Selasa, April 22, 2008

Syeikh Wan Ali Kutan, Guru Para Ulama Melayu


Keluarga Besar

Sebagaimana Syeikh Jalaluddin al-Kalantani mempunyai hubungan keturunan yang luas, demikian pula halnya Syeikh Wan Ali al-Kalantani, kerana Syeikh Wan Ali al-Kalantani mempunyai beberapa orang adik beradik. Mereka ialah: 1. Haji Wan Seman, 2. Wan Bulat, 3. Wan Hawa, 4. Wan Kaltsum, 5. Wan Siti Hajar, dan yang bungsu ialah Syeikh Wan Ali. Haji Wan Seman bin Wan Abdur Rahman mendapat tiga orang anak, iaitu Nik Sah, Wan Timun dan Nik Wan Zainab. Melalui anaknya Wan Timun, anak perempuan Wan Timun bernama Wan Embong, anak perempuan Wan Embong bernama Nik Wan Zainab kahwin dengan Tengku Hamzah Tengku Setia Maharaja, anaknya bernama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Wan Hawa binti Wan Abdur Rahman berkahwin dengan Wan Muhammad bin Wan Musa, memperoleh 4 orang anak. Salah seorang di antaranya Wan Salamah yang berkahwin dengan Wan Ya'qub bin Wan Sulaiman, memperoleh anak bernama Wan Kaltsum yang kahwin dengan Wan Ahmad Hakim bin Ibrahim (Hakim di Besut, Terengganu), keturunannya di Terengganu. Di antara anaknya ialah Wan Muhammad Ali, ayah kepada Haji Wan Abdur Rahim Kamil, salah seorang tokoh perbankan Islam.

Wan Kaltsum binti Wan Abdur Rahman berkahwin dengan ulama bernama Haji Abdus Shamad Kutan, yang kemudian dikenali dengan gelar Tuan Tabal. Beliau adalah guru kepada Bentara Guru Haji Wan Saleh, iaitu Dato' Bentara Guru Mufti Terengganu. Mengenai Tuan Tabal yang bererti saudara ipar kepada Syeikh Wan Ali Kutan diperoleh maklumat daripada keluarga ini di Terengganu, secara terperinci akan diceritakan pada siri-siri berikut dalam judul yang tersendiri.

Wan Siti Hajar binti Wan Abdur Rahman mempunyai anak iaitu Haji

Muhammad Sa'id. Beliau berhijrah ke Langkat, belajar dan berkhidmat kepada Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah yang terkenal, iaitu Syeikh Abdul Wahhab Rokan di Besilam. Akhirnya Haji Muhammad Sa'id menjadi murid kesayangan dan orang kanan ulama yang terkenal itu. Haji Muhammad Sa'id memperoleh enam orang anak, di antaranya ialah Khalifah Haji Abdul Hamid. Anak beliau ialah Haji Muhammad Saleh Hamid, Ketua Majlis Ulama Indonesia, Kabupaten Langkat dan Drs. Haji Usman Hamid, bekas dosen/pensyarah FPOK, IKIP, Medan, Sumatera Utara.

Kelahiran

Wan Ali bin Wan Abdur Rahman adalah saudara bungsu enam beradik yang diriwayatkan ini, oleh itu dalam surat menyurat Syeikh Ahmad al-Fathani memanggil ulama Kelantan tersebut dengan panggilan `Pak Cu Wan Ali'. Syeikh Wan Ali adalah ayah saudara sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Syeikh Wan Ali al-Kalantani pula berkahwin dengan saudara sepupunya bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, adik beradik dengan Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani, ibu kepada Syeikh Ahmadal-Fathani.

Syeikh Wan Ali lahir dekat Kota Kubang Labu, di tepi Sungai Kelantan. Ismail Awang dalam majalah Pengasuh menyebut bahawa beliau lahir tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi, tarikh inilah yang diikuti oleh kebanyakan penulis. Penulis sendiri tetap mempertikaikan tahun yang disebutkan itu, jika ditulis tahun 1235 Hijrah/1820 Masihi, barangkali lebih mendekati kebenaran. Hujah-hujah penulis adalah bahawa di kalangan keluarga telah popular cerita tentang Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani adalah sebaya umurnya dengan Syeikh Wan Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani.

Selain itu, antara beliau terjadi tukar menukar ilmu pengetahuan dengan Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani (adik Syeikh Muhammad Zain al-Fathani). Adapun hubungan Syeikh Muhammad Zain al-Fathani dengan Syeikh Wan Ali Kutan itu adalah berbirasan, kerana isteri kedua-duanya adalah adik beradik. Isteri Syeikh Wan Ali Kutan bernama Wan Aisyah binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani dan isteri Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani bernama Wan Cik binti Wan Muhammad Saleh al-Fathani. Syeikh Ahmad al-Fathani mencatat tahun kelahiran ayahnya itu pada tahun 1233 Hijrah/ 1817 Masihi dan ibunya lahir pada tahun 1241 Hijrah/1825 Masihi. Sedangkan dalam riwayat bahawa Wan Cik al-Fathani itu walaupun menjadi kakak ipar kepada Syeikh Wan Ali Kutan, namun Syeikh Wan Ali Kutan lebih tua daripada Wan Cik. Wan Aisyah adik Wan Cik pula dilahirkan pada tahun 1243 Hijrah/1827 Masihi, sedangakn Wan Ali Kutan adalah lebih tua daripada isterinya itu.

Dengan fakta-fakta tersebut di atas, penentuan tarikh lahir Syeikh Wan Ali Kutan adalah pada tahun 1253 Hijrah/1837 Masihi (yang bererti lebih muda sekitar sepuluh tahun daripada isterinya) itu adalah suatu kekeliruan. Diharapkan kepada para pengkaji sejarah dapat meneliti kembali tahun-tahun yang tersebut itu, mudah-mudahan sejarah yang tepat dapat menjadi pegangan yang tidak menjadi keraguan lagi.

Pendidikan

Pendidikan ketika di Kelantan tidak jelas, yang dapat dikaji dimulai dari umur 12 tahun, kerana ketika usia itulah beliau dibawa ke Mekah untuk belajar di sana. Pendidikan di Mekah itu merupakan penentuan bahawa Syeikh Wan Ali al-Kalantani dapat dikategorikan sebagai ulama besar yang lengkap dengan pelbagai ilmu pengetahuan keIslaman. Di antara gurunya di Mekah dapat dicatat ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, Syeikh Muhammad Haqqi an-Nazili an-Naqsyabandi. Kedua-dua ulama ini sangat terkenal.

Selain itu, Syeikh Wan Ali al-Kalantani belajar pula kepada Syeikh Ahmad As'ad ad-Dihan, Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong, Kelantan dan lain-lain. Di Madinah Syeikh Wan Ali belajar kepada Syeikh Muhammad Amin bin Sayid Ridhwan al-Madani, terutama sekali menerima ijazah Shalawat Dalailul Khairat dengan sanad yang bersambung sampai kepada pengasasnya Syeikh Sulaiman al-Jazuli.

Dalam karangannya Lum'atul Aurad, Syeikh Wan Ali al-Kalantani menyebut bahawa beliau menerima ijazah Hizbul Bahri kepada Syeikh Ahmad bin As'ad ad-Dihan juga kepada Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong, Kelantan. Syeikh Abdus Shamad Pulau Condong menerima daripada Syeikh Abdullah bin Muhammad Saleh, beliau menerima daripada ayahnya Syeikh Muhammad Saleh bin Abdur Rahman al-Fathani, beliau pula menerima daripada Syeikh Muhammad Saleh bin Ibrahim Mufti Syafi'ie di Mekah pada zamannya. Silsilah ini bersambung terus hingga kepada pengamal pertama Hizbul Bahri, iaitu Wali Allah Syeikh Abil Hasan asy-Syazili. Syeikh Wan Ali al-Kalantani termasuk pengikut Thariqat Syaziliyah yang sanad/silsilahnya bersambung daripada Syeikh Abil Hasan asy-Syazili hingga kepada Rasulullah s.a.w.

Syeikh Wan Ali al-Kalantani juga belajar berbagai-bagai ilmu kepada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani termasuk beliau menerima Thariqat Syathariyah kepada ulama Patani itu. Syeikh Wan Ali al-Kalantani juga termasuk pengamal Thariqat Ahmadiyah yang dinisbahkan kepada Sayid Ahmad bin Idris. Dipercayai Syeikh Wan Ali al-Kalantani telah menerima talqin bai'ah Thariqat Ahmadiyah itu daripada Syeikh Ibrahim ar-Rasyidi.

Karangan

Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman, Kutan al-Kalantani meninggalkan beberapa karangan, yang senarai lengkapnya adalah sebagai berikut:

1. Al-Jauharul Mauhub wa Munabbihatul Qulub, 1306 Hijrah/1888 Masihi. Kandungannya merupakan terjemahan dan syarah Lubabul Hadits. Matan Lubabil Hadits adalah karya Imam Jalaluddin as-Suyuthi. Cetakan pertamanya ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Pada cetakan pertama tercantum puisi dalam bahasa Arab gubahan Syeikh Ahmad al-Fathani yang terdiri daripada 27 bait, dua-dua rangkap.

2. Zahratul Murid fi `Aqaidit Tauhid, 1310 Hijrah/1892 Masihi. Kandungannya membicarakan perkara tauhid menurut pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Cetakan pertama, juga ditashih oleh Syeikh Ahmad al- Fathani. Di bahagian muka dan belakang cetakan Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1315 Hijrah terdapat keterangan Syeikh Ahmad al-Fathani. Kitab ini terdapat beberapa edisi cetakan di antaranya dicetak oleh Mathba'ah al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan.

3. Lum'atul Aurad, 1311 Hijrah/1894 Masihi. Kandungannya mengenai selawat, wirid dan pelbagai doa. Terdapat pelbagai edisi cetakan, di antaranya oleh Matba'ah al-Miriyah, Mekah, cetakan kedua 1314 Hijrah. Edisi cetakan Matba'ah Al-Ahmadiah, Singapura, 1346 Hijrah. Dan edisi yang terakhir ialah yang diusahakan oleh cucunya, Haji Wan Abdul Qadir Daud al-Kalantani. Edisi yang terakhir ini dicetak terus menerus dan masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang ini. Lum'atul Aurad ini sangat banyak diamalkan oleh para ulama dan orang awam dunia Melayu, bagi pengamal-pengamalnya selalu menceritakan akan keberkesanan amalan tertentu yang termaktub dalam kitab itu setelah mereka mengamalkannya secara teratur dan rutin.

4. Majma'ul Qashaid wal `Awaid, 1320 Hijrah/1902 Masihi. Kandungannya merupakan kumpulan pelbagai qasidah. Cetakan pertama Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1321 Hijrah.

5. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Arab, masih dalam bentuk manuskrip.

6. Ilmu Perubatan, ditulis dalam bahasa Melayu, masih dalam bentuk manuskrip.

7. Catatan-catatan, masih dalam bentuk manuskrip.

Petikan:

Syeikh Wan Ali Kutan, Guru Para Ulama Melayu karya Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah di ruangan Ulama Nusantara, akhbar Utusan Malaysia

Tidak ada komentar: