Kamis, Januari 29, 2009

Apabila Jasa Yang Ditinggalkan

Menurut Hamka dalam bukunya Falsafah Hidup, jasa batin yang dapat difikir lebih kekal dari jasa lahir yang dapat dilihat walaupun kemuliaan jasa kekal dari zaman ke zaman. Beliau mengumpamakan Wazir Nizam Muluk mendirikan sekolah-sekolah Islam di seluruh negeri Iraq. Al-Ghazali adalah salah seorang guru yang mengajar di sana. Nama Nizamul Muluk sampai sekarang masih dingat orang juga, tidaklah sekekal peringatan orang kepada al-Ghazali yang mengarang kitab Ihya ‘Ulumiddin. Madrasah di Kufah tidak ada lagi, tetapi kita Ihya masih dibaca orang. Itulah kata-kata Hamka mengenai kemuliaan. Seterusnya beliau menyebutkan:

“Barangsiapa yang telah menanam jasa, satu saat kelak dia akan beroleh hasil dari jasanya itu. Kemuliaan akan menjadi pengiringnya ke mana pun dia pergi. Kalau orang yang sama hidup dengan dia melupakan, namun setelah matinya orang yang kemudian akan membongkar kemuliaan itu kembali dan menyatakannya ke muka khalayak. Orang yang berjasa tidak boleh gamang dan kecewa jika di masa hidupnya dilupakan orang. Orang tidak boleh menyesal jika tinggal di sebuah gubuk yang buruk. Tidak boleh kecewa jika makan minumnya dan pakaiannya tidak semewah orang lain. Sebab kelak buah tangannya akan menjadi modal kemajuan angkatan yang akan datang.”


Hamka menyebutkan buatlah jasa selama hidup untuk sebutan sesudah mati. Sehingga walaupun daging dan tulang belulang kita sudah hancur dimakan tanah dalam kubur, namun nama kita dibaca orang di mana-mana. Kata-kata ini terbukti pada diri beliau sendiri walaupun telah meninggalkan kita hampir 20 tahun. Di mana-mana orang mencari kaset kuliahnya, mencari Tafsir Hamka dan mencari buku-buku Hamka. Hamka menegaskan bahawa sememangnya orang yang berjasa jarang mendapat mendapat pangkat dunia. Sebab pangkat dunia itu didapati dengan berebut-rebut dan berkejar-kejaran, tekan-menekan dan fitnah-menfitnah. Orang yang berjasa tidak pandai berbuat begitu. Dia mahu mendapat kemenangan yang sah, walaupun tidak dilihat dengan mukanya ketika hidupnya. Dia hendak melihat kemenangan itu sesudah matinya, yang kian nyata dan kian lama kian subur.

Sabtu, Januari 17, 2009

Kalau Tiada Orang Mahu Mendengar Kalam Bicara Dakwahmu...

"Kalau tiada orang yang mahu mendengar kalam bicara dakwahmu, teruskan juga menyampaikan kerana seluruh alam memahaminya. Malah seluruh alam gembira mendengar dan menyahut kalam-kalam yang mengagungkan Tuhan."

(Badiuzzaman Said Nursi)

Biar Mati Badanku Kini (Puisi Hamka)

Biar mati badanku kini
Payah benar menempuh hidup
Hanya khayal sepanjang hidup
Biar muram pusaraku sunyi
Cucuk kerah pudingnya redup
Lebih nyaman tidur di kubur

(Puisi Hamka, 1945)

Syeikh Abdus Salam bin Barjas, Ulama Muda Yang Alim

Beliau ialah Syeikh Abdus Salam bin Barjas bin Nasir Aali Abdil Karim. Lahir di Riyadh tahun 1387 H.

Seorang ahli hadis muda dari Arab Saudi, yang dikatakan oleh para ulama, "Tingkat keilmuannya melebihi umurnya".

Beliau ialah qadi (hakim) di Riyadh dan juga imam masjid dan memiliki halaqah ilmu di tempat beliau jum'atan sehari sebelumnya.

Guru-guru Syeikh Abdus Salam di antaranya ialah Syeikh Abdul Aziz bn Baz, Syeikh Shaleh ibn Utsaimin, Syeikh ibn Jibrin, Syeikh Muhadis Abdullah ibn Duwaisi, Syeikh Shalih ibn Abdurrahman Al-Athram, Syeikh Abdurahman ibn Ghudayan, Syeikh Shalih ibn Ibrahim Al-Balihi, Syeikh Abdulkarim Al-Khudairi dan lainnya.

Tulisannya lumayan banyak, baik berupa takhrij atau lainnya, yang terkenal ialah Mu’amalatul Hukkam fi Dhauil Kitab wa Sunnah yang sangat unik topiknya dan sarat dengan faedah. Beliau telah menulis buku sejak berumur 18 tahun lagi.

Beliau meninggal dunia kerana kecelakaan pada tahun 1425 H / 2004 M. Jenazahnya telah dikebumikan di Riyadh, Arab Saudi, setelah solat Asar di Masjid Abdullah, Dira pada 3 April 2004.

Menurut Abdur Rahman Al-Ghisli, rakan yang hadir di lokasi kecelakaan dan ikut menolongnya, Syeikh Abdus Salam Bin Barjas rahimahullah, mengakhiri hembusan nafasnya dengan melantunkan syahadah.

Semoga amalan baiknya diterima oleh Allah Ta'ala, diampuni dosa-dosanya dan dimudahkan jalannya menuju JannahNya. Amin ya Rabbal 'alamin.

Syeikh Muhammad Bahjah Al-Baithar

Beliau ialah Syeikh Muhammad Bahjah Al-Baithar ibn Muhammad Baha’uddin ibn Abdul Ghani ibn Hasan ibn Ibrahim Asy-Syuhair Al-Baithar. Lahir tahun 1311 H atau 1894 M di Damsyik, ditengah keluarga ulama, yang memiliki adab dan taqwa. Leluhurnya adalah orang-orang yang hijrah dari Al-Jazair.

Guru-gurunya


Beliau bertalaqi kepada bapanya dan belajar di beberapa Madrasah Islam di Damsyik.

Diantara guru beliau ialah:

1. Ayahnya, Syeikh Muhammad Baha’uddin ibn Abdul Ghani

2. Syeikh Abdurrazaq ibn Hasan ibn Ibrahim Al-Baithar (lihat biografinya dalam Al’Alam Al-Zarkili (3/351)).

3. Syeikh Jamaluddin al-Qasimi,

4. Syeikh Muhammad Khaidir Husain At-Tunisi

5. Syeikh Muhadits Al-Kabir Negeri Syam, Muhammad Badr al-Husaini

Beliau mendapatkan pengakuan (ijazah) dari mereka.

Dakwahnya

Syeikh Muhammad Al-Bahjah mengajar dan berkhutbah di beberapa masjid sejak tahun 1328 H. Syeikh juga pernah mengikuti Muktmar al-‘Alam al-Islami di Mekkah tahun 1345 H. Di Muktamar itulah Syeikh berkenalan dengan Malik Abdul Aziz Alu Sa’ud (Raja Arab Saudi), beliau oleh sang raja diminta untuk mengajar di Ma’had Al-Ilmi’.

Tulisannya

Syeikh memiliki beberapa tulisan dan yang paling terkenal adalah tentang biografi Syaikhul Islam Ibn Taimiyah, ‘Hayatu Syaikhul Islam Ibnn Taimiyyah’ yang dicetak oleh Al-Maktab Al-Islami. Ada juga kitab ‘Al-Kautsari wa Ta’liqatah’, Rihlah An-Najdiyyah Al-Hijaziyah, Al-Islam wa Shohabat Al-Kiram Baina As-Sunnah wa Al-Syi’ah dan lainnya.

Murid-muridnya

Di antara murid beliau ialah:

1. Syeikh Al-Muhadis Nasiruddin Al-Albani (w. 1420 H), menjadi murid beliau lewat ijazah yang bersambung sampai Imam Ahmad, sebagaimana ditulis dalam karya Muhammad Asy-Syaibani. Ijazah ini hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar ahli dalam hadits dan dapat dipercaya untuk membawakan hadits secara teliti.

2. Syeikh Abdul Qadir Al-Arna’uth (w. 1415 H), Syaikh Al-Baithar telah menyerahkan tugas sebagai imam dan pengajar di Mesjid Jami Asy-Syuriji di Madean kepada beliau. Ini adalah rekomendasi tertinggi dari beliau kepada Syaikh Abdul Qadir Al-Arna’uth.

3. Syeikh Abdullah ibn Abdul Ghani Al-Khayath (w. 1415 H), Imam Haram Al-Makki, pengganti Syaikh Abu Samah Abdul Dhahir sebagai Khatib, Imam dan Pengajar di Mesjidil Haram. Syaikh Abdullah Khayath menjadi murid Syaikh Bahjah ketika belajar di Ma’had Al-Ilmu As-Su’udi di Mekkah.

4. Dan lain-lain.

Wafatnya


Syeikh Muhammad Bahjah Al-Baithar meninggal pada hari Sabtu tanggal 30 Jamadilawal tahun 1396 H (1976 M).

Petikan:
http://rumahku-indah.blogspot.com/2008/04/syaikh-al-muhadits-muhammad-bahjah-al.html

Syeikh Raghib At-Thabakh, Guru Syeikh Al-Albani

Beliau ialah Syeikh Muhammad Raghib ibn Mahmud ibn Syeikh Hasyim At-Thabakh, biografinya terdapat dalam kitab ijazahnya yang dimiliki oleh Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani iaitu ‘Al-Anwar Al-Jaliyah Fi Mukhtasar Al-Atsbat Al-Halabiyah’.

Beliau telah khatam Qur’an di umur yang masih kecil, kemudian beliau masuk ke Madrasah Al-Manshuriyah. Beliau termasuk murid yang cerdas dan dikenal banyak menghafal matan-matan kitab, seperti kitab al-Ajrumiyah, Maraqi Falah, Alfiyah Ibn Malik, Al-Baiquniyyah, As-Salam dalam mantiq, dan lain-lain dari berbagai matan kitab ilmu.

Guru-gurunya

Dalam qira’at: Al-Allamah Syeikh Muhammad Afandi dan Syaikh Khalid, Al-Faqih Afandi Az-Zarqa, Syeikh Abdussalam Al-Kurdi, Syaikh Ahmad Al-Badawi, Syeikh Al-‘Adib Muhammad Ridha Al-Za’im, Syeikh Syihab Ahmad Ash-Sha’buni Al-Hamudi, Al-Allamah Muhammad Siroj dan lainnya, riwayat mereka terdapat dalam Tarikh Halab karya Syeikh Raghib.


Dalam hadis: Al-Allamah Al-Muhadis Muhammad Syarifulhaq Al-Hindi, Al-Allamah Muhammad Ridho Al-Za’im, Syeikh Muhammad Khalid Al-Atasi, Syeikh Thahir ibn Shalih Al-Jazairi, Al-Allamah Badruddin Ad-Dimasyqi, Syeikh Muhammad Jafar Al-Katani, Syeikh Al-Musnad Muhammad Kamal Al-Habrawi Al-Halabi, Syeikh Sayyid Abdul Hayy Al-Katani, Syeikh Yusuf An-Nabhani, Syeikh Habbibullah Asy-Syanqithi, Al-Allamah Muhammad ‘Atha Al-Hanafi, Syeikh Abdus Sattar Ash-Shadiqi, Syeikh Abu Bakar Muhammad Arif Khauqir dan lainnya.

Tulisan-tulisannya

‘Alam An-Nubala bi Tarikh Halab, Al-Anwar Al-Jaliyah Fi Mukhtasar Al-Atsbat Al-Halabiyah, ‘Adhotul Abna’a Bi Tarikh Al-Anbiya, Asy-Syaqafah Al-Islamiyah dan lainnya. Beliau juga aktif menulis dalam majalah-majalah Islam di Syam.

Murid-murid beliau

Beliau memiliki banyak murid yang membaca kepadanya di Madrasah Asy-Syar’iah di Halab yang mana beliau adalah pengajar dan mudir disana. Diantara muridnya yang terkenal adalah Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan Syeikh Abdullah Shidiq al-Ghumari. Kedua orang muridnya ini kemudian dikenal sangat memusuhi salah satu murid terbaiknya, Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani.

Ada kisah unik bahawa ternyata Syeikh Al-Albani tidak mendatangi Syeikh Raghib Thabakh tetapi Syeikh Raghiblah yang mendatanginya. Dahulu Ustaz Muhammad Al-Mubarak menceritakan kepada Syeikh Ath-Thabbakh tentang keberadaan seorang pemuda yang serius mempelajari ilmu-ilmu hadis dan keunggulan beliau dalam ilmu itu.

Setelah Syeikh At-Thabakh memeriksa kebenarannya, betapa kagumnya syeikh melihat Al-Albani yang waktu itu masih muda belia tapi pandai dalam ilmu hadis sehingga beliau lalu memberi ijazah riwayat sebagai penghormatan dan pengakuan darinya [Ulama wa Mufakkiruun 'araftuhum karya Ustadz Muhammad Al-Majdzuub I/288], dan bukan pemuda Al-Albani yang memintanya.

Pada waktu itu Syeikh Raghib memberikan kitabnya, Al-Anwar Al-Jaliyyah fi Mukhtashar Al-Atsbat Al-Halabiyah dan ia bubuhi dengan ijazah-ijazahnya dari guru-gurunya. Antara keduanya memang ada kesamaan iaitu bahwa keduanya memiliki banyak koleksi manuskrip dalam hadis, fiqh, adab dan lainnya.

Wafatnya

Beliau wafat pada bulan Ramadhan tahun 1370 H di Halab.

Petikan:
http://rumahku-indah.blogspot.com/2008/05/syaikh-raghib-ath-thabakh-al-halabi.html

Syeikh Atiyyah Muhammad Salim

Syeikh Atiyyah Muhammad Salim dilahirkan pada tahun 1346H bersamaan tahun 1925M di kampung Al-Mahdiyyah, Mesir.

Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya, mulai belajar di sekolah ibtidai’yyah (permulaan) di sana selama lima tahun. Pada tahun 1364H, iaitu sewaktu berumur 18 tahun, beliau berhijrah ke Al-Madinah Al-Munawwarah, bekerja dengan ‘Al-Mabarrah Al-Masriyyah Al-Sihhiyyah’, dan di bumi berkat ini beliau memulakan pengajian dalam bidang agama secara mendalam, di Masjid Nabawi dan di rumah-rumah Syeikh.

Bertukar dari seorang pekerja kepada tolibul ‘ilmi. Sewaktu mula-mula tiba di Madinah beliau dapati di Masjid Nabawi pada masa itu terdapat 15 kumpulan halaqat ilmu. Akhirnya halaqah Syeikh Abdul Rahman Al-Afriqi dirasakan paling sesuai dengannya sebagai pelajar baru. Beliau lalu meminta izin dengan Syeikh untuk belajar dengannya, maka bermulalah sejarah pembelajarannya di Masjid Nabawi.


Guru-gurunya

1. Fadhilat Al-Syeikh ‘Abdul Rahman Al-Afriqi –rahimahullah- diantara kitab yang dipelajarinya ialah; Al-Muwatta’, Nailul Authar, Subul Al-Salam, Riyad Al-Solihin, Al-Baiquniyyah. Beliau sempat bersamanya sehingga tahun 1370H.

2. Fadhilat Al-Syeikh Hammad bin Muhammad Al-Ansari -rahimahullah- belajar kitab: Al-Rahabiyyah fi Al-Faraid, Al-Aajurumiyyah fi Al-Nahu.

3. Fadhilat Al-Syeikh Muhammad bin Turki – rahimahullah- belajar kitab: Sahih Al-Bukhari, Sharh Muntaha Al-Iradaat (Fiqh Hanbali).
4. Fadhilat Al-Syeikh Muhammad Ali Al-Harakan. –rahimahullah- belajar kitab: Sahih Al-Bukhari.

5. Fadhilat Al-Syeikh ‘Ammar Al-Jazairi. –rahimahullah- belajar kitab: Sunan Abi Dawud.

6. Syeikh Muhammadul Amin Al-Shanqiti diawal kedatangannya ke Madinah. Sempat menghadiri kuliah tafsirnya di masjid dan belajar nahu, mantiq serta Usul Al-fiqh di rumahnya.

7. Fadhilat Al-Syeikh Al-‘Arnus, Syeikh Ahmad Yasin Al-Khayyari, belajar tajwid.

8. Juga Syeikh Muhammad Zaki.


Pada tahun 1370H, Maahad Ilmi dan Kulliyah Syariah dibuka di Riyad (sekarang Universiti Imam Muhammad bin Saud), Al-Malik Abdul Aziz menarik ramai mashayikh dari Masjid Nabawi ke Riyadh sebagai tenaga pengajar, termasuklah Syeikh Al-Afriqi dan Al-Shanqithi. Beliau telah meminta jasa baik Syeikh Afriqi agar menyampaikan permohonannya untuk menyambung pelajaran ke Maahad yang baru itu, dan beliau memberi jaminan kepada Syeikh sekiranya diterima beliau akan meninggalkan pekerjaannya di Madinah.

Setelah diterima beliau berpindah pula ke Riyadh untuk memasuki Maahad Ilmi Al-Thanawi, sewaktu tiba di Maahad hanya tinggal sebulan lagi dari tarikh peperiksaan fasal awal, beliau telah berjumpa dengan mudir Maahad memohon untuk terus masuk ke tahun tiga dan akan mengambil sekaligus peperiksaan untuk tahun satu dan dua, akhirnya beliau berjaya di dalam peperiksaan tersebut dengan menjadi salah seorang daripada ‘Top Five’. Beliau kemudiannya terus memasuki Kulliyah Syariah dan Kulliyah Al-Lughah Al-Arabiyah secara serentak, beliau juga dapat menamatkan kedua-dua kulliyah tersebut pada tahun yang sama.


Pada masa di Riyad ini beliau mula berhubung dengan ulama’-ulama’ tempatan juga ulama’-ulama’ besar yang datang dari Mesir, diantaranya ialah; Fadhilat Al-Syeikh Abdul Razzaq ‘Afifi, Samahat Al-Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Syeikh Abdul Aziz bin Rashid dan Syeikh Abdul Razak Hamzah –rahimahumullah-. Pada masa yang sama, beliau juga mula berhubung rapat dengan Fadhilatul Walid Al-Syeikh Muhammadul Amin bin Muhammadul Mukhtar Al-Jakani Al-Shanqithi -rahimahullah-, bukan sahaja sebagai seorang murid dengan guru tapi telah dianggap sebagai bapanya. Beliau mendapat bimbingan dan didikan yang berterusan dalam halaqat ilmu bukan saja di rumah, bahkan di masa rehlah dan musafir.

Sewaktu di Riyadh beliau duduk serumah dengan Syeikh dan sempat mengerjakan haji bersama-sama selama empat tahun berturut-turut. Beliau telah bersama Syeikh selama 22 tahun, semenjak kedatangannya pada tahun 1371H sehingga ke akhir hayat Syeikh, iaitu pada waktu dhuha hari Khamis 17 Zulhijjah 1393H di Makkah selepas menunaikan fardhu haji. Almarhum disolatkan di Masjidil Haram Makkah selepas solat zohor dan dikebumikan di perquburan Ma’lah. Selepas kewafatan Syeikh pun beliau masih menggunakan sebutan “Waliduna Al-Syeikh…” yang bererti: Bapa kami… setiap kali menyebut nama Syeikh, samada dalam ceramah atau kuliah yang disampaikan. –semoga Allah SWT mencucuri rahmat yang sangat luas keatas mereka berdua- Aamin.

Beliau direzekikan Allah SWT dapat bersama-sama dengan Syeikh di Riyadh dan di Madinah, ketika rehlah haji selama beberapa tahun, juga di dalam rehlah ke benua Afrika yang bemula di Sudan dan berakhir di Mauritania, yang mana rehlah tersebut memakan masa selama tiga bulan.

Jawatan dan Kerjaya


Sepanjang hidupnya Syeikh ‘Atiyyah telah diberikan beberapa tanggungjawab besar yang mesti dilaksanakan;

1- Sebelum tamat belajar di Riyadh, iaitu semasa di tahun dua kuliah berlaku kekurangan guru, maka pihak kuliah memilih pelajar yang cemerlang sebagai guru dan beliau telah ditugaskan sebagai guru di Maahad Ilmi di Al-Ahsa’ selama empat tahun.

2- Selepas menamatkan pengajiannya di kulliyah beliau dilantik pula sebagai pensyarah di Maahad Thanawi
Riyadh.

3- Kemudian bertukar sebagai pensyarah di Kulliyah Syariah dan Lughah, dalam subjek: Bulugh Al-Maram, Al-Adab fi Sadr Al-Islam dan Ilm Al-Wadh’i (Lughah).


4- Pada tahun 1381H ditubuhkan sebuah majlis khas (Ad-Hoc) pEnubuhan atau pembukaan Universiti Islam Madinah (UIM), sekali lagi Syeikh dipindahkan ke Madinah dengan arahan Samahat Al-Mufti Muhammad bin Ibrahim –rahimahullah- Beliau bersama-sama dengan Fadhilat Al-Syeikh Abdul Aziz bin Baz sebagai Pengerusi Majlis dan dianggotai oleh: Syeikh Abdul Razzaq ‘Afifi, Syeikh Manna’ Khalil Qatthan dan Syeikh Muhammad Al-Abudi. Tempatnya ialah di Sultanah dan kemasukan pelajar adalah 80% dari luar Saudi dan 20% dari Arab Saudi. Pada awal pengajian di Maahad Thanawi dan Kuliah Syariah terdapat seramai 250 orang pelajar.

5- Di UIM beliau ditugaskan sebagai Dekan Hal-Ehwal Akademik (Syu-uun Al-Ta’lim) disamping mengajar subjek fiqh melalui kitab ‘Bidayah Al-Mujtahid’ yang dipilih sebagai muqarrar kerana ia dianggap kitab terbaik untuk subjek ‘Fiqh Muqaran’, dan subjek Usul al-Fiqh ketika Syeikh Mohammad Amin uzur.

6- Sebagai pensyarah jemputan di Al-Maahad Al-‘Ali li Al-Dakwah, Madinah. Juga di bahagian Dirasat ‘Ulya ( Sarjana ) UIM.

7- Akhirnya pada tahun 1384H sekali lagi Samahat Al-Mufti Muhammad bin Ibrahim –rahimahullah- yang juga selaku Ketua Hakim (Ketua Qadhi) mengarahkan agar Syeikh dipindahkan dari UIM ke bidang perundangan sebagai qadhi, dan kekal dengan jawatan tersebut dengan beberapa kenaikan pangkat sampai ke peringkat ‘Qadhi Tamyiz’, sehingga tamat tempoh perkhidmatan (bersara) pada 01 Rajab 1414H.

Mengajar di Masjid Nabawi

Setelah tertubuhnya UIM, diletakkan satu kerusi khas untuk mashayikh UIM menyampaikan kuliah di Masjid Nabawi, tempat tersebut dikenali dengan nama ‘Kerusi Jamiah’. Letaknya di tengah-tengah masjid iaitu di antara dua kawasan terbuka yang sekarang ini diteduhi dengan payung. Kerusi tersebut pada mulanya diduduki oleh Syeikh Muhamad Amin Al-Shanqiti bergilir dengan Syeikh Abdul Aziz bin Baz –rahimahullah- yang pada ketika itu Timbalan Rektor UIM.

Oleh kerana Syeikh Amin selalu uzur tempatnya diganti oleh Syeikh Abdul Qadhir Shaibatul Hamdi manakala Syeikh Ibnu Baz pula sentiasa sibuk dengan tugas yang dipikulnya maka beliau mengarahkan Syeikh ‘Atiyyah menggantikan tempatnya. Syeikh Abdul Qadhir kemudiannya berpindah ke
Riyadh, maka tinggallah Syeikh ‘Atiyyah seorang. Tetapi dua tiga tahun terakhir ini beliau kembali semula menyampaikan kuliahnya secara bergilir dengan Syeikh ‘Atiyyah.

Menurut cerita Syeikh tentang pengalamannya mengajar di Masjid Nabawi, pada asalnya beliau tidak mahu mengambil tempat tersebut, maklumlah kerusi yang asalnya diduduki oleh mashayikh kibar, tapi Samahat Al-Syeikh Bin Baz tetap bertegas agar beliau menerimanya.

Dengan berkat jasa beliau itu akhirnya Syeikh ‘Atiyyah kekal di tempat itu sehingga ke akhir hayatnya, yang bermula pada awal tahun 80-an hijriah (hampir 40 tahun). Bahkan setiap kuliah yang disampaikannya mendapat sambutan yang begitu menggalakan, hadirin terdiri daripada penduduk Madinah dari berbagai lapisan masyarakat; mahasiswa UIM juga para penziarah yang datang bersolat di Masjid Nabawi.


Menurut Syeikh beliau sangat suka mengajar di Masjid Nabawi, walaupun beliau sedang uzur tetapi apabila berada di kerusi untuk menyampaikan kuliah hilang sekejap rasa sakitnya, sehinggakan doktor menasihatinya agar lebih banyak berehat.

Demikian juga kalau ada masalah yang tidak jelas sewaktu murajaahnya, lalu beliau berfikir akan tangguhkan dulu masalah tersebut tetapi berkat majlis ilmu apabila mula kuliah masalah tersebut menjadi jelas seolah-olah telah tertulis di hadapannya.


Jadual kuliahnya ialah selepas solat maghrib sehingga iqamat solat isya’ setiap malam Sabtu, Ahad dan Isnin. Pada bulan Ramadhan pula setiap hari selepas solat asar sehingga setengah jam sebelum masuk waktu maghrib.

Kebiasaannya beliau menyampaikan kuliah yang berkait dengan puasa dan Ramadhan, tafsir ayat-ayat tentang puasa, beberapa peperangan dan lainnya. Pada musim haji pula kuliah beliau mengenai manasik haji serta sejarah ma’alim Madinah.


Ada juga beberapa kuliah tambahan selepas solat isya’ untuk beberapa subjek seperti; matan Al-Rahabiyah fi Al-Faraid, matan Al-Baiquniyyah fi Al-Mustalah, matan Al-Waraqat fi Al-Usul, juga Al-Balaghah dan lain-lain.


Di antara kitab-kitab yang telah diajar di Masjid Nabawi ialah:

1- Al-Muwattha’ karya Imam Malik. Sebanyak dua kali khatam. Dirakam dalam kaset sebanyak 609 kaset (60 min.), 402 kaset (90 min.).

2- Al-Arba’in Al-Nawawiah. 75 kaset.

3- Syarah Matan Al-Baiquniyah fi Al-Mustalah Al-Hadith. 6 kaset.

4- Syarah Matan Al- Rahabiyah fi Al-Faraidh. 13 kaset.5- Syarah Matan Al-Waraqat fi Usul Al-Fiqh. 11 kaset.

6- Beberapa kuliah tafsir Al-Quran; Surah Al-Hujurat, permulaan surah Al-Baqarah, beberapa ayat dari surah Aali ‘Imran.

7- Beberapa kuliah tentang Sirah Nabawiah, peperangan dan tempat-tempat bersejarah di Madinah.

8- Bulugh Al-Maram susunan Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani. Inilah kitab terakhir yang diajar oleh Syeikh di Masjid Nabawi. Terdapat 330 kaset.

Beberapa aktiviti ilmiah selain dari kuliah

Selain mengajar di Masjid dan di rumah, Syeikh –rahimahullah- juga banyak menyertai program-program di dalam Radio dan Television Arab Saudi, semenjak ditubuhkan rancangan ‘Nidaa-ul-Islam’ di radio, kuliah Syeikh sering ke udara dalam rancangan ‘Durusun min Al-Masjid Al-Nabawi’ bergilir dengan Syeikh Abu Bakar Jabir Al-Jazairi -Hafizahullah- , juga dalam beberapa rancangan khas untuk radio.

Beliau juga banyak menyertai program yang diatur oleh ‘Nadi Al-Madinah Al-Munawwarah Al-Adabi’, sebagai ahli panel forum dan sebagainya. Menyertai beberapa muktamar dalam negeri dan luar seperti:

1- Muktamar ‘I’dad Al-Du’at, di UIM.
2-Muktamar Mukafahah Al-Mukhaddirat, di UIM.
3- Muktamar Mukafahah Al-Jarimah, di Kementerian dalam Negeri, Riyadh.
4- Muktamar Ahl Al-Hadith,
di Islamabad, Pakistan.
5- Muktamar Fiqh Islami, di Malaysia. Yang diadakan pada tahun 1384H, untuk membincang beberapa isu mengenai Islam.

Di antara agenda yang dibincangkan ialah mengenai riba, yang sudah sampai ke peringkat diadakan undian untuk menyokong atau membantah riba diharuskan. Pada waktu itu Syeikh -rahimahullah- sudah hilang kesabarannya, beliau bangun meminta izin untuk bercakap, tetapi pengerusi berkata: “Sekarang masa untuk mengundi bukan untuk bercakap”.

Tetapi Syeikh bertegas dengan permintaannya untuk bercakap, kerana keputusan untuk mengundi adalah salah dari segi peraturan dan bercanggah dengan ilmu, tidak boleh diadakan undian sebelum tamat munaqashah dengan semasak-masaknya. Akhirnya pengerusi memberi masa selama dua minit sahaja.

Maka Syeikh terus menyampaikan ceramah tentang pengharaman riba berdasarkan Syara’ dan akal yang disimpulkan dalam empat hujjah. Selepas itu pihak majlis mengambil keputusan masalah ini ditangguhkan dengan tidak ada sebarang keputusan dibuat. Alhamdulillah.


Catatan: Muktamar Malaysia ini sering kali disebut oleh Syeikh dalam kuliahnya juga ketika menjawab soalan yang dikemukakan, khasnya yang berhubung dengan muamalat. Dan apa yang melucukan ialah apabila Syeikh menceritakan pengalamannya melihat orang asli atau orang hutan sewaktu dibawa melawat selepas muktamar itu, seolah-olah penduduk Malaysia masih belum bertamaddun lagi, walaupun cerita lama tapi setelah diulang semula nampak macam baru, sehinggakan semua pendengar dalam masjid turut ketawa, rahimakallah ya Syeikh.

6- Muktamar Al-Dakwah, di Baghdad, sewaktu peperangan dengan

Iran untuk mencari jalan perdamaian Iraq-Iran.

7- Usbu’ Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, di Universiti Imam, Riyadh.


8- Beberapa program yang dianjurkan oleh UIM pada musim thaqafi dan lainnya. Karya-karya ilmiah:


1- “Tatimmah Tafsir (Menyiapkan tafsir) أضواء البيان في إيضاح القرآن بالقرآن” karya Syeikh M. Amin, dari awal Surah Al-Hashri hingga akhir surah An-Nas. Dicetak bersama dwa’ Al-Bayan.

2- تسهيل الوصول إلى علم الأصول . Sebagai teks Usul Fiqh di Maahad Thanawi UIM, ditulis bersama.


3- الأدب في صدر الإسلام . Teks di UIM dan Universiti Imam,

Riyadh, ditulis bersama.

4- الرق في الإسلام . Kitab yang ditulis bersama Syeikh M. Amin.


5- السؤال والجواب في آيات الكتاب . Asalnya siri-siri kuliah yang disampaikan di radio, kemudian dicetak dan dijadikan teks di Kuliah Tarbiah, King Abdul Aziz Universiti.


6- وصايا الرسول صلى الله عليه وسلم Asalnya siri-siri kuliah yang disampaikan di radio, kemudian dicetak dan dijadikan teks di Kuliah Tarbiah, King Abdul Aziz Universiti.


7- في ظل عرش الرحمن . Huraian kepada hadis tentang tujuh golongan yang dapat berteduh di bawah bayangan ‘Arsy.


8- عمل أهل المدينة . Menjelaskan pegangan Imam Malik terhadap amalan ahli Madinah, sekaligus sebagai menolak pendapat Imam Muhammad bin Hasan tentang perkara tersebut bersadarkan kitabnya: الحجة على أهل المدينة .

9- موقف الأمة من اختلاف الأئمة . Penjelasan tentang adab khilaf dikalangan ulama’.

10- آيات الهداية والاستقامة في كتاب الله . Dua jilid. Merupakan siri-siri rancangan yang disiarkan dalam radio.

11- هداية المستفيد من كتاب التمهيد لابن عبد البر . 12 jilid. Susunan baru kepada kitab Al-Tamhid mengikut bab fiqah berdasarkan susunan kitab Al-Muwatta’, yang asalnya disusun mengikut sanad. Susunan ini dibuat selama dua belas tahun.

12- الدماء في الإسلام . Kitab lengkap yang membincangkan tentang darah, asalnya, jenisnya dan hukum mengenainya. Inilah kitab terakhir dicetak semasa hayat muallif -rahimahullah- , pada tahun 1419H-1998m. Fikrah untuk menulis mengenainya bermula pada tahun 1375H memandangkan tidak ada satu kitab atau risalah khusus membincangkan tajuk ini, juga dengan sebab timbulnya segolongan pelajar ilmu yang berpendapat: ‘darah bersih’, sedangkan pendapat tersebut menyalahi ijma’ ulama’ sepanjang 14 abad yang lalu.

13- Kumpulan الرسائل المدنية “Risalah-risalah Madinah”, iaitu 16 buah kitab yang ditulis dalam berbagai-bagai tajuk perbincangan;

14- صلاة التراويح أكثر من ألف عام في مسجد النبي صلى الله عليه وسلم. Kitab ini ditulis untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh setengah kumpulan pelajar yang mengatakan: “Sembahyang terawih lebih daripada lapan rakaat bid’ah”.

15- مع الرسول صلى الله عليه وسلم في رمضان.16- نكاح المتعة في الإسلام.17- زكاة الحلي.18- تعريف عام بعموميات الإسلام ( عقائد – عبادات – معامل.ات ).19- منهج الإسلام في كيفية المؤاخاة والتحكيم بين المسلمين.20- أصول الخطابة والإنشاء.21- معالم على طريق الهجرة.22- حكمة التشريع في تعدد الزوجات وتحديد النسل.23- رمضانيات.24- آداب زيارة المسجد النبوي والسلام على رسول الله صلى الله عليه وسلم.25- مع الرسول صلى الله عليه وسلم في حجة الوداع.26- الإسراء والمعراج من الكتاب والسنة.27- سجود التلاوة.28- مع المرضى.29- العين والرقية والاستشفاء من القرآن والسنة. 30- أعيان علماء الحرمين من عهد الصحابة إلى اليوم.31- موسوعة المسجد النبوي.

Terdapat banyak lagi maqalah-maqalah yang disiarkan dalam “Majalah UIM” dan lainnya. Juga kertas-kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar-seminar dan muktamar-muktamar. Semoga ianya akan dicetak kembali dalam sebuah buku untuk rujukan orang kemudian.

[Alhamdulillah, pada tahun 2006 kebanyakan hasil pena Syeikh telah dibukukan dalam bentuk yang menarik, kecuali beberapa kertas kerja yang disiarkan di dalam majalah / journal UIM belum dikumpulkan, semoga ianya berada dalam perancangan anak-anak beliau] Syeikh juga banyak menjadi Musyrif (penyelia) kepada tesis-tesis Ph.D dan M.A, juga menjadi Munaqish (pembahas) kepada tesis-tesis yang ditulis. Diantara pandangan dan pendapatnya:


Syeikh tidak bersetuju dengan pendapat ahli perundangan untuk men’taqnin’ kan (legislate) hukum-hukum Syariah. Iaitu menjadikan undang-undang Syariah seperti kanun yang lain berdasarkan seksyen, seperti ‘Majallah Al-Ahkam’ yang dibuat dizaman Uthmaniah.

Beberapa kelebihannya

Petah dalam menyampaikan maklumat dengan hujjah yang tersusun dan teratur. Penyampaiannya sungguh menyeronokkan, tanpa disedari azan isya’ telah berkumandang, kadang-kadang diselitkan dengan cerita-cerita lucu untuk menghilangkan rasa jemu atau mengantuk, peyampaiannya dengan penuh semangat, dalam tajuk-tajuk tertentu boleh mengalirkan air mata kesedihan.

Mempunyai pandangan yang luas, tidak suka menimbulkan perkara-perkara yang membawa kepada perpecahan dan perselisihan. Sangat menjaga adab-adab berkhilaf dan suka berbaik sangka dengan semua pihak. Sering memberi mukafaah (bantuan) kepada pelajar-pelajar yang iltizam dengan halaqatnya.

Zikrayat dan Wasiat


Beliau memulakan rehlah ilmiahnya setelah dewasa, sehingga merasakan telah ketinggalan bas (agak terlewat), jadi terpaksalah beliau menggunakan sepenuh masa, usia dan tenaga untuk sampai ke destinasi sewaktu bersama penumpang lain.

Beliau merasakan satu kerugian masa hatta waktu rehat untuk makan tanpa membaca apa-apa maklumat, sehinggakan waktu berjalan menuju ke tempat tajdid wudhu’ pun dirasakan kerugian masa, kerana itu sewaktu makan beliau mendengar akhbar dari radio atau mendengar apa-apa percakapan untuk mengelakkan pembaziran masa tanpa mendapat sebarang maklumat. Pada suatu malam sewaktu berada di Riyadh, selepas solat isya’, beliau membaca kitab Ibnu Jarir At-Tobari -rahimahullah-, kerana terlalu asyik dengan apa yang dibaca tanpa disedari masa berlalu begitu pantas sehinggalah azan subuh berkumandang.


“أقول لطالب العلم: أن يجعل نصب أعينه ألا يجمع بين طلب العلم وشيء آخر…”

Katanya: “Tujuan saya menyebut cerita ini adalah untuk mengingatkan para pelajar agar menumpukan sepenuh perhatian kepada ilmu dengan tidak mencampur-adukkannya dengan urusan lain.”

Beliau juga menceritakan: Saya terjumpa cerita pelik sewaktu menulis riwayat hidup Imam As-Syafie -rahimahullah- : {Ketika datang seorang tamu kerumahnya, dan tidur bersamanya, selepas beberapa waktu Imam tiba-tiba mengejutkan jariah (hamba)nya agar menyalakan lampu, dan beliau pun menulis sesuatu, kemudian disuruhnya jariah memadamkan lampu tersebut, tidak lama kemudian beliau mengejutkan lagi jariahnya, peristiwa sebegitu berulang sebanyak tiga kali pada malam itu.

Setelah itu tamunya berkata kepada Imam: Tuan telah menyusahkan jariah tuan, kenapa tuan tidak nyalakan lampu itu sendiri kemudian memadamkannya, biarkanlah jariah tidur sepuasnya. Imam telah menjawab dengan suatu jawapan yang mengkagumkan: “Kesusahan menghidupkan lampu boleh menyibukkan hati (pemikiran) saya”. “معاناة السراج تشغل قلبي” }.

Sewaktu membaca ungkapan Imam itu saya telah meletakkan tangan di dahi memikirkan: Bagaimana keadaan para pelajar sekarang yang sibuk dengan anak, masyarakat, dan negaranya, tv dan radio pula banyak menghabiskan masa mereka. Semua ini bukan bermakna seseorang itu terus belajar tanpa mencari rezeki, kerana Imam Abu Hanifah seorang peniaga kain, tapi zuruf (keadaan) belajar di Saudi ini berbeza dengan tempat lain, kerajaan telah menyediakan semua kemudahan untuk belajar dan memberi peluang seluas-luasnya untuk menimba ilmu.

Yang pentingnya: Saya telah keluar dari pengembaraan mencari ilmu dengan natijah yang baik, dan tidak ada dalam kehidupan ini yang lebih lazat dan menyukakan daripada ishtighal (sibuk) dengan mencari ilmu”.


Penutup

عن عبد الله بن عمرو بن العاص رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: (( إن اللهَ لا يَقبضُ العلمَ اتزاعاً ينتزعُه من العباد، ولكن يَقبضُ العلمَ بقبضِ العلماءِ حتى إذا لم يبقَ عالمٌ اتخذَ الناسُ رؤساً جهالاً، فسُئلوا فأفتَوا بغير علمٍ فضلُّوا وأضلُّوا )). البخاري، كتاب العلم، باب كيف يقبض العلم؟ رقم 100.


Maksudnya: Jabir berkata beliau mendengar RasululLah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mengambil ilmu (yang diberikan) dengan mencabutnya daripada hambaNya, tapi diambil ilmu itu dengan matinya para ulama’, sehingga apabila tiada lagi orang alim orang ramai akan mengangkat orang-orang jahil menjadi ketua, apabila mereka ditanya (sesuatu perkara/hukum) mereka akan menjawabnya dengan tidak ada ilmu, maka mereka sesat dan menyesatkan”. Al-Bukhari 100. Dalam hadis yang lain RasululLah SAW telah memberitahu: “Setengah dari tanda-tanda qiamat; ialah diangkatkan ilmu…”. Bukhari 80.

Dalam masa yang singkat ini umat Islam telah kehilangan beberapa ulama’ besar, da’i, murabbi dan penulis-penulis yang banyak meninggalkan hasil karya mereka, di antaranya ialah:

1- Samahah Al-Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Mufti Am kerajaan Arab Saudi. Dilahirkan di Riyadh pada 12 Z/Hijjah 1330H. meninggal pada hari Khamis 27 Muharram 1420H, bersamaan 13 May 1999M.

2- Fadhilah Al-Syeikh Umar bin Muhammad Al-Fullatah. Berasal dari Nafatha, Nigeria. Bekas pensyarah dan Setiausaha Agung (Aminul ‘Am) UIM, guru di Masjid Nabawi, telah menyampaikan kuliah maghrib selama berpuluh tahun, tempatnya di belakang tempat muazzin. Di antara pengasas ‘Syukbah Darul Hadis’ Madinah. Meninggal dunia pada hari Rabu 29 Z/Qaedah 1419H, bersamaan 17/3/1999M di Madinah dan dikebumikan di perkuburan Baqi’ berdekatan dengan maqam Sayyidina Ibrahim.

3- Fadhilah Al-Syeikh Hammad bin Muhammad Al-Ansari. Bekas pensyarah UIM, menjadi tempat rujukan pelajar dirasat ‘ulya (Post-graduate), khasnya dalam bidang makhtutat (manuskrip). Pakar dalam ilmu Hadis. Dilahirkan di Tad Makkah,
Mali pada tahun 1344H, meninggal dunia pada 21/6/1418H bersamaan 22/10/1997M, di Madinah, dan dikebumikan di perkuburan Baqi’.

4- Fadhilah Al-Syeikh Ali bin Mustafha Al-Tontowi, Bekas pensyarah di beberapa buah universiti; Damsyiq, Baghdad,
Riyadh dan Makkah, da’i dan penulis terkenal. Pernah memegang jawatan Ketua Hakim Damsyiq, Syria. Sering ke udara melalui TV Saudi setiap hari Jumaat. Dilahirkan di Damsyiq pada tahun 1327H bersamaan 1909M, meninggal dunia pada malam Sabtu 3 R/Awal 1420H bersamaan 18/6/99, dikebumikan di perkuburan Ma’ala, Makkah.

5- Fadhilah Al-Syeikh Manna’ Khalil Al-Qattan, tokoh pendidik, murabbi, juga penulis yang terkenal. Dilahirkan di Shansyur, Al-Manufia, Mesir pada tahun 1925M bersamaan 1445H. berhijrah ke Arab Saudi pada tahun 1953M. Pernah bersama-sama dengan jihad Ikhwan. Pensyarah di beberapa buah IPT di Riyadh. Meninggal dunia dalam bulan Julai 1999M.

6- Dr. Syeikh Mustafha Ahmad Al-Zarqa’, anggota ‘Majma’ Al-Fiqhi’ OIC dan Rabitah, juga anggota ‘Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah’
Kuwait. Dilahirkan di Halab, Syria pada tahun 1904M, meninggal pada bulan R/Awal 1420H bersamaan Julai 1999 di Riyadh.

7- Fadhilah Al-Syeikh Abdul Fattah b. Mohd Bashir Abu Ghuddah, seorang murabbi dan penulis yang banyak meninggalkan karya ilmiah, lebih 50 buah kitab, lahir pada bulan Rajab 1336H, bersamaan 1917M di Halab (Aleppo) Syria. Meninggal pada hari Ahad 9 Syawal 1417H di Riyadh dan dikebumikan di perkuburan Baqi’.

8- Fadhilah Al-Syeikh Muhammad Al-Ghazali Al-Saqqa, Mesir. Seorang da’i dan penulis terkenal.

9- Fadhilah Al-Syeikh Muhammad Mutawalli Syaarawi, Mesir. Da’i dan juga penulis, terkenal dengan kuliah tafsirnya yang sering ke udara melalui TV Mesir juga Arab Saudi. Bekas pensyarah di Universiti Umm Al-Qura, King Abdul Aziz, dilahirkan pada 15/4/1911M di Mesir. Meninggal pada 22 Safar 1419H bersamaan 17/6/1998M. Semoga Allah SWT mencurahkan rahmat-Nya yang maha luas serta maghfirah keampunan-Nya kepada mereka dan semua guru kami yang telah mendidik dan mentarbiah kami, juga kedua ibu bapa kami, Aamin Ya Rabbal ‘Alamin.

Sumber biografi Syeikh selain dari catatan peribadi ialah:

1- Akhbar Okaz, bil. 10280. Jumaat 25 R. Akhir 1415H, 30 Sep. 94.
2- Majalah Al-Mujtama’, bil. 1360. 14 R. Akhir 1420H, 27 Julai 99.
3- Majalah Al-Mujtama’, bil. 1364. 13 J. Ula 1420H, 28 Ogos 99.
4- Ulama’ wa mufakkirun ‘araftuhum. M. Al-Majzub. Jilid 2.
5- Muqaddimah kitab ‘Ahkam al-Dima’.

Wafatnya

Beliau telah dijemput kembali bertemu Penciptanya pada hari Isnin, 6 R/Thani 1420H, bersamaan 19 Julai 1999M dalam usia 74 tahun. Setelah menات )anggung beberapa penyakit yang menimpanya dengan penuh kesabaran dan seringkali keluar-masuk hospital. Kembalilah guru kami setelah mencurahkan seluruh tenaga dan usianya untuk menyebarkan ilmu di bumi Rasulullah s.a.w. yang berkat ini. Beliau meninggalkan sepuluh orang anak, lelaki dan perempuan.

Jenazahnya disolatkan di Masjid Nabawi selepas solat asar pada hari tersebut, diiringi oleh ribuan muslimin dan dikebumikan di Perkuburan Baqi’ berdekatan dengan maqam Imam Darul Hijrah, Malik bin Anas. Sesuailah dengan jasa dan khidmatnya dalam menyebarkan ilmu Imam Malik melalui kitabnya Al-Muwatta’ yang dipelajari dan diajarnya selama berpuluh-puluh tahun di Masjid Nabawi. Jarak yang membezakan kedua-dua maqam itu hanyalah dua buah kubur dan satu kubur daripada maqam Sayyidina Ibrahim bin Rasulullah s.a.w..

Menurut cerita orang yang hadir pada petang tersebut (Dr. Mustafha Al-Qudhah dan lainnya): “Sewaktu jenazahnya dibawa ke perkuburan Baqi’ panas matahari musim panas cukup terasa, tiba-tiba datang awan mendung meneduhkan kami yang berada di Baqi’”. Semoga Allah SWT mencurahkan limpahan rahmat dan maghfirahNya keatas rohnya, Amin.

Sumber:
Catatan oleh muridnya, Abu Anas Madani, Abdul Basit bin Abdul Rahman dengan sedikit perubahan, http://www.abuanasmadani.com/?p=85

Kamis, Januari 01, 2009

Syeikh Muhammad ldris al‑Marbawi, Penyusun Kamus al-Marbawi & Bahrul Mazi Terkenal

Syeikh Muhammad ldris bin Abdul Rauf al‑Marbawi, lebih tersohor sebagai tokoh persuratan Arab-­Melayu di kalangan masyarakat Malaysia dan Nusantara. Kamus al‑Marbawi yang telah dihasilkan pada tahun 1927 telah memasy­hurkan beliau sehingga ke hari ini. Biarpun usia kamus tersebut sudah hampir 80 tahun, khazanah ilmu ini terus digunakan oleh pengkaji, pelajar, dan masyarakat di Asia Tenggara.

Beliau telah dilahirkan pada tahun 1893 dan secara tepatnya pada tahun 28 Zulkaedah 1313 Hijrah di Makkah. Setelah lama berada di Makkah, keluarganya mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia iaitu kira‑kira pada tahun 1913.

Sejak dari kecil lagi, al‑Marbawi telah menunjukkan kemampuan akademiknya yang memberangsangkan. Ketika berusia sepuluh tahun, beliau telah menamatkan pengajian hafalan al-­Quran. Sekembalinya ke tanah air beliau mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Lubuk Merbau, Perak.

Kecenderungan ilmiah yang tertambat kukuh dalam jiwanya telah mendorong beliau menuntut ilmu di pondok‑pondok yang merupakan insti­tusi pendidikan Islam yang terpenting di alarn Melayu ketika itu. Antaranya Pondok Syeikh Wan Muhammad di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Pondok Tuan Hussain Al‑Masudi, di Kedah, Pondok Syeikh Ahmad Fatani di Bukit Mertajam dan Pondok Tok Kenali di Kelantan.

Melihat kepada kemampuan akademik dan minatnya kepada ilmu Islam, ayahanda beliau mengesyorkannya agar menyambung pengajian ke timur tengah sama ada ke Mesir ataupun kembali semula ke Mekah. Bagaimanapun syor ayahandanya itu tidak menjadi prioriti al‑Marbawi ketika itu kerana beliau. ingin berumah tangga dan bekerja sebagai guru. Beliau meneruskan hasratnya untuk berkahwin dengan gadis pilihannya dan pada waktu yang sarna mematuhi kehendak bapa supaya mendalami ilmu Islam di Mesir.

Beliau sempat bertugas sebagai guru agama di Perak sebelum menyambung pengajiannya ke Universiti al‑Azhar. Di sana beliau menggondol kejayaan yang membanggakan keluarganya dan masyarakat, iaitu memperoleh ijazah tertinggi dari universiti tersebut. Sebenarnya al‑Marbawi merupakan anak kelahiran Perak yang pertama meneroka pengajian Islam di Mesir.

Sebagai angkatan pertama, yang baru mengenal suasana di sana, al-Marbawi mendapati masalah komunikasi dengan bahasa Arab menjadi masalah utama dan paling besar di kalangan anak Melayu. Bermula dari sinilah timbul idea untuk menyusun sebuah kamus Arab-­Melayu dan usaha tersebut telah dimulakan secara kolektif bersama lima orang lagi rakannya. Tetapi usaha tersebut terpaksa disiapkan bersendirian lantaran penarikan diri rakan‑rakannya. Walaupun bersendirian, beliau nekad untuk menyudahkan kamus tersebut.

Keringat, keazama dan kesabaran al‑Marbawi terbalas juga apabila kamus tersebut berjaya disudahi pada tahun 1927. Kamus itu diulang cetak puluhan kali kerana sambutan yang amat menggalakkan di kalangan pelajar Asia Tenggara. Kejayaan menyusun kamus ini telah menjadi langkah pertama kepada al‑Marbawi untuk mengorak langkah seterusnya dalam. penghasilan karya Islam yang lain.

Amat perlu dinyatakan bahawa beliau sebenarnya tidak membataskan diri dan kesarjanaannya hanya dalarn bidang bahasa semata‑mata bahkan, beliau mendalami pelbagai ilmu Islam. Beliau juga menghasilkan puluhan karya dalam bidang tersebut. Ada antara karya beliau diterbitkan dan terdapat juga yang masih dalam bentuk manuskrip. Karya‑karya beliau yang dihasilkan ‑ melebihi 20 buah karya. ‑ dalam pelbagai disiplin ilmu ini mem­buktikan ketajaman pemikiran, kedalaman ufuk ijtihad, dan kewibawaan beliau dalam pengajian ilmu‑ilmu Islam.

Walau bagaimanapun, kemasyhurannya lebih ditonjolkan dalam dunia persuratan Arab‑Melayu berbanding kepakaran lain. Apatah lagi, beliau pernah dianugerahi ijazah Kehormatan Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1980. Pada enam tahun berikutnya beliau dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Malaysia yang pertama iaitu pada tahun 1408 Hijrah. Kedua‑dua anugerah yang diterima ini sebagai mengenang jasa yang dituang oleh beliau dalam bidang per­suratan Arab‑Melayu dan ilmu Islam.

Selain kaum Arab-Melayu, al‑Marbawi telah menghasilkan karya yang penting dalam bidang hadis. Antara tulisan beliau dalam bidang terse­but ialah Bahrul Mazi yang merupakan ringkasan dan ulasan kepada sunan al-Tirmizi. Selain itu kitab terjemahan Sahih Bukhari, kupasan kitab Bulughul Maram dan karya berjudul Idaman Guru merupakan tulisan yang mengupas mengenai hadis‑hadis sahih Bukhari dan Muslim.

Kitab Bahrul Mazi merupakan salah satu sumbangan terpenting beliau dalam pen­gajian Hadis di Malaysia. Bahrul Mazi ialah kitab hadis bertulisan jawi terbesar dan antara yang terawal pernah wujud di alam Melayu. Karya ini amat padat dan mendalam, bahkan dikatakan telah menampung kekosongan karya asli dalam bidang ilmu hadis di rantau ini. Karya ini memuatkan ula­san dan huraian hadis dalam bentuk Fikah, aqidah, tasawuf, dan muamalat.

Kelainan dan keistimewaan kitab ini amat jelas, apatah lagi ulasan al‑Marbawi mengikut acuan dan warna masyarakat Malaysia. Karya ini mem­beri nafas baru kepada pemahaman hadis‑fiqh secara mendalam di samping mendidik masyarakat Malaysia tentang perhubungan intim kedua‑dua­nya. Hadis ialah asas kepada bidang ilmu Islam yang lain.

Al‑Marbawi juga turut menterjemahkan kitab Bulughul Maram iaitu sebuah karya hadis yang disusun berdasarkan bidang Fiqh oleh seorang tokoh hadis ternama iaitu Ibnu Hajar al‑Asqalani ke dalam bahasa Melayu. Dua karya dalarn bidang hadis berbahasa Melayu ialah antara karya yang penting, sulung, dan terbesar pernah dihasilkan oleh seorang ulama Nusantara.

Dalam bidang Tafsir al‑Quran pula, beliau telah menulis tafsir Surah Yasin, Tafsir al‑Quran al-Marbawi, Tafsir al‑Quran Nur al‑Yakin, Terjernahan Tafsir Fath al‑Qadir, Tafsir Juz Amma, Tafsir Al­-Fatihah, dan sebuah karya berjudul Quran Bergantung Makna.

Selain dua bidang tersebut al‑Marbawi juga telah menghasilkan tulisannya dalam bidang Fiqh, aqidah, dan Falsafah. Antara tulisan beliau ialah kitab Asas Islam, Kitab Nizam alHayah, ­Kitab Pati Hukum‑hukum Ibadah, Kitab Usul Islam Pada Membicarakan Mengambil Air Sembahyang, sebuah ensiklopedia yang dinamakan sebagai Kamus Segala Ilmu, Karya berjudul Punca Agama, Perbendaharaan Ilmu, dan banyak lagi.

Terdapat banyak lagi tulisan beliau dalam bentuk manuskrip yang belum sampai kepada kita. Keperibadian, kewibawaan, dan kesarjanaan al‑Marbawi telah menjadikan beliau salah seorang tokoh Islam yang ulung di Rantau ini. Walaupun sebahagian besar usia dan masanya dihabiskan di luar negara tetapi jasa beliau kepada anak bangsa tidak ternilai besarnya.

Sepanjang hayatnya, al‑Marbawi membuktikan betapa perlunya seseorang anak bangsa memberikan sumbangannya kepada bangsa, agama, dan nega­ranya. Beliau telah mengabdikan dirinya sebagai seorang penulis Ilmu Islam yang tidak pernah men­genal erti kerehatan.

Pada tanggal 13 Oktober 1989 bersamaan 13 Rabiulawal 1409 Hijrah, al‑Marbawi menghem­buskan nafasnya yang terakhir di Hospital Besar Ipoh pada jam 8.40 pagi. Pemergiannya pada usia 96 tahun itu semestinya di samping anak cucu tercinta. Jenazahnya telah disemadikan di pusara Kampung Lubuk Merbau, kampung keluarganya.

Semoga Allah merahmati rohnya.

Sumber:
Dewan Agama, Jun 2004