Pages

Jumat, Februari 22, 2008

Tuan Guru Haji Mamat Merbau Patah

Nama penuh beliau, Haji Mamat atau Mohamad bin Osman, berasal dari Sungai Derhaka, Kuala Terengganu. Dari keturunan orang-orang alim. Dalam usia 13 tahun beliau sudah boleh membaca khutbah.

Mendapat pendidikan awal di Pondok Losong Haji Mat Syafie, kemudian pergi ke Kelantan berniaga sambil belajar. Beliau selalu mengadakan muzakarah dengan guru-guru di sana. Kecenderungannya kepada ilmu Tasauf sangat kuat.

Kemudian Tuan Guru Haji Mamat beruzlah di Mekah selama enam bulan. Selepas kembali ke tanahair, beliau bermimpi berada di bawah sepohon kayu yang terletak di atas tanah yang tinggi dan di situlah beliau mendapat pelbagai ilmu.

Beliau memulakan kuliahnya di kampung isterinya, Merbau Patah, Kuala Terenganu. Ketika itu, masyarakat di situ sangat berpegang kuat kepada kepercayaan syirik mengenai ‘acak’. Melalui pengajaran kitab Tauhid, akhirnya beliau berjaya menyedarkan masyarakat mengenai bahaya kepercayaan tersebut dan mengembalikan mereka kepada konsep Tauhid yang sebenar di sisi Allah. Keilmuan beliau mula tersebar ke merata tempat. Orang-orang yang mendengar pengajarannya datang dari seluruh pelusuk Malaysia.

Tuan Guru Haji Mamat adalah seorang yang alim dalam ilmu tasauf. Syarahannya dalam menghuraikan kitab Minhajul Abidin dan Al-Hikam Tok Pulau Manis adalah sangat mendalam.
Beliau memperolehi ilmu secara laduni. Setiap kali mengajar kitab Al-Hikam, beliau memberitahu seolah-olah beliau berada di lautan dan nampak laut dikepalanya. Kupasannya sentiasa berbeza walaupun mensyarahkan matan yang sama. Setiap kali beliau mengajar, lautan manusia akan memenuhi madrasahnya.

Tuan Guru jarang keluar dari madrasahnya. Beliau banyak menghabiskan masa di dalam bilik khalwat yang kecil. Sangat kuat ibadah dan mujahadahnya. Pada jam 3 pagi, kami murid-muridnya dapat mendengar Tuan Guru bersolat dan berzikir.

Beliau amat warak dalam mengeluarkan perkataan terhadap seseorang, walaupun terang-terangan orang itu membawa perjalanan yang batil, malah pernah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadapnya.

Beliau juga dikurniakan beberapa kelebihan. Diceritakan pernah datang 2 orang dari Sungai Rengas yang bergaduh disebabkan masalah hutang piutang. Sipemiutang hutang mendakwa sipenghutang tidak membayar hutangnya sebanyak RM200, tetapi dinafikan oleh sipenghutang. Akhirnya Tuan Guru Haji Mamat mengambil duitnya dan memberinya kepada sipemiutang sebagai bayaran hutang sipenghutang. Dua bulan kemudian, sipemiutang datang semula dan mengatakan duit yang diberi Tuan Guru tidak boleh digunakan sesen pun kerana dimakan bubuk. Wallahu ‘alam..

Tuan Guru juga sangat pemurah. Jika ada orang ingin meminjam duit, beliau akan memberinya tanpa mengiranya sebagai hutang. Beliau selalu berpesan kepada anak-anak, kalau tak ada duit beritahu kepadanya, dan jangan berhutang dengan orang lain. Sebaliknya, kalau anak-anaknya memberinya duit, beliau menolaknya atau disuruhnya duit itu diberi kepada si ibu.

Tuan Guru tidak mengamalkan apa-apa tariqat, tetapi hanya mengamalkan aurad biasa lepas sembahyang. Walaupun tidak menolak tariqat tetapi beliau memberitahu penulis bahawa terlalu banyak kesalahan malah kesesatan berlaku dalam pengamalan tariqat sekarang. Katanya, tasauf bukannya pada zikir, bukannya pada salasilah, bukannya pada ibadah yang banyak, bukannya suluk, bukannya mujahadah, tetapi hakikat tasauf ialah hidupnya jarum hati memandang hakikat KeTuhanan dalam setiap masa. Pandanglah segala dari Allah, dengan Allah dan kepada Allah, berpegang teguh dengan syariat dan hakikat serta memelihara diri dari yang haram, syubhat dan makruh.

Ketika saat kematiannya sudah hampir, beliau memberitahu anak-anak dan muridnya bahawa beliau mahu berjalan pada malam itu. Kemudian, beliau memanggil salah seorang anaknya dan berwasiat dengan dua perkara iaitu menjaga iman dan jangan bergaduh sesama ahli keluarga. Selepas solat Maghrib, beliau memejamkan matanya dengan lena. Pada malam itu, semua orang di madrasah tidak pulang ke rumah, mereka ramai-ramai membaca surah Yasin.

Menurut anaknya, kira-kira jam 3 pagi wajah Tuan Guru berubah kekuning-kuningan, wajahnya nampak segar dan tenang. Beliau akhirnya kembali menemui kekasihnya pada jam 4 pagi (tahun 1995). Sembahyang jenazah diimamkan oleh Tuan Guru Haji Hashim, mudir pondok Pasir Tumbuh dan semua murid jauh dan dekat turut datang mengiringi jenazah beliau buat kali terakhir. Kembalilah seorang ulama sufi menghadap kekasih yang dirinduinya, semoga Allah menempatkan ia dalam golongan mereka yang dimuliakan. Amin.

1 komentar:

Sonica mengatakan...

What an exciting experience!/Hilarious! Delightful! True!/wonderful stuff! thank you!
Merbau