Pages

Minggu, Desember 23, 2007

Pak Cu Him, Mengajar Ilmu Agama Disulam Dengan Syair

Pak Cu Him dilahirkan pada tahun 1894 di Bendang Daya, Patani. Nama sebenar beliau ialah Haji Wan Ibrahim bin Wan Abdul Kadir. Beliau adalah adik kepada Pak Da Ail Patani, guru di Mekah yang termasyhur. Oleh kerana abangnya digelar Pak Da, maka beliau diberi gelaran Pak Cu Him. Sejak kecil, beliau dididik oleh ayahnya mengikut cara Islam yang dipelajarinya. Kemudian, beliau dihantar belajar agama di Bermin, Patani.

Pada tahun 1912, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Makkah. Di Makkah, beliau belajar dengan Pak Chik Wan Daud, bapa saudaranya. Beliau begitu fasih berbahasa Arab disebabkan sejak kecil lagi tinggal di Makkah. Kebolehannya yang istimewa ialah mengarang syair Arab di mana beliau berjaya mengarang sebuah buku Qawaid al-Fiqhiah dalam bentuk syair dengan tulisan tangan. Kebolehan Pak Cu Him telah mendapat pengiktirafan dan diberi tauliah untuk mengajar agama di Masjidil Haram selama beberapa tahun. Pak Cu Him tinggal di Makkah selama 12 tahun dan menemui guru-guru termasyhur di sana yang di antaranya ialah Syeikh Yahaya Patani, Tok Ramli, Syeikh Muhammad 'Ali Maliki dan Syeikh Muhammad Mukhtar al-Jawi.

Setelah pulang ke tanahair, Pak Cu Him telah mengambil alih pondok mertuanya, Haji Ismail Che' Dol di Gajah Mati setelah berkahwin dengan anak gadisnya yang bernama Hajah Zainab pada tahun 1926.

Pada 14 November 1931, Syeikhul Islam Negeri Kedah iaitu Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek mengeluarkan tauliah kepada Pak Cu Him untuk mengajar agama dalam negeri Kedah Darul Aman. Pondok Gajah Mati di bawah pimpinan beliau mendapat sambutan ramai dan didatangi penuntut-penuntut dari Jambi, Mendiling, Patani, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan penuntut dari Kedah sendiri. Pada zaman puncaknya, pondoknya pernah mencapai angka 500 orang penuntut. Di dalam pengajarannya, Pak Cu Him meneruskan cara-cara yang ditetapkan oleh Tok Ayah Che' Dol di Pondok Gajah Mati iaitu mengajar bahasa Arab dengan mengutamakan nahu, saraf, loghat, syair dan mantiq. Ilmu-ilmu agama seperti fiqah, tauhid dan sebagainya turut diajar di samping mata pelajaran Quran dan Hadis. Beliau gemar mengajar syair Arab seperti Syair Ibnu 'Uqail dan beliau sendiri sentiasa menukil syair-syair Arab apabila bersembang dan mengajar. Beliau yang amat tertarik dengan ilmu Tauhid dan Usuluddin turut menjadikan pengajarannya amat menarik bila disulam dengan syair-syair yang berkaitan. Kitab-kitab nahu yang beliau gunakan dengan baik sekali ialah karangan Sheikh Jamaluddin Ibni Hisham seperti Syarah Al-Qutur dan Syarah Al-Syuzur. Manakala kitab-kitab Fiqah yang Pak Cu Him gunakan ialah Al-Tahrir dan Fathul-Wahhab karya Syeikh Zakaria Al-Ansari.

Dalam soal kemasyarakatan, Pak Cu Him mementingkan perpaduan. Beliau telah melihat bagaimana masyarakat Arab di Timur Tengah dilanda kucar-kacir kerana mereka tidak bersatu-padu dan enggan hidup bermuafakat. Beliau juga risau melihat keadaan bangsa Melayu di Negara Patani yang telah dikucar-kacirkan oleh pemerintah Thailand. Menyedari hal inilah, Penghulu Mukim Padang Pusing dengan imam dan ketua-ketua kampung seluruh mukim tempat Pondok Gajah Mati terletak telah berkumpul mengadakan mesyuarat bersama Tuan Guru Haji Ismail Che' Dol, Haji Awang (ayah Tuan Guru Haji Ahmad Rabat) dan Tuan Guru Haji Ahmad Rabat serta Pak Cu Him sekali kerana menggubal peraturan-peraturan untuk bersatu-padu dalam sebuah mukim. Perjanjian "Jam'iaitul Ittihadiyah" yang diterjemahkan sebagai "Perhimpunan Yang Bersuatu" telah ditandatangani pada 17 Ogos 1926. Anak-anak buah masing-masing dan penuntut-penuntut dalam pondok akan diberi penjelasan bahawa sesiapa yang engkar bekerjasama dengan penghulu, imam, Tuan Guru dan Ketua-ketua kampung akan dikenakan hukuman. Antara hukumannya ialah :

- Tiada menziarahinya apabila ia sakit.
- Memulaukan kendurinya.
- Tidak mengunjungi kematiannya melainkan dua orang yang akan mengebumikan mayatnya.
- Tidak akan mendapat layanan dari mudim dan bidan.
- Asingkan kuburnya.

Selain itu, orang ramai akan berpakat menangkap orang yang melanggar hukum-hukum adat dan syarak dan menyerahkan mereka kepada pemerintah supaya dihukum sewajarnya mengikut Undang-undang Negeri. Sebagai menguatkan amalan-amalan agama, pihak yang menurunkan tandatangan telah melarang anak buah di dalam Mukim Padang Pusing dari membuat kenduri pada hari Jumaat kecuali kenduri Maulid Nabi. Begitu juga jika diizinkan dan dianggap sebagai kesalahan jika membuat kenduri pada mana-mana hari tiga hari selepas Hari Raya Aidiladha dan pada hari-hari Puasa Enam 2 hingga 7 Syawal.

Pak Cu Him juga sempat mengarang kitab "Fathul Jalil Wa Syifa Ghalil" yang siap pada 30 Jun 1966. Dalam karya ini beliau menggubah 51 bait syair Arab dan membuat ulasan atau syarah kepada tiap-tiap bait itu dalam Bahasa Melayu. Kitab ini membicarakan antara lain tentang sifat mustahil Allah Taala iaitu qadim atau baharu. Selain karya yang diterbitkan ini, banyak catatan Pak Cu Him di dalam bahasa Melayu dan Arab mengenai fatwa-fatwa agama dan juga khutbah-khutbah yang ditinggalkan tanpa dicetak. Terdapat syair-syair Arab dan penjelasan-penjelasan mengenai Nahu Arab disusun dengan tertib dalam simpanannya.

Pak Cu Him menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 11 Syawal 1388 H bersamaan 11 Januari 1968 ketika berumur 75 tahun. Jenazahnya disemadikan di perkuburan masjid lama Kampung Gajah Mati berhampiran kubur Tok Ayah Haji Ismail Che' Dol.

0 komentar: