Minggu, Maret 28, 2010

2 Gambar, 1000 Harapan

Pertemuan antara 2 tokoh yang berbeza aliran pemikiran, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (bekas Mufti Perlis) dan Faisal Tehrani (penulis novel terkenal) semasa berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010 di PWTC kelmarin.

Faisal Tehrani telah menghadiahkan Dr Mohd Asri novel beliau berjudul Tuhan Manusia. Manakala, Dr Mohd Asri pula menghadiahkan Faisal Tehrani karya beliau berjudul Mengemudi Bahtera Perubahan Minda sebagai penghargaan.

Suka tengok senyuman mereka. Mesra saja. Walaupun, masing-masing berbeza aliran pemikiran perpaduan itu tetap terlaksana. Yes

Pertemuan antara 2 tokoh yang berbeza aliran pemikiran, Dr Aidh Abdullah al-Qarni (penulis buku La Tahzan - Jangan Bersedih) dan Habib Ali Al-Jufri (pendakwah antarabangsa) semasa berlangsungnya Multaqa Pertama: Islam dan Pelancongan 2009 pada 12-13 Oktober 2009 di San'a, Yaman.

Bagi yang memahami perbezaan aliran pemikiran tersebut, diajukan 1000 harapan. Adapun yang tidak memahaminya, cukuplah sekadar diketahui bahawa perpaduan umat Islam tetap akan terlaksana.

Beginilah seharusnya akhlak dan peribadi seorang tokoh ilmuwan berkelakuan. Kerana disebalik setiap perbezaan pendapat itu, pasti ada rahmat Allah yang tersembunyi yang tidak kita ketahui.

M.A.Uswah,
Sandakan,
28 Mac 2010.

Rabu, Maret 10, 2010

Wafatnya Syeikh Sayyid Tantawi (Beserta Profilnya)

Innalillahi wa inna ilaihi raji'un.

Syeikhul Azhar, Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi rahimahullah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Riyadh, Arab Saudi ketika usianya 82 tahun. Beliau wafat pada pagi hari ini (Rabu) 10 Mac 2010 akibat serangan jantung sebagaimana yang dilaporkan akhbar-akhbar. Tujuan beliau ke Riyadh ialah untuk menghadiri majlis Anugerah Al-Malik Faisal. Ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Malik Khalid, Riyadh, beliau diserang sakit jantung secara tiba-tiba sedangkan sebelum itu beliau berada dalam keadaan sihat. Ketika itu, beliau dalam perjalanan pulang ke Kaherah. Beliau kemudiannya dibawa ke hospital dan menghembuskan nafasnya yang terakhir di sana.

Anak lelakinya, Amru Muhammad Sayyid Tantawi berkata, persetujuan telah dicapai bahawa ayahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Baqi' di Madinah Al-Munawwarah.

Profil Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi rahimahullah

Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi dilahirkan pada bulan Oktober tahun 1928 di Kampung Salim As-Syarqiyyah di Muhafazah Sohaj di So'id Misr. Beliau menghafaz Al-Quran dan belajar di Iskandariah/Alexandaria, Mesir.

Memperoleh PhD dalam bidang Hadith dan Tafsir pada tahun 1966 dengan pangkat Mumtaz (cemerlang). Berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Kuliah Usuluddin, kemudian beliau mengajar di Libya selama 4 tahun dan di Madinah Al-Munawwarah pula sebagai Dekan Kuliyyah Ad-Dirasat Al-'Ulya di Universiti Islam Madinah. Kemudian, beliau pulang semula ke Kaherah.

Pada 28 Oktober 1986, beliau dilantik menjadi Mufti Kerajaan Negara Mesir. Pada tahun 1996, beliau dilantik menjadi Syeikhul Azhar.

Beliau merupakan salah seorang di kalangan ulama terbilang di Al-Azhar yg mahir dalam bidang Tafsir dan mempunyai karya-karya penulisan yang bermutu.

Peribadinya

Syeikh Sayyid Tantawi walaupun seorang yang berkedudukan tinggi di dalam kerajaan Mesir, namun sedikit pun tidak memberikan kesan kepada kehidupannya. Malah terkenal sebagai seorang yang zuhud, tenang dan sejuk mata memandang. Butir-butir kalam yang keluar daripada beliau mampu menusuk ke jiwa sanubari sesiapa yang ingin memahaminya.

Syeikh Sayyid Tantawi merupakan seorang yang sangat kuat membaca dan terlalu asyik jika membaca, sehingga diceritakan beliau terpaksa menyuruh salah seorang pembantunya untuk menunggu dan mengingatkan kepada beliau bilamana waktu solat telah masuk, bimbang terlepas waktu solat. Ini kerana jika beliau mula membaca pada awal pagi, maka beliau hanya akan tamat membaca jika telah masuk waktu Zohor. Ini adalah rutin kehidupan beliau.

Bilamana meneliti kehidupan beliau, seolah-olah terpancar sinar para ulama terdahulu yang terlalu asyik dan masyuk ketika membaca. Kisah Imam Isnawi rahimahullah yang membaca bermula selepas Isyak sehinggalah terlepas solat Subuh hanya kerana terlalu asyik membaca dan menulis sehingga tidak sedar bahawa matahari semakin meninggi. Beliau hanya menyedari bahawa subuh telah tamat bilamana cahaya matahari memancar ke wajahnya. Masya Allah, begitu asyik sekali membaca seolah-olah tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya. Berbeza dengan sikap 'pewaris para ulama' sekarang, lebih banyak tidur daripada membaca. Apa yang berlaku kepada kita, adalah sebalik daripada cerita Imam Isnawi rahimahullah dan Imam Tantawi rahimahullah.

Karya-karyanya

- Bani Israel fi Al-Quran wa As-Sunnah (1969)

- At-Tafsir Al-Wasit li Al-Quran Al-Karim (1972)
- Al-Qissah fi Al-Quran Al-Karim (1990)
- Muamalat Al-Bunuk wa Ahkamuha As-Syar'iyyah (1991)


Kontroversi Semasa Hidupnya

Memang tidak dinafikan Syeikh Tantawi rahimahullah pernah mengeluarkan fatwa yang kelihatan kontroversi tetapi mungkin fatwa itu dikeluarkan atas faktor-faktor tertentu yang tidak kita ketahui. Maka, lebih selamat jika kita serahkan urusan-urusan sebegini kepada mereka yang layak dan tahanlah lidah kita daripada mengecam serta mencerca para ulama.

Berkata Ibnu Asakir:

"Sesungguhnya daging para ulama itu beracun.
"

Daripada Ibnu Umar ra, sabda Rasulullah saw:

"Sebutlah kebaikan-kebaikan orang-orang yang mati di kalangan kamu dan tahanlah (diri kamu) daripada menyebut kesalahan-kesalahan mereka."


(Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Hibban, At-Tabrani, Al-Hakim, Al-Baihaqi dan Al-Baghawi)

Semoga Allah menempatkan beliau bersama para anbiya dan solihin. Amin.

Rujukan:
http://lamanulama.blogspot.com/2010/03/syeikhul-azhar-syeikh-tantawi-kembali.html
http://nazrulnasir.blogspot.com/2010/03/belasungkawa-syaikhuna-al-allamah.html