Pages

Jumat, Februari 01, 2008

Ahmad Syakir, Ulama Hadis Kebanggaan Mesir

Ahmad Syakir dilahirkan di Kaherah, Mesir pada tahun 1892 Masihi bersamaan 1309 Hijrah. Selepas ayahnya dilantik oleh kerajaan Mesir sebagai ketua para qadhi di Sudan pada tahun 1900, beliau berhijrah bersama ayahnya ke sana. Di sana beliau belajar di sebuah institusi pengajian sehinggalah ayahnya kembali ke Mesir. Seterusnya ayahnya telah dilantik menjawat jawatan Ketua Ulama Iskandariah pada tahun 1904. Bermula dari saat itu Ahmad Syakir meneruskan pembelajarannya di Maahad Iskandariah.

Di awal usia mudanya Ahmad Syakir amat meminati sastera dan syair. Selepas itu barulah minatnya beralih kepada ilmu hadith. Minat ini disokong sepenuhnya oleh ayahnya. Semasa muda, Ahmad Syakir dan adik beradiknya belajar beberapa buah buku yang diajar oleh bapa mereka sendiri meliputi bidang Tafsir, Hadis, Fiqh dan Usul Fiqh serta lain-lain lagi.

Ahmad Syakir menyambung pembelajarannya di Universiti al Azhar. Di al Azhar, Mesir. Beliau sering berdamping dan belajar daripada para ulama yang ada di universiti tersebut. Beliau juga pernah menuntut ilmu hadith daripada seorang ahli hadith terkemuka Maghribi iaitu Abdullah Ibn Idris al Sanusi. Beliau pernah bertemu dan belajar dengan Syeikh Muhammad Ibn al Amin al Syanqithi, Syeikh Tahir al Jazairi, Syeikh Rasyid Ridha dan ulama lain.

Pada tahun 1917 Ahmad Syakir telah berjaya menamatkan pengajian sehingga mendapat Ijazah Alamiyyah (phd) daripada universiti al Azhar. Beliau kemudiannya diberikan beberapa jawatan dan dilantik menjadi qadhi pada tahun 1951 seterusnya ketua Mahkamah Tinggi Syariah sehingga beliau bersara.

Beliau sentiasa menulis sepanjang hidupnya. Sumbangannya meliputi buku, penyemakan buku-buku klasik, artikel ilmiah dan sebagainya. Beliau amat tegas dalam menentang sebarang kemungkaran yang berlaku di zamannya. Beliau juga sentiasa memberikan pendapat-pendapat yang dianggap sebagai ‘ijtihad’ dan tidak sekadar menurut dan mengulangi perkara yang sudah disebut sekian lama. Ahmad Syakir amat mengagumi Ibn Hazm yang merupakan seorang imam bagi mazhab al Zohiri yang kadangkala membawa pendapat-pendapat tersendiri dalam fiqh selagi mana ada ruang untuk berijtihad. Ini jelas terbukti kerana beliaulah yang melakukan semakan dan seterusnya berusaha mencetak dua buku Ibn Hazm yang terkenal iaitu al Muhalla dan al Ihkam Fi Usul al Ahkam. Beliau sering memuji Ibn Hazm ketika memberikan komen pada tempat-tempat tertentu di dalam kedua buku tersebut. Namun begitu beliau tetap mengkritik pendapat-pendapat Ibn Hazm yang tidak tepat menurut pemahaman beliau.

Beliau sentiasa memberikan tumpuan ke arah menyebarkan buku-buku klasik samada dalam bidang hadith atau bidang-bidang ilmu Islam yang lain seperti fiqh, tafsir, Usul Fiqh, Sastera Arab dan sebagainya. Di antara buku terawal yang beliau cetak berserta semakan yang teliti ialah buku al Risalah karya Imam al Syafie pada tahun 1939. Segala komen yang beliau muatkan sepanjang mengkaji buku itu amat berfaedah.

Buku seterusnya yang dikaji dan dicetak oleh beliau ialah Sunan al Tirmizi atau nama sebenarnya al Jami’ al Kabir. Namun beliau hanya sempat menghabiskan kajiannya terhadap sebahagian buku tersebut dan dicetak dalam dua jilid. Cetakan buku Sunan al Tirmizi ini diteruskan oleh Muhammad Fuad Abd. Baqi dan Ibrahim Athwah. Tetapi bagi sesiapa yang membandingkan antara cetakan mereka berdua dengan cetakan Ahmad Syakir sudah pasti dapat menilai ketinggian ilmu Ahmad Syakir. Buku al Jami’ al Kabir telah dikaji oleh ulama lain seperti al Albani yang membahagikannya kepada dua buku iaitu Sahih Sunan al Tirmizi dan Dhaif Sunan al Tirmizi. Buku ini juga dicetak dan disemak oleh Dr. Basyar Awwad Ma’ruf sebanyak 6 jilid. Seorang lagi pengkaji hadis masa ini, Syuaib al Arnaouth juga telah membuat semakan terkini namun semasa artikel ini ditulis, ia belum lagi siap dicetak oleh Muassasah al Risalah.

Di antara buku-buku lain yang dikaji oleh Ahmad Syakir adalah seperti berikut:
Mukhtashor (Ringkasan) Sunan Abu Daud karya al Mundziri yang dicetak bersama Tahdzib Sunan Abu Daud karya Ibn Qayyim al Jauziyyah dan Ma’alim al Sunan karya al Khattabi. Buku ini dikaji oleh beliau bersama seorang lagi pengkaji hadith bernama Muhammad Hamid al Faqi.
Sahih Ibn Hibban yang tidak sempat beliau lengkapkan kajian terhadapnya. Buku ini pertama kali siap dikaji oleh Syuaib al Arnaouth dan dicetak oleh Muassasah al Risalah sebanyak 18 jilid.
Umdatu al Tafsir yang merupakan ringkasan yang beliau buat terhadap Tafsir al Quran al Azhim karya Ibn Kathir.

Tafsir at Thabari yang dikaji beliau bersama adiknya yang merupakan sasterawan agung bernama Mahmud Syakir.

Al Musnad karya Imam Ahmad Bin Hanbal yang dikaji beliau sejak tahun 1946. Beliau hanya sempat mencetak sebanyak 17 jilid. Sesiapa yang ingin melihat keluasan ilmu Ahmad Syakir dalam bidang hadith, bolehlah melihat komen dan ulasan beliau di dalam buku al Musnad. Al Musnad telah siap dikaji oleh sekumpulan pengkaji dari Muassasah al Risalah dipimpin oleh ketua unit penyelidikannya Syuaib al-Arnaut. Ia siap dicetak pada tahun 2001 sebanyak 50 jilid.

Islah al Manthiq karya Ibn al Sikkit, al Ashmaiyyat dan al Mufaddhaliyyat yang dikaji bersama sasterawan terkenal bernama Abd. Salam Harun.

Kajian yang dilakukan terhadap buku-buku ini meliputi kajian teks dan juga kajian terhadap isi kandungan buku-buku tersebut. Kaedah pengkajian sebegini disebut sebagai ‘tahqiq’. Sekiranya terdapat hadith-hadith atau riwayat-riwayat para sahabat, maka Ahmad Syakir akan berusaha mengkaji kesahihannya. Kajian dibuat berdasarkan kaedah-kaedah pengkajian hadith atau apa yang dikenali sebagai Ilmu Mustolah al Hadith. Ilmu pengkajian hadith merupakan ijtihad dan usaha para ulama. Ahmad Syakir telah menilai kembali kajian para ulama terdahulu dan cuba membuat kajian lanjut. Hasil kajian ini kadangkala menjadikan beliau bersetuju dan adakalanya pula beliau tidak bersetuju dengan hasil kajian ulama terdahulu. Ini merupakan perkara biasa dalam suasana ilmu atau akademik. Kajian-kajian dan hasil yang beliau dapati juga telah dikritik pula oleh ulama-ulama hadith selepas beliau seperti Muhammad Nasiruddin al-Albani, Syuaib al- Arnaut dan sebagainya. Ini merupakan lumrah yang sentiasa berlaku dalam kajian ilmiah.
Ahmad Syakir meninggal pada tahun 1958 dan beliau telah meninggalkan khazanah ilmu yang amat luas untuk disambung dan dinilai oleh generasi seterusnya. Salah seorang pengkaji sastera di Jordan yang bernama Umar al Qayyam telah menyifatkan beliau merupakan satu daripada tiga permata bernilai dalam bidang hadith zaman moden : Ahmad Syakir, Muhammad Nasiruddin al-Albani dan Syuaib al-Arnaut. Adiknya iaitu Mahmud Syakir telah menyifatkan abangnya sebagai Imam al Muhaddithin (imam bagi semua ahli hadith). Menurut Syuaib al Arnaouth : ‘Ahmad Syakir merupakan seorang yang telah sampai ke tahap mengetahui hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam secara riwayat dan dirayah (yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pada masa ini. Beliau dianggap sebagai perintis kepada penyebaran semula teks-teks hadith di kurun ini serta penyemakannya kembali mengikut kaedah yang dicontohi oleh para pengkaji hadith’.
(Pendahuluan Sahih Ibn Hibban – jilid 1 – muka surat 62 – cetakan Muassasah al Risalah)

Berikut adalah beberapa petikan kata-kata beliau yang dipetik daripada buku-buku yang beliau hasilkan:

‘Kaum muslimin pada tiga kurun awal Islam (sahabat, tabiin dan tabii al tabiin) merupakan golongan manusia yang paling mulia, tinggi akhlaknya, amat takut kepada ALLAH. Oleh sebab itulah mereka dibantu oleh ALLAH dan dibantu dalam menakluki negara-negara lain serta memimpin seluruh manusia dalam masa yang singkat. Ini dilakukan dengan agama dan akhlak yang indah terlebih dahulu sebelum mereka menakluki negara-negara itu dengan pedang dan anak panah’.
(Pendahuluan al Baith al Hathith – Ahmad Syakir – muka surat 8 – cetakan Dar al Turath)

‘Dan pendapatku ialah : memberi penjelasan tentang kedhaifan sesuatu hadith yang dhaif adalah wajib dalam semua keadaan. sebabnya ialah sikap tidak memberi penjelasan ini akan menjadikan orang yang melihat hadith ini menyangka ia adalah sahih’.
(Al Baith al Hathith – muka surat 76)

‘Tidak ada bezanya hadith dhaif dalam bab hukum-hakam atau fadhilat amalan dan perlulah menghindari dari mengambil riwayat yang dhaif. Bahkan tidak ada hujah bagi sesiapa kecuali apa yang sahih dari hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sama ada daripada hadith sahih atau hadith hasan’.
(Al Baith al Hathith – muka surat 76)

‘Adapun zaman kita ini, maka orang ramai telah meninggalkan ilmu riwayat (hadith). Kemudian mereka meninggalkan pengkajian hadith kecuali segelintir daripada mereka’.
(Alfiyah al Suyuthi Fi Ilmi al Hadith – muka surat 93 – cetakan al Maktabah al Ilmiyyah)

‘Dan siapa tahu, semoga umat Islam akan mengembalikan kegemilangannya dan kembali kepada agamanya dan ilmu-ilmu tentang agamanya. Dan tiada yang mengetahui perkara ghaib kecuali ALLAH’. (Alfiyah al Suyuthi Fi Ilmi al Hadith – muka surat 93)

Marilah kita mencontohi kegigihan Ahmad Syakir dalam menyebarkan ilmu berdasarkan kajian ilmiah. Kita juga perlu menginsafi bagaimana sayangnya Ahmad Syakir kepada karya-karya ilmiah klasik dan kepentingannya. Karya-karya ini perlu dinilai dan disebarkan dalam bentuk yang lebih baik agar khazanah ilmu ini dapat dikongsi oleh generasi akan datang. Semoga mereka yang berkelulusan agama terutamanya daripada Universiti al Azhar dapat mengikut jejak langkah beliau yang telah mengharumkan nama al Azhar dan Mesir suatu masa dahulu.

Sumber:
-Mahmud Muhammad Syakir, ar-Rajulu wa al-Manhaj.
-Pendahuluan buku Sahih Ibnu Hibban yang ditulis oleh Syuaib al-Arnaut.

0 komentar: