Pages

Kamis, Januari 31, 2008

Tok Selehor, Ulama Zuhud dan Pandai Mengarang Syair

Tok Selehor adalah seorang ulama yang telah memasyhurkan nama sebuah kampung pedalaman di jajahan Tumpat, Kelantan kerana ilmu pengetahuan yang disebarkan kepada para pelajar yang membina pondok-pondok di Kampung Selehor (kini kampung ini lebih dikenali dengan nama Kampung Kok Pasir, Kelantan). Tok Selehor juga dikenali sebagai Tok Selehong. Murid Tok Selehor bukan sahaja dikalangan penduduk tempatan tetapi juga mereka yang datang dari Patani, Kemboja, Pelembang, Jawa, Siak dan seluruh Tanah Melayu. Beliaulah ulama semasa dengan Tok Kenali bahkan dikenali sebagai ulama lima serangkai yang paling masyhur di kalangan rakyat Kelantan. Mereka ialah Tok Selehor (1871-1935) dari Tumpat, Tok Kenali (1868-1933) dari Kota Bharu, Tok Bachok (1860-1953) dari Bachok, Tok Jelapang(1861-1934 dari Pasir Mas dan Tok Kemuning(1885-1934) dari Machang.
Nama penuhnya ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Uthman bin Senik. Dilahirkan di Kampung Lubuk Jong, Kelantan (di kawasan pondok Selehor) di pinggir Sungai Selehor oleh ibunya Mek Wi binti Muhammad Amin pada tahun 1871. Beliau diasuh dan dibesarkan di kampung itu dengan mandian air sungai Selehor yang tenang dan masam kelat.
Pendidikan
Pada zaman itu, di Kelantan pengajian al-Quran dipandang sesuatu perkara yang amat mustahak. Muda-mudi yang tidak menghabiskan al-Quran 30 jujuk itu dipandang dengan suatu pandangan hina dan sukar untuk mendapat pasangan. Bagi Tok Selehor beliau beruntung besar kerana bapanya seorang guru al-Quran yang menyebabkan beliau dapat menghabiskan pengajian al-Quran dengan bapanya sendiri.
Belajar di Patani
Ayah Tok Selehor , Haji Uthman bin Senik mempunyai cita-cita besar supaya anaknya menjadi seorang ulama' kerana pada pandangannya anak yang soleh itu akan dapat memberi faedah yang besar kepadanya, sama ada ketika masih hidup apatah lagi setelah dia meninggal dunia. Kerana hasratnya itulah beliau telah menghantar anaknya belajar di Sungai Pinang kepada Tuan Guru Haji Abdul Malek. Tidak lama di sini, beliau menyambung pelajarannya ke Patani.
Di sana beliau belajar daripada Tuan Guru Haji Abdul Rashid, Kuala Bekah. Tetapi oleh kerana Haji Abdul Rashid ditangkap oleh kerajaan Thai sebab dibimbangkan pengaruhnya yang besar itu menimbulkan masalah politik di Selatan Thai. Beliau menyambung pelajarannya pula dengan Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Jong. Tok Selehor belajar di Patani selama kira-kira tujuh tahun. Demikian dinyatakan oleh Tuan Guru Haji Che Mamat bin Sharif, Kampung Kok Keli (Kampung berjiranan di sebelah Utara ) yang menjadi murid Tok Selehor selama lebih lapan belas tahun.
Semasa belajar di Patani beliau pernah berulang-alik balik ke Kelantan dengan berjalan kaki. Sepanjang perjalanannya beliau tidak gentar kepada musuh-musuh dan penyamun yang berada di Bukit Tanjung dan beberapa tempat lain kerana beliau pandai bersilat dan pandai bermain keris.
Minat Dalam Sastera
Minatnya kepada seni silat menjalar kepada seni sastera sehingga Tok Selehor menjadi cenderung membaca buku-buku sastera lama berbentuk syair seperti Hikayat Siti Zubaidah, Dandan Setia dan sebagainya. Beliau pandai pula membaca dengan lagu-lagunya yang merdu. Tambahan pula suara beliau sangat merdu serta dapat menarik minat umum untuk mendengar kemerduan irama suaranya ketika bersyair. Tok Selehor bukan sekadar pandai mendendangkan syair tetapi juga pandai mengarang syair. Kepandaian Tok Selehor mengarang syair pada ketika itu tiada sesiapa yang dapat menandinginya. Oleh kerana kebolehannya yang agak luar biasa itu, namanya menjadi masyhur dan beliau pernah diminta mengarang syair romantis. Lantaran syairnya beberapa orang isteri yang dibencikan suami kembali berdamai setelah menerima surat syair yang ditulis oleh Tok Selehor. Antara syair yang sangat berpengaruh yang masih diingati oleh Tuan Guru Haji Che Mamat bin Sharif, Che Yim dan Che Abdullah di Kampung Kok Pasir, Tumpat. (Kini Selehor adalah sebahagian daripada Kampung Kok Pasir). Ini syair yang dikarang oleh Tok Selehor:

Tiap-tiap malam kanda bermimpi
Adinda di tengah kanda di tepi
Menghisap rokok meminum kopi
Memeluk tengkuk mencium pipi.

Sedap rasanya tiada terperi
Harum baunya umpama kasturi
Suka dan hilai senang di hati
Kasih mesra sehingga mati.

Kahwin dan Ke Makkah
Ketika masih belajar di Patani lagi beliau berkahwin dengan wanita pilihan keluarga iaitu Wan Halimah binti Dollah, tetapi perkahwinan itu langsung tidak menjejaskan pelajarannya malah tambah mendorong lagi beliau belajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Setelah mendapat tiga orang anak iaitu Haji Mohamad, Kalsum dan Abu Bakar beliau pulang ke Kelantan.

Sekembalinya ke Kelantan dari Patani beliau menyambung pelajarannya di Makkah selama kira-kira lapan belas tahun. Menurut Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Hussin (Haji Lah Hutan Pasir), bahawa Tok Selehor sempat belajar di Mekah dengan Pak Cik Daud, mertua kepada Pak Da Ail, seorang guru bangsa Melayu yang masyhur di Mekah. Disebabkan catatan-catatan dan penerangan yang ditulis oleh Tok Selehor menarik perhatian Tok Kenali maka Tok Kenali telah memimjam kitab Musalli untuk mengajar murid-muridnya.
Ketika berada di Makkah Tok Selehor telah berkahwin dengan Hajjah Aishah binti Haji Mahmud dari Penambang, Kota Bharu. Tidak lama setelah pulang ke Kelantan mereka berpisah. Kemudian Tok Selehor berkahwin dengan Hajjah Mek binti Mat Saman dari Lambor Wakaf Bharu yang termasyhur dengan kecantikannya pada ketika itu. Hasil daripada perkahwinannya dengan Hajjah Mek, Tok Selehor telah dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Hajjah Khadijah isteri kepada Tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga, (ibu dan ayah kepada Dato' Dusuki Hj. Ahmad)
Manakala anak perempuan keduanya bernama Hajjah Maimunah. Tok Selehor berkahwin lagi dengan Che Bidah binti Hj. Umar dari Penambang Kota Bharu. Setelah itu beliau berkahwin pula dengan Che Chik binti Che Man dan hasil daripada perkahwinan ini beliau dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Aisyah, isteri kepada Tuan Guru Haji Awang Jal.
Membuka Pondok
Setelah kembali dari Makkah, Tok Selehor membuka pondoknya di tepi Sungai Selehor, dipercayai pada tahun 1340H. Beberapa tahun saja selepas penubuhan, pondok Tok Selehor berkembang dengan pesat sekali dengan penyertaan daripada pelajar dari dalam dan luar negeri. Pelajar-pelajar pondok Tok Selehor bukan saja terdiri daripada anak tempatan , tetapi juga mereka yang datangnya dari Johor, Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Palembang, Jawa, Siak dan sebagainya. Bagi keperluan air bersih yang mencukupi, Tok Selehor telah mengali sebuah telaga besar pada tahun 1343H. Sehingga kini ( November 1999) telaga itu masih wujud dengan disesuaikan oleh waris beliau yang tinggal di Selehor.
Mengajar
Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi sangat diminatinya ialah bidang tasawwuf. Kitab Hikam oleh Ibn Ataillah merupakan kitab yang paling disukai diajarkan kepada muridnya dan orang ramai. Mungkin Tok Selehor mendapati kitab ini mendorong manusia membaiki diri dan mendampingi diri kepada Allah serta menjauhi dari sifat-sifat terkeji seperti sombong, hasad dengki, ria, sum'ah dan sebagainya.
Tok Selehor menyampaikan ajarannya begitu dimesrai oleh para pendengarnya. Pengajarannya tidak menjemukan walaupun disampaikan berulang-ulang kali. Menurut Tuan Guru Haji Hassan Ahmad: " Saya tidak pernah mendengar orang mengajar yang lebih manis dan mesra yang dapat menandingi pengajaran Tok Selehor."
Ketika membicarakan tentang dosa maka Tok Selehor menyampaikan dengan begitu berkesan sekali sehinggakan ada di kalangan pendengarnya yang menanggis kerana takut dan insaf dengan ajaran-ajaran itu. Pada setiap hari Selasa Tok Selehor mengajar untuk mesyarakat umum dan pada hari itu berduyun-duyunlah manusia datang ke pondok selehor dengan berjalan kaki, walaupun berpuluh-puluh batu jauhnya. Disebabkan sukakan pengajaran Tok Selehor mereka tetap datang walaupun terpaksa merempuhi hujan dan panas terik.
Kebanyakan orang yang datang mendengar Tok Selehor mengajar ialah dari Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Palekbang, Kelong, Tumpat, Bunohan, Telaga Bata, Geting dan sebagainya sehingga Pondok Selehor menjadi seakan pekan kecil atau pasar minggu. Demikian dijelaskan oleh Pak Su Ismail bin Haji Abdul Rahman, bekas imam Tua Mukim Delima, Wakaf Bharu, yang juga seorang murid Tok Selehor.
Selain daripada mengajar di Selehor, Tok Selehor juga pernah mengajar di Wakaf Bharu, dan salah satu tempat beliau mengajar menjadi tapak kepada Masjid Wakaf Bharu. Di Wakaf Bharu tidak kurang juga ramai pendengar yang datang untuk mendengar ajaran Tok Selehor.
Tok Selehor juga suka membaca kisah Isra dan Mi'raj. Ketika beliau membaca kisah itu terasa benarlah kemesraan orang ramai terhadap nabi Muhammad s.a.w. dan ada orang terpaksa memanjat batang kelapa untuk melihat Tok Selehor yang sedang mambaca Isra' dan Mi'raj itu. Kebanyakan orang yang datang mendengar pengajaran Tok Selehor telah berubah dari tidak pernah sembahayang kepada sembahayang, dari berperangai jahat kepada berperangai baik dari seorang yang nakal kepada seorang yang insaf. Sehingga kampung Selehor yang dulunya banyak amalan pemujaan hantu-hantu dan lain-lain amalan khurafat hapus sama sekali.
Perayaan Maulid al-Nabi
Tok selehor pernah mengadakan perayaan maulid al-Nabi secara besar-besaran dan dialah ulama Kelantan yang mempelopori perayaan seperti itu. Berzanji dibaca dengan penuh perasaan. Perarakan besar-besaran diadakan. Pernah beribu-ribu orang datang ke majlis perayaan maulid anjurannya. Hal ini pernah dikritik oleh akhbar-akhbar di zaman itu, tetapi beliau tidak juga berhenti kerana beliau ingin menanam rasa cinta umat kepada nabi yang penuh tenaganya berjuang menyebarkan Islam. Dengan cara ini anak-anak pondok lebih cepat bermera dengan ajaaran Nabi dari hanya menyampaikan kisah tanpa diadakan gerak kerja.
Kegemarannya
Tok Selehor sebagai seorang peminat seni iaitu beliau begitu gemar kepada perkara yang cantik-cantik. Beliau sukakan kuda yang cantik, biri-biri jantan yang cantik, dan suka kepada ayam jantan laklung (berkokok dengan suara yang merdu dan panjang). Selain itu hobinya ialah suka memburu rusa dan memukat ikan. Beliau pernah keluar memukat ikan di kuala Tumpat dan sebagainya. Istimewanya ikan-ikan yang diperolehi itu dibahagikan kepada penduduk di sekitar pondoknya dan kepada anak-anak pondoknya.
Bersuluk
Tok Selehor adalah seorang yang zuhud dan wara'. Beliau bimbang hatinya menjadi angkuh kerana terlalu dipuja dan takut menjadi ria. Oleh itu beliau mengadakan suatu lubang di atas Kubur Selehor untuk tempat sembahayang dan tempat berkhalwat. Lubang yang dikenali sebagai suluk ini masih kekal hingga ke hari ini. Hj. Che Mamat Sharif menerangkan bahawa Tok Selehor berkata kepadanya tujuan dibuat lubang di dalam tanah itu supaya hati menjadi kecut dan sentiasa ingat kepada mati.
“Inilah sebenarnya suatu langkah untuk benar-benar insaf dan mendekatkan diri kepada mati ialah dengan berkhalwat di dalam lubang terutama di atas kubur dan kerana di sana akan dirasai bagaimana hidup seorang diri di dalam tanah itu dan akan lahirlah perasaan ingin membuat bekal untuk menghadapi mati supaya tidak menyesal kemudiaan.”
Kawan Baik Tok Kenali
Tok Selehor adalah kawan baik Tok kenali. Sebab itu perhubungan mereka sering terjalin dan pernah mereka mengadakan perbincangan-perbincangan dalam usaha mengembangkan Islam. Tok Kenali mengelarnya sebagai "Penyair Kita". Mengikut keterangan Tuan Guru Encik Ismail Ali (pak Su Wail) Kampung Danggar, bahawa beliau bersama-sama melawat kematian Tok kenali dan pergi ke kubur bersama-sama Tok Selehor pada tahun 1933M.
Tok Selehor telah menyuruh beliau mengamalkan wirid wali tujuh dan supaya sentiasa membaca ayat Al-Kursi. Encik Ismail yang sempat belajar selama 15 tahun dengan Tok Selehor itu menjelaskan bahawa Tok Selehor seorang Zahid, wara, dan tawadhu; tidak banyak bercakap sia-sia dan suka beribadat.
Berburu di Tempat Puaka
Pada suatu hari pada tahun 1935M, Tok Selehor pergi memburu rusa sebagaimana kegemarannya, biasanya di Selatan Thai. Tetapi pada kali ini dia pergi berburu dekat Gual Periuk suatu tempat yang dianggap berpuaka. Tok Selehor tidak takut sedikitpun. Semasa berburu beliau mengunakan pipit pemanggil rusa. Setelah ditiup pipit itu maka rusa pun datang dan ketika itulah rusa dapat ditembak dan disembelih. Sebab itu Tok Selehor tidak hampa ketika memburu rusa. Demikian dijelaskan oleh Tuan Guru Haji Abdullah Husain dan Encik Mamat bin Senik, Selehor.
Yu Besar di Pengkalannya dan Wafatnya
Selepas tiga hari pulang dari memburu rusa, seekor ikan yu yang besar yang belum pernah dilihat oleh penduduk Selehor muncul dan timbul di pengkalan tempat mandi Tok Guru Selehor. Selepas beberapa hari ikan itu berada di Sungai Selehor, kemudian keluar semula ke laut. Dua hari kemudian datang kumpulan burung gagak dengan ramainya sehingga orang ramai hairan melihat peristiwa itu kerana tidak mengetahui apakah maksudnya.
Beberapa hari selepas itu Tok Selehor ditimpa sakit kepala. Walaupun diubati tidak juga sembuh. Selepas lapan hari, iaitu pada malam Khamis 18 Zulkaedah 1353, bersamaan 20 Februari 1935 jam 8.30 malam dia pun meninggal dunia dalam usia 64 tahun.
(Dipetik daripada majalah Pengasuh bilangan 459 dengan sedikit perubahan)

0 komentar: