Pages

Jumat, Mei 14, 2010

Syair Ibnu Hazm

Cita-citaku di dunia adalah menyebarkan ilmu

Ke pelosok desa dan kota

Mengajak menusia kepada al-Quran dan Sunnah

Yang kini banyak dilalaikan manusia.

(Syair Ibnu Hazm)

Imam Az-Zahabi berkata: “Syairnya Ibnu Hazm ini sangat indah sekali sebagaimana engkau lihat sendiri”.

Petikan:
Siyar A’lam An-Nubala,
Jilid 4 karya Imam Az-Zahabi

Senin, Mei 10, 2010

Ratu Nil (Yukabid) - Hijjaz

Klip video lagu ini diselangi dengan paparan menarik gambar2 bersejarah Sungai Nil & Mesir sejak zaman dahulu sehingga kini. Video hasil kreativiti saya.



Khabar itu merusuh jiwa
Titah yang dicerca semesta
Si kecil bergelar lelaki
Bakal korban si derhaka

Resahmu bertukar debaran
Ketika bergema ketukan
Di mana nak kau sembunyikan
Tubuh kecil tak berdosa

Alam bagaikan membisu
Arus Sungai Nil pun mengalir lesu
Mendengarkan tangismu
Saat menyaksikan
Bayimu yang hanyut bersendirian

Duka tak terbanding kata
Dan halus nalurimu terdera
Sungguh kerinduanmu hebat terduga

Teguhlah ibu yang mulia
Berpegang pada satu percaya
Berpisah bukan selamanya
JanjiNya bukan dusta

Tika dipanggil ke istana
Lengkaplah kisah kasih yang sempurna
Bayimu kehausan
Lalu kau susukan
Menitis airmatamu kesyukuran

Nyatalah janji Yang Esa
Terpisah ‘tuk bertemu semula
Kau genggam kembali jemari kecilnya

Walau diam dalam rahsia
Terpujuk sudah hati yang hiba
Yang dirindu kini kau dakap bahagia

Yukabid engkau tamsil cinta
Lambang tulusnya kasih ibunda
Pengorbanan yang tiada mula
Dan tiada hujungnya

Lagu: Putra Aiman
Lirik: Atie

Komen mengenai lagu ini oleh pemilik blog: http://aizax.blogspot.com/2010/04/review-hijjaz-permata-hijjaz-1431.html

Mereka cuba mengulangi kejayaan lagu berhantu ‘Sumayyah’. Walaupun ia bukan mudah, tambahan pula lagu itu telah menjadi anthem. Tapi bila dengar lagu ni, aku amat yakin kalo kne gayanya, lagu ini oleh jadi lebih hebat daripada Sumayyah. Lagu yang cukup solid, dan kedengaran berat pembawaannya. Track pilihan terbaik album ini!

Minggu, Mei 02, 2010

Tetamu Istimewa

Syeikh Husein bin Audah al-Awaisyah pernah bercerita: “Suatu saat Syeikh Al-Albani rahimahullah pernah berkunjung ke rumahku, lalu dia duduk di kerusi ruangan ini, sementara itu aku tidak dapat menyuguhkan sesuatu kepadanya dalam waktu yang sesingkat ini.

Aku katakan kepadanya: “Jangan marah kepadaku, ya syeikh, aku tidak memiliki sesuatu yang siap dihidangkan untukmu.”

Tapi syeikh diam saja dan tidak berucap apapun. Lalu aku berkata: “Apakah pertanyaanku ini bid’ah, ya syeikh.”

Syeikh Al-Albani rahimahullah menjawab: “Tujuanku (ke sini untuk bertemu) orang yang memberi makan (bukan mengharap makanan).”

Adz-Dzakhiirah Al-Islamiyyah Edisi 47, halaman 38

Minggu, April 25, 2010

Video Jejak Hidup Syeikh Al-Albani

Mengenal lebih dekat Syeikh Al-Albani, meneladani kegigihannya. Video ini telah saya hasilkan dengan kreativiti saya sendiri. Sedih dan sebak saya tengok video ini berulang kali walau saya yang menghasilkannya. Di kala ramai lagi insan yang menuduh dan memfitnah berbagai-bagi lagi tuduhan yang tidak sepatutnya terhadap ulama' sepertinya. Nah, video ini menggambarkan siapa sebenarnya insan bernama Syeikh Al-Albani. Akan tercermin kepada kita bagaimana peribadinya yang mulia dan kesungguhannya yang tinggi dalam menuntut ilmu, membela sunnah dan mengkaji hadis-hadis Nabi saw. Moga ada manfaat bersamanya bagi kita.



"Dengan senantiasa berharap agar Allah Subhanahu wa Taala menambahkan kurnianya kepadaku dan menjadikan nikmat ini tidak dicabut hingga kematian tiba, serta mewafatkanku sebagai muslim diatas sunnah yang aku telah bernazar untuk itu kehidupanku adalah dakwah dan menulis."
(Syeikh Al-Albani)

Rabu, April 21, 2010

Syeikh Berserban Naik Basikal

Syeikh Al-Albani rahimahullah bercerita:

“Setelah aku membeli sebidang tanah di luar kota, kerana harga tanah di sana murah, aku langsung membina sebuah rumah lengkap dengan kedai. Setelah semuanya selesai, aku baru tahu bahawa jarak antara rumahku dengan Perpustakaan Az-Zahiriyyah yang sering aku kunjungi lumayan jauh. Dahulu aku bekerja satu atau dua jam di kedaiku sebelum perpustakaan itu dibuka.

Kemudian aku membeli sebuah basikal, sementara itu baru pertama kali penduduk Damsyik menyaksikan pemandangan seperti ini, yakni seorang syeikh berserban naik basikal. Wajar saja mereka langsung hairan dengan pemandangan ini. Dan pada waktu itu juga ada sebuah majalah yang bernama al-Mudhik al-Mubki (lucu yang membuat sedih), yang diterbitkan oleh seorang nasrani. Ternyata dia memasukkan pengalaman ini d majalahnya. Tetapi aku tidak peduli dengan hal remeh seperti ini, kerana yang paling penting bagiku adalah waktu. ”

(Az-Dzakhirah Al-Islamiyyah Edisi 47, halaman 51)

Minggu, Maret 28, 2010

2 Gambar, 1000 Harapan

Pertemuan antara 2 tokoh yang berbeza aliran pemikiran, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (bekas Mufti Perlis) dan Faisal Tehrani (penulis novel terkenal) semasa berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010 di PWTC kelmarin.

Faisal Tehrani telah menghadiahkan Dr Mohd Asri novel beliau berjudul Tuhan Manusia. Manakala, Dr Mohd Asri pula menghadiahkan Faisal Tehrani karya beliau berjudul Mengemudi Bahtera Perubahan Minda sebagai penghargaan.

Suka tengok senyuman mereka. Mesra saja. Walaupun, masing-masing berbeza aliran pemikiran perpaduan itu tetap terlaksana. Yes

Pertemuan antara 2 tokoh yang berbeza aliran pemikiran, Dr Aidh Abdullah al-Qarni (penulis buku La Tahzan - Jangan Bersedih) dan Habib Ali Al-Jufri (pendakwah antarabangsa) semasa berlangsungnya Multaqa Pertama: Islam dan Pelancongan 2009 pada 12-13 Oktober 2009 di San'a, Yaman.

Bagi yang memahami perbezaan aliran pemikiran tersebut, diajukan 1000 harapan. Adapun yang tidak memahaminya, cukuplah sekadar diketahui bahawa perpaduan umat Islam tetap akan terlaksana.

Beginilah seharusnya akhlak dan peribadi seorang tokoh ilmuwan berkelakuan. Kerana disebalik setiap perbezaan pendapat itu, pasti ada rahmat Allah yang tersembunyi yang tidak kita ketahui.

M.A.Uswah,
Sandakan,
28 Mac 2010.

Rabu, Maret 10, 2010

Wafatnya Syeikh Sayyid Tantawi (Beserta Profilnya)

Innalillahi wa inna ilaihi raji'un.

Syeikhul Azhar, Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi rahimahullah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Riyadh, Arab Saudi ketika usianya 82 tahun. Beliau wafat pada pagi hari ini (Rabu) 10 Mac 2010 akibat serangan jantung sebagaimana yang dilaporkan akhbar-akhbar. Tujuan beliau ke Riyadh ialah untuk menghadiri majlis Anugerah Al-Malik Faisal. Ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Malik Khalid, Riyadh, beliau diserang sakit jantung secara tiba-tiba sedangkan sebelum itu beliau berada dalam keadaan sihat. Ketika itu, beliau dalam perjalanan pulang ke Kaherah. Beliau kemudiannya dibawa ke hospital dan menghembuskan nafasnya yang terakhir di sana.

Anak lelakinya, Amru Muhammad Sayyid Tantawi berkata, persetujuan telah dicapai bahawa ayahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi' di Madinah Al-Munawwarah.

Profil Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi rahimahullah

Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi dilahirkan pada bulan Oktober tahun 1928 di Kampung Salim As-Syarqiyyah di Muhafazah Sohaj di So'id Misr. Beliau menghafaz Al-Quran dan belajar di Iskandariah/Alexandaria, Mesir.

Memperoleh PhD dalam bidang Hadith dan Tafsir pada tahun 1966 dengan pangkat Mumtaz (cemerlang). Berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Kuliah Usuluddin, kemudian beliau mengajar di Libya selama 4 tahun dan di Madinah Al-Munawwarah pula sebagai Dekan Kuliyyah Ad-Dirasat Al-'Ulya di Universiti Islam Madinah. Kemudian, beliau pulang semula ke Kaherah.

Pada 28 Oktober 1986, beliau dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negara Mesir. Pada tahun 1996, beliau dilantik menjadi Syeikhul Azhar.

Beliau merupakan salah seorang di kalangan ulama terbilang di Al-Azhar yg mahir dalam bidang Tafsir dan mempunyai karya-karya penulisan yang bermutu.

Peribadinya

Syeikh Sayyid Tantawi walaupun seorang yang berkedudukan tinggi di dalam kerajaan Mesir, namun sedikit pun tidak memberikan kesan kepada kehidupannya. Malah terkenal sebagai seorang yang zuhud, tenang dan sejuk mata memandang. Butir-butir kalam yang keluar daripada beliau mampu menusuk ke jiwa sanubari sesiapa yang ingin memahaminya.

Syeikh Sayyid Tantawi merupakan seorang yang sangat kuat membaca dan terlalu asyik jika membaca, sehingga diceritakan beliau terpaksa menyuruh salah seorang pembantunya untuk menunggu dan mengingatkan kepada beliau bilamana waktu solat telah masuk, bimbang terlepas waktu solat. Ini kerana jika beliau mula membaca pada awal pagi, maka beliau hanya akan tamat membaca jika telah masuk waktu Zohor. Ini adalah rutin kehidupan beliau.

Bilamana meneliti kehidupan beliau, seolah-olah terpancar sinar para ulama terdahulu yang terlalu asyik dan masyuk ketika membaca. Kisah Imam Isnawi rahimahullah yang membaca bermula selepas Isyak sehinggalah terlepas solat Subuh hanya kerana terlalu asyik membaca dan menulis sehingga tidak sedar bahawa matahari semakin meninggi. Beliau hanya menyedari bahawa subuh telah tamat bilamana cahaya matahari memancar ke wajahnya. Masya Allah, begitu asyik sekali membaca seolah-olah tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya. Berbeza dengan sikap 'pewaris para ulama' sekarang, lebih banyak tidur daripada membaca. Apa yang berlaku kepada kita, adalah sebalik daripada cerita Imam Isnawi rahimahullah dan Imam Tantawi rahimahullah.

Karya-karyanya

- Bani Israel fi Al-Quran wa As-Sunnah (1969)

- At-Tafsir Al-Wasit li Al-Quran Al-Karim (1972)
- Al-Qissah fi Al-Quran Al-Karim (1990)
- Muamalat Al-Bunuk wa Ahkamuha As-Syar'iyyah (1991)


Kontroversi Semasa Hidupnya

Memang tidak dinafikan Syeikh Tantawi rahimahullah pernah mengeluarkan fatwa yang kelihatan kontroversi tetapi mungkin fatwa itu dikeluarkan atas faktor-faktor tertentu yang tidak kita ketahui. Maka, lebih selamat jika kita serahkan urusan-urusan sebegini kepada mereka yang layak dan tahanlah lidah kita daripada mengecam serta mencerca para ulama.

Berkata Ibnu Asakir:

"Sesungguhnya daging para ulama itu beracun.
"

Daripada Ibnu Umar ra, sabda Rasulullah saw:

"Sebutlah kebaikan-kebaikan orang-orang yang mati di kalangan kamu dan tahanlah (diri kamu) daripada menyebut kesalahan-kesalahan mereka."


(Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Hibban, At-Tabrani, Al-Hakim, Al-Baihaqi dan Al-Baghawi)

Semoga Allah menempatkan beliau bersama para anbiya dan solihin. Amin.

Rujukan:
http://lamanulama.blogspot.com/2010/03/syeikhul-azhar-syeikh-tantawi-kembali.html
http://nazrulnasir.blogspot.com/2010/03/belasungkawa-syaikhuna-al-allamah.html