Pages

Senin, Februari 04, 2008

Wafatnya Dua Ulama Syria

Dua tahun lalu, ulama Syria, Syeikh Mustafa al-Turkmani telah meninggal dunia pada 4 Oktober 2006/11 Ramadan 1427) di Damsyik, Syria akibat stroke. Syeikh Mustafa al-Turkmani merupakan murid kepada seorang ulama Syria yang terkenal iaitu Syeikh Hasan Habannakah.

Dan Jumaat lalu ini (1 Februari 2008/23 Muharam 1429) seorang lagi ulama Syria telah menghadap ke pangkuan Ilahi. Dr Mustafa Said al-Khin telah meninggal dunia di Masjid Saidina al-Hasan, Damsyik, Syria, ketika khatib sedang berkhutbah dalam usia 89 tahun.

Kali ini, bintang usul fiqh Syria yang digelar Najmussuri wa usuli Syam, juga antara murid terhebat kepada Syeikh Hasan Habannakah, memiliki banyak tulisan yang cukup bermanfaat buat kita semua, kembali ke rahmatullah.

Dr Mustafa al-Khin yang mempunyai bilangan murid yang ramai di seluruh dunia itu merupakan amid pertama Kuliah Syariah di Universiti Damsyik serta mempunyai karangan yang banyak dalam kepelbagaian bidang ilmu agama.

Seorang ulama kontemporari yang luas karya karangannya terutama dalam ilmu usul fiqh dan ilmu fiqh.

Salah satu karya beliau dalam ilmu usul fiqh ialah al-Kafi al-Wafi fi Ushul al-Fiqh al-Islami. Dalam buku tersebut, al-Khin membuat sebuah pendekatan baru mengenai kecenderungan aliran dalam ilmu usul fiqh. Apabila sebelumnya hanya dikenal dua aliran saja, iaitu Mutakallimin dan fuqaha atau Syafi’iyyah dan Hanafiyyah, al-Khin membahaginya menjadi lima bahagian: Mutakallimin, Hanafiyyah, al-Jam’i, Takhrij al-Furu’ ‘alal Ushul dan Syathibiyyah.

Ada satu dialog yang berlaku selepas beliau meninggal di masjid tersebut:

Syeikh Karrim Rajih: Orang alim ini (Dr al-Khin), tidak tercemar dengan pemerintah mahupun dengan orang yang kaya.

Abu Idris: Oleh kerana itulah Allah mengambilnya di rumahNya.

Seorang lagi ulama telah kembali kepada Kekasihnya yang tercinta di kala kita sekarang ini yang telah kekurangan ulama dan orang-orang soleh. Semoga beliau ditempatkan di kalangan para nabi, orang-orang soleh dan kekasih-kekasihNya. Amin.

Lihat juga:

http://aljoofre.blogdrive.com/archive/152.html

http://bayu06senja.blogspot.com/2008/02/dr-mustafa-said-khin-telah-kembali-ke.html

http://www.marifah.net/forums/index.php?showtopic=2591

0 komentar: