Pages

Sabtu, Desember 08, 2007

Menyusuri Taman Ulama


Gambar ulama di sebelah ini merupakan seorang ulama hadis di zaman ini iaitu Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani. Beliau merupakan seorang ulama hadis yang terkenal, penulis kitab-kitab Musannafat yang termasyhur dan menulis makalah-makalah yang bermanfaat. Seluruh umurnya beliau habiskan untuk mempelajari dan berkhidmat kepada sunnah Rasulullah s.a.w. iaitu dengan membenarkan (Tashih), melemahkan (Tad'if), menjelaskan sifat-sifat yang tercela (Jarh) dan sifat-sifat yang terpuji (Ta'dil) terhadap sunnah Rasulullah s.a.w..

Gambar ulama di sebelah ini pula ialah Tok Kenali, seorang ulama nusantara dan ulama kita yang terkenal. Tok Kenali bukanlah orang biasa yang dikenali oleh masyarakat Islam di rantau ini, malah beliau adalah orang yang mempunyai ciri-ciri anugerah Tuhan. Setahun demi setahun namanya disebut. Ada yang mengatakan beliau seorang ulama besar, tiada tandingan. Dan ada pula yang mengatakan beliau seorang wali Allah. Ramai pihak buat kajian tentang kehidupan dan perjuangan beliau yang sehingga hari ini masih dibicarakan di dalam majlis keilmuan.

Syeikh Abu Hasan Ali Al-Nadwi (gambar di sebelah) merupakan seorang ulama India dan pemikir Islam yang ulung. Syeikh Al-Nadwi telah menghasilkan lebih 60 buah buku dalam pelbagai ilmu Islam terutama dalam bidang pemikiran. Pemikirannya sebaris dengan tokoh reformis abad ini seperti Abduh, Al-Afghani, Rashid Rida dan Shakib Arsalan. Sejak muda lagi, beliau mula bergiat dalam bidang dakwah. Pemergiannya merupakan satu kehilangan yang sukar diganti malahan dirasakan oleh semua lapisan masyarakat. Salah satu aspek yang sering disuarakannya ialah proses pembaratan di dunia Islam (westernisasi) dan materialisme yang merupakan 'agama' di Barat.

Hamka (gambar di sebelah) adalah ulama besar Nusantara yang sangat terkenal. Hamka juga merupakan seorang sasterawan yang terkenal. Lebih-lebih lagi beliau berasal dari tanah Minangkabau yang mempunyai pertalian dengan masyarakat adat perpatih di Negeri Sembilan. Setiap orang di negara ini yang pernah melihat dan mendengar kuliah agama yang disampaikan oleh tokoh ini pastinya merasai kerinduan yang mendalam terhadap nostalgia lampau. Ramai orang menitiskan airmata apabila tokoh ‘idola’ ini tersedu dalam ceramah dakwahnya di kaca TV kira-kira awal tahun 1970an dahulu. Gayanya yang tersendiri dalam berdakwah amat memukau sekali yang boleh menyentuh hati setiap insan yang mendengarnya. Teruskan perjalanan anda mengikuti kisah hidup ulama selepas ini, melalui taman ke taman dalam ruangan Taman Ulama Salafi, Taman Ulama Sunnah, Taman Ulama Nusantara, Taman Ulama Sufi & Wali Allah dan banyak lagi lainnya.

0 komentar: