Pages

Minggu, April 27, 2008

Tuan Tulis, Rajin Menyalin Kitab Agama

Makam Tuan Tulis kerap dikunjungi orang ramai sejak dahulu kerana menghormatinya sebagai orang alim dan sholeh. Mungkin kerana dakwaan bahawa beliau keramat atau bertaraf wali maka ada pula yang melakukan perkara-perkara bidaah ketika mengunjungi makam beliau. Nama sebenar beliau ialah Ismail Jaaman. Beliau dipercayai lahir dalam tahun 1840an di Kampung Talang iaitu dalam Daerah Kuala Pilah dan yatim piatu sejak kecil.

Apabila berusia lapan tahun, beliau mula hidup berdikari dan berakhlak mulia. Tuan Tulis mendapat nama gara-gara kerajinan beliau menyalin isi kitab-kitab yang dimilikinya atau didakwa pernah menjadi jurutulis gurunya. Terdapat juga dakwaan bahawa beliau menulis kerana tidak mampu membeli kitab-kitab pengajian maka beliau terpaksa menyalin semula kitab-kitab yang dipelajarinya. Tuan Tulis menulis seolah-olah seperti membaca kitab-kitab itu. Ada pula memanggilnya Tuan Tulus kerana sifat peribadinya yang tulus ikhlas dalam menyampaikan dakwah.

Menghilangkan Diri

Menurut cerita orang-orang tua, ketika usianya 15 tahun saudara maranya ingin menjodohkan beliau. Kerana beliau tidak bersedia atau tidak bersetuju maka Tuan Tulis pun membawa dirinya keluar dari kampung tersebut. Disebabkan hampir 48 tahun atau setengah abad menghilangkan diri, saudara maranya telah menyangka beliau telah meninggal dunia. Sebetulnya beliau pergi Temerloh, Pahang dan mengaji agama dibanyak tempat seperti di Pancur, Sanggang, Lubuk Kawah dan lain-lain tempat. Di Lubuk Kawah beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Abdul Rahman yang berasal dari Kelantan.

Penulis buku "Tujuh Wali Melayu" Saudara Abdul Ghani Said menyebut kitab yang disalin oleh Tuan Tulis jilid pertama kitab Tafsir Jalalain dan tafsir Al Quran 30 juzuk masih ada dalam simpanan Tuan Haji Ismail Hussein, imam Masjid Tuan Tulis di Kuala Talang. Kitab-kitab tersebut dikatakan ditulis dengan dakwat campuran arang para dan getah limau kasturi. Penanya pula dari bilah segar kabung.

Dipujuk Pulang

Apabila mendapat tahu Ismail Jaaman ini masih hidup di Temerloh, saudara maranya datang menjemput dan memujuk beliau supaya pulang ke kampung halamannya. Beliau bersetuju pulang dalam tahun 1903. Menariknya, Ismail Jaaman dirayu lagi supaya berkahwin kerana umurnya ketika itu 63 tahun. Kali ini dia bersetuju tetapi hayat alam rumah tangganya selama tiga hari sahaja. Beliau lebih selesa membujang sepanjang hayatnya.Segi perawakannya, Tuan Tulis bertubuh kecil dan gemar memakai kain pelikat, berseluar jerut, baju Melayu dan bertongkat.

Amalan Hidup

Dalam tempoh beliau kembali di kampungnya, Allahyarham Tuan Tulis banyak membuat kerja kebajikan dalam masyarakat. Beliau tidak berat tulang untuk menolong orang susah, memberi nasihat dan menyeru amal maaruf dan nahi mungkar. Kesannya ramailah orang-orang yang dijadikan sahabat kembali taat dalam ibadah walaupun dulunya liat dalam menunaikan tuntutan agama. Menyentuh tugas membuka kelas pengajian, penyusun melihat ada sedikit perbezaan maklumat antara Saudara Nawawi Haji Indek dalam buku " Alim Ulama Negeri Sembilan" ( cetakan 1971) dengan penulis buku " Tujuh Wali Melayu" Saudara Abdul Ghani Said. Nawawi Haji Indek menyatakan Tuan Tulis tidak mengajar agama kepada orang lain secara langsung seperti membuka kelas pengajian. Sebaliknya, Abdul Ghani dalam penyelidikannya meriwayatkan Tuan Tulis ada membuka kelas pengajian di surau atau di rumahnya.

Kebakaran di Mekah

Dipercayai bahawa Tuan Tulis mewarisi Tarekat Satariah dan kuat beribadah. Diriwayatkan semasa hayatnya, terdapat perkara-perkara pelik berlaku pada Tuan Tulis. Antaranya ialah beliau sempat ke Mekah membantu memadamkan kebakaran besar pada awal tahun 1900 ketika tukang cukurnya masuk ke rumah untuk mengasah pisau cukurnya. Kerbau-kerbau milik beliau juga akur dengan perintahnya tidak memakan padi orang di sawah dan tetapi makan rumput sahaja. Keanehan lain pula ialah beliau pergi mengubat Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhamad di London dengan air jampi sedangkan beliau telah meninggal dunia tiga tahun sebelum itu. Kisah menarik sifat kewalian beliau boleh dibaca dari buku Tujuh Wali Melayu" karangan Saudara Abdul Ghani Said.

Beliau amat diingati dengan kejayaan beliau menghasilkan sebuah masyhaf Al-Quran tulisan tangan. Beliau juga telah berusaha mendirikan sebuah masjid di Kg Kuala Talang pada tahun 1920 dan masih digunakan sehingga ke hari ini.

Meninggal Dunia

Tuan Tulis meninggal dunia dalam tahun 1923 selepas subuh hari ke sepuluh bulan Ramadhan ketika berusia 83 tahun. Beliau dikebumikan di Kawasan Masjid Kuala Talang, Tanjung Ipoh. Tuanku Muhamad Yang Dipertuan Besar telah perkenan membina makamnya di sana sejurus bila baginda balik dari England selepas diubati oleh Tuan Tulis. Mengikut kepercayaan masyarakat tempatan, jenazahnya dikatakan ghaib secara tiba-tiba semasa dituruni ke liang lahad.

Kamis, April 24, 2008

Syeikh Abdul Qadir al-Fathani, Murid Syeikh Daud al-Fathani

Kedudukan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani dari sudut ilmu pengetahuan adalah setaraf dengan ulama-ulama besar yang berada di Mekah dan Madinah pada zaman itu. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani menjalankan tugas ulama dengan aktiviti pengajarannya di Masjidil Haram, Mekah dan di rumahnya sendiri.

Syeikh Ahmad al-Fathani menyebut bahawa ayahnya, Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani lahir dalam tahun 1233 H/1817 M. Diriwayatkan bahawa Syeikh Abdul Qadir al-Fathani itu lebih tua daripada Syeikh Muhammad Zain al-Fathani.

Riwayat lain menyebut bahawa usia Syeikh Abdul Qadir al-Fathani lebih tua sekitar lima tahun daripada Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani. Jadi bererti Syeikh Abdul Qadir al-Fathani lahir dalam tahun 1228 H/1813 M. Diriwayatkan pula bahawa Syeikh Abdul Qadir al-Fathani lebih tua daripada Syeikh Nawawi al-Bantani (Imam Nawawi Tsani).

Syeikh Nawawi al-Bantani lahir dalam tahun 1230 H/1814 M. Kedua-dua ulama yang berasal dari Patani dan Banten itu bersahabat ketika kedua-duanya belajar di Mekah. Kedua-duanya menerima bai`ah Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah daripada Syeikh Ahmad Khatib Sambas (1217 H/1802 M-1289 H/1872 M). Dalam beberapa hal Syeikh Nawawi Banten belajar kepada Syeikh Abdul Qadir al-Fathani, di antaranya ilmu qiraah. Dan demikian sebaliknya dalam beberapa hal Syeikh Abdul Qadir al-Fathani belajar pula kepada Syeikh Nawawi al-Bantani.

Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani telah menyelamatkan cukup banyak karya yang masih dalam bentuk tulisan tangan (manuskrip) yang dikarang oleh ulama dunia Melayu, terutama sekali karya-karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Selain memelihara manuskrip dengan rapi, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani pula telah melakukan pentahqiqan dan pentashhihan beberapa buah kitab yang dianggap penting, yang secara tradisinya banyak diajarkan dari sebelum hingga zaman beliau.

Pertubuhan

Daripada khazanah simpanan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani itulah menimbulkan ilham bagi Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani sehingga beliau mengasaskan suatu pertubuhan pentashhihan di Mesir, Mekah dan Turki. Munculnya istilah tashhih dan mushahhih bermula dari sini.

Pendek kata Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani ini sangat penting bagi orang-orang Melayu yang berada di Mekah pada zamannya. Beliau adalah guru bagi seluruh ulama Asia Tenggara, pakar tempat rujukan dalam semua bidang keilmuan keislaman.

Ada beberapa ulama besar yang berasal dari Patani yang bernama Syeikh Abdul Qadir al-Fathani. Di antara mereka yang sangat terkenal ialah Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang dibicarakan ini. Menjalankan aktivitinya di Mekah, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani, lebih dikenali de-

ngan nama Syeikh Abdul Qadir Bukit Bayas, Terengganu, kerana menjalankan aktivitinya di Bukit Bayas Terengganu, Syeikh Abdul Qadir bin Mushthafa al-Fathani lebih dikenali dengan nama Tok Bendang Daya, kerana menjalankan aktivitinya di Bendang Daya Patani. Ketiga-tiga ulama besar Patani itu satu sama lainnya sempat bertemu, yang lebih tua menjadi guru kepada yang muncul kemudiannya.

Ketiga-tiga mereka masih ada kaitan keluarga pertalian nasab yang dekat, yang bersumber daripada satu datuk nenek yang sama. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani bin Abdur Rahman adalah cucu saudara bagi Syeikh Daud bin Abdullah al- Fathani, dan dalam sebuah manuskrip ada dinyatakan bahawa beliau merupakan Khalifah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Pendidikan dan Keluarga

Nama lengkapnya, Syeikh Wan Abdul Qadir bin Wan Abdur Rahman bin Wan Utsman bin Tok Wan Su bin Tok Wan Abu Bakar bin Tok Kaya Wan Pandak bin Tok Wan Faqih Ali. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah peringkat murid kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Bukit Bayas Terengganu dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Beliau mendapat pendidikan asas dimulai daripada beberapa pondok di Patani, tetapi yang lebih lama tempatnya memondok adalah di Pondok Pauh Bok Patani, iaitu sebuah pondok pengajian yang pernah mendidik ramai ulama, di antaranya termasuk Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan ramai lagi.

Pada zaman itu hampir semua pondok di Patani yang menjadi Tok Guru adalah di kalangan keluarga mereka. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani terganggu pendidikannya di Patani kerana terjadinya satu peperangan besar antara Patani dengan Siam (1828 M-1830 M). Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani termasuk keluarga besar ulama Patani Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim Terengganu yang turut berhijrah ke Pulau Duyung Kecil Terengganu.

Dalam peristiwa penghijrahan itu diriwayatkan bahawa beliau baru berusia sekitar belasan tahun saja. Walau pun hijrah yang penuh darurat itu dilakukan, namun belajar kitab terus juga dilaksanakan, masa tidak boleh dibuang dan diabaikan. Dipercayai di Pulau Duyung Kecil itu beliau belajar kepada kedua-dua ulama yang telah disebutkan di atas.

Lebih kurang empat puluh hari setelah kelahiran saudara sepupunya, iaitu Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani/Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani keluarga besar ulama Patani tersebut, termasuk Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani meneruskan perjalanan ke Mekah dan sepupunya bayi yang baru dilahirkan juga dibawa bersama-sama.

Yang tinggal di Pulau Duyung Kecil itu hanya sebahagian kecil termasuk Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani saya katakan sepupu dengan Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani/Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani kerana ibunya adik beradik/saudara kandung.

Ibu Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman bernama Wan Fathimah binti Syeikh Wan Idris al-Fathani, ibu Syeikh Nik Mat Kecik bernama Wan Zainab binti Syeikh Wan Idris al-Fathani. Ada pun Syeikh Wan Idris al-Fathani tersebut, nama lengkapnya ialah Syeikh Wan Idris bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris bin Syeikh Senik al-Karisiqi al-Fathan. Syeikh Wan Idris bin Syeikh Wan Abdullah adalah saudara kandung Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Jadi dengan demikian Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani juga sempat belajar kepada datuknya, Syeikh Wan Idris bin Abdullah al-Fathani yang tersebut.

Diriwayatkan bahawa ayahnya, Syeikh Abdur Rahman bin Utsman, juga termasuk ulama. Dipercayai Syeikh Abdul Qadir juga belajar kepada ayahnya itu.

Selain belajar di lingkungan kaum keluarga sendiri Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani juga pernah belajar kepada Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki (1233 H.-1335 H), Syeikh Muhammad Haqqi Nazili (wafat di Mekah 1301 H/1884 M), Syeikh Ahmad As'ad ad-Dihan (1222 H-1294 H), Saiyid Muhammad Amin Ridhwan dan ramai lagi.

Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani merupakan kader Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, oleh itu manakala Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani meninggal dunia, beliau menjadi rujukan utama ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu, yang berada di Mekah. Hal ini kerana beliau adalah seorang ulama yang menguasai ilmu pengetahuan keislaman dalam berbagai-bagai bidang. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah seorang ulama ahli syariat dan haqiqat.

Pengaruh

Telah disebutkan bahawa Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah keluarga dekat kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, maka Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani inilah yang pertama mengambil tempat kemasyhuran Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani setelah beliau meninggal dunia. Pengetahuan Islam dan predikat ulama pada peribadi Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani tidak pernah diragukan oleh para ulama yang sezaman dengan beliau.

Kedudukan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani dari sudut ilmu pengetahuan adalah setaraf dengan ulama-ulama besar yang berada di Mekah dan Madinah pada zaman itu. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani menjalankan tugas ulama dengan aktiviti pengajarannya di Masjidil Haram, Mekah dan di rumahnya sendiri.

Beliau mengajar kitab yang tinggi-tinggi dalam bahasa Arab, juga kitab-kitab Melayu/Jawi yang dikarang oleh ulama-ulama yang berasal dari dunia Melayu yang terkenal. Murid beliau sangat ramai.

Di antaranya yang terkenal mengarang dan menterjemah kitab-kitab ialah Syeikh Utsman bin Syeikh Syihabuddin al-Funtiani (Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia). Muridnya ini banyak meninggalkan karangan.

Di antara kitab yang diterjemahkannya berjudul Tajul `Arus). Syeikh Ahmad al-Fathani juga termasuk salah seorang murid Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, iaitu kader yang bersambung dan berhubung dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani hingga sampai kepada kegiatan datuk nenek mereka, iaitu ulama-ulama Patani yang telah berhasil sebagai patriot-patriot penyebar ilmu pengetahuan Islam di dunia Melayu khususnya, dan dunia umumnya.

Suatu hal yang menarik disebut di sini bahawa Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah seorang ulama yang besar pengaruhnya di kalangan Thariqat Syathariyah. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani adalah seorang Mursyid dalam Thariqat Syathariyah tersebut. Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani menerima Thariqat Syathariyah adalah secara langsung kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Oleh sebab Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani telah diperbolehkan mentawajjuh, membai'ah, dan mengijazahkan Thariqat Syathariyah tersebut, maka pengaruh beliau lebih besar di kalangan masyarakat pengamal sufi Islami. Syeikh Wan Ali Kutan al-Kalantani dipercayai telah menerima Thariqat Syathariyah daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani kerana ulama yang berasal dari Kelantan itu tidak bertemu ketika dewasa dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Selain Syeikh Wan Ali Kutan, murid Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang menjadi ulama pula, yang menerima bai`ah Thariqat Syathariyah kepadanya di antara mereka ialah Syeikh Muhammad Shalih bin Syeikh Zainal Abidin al-Fathani, Syeikh Muhammad Zain bin Muhammad al-Fathani Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Muhammad bin Ismai/Nik Mat Kecik al-Fathani dan ramai lagi.

Bagi orang yang belajar ilmu tasawuf yang mempergunakan kitab Siyarus Salikin karangan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani pada masa dahulu, nama Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al- Fathani ini tidak asing lagi bagi mereka. Kitab tersebut cetakan asalnya kemudian masih beredar sampai sekarang adalah berasal daripada naskhah tulisan, tashhih dan bekas Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani mengajarnya.

Penulisan

Syeikh Abdul Qadir al-Fathani bin Abdur Rahman al-Fathani sekurang-kurangnya telah menghasilkan 14 buah karangan, namun kerana kekurangan ruangan perbicaraan tentangnya terpaksa ditangguhkan.

Karya:
Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah

Selasa, April 22, 2008

Syeikh Wan Ali Kutan, Guru Para Ulama Melayu


Keluarga Besar

Sebagaimana Syeikh Jalaluddin al-Kalantani mempunyai hubungan keturunan yang luas, demikian pula halnya Syeikh Wan Ali al-Kalantani, kerana Syeikh Wan Ali al-Kalantani mempunyai beberapa orang adik beradik. Mereka ialah: 1. Haji Wan Seman, 2. Wan Bulat, 3. Wan Hawa, 4. Wan Kaltsum, 5. Wan Siti Hajar, dan yang bungsu ialah Syeikh Wan Ali. Haji Wan Seman bin Wan Abdur Rahman mendapat tiga orang anak, iaitu Nik Sah, Wan Timun dan Nik Wan Zainab. Melalui anaknya Wan Timun, anak perempuan Wan Timun bernama Wan Embong, anak perempuan Wan Embong bernama Nik Wan Zainab kahwin dengan Tengku Hamzah Tengku Setia Maharaja, anaknya bernama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Wan Hawa binti Wan Abdur Rahman berkahwin dengan Wan Muhammad bin Wan Musa, memperoleh 4 orang anak. Salah seorang di antaranya Wan Salamah yang berkahwin dengan Wan Ya'qub bin Wan Sulaiman, memperoleh anak bernama Wan Kaltsum yang kahwin dengan Wan Ahmad Hakim bin Ibrahim (Hakim di Besut, Terengganu), keturunannya di Terengganu. Di antara anaknya ialah Wan Muhammad Ali, ayah kepada Haji Wan Abdur Rahim Kamil, salah seorang tokoh perbankan Islam.

Wan Kaltsum binti Wan Abdur Rahman berkahwin dengan ulama bernama Haji Abdus Shamad Kutan, yang kemudian dikenali dengan gelar Tuan Tabal. Beliau adalah guru kepada Bentara Guru Haji Wan Saleh, iaitu Dato' Bentara Guru Mufti Terengganu. Mengenai Tuan Tabal yang bererti saudara ipar kepada Syeikh Wan Ali Kutan diperoleh maklumat daripada keluarga ini di Terengganu, secara terperinci akan diceritakan pada siri-siri berikut dalam judul yang tersendiri.

Wan Siti Hajar binti Wan Abdur Rahman mempunyai anak iaitu Haji

Muhammad Sa'id. Beliau berhijrah ke Langkat, belajar dan berkhidmat kepada Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah yang terkenal, iaitu Syeikh Abdul Wahhab Rokan di Besilam. Akhirnya Haji Muhammad Sa'id menjadi murid kesayangan dan orang kanan ulama yang terkenal itu. Haji Muhammad Sa'id memperoleh enam orang anak, di antaranya ialah Khalifah Haji Abdul Hamid. Anak beliau ialah Haji Muhammad Saleh Hamid, Ketua Majlis Ulama Indonesia, Kabupaten Langkat dan Drs. Haji Usman Hamid, bekas dosen/pensyarah FPOK, IKIP, Medan, Sumatera Utara.

Kelahiran

Wan Ali bin Wan Abdur Rahman adalah saudara bungsu enam beradik yang diriwayatkan ini, oleh itu dalam surat menyurat Syeikh Ahmad al-Fathani memanggil ulama Kelantan tersebut dengan panggilan `Pak Cu Wan Ali'. Syeikh Wan Ali adalah ayah saudara sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Wan Ali al-Kalantani pula berkahwin dengan saudara sepupunya bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, adik beradik dengan Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, ibu kepada Syeikh Ahmadal-Fathani.

Syeikh Wan Ali lahir dekat Kota Kubang Labu, di tepi Sungai Kelantan. Ismail Awang dalam majalah Pengasuh menyebut bahawa beliau lahir tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi, tarikh inilah yang diikuti oleh kebanyakan penulis. Penulis sendiri tetap mempertikaikan tahun yang disebutkan itu, jika ditulis tahun 1235 Hijrah/1820 Masihi, barangkali lebih mendekati kebenaran. Hujah-hujah penulis adalah bahawa di kalangan keluarga telah popular cerita tentang Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani adalah sebaya umurnya dengan Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani.

Selain itu, antara beliau terjadi tukar menukar ilmu pengetahuan dengan Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (adik Syeikh Muhammad Zain al-Fathani). Adapun hubungan Syeikh Muhammad Zain al-Fathani dengan Syeikh Wan Ali Kutan itu adalah berbirasan, kerana isteri kedua-duanya adalah adik beradik. Isteri Syeikh Wan Ali Kutan bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani dan isteri Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani bernama Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani mencatat tahun kelahiran ayahnya itu pada tahun 1233 Hijrah/ 1817 Masihi dan ibunya lahir pada tahun 1241 Hijrah/1825 Masihi. Sedangkan dalam riwayat bahawa Wan Cik al-Fathani itu walaupun menjadi kakak ipar kepada Syeikh Wan Ali Kutan, namun Syeikh Wan Ali Kutan lebih tua daripada Wan Cik. Wan Aisyah adik Wan Cik pula dilahirkan pada tahun 1243 Hijrah/1827 Masihi, sedangakn Wan Ali Kutan adalah lebih tua daripada isterinya itu.

Dengan fakta-fakta tersebut di atas, penentuan tarikh lahir Syeikh Wan Ali Kutan adalah pada tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi (yang bererti lebih muda sekitar sepuluh tahun daripada isterinya) itu adalah suatu kekeliruan. Diharapkan kepada para pengkaji sejarah dapat meneliti kembali tahun-tahun yang tersebut itu, mudah-mudahan sejarah yang tepat dapat menjadi pegangan yang tidak menjadi keraguan lagi.

Pendidikan

Pendidikan ketika di Kelantan tidak jelas, yang dapat dikaji dimulai dari umur 12 tahun, kerana ketika usia itulah beliau dibawa ke Mekah untuk belajar di sana. Pendidikan di Mekah itu merupakan penentuan bahawa Syeikh Wan Ali al-Kalantani dapat dikategorikan sebagai ulama besar yang lengkap dengan pelbagai ilmu pengetahuan keIslaman. Di antara gurunya di Mekah dapat dicatat ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Muhammad Haqqi an-Nazili an-Naqsyabandi. Kedua-dua ulama ini sangat terkenal.

Selain itu, Syeikh Wan Ali al-Kalantani belajar pula kepada Syeikh Ahmad As'ad ad-Dihan, Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong, Kelantan dan lain-lain. Di Madinah Syeikh Wan Ali belajar kepada Syeikh Muhammad Amin bin Sayid Ridhwan al-Madani, terutama sekali menerima ijazah Shalawat Dalailul Khairat dengan sanad yang bersambung sampai kepada pengasasnya Syeikh Sulaiman al-Jazuli.

Dalam karangannya Lum'atul Aurad, Syeikh Wan Ali al-Kalantani menyebut bahawa beliau menerima ijazah Hizbul Bahri kepada Syeikh Ahmad bin As'ad ad-Dihan juga kepada Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong, Kelantan. Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong menerima daripada Syeikh Abdullah bin Muhammad Saleh, beliau menerima daripada ayahnya Syeikh Muhammad Saleh bin Abdur Rahman al-Fathani, beliau pula menerima daripada Syeikh Muhammad Saleh bin Ibrahim Mufti Syafi'ie di Mekah pada zamannya. Silsilah ini bersambung terus hingga kepada pengamal pertama Hizbul Bahri, iaitu Wali Allah Syeikh Abil Hasan asy-Syazili. Syeikh Wan Ali al-Kalantani termasuk pengikut Thariqat Syaziliyah yang sanad/silsilahnya bersambung daripada Syeikh Abil Hasan asy-Syazili hingga kepada Rasulullah s.a.w.

Syeikh Wan Ali al-Kalantani juga belajar berbagai-bagai ilmu kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani termasuk beliau menerima Thariqat Syathariyah kepada ulama Patani itu. Syeikh Wan Ali al-Kalantani juga termasuk pengamal Thariqat Ahmadiyah yang dinisbahkan kepada Sayid Ahmad bin Idris. Dipercayai Syeikh Wan Ali al-Kalantani telah menerima talqin bai'ah Thariqat Ahmadiyah itu daripada Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi.

Karangan

Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman, Kutan al-Kalantani meninggalkan beberapa karangan, yang senarai lengkapnya adalah sebagai berikut:

1. Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub, 1306 Hijrah/1888 Masihi. Kandungannya merupakan terjemahan dan syarah Lubabul Hadits. Matan Lubabil Hadits adalah karya Imam Jalaluddin as-Suyuthi. Cetakan pertamanya ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Pada cetakan pertama tercantum puisi dalam bahasa Arab gubahan Syeikh Ahmad al-Fathani yang terdiri daripada 27 bait, dua-dua rangkap.

2. Zahratul Murid fi `Aqaidit Tauhid, 1310 Hijrah/1892 Masihi. Kandungannya membicarakan perkara tauhid menurut pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Cetakan pertama, juga ditashih oleh Syeikh Ahmad al- Fathani. Di bahagian muka dan belakang cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1315 Hijrah terdapat keterangan Syeikh Ahmad al-Fathani. Kitab ini terdapat beberapa edisi cetakan di antaranya dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan.

3. Lum'atul Aurad, 1311 Hijrah/1894 Masihi. Kandungannya mengenai selawat, wirid dan pelbagai doa. Terdapat pelbagai edisi cetakan, di antaranya oleh Matba'ah al-Miriyah, Mekah, cetakan kedua 1314 Hijrah. Edisi cetakan Matba'ah Al-Ahmadiah, Singapura, 1346 Hijrah. Dan edisi yang terakhir ialah yang diusahakan oleh cucunya, Haji Wan Abdul Qadir Daud al-Kalantani. Edisi yang terakhir ini dicetak terus menerus dan masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang ini. Lum'atul Aurad ini sangat banyak diamalkan oleh para ulama dan orang awam dunia Melayu, bagi pengamal-pengamalnya selalu menceritakan akan keberkesanan amalan tertentu yang termaktub dalam kitab itu setelah mereka mengamalkannya secara teratur dan rutin.

4. Majma'ul Qashaid wal `Awaid, 1320 Hijrah/1902 Masihi. Kandungannya merupakan kumpulan pelbagai qasidah. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1321 Hijrah.

5. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Arab, masih dalam bentuk manuskrip.

6. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Melayu, masih dalam bentuk manuskrip.

7. Catatan-catatan, masih dalam bentuk manuskrip.

Petikan:

Syeikh Wan Ali Kutan, Guru Para Ulama Melayu karya Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah di ruangan Ulama Nusantara, akhbar Utusan Malaysia

Sabtu, April 19, 2008

Syeikh Muhammad Arsyad al‑Banjari, Ulama Banjar Terkenal

Syeikh Muhammad Arsyad al‑Banjari dilahirkan pada 15 Safar 1122 Hijrah bersarnaan 17 Mac 1710 Masihi di Kampung Lok Gabang, Martapura, Banjarmasin. Bapanya Abdullah merupakan seorang pemuda yang dikasihi sultan (Sultan Hamidullah atau Tahmidullah bin Sultan Tahlilullah 1700‑1734M). Bapanya bukan asal orang Banjar, tetapi datang dari India, mengembara untuk menyebarkan dakwah. Beliau seorang ahli seni ukiran kayu.

Semasa ibunya hamil, kedua ibu bapanya sering berdoa agar dapat melahirkan anak yang alim dan zuhud. Setelah lahir, ibu bapanya mendidik dengan penuh kasih sayang setelah mendapat anak sulung yang dinanti‑nantikan ini. Beliau dididik dengan dendangan Asmaul‑­husna, di samping berdoa kepada Allah. Setelah itu diberi pendidikan Al‑Quran kepadanya. Kemudian barulah menyusul kelahiran adik-adiknya iaitu 'Abidin, Zainal Abidin, Nurmein, dan Nurul Amien.

Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari Semasa Kecil

Sejak kecil, Syeikh Muhammad Arsyad al‑Banjari kelihatan cergas dan cerdas serta mempunyai akhlak yang baik dan terpuji. Kehebatan beliau sejak kecil ialah dalam bidang seni lukis dan seni tulis, sehingga sesiapa sahaja yang melihat karyanya akan berasa kagum dan terpukau.

Pada suatu hari, sultan mengadakan kunjungan ke kampung‑kampung. Apabila baginda sultan sampai ke kampung Lok Gabang, baginda berkesempatan melihat hasil karya lukisan Muhammad Arsyad yang indah lagi memukau hati itu. Justeru, sultan berhajat untuk memelihara dan mendidik Muhammad Arsyad yang tatkala itu baru berusia 7 tahun.

Syeikh Muhammad Arsyad al‑Banjari mendapat pendidikan penuh di istana sehingga usianya mencapai 30 tahun. Kemudian, beliau dikahwinkan dengan seorang perempuan yang solehah bernama Tuan Bajut. Hasil perkahwinan, beliau memperoleh seorang puteri yang diberi nama Syarifah.

Syeikh Muhammad Arsyad telah meneruskan pengembaraan ilmunya di Makkah dan Madinah. Segala perbelanjaannya ditanggung oleh Sultan Tamjidillah (1745‑1778M) dan pengganti baginda Sultan Tahmidillah (1778‑1808M). Selama belajar di Makkah, Syeikh Muhammad Arsyad tinggal di sebuah rumah yang dibeli oleh Sultan Banjar yang terletak di kampung Samiyyah iaitu dikenali sebagai Barhat Banjar.

Syeikh Muhammad Arsyad AI‑Banjari Semasa Di Makkah Dan Madinah

Semasa di Makkah, Syeikh Muhammad Arsyad belajar dengan tekun di Masjidil Haram dalam pelbagai bidang ilmu. Beliau berguru dengan ulama'‑ulama' terkenal pada masa itu seperti Syeikh Ataillah Bin Ahmad al‑Misriy, Syeikh Muhammad Bin Sulaiman al‑Kurdiy, Syeikh Muhammad Bin Abd Karim al‑Qadiri, Syeikh Ahmad Bin Abd Mun'im al‑Damanhuri, Syeikh Hasan Bin Ahmad 'Akisy al‑Yamani, Sheikh Salim Bin Abdullah al­Basri, dan banyak lagi.

Sahabat‑sahabat Syeikh Muhammad Arsyad merupakan golongan pencinta kepada ilmu pengetahuan sehingga setiap perternuan yang merupakan majlis ilmu, mereka saling ber­muzakarah bersama‑sama. Antara sahabat beliau ialah: Syeikh Abdul Samad al‑Falimbani, Syeikh Abdul Rahman Mesri, Syeikh Daud bin Abdullah al‑Fatani, Syeikh Abdul Wahab Sadengreng (Bugis), dan Syeikh Muhammad Salih bin Umar al‑Samarani atau 'Semarang'.

Untuk menambah ilmu, Syeikh Muhammad Arsyad bersama sahabatnya ingin merantau pula ke Mesir. Namun, setelah bersiap untuk berangkat, mereka mendapat khabar bahawa ulama' besar Mesir iaitu Syeikh Muhammad Bin Sulaiman al­-Kurdie datang ke Madinah. Lantas beliau bersama sahabat pergi ke Madinah untuk berguru dengan syeikh tersebut.

Pulang Ke Tanah Air

Setelah berada selama 30 tahun di Makkah dan lima tahun di Madinah, Syeikh Muhammad Arsyad al‑Banjari pulang ke tanah air untuk menyebarkan Islam. Setibanya beliau ke kampung halaman, beliau membuka pusat‑pusat pengajian untuk memudahkan masyarakat Islam menimba ilmu pengetahuan. Selain itu, Syeikh Muhammad Arsyad

turut membiasakan diri bersama orang kampong berkebun, bersawah, dan bertani.

Di samping aktif mengajar dan mendidik masyarakat Islam yang datang dari pelbagai pelosok daerah, beliau turut turun berdakwah ke segenap lapisan masyarakat yang terdiri daripada rakyat biasa hinggalah kepada golongan pembesar dan bangsawan.

Dalam menyampaikan dakwah, Syeikh Muhammad Arsyad menggunakan pelbagai kaedah pendekatan iaitu Dakwah bil Hal (dakwah yang menggunakan pendekatan contoh dan akhlak yang dipamerkan oleh beliau), Dakwah bil Lisan (dakwah dengan menggunakan pendekatan lidah iaitu mengajak dan menyeru) dan Dakwah bil Kitabah (dakwah dengan menggunakan pendekatan penulisan buku dan risalah).

Karya‑karya Syeikh Muhammad Arsyad AI‑Banjari

  1. Kitab Usuluddin ‑ Ditulis pada 1188H (1774 M), ditulis dalam bahasa Melayu, yang memuatkan masalah tauhid dan keimanan. Risalah ini belum pernah dicetak.
  1. Luqthatul 'AjIan fi Bayan Haid wa istihadhati wa nifas al‑Niswan ‑ Iaitu kitab yang mengupas mengenai masalah haid, istihadhah, dan nifas. Isi kitab ini terdiri daripada muqaddimah, 15 fasal, dan penutup. Dicetak pada tahun 1992 di Indonesia. Dalam kitab ini dinyatakan bahawa wajib hukumnya bagi perempuan belajar masalah haid, istihadhah, dan nifas. Jika suami orang berilmu, dia wajib mengajar isterinya; jika sebaliknya, dia wajib memberi keizinan kepada isterinya untuk belajar mengenainya.
  1. Kitab Tuhfat al‑Raghibin ‑ Ditulis pada 1188H (1774M). Pernah diterbitkan di Mesir pada 1353H. Kitab ini membincangkan masalah tauhid iaitu penjelasan tentang hakikat iman, perkara­-perkara yang boleh merosakkan iman, tanda seseorang menjadi murtad, dan sebagainya. Kitab ini terdiri daripada muqaddimah, tiga fasal, dan penutup.
  1. Kitab al‑Qawl al‑Mukhtasar fi 'Alamat al­Mahdi al‑Muntazar ‑ Kitab ini mula dikarang pada tahun 1196H. Mengandungi perbahasan tentang tanda‑tanda kiamat seperti Imam Mahdi, Dajjal, turunnya Nabi Isa, terbit matahari sebelah barat. Ditulis dalarn tulisan jawi dan pernah dicetak di Singapura tahun 1356H (1937M).
  1. Kitab Ilmu Falak ‑ Kitab ini ditulis dalam bahasa Arab. Penulisannya mernuatkan kaedah bila terjadinya gerhana matahari dan bulan. Walau bagaimanapun kitab ini belum sempat dicetak.
  1. Kitab al‑Nikah ‑ Kitab ini menerangkan tentang pengertian wali dan kaedah melaksanakan akad nikah berdasarkan apa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w. Kitab ini pernah diterbitkan di Istanbul pada 1304H.
  1. Kitab Kanzul Ma'rifah ‑ Kitab ini berkaitan dengan ilmu tasawuf serta penjelasan mengenai hakikat mengenal diri untuk mencapai makrifat kepada Allah. Isi kandungannya ditulis dalam bahasa Melayu dan belum dicetak.
  1. Kitab Sabil al‑Muhtadin ‑ Inilah kitab beliau yang paling masyhur. Kemasyhuran kitab ini akhirnya menjadi khazanah di beberapa perpustakaan besar iaitu di Makkah, Mesir, Turki, dan Beirut. Kitab ini amat popular di Nusantara yang merangkumi Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Kemboja, dan Brunei.

Karya Syeikh Muhammad Arsyad al‑Banjari yang paling terkenal ini merupakan kitab fiqh Melayu yang tersebar luas di seluruh alam Melayu. Terdapat di dalam dua jilid, jilid pertama mempunyai 252 halaman dan jilid kedua 272 halaman. Perbincangan dalam kitab ini meliputi persoalan ibadah yang menyentuh thaharah, solat, puasa, zakat, haji, akikah, korban, makanan yang halal dan haram serta sembelihan.

Kitab ini ditulis atas permintaan Sultan Tahmidillah Bin Sultan Tamjidillah. Penulisannya mengambil masa selama dua tahun iaitu dimulai pada 1193H/1779M dan selesai pada 27 Rabiul Akhir 1195H. Kitab ini pertama kali dicetak di Istanbul pada tahun 1300H/1882M kemudian diulang cetak di Kaherah dan Makkah.

Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari Meninggal Dunia

Beliau meninggal dunia pada malam Selasa iaitu di antara waktu Maghrib dan Isyak, pada 6 Syawal 1227 Hijrah bersamaan 13 Oktober 1812 Masihi. Beliau meninggal dunia pada usia 105 tahun dengan meninggalkan sumbangan yang besar terhadap masyarakat Islam di Nusantara.

Bagi mengenang jasa dan sumbangan beliau, beberapa tempat di Indonesia telah mengabadikan nama dan karya beliau. Antaranya ialah Universitas Islam Kalimantan Muhammad Arsyad al‑Banjari dan Masjid Raya Sabilal Muhtadin.

Sabtu, April 12, 2008

Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah, Pengkaji Biografi Ulama Nusantara Yang Gigih

Hari ini merupakan pemergian pertama Ustaz Wan Mohd Shaghir ke rahmatullah yang pergi pada 12 April tahun lalu. Ustaz Wan Mohd Shaghir merupakan seorang pengkaji dan penulis biografi Ulama Nusantara yang hebat. Beliau gigih dan tidak jemu dalam mengkaji sesuatu biografi ulama itu.

Usahanya yang gigih dalam meneliti, mencari dan mengumpul biografi ulama nusantara dan karya-karya ulama dalam bentuk manuskrip itu tel
ah dimulakannya sejak semasa zaman remaja lagi.

Setiap Isnin, saya dan pembaca setia Ulama Nusantara lain akan tertunggu-tunggu dan menanti apakah nukilan terbaru beliau dalam ruangan Agama, Mega, akhbar Utusan Malaysia. Kalau tidak membaca tulisan beliau pada hari itu walaupun sekali, saya rasa bagaikan tidak lengkap hari itu tanpa membaca tulisan baru beliau.

Komitmen beliau terhadap pengkajian ulama Nusantara memang amat mengagumkan sekali.

Apa tidaknya, sejak tahun 1958 lagi Allahyarham mengembara dan mengumpulkan pelbagai bahan berkaitan biografi, pemikiran, ketokohan dan perjuangan, analisis teks, transliterasi kitab-kitab lama serta karya ulama silam.


Dalam uzur, beliau menggagahkan diri membentang kertas kerja pada seminar-seminar baik yang diadakan di universiti mahupun oleh pihak lain di dalam dan luar negara.


Menurut Hamidiah, cinta suaminya terhadap bidang penulisan tidak pernah padam walaupun semasa terlantar sakit di rumah.

“Walaupun menaip dalam keadaan mata tertutup kerana sakit namun Allahyarham tetap terus berkarya menyiapkan bahan untuk Agama, Mega,” katanya.

Jodoh Allahyarham bersama Utusan Malaysia bermula sejak 12 Februari 2004. Ketika itu Ustaz Wan Shaghir berada di peringkat awal mengumpul, menyebar dan mengembangkan karya tokoh ulama Nusantara ke alam Melayu.


Karya sulung beliau yang disiarkan Utusan Malaysia ialah Syeikh Abdul Lathif Tambi Ulama gigih dan Dermawan.


Beliau juga adalah pengasas Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia (Pengkaji) yang didaftarkan pada tahun 1996.

Persatuan ini juga berfungsi sebagai Pusat Penyelidikan dan Penyebaran Khazanah Islam Klasik dan Moden Dunia Melayu.

Bercakap soal penulis yang prolifik, tidak syak lagi beliau adalah salah seorang contohnya. Apa tidaknya, sepanjang lebih tiga tahun bersama Utusan, lebih 100 karya kajiannya telah diterbitkan.

Ini tidak termasuk hasil kerja berbentuk transliterasi teks, kertas kerja, koleksi rencana yang disiarkan dalam buku dan majalah.

Karya-karya itu pula menjadi bahan rujukan bukan sahaja oleh para penuntut institusi pengajian tinggi tetapi juga di kalangan para pengkaji ilmu Islam antarabangsa.

Dalam temu bual bersama Utusan Malaysia pada 12 Februari 2007, beliau memberitahu, “seawal usia 12 tahun saya telah mula mengembara ke Kepulauan Riau dan Sumatera untuk membuat penyelidikan di samping mengikuti pengajian di beberapa pondok di sana.”

Sebenarnya, minat berkarya cucu kepada tokoh ulama yang tidak asing lagi, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani ini dipupuk oleh ibunya Hajah Wan Zainab melalui cerita-cerita karamah tokoh ulama terulung silam.

Kelebihan beliau ialah dari segi semangat mencari dan mengumpul bahan-bahan terutama khazanah yang tidak diperoleh daripada pihak lain kecuali dirinya.

Untuk itu, beliau menjelajah beberapa negara asal ulama tertentu seperti Singapura, Indonesia
, Thailand dan beberapa wilayah di Patani dan Kalimantan Barat dalam usaha meneroka dan pencarian bahan-bahan ulama Nusantara. Malah, sanggup membelinya walaupun dengan harga yang mahal.

Di antara karya beliau ialah Sufi dan Wali Allah, Pusaka Penulisan al-Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani dan banyak lagi. Semuanya boleh didapati di Pengkaji.

Kini, semua usaha beliau hanya tinggal sejarah. Namun, alhamdulillah matlamat Beliau menyebar dan mengembangkan tokoh ulama silam ke alam Melayu telah berjaya.

Pemergian beliau memang satu kehilangan kepada dunia ilmu Islam khususnya ulama Nusantara. Sebabnya, beliau semasa hayatnya bukan sahaja aktif berkarya tetapi terlibat menerbit, mencetak dan membentang kertas kerja.


Bagaimanapun, kita berharap Pengkaji yang diasaskan oleh beliau akan meneruskan perjuangan yang murni ini.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Di bawah ini saya akan perturunkan secara eksklusif sedikit biografi Ustaz Wan Mohd Shaghir dari pejabat Pengkaji. Semoga ada manfaatnya.

Biografi Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah

1. Nama:

Jalur (sebelah ayah)

Haji Wan Mohd. Shaghir bin Haji Wan Abdullah bin Haji Wan Abdur Rahman bin Haji Wan Abu Bakar bin Wan Ma'aris bin Cik Wan Taksim al-Qumari al-Juhuri al-Fathani bin Datuk Bendahara Lingkai al-Juhuri al-Fathani.

Jalur (sebelah ibu)

Haji Wan Mohd. Shaghir, ibu bernama Hajah Wan Zainab binti Al-'Alim Al-'Allamah Syeikh Wan Ahmad bin Syeikh Haji Wan Muhammad Zainal 'Abidin bin Syeikh Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad Faqih bin Muhammad Zainal 'Abidin @ Faqih Wan Musa bin Wan Muhammad Shalih bin 'Ali al-Masyhur al-Laqihi.

Syeikh Ahmad al-Fathani adalah seorang ulama tersohor pada akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20, lahir pada tahun 1856 dan wafat 1908. Dalam era setelah kebangkitan Syeikh Ahmad di Makkah, muncul murid-murid atau kader beliau dan ulama-ulama Makkah di Malaysia seperti Tuan Husein Kedah, Syeikh 'Utsman Sarawak, Mufti Pulau Pinang Haji 'Abdullah Fahim, Tok Kenali, Syeikh Muhammad Sa'id Linggi, Qadhi Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar, Johor, Syeikh al-Islam Selangor Tengku Mahmud Zuhdi bin 'Abdur Rahman al-Fathani dan masih ramai lagi di seluruh dunia Melayu.

2. Tarikh lahir :

Jumaat, 9 Ramadhan 1364 H/17 Ogos 1945 M, berumur 61 tahun

3. Status Perkawinan:

Berkahwin dengan Hamidiyah binti Haji Abdul Majid bin Ismail, memperoleh anak 6 orang.

4. Pekerjaan:

Penulis, khas penyelidikan sejarah ulama dunia Melayu dari semua zaman tentang biografi, karya, pemikiran, perjuangan dll. menyentuh seluruh aspek mengenai ulama-ulama Asia Tenggara/alam Melayu yang tersebut. Menerima wasiat dari ibunya untuk meneruskan kerja-kerja datuknya 100 tahun yanmg lampau iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani. Penulisan beliau merujuk kepada bahan asli hasil pengembaraan selama 48 tahun melalui manuskrip, cetakan lama, litografi hasil karya yang ditulis oleh ulama Melayu. Tidak mengambil rujukan dari Inggeris, hanya sebagai perbandingan dan bukan menjadi rujukan utama.

5. Alamat sekarang:

36 Jalan Batu Geliga Satu, Taman Melewar, 68100 Batu Caves, Selangor Darul Ehsan.

6. Organisasi:

a). Mengasaskan Khazanah Fathaniyah yang berfungsi sebagai penerbit hasil penulisan sendiri dan menerbitkan kembali karya-karya ulama terdahulu.

b). Mengasaskan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia dengan singkatan PENGKAJI dengan tujuan memberi pendedahan tentang betapa besarnya peranan dan sumbangan ulama terdahulu dalam penyebaran ilmu di dunia Melayu melalui pameran, seminar dan sebagainya.

7. Menjalin Kerjasama antara Penerbit Khazanah Fathaniyah dengan PENGKAJI

- Pembentanagan kertas kerja dalam memenuhi undangan Jabatan Kerajaan, Pusat Pengajian Tinggi, Organisasi dan Pertubuhan di dalam seminar, forum, muzakarah dan lain-lain di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

- Mengadakan Siri Pameran Koleksi Karya-karya Ulama Dunia Melayu diadakan dalam bentuk warkah maklumat terdiri dari manuskrip kitab, gambar-gambar, surat, lakaran absrtak, catatan dan lain-lain ditonjolkan untuk diperkenalkan kepada masyarakat umum.

- Menjalin kerjasama dengan organisasi yang berminat untuk menganjurkan seminar, forum, muzakarah, taskirah, pameran, dokumentari, penerbitan dan sebagainya.

- Menerbitkan siri buku-buku dan dokumen mengenai sejarah ulama-ulama alam Melayu seperti:

· Buku Bersiri-Penyebaran Islam & Silsilah Ulama Sejagat Dunia Melayu. ( Jilid 1- Jilid 15 )

· Wawasan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara. ( Jilid 1- Jilid 7 )

· Jadwal Tarikh, Bulan Dan Tahun Hijri-Masihi. ( Jilid 15-Jilid 16 )

· Warkah Maklumat ( 98 Judul )

q Memberi khidmat pakar rujukan dan maklumat kepada para pengkaji dan penyelidik dari berbagai peringkat bagi tujuan penulisan dan tesis mereka. Sejak tahun 1990 sehingga kini, telah menerima lebih dari 1000 pengunjung yang terdiri dari kalangan mahasiswa universiti pelbagai peringkat untuk mendapat B.A hingga Ph.D sama ada dari dalam mahu pun luar negeri.

q Hasil daripada penyelidikan Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia dengan kerjasama Penerbit Khazanah Fathaniyah telah menghasilkan lebih dari 800 judul dalam pelbagai koleksi yang di katogerikan seperti berikut:

· Koleksi Transliterasi Kitab-40

· Koleksi Penyebaran Islam & Silsilah Ulama Sejagat Dunia Melayu-15

· Koleksi Kertas Kerja(Pembentangan Dalam Pelbagai Seminar)-70

· Koleksi Syair dan Puisi-5

· Koleksi Wawasan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara-7

· Koleksi Kitab Arab dan Kitab Melayu/Jawi-130

· Koleksi Kitab Wakaf-4

· Koleksi Warkah Maklumat ( Artifak ) Berupa Manuskrip dan lain-lain-98

· Koleksi Gambar Ulama Dan Tokoh-Tokoh Nusantara-135

· Koleksi Surat Dan Pelbagai Dokumen-10

· Koleksi Siri Amalan-Amalan Islam-6

· Koleksi Kad Hari Raya(Khat, Gambar Ulama dan Tokoh Dunia Melayu)-40

· Koleksi Stiker(Kata-Kata Hikmah Ulama Dunia Melayu)-5

· Koleksi Poster(Kata-Kata Hikmah dan Gambar Ulama Dunia Melayu)-5

· Koleksi Penulisan Ulama Nusantara DI Akhbar Utusan Malaysia-110

· Koleksi Penulisan Ensiklopedia Nusantara Di Akhbar Berita Harian-40

· Koleksi Karya Ilmiah berupa artikel dalam Majalah Dian, Pengasuh, Dewan Budaya, Dakwah, Al-Islam, Kiblat, Al-Ehsan, Jurnal Dewan Bahasa, Jurnal Filologi Melayu, Koleksi Biografi Ulama Asia Tenggara-150

- Sedia menerima undangan dari pelbagai pihak, media masa iaitu media cetak dan media elektronik untuk memberi pandangan, ceramah dan membuat dokumentari berkaitan Islam, Melayu dan ulama dunia Melayu.

- Mengadakan kelas pengajian kitab-kitab Melayu/Jawi klasik karya ulama dunia Melayu dan sekaligus membantu menghidupkan tulisan jawi seperti yang disarankan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Y.B. Datuk Seri Dr. Rais Yatim. Telah mulai di Masjid Al-Hidayah, Sentul, Kuala Lumpur.

8. Pengalaman Kerja:

Sejak tahun 1958, dalam usia 12 tahun telah melakukan pengembaraan dan pengumpulan pelbagai bahan untuk dokumentasi ulama-ulama Asia Tenggara baik berupa tulisan tangan (manuskrip) maupun berbagai-bagai edisi cetakan, walau keadaan darurat pun pekerjaan itu tetap diteruskan hingga sekarang ini. Penyelidikan telah berjalan selama 48 tahun dengan penuh gigih dan tanpa jemu. Pengembaraan dan penyelidikan dilakukan di Champa, Fathani, Malaysia, Sumatera, Sulawesi, Jawa, Kepulauan Borneo, Kalimantan Barat dan Selatan, Sabah, Sarawak, Negara Brunei Darussalam, Singapura dan banyak lagi.

a). 1977 dilantik oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia untuk menyelesaikan buku mengenai ulama Asia Tenggara. Telah berhasil dibukukan dengan judul Aktiviti Ulama Asia Tenggara dua jilid tebal 2000 halaman taip folio.

b). Menyumbangkan tenaga dan fikiran di beberapa tempat, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka, Pusat Islam Malaysia dan Perpustakaan Negara Malaysia:

i). DBP, tarikh September 1988, pelantikan sebagai penulis makalah Proyek Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu.

ii). DBP, tarikh 24 November 1988/14 Rabiulakhir 1409. pelantikan Ahli Jawatan Kuasa Istilah Agama Islam (Bidang Usuluddin dan Falsafah Islam).

c). 1989 Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri telah memberikan tugas-tugas yang bersangkutpaut dengan manuskrip Melayu/Jawi, iaitu:

i). Mengesan dan memberi penilaian sesuatu karya yang nadir, baik judul, pengarang, penyalin atau pun apa saja yang ada hubungkaitnya dengan permanuskripan termasuk memberikan data ringkas seseorang tokoh.

ii). Menyusun katalog manuskrip yang telah menjadi jadi milik/koleksi BAHEIS sebanyak 739 manuskrip. Pekerjaan ini telah selesai.

d). Dalam waktu yang sama (akhir 1989, awal 1990) telah menerima tugas dari Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia untuk:

i). Membuat katalog Manuskrip-manuskrip yang berbahasa Arab yang terdapat di Pusat Manuskrip Melayu itu.

ii). Mengesan beberapa manuskrip yang tidak diketahui nama pengarang dan judulnya.

iii). Membuat biografi ringkas beberapa tokoh yang manuskrip karyanya dipamerkan dalam Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu ke II.

e). Mulai 1 November 1994 hingga 31 Oktober 1996 menjadi Karyawan Tamu Pengajian Arab & Tamadun Islam, Fakulti Islam Universiti Kebangsaan Malaysia untuk menyelesaikan buku berjudul Tabaqat Ulama Asia Tenggara, dan sebagai tambahan buku berjudul Data Karya-karya Para Ulama Asia Tenggara.

f). 2005 M atas permintaan Perpustakaan Negara Malaysia, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, dalam rangka memasyarakatkan kembali tulisan Jawi, beliau telah dilibatkan dijemput hadir secara berterusan berkali-kali dalam "Mesyuarat Seminar dan Pameran Tulisan Jawi

9. Tulisan Dalam Surat Khabar:

Beliau adalah penulis di akhbar Utusan Malaysia pada setiap hari Isnin mengenai ulama dan tokoh Nusantara dan Berita Harian pada setiap hari Selasa mengenai kitab-kitab karya ulama dunia Melayu.

a. Utusan Malaysia, Bahagian Agama, Ruangan Ulama Nusantara, Setiap

Hari Isnin, dari 19 Februari 2004 hingga 15 Januari 2007 - 150 siri

b. Berita Harian, Bahagian Agama, Ruangan Ensiklopedia Nusantara Setiap

Hari Selasa, dari 21 Jun 2005 hingga 16 Januari 2007 – 85 siri

10. Teks ceramah di Radio: 5 Kali

11. Bicara di televisyen: 4 Kali

12. Karya-karya telah dirujuk oleh pelbagai golongan,

dalam dan luar negara: Lebih dari 100 perujuk

13. Biodata Haji Wan Mohd Shaghir Abdullah yang pernah ditulis oleh pelbagai tokoh dan judul dalam media:16 Judul

14. Tarikh Meninggal Dunia : 12 April 2007


Jumat, April 11, 2008

Majlis Maulidur Rasul S.A.W. & Haul Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani

Di:

Masjid Putrajaya

Pada:

19 April 2008
(Selepas solat Asar)

Penceramah & Para Ulama:

1. Syeikh Dr. Rafi' Al-Ani
(Mufti Iraq)

2. Habib Umar bin Hamid Al-Jailani (Makkah)

3. Habib Abas bin Alawi Al-Maliki (Makkah)

4. Prof Dr. Ibrahim Abu Muhammad
(Pemikir Islam di Dewan Agung Islam Australia)

5. Habib Hassan bin Muhammad Salim Al-Attas (Singapura)

6. Syed Afeefudin Al-Jailani

Selasa, April 08, 2008

Tuan Hussein Kedah al-Banjari, Ulama Kedah Terkenal

Tuan Hussein Kedah al-Banjari atau nama penuhnya Abu Abdullah Hussein bin Muhammad Nasir bin Muhammad Thayyib bin Mas’ud bin Qadhi Abu Su’ud bin Syaikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dilahirkan pada hari Ahad 20 Jamadilawal 1280H bersamaan 2 November 1863 di Titi Gajah, Kedah. Nama timangan sewaktu kecilnya adalah Che Megat. Gelaran Megat diperolehi kerana ayah beliau Haji Muhammad. Nasir, seorang kebanyakan telah berkahwin dengan Tengku Fathimah binti Tengku Mahmud, seorang kerabat Diraja Kubang Pasu, Darul Qiyam. Kemudiannya beliau mashyur dengan nama Tuan Guru Tuan Hussin Kedah.

Keturunan Tuan Hussin Kedah adalah berasal dari Kelompoyan Martapura Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia. Dan beliau adalah dari keturunan seorang ulama yang sangat tersohor di Nusantara iaitu Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari, pengarang kitab Sabil al-Muhtadin. Sejarah kedatangan keturunan beliau ke Kedah adalah apabila datuk kepada datuknya yang bernama Qadhi Haji Abu Su'ud diceritakan bahawa beliau pulang dari Makkah untuk meneruskan perjalanannya pulang ke Banjar telah singgah di Kedah. Apabila sultan Kedah mendapat tahu kehadiran ulama Banjar ini maka baginda Sultan Kedah telah meminta kepadanya supaya tinggal di Kedah untuk menjadi guru baginda dan juga rakyat Kedah.

Di Kedah Qadhi Haji Abu Su'ud al-Banjari atas kehendak Sultan Kedah telah kahwin dengan perempuan bernama Rajmah. Dari perkahwinan itu memperoleh anak dinamakan Mas'ud, iaitu moyang kepada Tuan Hussin Kedah. Moyang kepada Tuan Hussin Kedah ini iaitu Haji Mas’ud bin Qadhi Abu Su’ud selain menjadi ulama di Kedah, beliau juga dilantik oleh Sultan Kedah, menjadi salah seorang panglima perang kerajaan Kedah ketika menentang kerajaan Thai (Siam Budha). Dan beliau gugur sebagai syahid ketika peperangan menentang Thai.

Pendidikan dan Membuka Pondok

Tuan Hussin Kedah mendapat didikan awal dari datuknya Haji Muhammad Thayyib bin Mus’ud al-Khalidi an-Naqsyabandi dipondok Titi Gajah. (Insyaallah, tulisan mengenai tokoh ini akan paparkan keblog ini nanti). Seterusnya beliau menyambung pelajarannya di di Pondok Bendang Daya, Fathani. Beliau sempat belajar dengan Tuan Guru Syaikh Haji Wan Mushthafa bin Muhammad al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dan selanjutnya kepada anak beliau, Syaikh Abdul Qadir bin Syaikh Wan Mushthafa (Tok Bendang Daya II). Ketika di Bendang Daya dipercayai beliau bersahabat dengan Wan Ismail bin Mushthafa al-Fathani (Tok Ayah Doi – pengasas pondok Gajah Mati, Kedah) dan Tok Kelaba. Selain di Bendang Daya, Tuan Husein Kedah juga pernah belajar di Pondok Semela, pondok dimana datuknya pernah menuntut ilmu. Tuan Hussain Kedah telah merantau ke Kelantan, Terengganu, Singapura, Johor dan Perak untuk mendalami ilmu agama. Setelah lama di perantauan mencari ilmu, beliau kembali ke Titi Gajah dengan niat untuk membantu datuknya mengajar.

Memang sudah menjadi tradisi pada zaman tersebut, tidak lengkap ilmu seseorang sekiranya tidak melanjutkan pelajaran ke Mekah, yang merupakan pusat ilmu ketika itu. Maka pada tahun 1892, beliau berangkat ke Mekah bersama isterinya iaitu Wan Khadijah binti Wan Yusuf untuk mengerjakan haji dan menambahkan pengetahuan agamanya. Ketika di Mekah beliau sempat berjumpa dan berguru dengan ulama-ulama besar disana seperti Syaikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syaikh Nawawi al-Bantani, Syaikh Umar Sumbawa, Syaikh Ahmad Umar Bali, Syaikh Ahmad Lingga, Syaikh Wan Ahmad al-Fathani dan ramai lagi.

Apabila Tuan Hussain pulang dari Mekah pada tahun 1896M, beliau meneruskan pengajarannya di pondok Titi Gajah dan pada waktu yang sama beliau ditawarkan untuk membuka pondok di kampung Alor Ganu, sebuah perkampungan yang berhampiran. Beliau menerima tawaran tersebut dan mengajar di sana selama tiga tahun.

Pada tahun 1900, beliau berpindah Bohor dan membuka pondoknya di sana. pelajar-pelajar lelaki dan perempuan di pondok Bohor berumur antara 15 hingga 60 tahun. Terdapat dua kumpulan pondok iaitu Pondok Dalam di mana disediakan untuk orang yang sudah berkeluarga dan Pondok Luar untuk anak-anak bujang. Tuan Hussin mengendalikan pondoknya di Bohor selama 12 tahun sehingga beliau terkenal dengan panggilan "Tuan Hussain Bohor".

Pada tahun 1912, Tuan Hussin berpindah pula ke Bagan Ulu dan membuka pondok di situ. Tempat ini sekarang dikenali sebagai Pantai Merdeka. Pelajar-pelajarnya berjumlah lebih 400 orang. Antara pelajar-pelajarnya yang terkenal ialah Dato' Haji Abdul Rahman bin Haji Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbok (gambar sebelah). Tuan Hussin mentadbir pondok Bagan Ulu selama 8 tahun sebelum membuka pondok baru di Selengkoh, Mukim Sungai Limau. Keadaan persekitaran di Selengkoh yang becak mengurangkan penuntut Tuan Hussin. Beliau berkhidmat di sana selama 4 tahun dan kemudiannya berangkat mengerjakan fardhu haji bersama anak dan cucu-cucunya.

Kepulangannya dari Mekah pada tahun 1924M telah memberi ilham kepada Tuan Hussin untuk membuka pondok baru pula di Padang Lumat. Dan seterusnya beliau membuka pondok di Pokok Sena, Seberang Perai pada akhir tahun 1929M. Tuan Hussin Kedah adalah seorang ulama yang wara’ dan rajin beribadah. Sering membawa tongkat ketika berjalan Beliau bertariqat Syattariah. Beliau adalah seorang tuan guru pondok yang tegas. Pelajarnya tidak dibenarkan merokok dan berambut panjang. Tuan Hussin Kedah adalah seorang ulama besar yang sangat gigih dalam perjuangan menggunakan kalam (perkataan) dan qalam (pena/penulisan) demi penyebaran ilmu pengetahuan Islam. Dalam kesibukan mengajar, beliau masih sempat untuk menulis kitab untuk diwariskan kepada generasi seterusnya. Antara kitab-kitab tulisannya adalah:-
  • an-Nurul Mustafid fi Aqaidi Ahlit Tauhid, diselesaikan pada tahun 1305H/1888M. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah. Kitab ini adalah kitab pertama yang beliau karang.
  • Tamrinush Shibyan fi Bayani Arkanil Islam wal Iman, diselesaikan pada hari Sabtu, 1 Syaaban 1318H. Menggunakan nama Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Kandungannya membicarakan tauhid, akidah Ahlis Sunnah wal Jamaah dinyatakan rujukannya ialah Ummul Barahin, Syarah Hudhudi, karya as-Suhaimi, Hasyiyah Syarqawi dan Dhiyaul Murid. Dicetak oleh Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, Zulkaedah 1346H, ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
  • Hidayatus Shibyan fi Ma'rifatil Islam wal Iman, menggunakan nama Abi Abdullah Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas'udi al-Banjari. Diselesaikan pada hari Isnin, 18 Muharam 1330H. Kandungannya membicarakan tentang tauhid dan fekah. Cetakan yang pertama Mathba'ah At-Taraqqil Majidiyah al-'Utsmaniyah 1330H. Dicetak pula oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345H/1927H. Ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani.
  • Kisarul Aksir lish Shaghir `indal Kabir li Ma'rifatillahil `Alimil Khabir, diselesaikan pada hari Khamis, 25 Rabiulakhir 1336H. Kandungannya membicarakan tentang tasauf dan thariqat. Cetakan yang ketiga, Al-Huda Press, Pulau Pinang, Safar 1356H/April 1937M.
  • Hidayatul Athfal, diselesaikan pada 1336H. Kandungannya pelajaran tauhid untuk kanak-kanak.
  • Hidayatul Mutafakkirin fi Tahqiqi Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan pada 3 Rabiulakhir 1337H. Kandungannya membicarakan tentang tauhid, menurut akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Cetakan yang pertama Mathba'ah Al-Ahmadiah, 82 Jalan Sultan Singapura, 1345H/1927M. Cetakan yang kelima, Mathba'ah Persama, 83-85, Achen Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1377H/1957M.
  • Tafrihus Shibyan fi Maulidin Nabi min Waladi `Adnan, diselesaikan pada hari Selasa 3 Rabiulawal 1341H. Kandungannya mengenai sejarah kelahiran Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم Dicetak oleh Mathba'ah Persama, 83-85, Acheh Street, dekat Masjid Melayu, Pulau Pinang, 1382H/1962M.
  • Tazkiru Qabailil Qadhi, diselesaikan pada 1343H. Kandungannya merupakan Terjemahan Hadits Jawahir al-Bukhari, terdiri daripada dua juzuk, yang telah dijumpai hanya juzuk yang pertama saja. Cetakan yang pertama, Al-Maktabah Zainiyah, Taiping Perak, 1350H Dicatatkan: “Titah membenarkan dicetak dari bawah Duli Yang Maha Mulia as-Sultan Perak atas minit paper Qadhi Kuala Kangsar nombor 149/30”.
  • Bidayatut Thalibin ila Ma'rifati Rabbil `Alamin, diselesaikan 1344H. Kandungannya membicarakan ilmu tauhid. Cetakan yang kedua The United Press, No. 3 Dato' Keramat Road, Pulau Pinang, 1357 Hijrah. Ditashhih oleh Ilyas Ya'qub al-Azhari.
  • ‘Alaqatul Lamiyah wash Sharfiyah, diselesaikan 1345H. Kandungannya membicarakan ilmu sharaf atau perubahan perkataan dalam bahasa Arab.
  • Ushulut Tauhid fi Ma'rifati Thuruqil Iman lir Rabbil Majid, diselesaikan 6 Syawal 1346H. Kandungannya membicarakan falsafah ilmu tauhid dan ilmu fekah. Dicetak oleh Mathba'ah az-Zainiyah, Taiping, Perak, hari Jumaat, 4 Jamadilakhir, 1347H (cetakan kedua). Cetakan ulangan oleh percetakan yang sama tahun 1355H (cetakan ketiga). Dicetak semula dengan kebenaran anak pengarangnya Tuan Guru Haji Ahmad bin Tuan Husein, Qadhi Besar Pulau Pinang dan Seberang Perai kepada The United Press, Pulau Pinang, selesai cetak 11 Jumadilawwal 1393H
  • Hidayatun Nikah, diselesaikan 1347H. Kandungannya membicarakan perkara-perkara mengenai nikah kahwin.
  • Qathrul Ghaitsiyah fi `Ilmish Shufiyah `ala Syari'atil Muhammadiyah, diselesaikan 25 Jumadilawwal 1348H. Kandungannya membicarakan tasawuf. Cetakan yang kedua, Mathba'ah Persama, 93 Acheh Street, Pulau Pinang.
  • Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi, juzuk yang pertama, disele- saikan pada hari Jumaat, 5 Jamadilakhir 1350H. Kandungan mukadimahnya menyatakan bahawa judul ini terdiri daripada sepuluh juzuk. Juzuk yang pertama, membicarakan hukum taharah dalam bentuk soal-jawab. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, Jamadilakhir 1360H.
  • Majmu'ul La-ali lin Nisa' wal Athfaliyi, juzuk ke-2, diselesaikan petang Isnin, 20 Rejab 1350H. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang dalam bentuk soal-jawab. Tidak terdapat nama percetakan. Dicetak pada 22 Jumadilakhir 1352H (cetakan kedua), dinyatakan bahawa terdapat tambahan daripada cetakan yang pertama. Cetakan yang ketiga The United Press, Pulau Pinang, 3 Jumadilakhir 1360H.
  • Tabshirah li Ulil Albab, diselesaikan tahun 1351H. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid.
  • Hidayatul Ghilman, diselesaikan pada tahun 1351H. Kandungannya membicarakan tentang akidah/tauhid yang ditulis dalam bahasa Arab.
  • Nailul Maram fi ma Yujabu Husnul Khitam, diselesaikan pada hari Ahad, 6 Sya’ban 1354H. Kandungannya membicarakan tentang beberapa amalan zikir dan wirid untuk mendapatkan husnul khatimah. Dicetak oleh The United Press, dikeluarkan oleh Haji Ahmad bin Tuan Husein dengan catatan: “Dicap risalah ini untuk mendapat khairat bagi al-Madrasah al-Khairiyah al-Islamiyah, Pokok Sena, Kepala Batas, Seberang Perai.”
  • Tanbihul Ikhwan fi Tadbiril Ma'isyah wat Taslikil Buldan, diselesaikan pada tahun 1354H. Kandungannya membicarakan tentang penghidupan dan pentadbiran pemerintahan.
  • Bunga Geti, diselesaikan pada tahun 1354H. Kandungannya membicarakan tentang sembahyang qadha atau mengganti sembahyang yang ketinggalan. Kitab ini merupakan kitab terakhir yang beliau tulis

Meninggal Dunia

Menurut catatan dari kelaurganya ketika beliau jatuh sakit, Tengku Abdullah; bekas muridnya meminta beliau pulang ke Kedah. Dan beliau pulang ke Kedah setelah dirayu oleh anaknya. Tengku Abdullah telah mengambil beliau di Pokok Sena dan dibawa ke rumahnya di Batu 16, Padang Lumat, dan pada 18 Zulkaedah 1354H bersamaan 10 Februari 1936M, dengan kehendak Allah Tuan Hussin pulang ke rahmatullah dan jenazahnya telah dikebumikan di perkuburan Titi Gajah. Perjuangannya diteruskan oleh anakandanya iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin, yang juga merupakan Qadhi Besar, Pulau Pinang.

Demikianlah sekelumit kisah ulama seorang ulama tersohor dan berjasa. Peranannya dalam pendidikan, dakwah dan penulisan dalam seharusnya menjadi contoh kepada generasi ulama sekarang.

Rujukan:
- Tulisan Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah di dalam kolum Ulama Nusantara, akhbar Utusan Malaysia 29 Jumadilakhir 1425H / 6 Ogos 2004
- Buku Tokoh-tokoh Ulama Semenajung Tanah Melayu -1
- Buku Sejarah Ulama Kedah
- Portal MyKedah.
- Laman Web Madrasah al-Khairiah al-Islamiah
-http://al-fanshuri.blogspot.com/2007/06/kenali-ulama-kita-siri-1-tuan-guru-tuan.html