Pages

Kamis, November 29, 2012

Puisi: Peduli Penuh Erti

Peduli Penuh Erti
(Buat Palestin dan sedikit saran buat umat)

Tika bumi mereka
dicurahkan air darah
kalbu ini sungguh pedih
sungguh hiba memerhati
perlakuan yang tak ada belas
yang tak berpenghujung.

Ku jua ingin merasai
dan meringankan peritmu
dengan melebarkan tangan
untuk berqunut nazilah
yang diteladankan Nabi
bukan dengan nada boikot
pada benda Yahudi
kerana yang bersalah itu
adalah zionis Israel.

Pedulimu
biarlah peduli penuh erti
bukan turuti emosi
dengan pekikan boikot di sana-sini
tika hiba dan radangmu memuncak
tidak dilupai saranan Nabi
(dengan berqunut nazilah)
Itulah semurni cara.

Tika radangmu pada Israel
begitu membara
jangan kau lupa memerhati
ke dalam dirimu
pada salaah dan dosa
di sebalik panorama berdarah itu.

Jika kau ingin lihat
bumi mereka aman
panoramanya kembali
lebarkanlah tanganmu dengan
berdu’a di sepertiga malam
agar bumi al-Quds dapat
dibebaskan sekali lagi
dari sangkar zionis
untuk jangka masa nan abadi.

Sandakan,
16 November 2012.

Senin, November 19, 2012

Buku Hadiah Buat Pencinta Sunnah


Hadiah buat pencinta sunnah dan pencinta sastera.

Alhamdulillah, buku sudah siap dicetak dan baru diterima hari ini stoknya. Sebuah buku pertama terbitan Taman Uswah. Tidak dijual di dalam pasaran.

Sempena Awal Muharram ini, saya ingin me
ngadakan sebuah kuiz hadiah buku dan pemenangnya akan dihadiahkan senaskah karya saya ini. Berikut antara soalan-soalannya:

1. Yang manakah betul, merendah diri atau merendah hati?
2. Makhluk apakah yang pertama dicipta di dunia ini? Qalam atau air?
3. Benda/zat semulajadi apakah yang paling lembut di dunia ini?
4. Siapakah yang dekat berada di samping Rasulullah SAW di akhirat kelak berdasarkan hadith-hadith sahih?
5. Apakah barang atau perkara yang telah hilang daripada orang mukmin?

Hantar jawapan dengan mesej di inbox fb saya atau emel uswah89@gmail.com

Tarikh tutup: 15 Disember 2012

Harap maklum. Terima kasih.

Senin, Oktober 08, 2012

Karya Terbaru Saya

Karya terbaru saya.

Hadiah buat: Pencinta ilmu, pencinta sunnah dan pencinta sastera.

Himpunan Puisi dan Cerpen Pemikiran dan Nilai Islam Bersajikan al-Quran dan as-Sunnah

Penerbit: Taman Uswah
Rekabentuk Kulit Buku/Susunatur Teks: Nimoiz Grafik
Halaman: 102

 Buku ini mengandungi 40 buah puisi€ dan cerpen. Kesemua puisi dan cerpen ini mengetengahkan tema pemikiran dan nilai Islam. Yang turut disajikan dengan ayat al-Quran dan hadith Rasulullah SAW. Setiapnya mempunyai mesej pemikiran dan nilai untuk kita amati dan renungi bersama.

 *Sedang dalam proses cetakan.

Senin, Agustus 27, 2012

Pemergian Dr. Umar Sulaiman Al-Asyqar



Inna lillahi wainna ilaihi raji’un.
Salah seorang ulama' besar di Jordan telah kembali ke rahmatullah.

Iaitu Fadhilatus Syeikh Dr. Umar Sulaiman Al-Asyqar rahimahullah yang telah meninggal dunia pada 22 Ramadhan lalu (10 Ogos 2012) pada hari Jumaat dalam usia 72 tahun.

Berita ini sangat menyedihkan kita, satu persatu ulama kita berangkat menuju kehidupan akhirat.

Di antara karyanya yang paling mengesankan saya yang pernah dibaca suatu ketika dahulu adalah mengenai sebuah karya mengenai ikhlas (Pengertian dan Hakikat Ikhlas terjemahan terbitan Jasmin Enterprise). Judul Arabnya saya tidak pasti.

Semoga Allah merahmatinya, membalas kebaikannya dan mengampuni kesalahannya.

Dr. Umar Sulaiman Al-Asyqar rahimahullah adalah ulama' besar kelahiran Palestin yang tinggal di Jordan. Dia lahir tahun 1940 M. Dia adalah ulama' dan penulis yang produktif, pengajar di Universiti Jordan, Amman. Dia berhijrah ke Madinah dan masuk ke Universiti Islam Madinah. Dia lalu pindah ke Kuwait sampai kemudian mendapat gelar Doktor di Universiti Al-Azhar.

Di antara gurunya adalah Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Nasiruddin al-Albani, Syeikh Abdul Jalil al-Qarqasyawi dari Ulama' al-Azhar. Dia banyak menulis buku. Di antara karya-karyanya adalah:
- Tarikh Al-Fiqhil Islamy (Sejarah Fiqih Islam)
- Alam As-Sihr wa Asy-Sya’wazah (Dunia sihir)
- Al-Madkhal Fi Dirasatul Madaris wal mazahibil fighiyah (Pengantar pelajaran aliran dan mazhab fiqih)
- Alam Jin wa Syayatin (Dunia Jin dan Syaitan) dan masih banyak lagi bukunya yang lain.

Rujukan:
1. http://www.soufia-h.net/showthread.php?t=15023
2. http://biografiulamasunnah.blogspot.com/2009/11/syaikh-muhammad-dan-umar-asyqar.html

Rabu, Agustus 01, 2012

Makna Dibelenggu Syaitan Pada Bulan Ramadhan

Rasulullah SAW bersabda:

 إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ

“Apabila masuk sahaja Ramadhan, maka pintu-pintu Jannah (Syurga) pun dibuka, pintu-pintu jahannam ditutup, dan syaitan-syaitan pula dibelenggu.” (Riwayat al-Bukhari, 11/55, no. 3035)

Rasulullah SAW bersabda:

"Ketika malam pertama bulan Ramadhan datang, para syaitan dan pembangkang dari kalangan jin dibelenggu." (Riwayat al-Tirmizi dan dia menganggapnya hasan)

Al-Allamah Muhammad bin Muflih rahimahullah berkata, "Menurut pemahaman zahirnya hadith inim syaitan-syaitan dibelenggu dan dirantai pada bulan Ramadhan. Atau yang dimaksud dengan para pembangkang pada lafaz ini adalah pembangkang dari kalangan jin. Seperti itu pula yang ditetapkan oleh Abu Hatim, Ibnu Hibban dan ulama' yang lainnya. Maksud dari hadith ini bukan menafikan kejahatan sama sekali, tetapi memperkecil kejahatan, kerana lemahnya syaitan-syaitan."

Dia melanjutkan, "Imam Ahmad memahami hadith ini sesuai dengan zahirnya, sebagaimana kata Abdullah bin Ahmad, "Saya berkata kepada ayah saya, mengapa kita kadang melihat ada orang yang kerasukan jin pada bulan Ramadhan? Ayah menjawab, "Beginilah yang terdapat dalam hadith, dan kamu tidak perlu menanyakan tentang hal itu."

Dasar yang dipakai oleh Imam Ahmad, bahawa dia tidak mentakwil hadith-hadith kecuali yang ditakwil oleh ulama' salaf. Dan selama para ulama' salaf tidak menakwilkan sebuah hadith, dia juga tidak menakwilkannya."

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin ketika ditanya tentang persoalan ini menjawab, “Di dalam sebahagian riwayat hadith (maksudnya) : “Dibelenggu padanya (Ramadhan) syaitan-syaitan yang degil/derhaka.” Atau (dengan lafaz) Tughallu di sisi al-Nasa'i atau yang seumpamanya yang termasuk dalam perkara ghaib yang mana hendaklah kita menerima dan membenarkannya, dan kita tidak membicarakannya lebih daripada yang itu, sesungguhnya inilah yang lebih selamat bagi agama seseorang dan lebih baik untuknya. Kemudian secara zahir dibelenggunya syaitan itu (adalah membawa maksud dibelenggu) daripada memesong/menyesatkan manusia disebabkan banyaknya kebaikan dan (mereka banyak) kembali (bertaubat) kepada Allah dalam bulan Ramadhan.”

Dinukil dari buku Wiqayatul Insan Minal Jinni wasy-Syaitan oleh Syeikh Wahid Abdussalam Bali

Rabu, Juli 25, 2012

Sikap Imam al-Bukhari Yang Mengikuti Sunnah Rasulullah SAW

Ada satu kisah di mana Imam al-Bukhari berbuka puasa ketika sakit berdasarkan sebuah athar daripada sahabat dalam sikap Imam al-Bukhari mengikuti sunnah Rasulullah SAW.

 Abu Abdullah al-Hakim diberitakan oleh Abu Hasan bin Mahib bin Sulaim, dia berkata bahawa aku telah mendengar Muhammad bin Ismail al-Bukhari berkata: "Ketika di Naisabur aku mengalami sakit yang ringan, tepatnya di bulan Ramadhan. Saat itu, Ishak bin Rahawaih dengan para sahabatnya dan berkata kepadaku: "Apakah engkau telah berbuka puasa wahai Abu Abdullah?" Aku berkata: "Ya." Dia berkata lagi: "Aku khuatir akan dirimu yang tidak mampu menerima kewujudan rukhsah. Aku berkata lagi: "Kami diberitakan oleh Abdan dari Ibnu al-Mubarak dari Ibnu Juraij, dia berkata bahawa aku berkata kepada Atha: "Penyakit seperti apa yang harus membuatku berbuka puasa? Dia berkata: "Dari penyakit apa sahaja." Hal itu sebagaimana yang dikatakan oleh Allah SWT: Ertinya: "Maka sesiapa di antara kamu ada yang sakit." (Al-Baqarah: 184)

 Imam al-Bukhari berkata bahawa riwayat ini tidak dimiliki oleh Ishak. Jadi riwayat ini menunjukkan Imam al-Bukhari telah meriwayatkan sebuah athar dalam satu masalah yang tidak dimiliki oleh gurunya, Ishak bin Rahawaih. Sungguh begitu luas ilmu yang dimiliki oleh Imam al-Bukhari.

(Hayat Imam al-Bukhari, Abdussatar al-Syeikh, hal: 71)

Kamis, Juli 19, 2012

Fakta Sejarah Islam 3

Fakta sejarah 3: Dahulu pernah wujudnya Kesultanan Islam di China yang bernama Kesultanan Pingnan Guo. Pemimpinnya bernama Sultan Sulaiman Du Wenxiu. Tetapi, setelah itu kesultanan ini akhirnya dihapuskan oleh Dinasti Qing pada masa itu disebabkan orang Hui Muslim melakukan pemberontakan ke atas kerajaan yang telah menindas mereka. Akhirnya berlakulah pembunuhan beramai-ramai yang telah dilakukan tentera Qing kepada umat Islam dengan kejam. Di bawah ini adalah cop mohor Sultan Sulaiman.