Kamis, Juni 14, 2012

Tarikh Sebenar Isra' Mi'raj

 
Petikan dari buku “Israk & Mi’raj, Menurut Keterangan Al-Quran dan Hadis”, m/s: 15-16:
“Ramai ulama’ Islam berpendapat bahawa peristiwa Israk dan Mi’raj berlaku satu tahun sebelum hijrah, iaitu tahun kedua belas [12] kenabian.
1-       Sebaik-baik riwayat mengenai berlakunya Israk dan Mi’raj ialah padabulan Rabiul Awal, di mana Ibnu Abbas dan Jabir  r.a kedua-duanya berkata:
]ولد رسول الله عام الفيل، يوم الاثنين الثاني عشر من ربيع الاول،
وفيه بعث، وفيه عرج إلى السماء، وفيه هاجر، وفيه مات[
Maksudnya: “Diputerakan Rasulullah s.a.w pada Tahun Gajah, hari Isnin dua belas hari bulan Rabiul Awal dan padanya Baginda dibangkitkan menjadi Rasul dan padanya Baginda dibawa naikkan ke langit (Mi’raj)dan padanya berlakunya Hijrah dan padanya Baginda diwafatkan.” [Riwayat Ibnu Abi Syaibah dalam “Al-Musannaf”, dan Al-Jauzaqani dalam “Al-Abathil” Lihat: Tarikh Maulid An-Nabi S.A.W Tulisan: Tharhuni].
 Itulah pendapat kebanyakan ulama’ muhaqqiqin, seperti az-Zuhri. Dan itulah pendapat yang rajih. Wallahu A’lam.

2-       Ini pula pendapat yang masyhur dikalangan orang ramai, walaupun tidak sahih sanadnya, bahkan dianggap dusta oleh sesetengah ulama’ hadis.
Iaitu berlakunya Israk dan Mi’raj pada malam yang kedua puluh tujuh (27)daripada bulan Rejab. [Lihat: Al-Bidayah wa an-Nihayah 109/3, Fath Al-Bari.]

Berkata Ibnu Kathir (wafat 774H): “Manakala sesetengah orang menyangka bahawa adalah peristiwa Israk berlaku pada awal malam Jumaat daripada bulan Rejab yang dikenali dengan malam الرغائب yang direkakan padanya solatالرغائب yang masyhur. Pendapat itu tidak ada asal dan dalil baginya. [Lihat: Al-Bidayah wa an-Nihayah 109/3.]


Pendapat Ulama' Lainnya

1. Ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal.
Ini berdasarkan riwayat Ibnu Lahiiah dari Urwah Az Zubair. Menurut riwayat Ibnu Abi Syaibah dari Ibnu Abbas ia berlaku pada 12 Rabiul Awwal, tetapi Al-Hafiz Ibnu Kathir mendhaifkan riwayat ini. Di antara ulama yang memilih pendapat ini ialah Al-Hafiz Abdul Ghani Al-Maqdisi

2. Ia berlaku pada bulan Zulqaedah.
Ini merupakan pendapat As Suddiy

3. Ia berlaku pada bulan Rejab.
Ini merupakan pendapat Ibnu Hazm, dan juga Imam Nawawi di dalam kitabnya 'Ar-Raodhoh' ..Ada yang menyatakan 27 Rejab dan ada yang menyatakan ia berlaku pada malam Jumaat pertama di bulan Rejab. Ibnu Kathir juga mendhaifkan riwayat ini.

4. Ia berlaku pada bulan Ramadhan
Ini pendapat yang diputuskan oleh Al Waqidiy, dan riwayat Ibnu saad dari Ibnu Abi Saburah

5. Ia berlaku pada bulan Syawwal.
Ini berdasarkan riwayat At Thobari dan Al Baihaqi dari As Suddiy

6. Ia berlaku pada bulan Rabiul Akhir.
Ia merupakan pendapt Ibrahim Al-Harbiy dan ditarjihkan oleh Ibnu Munir.

Kesimpulan

1. Para ulama pengkaji sirah dan ahli hadis berselisih pendapat mengenai tarikh Isra' Mi'raj dengan perselisihan yang begitu banyak.
2. Tiada riwayat yang benar-benar sahih dan begitu jelas tentang tarikh peristiwa tersebut berlaku.
3. Apa yang penting ialah pengajaran dari peristiwa tersebut bukanlah tarikhnya. Jika tarikhnya penting nescaya pasti akan ada riwayat yang jelas dan sohih dari sahabat-sahabat baginda.
4. Memperingati Isra' dan Mikraj di bulan Rejab adalah berdasarkan pandangan Imam Nawawi dan Ibnu Hazm Rahimahumallah.
5. Tidak mengetahui tarikh sebenar Isra' dan Mikraj merupakan kejahilan yang tidak memudharatkan aqidah dan amalan.
6. Sambutan yang dilakukan di kebanyakan negara umat Islam adalah berdasarkan pandangan Imam Nawawi RA.

Rujukan
1. Al-Bidayah Wan Nihayah karya Ibnu Kathir
2. Al- Isra' Wal Mikraj, Musa Muhammad Al-Aswad.

Selasa, Juni 05, 2012

Kisah Sahih Mengenai Labah-labah dan Gua Thur


Oleh Drs. Abdul Ghani Azmi Idris, tokoh hadith Malaysia (meninggal 1998)
Majalah Pengasuh Terbitan Majlis Agama Islam Kelantan. Bil. 558.

Para ahli sejarah selama ini mencatatkan bahawa semasa di dalam gua Thur itu Rasulullah s.a.w. dilindungi oleh BURUNG MERPATI dan LABAH-LABAH yang membuat sarang di pintu gua sehingga meyakinkan pemuda-pemuda Quraisy itu bahawa tiada sesiapa yang berada di dalam gua itu. Sehingga terselamatlah Rasulullah sa.w. dan sahabatnya Abu Bakar dari buruan pemuda-pemuda tersebut. Demikianlah apa yang tertulis dalam sejarah dan telah menjadi keyakinan umum di seluruh dunia Islam, sehinggalah sarang Labah-Labah itu dijadikan lambang bagi peristiwa Hijrah itu.

Sebenarnya kepercayaan tersebut tidaklah benar dan catatan sejarah itu menyimpang dari hakikat sebenarnya. Walaupun ada hadith-hadith yang menyokong kepercayaan itu tetapi hadith-hadith itu semuanya tidak SOHEH BELAKA.

Diantara hadith-hadith yang dijadikan hujah mengenai kejadian tersebut ialah :

1- Al-Hafidz Abu Bakar al-Qadhi meriwayatkan daripada al-Hasan, katanya :

Maksudnya : "(Nabi s.a.w.) dan Abu Bakar pergi ke gua (Thur) lalu beliau berdua masuk ke dalamnya. Maka datanglah Labah-Labah lalu membuat sarang di atas pintu gua. Orang-orang Quraisy yang datang mencari / memburu Nabi s.a.w. tetapi apabila mereka melihat pintu gua yang telah dibuat sarang oleh Labah-Labah, lalu mereka berkata : "Gua ini tidak di masuki oleh sesiapa." Adalah Nabi s.a.w. sedang bangun bersolat dan Abu Bakar berjaga-jaga. Maka berkatalah Abu Bakar r.a. kepada Nabi s.a.w. : "Saya menebus anda dengan bapa dan ibu saya ! kaum anda itu mengejar anda! Demi ALLAH saya menangis bukan kerana kuatirkan keselamatan diri saya tetapi kerana takut melihat sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas Rasulullah s.a.w." Maka Rasulullah s.a.w bersabda : "Janganlah engkau berduka cita, sesungguhnya ALLAH bersama-sama kita."

*** Hadith ini Dhoief (Lemah). Di dalam sanadnya (Rangkai nama periwayat Hadith) terdapat Bassyar bin Musa. Ia seorang yang Dhoief. (Musnad Abu Bakar (Q91/1-2), Silsilah al-Ahadith as-Sohehah 3/1129/260, al-Mizan 1/1180/310-311.)

2. Ad-Dailami meriwayatkan daripada Abu Hurairah, daripada Abu Bakar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda :

Maksudnya : "ALLAH telah memberikan ganjaran kepada Labah-Labah yang telah melindungi kami kerana ia telah membuat sarang ke atas aku dan ke atas engkau wahai Abu Bakar, di dalam gua sehingga orang-orang musyrikin tidak melihat kita dan tidak sampai kepada kita."

*** Hadith ini Mungkar kerana Abdullah bin Musa as-Salami yang terdapat di dalam sanadnya seorang yang Dhoief (Lemah) dan gurunya seorang yang Majhul (Tidak dikenali). (Silsilah al-Ahadith ad-Dhoiefah wa al-Maudhu'ah 3/1189)

Sesungguhnya tidak ada sebuah Hadithpun yang Soheh yang menguatkan Hadith-Hadith tersebut di atas. Malahan Hadith-Hadith tersebut berlawanan dengan hakikat sebenar yang dinyatakan oleh ALLAH di dalam al-Quran :

Firman ALAH s.w.t. :

Maksudnya : "Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad), maka sesungguhnya ALLAH telah menolongnya. Iaitulah ketika orang-orang Kafir (Musyrikin Mekah) mengusirnya (dari Mekah) sedangkan dia salah seorang dari dua orang ketika kedua-duanya berada di dalam gua, diwaktu dia (Nabi s.a.w.) berkata kepada temannya : "Janganlah engkau berduka-cita, sesungguhnya ALLAH beserta kita." Maka ALLAH menurunkan ketenangan kepada (Muhammad) dan membantu dengan tentera yang kamu tidak melihatnya." (Al-Quran al-Karim, surah at-Taubah ayat 40)

Ayat ini menunjukkan dengan jelas bahawa ALLAH memberikan pertolongan kepada Nabi dengan sakinah (ketenangan) dan dengan tentera-tentera yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, iaitulah para Malaikat, bukan dengan Labah-Labah membuat sarang, bukan dengan dua ekor burung Merpati dan sebagainya. Oleh kerana itulah al-Baghawi berkata di dalam tafsirnya :

Maksudnya : "Mereka ialah para Malaikat yang turun untuk memalingkan muka dan penglihatan orang Kafir dari melihat Nabi s.a.w."

Dalam sebahagian hadith ada yang memperkuatkan pengertian ini. Abu Naim mentakhrijkan daripada Asma' binti Abu Bakar as-Siddiq r.a., katanya :

Maksdunya : "Bahawasanya Abu Bakar melihat seorang lelaki menuju ke gua, lalu beliau berkata : "Ya Rasulullah ! dia sedang melihat kita." Rasulullah s.a.w. bersabda : "Tidak ! Sesungguhnya para Malaikat melindunginya sekarang ini dengan sayap-sayapnya." Tidak lama kemudian lelaki itu duduk kencing menghadap kepada mereka berdua. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda : "Wahai Abu Bakar ! Jika dia melihat, tentulah dia tidak melakukan perkara ini."

*** Hadith ini Sanadnya Hasan (Baik) (Silsilah al-Ahadith ad-Dhoiefah wa al-Maudhu'ah 3/261-264)

Dengan keterangan ini jelaslah kiranya kepercayaan bahawa Nabi s.a.w. dilindungi oleh Labah-Labah dengan sarangnya dan dua ekor burung Merpati yang bersarang di mulut gua Thur itu tidak benar. Oleh kerana itu ianya tidak lebih dari satu Khurafat belaka.

Wallahu a'lam bis Sowab.

Tulisan penuh di al-qayyim.net/index.php?option=com_content&task=view&id=43&Itemid=65