Pages

Rabu, Desember 30, 2009

Syair Ibnu Ad-Dahhan

Wahai orang yang terpesona dengan dunia, hati-hatilah

Sesungguhnya ia (dunia) akan sirna dan berubah


Bersungguh-sungguhlah untuk meraih kerajaan yang abadi


Kebaikan apapun dalam syurga Naim akan hilang


Jika kita berfikir, kita tak akan tertawa walau sejenak


Hanya saja kita telah kehilangan akal sihat kita.


Petikan:
Ringkasan Siyar A'lam An-Nubala' karya Imam Az-Zahabi (Buku 4)

Minggu, Desember 27, 2009

Mufti Haji Said Ibrahim, Mufti Sabah Yang Tegas

Mufti Haji Said bin Ibrahim, bekas mufti Sabah, dilahirkan di Kampung Kedai Lalat, Kelantan pada tahun 1923.

Pendidikan

Dalam menimba pengetahuan ilmu agama, beliau telah mengaji sehingga ke Jambi, Sumatera dan Makkah al-Mukarramah. Selain fasih berbahasa Arab, beliau juga terkenal mahir dalam perundangan Islam, aqidah, perbandingan aqidah dan fiqh.

Menjadi Guru

Setelah tamat pengajian, Haji Said telah memulakan karyanya untuk menabur bakti dalam bidang pendidikan dengan menjadi guru seawal tahun 1947 di sekolah-sekolah Arab di Kelantan. Pada tahun 1954, beliau bertukar mengajar ke Madrasah al-Hidayah di Singapura. Semasa di Singapura, beliau telah dipilih menjadi Yang DiPertua PERGAS (Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura) dari tahun 1963 sehingga tahun 1968. Pada 1968, beliau meninggalkan Singapura untuk berkhidmat di Brunei. Di Brunei, selain mengajar di sekolah menengah Arab, beliau dilantik menjadi penyusun sukatan pelajaran Maktab Perguruan Agama Brunei.

Menjadi Mufti Sabah

Dalam tahun 1971, beliau ke Sabah dan bertugas menjadi Pegawai Agama dan dalam tahun 1972, beliau kembali ke Semenanjung kerana dilantik menjadi Imam Masjid Negara yang disandangnya sehingga tahun 1975. Sebagai seorang yang berpengetahuan luas dalam ilmu-ilmu agama lagi berpengalaman, beliau telah dilantik menjadi Mufti Kerajaan Sabah untuk dua penggal iaitu 1975 - 1978 dan 1985 - 1989. Antara tahun 1978 sehingga 1985, beliau diberi penghormatan sebagai pakar rujuk di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Berterus-Terang

Sebagai seorang mufti dan pakar rujuk kerajaan, ada ketika pendirian dan pandangannya yang berterus-terang itu menimbulkan polemik dalam kalangan pentadbir dan pemimpin politik dan ada juga yang tidak disenangi. Kadang-kadang kenyataannya yang bersifat politik itu digunakan pula sebagai hujah oleh pihak pembangkang. Said sedar bahawa di pihak kerajaan juga terdapat kesedaran bagi melaksanakan hukum Allah dan kerana itulah beliau berkata benar. Said juga insaf akan kedudukannya sebagai penjawat awam yang terikat dengan pelbagai peraturan.

Pendapat yang dikemukakan oleh Said dalam tulisan-tulisannya terutamanya tentang hukum hudud bukanlah semata-mata bermaksud menyebelahi pembangkang tetapi demi menegakkan kebenaran. Oleh yang demikian pendirian Haji Said ini tidak sepatutnya dilihat sebagai bersikap anti establishment. Pendiriannya yang tidak popular ini lebih didorong oleh sikapnya yang sentiasa berpegang pada kebenaran. Bagi Haji Said, apabila beliau mengkritik kerajaan bukanlah bermakna beliau menentang kerajaan. Tidak ada gunanya jika kita menjadi sokong yang membawa rebah. Memang dalam banyak keadaan kita mesti memilih untuk berubah, jika tidak, kita pasti akan rebah.

Tidak pernah sama sekali kita lihat arwah mengambil jalan tengah semata-mata mahu menyedapkan hati orang tertentu. Beliau menyatakan apa saja kebenaran meskipun pahit untuk ditelan. Demikianlah tegasnya Allahyarham Haji Said Ibrahim dalam menegakkan kebenaran.

Ketegasan Haji Said juga dapat kita lihat dalam beliau menjalani perancangan hidupnya. Setiap kali apabila beliau sudah membuat keputusan, beliau akan menurut apa saja kata hatinya asalkan keputusannya itu diyakininya berada pada landasan syarak. Ketegasannya inilah yang telah menghantarnya jauh hingga ke Makkah meskipun beliau bukanlah datang dari keluarga yang berada.

Demikianlah juga apabila menetapkan hendak ke Singapura dan singgah di Kuala Lipis, beliau mengharunginya dengan yakin dan tabah. Semasa menjadi imam Masjid Negara, beliau pernah memohon cuti untuk mengerjakan haji di Mekah tetapi permohonannya tidak diluluskan atas alasan pentadbiran. Oleh sebab telah memutuskan hendak menunaikan haji sebaik mengetahui permohonannya ditolak dan ini dapat menahan niatnya ke tanah suci, maka, Haji Said terus mengutus surat meletakkan jawatan sebagai imam Masjid Negara. Tidak ada apa yang dapat menghalang niat dan hajatnya kecuali kuasa Allah. Demikianlah ketegasan Said Ibrahim dalam meniti kehidupannya.

Beliau tidak pernah bimbang akan kehilangan pekerjaan kerana Said penuh yakin pintu rezekinya berada pada ketentuan Allah. Tuhan tidak akan melupakan hamba-Nya yang murah hati dengan ilmu. Dengan sedikit sebanyak wang sagu hati yang berikan kepadanya apabila menyampaikan ceramah, wang hasil jualan buku dan honorariumnya menulis di akhbar dan majalah lebih dari cukup untuk beliau menyara hidup lapan orang anaknya dengan serba sederhana.

Sikap kedua yang kental pada Allahyarham Haji Said memang amat langka pada kebanyakan ulama ialah kebolehannya berbahasa Arab dengan fasih, iaitu salah satu bahasa utama di dunia. Beliau juga memiliki pelbagai minat dan kebolehan selain menjadi mufti beliau juga terus menjadi pendakwah bukan sekadar menjalankan kerja pentadbiran di pejabat. Masanya yang cukup padat diisinya juga dengan menulis dan kemudian menjadi editor, melakukan penterjemahan dan juga menjadi penerbit. Jiwanya mendesak Said agar tekun dan rajin menulis tanpa mempedulikan jadual kerjanya yang memang sudah ketat dengan kuliah, ceramah selain urusan pentadbiran di pejabat. Jika terlalu sibuk, Said menulis berdikit-dikit. Sehari sesuku, lama-lama menjadi buku.

Beliau menguasai ilmu mantik dan ilmu logik, ilmu fikah dan tauhid selain bukunya menunjukkan beliau juga memiliki kepakaran dalam ilmu perbankan. Sepanjang hayatnya beliau telah menulis dan menerbitkan lebih dua puluh judul buku dan kitab. Pada hari ini memang boleh dibilang dengan jari seorang ulama yang memiliki kesemua kebolehan ini. Dengan setiap kebolehan inilah yang menjadi ramuan lengkap menghasilkan resipi terbaik yang melengkapkan peribadi Allahyarham Haji Said Ibrahim muncul sebagai seorang ulama terbilang.

Dalam zaman yang serba moden ini, dengan segala kemudahan berkomunikasi dan jalinan pengangkutan yang serba pantas belum tentu setiap orang bersedia meninggalkan kampung halamannya bertahun-tahun untuk menuntut ilmu di tempat yang jauh. Dengan kemudahan penulisan yang serba mudah berbantukan komputer, belum tentu dapat menjadikan semua orang penulis yang prolifik seperti Said Ibrahim.

Karya-karyanya

Selain dari mengajar, Haji Said juga telah menghasilkan lebih daripada 20 buah buku agama yang membicaraan pelbagai aspek seperti fiqh, 'aqidah dan sebagainya. Antara karya beliau:-
  1. Sinaran Fiqh
  2. Mengenal al-Quran
  3. Manasik Haji & Umrah
  4. Qanun Jenayah Syariah
  5. Sistem Kehakiman Dalam Perundangan Islam
  6. Soal - Jawab Nikah Kahwin
  7. Fiqh Mazhab Syafi`i & Pendapat Imam-Imam Mazhab
  8. Perbandingan 'Aqidah & Fahaman Umat Islam
  9. Minhaj Ilmu Fiqh.
Selain tulisan berbentuk buku, beliau telah juga menghasilkan 32 kertaskerja yang dibentangkan dalam pelbagai seminar di peringkat antarabangsa. Beliau juga telah menyumbang tidak sedikit artikel dalam majalah-majalah agama seperti al-Islam, Dakwah, Roh Islam, Sinaran al-Quran dan Tamaddun.

Haji Said terkenal sebagai seorang yang tegas menangani gejala ajaran sesat yang menyalahi pegangan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang sebenar. Karya beliau "Perbandingan Aqidah & Fahaman Umat Islam" dihasilkannya untuk menjelaskan perbezaan firqah-firqah yang sesat seperti Syiah, Khawarij dan sebagainya.

Terbilang

Kerana sifatnya yang terbilang itulah Said Ibrahim dihargai dan diberikan pengiktirafan. Said yang hanya lulus daripada pondok pengajian di Jambi dan kemudian ke Mekah dianugerahkan sarjana kehormat Universiti Kebangsaan Malaysia, sesuatu yang tidak pernah diimpikannya. Pada hujung perjalanan hidupnya beliau berdiri dengan rendah diri di hadapan para sarjana dan cendekiawan pengajian Islam dan pakar pelbagai bidang ilmu yang lain. Pada 1991 Said Ibrahim dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Wilayah Persekutuan.

Selain rumahnya yang sebuah di Gombak, Said Ibrahim tidak meninggalkan harta benda dan kekayaan dunia. Beliau meninggalkan anak-anaknya yang soleh. Sedekah jariahnya yang kita ketahui adalah dalam bentuk bukunya yang dirompak lanun penerbitan. Karyanya disalin dan diulang cetak. Haji Said menghalalkan semua itu demi ilmu dan amalnya. Ilmunya juga banyak sudah ditaburkan selama beliau hidup dan kebanyakannya ditulis dan diterbitkan. Itulah harta peninggalannya yang paling berharga. Said Ibrahim berharap ilmu yang ditinggalkannya itu akan dimanfaatkan oleh umat Islam dan generasi akan datang selepas putus hubungannya dengan dunia yang serba fana ini.

Kembali ke Rahmatullah

Mufti Haji Said meninggalkan dunia yang fana ini pada tahun 2001 dalam usia 78 tahun dengan meninggalkan 8 orang anak serta ribuan anak murid. Sepanjang hayatnya, beliau tidak jemu-jemu menyumbangkan tenaga dan idea dalam memartabatkan Islam. Mudah-mudahan segala amalnya dinilai sebagai ibadah yang tulus dan rahmat Allah yang berkekalan dicucuri atas beliau.

Buku Said Ibrahim Mufti Tegas dan Terbilang

Buku karya Roosfa Hashim, pensyarah di pusat pengajian umum, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Terbitan Pustaka Yamien, cetakan pertama tahun 2009. Memuatkan sedikit sebanyak biografi Mufti Haji Said Ibrahim, ulama yang gigih berdakwah dan menyebarkan ilmu. Sesekali elok juga kita membaca mengenai tokoh - tokoh ulama kita, agar nama dan jasa mereka kita ketahui. Jasa dan pengorbanan para ulama kita, hendaknya jangan dilupakan. Jangan hanya kagum dengan pemimpin duniawi dan meninggalkan penyuluh ke jalan Ilahi. Antara petikan yang dimuatkan dalam buku tersebut adalah kata-kata Ustaz Datuk Haji Ismail Kamus seperti berikut:
"Banyak jasa beliau kepada negara ini. Haji Said juga seorang ulama yang berani, tegas dan berpendirian. Beliau sangat disenangi oleh kawan dan rakan. Seorang yang sangat mengambil berat kepada semua anak didiknya. Beliau tidak pernah jemu menulis dan berdakwah sehingga ke akhir hayat beliau."

Siddiq Hasan Khan, Ulama Hadis India

Beliau ialah al-Imam al-’Allamah al-Usuli al-Muhaddis al-Mufassir as-Sayyid Siddiq bin Hasan bin Ali bin Lutfullah al-Husaini al-Bukhari al-Qinnauji. Nasab beliau berakhir pada Imam Husein, cucu terkecil dari Ali bin Abi Talib radiyallahu ‘anhu.

Beliau dilahirkan pada bulan Jamadilawal tahun 1248 H/1832M di negeri Berlhi tanah air datuknya yang terdekat dari pihak ibu. Kemudian keluarga beliau pindah ke kota Qinnauj, tanah air datuk-datuknya. Ketika tahun keenam ayahnya wafat, tinggallah dia di bawah asuhan ibunya dalam keadaan yatim. Sejak kecil, Siddiq tumbuh sebagai seorang yang afif (memelihara diri), bersih dan cinta kepada ilmu dan para ulama.

Ilmu dan Belajarnya

Beliau safar ke Delhi untuk menyempurnakan pelajarannya di sana. Beliau bersungguh-sungguh mendalami al-Quran dan as-Sunnah dan membukukan ilmu keduanya. Beliau memiliki keinginan yang kuat untuk mengumpulkan buku-buku, mendapatkan pemahaman tambahan dalam membacanya serta meraih faedah-faedahnya, khususnya kitab-kitab tafsir, hadits dan ushul. Kemudian beliau safar ke Bahubal untuk mencari biaya penyambung hidup beliau. Di sana beliau mendapatkan faedah besar, yaitu menikah dengan Ratu Bahubal dan beliau digelari dengan Nawwab Jaah Amirul Malik bi Hadar.

Guru-gurunya

Guru beliau cukup banyak, di antaranya Syeikh Muhamad Ya’qub, saudara Syeikh Muhammad Ishaq cucu Syeikh al-Muhaddis Abdul Aziz Ad-Dahlawi. Di antara guru beliau juga Syeikh al-Qadi Husein bin al-Muhsin As-Sa’bi al-Ansari al-Yamani al-Hadidi, murid dari Asy-Syarif Imam Muhammad bin Nashir Al-Hazimi murid dari Imam Asy-Syaukani. Guru beliau juga adalah Syeikh Abdul Haq bin Fadl al-Hindi, murid dari Imam Asy-Syaukani juga dan masih banyak lagi.

Karya-karyanya

Dalam mengarang, beliau memiliki kemampuan yang menakjubkan, iaitu dapat menulis beberapa kitab dalam satu hari dan mengarang beberapa kitab tebal dalam beberapa hari. Karya beliau dalam beberapa bahasa hingga 222 buah. Demikian yang dihimpun oleh Syeikh Abdul Hakim Syafaruddin, pentashih dan penta’liq kitab At-Taajul Mukallal. Beliau berkata, “Di antaranya 54 berbahasa Arab, 42 berbahasa Parsi dan 107 dengan bahasa Urdu”. Dan beliau belumlah menghitung jumlah yang sebenarnya.

Kitab-kitab beliau memenuhi dan mencapai segala penjuru dunia islam. Banyak para ulama tafsir dan hadits yang menulis risalah tentang beliau yang berisi pujian kepada kitab-kitabnya dan mendoakan kebaikan kepada beliau. Beliau juga dianggap sebagai tokoh kebangkitan Islam dan mujaddid. Di antara karya beliau yang tercetak dengan bahasa Arab:
• Fathu Bayaan fi Maqashisil Qur’an
• Nailul Maran min Tafsiiri Aayatil Ahkam
• Ad-Dinul Khalish
• Husnul Uswah bimaa Tsabata ‘anilhiwa Rasuulihi fin Niswah
• ‘Aunul Bari bi Halli Adillatil Bukhari
• As-Sirajul Wahhaj min Kasyfi Mathaalihi Shahihi Muslim bin Al-Hajjaj
• Al-Hittah fi Dzikrish Shihabis Sittah
• Quthfus tsamar fii Aqidatil Atsar
• Al-Ilmu Khaffaq fil Ilmil Itsiqaq
• Abjadul Ulum
Dan masih banyak lagi.

Wafatnya

Beliau wafat pada tahun 1307 H, bertepatan dengan 1889 M. Maka masa kehidupan beliau adalah 59 tahun qamariyah atau 57 tahun syamsiah. Semoga Allah merahmati beliau dengan rahmat yang luas.

Rujukan:
Indahnya Surga Dahsyatnya Neraka, karya Syeikh Ali Hasan, terbitan Pustaka Al-Haura’, Jogjakarta, halaman 81-84

Catatan:
Di atas beliau digelari dengan al-’Allamah al-Usuli al-Muhaddis al-Mufassir as-Sayyid. Ertinya adalah sebagai berikut:
• al-’Allamah : Orang yang banyak sekali ilmunya
• al-Usuli: Ahli ilmu usul (ilmu-ilmu dasar dalam agama)
• al-Muhaddis: Ahli dalam ilmu hadis
• al-Mufassir: Ahli tafsir
• Adapun as-Sayyid, belum didapatkan maksudnya apa. Mungkin beliau digelari dengan as-Sayyid kerana beliau masih keturunan Ali bin Abi Talib radiyallahu ‘anhu, wallahua’lam.

Video Dr Yusuf al-Qaradawi di Malaysia

Dr Yusuf al-Qaradawi - Fiqh Al-Jihad



Dr Yusuf al-Qaradawi di Shah Alam

Jumat, Desember 25, 2009

Riwayat Cinta Rasulullah SAW, Sahabat Nabi dan Ulama'

Pada Aisyah, Ia Dapati Rehat Penuh Cinta

Orang yang lebih tampan dari dirimu, belum pernah mata ini melihatnya
Orang yang lebih sempurna darimu, belum pernah dilahirkan wanita
Engkau diciptakan bersih dari semua cacat dan noda
Seolah kau dicipta, sepert
i yang kau suka
(Aisyah radiyallahu 'anha)

Inilah syair yang digubah Aisyah untuk suami tercinta, Muhammad sallallahu 'alaihi wa sallam. Aisyah, selalu menghadirkan keceriaan di tengah tugas-tugas berat Rasulullah memikul amanah risalah akhir zaman.

"Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam biasa meletakkan kepala di pangkuanku walaupun aku sedang haidh, kemudian beliau membaca al-Quran." (Riwayat Abdurrazaq)

"Dari Aisyah, sesungguhnya suatu kali Rasulullah memegang erat tangannya sambil berkata, "Seandainya kaummu mahu mengerti...Dahulu Kaabah roboh oleh banjir. Kalau saja bukan kerana mereka baru saja lepas dari kemusyrikan, nescaya aku bangun Kaabah di atas dasar-dasar yabg dibangun Ibrahim dan Ismail. Kupasangkan batu itu (hijr Ismail) padanya kerana memang bahagian darinya. Aku telah meletakkan di tempat tersebut dua pintu yang aku letakkan dekat tanah. Tetapi kaumu mengangkat pintunya agar tak ada yang bisa masuk kecuali yang mereka kehendaki... (Riwayat Ibnu Asakir)

Pada Nailah, Kita Belajar Ketulusan

Tamadhar, isteri mulia, Abdurrahman ibn 'Auf berkata kepada Usman ibn Affan Radiyallahu 'anhu, "Bersediakah engkau menikah dengan puteri pamanku, seorang gadis yang cantik, tubuhnya padat, pipinya lembut dan fikirannya cerdik?"

"Insya Allah", jawab Usman, "Siapakah dia?"

"Nailah binti al-Farafishah al-Kalbiyah"

Sesudah menikah, Usman bertanya pada Nailah, "Pastinya kau tidak suka melihat ketuaanku ini?"

Nailah tersenyum dan menunduk sambil berkata, "Saya termasuk wanita yang lebih suka memiliki suami lebih tua."

"Tapi aku telah jauh melampaui ketuaanku?"

Kembali Nailah tersenyum dan berkata, "Tapi masa mudamu sudah kau habiskan bersama Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam. Dan itu jauh lebih aku sukai dari segala-galanya."

Waktu berlalu, hari berganti dan bulan terus berjalan, Nailah yang telah melahirkan Maryam dan Anbasah binti Usman dari pernikahan ini tetap setia mendampingi suami tercinta. Hingga ketika hari itu tiba, saat pasukan pembangkang mengepung rumah Usman, lalu mereka menerobos masuk dan mendapati beliau sedang tilawah. Tanpa menggubrisnya mereka mengayunkan pedang-pedang terlaknat ke tubuh tua beliau. Nailah, sang bidadari, segera menjatuhkan tubuh ke pangkuan Usman untuk melindunginya. Dan, ya.., jari-jari tangan perempuan tulus itu putus.

Ketika akhirnya Usman wafat dalam kemuliaan, Muawiyah ibn Abu Sufyan mengirim utusan untuk meminang Nailah. Tapi apa jawaban Nailah? "Tidak mungkin ada seorang manusia pun yang bisa menggantikan kedudukan Usman di dalam hatiku."

Apakah faktor usia memang tidak akan menjadi masalah dalam pernikahan? Tergantung, jawabnya ada pada masing-masing kita. Di kisah ini, Usman berusia 81 sedang Nailah 18. Ternyata Nailah membuktikan ketulusan cintanya.

Jangan difikir hanya lelakinya yang selalu lebih tua. Zaid ibn Haritsah, semula adalah putera angkat Rasulullah, menikah dengan Ummu Aiman yang merupakan pengasuh Rasulullah saat beliau bayai. Nah? Apa motivasinya hingga Zaid begitu bangga menikahi Ummu Aiman? Tentu kalimat Rasulullah yang berbunyi, "Barangsiapa ingin menikahi wanita ahli syurga, maka nikahilah Ummu Aiman!"

Jus Mangga Tilmisani: Kenangan, Kesetiaan

Pada suatu Ramadhan, Ustaz Umar At-Tilmisani diundang untuk menghadiri pertemuan di Iskandariah. Para pengundang menyiapkan hidangan berbuka puasa untuk beliau, Di antara hidangan tersebut terdapat jus mangga. Salah seorang ikhwan menyuguhkan segelas jus mangga kepada beliau. Beliau meminta maaf sambil mengatakan bahawa beliau tidak dapat menerima dan meminumnya.

Sebahagian hadirin memperhatikan adanya perubahan pada air muka beliau. Mereka pun bertanya, "Apakah ustaz alergi pada jus mangga. Ataukaj jus mangga bisa menganggu kesihatan ustaz?"

"Tidak..". jawab beliau.

Setelah berbuka, hadirin begitu penasaran mengapa beliau tidak mahu memnum jus mangganya. Mereka terus mendesak beliau untuk menjelaskannya.

"Apabila saya terlambat pulang kerja", kata beliau, "Al-Marhumah isteri saya selalu menunggu dengan sabar sembari menyiapkan dua gelas jus mangga. Kemudian kami berdua meminumnya bersama-sama. Sekarang, isteri saya sudah wafat. Saya tetap merasa berat untuk meminum jus mangga sendirian. Sya tak bisa meminumnya tanpa dia."

"Saya", lanjut beliau, "Selalu memohon kepada Allah agar Ia mempertemukan kami berdua di syurga. Lalu, kami dapat bersama-sama menikmati minuman syurga. Lalu, kami dapat bersama-sama menikmati minuman syurga.."

Subhanallah!

Petikan:
Agar Bidadari Cemburu Padamu karya Salim A. Fillah

Rabu, Desember 23, 2009

Syair Ibnu Jauzi

Wahai penghuni dunia, bersiaplah dan tunggulah hari perpisahan

Siapkanlah bekal untuk perjalanan, maka kamu akan mendapatkan teman

Tangisilah dosa-dosa dengan air mata yang mengalir dari mendung-mendung yang tebal

Wahai orang yang menyia-nyiakan waktunya, apakah kamu rela dengan apa yang telah hilang

Petikan:
Ringkasan Siyar A'lam An-Nubala' (Buku 4)

Syair Ibnu Asakir

Wahai jiwa celakalah kamu jika uban telah tumbuh

Maka untuk apakah bujuk rayu dan untuk apa pernyataan cinta


Masa mudaku hilang dan masa tuaku bertahan


Seakan-akan jiwaku penuh dengan kealpaan

Sedangkan utusan kematian telah datang

Andai saja syairku sampai kepada orang yang kutuju

Dan Allah telah menetapkan takdir azaliku.


Petikan:
Ringkasan Siyar A'lam An-Nubala' (Buku 4)