahanya untuk mempertahankan kesucian agama Islam melalui pemutihan hadith-hadith Baginda s.a.w. amatlah terpuji dan perlu dilangsungkan. Ternyata usaha murni beliau telah diteruskan oleh anak perempuan beliau Cik Ismah yang kini giat menyempurnakan kajian dan penulisan buku yang pernah diusahakan oleh Drs Abdul Ghani Azmi.


Walaupun terdapat beberapa pandangan yang berbeza antara beliau dengan beberapa orang tokoh penulis Pengasuh dalam menentukan hadith-hadith yang diklasifikasikan sebagai daif namun apa yang boleh diambil pengajaran ialah semangat dan gaya penulisannya yang dapat diterima oleh pembacaPengasuh. Beliau amat mengharapkan agar dengan terbitnya buku “Himpunan Hadith Da’if Dan Maudu’”, “Himpunan Hadith-Hadith Sahih” sebanyak 3 jilid dan banyak lagi dapat memberi manfaat kepada masyarakat Islam dan membantu mereka dalam menjaga kesucian agama.


Disusun oleh:

Muhammad Abdulloh Suradi,

11 Jun 2011.


Rujukan:

1. Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (Jilid 2) diselenggara oleh Ismail Che Daud

2. Kertas Kerja Drs. Abdul Ghani Azmi bin Idris: Tinjauan Terhadap Sumbangan dan Penulisan Beliau dalam Majalah Pengasuh Mengenai Ilmu Hadith oleh Ahmad Faisal bin Abdul Hamid

Senin, Mei 21, 2012

2 Hero Sunnah Sejati

Musnad Ahmad bin Hanbal

1. Abdullah bin Umar (Generasi Sahabat)

Dia adalah putera Umar bin Khattab, seorang pemimpin teladan, syeikhul Islam.

Dia meriwayatkan banyak ilmu yang bermanfaat dari Nabi saw.

Sifat Peribadi dan Keutamaan

Abu Ishaq As-Sabi’i berkata, “Aku melihat Ibnu Umar sebagai lelaki yang berkulit sawo matang serta bertubuh gemuk. Sarungnya sampai pertengahan kedua betisnya dan dia senang melakukan tawaf.”

Diriwayatkan dari Aisyah, dia berkata, “Aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih taat dalam menjalankan perintah daripada Ibnu Umar.”

Ibnu al-Musayyib berkata, “Seandainya aku dapat menyaksikan bahawa seseorang termasuk ahli syurga, maka aku akan menyaksikan bahawa Ibnu Umar termasuk ahlinya.”

Kesukaan Mengikuti Sunnah

Diriwayatkan dari Nafi’, dia berkata, “Seandainya engkau melihat Ibnu Umar ketika mengikuti Rasulullah SAW, maka engkau akan berkata, “Dia orang gila.”

Diriwayatkan dari Nafi, bahawa Ibnu Umar pernah mengikuti jejak Rasulullah saw di setiap tempat yang pernah beliau gunakan untuk solat, hingga jika Nabi saw berteduh di bawah pohon, maka Ibnu Umar mencari pohon dan berjanji akan menyirami pohon itu supaya kering.

Diriwayatkan dari Nafi’, dia berkata. “Ibnu Umar pernah menyemir janggutnya.

Diriwayatkan dari Zaid bin Aslam, dia pernah berkata, “Ibnu Umar pernah menyemir hingga mengenai bajunya. Lalu ada yang berkata kepadanya, “Engkau menyemirnya dengan warna kuning?” Dia menjawab, “Kerana aku melihat Rasulullah saw menyemirnya dengan warna kuning.”

2. Imam Ahmad bin Hanbal (Generasi Tabiin)

Dia adalah seorang Imam dalam kebenaran, Syeikhul Islam yang jujur. Ia memiliki nama lengkap Abu Abdullah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Az-Zuhli Asy-Syaibani al-Baghdadi.

Dia salah seorang Imam para ahli Imu.

Sifat Peribadi dan Keutamaan

Diriwayatkan dari Muhammad bin al-Abbas an-Nahwi, dia berkata, “Aku melihat Ahmad bin Hanbal adalah orang yang mempunyai wajah yang bagus dan perawakannya sedang, rambutnya diwarnai dengan pacar (hinna), di antara janggutnya terdapat beberapa helai rambut hitam. Aku melihat bajunya tebal dan berwarna putih, dan aku melihatnya dalam kegelapan bahawa dia memakai sarung.”

Ibrahim al-Harbi berkata, “Aku melihat Abu Abdullah, seakan-akan Allah SWT telah mengumpulan seluruh ilmu-ilmu orang terdahulu dan masa sekarang pada dirinya.”

Al-Marruzi berkata, “Aku melihat Abu Abdullah ketika orang-orang sedang berada di rumahnya, dia duduk dengan bersila dan tertunduk. Apabila berada di luar rumah, dia tidak tertunduk, aku masuk dan salah satu tangannya digunakan untuk memegang buku yang dia baca.”

Qutaibah berkata, “Yang terbaik pada masa kami adalah Ibnu al-Mubarak, kemudian pemuda ini, iaitu Ahmad bin Hanbal. Jika aku melihat seseorang yang suka kepada Ahmad, maka ketahuilah bahawa dia adalah pembela Sunnah. Jika ia hidup di masa ats-Tsauri, al-Auza’i dan al-Laits, nescaya dia lebih terdepan dari mereka. Qutaibah ditanya, “Bagaimana jika Ahmad digabungkan dengan Tabi’in?” Dia menjawab, “Kepada kalangan pembesar Tabi’in.”

Abu Abdullah sangat pemalu dan mempunyai akhlak dan etika kesopanan yang baik dan orang-orang dermawan bangga terhadapnya.

Harmalah berkata, “Aku mendengar Asy-Syafi’i berkata, ‘Aku keluar dari Baghdad, aku tidak meninggalkan seseorang yang lebih utama, lebih alim, lebih fakih dan lebih tinggi ketakwaannya daripada Ahmad bin Hanbal’.”

Konsisten Mengamalkan Sunnah

Muridnya, Imam Abu Daud mengatakan: "Aku melihat Imam Ahmad apabila menghantar jenazah, ketika mendekati pemakaman, menanggalkan sandalnya."

Imam Ahmad mengamalkan sunnah ini berdasarkan hadis di bawah ini:

"Ketika Rasulullah s.a.w. berjalan bersama Basyri, pandangannya terbentur pada seorang yang sedang berjalan di perkuburan dengan memakai sandalnya, kemudian baginda menegurnya: "Wahai si pemakai sandal,celakalah engkau! Tanggalkanlah kedua sandalmu." Orang itu kemudian menoleh dan ketika diketahuinya bahawa yang menegur adalah Rasulullah s.a.w., segera saja dia tanggalkan kedua sandalnya." (Riwayat Abu Daud, An-Nasa'i, Ibnu Majah, Ibnu Abi Syaibah dan Al-Hakim dengan sanad yang sahih).

Syeikh al-Albani berkata di atas sikap Imam Ahmad mengamalkan sunnah ini: "Semoga Allah menganugerahkan kepadanya rahmat, betapa konsistennya orang ini dalam mengikuti as-Sunnah."

Abu Hatim pernah berkata: "Jika kamu dapati seseorang yang mengasihi Ahmad bin Hanbal maka ketahuilah orang itu adalah dari ahli Sunnah."

Semoga Allah merahmati dan memberkati dan menempatkan mereka berdua dalam keluasan JannahNya. Amin.

Disusun oleh:
Muhammad Abdulloh Suradi,
9 Jun 2011.

Rujukan:
1. Siyar A'lam An-Nubala' karya Imam Az-Zahabi
2. Lembaran Hidup Ulama' oleh Muhammad Abdulloh Suradi

Rabu, Mei 09, 2012

Imam al-Syafi'i, Doktor yang Cerdas

Ilmu Perubatan


Harmalah berkata, "Aku mendengar Syafi'i berkata, 'Ada dua hal yang banyak diabaikan manusia: Perubatan dan bahasa Arab." Syafi'i sangat menyesalkan dan menyayangkan sikap kaum muslimin yang menyiakan masalah perubatan.

Diriwiyatkan dari Harmalah ibn Yahya, Syafi'i sangat kecewa atas sikap kaum muslim yang mengabaikan dunia perubatan. Menurutnya, dengan begitu mereka telah meninggalkan sepertiga ilmu dan menyerahkannya kepada orang-orang lain."

Debat Perubatan


Syafi'i juga memiliki wawasan cukup luas dalam bidang perubatan. Diriwayatkan dari Abi al-Husain al-Masri, dia menuturkan, "Aku mendengar ada seorang doktor di Mesir." Dia melanjutkan, "Syafi'i datang ke Mesir, lalu singgah di tempatku. Di sana dia berdiskusi denganku tentang perubatan hingga aku mengira seorang doktor Irak telah datang ke negeri kami. Kataku kepada Syafi'i, Apa engkau mahu aku bacakan buku Hipokrates (seorang tokoh dan bapa perubatan Eropah) kepadamu?

Syfai'i lantas menunjuk buku itu dan berkata dengan lirih, 'Mereka tidak merelakan aku untuk mempelajarinya!"

Maksudnya, murid-murid Syafi'i di masjid tidak memberinya kesempatan untuk dapat memperdalam ilmu perubatan.

Anjuran Untuk Memperdalam Ilmu Perubatan


Syafi'i sangat menganjurkan kaum muslim mempelajari dan mendalami bdiang perubatan. Al-Rabo' ibn Sulaiman bertutur. "Aku mendengar Syafi'i berkata, 'Ilmu itu ada dua, ilmu fiqh atau ilmu agama dan ilmu perubatan."

Syafi'i juga berkata, "Ilmu agama yang paling utama adalah ilmu fiqh dan ilmu dunia yang paling utama adalah ilmu perubatan." Dalam riwayat Muhammad ibn Abdullah ibn Abdul Hakam disebutkan bahawa Syafi'i berkata. "Ilmu fiqh untuk agama, ilmu perubatan untuk tubuh, selain kedua hanyalah khazanah pemikiran."

Al-Rabi' bin Sulaiman menuturkan, Syafi'i berkata, "Jika kau masuk ke satu wilayah dan di sana dan di sana tak kau dapati seorang penguasa yang adil, air yang mengalir, seorang doktor yang bersahabat makan jangan tinggal di wilayah itu!"

Syafi'i juga berkata, "Jangan tinggal di wilayah yang tidak ada seorang ulama' yang membimbing agamamu dan tidak ada seorang doktor yang akan merawat tubuhmu."

Ubat untuk yang Tidak Punya Ubat


Ibnu Abdul Hakam berkata, Aku mendengar Syafi'i menuturkan, 'Ada tiga hal yang tidak boleh diubati oleh seorang doktor iaitu kebodohan, wabah dan pikun.


Al-Rabi' bin Sulaiman berkata, "Aku mendengar Syafi'i berkata, 'Ada tiga hal yang menjadi ubat bagi penyakit yang tidak ada ubatnya serta doktor tidak sanggup mengubatinya iaitu anggur, susu unta dan tebu."


Pakar Ilmu Gizi


Ada beberapa riwayat tentang kepiawaian Syafi'i dalam bidang perubatan, di antaranya: Riwayat Yunus bin Abdul A'la, ia berkata:, Syafi'i berkata, 'Aku tidak melihat hal yang lebih bermanfaat untuk mengubati wabak dari minyak bunga violet. Seorang yang terserang wabak boleh meminum minyak violet atau melumuri tubuhnya."

Riwayat al-Rabi bin Sulaiman, ia berkata, "Abu Usman Muhammad bin Muhammad bin Idris al-Syafi'i berkata, 'Jika terserang demam, ayahku meminta tumbuhan serai untuk diperas dan diminum airnya kerana dia takut lisannya cacat."

Harmalah berkata, "Aku mendengar Syafi'i berkata, 'Jangan kau makan telur rebus di malam hari kerana orang yang memakannya sering terserang penyakit."

Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam berkata, "Aku mendengar Syafi'i berkomentar, 'Aneh sekali orang yang keluar dari pemandian lalu tidak makan. Bagaimana dia menjalani hidup yang sihat? Aneh juga orang yang berbekam lalu makan. Bagaimana dia menjalani hidup yang sihat?

Sarapan Pagi


Al-Rabi' bin Sulaiman berkata, "Aku mendengar Syafi'i berkata, 'Harun al-Rasyid berkata kepadaku, 'Wahai Muhammad, aku mendengar bahawa kau selalu sarapan pagi?

'Ya, wahai Amirul Mukminin,' jawabku.
'Mengapa kau lakukan itu?' tanyanya.
Aku menjawab, 'Wahai Amirul Mukminin, aku melakukannya kerana empat hal.'
'Apa itu?' tanya al-Rasyid penasaran.

'Kerana air masih dingin, udara masih segar, lalat masih sedikit dan sarapan pagi dapat menekan hasratku terhadap makanan orang lain."

Al-Rasyid berkomentar, 'Sungguh ini adalah syair yang indah.'
"Akal tidak tersimpan dengan baik dalam tubuh yang gemuk." (Imam al-Syafi'i)
Dinukil dari Silsilat al-Aimmah al-Mushawwarah 2: al-Imam al-Syafi'i karya Dr Tariq Suwaidan 

Mengenai Malaikat Bersandarkan Sunnah


1- Jumlah Malaikat - Malaikat adalah makhluk sangat ramai mengikut nas-nas al-Quran dan as-Sunnah. Nabi SAW bersabda: Kemudian saya dibawa naik ke Baitul Ma'mur di situ terdapat 70,000 malaikat masuk ke dalamnya setiap hari dan tidak pernah kembali dari situ sehingga sampai yang terakhir’. (Muslim, no. 162)

2- Sayap Malaikat - Jumlah sayap malaikat berbeza-beza bagi setiap malaikat. FirmanNya: Segala puji bagi Allah pencipta langit dan bumi, Yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan yang mempunyai sayap, masing-masing dua, tiga dan empat. Allah menambahkan pada ciptaanNya apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah maha kuasa atas segala sesuatu.” (Fathir: 1)


Dari Abdullah bin Mas’ud, dia berkata: Rasulullah SAW melihat Jibril dalam bentuk asalnya yang memiliki 600 sayap. Setiap sayapnya menutupi ufuk. Dari sayap itu jatuh mutiara dan permata yang berwarna-warni yang hanya diketahui oleh Allah.” (Ahmad, V/3748, Ahmad Syakir berkata sanadnya sahih)


3- Melihat Malaikat - Nabi SAW pernah melihat Jibril dalam bentuk asalnya sebanyak dua kali. Baginda juga pernah melihatnya beberapa kali bentuk seorang lelaki. Para sahabat r.a. pula hanya melihatnya dalam sosok seorang lelaki yang berpakaian sangat putih dan memiliki rambut yang sangat hitam.

4- Dalam beberapa keadaan, malaikat mendekati manusia. Terkadang manusia dapat merasakan keberadaannya, namun tidak melihatnya meskipun ia dapat melihat bekas-bekas yang menunjukkan kehadiran malaikat tersebut. Hal ini pernah berlaku kepada seorang sahabat bernama Usaid bin Hudhair. Dia berkata: "Suatu malam, ketika dia membaca surah al-Baqarah, sementara kudanya terikat di sampingnya, tiba-tiba kuda tersebut melompat-lompat. Maka dia berhenti membaca, kuda itupun menjadi tenang, dan ketika ia mulai lagi, kuda itu melompat-lompat lagi. Lalu dia menamatkan bacaannya kerana puteranya Yahya berada di samping kuda. Dia khuatir jika mungkin kuda itu menginjak anaknya. Ketika dia membawa anaknya itu pergi dia mengangkat kepalanya ke arah langit (di sana dia melihat gugusan awan), hingga akhirnya dia tidak melihatnya lagi. 


Keesokan harinya, Usaid menceritakan (hal tersebut) kepada Nabi SAW, maka baginda bersabda, “Teruskanlah bacaanmu (ketika itu), wahai Ibnu Hudair! Teruskanlah bacaanmu, wahai Ibnu Hudair!” Ibnu Hudair menjawab, “Saya khuatir jika mungkin kuda itu akan menginjak Yahya kerana dia berada dekat dengan kuda itu, lantas aku berhenti (membaca), aku mengangkat kepalaku ke arah langit, tiba-tiba ada semacam awan yang tampak seperti cahaya, lantas ia pergi sampai aku tidak melihatnya lagi." Bersabda baginda, “Apakah kamu tahu apa itu?” Ibnu Hudair menjawab, “Tidak”. Baginda bersabda, “Itu adalah Malaikat yang datang dekat dengan kamu kerana bacaanmu, Seandainya kamu terus melanjutkan bacaanmu, nescaya manusia akan dapat melihatnya seperti itu tanpa menyembunyikan diri dari mereka." (Al-Bukhari, no. 5018)


5- Melihat malaikat dalam wujud asalnya, tidak pernah terjadi pada seorang pun dari umat ini selain Rasulullah SAW. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak dapat dilihat oleh manusia. Adapun melihatnya dalam bentuk manusia, hal itu pernah terjadi, seperti yang disebutkan dalam beberapa hadith. Akan tetapi, setiap Muslim wajib untuk berhati-hati agar tidak diperdaya oleh syaitan sehingga dia mengira bahawa apa yang dililhatnya itu adalah malaikat, padahal itu sesungguhnya syaitan yang mengejeknya.


6- Malaikat mengelilingi Makkah dan Madinah - Anas meriwayatkan sebuah hadith dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Tidak ada satu pun negeri melainkan akan disinggahi dajal kecuali Makkah dan Madinah. Tidak ada satu pun dari dataran keduanya melainkan terdapat dua baris malaikat yang menjaganya. Kemudian Madinah menggetarkan penghuninya sebanyak tiga kali, lalu Allah mengeluarkan setiap orang kafir dan munafik darinya." (Al-Bukhari, no. 1782, Kitab Fadhailul Madinah)


7- Mengenai Malaikat Harut dan Marut - Ada banyak kisah dan dongeng yang ditulis berkaitan dengan kedua malaikat ini yang kebanyakan diambil dari Ahlul Kitab. Nama kedua malaikat ini disebutkan dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 102. 


Ibnu Jarir berpendapat bahawa keduanya adalah malaikat yang diturunkan sebagai fitnah (ujian) bagi manusia. Dia berkata: "Diturunkannya sihir itu oleh Allah kepada kedua malaikat tersebut, lalu keduanya mengajarkannya kepada manusia. Perbuatan ini bukanlah dosa kerana keduanya mengajarkan sihir tersebut atas izin Allah, yakni setelah keduanya memberitahukan (manusia) tentang mereka sebagai fitnah (ujian) bagi anak Adam. Keduanya melarang manusia untuk mempelajari dan mengamalkan sihir. Dalam hal ini yang berdosa adalah mereka yang mempelajarinya dari kedua malaikat tersebut lalu mengamalkannya. Sebab Allah telah melarang untuk mempelajari dan mengamalkan sihir. Demikian pula, kedua malaikat tersebut tidak berdosa lantaran mengajarkannnya, sebab keduanya mengetahui sihir kerana Allah yang menurunkannya kepada mereka." (Tafsir Ibnu Jarir, II/422, tahqiq Mahmud Syakir)


8- Nama Izrail - Nama ini tidak disebutkan dalam al-Quran dan hadith sahih, namun disebutkan dalam beberapa atsar para tabiin yang hal ini tidak dapat dijadikan sebagai hujah. Jadi, tidak boleh menamakan Malaikat Maut dengan nama ini kerana penamaan tersebut tidak disandarkan oleh dalil yang sahih, wallahua'lam.


9- Kematian Malaikat - Para ulama’ ahli tafsir menyebutkan bahwa malaikat yang terakhir mati adalah Malaikat Maut. Sedangkan malaikat yang pertama kali dibangkitkan dari kematian adalah Malaikat Israfil, peniup sangkakala.


Ditulis dan disusun oleh Muhammad Abdulloh Suradi
9 Mei 2012
tamanulama.blogspot.com

Rabu, Mei 02, 2012

Buku Baru Saya Di Pesta buku


Alhamdulillah, buku terbaru saya bersama Usta Fikri Alamghiri sudah terbit dan berada di Pesta Buku.

3HeroPenerbanganMuslim.jpg


Selama ini, apa yang kita ketahui bahawa kapal terbang telah dicipta buat pertama kalinya oleh orang Eropah. Semasa di sekolah pula apa yang kita pelajari dan diajarkan bahawa orang-orang Barat yang mereka cipta buat pertama kalinya dalam usaha membina pesawat dan menerbangkannya.

Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa di dalam lipatan sejarah yang belum lagi dinyatakan ke muka khalayak secara umum, dirakamkan bahawa manusia yang pertama sekali berusaha untuk terbang merupakan orang Islam!

Bilangan mereka itu bukan hanya seorang tetapi 3 orang! Sebuah lagi rakaman sejarah yang belum dipapar dan dipertontonkan secara adil kepada umum. Sedangkan dalam pembacaan kita, begitu ramai yang mengenali Orville dan Wilbur Wright bersaudara tetapi mereka kurang kenal atau tidak kenal langsung kepada Celebi bersaudara.