Pages

Kamis, Januari 31, 2008

Tok Selehor, Ulama Zuhud dan Pandai Mengarang Syair

Tok Selehor adalah seorang ulama yang telah memasyhurkan nama sebuah kampung pedalaman di jajahan Tumpat, Kelantan kerana ilmu pengetahuan yang disebarkan kepada para pelajar yang membina pondok-pondok di Kampung Selehor (kini kampung ini lebih dikenali dengan nama Kampung Kok Pasir, Kelantan). Tok Selehor juga dikenali sebagai Tok Selehong. Murid Tok Selehor bukan sahaja dikalangan penduduk tempatan tetapi juga mereka yang datang dari Patani, Kemboja, Pelembang, Jawa, Siak dan seluruh Tanah Melayu. Beliaulah ulama semasa dengan Tok Kenali bahkan dikenali sebagai ulama lima serangkai yang paling masyhur di kalangan rakyat Kelantan. Mereka ialah Tok Selehor (1871-1935) dari Tumpat, Tok Kenali (1868-1933) dari Kota Bharu, Tok Bachok (1860-1953) dari Bachok, Tok Jelapang(1861-1934 dari Pasir Mas dan Tok Kemuning(1885-1934) dari Machang.
Nama penuhnya ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Uthman bin Senik. Dilahirkan di Kampung Lubuk Jong, Kelantan (di kawasan pondok Selehor) di pinggir Sungai Selehor oleh ibunya Mek Wi binti Muhammad Amin pada tahun 1871. Beliau diasuh dan dibesarkan di kampung itu dengan mandian air sungai Selehor yang tenang dan masam kelat.
Pendidikan
Pada zaman itu, di Kelantan pengajian al-Quran dipandang sesuatu perkara yang amat mustahak. Muda-mudi yang tidak menghabiskan al-Quran 30 jujuk itu dipandang dengan suatu pandangan hina dan sukar untuk mendapat pasangan. Bagi Tok Selehor beliau beruntung besar kerana bapanya seorang guru al-Quran yang menyebabkan beliau dapat menghabiskan pengajian al-Quran dengan bapanya sendiri.
Belajar di Patani
Ayah Tok Selehor , Haji Uthman bin Senik mempunyai cita-cita besar supaya anaknya menjadi seorang ulama' kerana pada pandangannya anak yang soleh itu akan dapat memberi faedah yang besar kepadanya, sama ada ketika masih hidup apatah lagi setelah dia meninggal dunia. Kerana hasratnya itulah beliau telah menghantar anaknya belajar di Sungai Pinang kepada Tuan Guru Haji Abdul Malek. Tidak lama di sini, beliau menyambung pelajarannya ke Patani.
Di sana beliau belajar daripada Tuan Guru Haji Abdul Rashid, Kuala Bekah. Tetapi oleh kerana Haji Abdul Rashid ditangkap oleh kerajaan Thai sebab dibimbangkan pengaruhnya yang besar itu menimbulkan masalah politik di Selatan Thai. Beliau menyambung pelajarannya pula dengan Tuan Guru Haji Abdullah Bendang Jong. Tok Selehor belajar di Patani selama kira-kira tujuh tahun. Demikian dinyatakan oleh Tuan Guru Haji Che Mamat bin Sharif, Kampung Kok Keli (Kampung berjiranan di sebelah Utara ) yang menjadi murid Tok Selehor selama lebih lapan belas tahun.
Semasa belajar di Patani beliau pernah berulang-alik balik ke Kelantan dengan berjalan kaki. Sepanjang perjalanannya beliau tidak gentar kepada musuh-musuh dan penyamun yang berada di Bukit Tanjung dan beberapa tempat lain kerana beliau pandai bersilat dan pandai bermain keris.
Minat Dalam Sastera
Minatnya kepada seni silat menjalar kepada seni sastera sehingga Tok Selehor menjadi cenderung membaca buku-buku sastera lama berbentuk syair seperti Hikayat Siti Zubaidah, Dandan Setia dan sebagainya. Beliau pandai pula membaca dengan lagu-lagunya yang merdu. Tambahan pula suara beliau sangat merdu serta dapat menarik minat umum untuk mendengar kemerduan irama suaranya ketika bersyair. Tok Selehor bukan sekadar pandai mendendangkan syair tetapi juga pandai mengarang syair. Kepandaian Tok Selehor mengarang syair pada ketika itu tiada sesiapa yang dapat menandinginya. Oleh kerana kebolehannya yang agak luar biasa itu, namanya menjadi masyhur dan beliau pernah diminta mengarang syair romantis. Lantaran syairnya beberapa orang isteri yang dibencikan suami kembali berdamai setelah menerima surat syair yang ditulis oleh Tok Selehor. Antara syair yang sangat berpengaruh yang masih diingati oleh Tuan Guru Haji Che Mamat bin Sharif, Che Yim dan Che Abdullah di Kampung Kok Pasir, Tumpat. (Kini Selehor adalah sebahagian daripada Kampung Kok Pasir). Ini syair yang dikarang oleh Tok Selehor:

Tiap-tiap malam kanda bermimpi
Adinda di tengah kanda di tepi
Menghisap rokok meminum kopi
Memeluk tengkuk mencium pipi.

Sedap rasanya tiada terperi
Harum baunya umpama kasturi
Suka dan hilai senang di hati
Kasih mesra sehingga mati.

Kahwin dan Ke Makkah
Ketika masih belajar di Patani lagi beliau berkahwin dengan wanita pilihan keluarga iaitu Wan Halimah binti Dollah, tetapi perkahwinan itu langsung tidak menjejaskan pelajarannya malah tambah mendorong lagi beliau belajar dengan lebih bersungguh-sungguh. Setelah mendapat tiga orang anak iaitu Haji Mohamad, Kalsum dan Abu Bakar beliau pulang ke Kelantan.

Sekembalinya ke Kelantan dari Patani beliau menyambung pelajarannya di Makkah selama kira-kira lapan belas tahun. Menurut Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Hussin (Haji Lah Hutan Pasir), bahawa Tok Selehor sempat belajar di Mekah dengan Pak Cik Daud, mertua kepada Pak Da Ail, seorang guru bangsa Melayu yang masyhur di Mekah. Disebabkan catatan-catatan dan penerangan yang ditulis oleh Tok Selehor menarik perhatian Tok Kenali maka Tok Kenali telah memimjam kitab Musalli untuk mengajar murid-muridnya.
Ketika berada di Makkah Tok Selehor telah berkahwin dengan Hajjah Aishah binti Haji Mahmud dari Penambang, Kota Bharu. Tidak lama setelah pulang ke Kelantan mereka berpisah. Kemudian Tok Selehor berkahwin dengan Hajjah Mek binti Mat Saman dari Lambor Wakaf Bharu yang termasyhur dengan kecantikannya pada ketika itu. Hasil daripada perkahwinannya dengan Hajjah Mek, Tok Selehor telah dikurniakan dua orang anak perempuan iaitu Hajjah Khadijah isteri kepada Tuan Guru Haji Ahmad Batu Tiga, (ibu dan ayah kepada Dato' Dusuki Hj. Ahmad)
Manakala anak perempuan keduanya bernama Hajjah Maimunah. Tok Selehor berkahwin lagi dengan Che Bidah binti Hj. Umar dari Penambang Kota Bharu. Setelah itu beliau berkahwin pula dengan Che Chik binti Che Man dan hasil daripada perkahwinan ini beliau dikurniakan seorang anak perempuan yang diberi nama Aisyah, isteri kepada Tuan Guru Haji Awang Jal.
Membuka Pondok
Setelah kembali dari Makkah, Tok Selehor membuka pondoknya di tepi Sungai Selehor, dipercayai pada tahun 1340H. Beberapa tahun saja selepas penubuhan, pondok Tok Selehor berkembang dengan pesat sekali dengan penyertaan daripada pelajar dari dalam dan luar negeri. Pelajar-pelajar pondok Tok Selehor bukan saja terdiri daripada anak tempatan , tetapi juga mereka yang datangnya dari Johor, Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Palembang, Jawa, Siak dan sebagainya. Bagi keperluan air bersih yang mencukupi, Tok Selehor telah mengali sebuah telaga besar pada tahun 1343H. Sehingga kini ( November 1999) telaga itu masih wujud dengan disesuaikan oleh waris beliau yang tinggal di Selehor.
Mengajar
Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi sangat diminatinya ialah bidang tasawwuf. Kitab Hikam oleh Ibn Ataillah merupakan kitab yang paling disukai diajarkan kepada muridnya dan orang ramai. Mungkin Tok Selehor mendapati kitab ini mendorong manusia membaiki diri dan mendampingi diri kepada Allah serta menjauhi dari sifat-sifat terkeji seperti sombong, hasad dengki, ria, sum'ah dan sebagainya.
Tok Selehor menyampaikan ajarannya begitu dimesrai oleh para pendengarnya. Pengajarannya tidak menjemukan walaupun disampaikan berulang-ulang kali. Menurut Tuan Guru Haji Hassan Ahmad: " Saya tidak pernah mendengar orang mengajar yang lebih manis dan mesra yang dapat menandingi pengajaran Tok Selehor."
Ketika membicarakan tentang dosa maka Tok Selehor menyampaikan dengan begitu berkesan sekali sehinggakan ada di kalangan pendengarnya yang menanggis kerana takut dan insaf dengan ajaran-ajaran itu. Pada setiap hari Selasa Tok Selehor mengajar untuk mesyarakat umum dan pada hari itu berduyun-duyunlah manusia datang ke pondok selehor dengan berjalan kaki, walaupun berpuluh-puluh batu jauhnya. Disebabkan sukakan pengajaran Tok Selehor mereka tetap datang walaupun terpaksa merempuhi hujan dan panas terik.
Kebanyakan orang yang datang mendengar Tok Selehor mengajar ialah dari Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Palekbang, Kelong, Tumpat, Bunohan, Telaga Bata, Geting dan sebagainya sehingga Pondok Selehor menjadi seakan pekan kecil atau pasar minggu. Demikian dijelaskan oleh Pak Su Ismail bin Haji Abdul Rahman, bekas imam Tua Mukim Delima, Wakaf Bharu, yang juga seorang murid Tok Selehor.
Selain daripada mengajar di Selehor, Tok Selehor juga pernah mengajar di Wakaf Bharu, dan salah satu tempat beliau mengajar menjadi tapak kepada Masjid Wakaf Bharu. Di Wakaf Bharu tidak kurang juga ramai pendengar yang datang untuk mendengar ajaran Tok Selehor.
Tok Selehor juga suka membaca kisah Isra dan Mi'raj. Ketika beliau membaca kisah itu terasa benarlah kemesraan orang ramai terhadap nabi Muhammad s.a.w. dan ada orang terpaksa memanjat batang kelapa untuk melihat Tok Selehor yang sedang mambaca Isra' dan Mi'raj itu. Kebanyakan orang yang datang mendengar pengajaran Tok Selehor telah berubah dari tidak pernah sembahayang kepada sembahayang, dari berperangai jahat kepada berperangai baik dari seorang yang nakal kepada seorang yang insaf. Sehingga kampung Selehor yang dulunya banyak amalan pemujaan hantu-hantu dan lain-lain amalan khurafat hapus sama sekali.
Perayaan Maulid al-Nabi
Tok selehor pernah mengadakan perayaan maulid al-Nabi secara besar-besaran dan dialah ulama Kelantan yang mempelopori perayaan seperti itu. Berzanji dibaca dengan penuh perasaan. Perarakan besar-besaran diadakan. Pernah beribu-ribu orang datang ke majlis perayaan maulid anjurannya. Hal ini pernah dikritik oleh akhbar-akhbar di zaman itu, tetapi beliau tidak juga berhenti kerana beliau ingin menanam rasa cinta umat kepada nabi yang penuh tenaganya berjuang menyebarkan Islam. Dengan cara ini anak-anak pondok lebih cepat bermera dengan ajaaran Nabi dari hanya menyampaikan kisah tanpa diadakan gerak kerja.
Kegemarannya
Tok Selehor sebagai seorang peminat seni iaitu beliau begitu gemar kepada perkara yang cantik-cantik. Beliau sukakan kuda yang cantik, biri-biri jantan yang cantik, dan suka kepada ayam jantan laklung (berkokok dengan suara yang merdu dan panjang). Selain itu hobinya ialah suka memburu rusa dan memukat ikan. Beliau pernah keluar memukat ikan di kuala Tumpat dan sebagainya. Istimewanya ikan-ikan yang diperolehi itu dibahagikan kepada penduduk di sekitar pondoknya dan kepada anak-anak pondoknya.
Bersuluk
Tok Selehor adalah seorang yang zuhud dan wara'. Beliau bimbang hatinya menjadi angkuh kerana terlalu dipuja dan takut menjadi ria. Oleh itu beliau mengadakan suatu lubang di atas Kubur Selehor untuk tempat sembahayang dan tempat berkhalwat. Lubang yang dikenali sebagai suluk ini masih kekal hingga ke hari ini. Hj. Che Mamat Sharif menerangkan bahawa Tok Selehor berkata kepadanya tujuan dibuat lubang di dalam tanah itu supaya hati menjadi kecut dan sentiasa ingat kepada mati.
“Inilah sebenarnya suatu langkah untuk benar-benar insaf dan mendekatkan diri kepada mati ialah dengan berkhalwat di dalam lubang terutama di atas kubur dan kerana di sana akan dirasai bagaimana hidup seorang diri di dalam tanah itu dan akan lahirlah perasaan ingin membuat bekal untuk menghadapi mati supaya tidak menyesal kemudiaan.”
Kawan Baik Tok Kenali
Tok Selehor adalah kawan baik Tok kenali. Sebab itu perhubungan mereka sering terjalin dan pernah mereka mengadakan perbincangan-perbincangan dalam usaha mengembangkan Islam. Tok Kenali mengelarnya sebagai "Penyair Kita". Mengikut keterangan Tuan Guru Encik Ismail Ali (pak Su Wail) Kampung Danggar, bahawa beliau bersama-sama melawat kematian Tok kenali dan pergi ke kubur bersama-sama Tok Selehor pada tahun 1933M.
Tok Selehor telah menyuruh beliau mengamalkan wirid wali tujuh dan supaya sentiasa membaca ayat Al-Kursi. Encik Ismail yang sempat belajar selama 15 tahun dengan Tok Selehor itu menjelaskan bahawa Tok Selehor seorang Zahid, wara, dan tawadhu; tidak banyak bercakap sia-sia dan suka beribadat.
Berburu di Tempat Puaka
Pada suatu hari pada tahun 1935M, Tok Selehor pergi memburu rusa sebagaimana kegemarannya, biasanya di Selatan Thai. Tetapi pada kali ini dia pergi berburu dekat Gual Periuk suatu tempat yang dianggap berpuaka. Tok Selehor tidak takut sedikitpun. Semasa berburu beliau mengunakan pipit pemanggil rusa. Setelah ditiup pipit itu maka rusa pun datang dan ketika itulah rusa dapat ditembak dan disembelih. Sebab itu Tok Selehor tidak hampa ketika memburu rusa. Demikian dijelaskan oleh Tuan Guru Haji Abdullah Husain dan Encik Mamat bin Senik, Selehor.
Yu Besar di Pengkalannya dan Wafatnya
Selepas tiga hari pulang dari memburu rusa, seekor ikan yu yang besar yang belum pernah dilihat oleh penduduk Selehor muncul dan timbul di pengkalan tempat mandi Tok Guru Selehor. Selepas beberapa hari ikan itu berada di Sungai Selehor, kemudian keluar semula ke laut. Dua hari kemudian datang kumpulan burung gagak dengan ramainya sehingga orang ramai hairan melihat peristiwa itu kerana tidak mengetahui apakah maksudnya.
Beberapa hari selepas itu Tok Selehor ditimpa sakit kepala. Walaupun diubati tidak juga sembuh. Selepas lapan hari, iaitu pada malam Khamis 18 Zulkaedah 1353, bersamaan 20 Februari 1935 jam 8.30 malam dia pun meninggal dunia dalam usia 64 tahun.
(Dipetik daripada majalah Pengasuh bilangan 459 dengan sedikit perubahan)

Rabu, Januari 30, 2008

Tuan Haji Abdul Ghani Haji Awang

Haji Abdul Ghani dilahirkan pada tahun 1888 di Kubang Siam, Kedah. Namun, keluarganya berasal dari Telok Manak, Patani. Haji Abdul Ghani mengaji al-Quran dengan ayah saudaranya Haji Adam di Kubang Siam sehingga khatam beberapa kali kemudian meneruskan pengajiannya untuk melenditkan bacaannya kepada seorang hafiz di Patani bernama Haji Ahmad Jaka. Kemudian, beliau balik ke Kedah dan belajar agama dari bapanya, Haji Awang. Dalam pada itu, beliau berulang-alik ke pondok Tuan Guru Haji Muhammad Saad di Kubang Bongor lebih kurang dua batu dari Kubang Siam.

Setelah dewasa, beliau dihantar pula ke Patani untuk melanjutkan pelajaran agamanya dengan Tok Ayah Bermin, seorang ulama yang mempunyai pondok yang besar di Bermin, Patani. Selepas itu, Haji Abdul Ghani menyambung pula pelajaran pondoknya di Terengganu dengan Tok Sayid. Setelah berada setahun di Terengganu, beliau balik ke Kedah sebelum berangkat ke Mekah.

Di Mekah, beliau tinggal dengan bapa saudaranya bernama Haji Abdul Mutalib. Di samping itu, beliau belajar memasak roti Arab dari Hajah Rahmah yang menjaga makan minum mereka di Mekah. Setiap pagi sebelum subuh, Haji Abdul Ghani akan mengisar sambau membuat tepung dan membakar roti. Setelah masak, roti itu dijunjung atas kepalanya dan dijual di lorong-lorong bandar Mekah.

Selepas subuh Haji Abdul Ghani mempelajari agama dengan beberapa orang guru seperti Syeikh Daud bin Mustaffa al-Fatani. Haji Abdullah Senggora al-Hafiz (bidang pengajian al-Quran), Haji Yahya Reman (pakar ilmu Fiqah), Tuan Omar Sembawa dan Tuan Ahmad Khatib Syarbani.
Haji Abdul Ghani pulang ke tanahair pada tahun 1915 dan tinggal di Kubang Siam dengan keluarganya. Tidak berapa lama di Kubang Siam, Haji Abdul Ghani berangkat ke Pondok Tuan Hussain Kedah di Bagan Ulu, Kuala Merbok. Tuan Hussain meminta Haji Abdul Ghani membantu beliau mengajar lebih 400 orang murid di pondoknya. Beliau kemudiannya dikahwinkan dengan anak gadis tunggal Tuan Hussain bernama Cik Meriam.

Selama lapan tahun Tuan Hussain membuka pondoknya, ramai orang alim yang menjadi rakan karib Haji Abdul Ghani. Di antaranya ialah Tuan Haji Yaakob Legor, Dato' Haji Abdul Rahman Merbok, Haji Ismail bin Sulaiman Kelantan, Haji Khalid Kuala Kangsar, Haji Zabidi Changkat Nering, Perak, Haji Nawawi Telok Intan, Haji Muhamad Saman Kati, Kuala Kangsar, Haji Ghazali Arshad, Bagan Dato', Perak dan Haji Muhammad Yusuf, Bekas Mufti Selangor. Selepas lapan tahun di Bagan Ulu, beliau berpindah pula mengikut Tuan Hussain ke pondok baru di Kampung Selengkoh, sejauh 30 batu ke utara Bagan Ulu.

Sekitar tahun 1922, Haji Abdul Ghani berangkat pergi ke Mekah menunaikan fardu haji sekali lagi dan menemui guru-gurunya di sana. Beliau sampai ke Mekah ketika hampir-hampir tercetusnya peperangan antara Malik Saud dengan pemerintah Mekah Syarif Hussain. Manakala Tuan Hussain, ayah mertuanya sampai di Mekah ketika peperangan sudah pun tercetus. Bagaimanapun Tuan Hussain yang mengetuai rombongan seramai tujuh orang sekeluarga ini selamat pulang ke tanahair. Tuan Hussain membawa tiga orang anak Haji Abdul Ghani iaitu Haji Muhammad Said, Haji Masud dan Haji Abdullah. Dibawanya juga isteri Haji Abdul Ghani iaitu Hajah Meriam di samping mereka suami isteri.

Apabila Tuan Hussain pulang ke Malaysia, Haji Abdul Ghani tidak ikut serta dan hanya pulang pada tahun 1924 ketika keluarga Saudi menyerang dan menduduki Bandar Taif. Haji Abdul Ghani tidak sempat melakukan ziarah ke Madinah kerana keadaan yang tidak aman. Beliau menumpang sebuah kapal India meninggalkan Jeddah menuju ke Pulau Pinang tetapi telah terkandas di Bombay selama tiga bulan. Haji Abdul Ghani bersama penumpang-penumpang lain ditempatkan di sebuah rumah tumpangan bernama "Musafir Khanah". Beliau menawarkan diri menjadi seorang tukang masak di situ. Haji Kassim, pengurus rumah wakaf tersebut membekalkan dua guni beras setiap hari untuk menjamu fakir miskin dan orang-orang yang terkandas.

Apabila Haji Abdul Ghani sampai di Pulau Pinang, beliau terus pulang ke kampungnya di Kubang Siam sebelum melihat anak isterinya di Selengkoh. Haji Abdul Ghani telah memperolehi sekeping tanah seluas sembilan relong di Tandop, mukim Pengkalan Kundur, di selatan Alor Star dan membuka pondoknya dalam tahun 1925. Terdapat 30 buah pondok kelamin dan lapan buah pondok bujang di Tandop, terletak di belakang masjid kampung tersebut. Seperti pondok-pondok lain, pondok Haji Abdul Ghani mengajar pelbagai mata pelajaran umum seperti Nahu, Saraf, Fikah, Tauhid, Tafsir, Hadis dan Usuluddin. Pelajaran membaca al-Quran diajar oleh adiknya Haji Muhammad Isa. Di samping itu, Haji Abdul Ghani juga mengajar kitab-kitab jawi kepada orang-orang kampung. Kepala tala'ah ialah Haji Hussain bin Haji lbrahim yang kemudiannya menjadi imam di Masjid Tandop.

Haji Abdul Ghani yang dikenali oleh orang-orang Tandop sebagai "Tok Syeikh" hanya mengendalikan pondoknya dalam waktu yang singkat. Ini kerana pada tahun 1927, beliau menerima jawatan Kadi dan bertugas di daerah Kulim. Tuan Hussain tidak merestui Haji Abdul Ghani menjadi Kadi dan bertugas di bawah Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek (Syeikh-ul Islam pada tahun 1920 hingga 1935) kerana dia tidak yakin seorang kadi boleh menyemarakkan agama seperti yang boleh dibuat oleh seorang tok guru pondok.

Tidak lama kemudian, Haji Abdul Ghani dilantik memegang jawatan Penolong Kadi Besar Negeri sehingga tahun 1943 dalam zaman pemerintahan Jepun. Bagaimanapun Haji Abdul Ghani diminta menyambungkan perkhidmatannya semula sebagai Penolong Kadi Besar selepas bersara. Perlu dijelaskan sejak 1936, Kedah tidak lagi menggunakan jawatan Syeikhul Islam di dalam pentadbiran Islamnya tetapi diganti dengan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam. Pengerusinya ialah Syeikh Ismail bin Haji Salleh, abang ipar Haji Abdul Ghani. Pada 24 Januari 1951, Haji Abdul Ghani telah terjatuh kerana pitam dan terus menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Sekurang-kurangnya ada tiga buah risalah karangan Haji Abdul Ghani tetapi yang hanya dapat dikesan sebuah sahaja yang bernama "Qurratul 'Ain" pada tahun 1928 iaitu setahun selepas membuka pondoknya di Tandop. Risalah itu membicarakan Tauhid berkaitan dengan "Sifat Dua Puluh" dan "Sifat Nabi Yang Empat". Sungguhpun beliau dilahirkan di Kedah tetapi beliau berbangga dengan tempat tumpah darah datuk neneknya apabila namanya ditulis sebagai "Abdul Ghani Hamzah al-Saiburi". Saiburi ialah sebuah wilayah di Patani di mana terletaknya Telok Manak.

Sumber:
Biografi Ulama Kedah Darul Aman

Minggu, Januari 27, 2008

Syeikh Mutawalli Sya'rawi, Lampu Kebenaran (Kealiman Yang Dikagumi, Kematian Yang Ditangisi)

Syeikh Mutawalli Sya'rawi dilahirkan pada 15 April 1911/12 Rabiulakhir 1328H di Daqadus, daerah Mit Ghamir, Negeri Daqaliyyah, Mesir. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Mutawalli Sya’rawi Husaini yang nasab keturunan bapanya sampai kepada Husain bin Ali ra. Beliau dibesarkan di kalangan keluarga petani namun kedua orang tuanya terkenal sebagai orang yang soleh dan mulia.

Semasa Kecil dan Pendidikannya

Syeikh Sya'rawi tamat menghafaz al-Quran ketika berusia 11 tahun. Pada tahun 1916, beliau telah memasuki Sekolah Rendah Zaqaziq dan berjaya memperolehi Sijil Sekolah Rendah pada tahun 1923 dan kemudiannya memasuki sekolah peringkat menengah. Beliau terkenal dengan seorang yang sukakan syair dan kesusasteraan Arab sehingga rakan-rakannya melantik beliau menjadi Ketua Persatuan Pelajar dan Ketua Persatuan Kesusasteraan di daerah Zaqaziq.

Syeikh Sya'rawi mengambarkan kampungnya yang begitu indah dengan pemandangan, subur dengan tanaman hijau-hijauan di perlembahan Sungai Nil.

Sejak kecil lagi beliau dikenali dengan nama as-Syeikh al-Amin (yang amanah) dan pernah dipenjara ketika beliau menuntut di Ma'had Zaqaziq selama sebulan akibat mengadakan sambutan sempena mengingati Saad Zaghlul, seorang ulama al-Azhar yang pada ketika itu berjuang menentang kerajaan.

Satu peristiwa yang terpenting dalam hidupnya yang berubah segala-galanya apabila keinginan bapanya untuk meminta beliau melanjutkan pelajaran ke al-Azhar di Kaherah sedangkan beliau hanya ingin tinggal bersama-sama saudaranya di kampung dan menjadi petani. Menurutnya, tidak ada bagi seorang kanak-kanak cita-cita atau keinginan tertentu. Baginya hanya apa yang ada di sekeliling iaitu untuk menjadi petani dan bekerja di situ. Tetapi keinginan ayahnya yang inginkan beliau belajar di Kolej al-Azhar apabila beliau telah tamat menghafaz al-Quran. Namun keinginan beliau untuk menjadi petani menjadikannya membuat berbagai helah agar tidak masuk ke Kolej al-Azhar. Beliau telah memasukkan habuk tanah ke dalam matanya agar menjadi rabun dan ditolak semasa peperiksaan kesihatan. Namun helah ini juga tidak berjaya kerana kolej itu menerima orang buta. Helah kedua ialah gagap dan berbuat lupa ketika ujian hafalan al-Quran. Namun guru tersebut tetap menerimanya sebagai pelajar. Helah ketiga ialah meminta ayahnya membeli kitab-kitab yang besar dan mahal harganya di kedai dengan mengatakan ini adalah silibus kolej. Lalu dibeli oleh ayahnya. Apabila pulang ayahnya berkata : “ Wahai Amin (gelaran yang diberikan oleh ayahnya), janganlah kamu menyangka aku lupa bahawa semua buku-buku tersebut bukanlah silibus untuk kamu. Harga buku silibus kamu tidak sampai 37 Qurus sahaja. Tetapi, wahai anakku, semoga Allah memanfaatkan kamu dengan buku-buku ini.”
Inilah peristiwa yang merubah hidupnya untuk mendalami ilmu dan membaca buku-buku yang muktabar. Beliau telah memasuki Kolej Agama Zaqaziq pada tahun 1930an dan mendapat sijil agama pada tahun 1936.
Beliau telah memasuki Kuliah Bahasa Arab pada tahun 1937 dan beliau aktif dalam persatuan pelajar di Universiti al-Azhar. Beliau menjadi graduan pada tahun 1941 dan menyambung pelajaran dalam Pengkhususan Bahasa Arab (peringkat M.A) dan berjaya dalam tahun 1943. Beliau pernah dipenjara ketika beliau menuntut di Ma'had Zaqaziq selama sebulan akibat mengadakan sambutan sempena mengingati Saad Zaghlul, seorang ulamak al-Azhar yang pada ketika itu berjuang menentang kerajaan. Apabila ia tamat graduan, beliau bertugas sebagai guru agama di Kolej Tanta, kemudian berpindah di Kolej Zaqaziq, kemudian berpindah ke Kolej Agama Iskandariah. Pada tahun 1950, beliau menjadi guru di Kolej al-Anjal di Arab Saudi dan kemudian menjadi pensyarah syariah di Universiti Ummul Qura, Mekkah. Beliau mengajar di situ sehingga tahun 1963. Al-Sya’rawi mengambarkan bahawa kuliah Syariah ini terletak berhampiran dengan Masjidil Haram. Ketika saya mengajar, saya dapat melihat dengan jelas Kaabah dan ini memberi kesan yang besar terhadap jiwa saya, jiwa para guru dan pelajar-pelajar di situ. Pada waktu itu, tidak terlepas seditikpun dari mengingati Allah dan rasul-Nya.

Pada tahun 1963, apabila berlaku krisis antara Gamal Abdul Naser. Presiden Mesir dengan Raja Saud, maka Gamal Abdul Naser melarang beliau untuk ke Arab Saudi dan melantik beliau menjadi Pengarah di Pejabat Syeikh al-Azhar Syeikh Hassan Makmun. Kemudian beliau bertugas di Algeria sebagai Wakil al-Azhar dan menetap di sana selama tujuh tahun. Apabila beliau pulang ke Mesir, beliau dilantik menjadi Pengarah Kementerian Wakaf, Negeri Gharbiyyah kemudian menjadi wakil bahagian Dakwah dan Pemikiran dan kemudian menjadi wakil al-Azhar. Selepas itu, beliau pergi ke Arab Saudi untuk mengajar dui Universiti Raja Abdul Aziz.

Hikmah Anugerah Allah

Beliau telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan ilmu yang tinggi, ingatan yang kuat serta peribadi yang sempurna. Sewaktu beliau menjawat Menteri Waqaf Mesir pada November 1976 , seorang doktor pernah berkata : "Aku bimbang apabila kamu menjawat jawatan ini, ia akan menyibukkan kamu dalam banyak perkara". Lalu Syeikh Sya'rowi menyatakan : "Bertenang! Sesungguhnya mereka (kesibukan) tidak akan dapat menewaskan aku."

Syeikh Sya'rawi menjadi Menteri Waqaf Mesir selama 2 tahun, walaupun demikian, jawatan tersebut tidak mengubah pendiriannya sedikitpun. Beliau merupakan seorang yang amat pemurah dan menafqahkan gaji yang diperolehi kepada pelajar-pelajar dan orang-orang faqir. Beliau juga amat cinta kepada kaum keluarga Nabi SAW. Beliau lebih gemar tinggal berhampiran dengan kawasan Hussain dan sentiasa menziarahi maqam Saiyyidah Nafisah serta sentiasa menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul di perkarangan Masjid Hussain.
Syeikh Sya'rawi juga merupakan seorang peniaga yang berjaya. Salah seorang anaknya, Ahmad berkata bahawa ayahnya telah mengkhaskan gaji kepada beberapa orang penduduk yang tinggal di Kaherah, Tanta dan Doqdus (kampung beliau). Beliau juga mengkhaskan bayaran ceramah di radio-radio dan televisyen serta tulisan-tulisan dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah untuk kebajikan. Wang 250 juta Pound Mesir (lebih kurang 73 juta Us Dollar) yang merupakan hadiah daripada Raja Dubai telah didermakan sebanyak 500,000 Junaih (lebih kurang 146,000 Us Dollar) kepada pelajar-pelajar al-Azhar dan yang selebihnya telah didermakan kepada Kementerian Waqaf bagi diedarkan kepada penghafaz-penghafaz al-Quran.

Beliau menjadi menteri sehingga tahun 1978 selama dua tahun. Beliau memegang jawatan ini bukan kerana kepentingan dunia dan dikenali sebagai seorang menteri yang mudah berinteraksi dan bertanggungjawab. Pintu pejabatnya sentiasa untuk para ulamak, kawan-kawan dan pelajar-pelajar untuk berbincang dengannya. Walaupun menjawat jawatan menteri, jawatan tersebut tidak mengubah pendiriannya sedikitpun. Beliau merupakan seorang yang amat pemurah dan menafkahkan gajinya kepada para pelajar dan orang miskin.

Beliau juga terkenal sebagai seorang dermawan dan membuat kebajikan. Beliau mendirikan di kampungnya Daqadus Maahad Al-Azhar, Sekolah Tahfiz, Masjid dan Pusat Kesihatan untuk orang Miskin. Royalti buku-buku beliau didermakan untuk kebajikan.

Menurut anaknya, Ahmad bahawa bapanya telah mengkhaskan daripada gajinya kepada beberapa orang penduduk yang tinggal di Kaherah, Tanta dan kampungnya. Malahan wang yang diperolehi dari ceramah-ceramah, royalti buku dan majalah disedekahkan untuk orang ramai. Beliau pernah menafkah wang berjuta dolar yang dihadiahkan oleh Raja Dubai untuk aktiviti dakwah.

Mengenai kenapa beliau tidak memakai pakaian rasmi al-Azhar (iaitu berjubah dan serban Merah), beliau menjawab sememangnya beliau menyukai pakaian rasmi al-Azhar namun setelah beliau dituduh ingin merebut jawatan syeikh al-Azhar maka beliau menanggalkan pakaian tersebut untuk selamanya. Hal ini terjadi kerana beliau memberikan ciri-ciri dan syarat-syarat kelayakan untuk menjawat jawatan Syeikh al-Azhar kepada Anwar Sadat, Setelah itu orang beranggapan bahawa beliau menginginkan jawatan tersebut.Oleh kerana itu, untuk membuktikan keikhlasannya beliau menanggalkan pakaian yang amat disukainya.

Bintang Pujaan

Syeikh Sya'rawi muncul dalam kegawatan politik dan banyak meninggalkan jasa dan kenangan. Beliau juga adalah seorang Syeikh yang berjaya memenangi hati jutaan rakyat Mesir, orang Arab dan Muslim umumnya. Melalui pegangannya yang begitu kuat kepada Al-Quran dan kebolehannya dalam membakar semangat melalui ucapan yang ringkas dan bernas dan tulisannya yang sesuai untuk semua.
Setiap hari Jumaat selama 20 tahun, beliau muncul dalam "Khawater Sya'rawi" di Masjid Arba'een di kampungnya dan dua masjid di Kaherah. Beliau selalu berkhutbah dan mentafsir al-Quran sehingga berjaya memikat pendengarnya yang terdiri dari kalangan masyarakat biasa. Sungguhpun begitu, para pendengar dari kumpulan sekular yang intelek seperti Syeikh Al-Qimani, sentiasa memerhatikan setiap pergerakan dan kenyataannya seterusnya melaporkannya ke pejabatnya yang terletak di Jalan Al-Ahram di Giza.
Menurut bekas pembantu editor majalah Ras Al-Yusuf, Adel Hamanda, Syeikh Sya'rawi umpama bintang (Bintang Agama). Beliau mempunyai banyak maklumat dan berjaya menarik perhatian orang ramai.
Bersama Pemuda

Beliau adalah seorang ulama’ yang rapat dengan golongan pemuda. Beliau sering mengadakan perjumpaan dan nadwah dengan mereka sehinggakan beliau sendiri yang menjadi ketua yang pertama Majlis Kelab Sukan Daqadus ketika mula-mula ditubuhkan.
Sifat Peribadi dan Rahsia Dirinya

Syeikh Sya’rawi adalah merupakan Saiyidul Abidin yang dikurniakan dengan limpahan cahaya dan dapat melihat dengan cahaya Allah SWT. Sahabat akrabnya pernah beberapa kali mengintip perbuatannya di waktu malam. Ternyata didapati beliau tidak tidur malah didapati sedang asyik sujud mengabdikan diri kepada Allah SWT. Beliau menghidupkan malamnya dengan berdiri, rukuk, sujud dan membaca Al-Quran sepanjang malam sehingga mencapai 70 rakaat sembahyang bertahajjud kepada Allah SWT.

Sewaktu di Madinah Munawwarah dan Mekah, beliau berjalan tanpa menggunakan alas kaki sedangkan darjah kepanasan pada masa tersebut terlalu panas lebih kurang 50 C kerana memuliakan tempat tersebut. Maha Besar Allah sewaktu di Masjidil Haram beliau tidak melaksanakannya seperti orang lain yang pada kebiasannya bertawaf sebanyak tujuh kali. Rasa cintanya dengan Allah terlalu mendalam, walaupun dalam keadaan panas yang amat terik beliau mampu bertawaf sehingga 14, 21 dan 28 kali. Beliau pernah melarang maqam Nabi Ibrahim dipindahkan dari tempatnya dengan berpendapat bahawa maqam tersebut adalah tempat peribadatan haji dan tidak boleh diubah..
Beliau menyayangi kanak-kanak dan insan lain lebih dari anak-anaknya sendiri. Kecintaannya terhadap Rasulullah saw terlalu mendalam sehinggakan beliau sentiasa bertasbih dan bersalawat kepadanya. Insan yang benar-benar ingin mendekatkan dirinya kepada Tuhan seharusnya menjadikan beliau antara contoh muqarrabin yang selayaknya diikuti. Beliau juga adalah seorang yang mantap ilmunya, kuat ingatannya dan insan kamil lagi mutakamil. Sewaktu membeli beliau tidak mengambil baki wang yang dihulurkan malah menyenangkan orang lain dalam muamalahnya. Sifat dermawannya tidak dapat disangkal lagi malah beliau adalah orang yang tidak pernah jemu menyalurkan gajinya di jalan Allah dengan menafkahkannya kepada faqir miskin di Daqadus dan tempat-tempat lain yang memerlukan. Namun beliau bukanlah seorang yang berbangga dengan amalnya malah beliau sentiasa menutupi setiap sumbangannya agar tidak diketahui oleh ‘tangan kirinya’.
Beliau memegang jawatan wazir hanya dari tahun 1976 hingga 1978 kerana memandangkan jawatannya ini tidak memberikan sesuatu kesan untuk dia melaksanakan Islam dengan baik. Bahkan beliau jarang dapat pulang kekampungnya dan melihat keluarganya. Sewaktu diminta oleh sahabatnya untuk membela dirinya yang difitnah pada masa tersebut, beliau akan memperingatkan sahabatnya dengan Ayat Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman dan yang sentiasa mendoakan bagi mereka yang sesat akan mendapat hidayah dan petunjuk dariNya”.
Tidak sampai sebulan sebelum kematiannya, sahabat karibnya, Muhammad As Sa’di menemuinya di hospital dan menceritakan kembali kepadanya tentang mimpinya bertemu dengan Saidatina Zainab yang telah berkata kepadanya “ Katakanlah kepada Sya’rawi, janganlah takut ”. Ternyata beliau masih ingat dengan mimpi tersebut yang menunjukkan beliau bukanlah seorang yang mudah terlupa.
Mujaddid Kurun Ke-20

Allah SWT telah menzahirkan baginya ilmunya, kefahaman yang mendalam, cahaya hatinya penjagaan lisannya dan mewarisi akhlak Rasulullah saw. Beliau sering memberi nasihat dengan firman Allah Taala yang memberi maksud “Katakanlah dan Aku tidak meminta dari mereka sebarang balasan kecuali berkasih sayanglah sesama saudara kaum kerabat”. Kesufiannya amat tinggi. Ketika ditanya oleh As-Sanrawi, “Apakah dia jalan suluk kepada Allah?. Beliau menjawab “Apabila kamu mengosongkan dirimu dari sebarang pergantungan dan menghiasinya dengan manhaj Allah. Maka Allah akan melimpahkan bagimu limpahanNya yang Maha Agung”. Beliau merupakan imam yang sufi dan zuhud. Selepas meninggalkan jawatannya dalam wazir, beliau berkhidmat sebagai ulama’ Al-azhar. Namun beliau enggan memakai pakaian Al Azhar dan beliau hanya memakai kopiah dan jubahnya.

Pandangan Sahabat dan Ulama Mengenainya
Ahmad Bahjat menyifatkan Syeikh al-Sya’rawi seorang ahli tafsir semasa yang dapat menafsirkan ayat-ayat al-Quran dengan uslub yang mudah difahami oleh orang umum. Sementara Omar Hashim, bekas Rektor al-Azhar menyifatkannya sebagai seorang mujadid abad ini. Yusuf al-Qaradawi menyifatkan Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi seorang ahli al-Quran. Beliau merupakan seorang yang dikurniakan Allah kefahaman al-Quran dan rahsia-rahsianya serta pandangan-pandangannya mempunyai kesan kepada masyarakat umum, sama ada golongan terpelajar mahupun tidak. Tidak semua orang yang membaca al-Quran dapat menyelami makna-makna kecuali diberikan Allah kefahaman tersebut. Dan Syeikh al-Sya’rawi adalah orangnya yang diberikan Allah kurniaan tersebut. Menurut al-Qaradawi, Syeikh al-Sya’rawi keseluruhan hidupnya adalah untuk berkhidmat kepada agama Islam dan menyebarkan ilmu dan kematian ulamak merupakan satu kehilangan besar dan musibah kepada umat kerana apabila Allah menarik ilmu adalah dengan kematian ulama. Apatah lagi dalam masa terdekat beberapa ulamak lainpun telah meninggal dunia sebelumnya seperti Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Khalid Muhammad Khalid, Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq (Syeikh al-azhar), Syeikh Abdullah bin Zayd Ali Mahmud, Syeikh Abdul Fatah Abu Ghadah. Menurutnya lagi, sememanng ada yang bersepakat dengan Syeikh al-Sya’rawi dan ada yang berbeza pendapat dengannya seperti pandangannya mengenai pemindahan organ. Beliau tidak bersetuju pemindahan organ. Beliau juga tidak bersetuju untuk mengambil pendekatan menentang kerajaan dan mengambil pendekatan tadaruj sedangkan ada sesetengah golongan inginkan pendekatan kekuatan dan menentang pemerintah. Perkara ini sudah tentu berbeza dengan Syeikh al-Sya’rawi. Namun, kesemuanya bersetuju atas sumbangan dan khidmatnya dalam khidmat kepada agama Islam keseluruhannya, meninggikan kalimatnya dan berdakwah kepada masyarakat dengan bahasa yang mudah dan semasa. Al-Qaradawi menyebutkan lagi, Syeikh al-Sya’rawi merupakan gurunya dalam subjek Balaghah semasa beliau menuntut di Kolej Al-Azhar Tanta. Menurut al-Qaradawi, pada tahun 1417H, apabila beliau dianugerah Pingat Antarabangsa Syahsiyat Islam Dubai, saya telah diminta oleh pihak penganjur untuk menghadiri bagi menghormati beliau. Saya telah hadir dan apabila beliau mengetahui kehadiran saya beliau merasa sungguh seronok dan bergembira. Saya menghadiri majlis tersebut sebagai tanda menghormatinya dan sepatutnya kita sebagai seorang muslimin juga menghormati para ulamak kita seperti Syeikh al-Sya’rawi dan Muhammad al-Ghazali.
Perkahwinannya dan Anak-Anaknya
Syeikh al-Sya’rawi telah berkahwin dalam usianya yang masih muda atas permintaan bapanya yang inginkan beliau berkahwin awal dan isterinya adalah pilihan keluarga. Mereka dikurniakan 5 orang anak iaitu Sami, Abdul Rahim, Ahmad, Fatimah dan Solehah. Mengenai pendidikan anak-anak, al-Sya’rawi menyebutkan bahawa perkara yang penting ialah memberi contoh teladan dan sekiranya kita menunjukkan akhlak yang mulia sudah tentu mereka akan mengikutinya. Adalah menjadi kewajipan kita mendidik mereka dengan akhlak dan perangai yang mulia dan memelihara telinga dari mendengar perkara yang buruk, memelihara matanya dari melihat yang mungkar. Kita hendaklah mendidik anak-anak dengan pendidikan Islam dalam menunaikan amalan dan kewajipan agama, tekun dalam membuat kerja dan menunaikan solat pada waktunya.

Karya-Karyanya

1. Tafsir al-Sya’rawi (Tafsir al-Sya’rawi)
2. al-Isra’ wa al-Mi’raj (Isra dan Mikraj) Terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Dinie Publihers
3. al-Islam wa al-Fikr al-Mu’asir (Islam dan Pemikiran Semasa)
4. al-Islam wa al-Mar’ah (Islam dan wanita)
5. al-Tariq ila Allah (Jalan Menuju Allah)
6. al-Fatawa (Fatwa-Fatwa)
7. Mu’jizat al-Qur’an (Mukjizat al-Quran) Terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Pustaka Nasional)
8. Min Fayd al-Rahman (Dalam Limpahan al-Rahman) Terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Pustaka Yasmeen)
9. al-Qada’ wa Qadar (Qada dan Qadar)
10. al-Salat wa Arkan al-Islam.(Solat dan Rukun-Rukun Islam)
11. Nazarat fi al-Qur’an (Pandangan-Pandangan al-Quran)
12. Hadha Huwa al-Islam (Inilah Islam)
13. al-Hayat wa al-Maut (Kehidupan dan Kematian)
14. Al-Taubat (Taubat)
15. al-zalim wa al-zalimun (Zalim dan orang-orang Zalim)
16. Sirah al-Nabawiyyah ( Sejarah Nabi Muhammad s.a.w.)

Dan masih lagi banyak lagi buku-buku beliau terutama dalam penafsiran al-Quran dan persoalan umat semasa.
Menurut Sya’rawi beliau tidak mengulangi mana-mana buku kecuali al-Quran. Al-Quran telah memberi ufuk yang luas kepada jiwa dan pemikirannya. Beliau menafsirkan al-Quran dengan menamakannya sebagai “Khawatir al-Imaniah”. Ia bukan semata-mata tafsiran ayat demi ayat mengikut tertib mashaf serta menerangkan kalimah dan menafsirkan ayat tersebut.

Wasiat

Sebelum Syeikh Sya' rawi meninggal dunia, beliau telah mengumpulkan anak-anak cucunya lalu berwasiat agar tidak bergaduh dalam masalah harta. Sesiapa yang inginkan harta, ambillah hartanya. Malah beliau berwasiat bahawa perbalahan mereka biarlah pada masalah agama. Pusaka agama yang beliau tinggalkan ialah tafsir al-Quran, hadis dan ilmu-ilmu beliau. Beliau juga berwasiat perkara yang sama kepada seluruh umat Islam.

Saat Kematian

Sebelum kematiannya, beliau telah dapat merasakan saat-saat kematiannya yang makin hampir. Ini terbukti semasa perasmian sebuah masjid di kampungnya tiga bulan yang lalu beliau mengatakan, "Semua harta adalah milik Allah dan setiap apa yang telah diberikan oleh Allah kepadaku, akan aku nafkahkannya pada jalan Allah. Sesungguhnya aku tidak memiliki apa-apa. Harta dan diriku hanya untuk Allah. Seandainya setiap orang merasa bertanggungjawab pada kampung dan bandar tempat kelahirannya, nescaya tempat itulah lebih indah dari bandar-bandar besar di seluruh dunia. Aku ingin tanah tempat kelahiranku ini bakal menimbusi jasadku nanti."

Walaupun sewaktu hayatnya, Kerajaan Saudi telah menawarkan kepada beliau tanah perkuburan di perkuburan Baqi' tetapi Al Fadhil Syeikh menolak dengan mengatakan, "Tanah kelahiranku lebih layak menerima jasadku hingga dia dapat memelukku ketika aku mati sebagaimana aku memeluknya dan memeliharanya ketika hayatku." Malah dua hari sebelum meninggal dunia, beliau berwasiat agar mempersiapkan kuburan untuknya di kampung.

Semasa di akhir hayatnya juga, beliau mengalami kesakitan yang parah pada dadanya menyebabkan beliau tidak mampu untuk hernafas dengan baik dan sakit tulang. Anak saudaranya yang bernama Hajah Suad menyatakan bahawa sewaktu hampir saat kematian, beliau cuba untuk bangun dan berteriak dengan suara yang jelas sehingga didengari oleh orang yang berada di sekelilingnya, "Selamat datang wahai Hussain! Kamu telah datang sendiri berjumpa aku, aku gcmbira dengan kedatanganmu".

Pada pagi Rabu 17 Jun 1998/22 Safar 1419H, sejarah tersulam di dalam diari Islam, setelah mengalami kegeringan akhirnya beliau kembali ke pangkuan Ilahi. Jenazahnya telah dimandikan oleh Dr Omar Hashim dan diimamkan oleh Dr Sayyid al-Tantawi.
Umat Islam ketika itu terkejut dan tersentak apabila seorang Imam yang memperjuangkan Islam sehingga digelar sebagai "Lampu Kebenaran" telah wafat ketika berumur 87 tahun.

Jenazah beliau telah dikebumikan di kampungnya iaitu Doqdus berdasarkan wasiat beliau sendiri. Jenazahnya telah dibawa oleh anak-anak muridnya, penduduk kampung serta semua pencinta beliau. Hampir sejuta orang telah menghadiri pengkebumian beliau.
Pemergian ulama besar ini telah menghimpunkan jutaan manusia sebagaimana mereka
berasak-asak dalam perhimpunan untuk mendengar tazkirah dan kuliah semasa hidupnya. Kegembiraan penduduk kampung Daqadus, Mansurah (Tempat asal al Fadhil) bertukar dengan linangan airmata kerana pemergiannya. Tersambar di hati-hati mereka suatu keperitan dan kesedihan di atas pemergian dan perpisahan yang tidak diingini ini.
Pemergiannya juga menandakan kehilangan seorang tokoh agamawan yang kontroversi dalam
sejarah moden bumi Mesir. Al Fadhil Syeikh amat dikasihi oleh penduduk kampungnya kerana beliau banyak menafkahkan harta-hartanya untuk kebajikan umat Islam. Beliau telah mendirikan sekolah rendah serta Maahad Azhar di Daqadus untuk kemudahan penduduk kampungnya. Walaupun beliau pergi untuk selamanya namun jasa dan keprihatinannya terukir indah dan tidak mungkin dapat dilupakan oleh mereka. Pada tahun 1967, Mesir telah digugat oleh isu kemiskinan, kemunculannya memberikan satu jasa yang besar dan beliau merupakan lambang keamanan dan kemiskinan. Omar Abdul Rahman dan Syeikh Tantawi menyatakan bahawa beliau adalah merupakan the silent hero untuk the silent people yang tidak menimbulkan sebarang pemberontakan. Beliau tidak pernah masuk bertanding di dalam pilihanraya.

Ramai di kalangan intelektual terutamanya yang berhaluan kiri seperti Hamanda mengesyaki adanya pakatan sulit antara kerajaan dan stesyen t.v. yang menayangkan rancangan Syeikh Sya'rawi, Nasional T.V. hanya menyiarkan 15 minit untuk pengkebumian Syeikh Sya'rawi. Liputan akhbar Ahrar menyatakannya sebagai 'Lawak Dekad Ini'.

Dari Baba Shunadah Kepada Syeikh Sya'rawi

Dalam kesedihan umat Islam di atas pemergiannya, seorang insan turut mendakwa bahawa dirinya juga merasakan kepiluan dan kehilangan walaupun jelas berlainan agama dan aqidah. Kata-kata inilah yang telah dilafazkan oleh Baba Shunadah, Paderi Besar di Mesir. Beliau melahirkan rasa yang amat sedih sehingga beliau sering menyendiri bila teringatkan saat-saat manis yang pernah dilalui bersama sewaktu hayat Al Fadhil Syeikh Sya'rawi.
Persahabatan antara mereka bermula ketika beliau mengirim jambangan bunga dan sekotak coklat kepada Al Fadhil Syeikh yang terlantar sakit di Hospital England. Beliau tidak menduga pemberiannya itu telah meninggalkan kesan yang mendalam ke dalam jiwa Al Fadhil Syeikh yang mana Al Fadhil Syeikh telah menziarahinya pula di kediaman beliau di Abbasiah setelah kembali dari England.
Semenjak saat itulah bermulanya bibit-bibit kemesraan yang terjalin di antara mereka. Minat mereka yang mendalam terhadap syair dan puisi telah mengutuhkan dan mengeratkan lagi persahabatan itu. Di dalam setiap pertemuan mereka sering membincangkan ilmu bahasa arab yang penuh dengan keindahan.
Beliau mengakhiri pertemuannya dengan wartawan majalah Sa'ah sambil menegaskan bahawa hanya Tuhan yang mengetahui betapa terkesan serta sedih hatinya di atas pemergian sahabatnya Al Fadhil Syeikh dan mendakwa bahawa persahabatan erat yang terjalin di antara mereka walaupun tidak diketahui umum tetapi telah memberikan banyak manfaat kepada umat Islam dan Masihi. Beliau mendakwa lagi Al Fadhil Syeikh benar-benar merupakan sahabatnya.
Hanya Allah yang mengetahui sejauh manakah ikhlasnya beliau di dalam persahabatan yang telah dijalankan bersama Al Fadhil Syeikh. Apakah benar dakwaan Baba Shunadah bahawa persahabatan tersebut telah membantu umat Islam dan Masihi atau sebaliknya?
Sebagai umat Islam, kita dituntut supaya berbuat baik sesama manusia tanpa mengira agama sepertimana yang telah dilakukan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad saw namun demikian perlu ada sifat "hazar" dalam diri kerana kaum kuffar tidak pernah mengenal erti penat dan jemu dalam mengatur strategi untuk melemahkan umat Islam.
Rujukan:

Jenazah Syeikh Mutawalli Sya'rawi (Esklusif)

Sabtu, Januari 26, 2008

Said Hawa, Ulama Yang Gigih


Said Hawa dilahirkan di Hamah, Suriah, tahun 1935. Nama sebenarnya ialah Said Hawa bin Muhammad Dib Hawwa. Beliau berusia 2 tahun ketika ibunya meninggal dunia. Beliau berpindah ke rumah neneknya di bawah asuhan sang ayah, seorang pejuang pemberani yang berjihad melawan Perancis. Pada masa mudanya berkembang pemikiran sosialis, nasional, ba’ats dan Ikhwanul Muslimin. Allah memberikan kebaikan untuknya dengan bergabung ke dalam Jama’ah Ikhwanul Muslimin, tahun 1952, saat beliau masih pelajar SMU.

Said Hawa berguru pada beberapa syeikh Suriah. Di antaranya syeikh dan ulama Hamah, Syeikh Muhammad Al-Hamid, Syeikh Muhammad Al-Hasyimi, Syeikh Abdul Wahab Dabas, Syeikh Abdul Karim Arrifa’i, Syeikh Ahmad Al-Murad dan Syeikh Muhammad Ali Murad. Said Hawa juga belajar pada ulama lainnya seperti Musthafa As-Siba’i, Musthafa Az-Zarga, Fauzi Faidhullah dan lain2.

Tahun 1961, beliau lulus dari Universiti Suriah dan mengikuti wajib militer sebagai perwira tahun 1963. Beliau bernikah tahun 1964 dan dikurniai empat orang anak.

Aktiviti Dakwah Said Hawa

Said Hawa memberi kuliah, khutbah dan ceramah, di Suriah, Arab Saudi, Kuwait, Emirat, Iraq, Jordan, Mesir, Qatar, Palestin, Amerika dan Jerman. Beliau juga mengikuti demonstrasi menentang Undang-Undang Suriah tahun 1973. Kemudian beliau dimasukkan penjara selama 5 tahun. Di penjara beliau menulis buku tafsir Al-Asas Fit Tafsir (dua belas jilid) dan sejumlah buku dakwah lain. Ia memimpin di Jama’ah Al-Ikhwanul Muslimin, dalam negara dan antarabangsa. Serta berperanan aktif dalam aktiviti dakwah, politik dan jihad.

Said Hawa punya kedudukan besar dalam bidang pendidikan. Beliau bekerja sebagai pengajar diluar Suriah. Beliau mengajar di Arab Saudi selama 5 tahun, Al-Hufuf wilayah Al-Ihsa selama 2 tahun, dan Madinah Al-Munawwarah selama tiga tahun.

Jejak-Jejak Kebaikan dan Warisan Ilmiah Said Hawa

Said Hawa punya jadual memberi pelajaran, dialog dan ceramah di Jami’iyah Al-Ishlah Al-Ijtimia’i di Kuwait dan Madrasah An-Najah. Ceramahnya mendapat sambutan baik dari generasi muda kebangkitan Islam.

Karya-Karya Said Hawa

Said Hawa memiliki karya tulis seputar dakwah dan gerakan, yang diminati para pemuda muslim dinegeri2 arab dan Islam. Sebagian besar karya tulisnya diterjemahkan ke bahasa lain. Di antara karangan yang telah diterbitkan sebagai berikut:

1. Allah Jalla Jalaluhu
2. Ar-Rasul Shallallahu alaihi wassalam
3. Al-Islam
4. Al-Asa Fit Tafsir
5. Tarbiyatuna Arruhiyah
6. Jundullah Tsaqafatan wa Akhlaqan
7. Dan lain-lain

Pulang ke Rahmatullah

Tahun 1987, Said Hawa terkena stroke, sehingga sebahagian anggota badannya lumpuh. Beliau juga mengalami komplikasi berbagai penyakit. Ini memaksanya jauh dari masyarakat dan harus di opname. Pada tanggal 14 Disember 1988 Said Hawwa diopname di rumah sakit dan kondisinya tidak kunjung membaik, hingga wafat pada hari khamis tanggal 9 Mac 1989 di rumah sakit Amman, Jordan.

Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada Said Hawa yang sabar terhadap komplikasi penyakit, penyeksaan dan ujian menyakitkan di penjara selama bertahun-tahun. Semoga Allah menjadikan itu sebagai pemberat timbangan amal kebaikannya, mengampuni kita dan mengumpulkan kita di bersama para Nabi, orang-orang siddiq, syuhada dan orang-orang soleh, kerana mereka sebaik-baik teman. Amin.

Sumber:
Al-Mustasyar Abdullah Al-Aqil/Al-I’thisom

Jumat, Januari 25, 2008

Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau, Merendah Diri dan Kuat Beribadah

Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau dilahirkan pada tahun 1325H/1907M, di Kampung Seri Lemak, Rembau, Negeri Sembilan. Nama sebenarnya ialah Haji Ibrahim bin Haji Muhammad Dahan bin Hasan. Sanad keilmuan beliau yang bersangkut-paut dengan Syeikh Ahmad al-Fathani tidak dapat diragui walaupun tahun kelahiran beliau merupakan tahun ‘pemergian’ Syeikh Ahmad al-Fathani.

Pendidikan Beliau

Tuan guru Haji Ibrahim mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Salak dalam tahun 1916-1922 dengan kelulusan darjah 5. Guru al-Qurannya di kampung ialah Tuan Mumkin Dhahir bin Darus dan kemudian mendalami ilmu tajwid dengan Tuan Haji Muhamaad haji Mustafi. Pengajian kitab-kitab dan Bahasa Arab diikutinya melalui lidah Tuan Guru Haji Mustaffa Haji Mohamad di kuliah yang diadakan di surau Pekan Chengkau, Masjid Seri Lemak dan Masjid Pekan Rembau.

Dalam tahun 1925-1930 Haji Ibrahim melanjutkan pengajian agamanya di sekolah Arab Al-Ahmadiah, Alor Setar dan belajar ilmu falak dengan Tuan Guru Haji Wan Sulaiman Wan Sidik Syeikh Islamiah, Kedah. Beliau kemudiannya memondok pula selama satu tahun setengah. Selain negeri jelapang padi itu menjadi tumpuan menimba ilmu agama, Haji Ibrahim tidak melepaskan peluang untuk menadah kitab dengan di pusat pengajian di Kota Bharu selama 4 tahun. Di sana beliau mendalami ilmu agama dengan beberapa tuan guru terkenal dan mendalami pelajaran ilmu falak yang diminatinya. Haji Ibrahim turut belajar dengan tokoh ulama terkemuka zaman itu iaitu Tok Kenali selama beberapa tahun sebelum ulama besar itu meninggal dunia.

Guru-Guru Beliau

Abdul Razak Mahmud dalam Pengasuh menyenaraikan nama para guru Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau, yang berasal dari Kelantan selain Tok Kenali, mereka ialah Haji Ya’qub Legor, beliau belajar fiqh dan hadis, Haji Saad Kangkung, Haji Ali Pulau Pisang, Haji Wan Musa, beliau belajar tasauf, Haji Umar Sungai Keladi, beliau belajar falak, Haji Abdullah Thahir, Haji Ahmad Hakim, Haji Ya'qub Lorong Gajah Mati, dan Haji Nik Mat Nazhir.

Beberapa orang ulama yang disebut oleh Abdul Razak Mahmud itu adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani dan beberapa orang pula adalah murid Tok Kenali atau bererti cucu murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Daripada para ulama yang tersebut bersanad kepada Syeikh Ahmad al-Fathani dan selanjutnya akan naik lebih jauh ke atas, semuanya dengan sanad dan salasilah yang sah. Selain salasilah dan sanad kepada Syeikh Ahmad al-Fathani juga kepada ulama-ulama lainnya.

Sanad keilmuan Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau melalui Tok Kenali tentang ilmu nahu, ilmu sharaf, dan ilmu-ilmu Arabiyah lainnya, yang naik kepada Syeikh Ahmad al-Fathani dapat dirujuk kepada kertas kerja Ustaz Wan Mohd Shaghir yang diberi judul Sanad Keilmuan Syeikh Ahmad al-Fathani dan Ulama Di Selangor.
Demikian halnya tentang sanad ilmu akidah atau ilmu tauhid sekiranya Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau juga belajar dengan salah seorang murid Syeikh Ahmad al-Fathani sanadnya dapat dirujuk dalam kertas kerja yang sama.

Sanad ilmu-ilmu yang lain, tentang tasauf, sanad Kitab Hikam, Minhaj al-‘Abidin, Ihya ‘Ulum ad-Din, Barzanji, Burdah Bushiri, dan lain-lain, dapat dirujuk dalam kertas kerja Sanad Keilmuan Syeikh Ahmad al-Fathani, Aktiviti Pengajian Pondok Kelantan dan Selangor.

Kitab-kitab Tasawuf yang diajar oleh Tuan Guru Haji Ibrahim disenaraikan seperti yang berikut:
1. Minhaj al-‘Abidin
2. Hikam Ibnu ‘Atha’
3. Ad- Durr an-Nafis
4. Taj al-‘Arus
5. Siyar as-Salikin

Kitab-kitab fiqh dan akidah:

1. Wusyah al-Afrah
2. Mathla’ al-Badrain
3. Daqaiq al-Akhbar
4. Kasyf al-Ghaibiyah
5. Matn al-Jauharah

Semasa berada di Kelantan, beliau telah berguru dengan Haji Wan Musa bin Syeikh Abdush Shamad al-Kalantani Tuan Tabal. Beliau bukan sahaja gigih mengajar malah masih gigih belajar sehingga ke akhir hayatnya.

Semasa berada di Kelantan juga, Tuan Guru Haji Ibrahim telah bertemu jodoh dengan Hajah Esah binti Ujang pada tahun 1933 dan dikurniai 13 orang anak. Setelah gurunya, Tok Kenali meninggal dunia pada 9 November 1933, beliau pulang ke Rembau pada akhir tahun 1935 dan menubuhkan sekolah pondoknya pada tahun 1936.

Mencurah Khidmat

Pada akhir tahun 1935 beliau balik ke kampung dan mula mengajar serta membuka pondok di Kampung Bongek. Allahyarham juga turut dipanggil mengajar dibeberapa surau dan masjid di Tampin dan Johol. Bagi merealisasikan ilmu di dada, beliau menubuhkan Madrasah Islamiah Bongek dalam tahun 1946. Difahamkan setiap tahun hingga tahun 1959, madrasah tetap mengadakan majlis ikhtifal.


Pada tahun 1949, beliau telah menunaikan fardhu haji. Di sana beliau berguru dengan Syeikh Sulaiman Ambon. Dalam tahun 1962 hingga 1968, Haji Ibrahim mengajar secara formal di Sekolah Menengah Undang Rembau. Setahun kemudiannya dilantik memegang jawatan penguatkuasa zakat fitrah baitulmal di Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Tahun 1974, Haji Ibrahim lagi sekali berpeluang mengerjakan haji dan mengadakan ziarah ke Mesir, Turki dan India. Ramai rakan-rakan sepengajian beliau yang turut berbakti dalam menyebarkan ilmu agama seperti Tuan Guru Haji Abdul Wahid Sungai Udang , Haji Abdul Ghani pondok Pasir Mas, Tuan Guru Haji Abdul Aziz Ibrahim di Pendang, Tuan Haji Salleh Kemboja dan Haji Mohd Yatim Zainal Abidin.

Karya-Karya Beliau
Seperti tokoh ulama yang lain, Tuan Guru Haji Ibrahim juga tidak terkecuali menghasilkan karya-karya, penulisan risalah ataupun kitab-kitab untuk pedoman dan rujukan pelajar-pelajarnya. Antara penulisan yang dihasilkan oleh beliau ialah:

1. Nur al-Aulad (1939 dan dicetak berulang kali pada 1949, 1952, 1963, 1975, 1989 dan 1991)
2. Taqwim Sholat bagi kawasan Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka dalam tahun 1954.
3. Shalah al-Ghilman fi ‘Ibadah Rabb ar-Rahman (1976)
4. Risalah kecil mengandungi doa, waktu sholat dan Arah Qiblat, 1976.
5. Risalah mengerjakan haji dan umrah serta teks khutbah jumaat dan hari raya.

Selain itu, beliau juga bertanggungjawab menyusun takwim solat yang digunakan di Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan beberapa negeri lain yang masih digunakan sehingga ke hari ini.
Sifat dan Peribadi Beliau

Berbicara mengenai Tuan Guru Haji Ibrahim, tidak banyak yang dapat dibongkar memandangkan beliau seorang yang merendah diri dan bersifat tidak menonjolkan diri di khalayak ramai.

Menurut Ustaz Fuad bin Kamaludin yang merupakan murid dan tenaga pengajar di Madrasah Al-Islamiah ini, Tuan Guru Haji Ibrahim bukanlah tergolong dalam golongan guru biasa. Tidak keterlaluan jika dikatakan Tuan Guru Haji Ibrahim merupakan seorang ‘murobbi’ dan ‘mursyid’ yang mengamalkan apa yang dituturkan. Sifat berhati-hati yang ada pada Tuan Guru juga tidak dapat diperlekehkan terutama dalam hal-hal yang berkaitan dengan kebersihan dan seterusnya membawa kepada aspek ketaatan dalam beribadah. Tuan Guru Haji Ibrahim juga taat mengamalkan solat sunat tahajud dan solat sunat dhuha dan yang paling penting beliau tidak pernah mengabaikan solat berjemaah terutama bersama isteri dan anak-anaknya.

Kegigihan Tuan Guru Haji Ibrahim dalam menyebarkan dakwah Islamiah juga tidak perlu dipertikaikan. Walaupun beliau tidak banyak mengembara ke serata negeri untuk mengajar, ketekunan dan keikhlasannya mengajar di surau-surau atau masjid-masjid di beberapa daerah di Negeri Sembilan tidak boleh dipandang sebelah mata. Antara masjid yang menjadi persinggahan beliau dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiah ialah Masjid Tanggai Johol, Masjid Bandar Gemas, Masjid di daerah Rembau dan daerah-daerah lain. Amanah yang dipikul dilaksanakan sebaiknya. Walaupun jumlah pelajar yang hadir di masjid hanya tiga orang, beliau tetap bersungguh menyampaikan kuliah tanpa mengenal erti kepenatan.

Ketertiban dan ketaatan Tuan Guru Haji Ibrahim dalam mengerjakan ibadah dan menyampaikan dakwah kepada pelajar-pelajarnya amat dikagumi. Hasil dari didikan dan sifat peribadinya itu tidak hairan sebilangan besar pelajarnya berjaya dalam pelajaran dan berkhidmat dengan kerajaan dan masyarakat sebagai imam, bilal, penceramah bebas dan juga pegawai-pegawai agama.

Tuan Guru Haji Ibrahim adalah antara ulama di Rembau yang berjaya menaikkan nama Rembau sebagai salah sebuah tempat yang aktif dengan aktiviti dakwah. Keupayaan dan kesungguhan beliau menubuhkan madrasah untuk anak watan Rembau memberi kesan yang besar dalam sistem pendidikan beragama anak-anak watan Rembau khasnya, Negeri Sembilan amnya.

Walaupun telah berusia 70 tahun, madrasah Al-Islamiyah masih tetap menjalankan aktiviti-aktivitinya secara terus-menerus sehingga ke hari ini. Kelas pengajian hari Rabu yang dimulakan oleh Tuan Guru Haji Ibrahim pada sekitar tahun 1970-an masih berjalan sehingga ke hari ini.

Wafat Beliau

Tuan Guru Haji Ibrahim meninggal dunia pada 29 Rabiulawal 1418H/3 Ogos 1997. Madrasah Al-Islamiah yang didirikan di atas tanah kepunyaan Tuan Guru Haji Ibrahim dengan perbelanjaan sendiri dan derma dari orang ramai masih berfungsi dengan baik demi meneruskan cita-cita dan usaha murni Allahyarham tuan guru. Kini, madrasah tersebut telah diteruskan oleh cucu Allahyarham sendiri, iaitu Al-Fadhil Ustaz Haji Mohd Khairuddin bin Haji Yusoff.

Pada hari ini, madrasah ini masih berfungsi sebagai pusat kegiatan agama yang aktif. Di samping kelas dewasa, kelas-kelas fardu ain untuk kanak-kanak juga masih bergerak sejak tahun 1957. Sehingga kini, madrasah ini dikenali dengan nama Sekolah Rendah Agama Rakyat Haji Ibrahim.
Rujukan:

Rabu, Januari 23, 2008

Dr Abdullah Nasih Ulwan, Selagi Nadi Berdenyut Pena Sentiasa Menulis

Dr Abdullah Nasih Ulwan dilahirkan pada tahun 1928 di Daerah Qadhi Askar yang terletak di Bandar Halb, Syria. Beliau dibesarkan di dalam keluarga yang berpegang teguh pada agama dan mementingkan akhlak Islam dalam pergaulan dan muamalat sesama manusia. Ayahnya, Syeikh Said Ulwan adalah seorang yang dikenali di kalangan masyarakat sebagai seorang ulama dan tabib yang disegani. Selain dari menyampaikan risalah Islam di seluruh pelusuk Madinah Halb, beliau juga menjadi tumpuan untuk mengubat pelbagai penyakit dengan ramuan akar kayu yang dibuat sendiri. Ketika merawat pesakit, lidahnya sentiasa membaca al Quran dan menyebut nama Allah. Syeikh Said Ulwan sentiasa mendoakan semoga anak-anaknya lahir sebagai seorang ulama ‘murabbi’ yang dapat memandu masyarakat. Allah memperkenankan doa beliau dengan lahirnya Dr Abdullah Nasih Ulwan sebagai ulama (‘murabbi’) pendidik rohani dan jasmani yang disegani di abad ini.

Pendidikan

Dr Abdullah Nasih Ulwan mendapat pendidikan peringkat rendah (ibtidaei) di Bandar Halib. Setelah berusia 15 tahun, Syeikh Said Ulwan menghantar beliau ke Madrasah Agama untuk mempelajari ilmu agama dengan cara yang lebih luas. Ketika itu, beliau sudah menghafal al Quran dan sudah mampu menguasai ilmu bahasa arab dengan baik. Semasa di madrasah, beliau menerima asuhan dari guru-guru yang mursyid. Beliau sangat mengkagumi Syeikh Raghib al Tabhakh, seorang ulama hadis di Bandar Halb. Beliau sangat cemerlang dalam pelajaran dan sentiasa menjadi tumpuan rujukan rakan-rakan di madrasah, beliau juga seorang yang aktif dalam persatuan dengan berkebolehan berpidato dan mengetuai skuad penerbitan yang bertanggungjawab menerbitkan sebaran ilmiah kepada masyarakat sekitar.

Beliau dikenali sebagai seorang yang sangat berani pada kebenaran serta mempunyai kemahiran dalam pergaulan dan dakwah. Semasa usia remaja beliau sudah terkesan dengan bacaan tulisan ulama-ulama sanjungan di waktu itu seperti Dr. Syeikh Mustafa al Sibaei.

Pada tahun 1949 beliau memperolehi sijil menengah agama yang melayakkan beliau melanjutkan pelajaran di salah sebuah pusat pengajian di Mesir dalam bidang Syariah Islamiah.

Dr Abdullah Nasih Ulwan memasuki Universiti al Azhar pada tahun berikutnya dan memperolehi ijazah pertama dalam Fakulti Usuluddin pada tahun 1952, seterusnya beliau memperolehi takhassus pendidikan dan tarbiah pada tahun 1954. Semasa berada di Mesir beliau banyak menghadiri Majlis perbincangan ulama-ulama dan mendekati gerakan Islam.

Dr Abdullah Nasih Ulwan memperolehi Ijazah Kedortoran dari Universiti al Sand Pakistan pada tahun 1982 dengan tesis yang bertajuk “feqh Dakwah wa al Daeiah”.

Perkhidmatan

Dr Abdullah Nasih Ulwan memulakan khidmat sepenuh masa sebagai pendakwah setelah pulang dari al Azhar. Beliau telah dilantik sebagai guru sebuah Kolej di Bandar Halb. Beliaulah orang yang pertama memperkenalkan mata pelajaran Tarbiah Islamiah sebagai matapelajaran asas dalam sukatan pembelajaran di Kolej berkenaan. Seterusnya matapelajaran Tarbiah Islamiah ini menjadi matapelajaran teras yang wajib diambil oleh penuntut-penuntut menengah di seluruh Syria. Beliau telah meletakkan matlamat perguruan sebagai senjata tarbiah yang sangat berkesan dalam mendidik generasi negara akan datang. Prinsip yang digunapakai ialah guru sebagai ibubapa kepada pelajar, mendidik mereka seperti mendidik anak-anak sendiri. Beliau telah meletakkan matlamat yang sangat tinggi dalam pendidikan, iaitu membawa dan membimbing pelajar ke arah mencintai Islam dan beramal dengannya serta sanggup melakukan apa sahaja untuk memenangkan Islam.

Semasa menjadi guru di kolej berkenaan, Dr. Abdullah Nasih Ulwan telah menerima pelbagai jemputan menyampaikan kuliah dan syarahan di merata tempat, di samping menjadi pensyarah jemputan di beberapa buah Universiti di Syria. Tidak pernah mengenal penat dan letih untuk menyebarkan risalah Allah. Sepenuh masanya diberikan untuk dakwah Islamiah. Masjid-masjid di Daerah Halb sentiasa melimpah dengan orang ramai yang datang untuk mendengar kuliahnya, di mana sahaja beliau pergi menyampaikan ceramah dan kuliah pasti dibanjiri ribuan manusia. Masyarakat yang dahagakan ilmu pengetahun dan tarbiah Islamiah akan menjadikan beliau sebagai tempat rujukan.

Dr Abdullah Nasih Ulwan turut berjuang menghapuskan fahaman jahiliyyah dalam pemikiran masyarakat dengan suluhan cahaya hidayah rabbani. Beliau telah menggunakan Masjid Umar bin Abd Aziz sebagai markaz tarbiah generasi pemuda di Syria. Kuliah yang disampaikan di masjid ini ialah Feqh, Tafsir dan Sirah. Di samping memberi kuliah pengajian, Dr. Abdullah Nasih Ulwan telah mendidik pemuda-pemuda dengan kemahiran pidato dan penulisan serta kemahiran uslub berdakwah.

Hasil daripada tarbiah ini, lahirlah ratusan generasi muda yang berakhlak mulia dan menjadi agen penggerak dakwah Islamiah di Syria.

Walaupun sibuk dengan tugas menyampaikan risalah Islam di merata tempat, Dr Abdullah Nasih Ulwan juga sangat dikenali di kalangan masyarakat tempatan sebagai seorang yang berbudi luhur. Menjalinkan hubungan baik sesama anggota masyarakat dan sentiasa menjalankan khidmat masyarakat apabila diperlukan. Beliau juga mempunyai hubungan yang sangat erat dengan ulama-ulama Syria serta menganggotai Majlis Ulama Syria. Beliau sangat dihormati di kalangan mereka.

Beliau adalah seorang yang bergiat cergas dalam gerakan Islam, mengabdikan diri untuk dakwah dan ber­gabung dengan lkhwanul Muslimin. Beliau berhubung erat dengan Asy-Syahid Abdul Qadir `Audah, Sayyid Qutb dan Al-Ustaz Abdul Badi' Shaqar (Rahimahumullah Jami'an).

Sesiapa sahaja yang menelusuri denai dakwah Islamiah pasti akan diuji oleh Allah, ujian untuk membuktikan kebenaran dakwah yang di bawa serta menambahkan keyakinan dan pergantungan yang utuh hanya kepada Allah. Allahlah yang berhak memberi nusrah kepada sesiapa yang dikehendaki. Dr Abdullah Nasih Ulwan juga menerima ujian ini, sehingga memaksa beliau meninggalkan Syria pada tahun 1979 menuju ke Jordan. Semasa di Jordan beliau terus menjalankan peranan sebagai daei. Menyampaikan kuliah dan syarahan di merata tempat. Menerima undangan di masjid-masjid, perayaan hari kebesaran Islam dan ceramah umum.

Beliau meninggalkan Jordan pada tahun 1980 setelah mendapat tawaran sebagai pensyarah di Fakulti Pengajian Islam Universiti Malik Abd Aziz, Jeddah, Saudi. Beliau menjadi pensyarah di universiti berkenaan sehinggalah beliau bertemu dengan Allah (wafat).

Akhlak dan Peribadi

Dr Abdullah Nasih Ulwan disenangi oleh semua pihak kecuali mereka yang memusuhi Islam. Beliau menjalinkan hubungan yang baik dengan sesiapa sahaja.

Beliau adalah seorang yang sangat berani menyatakan kebenaran, tidak takut atau gentar kepada sesiapa pun dalam menyatakan kebenaran sekalipun kepada pemerintah. Beliau telah meletakkan amanah dalam dakwah adalah amalan yang wajib kepada umat Islam. Semasa di Syria, beliau telah menegur beberapa sistem yang diamalkan oleh pemerintah di waktu itu dan sentiasa menyeru supaya kembali kepada sistem islam, kerana Islam adalah penyelamat. Keadilan Islam adalah rahmat kepada ummah.

Keluhuran pekerti kesan didikan Islam yang meresap dalam jiwa beliau telah meletakkan beliau sangat disanjungi oleh ulama dan masyarakat. Rumahnya sentiasa dikunjungi oleh orang ramai. Sahabat karib beliau, Dr. Muhammad Walid menyatakan, Dr Abdullah Nasih Ulwan adalah seorang yang sangat peramah, murah untuk memberi senyuman kepada sesiapa sahaja, pertuturannya sangat mudah difahami, percakannya sentiasa disulami nasihat dan peringatan, beliau juga seorang yang tegas dengan prinsip asas Islam.

Dr Abdullah Nasih Ulwan juga seorang yang sangat benci kepada perpecahan dan munculnya berbilang-bilang jamaah dalam negara Islam. Menyeru kepada perpaduan dan kesatuan atas nama Islam untuk membina kekuatan umat Islam yang semakin pudar. Beliau berpendapat bahawa pepecahan umat Islam perlu dimuhasabah semula oleh setiap lapisan umat Islam. Apabila berbincang mengenai perpaduan dan kesatuan umat Islam, airmatanya pasti tumpah menandakan beliau adalah seorang yang sangat cintakan kesatuan umat Islam.

Dalam persahabatan, beliau menjalinkan hubungan dengan sesiapa sahaja serta sentiasa menziarahi teman-teman. Bertanyakan khabar serta mementingkan ikatan ukhuwwah Islamiah yang terjalin. Menghulurkan bantuan dan pertolongan sekalipun terpaksa bersusah payah untuknya.

Penulisan

Dr Abdullah Nasih Ulwan sangat gemar kepada penulisan, kertas dan pena sentiasa bersama walau di mana beliau berada. Walaupun sibuk dengan kuliah, nadwah dan syarahan, beliau tetap memperuntukan masa untuk penulisan. Beliau telah menghasilkan hampir lima puluh buah kitab yang membincangkan pelbagai tajuk.

Di antara kitab karangan beliau yang masyhur ialah:

1. Pendidikan anak-anak di dalam Islam (2 jilid).
2. Hukum zakat menurut empat mazhab.
3. Madrasah Duat.
4. Takaful Ijtimaei dalam Islam.
5. Insurans Menurut pandangan Islam.
6. Pemuda Islam dalam menghadapi serangan musuh.
7. Menolak keraguan yang didatangkan musuh.

Beliau juga banyak menulis kitab mengenai tarbiah Islamiah, kitabnya yang berkaiatan dengan tarbiah Islamiah sangat menyentuh jiwa pembaca. Ini kerana tulisan yang terbit dari hati, insyaallah akan jatuh ke hati. Di antaranya ialah:

1. Kepada Pewaris Anbiya.
2. Thaqafah Daeiah.
3. Ruhaniah Daeiah.
4. Kisah Hidayah (2 jilid)
5. Sifat Jiwa dan diri Daei.

Beliau telah meninggalkan sebanyak 43 karangan untuk umat Islam.

Menerima Rawatan dan Tekun Menulis Dalam Keadaan Sakit

Setelah pulang dari menghadiri Nadwah di Pakistan, beliau telah mengadu sakit di bahagian dada kepada salah seorang doktor perubatan di Universiti Malik Abdul Aziz. Doktor telah mengesahkan beliau mengalami penyakit di bahagian hati dan paru-paru. Beliau dimasukkan ke Hospital untuk mendapat rawatan pakar. Beliau mendapat rawatan dalam masa yang agak lama di hospital ini. Beliau meminta izin untuk keluar dari hospital bagi menunaikan temu janji yang terpaksa dibatalkan semasa berada di hospital. Walaupun dalam keadaan sakit, tugas menyampaikan risalah Islam tetap diteruskan dengan bertenaga. Kesakitan pada paru-paru dan hati tidak menghalang beliau dari terus aktif menyampaikan kuliah di Universiti dan majlis-majlis nadwah dan seminar. Melupai kesakitan yang dialami demi islam tercinta.

Beliau dimasukkan kali kedua ke hospital yang sama setelah kesakitan yang dialaminya semakin kronik. Semasa dirawat di hospital beliau banyak menulis bahan ilmiah sebagai ganti memberi kuliah di luar di samping minat membaca kitab-kitab tetap diteruskan.

Pakar-pakar perubatan dan sahabat handai menasihati beliau supaya berhenti membaca dan menulis kerana ianya akan menjejaskan rawatan dan menambahkan kesakitan yang dialami, tetapi Dr Abdullah Nasih Ulwan hanya tersenyum dan berterima kasih atas keprihatinan mereka serta menyatakan, selagi tangan, mata dan nadinya masih berdenyut selagi itulah sumbangan kepada dakwah Islamiah wajib diteruskan. Selagi tangannya mampu memegang pena selagi itulah beliau akan terus menulis. Sehinggalah pada keadaan beliau tidak dapat bangun, beliau meletakkan bantal di atas perut untuk menulis dan membaca. Keadaan ini berterusan sehinggalah beliau bertemu Allah.

Wafatnya

Dr Abdullah Nasih Ulwan meninggal dunia pada hari Sabtu jam 9.30 pagi 5hb Muharram 1408 Hijrah bersamaan 29hb Ogos 1987 di Hospital Universiti Malik Abdul Aziz Jeddah, Saudi dalam usia 59 tahun. Jenazahnya di bawa ke Masjidil Haram untuk disembahyang dan dikebumikan di Makkah. Solat jenazahnya dihadiri oleh ulama-ulama di seluruh pelusuk dunia. Pemergiannya diiringi oleh umat Islam seluruh dunia. Dunia kehilangan ulama murabbi yang benar-benar ikhlas dalam perjuangan menegakkan Islam. Beliau telah menyerahkan jiwa raga untuk Islam dengan pengorbanan dan jihad yang sangat besar.

Walaupun beliau sudah pergi menemui Allah tetapi dakwahnya tetap berterusan melalui buku dan kitab yang dihasilkan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya, mengampunkan segala kesalahan yang dilakukan dan memberikan kekuatan kepada generasi yang memikul amanah dakwah Islamiah selepasnya. Amin.

Rujukan:
Muqaddimah Silsilah Madrasah Du’at (Jilid 1) dan rujukan lainnya.

Selasa, Januari 22, 2008

Syeikh Ali Hasan Al-Halabi

Syeikh Ali Hasan Al-Halabi merupakan seorang ulama salafi dan salah seorang murid Syeikh Al-Albani yang terkenal.

Beliau dilahirkan di Zarqa, Jordan, 29 Jamadilakhir 1380 H/1960 M. Nama sebenarnya ialah Abu Haris Ali bin Hasan bin Ali bin Abdul Hamid As-Salafi Al-Atsari.

Pendidikan dan Guru-Guru Beliau

Ayah dan abangnya berhijrah ke Jordan dari Yafa, Palestin pada tahun 1368 H/1948 M, kerana penjajahan yahudi. Beliau memulai belajar ilmu-ilmu agama di saat usia beliau belum melebihi dua puluh tahun, guru beliau yang paling menonjol adalah Al-'Allamah Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani (semoga rahmat Allah tercurah padanya), kemudian Syeikh Abdul Wadud Az-Zarazi (semoga rahmat Allah tercurah padanya) dan ulama-ulama lainnya.

Beliau berjumpa dengan gurunya iaitu Syeikh Muhammad Nasiruddin Al Albani di akhir tahun 1977 di kota Amman, Jordan. Beliau belajar pada Syeikh Al-Albani kitab Iskaalat Al-Baiul Hatsis pada tahun 1981, dan beliau juga mempelajari kitab-kitab Musthalahul Hadis lainnya.

Beliau memiliki ijazah-ijazah (pengakuan) dari sejumlah ulama, di antaranya Syeikh Badiuddin As-Sanadi, dan juga Al-'Allamah Al-Fadil Muhammad As-Salik Asa Syinqithi (semoga rahmat Allah tercurah pada mereka) dan ulama-ulama lainnya.

Pujian Ulama Terhadap Beliau

Sejumlah ulama yang terkemuka memuji beliau, di antaranya, Al-Allamah ahli hadis yang berilmu tokoh pembela sunnah, Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani (semoga rahmat Allah tercurah padanya) sebagaimana dalam kitab Silsilah Hadis As-Sahihah 2/720 tatkala Syeikh Al-Albani menjelaskan kedustaan "penghancur sunnah" Hasan Abdul Manan, beliau berkata: "...penjelasan yang luas dalam menerangkan kesalahan ucapannya dalam melemahkan hadis itu memerlukan satu karya khusus, dan ini yang tidak mungkin bagi saya lantaran keterbatasan waktu, semoga sebahagian saudara-saudara kami yang mempunyai kemampuan hebat dalam ilmu hadis ini mengarang kitab tentangnya, seperti misalnya al-Akh Ali al-Halabi."
Lihat juga Muqaddimah kitab at-Ta’liqat ar-Raudhiyyah ala ar-Raudhah an-Nadiyyah dan kitab Adabuz Zifaf cetakan Al-Maktabah Al-Islamiyyah.

Beliau juga dipuji oleh Syeikh Abdul Aziz bin Baz (semoga rahmat Allah tercurahkan padanya) dimana syeikh mengulas kitabnya: "Sesungguhnya kitabnya beraqidah dan bermanhaj salaf."

Demikian juga Syeikh Bakr Abu Zaid memuji beliau dalam kitabnya; Tahrifunnusus min Maaqod Ahlil Ahwa fil Istidlal hal 93-94.

Demikian juga Al-‘Allamah Syeikh Muqbil bin Hadi al-Wadi’i (semoga rahmat Allah tercurah padanya) memuji beliau. Syaikh Muqbil menuturkan: "Sesudah ini, aku melihat sebuah karya bagus yang berjudul Fikhul Waqi Baina An Nadhariyyah wat Tathbiq karya saudara kami Ali bin Hasan bin Abdul Hamid, saya menasihatkan agar membaca kitab itu, semoga Allah membalas kebaikan kepadanya. Syeikh Muqbil juga menukil karya Syeikh Ali Hasan ini dalam kitabnya yang berjudul Gharah al-Asrithah ala ahlil Jahli was Safsatah beliau menyebutkannya, "Saya tidak pernah mengetahui semisal ini."

Demikian juga Al-Allamah Syeikh Abdul Muhsin al-Abbad (semoga Allah menjaganya) juga memuji beliau. Dalam kitabnya yang menawan Rifqon Ahli Sunnah bi Ahli Sunnah cetakan kedua yang diperbaharui 1426H, hal. 9-8 menuturkan: "Aku juga mewasiatkan kepada para penuntut ilmu di seluruh negeri agar mengambil faedah dari para ahli ilmu yang berkecimpung dalam masalah ilmu dari kalangan ahli sunnah di negeri ini semisal murid-murid Syeikh Al-Albani di Jordani, yang mendirikan sebuah markaz yang menggunakan nama Syeikh Al-Albani sepeninggalan beliau."

Aktiviti Dakwah Beliau

Beliau salah seorang pendiri majalah Al-Ashalah yang terbit di negara Jordan, beliau salah seorang dewan redaksi dan penulis dalam majalah ini. Beliau termasuk pendiri markaz Imam Albani.

Beliau aktif menulis makalah-makalah yang terbit setiap hari di Koran Al-Muslimun yang terbit di London, dalam rubrik “as-Sunnah”, hal ini berlangsung sekitar dua tahun semenjak tanggal 18 Rabiulawal 1417.

Beliau pernah mengikuti berbagai muktamar Islam, kegiatan dakwah dan daurah ilmiah di berbagai negara, dan ini sering beliau lakukan, seperti di Amerika, Belanda, Hongaria, Kanada, Indonesia, Perancis dan negara-negara lainnya.

Beliau juga pernah dijemput di berbagai universiti di Jordan untuk berceramah dan pertemuan-pertemuan, misalnya di Universiti Jordan, Universiti Yarmuk, dan Universiti Az-Zaitunah.

Karya-Karya dan Buku-Buku Yang Telah Diteliti Beliau

Karya-karya dan buku-buku yang telah diteliti beliau lebih dari 150 judul, yang terdiri atas buku yang tidak terlalu tebal maupun yang berjilid-jilid, diantara karya beliau yang paling penting:

1. Ilmu Ushulul Bida’
2. Dirasah Ilmiyyah fi Shahih Muslim
3. Ru’yatun Waqiah fil Manahij ad-Dakwiyyah
4. An Nukatu ala Nuzhatin Nadhar
5. Ahkamus Sita

Adapun buku-buku yang diteliti beliau:
1. Mifatahu Daris Sa’adah, karya Ibnu Qayyim, 3 jilid
2. At Ta’liqat ar-Raudiyyah ala ar-Raudah an-Nadiyyah, karya Al-Albani, 3 jilid
3. Al-Baisul Hasis, karya Ibnu Katsir, 2 jilid
4. Al-Huttah fi zikri as-Shihah as-Sittah, karya Sidiq Hasan Khan
5. Ad-Daa wad Dawaa karya Ibnu Qayyim, 1 jilid

Sejumlah karya beliau ini telah diterjemahkan dalam berbagai bahasa, di antaranya, Perancis, Urdu, Indonesia, Malaysia dan lain-lain.

Jumat, Januari 18, 2008

Ibnu Sina, Menyelamatkan Perut Raja

Ibnu Sina adalah seorang ilmuwan Islam di abad pertengahan yang mempunyai banyak kepakaran. Di Barat, beliau dikenal sebagai Avicenna dan karya-karyanya sangat digemari di sana.

Ibnu Sina dilahirkan di Isfahan pada bulan safar tahun 370 Hijrah/980 Masihi.
Nama sebenarnya ialah Abu Ali Al-Husain bin Abdullah bin Hasan bin Ali bin Sina. Ketika berusia sepuluh tahun, Ibnu Sina telah hafal ayat-ayat suci Al-Quran dan menguasai ilmu Al-Quran beserta berbagai ilmu lainnya ketika berusia belum sampai tujuh belas tahun.
Belajar Sendiri
Ibnu Sina sudah menguasai ilmu tafsir dan usuludin ketika berusia sepuluh tahun lagi. Kemudian beliau mentelaah falsafah, politik dan logik, matematik, fizik, politik dan kedoktoran hingga berusia 16 tahun. Kecerdasannya semakin tampak apabila beliau sering kali menyelesaikan persoalan yang tidak dapat diselesaikan oleh gurunya. Setelah berusia 16 tahun, beliau mula belajar sendiri. Beliau sangat menyenangi ilmu kedoktoran dan metafizik.
Gurunya yang pertama adalah bapanya sendiri, seorang alim, Abdullah Natalia. Beliau mempelajari ilmu kedoktoran daripada seorang kristian yang bernama Isa bin Yahya. Sebelum usianya mencecah 17 tahun nama beliau telah terkenal sebagai seorang tabib.
Ibnu Sina juga terkenal sebagai seorang pengembara. Setelah kematian ayahnya ia mulai berkelana, menyebarkan ilmu dan mencari ilmu yang baru. Tempat pertama yang menjadi tujuannya setelah hari duka itu adalah Jurjan, sebuah kota di Timur Tengah. Di sinilah ia bertemu dengan seorang sasterawan dan ulama besar Abu Raihan Al-Biruni. Al-Biruni adalah guru baru dengan ilmu yang baru pula bagi Ibnu Sina.
Setelah Jurjan dan Al Biruni, tidak lama Ibnu Sina melanjutkan lagi pengembaraannya. Rayy dan Hamadan adalah kota selanjutnya, sebuah kota dimana karyanya yang terkenal Al-Qanun Fi Al-Tibb mulai dituliskan. Di tempat ini pula Ibnu Sina banyak berjasa, terutama pada raja Hamadan. Seakan tak pernah lelah, ia melanjutkan lagi pengembaraannya, kali ini daerah Iran menjadi tujuannya. Di sepanjang jalan yang dilaluinya itu, banyak lahir karya-karya besar yang memberikan manfaat besar pada dunia ilmu kedoktoran khususnya.
Ketua Segala Doktor
Ibnu Sina mula menjadi doktor ketika berusia 18 tahun. Beliau menyembuhkan Raja Nuh bin Mansur, pemerintah kerajaan Samaniyah. Sejak itu, beliau dilantik menjadi doktor istana. Pembesar negeri lain seperti Ratu Sayyidah dan Suktan Majdud dari Rayy, Syamsu Dawla dari Hamadan dan Alaud Dawla dari Isfahan juga pernah mengundangnya.
Oleh sebab keahliannya, Ibnu Sina digelar 'al-Syeikh al-Ra'is' (guru para raja). Dalam bidang kedoktoran, beliau digelar 'pengeran para doktor' dan 'raja ubat'. Dalam dunia Islam, beliau dianggap sebagai puncak ilmu kedoktoran.
Menyelamatkan Perut Raja

Otak Ibnu Sina sangat luar biasa, setiap ilmu yang dipelajarinya lekat dalam fikirannya. Dalam usia yang masih remaja, dia telah menguasai ilmu tafsir, perubatan, falsafah, logika, matematik, astronomi, muzik dan lain-lain.

Diceritakan bahawa pada suatu ketika Raja Nuh bin Mansur dari Bukhara dtimpa sakit perut yang sangat parah. Berbagai doktor telah datang mengubatinya, tapi tak seorang pun yang dapat mengurangkan kesakitan sang raja. Baginda semakin meraung dan penyakitnya semakin teruk. Akhirnya si raja yang sudah berada dalam keadaan sangat kritis itu hanya dapat berbaring saja sambil menunggu saat-saat kedatangan malaikat Izrail untuk mencabut nyawanya.

Tiba-tiba seorang pemuda dalam lingkungan usia 17 tahun yang sedang merayau-rayau di sekitar istana dibawa masuk oleh para pengawal dan terus dimasukkan ke dalam bilik raja yang sedang nyawa-nyawa ikan. Semua yang hadir terdiri para pembesar Negara, bangsawan, orang-orang berpangkat, doctor-doktor pakar, cendikiawan dan ulama merasa hairan melihat seorang pemuda terburu-buru dibawa masuk ke tempat ekslusif dan mewah itu. Ternyata pemuda itu dapat menyembuhkan perut raja yang sudah tidak dapat diubat oleh para doktor pakar lainnya dalam masa yang tidak lama. Semua yang hadir menjadi hairan. Pemuda itu adalah Ibnu SIna yang berpraktik sebagai doktor.

Raja telah menawarkan wang seberapa banyak yang diminta kepada Ibnu Sina sebagai imbalan perkhidmatannya itu, tapi beliau hanya minta diberi kebenaran untuk menggunakan perpustakaan istana raja saja. Raja pun memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada doctor muda itu. Di sanalah Ibnu Sina berenang di lautan ilmu yang tiada bertepi, berbagai buku telah dibacanya. Beliau berkata:

“Saya pergi ke sana (ke perpustakaan) dan menemukan beberapa bilik yang penuh dengan buku yang dikemas di dalam peti. Kemudian saya membaca catalog para pengarang purba itu dan saya mendapatkan semua yang saya inginkan. Saya banyak menemukan tajuk buku yang tidak diketahui oleh orang, juga buku-buku yang belum pernah saya lihat sebelumnya.”

Ibnu Khallikan menulis bahawa apabila Ibnu Sina telah menguasai ilmu dari kitab-kitab purba itu, khazanah raja yang sangat berharga itu pun terbakar. Mak hanya Ibnu Sinalah satu-satunya orang pada zamannya yang menguasai ilmu-ilmu tersebut. Ada pula yang mengatakan bahawa Ibnu Sina sengaja membiarkan perpustakaan itu terbakar dengan tujuan agar hanya beliau seoranglah yang mengetahui ilmu-ilmu di dalam kitab-kitab lama itu, yang kemudian dinisbatkan kepada dirinya sendiri dalm kitab-kitab karangannya. Wallahua’lam.

Walaubagaimanapun, Ibnu Sina yang memang berotak cemerlang itu menjadi seorang ilmuwan agung yang tiada tolok bandingnya pada zamannya. Beliau menjadi doktor pakar dan mulai menulis berbagai buku ketika berusia dua puluh satu tahun.

Menemukan Teori Peredaran Darah
Beliau adalah orang yang pertama yang berjaya melakukan pengubatan terhadap beberapa penyakit seperti miningitis (radang selaput otak). Beliau juga merupakan orang yang pertama yang menemukan teori peredaran darah manusia, 600 tahun lebih awal daripada penemuan Willian Harvey.
Di dalam bidang falsafah, beliau juga dianggap sebagai seorang yang agung. Sebagai seorang muslim, falsafah-falsafah beliau berlainan sekali dengan falsafah-falsafah golongan yang telah rosak akhlaknya. Adalah diriwayatkan jikalau beliau berhadapan dengan masalah yang berat untuk difikirkan dan diselesaikan, beliau akan mengambil wudhuk sembahyang dan berdoa kepada Allah.
Karya-Karyanya

Setiap hari beliau menulis tidak kurang dari lima puluh muka surat dan selama hidupnya telah menghasilkan buku sebanyak 238 buku dan risalah. Sebahagian di antaranya terdiri dari beberapa jilid dan besar-besar. Karyanya bertajuk Al-Qanun Fi Al-Tibb (Undang-Undang Perubatan) merupakan karya raksasa yang abadi, terdiri dalam lima jilid dan membahaskan 760 jenis ubat. Di Barat, buku ini disebut Canon o
f Medicine dan menjadi rujukan utama dibeberapa fakulti perubatan di Eropah dan juga di China. Karya abadi lainnya adalah Al-Isyarah wa Al-Tanbihat dalam bidang falsafah mengenai ketuhanan dan kemurnian hidup.
Antara karyanya yang lain:
1. Shifa' - Sebuah ensiklopedia dalam ilmu falsafah yang terdiri daripada 18 jilid. Tentang psikologi, pertanian, retorika dan syair. Beliau mengambil masa 20 bulan untuk mengarang buku ini.
2. Nafat - Buku ini adalah ringkasan buku Shifa'.
3. Sadidiyya - Berkaitan dengan ilmu kedoktoran dan mengandungi lima jilid.
4. Al-Rasa'il - Tentang biologi, fizik, astronomi, psikologi, etika dan teologi
5. Risalah Al-'Isyqa - Tentang kerinduan Ibnu Sina kepada Tuhan.
6. Al-Musiqa - Berhubung dengan ilmu muzik.
7. Al-Mantiq.
8. Qamus al-'Arabi.

Penyakit Seorang Doktor Pakar & Wafatnya

Walaupun Ibnu Sina seorang doktor pakar khususnya dalam masalah penyakit perut, namun beliau selalu mengabaikan kesihatannya sendiri kerana terlalu sibuk dengan kerjayanya. Setiap hari beliau melengkapi karya-karyanya yang belum selesai, pergi ke sana sini untuk mengadakan pengkajian dan mengubat pesakit, di samping keasyikannya pada politik. Memang beliau juga seorang penasihat politik yang ulung.

Akibat terlalu letih dan memaksa diri, kesihatan Ibnu Sina menurun dari sehari ke sehari. Namun demikian beliau masih tetap meneruskan penulisannya yang belum selesai walau dalam keadaan uzur. Sampai masanya, beliau sendiri dilanda sakit perut dan berusaha untuk mengubatinya, tapi mungkin dengan cara yang berlebihan sehingga penyakitnya bertambah parah.

Diceritakan pula bahawa beliau terlalu banyak minum dan jimak sehingga mengakibatkan tubuhnya menjadi lemah.Teman-temannya menasihatinya tentang kesihatannya, tapi beliau tidak mengindahkannya. Dalam keadaan sakit, beliau telah memasukkan ubat ke dalam dirinya sendiri sehingga lapan kali sehari. Akibatnya, kulitnya terluka dan perutnya sakit. Ditambah lagi kerana pembantunya sengaja memasukkan candu yang banyak ke dalam uabtnya agar beliau binasa. Ini kerana si pembantu tersebut telah mengkhianatinya, jadi takut kalau Ibnu Sina sembuh dari penyakitnya, beliau akan menghukumnya.

Apabila menyedari penyakitnya sudah tidak boleh disembuhkan lagi, Ibnu Sina menyerah dan bertawakal kepada Allah, bersedia untuk bertemu Tuhannya. Beliau membersihkan dirinya, bertaubat dan menumpukan perhatiannya kepada Allah sepenuhnya.
Semua harta kekayaannya disedekahkannya kepada fakir miskin dan yang berhak menerimanya. Beliau memohon maaf kepada semua orang yang merasa pernah tersakiti olehnya. Pada saat terakhir dari kehidupannya, beliau hanya mengerjakan solat, bertaubat dan terus-menerus membaca Al-Quran dan mengkhatamkannya setiap tiga hari sekali sehingga malaikat Izrail datang mengambil nyawanya. Beliau wafat pada hari Jumaat bulan Ramadan tahun 428 Hijrah/1037 Masihi di Hamadan dalam usia 57 tahun.
Kata-Kata Ibnu Sina
- Orang yang arif itu berani, bagaimana ia tidak berani, kerana cintanya akan kebenaran telah menyebabkan diri tidak takut mati.
- Aku pulang ke rumah dan meletakkan lampu di hadapanku, lalu terus membaca dan mengarang. Bila rasa mengantuk itu sangat mendesak, atau badanku terasa letih sekali, maka akupun minum secangkir hingga timbul kembali kesegaranku dan aku teruskan membaca lagi. Tetapi jika mengantuk tak tertahankan, aku lalu tidur dan biasanya aku bermimpi tentang soal-soal yang belum selesai dalam fikiranku. Di dalam mimpi itu, kebanyakan soal-soal itu biasanya menjadi terang masalahnya.
Rujukan:
- Ensiklopedia Para Wali Jilid 7 susunan Ahmad Muhammad Abdul Ghaffar
- Mengenali Tokoh-Tokoh Islam terbitan PKPIM
- Ensiklopedia Islam Untuk Pelajar terbitan Era Visi dan Yadim