Pages

Sabtu, September 25, 2010

Video Ilmuwan Islam - Al-Khawarizimi

Video yang baru saya upload.

Al-Khawarizimi, Penemu Angka Sifar (Bahagian 1)

Senin, September 20, 2010

Akhir Kehidupan Imam al-Ghazali

Babak di saat terakhir kehidupan Imam al-Ghazali petikan dari dokumentari 'Al-Ghazali: Alchemist of Hapiness'.

Mengalihkan Tumpuan Pada Hadis Di Akhir Hayatnya

Didalam Tabaqat al-Subki menjelaskan bahawa Imam al-Ghazali melalui peringkat ketidak stabilan pada awalnya dan keadaan menjadi lebih jelas pada peringkat akhir hayatnya. Telah diriwayatkan bahawa beliau pada akhir hayatnya kembali kepada hadis-hadis sahih, dimana beliau sendiri mempelajari dan menghafal kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Dikatakan pada penghujung penghidupannya, beliau telah mendengar Sahih Bukhari dari Abu Sahl Muhammad Abdul Hafsi, dan Sunan Abu Daud dari Qadhi Abu al-Fath al-Hakimi al-Thusi.

Diceritakan oleh murid beliau, Abdul Ghafur al-Farisi mengenai tahap akhir penghidupan gurunya: “Pada peringkat akhir beliau telah menunjukkan minat yang mendalam berkenaan hadis al-Mustafa (Hadis Nabi s.a.w.) dan mentelaah Sahih Bukhari dan Muslim.

Menurut Ibnu Katsir: “(Pada akhir hayat) dia telah pulang ke negerinya Tus dan tinggal disana, membentuk perhubungan, mengadakan rumah yang baik, menanam tanan-tanaman di kebun yang indah, membaca al-Quran dan menghafal hadis-hadis sahih. Dikatakan pada akhir hayatnya, beliau lebih cenderung kepada mendengar hadis-hadis Bukhari dan Muslim dan menghafalmnya.

Imam Az-Zahabi berkata: “Pada akhir kehidupannya, beliau tekun menuntut ilmu hadis dan berkumpul dengan ahlinya serta menelaah shahihain (Sahih Bukhari dan Muslim). Seandainya beliau berumur panjang, niscaya dapat menguasai semuanya dalam waktu singkat. Beliau belum sempat meriwayatkan hadis dan tidak memiliki keturunan kecuali beberapa orang puteri.”

Wafatnya Imam al-Ghazali

Kubur Imam al-Ghazali yang sebenar telah dijumpai oleh para arkeologi Khurasan pada tahun 1995 di Tus.

Adik Imam al-Ghazali, Ahmad menceritakan saat menjelang ajal abangnya: “Pada waktu subuh hari Isnin, abangku Abu Hamid mengambil wuduk lalu bersolat. Kemudian beliau berkata: “Bawakan kain kapanku,” lalu diambil dan dicium serta diletakkan di mata sambil berkata lagi: “Aku patuh dan taat untuk masuk kepada malaikat.” Kemudian al-Ghazali mengunjurkan kakinya dan menghadap ke kiblat dan wafat sebelum matahari terbit.”

Imam al-Ghazali wafat pada pagi Isnin, 14 Jamadilakhir 505H/19 Disember 1111M di Tus dengan kitab hadis atas dadanya. Jenazah beliau dikebumikan di makam al-Tabaran, bersebelahan dengan makam penyair besar yang terkenal, Firdausi.

Diceritakan bahawa Syeikh Abul Hasan al-Syadzili bermimpi bahawa dia melihat Nabi s.a.w. menunjukkan Imam al-Ghazali kepada Nabi Musa dan Isa, sambil bertanya kepada kedua mereka, “Adakah terdapat orang alim yang bijaksana dalam umat anda berdua?” Jawab keduanya tidak ada.

Petikan:
Dari buku karya saya, Lembaran Hidup Ulama'

Jumat, September 17, 2010

Faedah Membaca Biografi Ulama'

Ibnu Khallikan (wafat 681 H) dalam mukaddimah kitabnya Wafayatul A’yan -yakni kitab tentang biografi para ulama' yang mulia- berkata: “Aku ceritakan kisah sekelompok orang-orang mulia yang telah aku saksikan dan aku nukil khabar dari mereka, atau mereka yang sezaman denganku tetapi aku belum pernah bertemu dengan mereka, adalah agar orang yang datang setelahku dapat mengetahui keadaan mereka”. (Mukaddimah Wafayatul A’yan: 1/ 20).

Sesungguhnya membaca biografi ulama' adalah pengubat jiwa. Padanya terdapat kesembuhan bagi mereka yang kehausan akan suri tauladan dan padanya terdapat cahaya sebagai petunjuk jalan kebaikan. Tak lupa, mengetahui kehidupan para ulama berfungsi sebagai cermin yang akan memperlihatkan kelemahan diri yang nantinya sebagai bahan perbaikan.

Umar bin al-Khattab radiyallahu anhu berkata: “Hendaklah kalian mendengar cerita-cerita tentang orang-orang yang memiliki keutamaan, kerana hal itu termasuk dari kemuliaan dan padanya terdapat kedudukan dan kenikmatan bagi jiwa”. (‘Ainul Adab wa As-Siyasah: 158).

Syaikh Abdul Aziz bin Muhammad As-Sadhan dalam mukaddimah kitabnya al-Imam Ibnu Baz : Durus wa Mawaqif wa ‘Ibar berkata:

“Para ahli ilmu menaruh perhatian besar terhadap biografi-biografi para ulama. Ada yang menulis kitab tentang biografi seorang imam saja, seperti Ibnu Ahmad al-Makki serta al-Kurdi ketika menulis manaqib (perilaku yang terpuji) Imam Abu Hanifah. Qadhi Isa Az-Zawawi menulis biografi Imam Malik bin Anas.

Al-Baihaqi, Ibnu Katsir dan Ibnu Hajar al-Asqalani menulis secara khusus tentang biografi Imam Asy-Syafie. Sedangkan Ibnul Jauzi menulis manaqib Imam Ahmad.

Adapula sebahagian ahli ilmu yang menempuh cara lain yakni mereka menulis biografi ulama berdasarkan thabaqah (tingkatan) ulama yang masa hidup, daerah, ilmu atau mazhabnya yang sama. Seperti Ath-Thabaqatus Sunniyah fi Tarajimil Hanafiyah karya Taqiyuddin bin Abdul Qadir Ad-Darimi. Al-Jawahirul Madhiyyah fi Thabaatil Hanafiyah karya Al-Quraisy.
Tartibul Madarik wa Taqribul Masalik li Ma’rifati A’lam Madzhabil Imam Malik karangan Al-Qadhi Iyadh.
Thabaqatusy Syafi’iyyatil Kubra karangan As-Subki, serta Thabaqatusy Syafi’iyyah karya Ibnu Hidayah l-Husaini.
Thabaqatul Hanabilah oleh al-Qadi Abi Ya’la, dan Adz-Dzailu ‘ala Thabaqatil Hanabilah karangan Ibnu Rajab.

Ada juga penulisan berdasarkan disiplin ilmu tertentu seperti Thabaqatul Mufassirin, yang mana Ad-Dawudi dan As-Suyuti telah menulisnya. Thabaqah para hafiz hadis, terdapat kitab Tadzkiratul Huffaz karangan Az-Zahabi. Az-Zahabi juga ada menulis thabaqah para qari (ahli pembaca al-Quran) yakni Ma’rifatul Qura-il Kibar. Sedangkan thabaqah ahli nahwu, padanya terdapat karangan As-Suyuti berjudul Bughyatul Wu’ah.

Adapula yang menulis secara khusus para ulama di daerah atau tempat tertentu, seperti Tarikh Baghdad karangan Khatib al-Baghdadi. Tarikh Dimasyqi oleh Ibnu Asakir. Akhbar Ashfahan karangan Abu Nu’aim. Bughyatuth Thalab fi Tarikh Halab oleh Ibnul ‘Adim dan Tarikh Irbil oleh Ibnul Mustaufi.”

Dan masih banyak lainnya.

Ali bin Abdurrahman bin Hudzail berkata: “Ketahuilah, bahawa membaca kisah-kisah dan sejarah-sejarah tentang orang yang memiliki keutamaan akan memberikan kesenangan dalam jiwa seseorang. Kisah-kisah tersebut akan melegakan hati serta mengisi kehampaan. Membentuk watak yang penuh semangat dilandasi kebaikan, serta menghilangkan rasa malas”. ('Ainul Adab wa As-Siyasah: 158).

Oleh kerana itu wahai saudaraku, cubalah engkau membaca kisah-kisah para ulama', nescaya engkau akan mendapatkan penyejuk jiwa:

و من لم يجر ب ليس يعر ف قد ر ه
فجر ب تجد تصد يق ما ذكر نا ه

Barangsiapa belum mencuba maka belum tahu hasilnya;
Maka cubalah, niscaya engkau akan mendapatkan bukti ucapan saya”. (Manzumah ash-Shan’ani fil Hajj : 83).

Dialibahasakan dari:
http://faidah-ilmu.blogspot.com/2010/07/faidah-membaca-biografi-ulama.html

Sabtu, September 11, 2010

Perginya Seorang Imam Hadis Agung Di Malam Aidilfitri

Diceritakan bahawa pada suatu hari, Imam Bukhari pergi ke Samarkand untuk menziarahi saudara-maranya yang tinggal di sana dan menginap sehingga beberapa malam. Sebagaimana kebiasaannya, beliau menghabiskan malam-malamnya untuk bertahajud kepada Allah tidak kira di mana tempatnya.

Suatu malam, saudara-maranya mendengar beliau berdoa selepas solat malamnya: “Wahai Allah, kiranya dunia yang luas ini telah sempit bagiku, maka oleh itu kembalikanlah nyawaku ini ke hadiratMu.”

Tidak sampai sebulan selepas mengucapkan doa tersebut, beliau telah dipanggil oleh Allah SWT untuk menghadap ke hadiratNya.

Diceritakan pula bahawa Imam Bukhari tinggal di rumah seseorang bernama Ghalib bin Jibril. Setelah beberapa hari Imam Bukhari tinggal di rumah tersebut, tiba-tiba beliau jatuh sakit yang setiap hari bertambah parah. Maka datanglah saudara-maranya dari Samarkand meminta agar beliau sudi tinggal bersamanya di sana.

Imam Bukhari tidak keberatan dan menerima pelawaan mereka. Maka dengan dipapah, beliau keluar dari rumah Ghalib untuk pergi ke Samarkand. Akan tetapi, baru saja berjalan lebih kurang dua puluh langkah, tiba-tiba badannya sudah lemah dan tidak kuat lagi melangkah.
“Aduh, kembalikan saja aku ke rumah itu, aku sudah tidak kuat lagi melangkah.” Kata beliau.
Mereka pun berpatah balik dan mengembalikan Imam Bukhari ke rumah yang didiami sebelumnya. Ghalib bin Jibril sendiri yang memegang tangan beliau sewaktu berjalan.

Beliau terus berbaring sambil terus-menerus berzikir dan berdoa kepada Allah. Peluh bercucuran di sekujur tubuhnya. Tidak banyak yang diucapkan pada saat-saat akhir tersebut kecuali beliau hanya berkata: “Kafanilah aku dengan tiga helai kain tanpa baju dan serban.”
Tidak lama selepas itu, beliau pun menghembuskan nafasnya yang terakhir pada malam Hari Raya Aidilfitri iaitu malam Sabtu, tahun 256 H/870 M, ketika berusia 62 tahun. Beliau dikebumikan selepas zohor, esoknya, selepas satu kehidupan yang penuh dengan berbagai usaha yang mulia serta murni.

Ghalib bin Jibril berkata: “Kami telah menunaikan pesanannya, sudah mengafaninya, kemudian menyolatkannya, barulah kami memasukkannya ke dalam liang lahad. Sejurus itu terdapat bau yang amat wangi seperti ‘Misk’ terbesar dari tanah perkuburannya dan ia berterusan beberapa hari.”

Al-Firabri berkata: “Aku bermimpi melihat Nabi s.a.w. di dalam tidurku.” Baginda s.a.w. bertanya kepadaku, “Engkau hendak menuju ke mana?” Aku menjawab: “Hendak menuju ke tempat Muhammad bin Ismail al-Bukhari”. Baginda s.a.w. berkata, “Sampaikan salamku kepadanya!”

Petikan:
Dari buku karya saya, Lembaran Hidup Ulama'

Jumat, September 10, 2010

Salam Aidilfitri & Taqabbalallahu minna wa minkum

Salam Aidilfitri. Taqabbalallahu minna wa minkum. Salam kemaafan dihulurkan. Moga berbahagia bersama keluarga di hari yg gembira.

Syawal bulan yang gembira,
Kita menyambut hari raya,
Bersyukur kita pada yang Esa,
Dikurniakan nikmat tak terhingga.

Hari Raya ini
bagaikan pelita yang menyala
bersinar terang padanya kebahagiaan
takkan padam sinar kemeriahannya
sehingga datang suatu waktu
akan pudar sinar ukhuwahnya.

~ M.A.Uswah

Sabtu, September 04, 2010

Desiran Sunnah

Dedaunan berterbangan
angin bertiup kencang
lautan bergelora.

Rasa dingin di malam hari
sunyi sepi tanpa cahaya
hitam menyelubungi.

Bilakah lagi masanya
untuk mengikuti sunnah?

Musim berubah demi musim
cuaca berubah demi cuaca
abad berubah demi abad.

Sunnah tetap tidak berubah
ia terus berdesir untuk diikuti
selagi insan mahu menjejakinya.

Jejakilah sunnah, ikutilah ia
hidup pasti di naungan rahmatNya.

M.A.Uswah,
Sandakan,

10 November 2005.