Senin, Oktober 27, 2008

Sufyan Bin Uyainah, Kunikahi Dia Kerana Agamanya

Ulama tabiut tabiin ini dilahirkan pada tahun 107H pada pertengahan Syawal. Nasab lengkapnya, Sufyan bin Uyainah bin Abi Imran al-Kufi. Dia dikenal dengan panggilan Abu Muhammad.

Ayahnya seorang pegawai pada masa Khalid bin Abdillah Al-Qasri. Tatkala Khalid diberhentikan dari jabatan Gabenor Iraq dan digantikan oleh Yusuf bin Umar at-Tsaqafi, pejabat baru ini mencari-cari para pekerja pada masa pemerintahan Khalid, sehingga mereka berlarian untuk menyembunguikan diri. Uyainah, ayah Sufyan, melarikan diri sampai ke kota Makkah dan akhirnya memutuskan menetap disana.

Menuntut Ilmu Dengan Ulama

Ketika ia meningkat usia 15 tahun, ayahnya memanggilnya, seraya berpesan: “Wahai Sufyan! Masa kanak-kanak sudah lepas darimu, maka kejarlah kebaikan, supaya engkau termasuk orang-orang yang mengejarnya. Jangan tertipu dengan pujian orang-orang yang menyanjungmu dengan pujian yang Allah mengetahui, bahawa keadaanmu berlawanan dengan itu. Sebab, tidak ada orang yang berkata baik kepada orang lain tatkala ia sedang senang, kecuali ia akan berkata kejelekan kepadanya serupa ketika ia sedang dilanda amarah. Nikmati kesendirian daripada bergaul dengan kawan-kawan yang buruk. Jangan engkau alihkan prsangka baikku kepadamu kepada prasangka lain. Dan tidak akan ada orang yang berbahagia bersama dengan ulama, kecuali orang-orang yang mentaati mereka”.

Mendengar nasihat ayahnya ini Sufyan berkata dalam hati : ”Sejak itu, aku menjadikan pesan ayah sebagai arah kompasku, berjalan bersamanya, tidak menyimpang darinya”.

Begitulah yang ia jalani. Sejak usia dini, ulama besar ini telah menyibukkan diri pada pendalaman ilmu agama. Tepatnya pada tahun 119H.

Ibnu Uyainah mengisahkan tentang dirinya: ”Aku keluar menuju masjid, dan aku melihat-lihat halaqah-halaqah (majlis ilmu) yang ada. Bila aku lihat ada kumpulan ulama dan orang-orang tua, maka aku menghampirinya”.

Dia menceritakan: ”Aku duduk di majlis ilmu Ibnu Syihab dalam usia enam belas tahun tiga bulan”.

Salah satu yang menunjukkan keberuntungannya, sebanyak 80 ulama besar dari kalangan tabi’in sempat ia jumpai. Misalnya, ’Amr bin Dinas, az Zuhri, Muhammad bin al Munkadir, al A’masy, Sulaiman at Taimi, Humaid ath Thawil.

Menjadi Sumber Rujukan

Tentang kekuatan hafalannya, ia berkata, ”Aku tidak pernah menulis sesuatu, kecuali sudah aku hafal sebelum aku menuliskannya.”

Tak sia-sia, berkat pergaulannya dengan ulama-ulama besar, telah membentuk dirinya menjadi peribadi yang teguh, luas ilmunya dan mendalam. Ia menjadi sumber rujukan dalam berbagai permasalahan dan tempat curahan isi hati.

Yahya bin Yahya an Naisaburi menceritakan: ”Suatu hari, ada seorang lelaki mendatangi Sufyan dengan berkata : ’Wahai , Abu Muhammad (yang dimaksud adalah Sufyan). Aku ingin mengadukan kepadamu tentang keadaan isteriku. Aku menjadi lelaki yang paling hina dan rendah dimatanya”.

Maka Sufyan menggeleng-gelengkan kepala hairan dan kemudian berujar: ”Mungkin, keadaan itu muncul kerana engkau menikahainya untuk meraih kehormatan?”

Lelaki itu pun mengakuinya: ”Ya, betul wahai Abu Muhammad”.

Sufyan lalu berpesan: ”Barang siapa pergi kerana mencari kehormatan, nescaya akan diuji dengan kehinaan. Barangsiapa mengerjakan sesuatu lantaran dorongan harta, nescaya akan diuji dengan kefakiran. Barangsiapa bergerak kerana dorongan agama, nescaya Allah akan menghimpun kehormatan dan harta bersama agamanya”.

Kunikahi Dia Kerana Agamanya

Berikutnya, Sufyan mulai berkisah:

”Kami adalah empat bersaudara, Muhammad, Imran, Ibrahim, dan aku sendiri. Muhammad adalah abang sulung., Imran anak bungsu. Sedangkan aku berada di tengah-tengah. Tatkala Muhammad ingin menikah, ia menginginkan kemuliaan nasab. Maka ia menikahi wanita yang lebih tinggi kedudukannya. Kemudian Allah mengujinya dengan kehinaan.

Sedangkan Imran, (saat menikah) ingin mendapatkan harta. Maka ia menikahi wanita yang lebih kaya dari dirinya. Allah kemudian mengujinya dengan kemiskinan. Keluarga wanita mengambil seluruh yang dimilikinya, tidak menyisakan sedikitpun.

Aku pun merenungkan nasib keduanya. Sampai akhirnya Ma’mar bin Rasyid datang menghampiriku. Aku pun berdiskusi dengannya. Aku ceritakan kepadanya peristiwa yang menimpa para saudaraku. Ia mengingatkanku dengan hadis Yahya bin Ja’daj dan hadits Aisyah.

Hadis Yahya bin Ja’dah yang dimaksud, iaitu sabda Nabi shallallahu alaihi wa sallam:

”Wanita dinikahi kerana empat perkara: Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Carilah wanita yang beragama, nescaya kamu akan beruntung”.

Sedangkan hadis Aisyah, Nabi shallallahu alaIhi wa sallam bersabda :

Wanita yang paling besar berkahnya adalah wanita yang paling ringan beban pembiayaannya”

Maka, aku memutuskan untuk memilih bagi diriku (wanita yang) memiliki din dan beban yang ringan untuk mengikuti sunnah Rasulullah shallallahu alahi wa sallam. Allah menghimpunkan bagiku kehormatan dan limpahan harta dengan sebab agamanya”.

Itulah salah satu hikmah yang muncul dari lisannya. Tidak sedikit untaian hikmah dari Sufyan yang mencerminkan kedekatannya dengan Al-Khaliq, Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Kata-Kata Hikmahya

Sufyan bin Uyainah pernah ditanya tentang hakikat wara’, Dia pun menjelaskan: Wara’ adalah keinginan untuk mendalami ilmu din yang menjadi sarana untuk mengenal seluk-beluk wara’. Sebagian orang menganggap sikap wara’ tercermin pada sikap diam dalam waktu yang lama dan sedikit bicara, padahal tidak demikian. Menurut kami, sesungguhnya orang yang berbicara lagi alim, itu lebih afdhal dan lebih wara’ dibandingkan lelaki yang jahil lagi diam.

Sufyan bin Uyainah juga memiliki hikmah yang menunjukkan kedalaman ilmunya. Dia menyatakan, perumpamaan ilmu adalah bagaikan negeri kufur atas negeri Islam. Apabila penganut Islam meninggalkan jihad, nescaya orang-orang kafir akan datang dan mengambil Islam. Jika orang-orang meninggalkan ilmu, maka mereka menjadi manusia-manusia bodoh.

Tentang pentingnya menyampaikan ilmu yang sudah diketahui, dia berkata: ”Tidaklah disebut (sebagai) alim orang yang mengetahui kebenaran dan kejelekan. Tetapi, orang alim sejati ialah orang yang mengetahui kebaikan dan mengikutinya, serta mengetahui kejelekan dan menjauhinya”.

Wafatnya

Sufyan bin Uyainah wafat pada hari Sabtu, 1 Rejab 198H.

Semoga Allah menganugerahinya dengan rahmat yang luas dan menempatkannya di syurgaNya yang tertinggi.

(Terjemahan dari bahasa Indonesia oleh M.A.Uswah dengan sedikit perubahan)

Rujukan:
Majalah As-Sunnah,
Edisi 1426H/2005M, Indonesia yang diambil rujukannya dari Tahdzibul Kamal fi Asma-i ar Rijal (3/223-228) karya al-Hafiz Jamaluddin Abul Hajjaj Yusuf al-Mizzi, tahqiq Basyyar Awwad Ma’ruf, Muassasah ar-Risalah, Cetakan 1, 1418H–1998M

Senin, Oktober 20, 2008

Syeikh Abul Hasan Ali An-Nadwi, Zuhud Yang Berjiwa Sufi

Syeikh Abul Hasan Ali al-Hasani an-Nadwi merupakan seorang ulama dan pemikir Islam yang ulung. Beliau dilahirkan pada 6 Muharram 1333H / 23 November 1914M di Takia Kala, Rae Berily, India. Nama sebenar beliau ialah Ali bin Abdul Hayy bin Fakhruddin bin Abdul Aliy al-Hasani. Nasabnya sampai kepada Hasan bin Ali bin Abi Talib r.a. Beliau amat bertuah kerana dilahirkan dan dibesarkan di dalam sebuah keluarga yang amat berpegang teguh dengan ajaran Islam. Ayahnya Sayyid Abdul Hayy seorang ulama di India manakala ibunya juga seorang pendidik dan hafaz al Quran serta syair-syair sejarah Islam dalam bahasa Urdu.

Dilahirkan dalam keluarga yang mementingkan ilmu, tidak hairanlah minat membaca beliau terserlah sejak kecil lagi. Beliau gemar mengumpul kitab dan mempunyai satu sudut bacaan sendiri yang dinamakan sebagai Maktabah Abil Hasan Ali (Perpustakaan Abul Hasan Ali).

Sejak kecil juga Syeikh Abul Hasan telah didik dengan pelbagai ilmu pengetahuan meliputi bahasa Arab, nahu, syair, sastera Arab, tafsir, fiqh, hadis dan sebagainya. Ramai dikalangan gurunya datang dari India dan ada juga di antara mereka yang datang dari Madinah. Diperingkat awal, beliau hanya belajar di rumah dan di madrasah Nadwatul Ulama. Setelah itu beliau mengorak langkah keperingkat yang lebih tinggi di Universiti Lucknow dan di sini, beliau telah berjaya mencapai kecemerlangan tertinggi dalam bidang Bahasa Arab. Kemudian beliau meneruskan lagi pengembaraan ilmunya hingga membawa beliau ke Lahore. Di sinilah dia bertemu dengan seorang sarjana dan pemikir agung dunia Islam iaitu Dr. Muhammad Iqbal. Kekaguman beliau dengan karya-karya Iqbal mendorong beliau untuk menterjemahkan beberapa syair Iqbal daripada Bahasa Urdu kepada Bahasa Arab, walaupun usianya pada ketika itu hanya sekitar 15 tahun sahaja.

Sifat Peribadi

Peribadi Syeikh Abul Hasan sangat sederhana, zuhud, berlapang dada serta terpancar keikhlasan dakwahnya sehingga membuatkan beliau senang didampingi, tidak kira peringkat umur dan darjat seseorang manusia itu.

Beliau adalah seorang yang berperibadi zuhud dan tidak membezakan antara manusia dalam dakwahnya membuatkan ulama terkenal Mesir, Dr Yusuf al-Qaradhawi mengkagumi keperibadian beliau.

Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata: "Saya mengenali keperibadiannya dan juga karya-karyanya. Saya mendapati pada dirinya hati seorang muslim yang sejati dan pemikiran Islam yang tulen. Saya mendapati beliau sentiasa hidup dengan Islam dan untuk Islam. Saya kira bukan saya seorang sahaja yang mencintainya tetapi semua orang yang mengenalinya pasti mencintainya, bahkan sesiapa yang lebih mengenalinya pasti akan bertambah kecintaan terhadapnya."

Dakwah dan Pendiriannya

Mencontohi pendekatan dakwah ulama’-ulama’ terdahulu seperti Imam As Sirhindi r.a dan Maulana Ilyas r.a, serta beberapa tokoh Islam yang agung, Syeikh Abul Hasan telah membawa suatu manhaj dakwah dan tarbiyah yang menyeluruh, dengan menggabung jalinkan beberapa manhaj dan pendekatan, menjadi suatu kombinasi di antara sistem lama yang berkat dengan sistem baru yang bermanfaat. Menurut beliau, kefahaman yang jitu terhadap dasar-dasar dakwah akan menjadikan seorang daie’ benar-benar berdakwah untuk Allah bukan untuk kepentingan peribadi atau selainnya. Prinsip yang perlu ada ialah berdakwah untuk kebaikan umat seluruhnya bukan untuk keuntungan kelompok atau diri sendiri. Dasar-dasar yang digariskan beliau dalam melaksanakan dakwah itu merupakan himpunan daripada dasar "At Tasallub Fi Al Usul" iaitu tegas pada prinsip dan "Al Murunah Fi Al Wasail" yakni anjal dalam perlaksanaan.

Usaha gigih Syeikh Abul Hasan dalam menyampaikan kalimah haq bukan sahaja dikagumi oleh dunia Islam malah mendapat pengiktirafan daripada masyarakat Barat khususnya di Eropah. Banyak undangan ceramah dan seminar yang beliau terima daripada institusi-institusi terkemuka di Eropah seperti di Geneva, Paris, Cambridge, Oxford, Glasgow, Edinburgh dan Sepanyol. Rata-rata dikalangan pendakwah dan mereka yang terlibat dalam dunia pendidikan, baik di Timur mahupun di Barat mengenali tokoh ini. Malah adakalanya walaupun tidak berkesempatan mengenali peribadi beliau secara langsung tetapi apabila kita membaca hasil-hasil karyanya kita akan merasakan seolah-olah beliau adalah guru kita yang duduk bersama-sama kita.

An-Nadwi juga begitu peka dengan sistem pendidikan dan banyak mengkritik golongan orientalis yang menyelewengkan fakta sebenar mengenai Islam. Dari segi faktor keagamaan, tujuan orientalis adalah menyebarkan agama Kristian dan menonjolkannya lebih daripada agama Islam. Di samping itu, mereka cuba membangkitkan rasa bangga terhadap mereka ke dalam jiwa anak-anak muda Islam. Dari segi politik, golongan orientalis adalah utusan barat ke negara-negara Islam dengan tujuan membuat penyelidikan yang berhubung dengan adat, bahasa, tabiat dan jiwa orang-orang timur. Melalui cara ini, barat dapat meluaskan kekuasaan dan pengaruhnya ke atas umat Islam. Walaupun begitu, ada juga golongan orientalis yang membuat penyelidikan semata-mata kerana rasa minat mereka terhadap ilmu. Menurut al-Nadwi, antara orientalis yang menghasilkan penyelidikan yang baik yang wajar diberi penghargaan ialah Prof. T.W. Arnold, pengarang buku Preaching of Islam, Stanley Lane pengarang buku Saladin (Salahuddin al-Ayubi) dan Moors in Spains, Dr. Aloys Spenger Edward William Lane, A.W.J- Wensinck, yang telah menyusun Mu‘ajam Hadith. Semua pengarang-pengarang ini menunjukkan keikhlasan mereka dalam membahaskan sesuatu isu tanpa dipengaruhi oleh faktor politik, ekonomi dan agama.

An-Nadwi telah memberi kritikan pedas terhadap golongan orientalis yang seharusnya direnung oleh pelajar-pelajar muslim yang lain. Beliau menyebut bahawa dengan mengakui sumbangan ilmu orientalis ini, tiada halangan baginya untuk menegaskan bahawa kaum orientalis ini sering tidak beroleh taufik dari Ilahi walaupun mereka banyak melakukan penyelidikan dan penggalian terhadap ilmu-ilmu al-Qur’an, sunnah, sirah nabi, feqah Islam, akhlak dan tasauf. Mereka hanya keluar dengan tangan hampa tanpa memperolehi apa-apa dari keimanan dan keyakinan. Sebaliknya didapati b
ertambah besar jurang yang memisahkan mereka dengan ilmu tersebut disebabkan oleh iktikad permusuhan yang terpendam dalam hati mereka. Tujuan mereka hanya ingin mencari kelemahan tentang Islam dan mengemukakannya untuk maksud politik mahupun keagamaan.

Menurut an-Nadwi, umat Islam sekarang menghadapi kejumudan pemikiran atau mendapnya kecerdasan akal yang menimpa sarjana Islam atau pusat-pusat pengajian Islam semenjak waktu yang lama. Begitu juga, jarang ditemui ulama yang dapat meyakinkan generasi muda mengenai keunggulan Islam dan keabdian ajaran agama untuk mereka melayari kehidupan serta menyingkap takbir kelemahan-kelemahan peradaban barat dan sorotan yang ilmiah dan analisa yang teliti.

Beliau turut menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan fahaman ini dapat menawan jiwa orang-orang Islam. Antaranya ialah pertamanya kelemahan orang Islam dari sudut keimanan, ijtihad dan ilmu pengetahuan. Fikiran menjadi sempit dan keghairahan terhadap agama mereka telah lenyap sama sekali. Keduanya para ulama tidak memainkan peranan yang sebenar dan tidak pula berusaha untuk memimpin orang Islam lain terutama anak-anak muda Islam. Ketiganya penjajahan yang berlaku ke atas negara-negara umat Islam. Orang-orang Islam mengkagumi falsafah barat yang dianggap mengandungi kebenaran dan kemajuan.

An-Nadwi berpendapat bahawa jalan yang paling selamat dalam mendidik umat Islam ialah kembali beriman kepada Alllah sebagaimana Rasulullah dahulu telah melaksanakannya dengan begitu berkesan. Kemungkaran dan kerosakan adalah berpunca dari keengganan manusia untuk kembali kepada penawar dan rawatan nubuwwah. Hanya dengan kembali kepada bentuk didikan di atas sahajalah manusia masa kini dapat diselamatkan sebagaimana manusia pada zaman dahulu diselamatkan oleh Rasulullah. Oleh itu, beliau menyarankan umat Islam kembali kepada acuan madrasah kerasulan.

An-Nadwi menggunakan manhaj dakwah dengan berteraskan kepada al-Quran kemudian hadith dan sirah serta kisah-kisah para sahabat. Ini jelas terbukti dalam bukunya Rawa’i min adab al-da’wah yang mana beliau mengambil contoh-contoh dakwah para nabi-nabi yang bersumberan al-Quran dan al-Hadith.Di samping itu, beliau mengakui manhaj itu mungkin berbeza dari satu tempat dari satu tempat yang lain kerama dakwah mesilah mengambil kira masalah lingkungan , sausana dan persekitaran. Oleh itu, dakwah yang berkesan ialah dakwah yang mengambilkira realiti yang ada. Di samping itu, pendekatan hikmah dan bijaksana perlu diberi perhatian.al-Nadwi juga menyarankan memahami al-Quran dengan mendalam, sejarah dakwah dan tokoh-tokoh dakwah serta adab-adab Islam. Kebanyakan bidang tersebut telah ditulisnya untuk penyediaan kepada para pendakwah.

Karya Yang Membuka Mata Dunia

Siapa yang tidak terkesan bila mana membaca karya agung beliau berjudul "Apakah Kerugian Dunia Akibat Kemunduran Umat Islam" yang pernah pada suatu ketika menggoncang hati para pemimpin dan ulama’ di dunia Arab. Hingga sekarang karya yang berusia lebih 50 tahun itu, tetap menjadi rujukan umat seluruh dunia malah telah diterbitkan dalam berbagai-bagai bahasa seperti Inggeris, Parsi, Urdu, Arab, Hindi, Melayu dan lain-lain. Beliau telah berjaya membuka pandangan sempit pemimpin dunia Islam yang menganggap bahawa kekayaan material yang dimiliki oleh masyarakat Eropah adalah segala-galanya sedangkan mereka di sana telah bankrap dari segi pemikiran dan kerohanian. Dengan pandangannya yang tajam, Syeikh Abul Hasan an-Nadwi berjaya membawa suatu natijah yang berguna untuk mengeluarkan umat manusia daripada kongkongan hidup jahiliyah moden kepada naungan Islam yang sebenar. Sebagaimana yang beliau nukilkan bahawa hanya umat Islam sahaja yang layak untuk mentadbir dan mengatur dunia ini, tanpa Islam dunia akan menghadapi penderitaan dan kerugian walaupun manusia memiliki segala kecanggihan dan kemudahan hidup.

Dijemput Ilahi

Setelah hampir tiga suku usianya dihabiskan dengan perjalanan ilmu dan dakwah, menyeru umat Islam agar kembali teguh kepada al-Quran dan sunnah, maka pada tengah hari Jumaat, 23 Ramadhan 1420H / 31 Disember 1999M, beliau telah dijemput Allah SWT pulang ke sisiNya ketika sedang bersiap-siap untuk menghadiri solat Jumaat di kediamannya, ketika usianya mencecah 85 tahun. Sebagai mengenang jasa beliau yang telah dicurahkan untuk kepentingan agama, maka telah diadakan solat jenazah ghaib di dua tanah suci iaitu di Masjidil Haram di Makkah al Mukarramah dan di Masjid Nabawi di Madinah al Munawwarah pada malam 27 Ramadhan 1420H.

Pemergiannya dirasakan sebagai suatu kehilangan permata yang amat berharga. Perjuangan dakwahnya yang tidak mengenal noktah itu, seharusnya menjadi contoh dan ikutan oleh generasi kini. Beliau pernah berpesan kepada generasi muda bahawa belia-belia Islam yang bakal memimpin umat pada masa akan datang sangat perlu diisikan dengan ilmu, tazkiyah ruhiyah, semangat juang dan sifat zuhud dari dunia. Kalau tidak, akan dibimbangi mereka akan kecundang dalam menghadapi cabaran akhir zaman. Kepetahan lidah dalam berucap dan keluasan ilmu belum dapat memberi kesan yang terbaik kalau tidak disertai dengan kekuatan rohani yang mantap.

Selamat jalan wahai mujahid. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat yang luas ke atasmu dan semoga engkau bersama-sama dengan para anbiya’, auliya’ dan para kekasih Allah. Amin.

Susunan:
M.A.Uswah,

Sandakan,
20 Oktober 2008.

Rujukan:
- Majalah Al-Islam, bulan Januari 2005.
- http://imamdesa.blogsome.com/2006/06/14/11
- http://www.mindamadani.my/content/view/178/2

Rabu, Oktober 15, 2008

Ibnu Hazm, Ulama Yang Sibuk Bercinta

Ibnu Hazm pernah jatuh cinta sebanyak tiga kali. Cintanya yang pertama ia tumpahkan kepada jariat (pembantunya) lalu menikahinya ketika Ibnu Hazm berusia di bawah 20 tahun.

Ketika isterinya yang lebih muda darinya itu meninggal dunia, ia larut dalam kesedihan dan menangis berbulan-bulan, walaupun seperti pengakuannya ia adalah orang yang sulit mencucurkan air mata.

Ia jatuh sakit sekian lama, bahkan kehilangan sebahagian ingatannya, walaupun kemudian sembuh.

“Demi Allah, hingga kini aku tidak pernah lagi merasa bahagia. Kehidupan setelah kepergiannya tidak nyaman lagi. Aku terus mengenangnya dan tidak lagi menemukan kesenangan dari selainnya.”

Sekali lagi, dengan demikian, Ibnu Hazm sendiri sibuk dalam cinta sepanjang hidupnya, sebagaimana ia disibukkan oleh ilmu-ilmu agama semacam fiqih (hukum Islam), tafsir, hadis dan teologi, bukan hanya perempuan sebagaimana tulisnya.

Ibnu Hazm menulis bahawa, “Cinta awalnya permainan dan akhirnya kesungguhan. Dia tidak dapat dilukiskan, tetapi harus dialami agar diketahui. Agama tidak menolaknya, syariat pun tidak melarangnya.”

“Ketika masih remaja, aku jatuh cinta kepada seorang gadis berambut pirang. Sejak itu aku tidak mengagumi gadis berambut hitam, meski pemiliknya berada di matahari atau sangat molek. Itu kecenderunganku sejak saat itu. Diriku tidak pernah mengagumi lagi kecuali rambut pirang. Itu pula kecenderungan ayahku.”

Kalimat di atas merupakan pengakuan filosof dan ulama besar dunia, Ibnu Hazm. Lewat karyanya yang berjudul Tauqul Hamamah (Di Bawah Naungan Cinta). Ibnu Hazm berhasil menjadikan dirinya sasterawan yang cukup disegani. Bukunya ini menjadi buku terlaris sepanjang abad pertengahan. Buku itu tidak hanya menarik bagi umat Islam, tetapi juga bagi kaum Nasrani di Eropah.

Padahal Ibnu Hazm dikenal sebagai salah satu ulama tersohor di abad pertengahan. Ayahnya dikenal sebagai salah seorang menteri pada zaman Khalifah al-Manshur.

Menurut penuturan Ibnu Hazm, cinta pertamanya bersemi ketika ia berusia 18 tahun. Sementara gadis pujaannya yang berambut pirang berumur 16 tahun. Gadis itu dikaguminya sampai habis. Ia mengatakan bahawa pujaannya itu seorang yang cantik, bertabiat baik, dan bertubuh sintal. Si gadis pun pandai bernyanyi dan memetik kecapi, yang menjadi kebiasaan kala itu.

Ibnu Hazm tergila-gila. Setiap hari selalu menanti gadis itu lewat di depan pintu rumahnya. Begitu gadis itu muncul, Ibnu Hazm langsung menguntitnya. Seperti kisah remaja pada umumnya, kisah cinta Ibnu Hazm penuh dengan romantika. Jika dikejar, si gadis berlalu dengan malu-malu dan rona wajahnya memerah. Tentang perilakunya yang terbuai itu Ibnu Hazm menulis, “Saya ingat benar bagaimana ketika saya selalu pergi ke ruangan tempat ia tinggal. Rasanya saya selalu ingin menuju pintu itu agar bisa dekat dengannya. Begitu ia melihat saya di dekat pintu, dengan gerakan lemah gemulai ia pergi ke tempat lain. Saya pun menguntitnya sampai ke pintu ruangan tempat ia berada.”

Ibnu Hazm, sebagaimana semua ulama dan agamawan, menyatakan bahawa cinta yang terbesar adalah cinta kepada Allah dan cinta antara sesama manusia yang dijalin kerana Allah swt. Cinta antara sesama manusia, antara lain cinta antara lawan jenis, jika terjalin kerana Allah, pasti diliputi oleh kesetiaan dan kesucian.

Ibnu Hazm al-Andalusi, seorang pakar hukum Islam menulis pengalaman peribadinya antara lain: “Seandainya bukan kerana keyakinan bahwa dunia ini adalah tempat ujian dan negeri kekeruhan, sedangkan syurga adalah tempat peroleh ganjaran, kita akan berkata bahawa hubungan harmonis antara kekasih merupakan kebahagiaan tanpa kekeruhan, kegembiraan tanpa kesedihan, kesempurnaan cinta dan puncak harapan.”

Selanjutnya, ulama besar itu berkata: “Aku telah merasakan kelazatan dengan aneka ragamnya. Aku juga telah meraih keberuntungan dengan segala macamnya. Tidaklah kedekatan kepada penguasa, tidak juga wujud setelah ketiadaan, atau kembali ke pangkuan setelah bepergian jauh, dan tidak juga rasa aman setelah mengalami rasa takut, atau perolehan harta yang dimanfaatkan, tidaklah semua itu, seindah hubungan harmonis/asmara dengan kekasih/lawan jenis kita.

Memandang Cinta

Menurut Ibnu Hazm, cinta itu sulit diuraikan. Tetapi pada orang yang jatuh cinta terdapat pertanda.

Pertama, kecanduan memandang orang yang dikasihi.

Kedua, segera menuju ke tempat kekasih berada, sengaja duduk di dekatnya dan mendekatinya.

Ketiga, gelisah dan gugup ketika ada seseorang yang mirip dengan orang yang dicintainya.

Keempat, kesediaan untuk melakukan hal-hal yang sebelumya enggan dilakukannya

Adapun yang mencoreng cinta menurut Ibnu Hazm adalah berbuat maksiat dan mengumbar hawa nafsu.

Cinta Di Mata Seorang Ulama

Akan menghinalah mereka yang tak mengenal cinta
Sungguh cintamu padanya wajar adanya
Mereka kata, cinta buat kau gila
Padahal kau orang paling faham agama

Ku katakan pada mereka
Mengapa kalian iri padanya?
Jawabnya
Kerana ia mencinta dan dicintai pujaan jiwa

Bila masanya Muhammad mengharamkan cinta
Dan apakah ia menghina umatnya yang jatuh cinta
Janganlah kau berlagak mulia
Dengan menyebut cinta sebagai dosa

Janganlah kau pedulikan apa kata orang tentang cinta
Entah yang berkata keras atau halus biasa
Bukankah manusia harus menetapi pilihannya
Bukankah kata tersembunyi tak bererti diam seribu bahasa

Syair ini dikutip dari kitab Tauqul Hamamah karya Ibnu Hazm al-Andalusi

Selasa, Oktober 14, 2008

Buah Cinta Berasas Takwa

Inilah kisah indah percintaan seorang tabi’in mulia. Namanya Mubarak.

Dulu, Mubarak itu seorang hamba. Tuannya memerdekakannya kerana keluhuran pekerti dan kejujurannya. Setelah merdeka ia bekerja pada seorang kaya raya yang memiliki kebun delima yang cukup luas. Ia bekerja sebagai penjaga kebun itu. Keramahan dan kehalusan tutur sapanya, membuatnya disenangi semua temannya dan penduduk di sekitar kebun.

Suatu hari pemilik kebun itu memanggilnya dan berkata: “Mubarak, tolong petikkan buah delima yang manis dan masak!”

Mubarak seketika itu bergegas ke kebun. Ia memetikkan beberapa buah dan membawanya pada Tuannya. Ia menyerahkan pada Tuannya. Majikannya mencuba delima itu dengan penuh semangat. Namun apa yang terjadi, ternyata delima yang dipetik Mubarak rasanya masam dan belum masak. Ia mencuba satu persatu dan semuanya tidak ada yang manis dan masak..

Pemilik kebun itu gusar dan berkata: ”Apakah kau tidak dapat membezakan mana yang masak dan yang belum masak? Mana yang manis dan mana yang masam?”

“Maafkan saya Tuan, saya sama sekali belum pernah merasakan delima. Bagaimana saya boleh merasakan yang manis dan yang kecut,” jawab Mubarak.

“Apa? Kamu sudah sekian tahun bekerja di weesini dan menjaga kebun delima yang luas yang telah berpuluh kali berbuah dan kau katakan belum merasakan delima. Kau berani berkata seperti itu!” Pemilik kebun itu marah merasa dipermainkan.

“Demi Allah Tuan, saya tidak pernah memetik satu butir buah delima pun. Bukankah anda hanya memerintahkan saya menjaganya dan tidak memberi izin pada saya untuk memakannya?” lirih Mubarak.

Mendengar ucapan itu pemilik kebun itu tersentak. Namun ia tidak langsung percaya begitu saja. Ia lalu pergi bertanya kepada teman-teman Mubarak dan tetangga disekitarnya tentang kebenaran ucapan Mubarak. Teman-temannya mengakui tidak pernah melihat Mubarak makan buah delima. Juga tetangganya.

Seorang temannya bersaksi: “Ia seorang yang jujur, selama ini tidak pernah berbohong. Jika ia tidak pernah makan satu buah pun sejak bekerja disini bererti itu benar.”

***

Kejadian itu benar-benar menyentuh hati sang pemilik kebun. Diam-diam ia kagum dengan kejujuran pekerjanya itu.

Untuk lebih meyakinkan dirinya, ia kembali memanggil Mubarak:

“Mubarak, sekali lagi, apakah benar kau tidak makan satu buah pun selama menjaga kebun ini?”

“Benar Tuan.”

“Berilah aku alasan yang boleh aku terima!”

“Aku tidak tahu apakah Tuan akan menerima penjelasanku apa tidak. Saat aku pertama kali datang untuk bekerja menjaga kebun ini, Tuan mengatakan tugas saya hanya menjaga. Itu aqadnya. Tuan tidak mengatakan aku boleh merasakan delima yang aku jaga. Selama ini aku menjaga agar perutku tidak dimasuki makanan yang syubhat apalagi haram. Bagiku kerana tidak ada izin yang jelas dari Tuan, maka aku tidak boleh memakannya.”

“Meskipun itu delima yang jatuh di tanah, Mubarak?”

“Ya, meskipun delima yang jatuh ditanah. Sebab itu bukan milikku, tidak halal bagiku. Kecuali jika pemiliknya mengizinkan aku boleh memakannya.”

Kedua mata pemilik kebun itu berkaca-kaca. Ia sangat tersentuh dan terharu. Ia mengusap air matanya dengan sapu tangan dan berkata,

“Hai Mubarak, aku hanya memiliki seorang anak perempuan. Menurutmu aku mengahwinkannya dengan siapa?”

Mubarak menjawab:

“Orang-orang Yahudi mengahwinkan anaknya dengan seseorang kerana harta. Orang Nasrani mengahwinkan kerana keindahan. Dan orang Arab mengahwinkan kerana nasab dan keturunannya. Sedangkan orang Muslim mengahwinkan anaknya pada seseorang kerana melihat iman dan taqwanya. Anda tinggal memilih, mahu masuk golongan yang mana? Dan kahwinkanlah puterimu dengan orang yang kau anggap satu golongan denganmu.”

Pemilik kebun berkata: ”Aku rasa tak ada orang yang lebih bertakwa darimu.”

Akhirnya pemilik kebun itu mengahwinkan puterinya dengan Mubarak. Puteri pemilik kebun itu ternyata gadis cantik yang solehah dan cerdas. Ia hafal kitab Allah dan mengerti sunnah NabiNya. Dengan kejujuran dan ketaqwaan, Mubarak memperoleh nikmat yang agung dari Allah SWT. Ia hidup dalam syurga cinta. Dari percintaan pasangan mulia itu lahirlah seorang anak lelaki yang diberi nama “Abdullah”. Setelah dewasa anak ini dikenal dengan sebutan “Imam Abdullah bin Mubarak” atau “Ibnu Mubarak”, seorang ulama di kalangan tabi’in yang sangat terkenal. Selain dikenali sebagai ahli hadis, Imam Abdullah bin Mubarak juga dikenali sebagai ahli zuhud. Kedalaman ilmu dan ketaqwaannya banyak diakui ulama pada zamannya.

Dipetik dari:
Di Atas Sajadah Cinta karya Habiburrahman El Shirazy, terbitan Ar-Risalah Product Sdn Bhd, Kuala Lumpur, cetakan ketiga Mei 2008.

Minggu, Oktober 12, 2008

Imam Nawawi, Makan Sedikit, Tidur Pun Sedikit

Ketika kanak-kanak lain seusianya sibuk bermain, budak lelaki berusia 10 tahun itu mengelak. Walaupun diajak kawan-kawannya itu, dia tetap menolak, sebaliknya dia sibuk membaca al-Quran. Jarang budak lelaki seusia itu tidak berminat untuk bermain, tetapi dia lain, walau dipaksa kawan-kawan pun dia tidak menunjukkan minat.

Melihat tingkah lakunya, seorang alim, Syeikh Yasin Yusuf Marakashi memberitahu gurunya, “Jagalah budak ini baik-baik kerana dia bakal menjadi seorang ulama besar dan ahli ibadah.” Guru yang mendengar kata-kata Syeikh Yasin itu bertanya, “Adakah tuan seorang ahli nujum atau penilik nasib?” Jawab Syeikh Yasin, “Bukan, tetapi Allah menghendaki aku mengeluarkan kata-kata itu.

Guru tersebut kemudian menceritakan insiden itu kepada bapa anak muridnya. Bapa budak itu pula memang ingin anak lelakinya yang begitu ghairah belajar, mengabdikan dirinya kepada agama Islam.

Terbukti budak lelaki itu bukanlah seorang insan biasa, tetapi Abu Zakaria Muhyiddin Yahya atau lebih dikenali sebagai Imam Nawawi. Nama tersebut digunakan kerana beliau berasal dari Nawa, yang terletak berdekatan Damsyik, di pinggir daerah Hauran.

Imam Nawawi dilahirkan di sana pada Muharram 631H dan bapanya adalah seorang alim yang menyedari kelebihan anaknya itu sejak kecil lagi. Malangnya Nawa bukanlah tempat yang sesuai untuk anaknya mengembangkan ilmu dan bakatnya kerana tempat itu tidak mempunyai akademi atau institusi pengajian agama.

Menimba Ilmu

Jadi bapanya membawa Imam Nawawi ke Damsyik yang ketika itu terkenal sebagai pusat pengajian dan ilmu, serta menjadi tumpuan pelajar dari serata tempat. Damsyik sudah pun mempunyai lebih 300 institut, kolej dan universiti dan Imam Nawawi belajar di Madrasah Rawahiyah yang bergabung dengan Universiti Ummvi. Pengasasnya ialah seorang saudagar bernama Zakiuddin Abul Qassim, yang juga dikenali Ibnu Rawahah.

Di madrasah inilah Imam Nawawi menimba ilmu daripada guru-guru terkenal selama dua tahun tanpa mengenal penat lelah. Pihak madrasah hanya menampung sedikit makan minumnya, tetapi itu sudah mencukupi bagi Imam Nawawi. Itu bukanlah satu keperluan yang amat dipentingkannya, malah tidur pun dihadkan sedikit sahaja pada waktu malam. Baginya masa adalah sesuatu yang amat berharga, apabila keletihan, dia akan berehat sebentar sahaja di hadapan kitab-kitabnya, sebelum meneruskan pelajarannya.

Guru-Guru Beliau

Di Damsyik, Imam Nawawi berguru dengan lebih 20 ulama. Sesetengah mereka terkenal sebagai pakar dalam bidang masing-masing. Beliau mempelajari ilmu hadis, perundangan Islam dan pelbagai ilmu lain daripada ulama-ulama terkenal waktu itu, antaranya, Abu Ibrahim Ishaq bin Ahmad al-Maghribi, Abu Muhammad Abdurrahman bin Ibrahim al-Fazari, Abul-Abbas Ahmad bin Salim al-Misri, Abu Abdullah al-Jiyani, Abu Muhammad at-Tanukhi dan ramai lagi.

Sifat Peribadi

Sikap Imam Nawawi terhadap ilmu memang jarang terdapat pada orang lain. Beliau sentiasa dahagakan ilmu dan dalam amalan seharian, dia akan membaca 12 bab, menulis ulasannya dan membuat penambahan-penambahan penting. Apa jua buku yang ditelaahnya, dia akan membuat nota dan penerangan mengenainya.

Sikap ini, kecerdikan, usaha keras dan kecintaannya terhadap pelajaran mendapat pujian daripada gurunya. Mana tidaknya, beeliau memperuntukkan sepenuh masanya untuk mendalami ilmu. Selain membaca dan menulis, beliau memperuntukkan masa untuk berfikir mengenai isu-isu yang kompleks dan mencari rumusannya.

Kelebihan daya ingatan tinggi dan ketajaman fikiran yang dikurniakan Allah SWT kepadanya digunakan sepenuhnya oleh Imam Nawawi sehingga mencapai tahap keilmuan yang amat membanggakan.

Selain itu, beliau juga disenangi kerana keindahan budi dan akhlak, serta dikenali sebagai seorang yang warak. Imam Nawawi gemar berpakaian sederhana dan hanya mekan sedikit sahaja. Beliau tidak mudah leka dengan hal-hal keduniaan sebaliknya memberi sepenuh tumpuan untuk mencari dan menyebarkan ilmu. Bagaimanapun Imam Nawawi tidak menjauhkan diri daripada masyarakat, malah beliau mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan ilmuan pada zamannya.

Beliau seorang yang begitu bertaqwa menurut erti kata sepenuhnya, wara’nya dan kebersihan jiwanya. Seorang ulama yang amatlah sukar ditemui. Ada juga riwayat yang mengatakan bahawa keengganan beliau untuk makan buah-buahan di Damsyik itu bukan hanya khuatir akan mengantuk tetapi kerana buah-buahan di Damsyik dikala itu terlalu banyak mengandungi syubhat.

Tiga kualiti yang dimilikinya menyebabkan Imam Nawawi menjadi ulama rujukan ketika itu, keilmuan tinggi dan kesediaan menyampaikannya, tidak cenderung dengan hal-hal keduniaan, dan sentiasa mengamalkan yang makruf dan mencegah kemungkaran.

Murid-Murid Beliau

Di antara murid-murid beliau ialah Sulaiman bin Hilal al-Ja’fari, Ahmad bin Farah al-Isybili, Ali bin Ibrahim Ibnul Atthar, Syamsuddin bin Naqib, Syamsuddin bin Ja’wan dan yang lainnya.

Di Antara Keadaan-Keadaan Beliau

Ibnu Atthar berkata, “Guru kami an-Nawawi menceritakan kepadaku bahawa beliau tidak pernah sama sekali menyia-nyiakan waktu, tidak di waktu malam atau di waktu siang bahkan di jalan pun beliau terus dalam menelaah dan menghafal.”

Rasyid bin Muallim berkata, “Syeikh Muhyiddin an-Nawawi sangat jarang masuk kamar kecil, sangat sedikit dalam makan dan minumnya, sangat takut mendapat penyakit yang menghalangi kesibukannya, sangat menghindari buah-buahan dan mentimun kerana takut membasahkan jasadnya dan membawa tidur, beliau sehari semalam makan sekali dan minum seteguk air di waktu sahur.

Fatwa Imam Nawawi Yang Menggemparkan

Menurut riwayat bahawa apabila baginda Sultan al-Malik al-Zahir telah mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar (Monggol) lalu digunakanlah fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh. Ulama fiqh Syria telah menulis menerangkan fatwa tersebut, tetapi baginda belum merasa senang hati kalau imam Nawawi tidak memberi fatwanya. Lalu baginda bertitah “Masih adakah lagi orang lain.” “Masih ada, Syeikh Muhyiddin an-Nawawi,” demikian jawapan yang disampaikan kepada baginda.

Kemudian baginda menjemput Imam Nawawi dan meminta beliau memberi fatwanya bersama ulama fiqh mengenai pengambilan harta rakyat untuk peperangan. Beliau berterus terang tidak mahu memberi fatwanya dan enggan. Baginda bertanya: “Apakah sebabnya kamu enggan?” Lalu beliau memberi penjelasan mengapa beliau terpaksa menerangkan sikapnya dan keenggannya memfatwakan sama seperti para ulama.

Beliau dalam penjelasan kepada baginda menerangkan seperti berikut:

“Ampun Tuanku! Adalah patik sememangnya mengetahui dengan sesungguhnya bahwasanya tuanku adalah dahulunya seorang tawanan tidak ada sebarang harta benda. Tetapi pertolongan Allah telah dilimpahkan kurnianya kepada tuanku dengan dijadikan tuanku seorang raja. Ampun Tuanku! Adalah patik telah mendengar bahawanya tuanku ada memiliki seribu orang hamab tiap-tiap seorang ada mempunyai beberapa ketul emas. Manakala dua ratus orang khadam wanita milik tunaku, masing-masing mempunyai perhiasan yang bernilai. Andaikata tuanku sendirian membelanjakan kesemua itu untuk keperluan pernag sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka patik bersedia memberi fatwa untuk membenarkan tuanku mengambil harta rakyat.”

Kesimpulannya, beliau berfatwa tidak membenarkan baginda mengambil harta rakyat selama kekayaannya sendiri masih dapat dipergunakan. Baginda al-Malik al-Zahir murka kepadanya kerana fatwanya yang amat menggemparkan sehingga baginda mengeluarkan perintah supaya beliau segera keluar dari Damsyik. Imam Nawawi terima saja perintah pengusirannya itu dengan nada yang tenang. Lalu beliau pun keluar ke Nawa. Para ulama Syria telah berusaha menjemput beliau balik semula ke Damsyik, tetapi beliau enggan dengan berkata: “Saya tidak akan balik ke Damsyik selama baginda masih berkuasa.”

Beliau bukanlah seorang ulama yang mencari kebenaran untuk dirinya sahaja, beliau hidup di dalam masyarakat. Beliau tidak menjual ilmu yang dimiliki dengan harta benda dunia. Beliau mencurahkan ilmu kepada masyarakat umat. Beliau memimpin umat bukan umat yang memimpin beliau. Mengeluarkan fatwa tanpa memandang sesiapa, walaupun fatwanya itu meyusahkan kedudukannya. Inilah contoh ulama pewaris nabi (warisatul anbiya).

Karya-Karya Beliau

Di antara tulisan-tulisan beliau dalam bidang ilmu hadis ialah Syarah Sahih Muslim, Al-Adzkar, Arbain, Syarah Sahih Bukhari, Syarah Sunan Abi Daud dan yang terkenal, Riyadus Shalihin.

Di antara tulisan-tulisan beliau dalam bidang fiqh ialah Raudhatu Thalibin, al-Umdah fi Tashhihi Tanbih dan Majmu Syarah Muhadzdzab.

Di antara tulisan-tulisan beliau dalam bidang ilmu al-Quran ialah at-Tibyan fi Adabi Hamalatil Quran.

Wafat Beliau

Malang sekali insan yang cukup istimewa ini lebih disayangi Penciptanya. Selepas mengabdikan dirinya selama 28 tahun kepada ilmu, khususnya di Damsyik, Imam Nawawi kembali ke kampungnya di Nawa. Beliau kemudian jatuh sakit dan wafat pada 24 Rejab 676H dalam usia 45 tahun dan dikuburkan di Nawa, setelah sekian lama beliau hidup dengan membujang tidak beristeri di tengah-tengah suasana masyarakat Damsyik dan telah berjaya menyumbangkan tenaga fikiran dan ilmunya kepada Islam dan umatnya.

Namun sehingga hari ini, Imam Nawawi seolah-olah masih hidup, hasil karyanya yang tidak ternilai masih menjadi rujukan umat Islam di seluruh dunia. Semoga Allah meredhai dan menempatkan beliau dalam keluasan jannahNya.

Susunan:
M.A.Uswah,

Sandakan,
12 Oktober 2008.

Rujukan:
- Barisan Ulama Pembela Sunnah Nabawiyyah tulisan Abu Aisyah Arif Fathul Ulum, terbitan Media Tarbiyah, Bogor, Indonesia, cetakan pertama Januari 2006.
- Majalah Al-Islam, bulan April 2007.
- Hadis Empat Puluh terbitan Dewan Pustaka Fajar.

Jumat, Oktober 03, 2008

Salam Aidilfitri 1429H: Secebis Kisah Ulama Di Hari Raya

Salam Aidilfitri 1429H dan salam kemaafan dari saya buat seluruh kaum muslimin & muslimat terutama buat pengunjung blog saya ini. Sempena hari raya ini, saya hendak membawakan secebis kisah ulama di hari raya ini. Sama-sama kita susuri.

Haji Abdul Rahman Limbong ialah ulama yang kuat beramal. Sebahagian besar daripada waktu malam digunakannya untuk beribadat kepada Allah, terutamanya pada bulan puasa.

Pada setiap hari raya pula, beliau lazimnya mengurungkan diri di dalam rumahnya selepas sembahyang hari raya dan beribadat tanpa menghirau mereka yang datang membawa makanan untuknya. Sikap ini dapat diertikan bahawa beliau tidak ingin menggalakkan orang ramai bersusah payah menyediakan makanan untuknya, sebagaimana yang menjadi amalan masyarakat Melayu tradisi yang sangat mengambil berat terhadap orang-orang alim. Tambahan pula Haji Abdul Rahman amat menghalusi asal-usul makanan, bagi mengetahui halal-haramnya.

Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliki biasa memberikan pelajaran baik di Masjidil Haram atau di rumah tidak tertumpu kepada ilmu tertentu seperti di universiti. Akan tetapi semua pelajaran yang diberikannya bisa di terima semua masyarakat baik masyarakat awam atau terpelajar, semua bisa menerima dan semua bisa mencicipi apa yang diberikan Sayyid Muhammad. Maka dari itu beliau selalu menitik-beratkan untuk membuat rumah yang lebih besar dan bisa menampung lebih dari 500 murid per hari yang biasa dilakukan selepas solat Maghrib sampai Isyak di rumahnya di Hay al-Rashifah.

Begitu pula setiap bulan Ramadhan dan hari raya beliau selalu menerima semua tamu dan muridnya dengan tangan terbuka tanpa memilih golongan atau darjat. Semua di sisinya sama tamu-tamu dan murid murid, semua mendapat penghargaan yang sama dan semua mencicipi ilmu bersama-sama.