Pages

Senin, Februari 11, 2008

Haji Muhammad Salleh Haji Hashim

Haji Muhammad Salleh Haji Hashim dilahirkan di Kampung Pulau Pisang, Mukim Tunjang, Jitra pada tahun 1864. Pendidikan awal yang diterima beliau ialah menerusi pondok Kampung Pulau Pisang yang ditadbir oleh datuknya. Haji Muhammad Salleh adalah cucu kepada Haji Ishak bin Muhammad Hashim, pengasas pusat pendidikan pondok Kampung Pulau Pisang dan Kadi Besar di negeri Kubang Pasu Darulqiyam yang diperintah oleh Tunku Anom dari tahun 1841 sehingga tahun 1853.

Beliau telah dihantar ke Mekah untuk memperluaskan lagi pengetahuan keagamaan pada tahun 1879 dan berada di sana selama 15 tahun. Haji Muhammad Salleh berjaya menguasai Ilmu Fiqah, Tauhid, Usuluddin, Tasawuf, Tafsir, Hadis dan ilmu bantu seperti Nahu dan Saraf dengan cekap. Beliau pulang ke Kedah ketika berusia 30 tahun.

Pusat pendidikan pondok di Pulau Pisang terus mendapat perhatian setelah kematian Haji Ishak kerana Haji Muhammad Salleh telah meningkatkan kegemilangan pondok tersebut di mana terdapat pertambahan jumlah murid iaitu di antara 800 hingga 1000 orang. Terdapat beberapa faktor yang menyumbang ke arah perkembangan dan kemajuan pusat pendidikan pondok di Kampung Pulau Pisang semasa pentadbirannya. Pertamanya, dari segi sejarah, Pulau Pisang telah mencapai taraf bandar dan menjadi ibu negeri Kubang Pasu sewaktu pemerintahan Tunku Anom. Keduanya, Haji Ishak yang telah menjadi Kadi Besar berjaya meletakkan asas ajaran Islam yang kukuh. Ketiganya, kewibawaan Haji Muhammad Salleh sendiri sebagai ulama yang gigih meninggikan syiar Islam dan keempatnya, kesedaran masyarakat untuk mendapat ilmu akhirat di samping menjauhi kejahilan.

Antara kitab yang digunakan dalam pengajian Fiqah ialah Minhaj Al Abidin, Fath Al Mu'in Al Baijuri dan Matan Al Minhaj. Manakala kitab Tauhid yang digunakan terdiri daripada Dusuqi, Kifayah Al Awam, Hidayah Al Salikin, Bidayah dan Dur Al Thamin. Kitab Tasawuf ialah Ihya Ulumuddin, Dur Al Nafis dan Risalah Al Muawanah. Kitab Hadis ialah Jauhar Al Tauhid dan Jawahir Al Bukhari. Tafsir yang digunakan ialah Jalalayn dan Tafsir Al Baidawi.
Haji Muhammad berupaya mengarang banyak kitab yang terkenal hingga ke Timur Tengah. Antara kitab karangan beliau ialah Sirajul-huda, Tanbihul-Awam Listiqadzil-Mana dan Nasihatuddin Azzakiyah. Namun begitu, semua kitab karangan beliau tidak bertahan lama kerana telah musnah dalam peristiwa kebakaran di pondok tersebut.

Beliau tidak hanya melibatkan diri dalam bidang keagamaan sahaja, di mana beliau bertanggungjawab menyediakan kemudahan sosial seperti membina jalan besar iaitu sebatang jalan besar yang menghubungi Kampung Pulau Pisang dengan Pekan Tunjang. Selain itu, beliau telah mengemaskini Masjid Ishaqiah dan mengasaskan more dan kenduri berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan. Setelah berbakti selama 50 tahun mengembangkan ajaran Islam di pondok Pulau Pisang, beliau meninggal dunia pada tahun 1944.

Sumber:
http://www.mykedah2.com/10heritage/102_4_04.htm

0 komentar: