Pages

Minggu, Oktober 12, 2008

Imam Nawawi, Makan Sedikit, Tidur Pun Sedikit

Ketika kanak-kanak lain seusianya sibuk bermain, budak lelaki berusia 10 tahun itu mengelak. Walaupun diajak kawan-kawannya itu, dia tetap menolak, sebaliknya dia sibuk membaca al-Quran. Jarang budak lelaki seusia itu tidak berminat untuk bermain, tetapi dia lain, walau dipaksa kawan-kawan pun dia tidak menunjukkan minat.

Melihat tingkah lakunya, seorang alim, Syeikh Yasin Yusuf Marakashi memberitahu gurunya, “Jagalah budak ini baik-baik kerana dia bakal menjadi seorang ulama besar dan ahli ibadah.” Guru yang mendengar kata-kata Syeikh Yasin itu bertanya, “Adakah tuan seorang ahli nujum atau penilik nasib?” Jawab Syeikh Yasin, “Bukan, tetapi Allah menghendaki aku mengeluarkan kata-kata itu.

Guru tersebut kemudian menceritakan insiden itu kepada bapa anak muridnya. Bapa budak itu pula memang ingin anak lelakinya yang begitu ghairah belajar, mengabdikan dirinya kepada agama Islam.

Terbukti budak lelaki itu bukanlah seorang insan biasa, tetapi Abu Zakaria Muhyiddin Yahya atau lebih dikenali sebagai Imam Nawawi. Nama tersebut digunakan kerana beliau berasal dari Nawa, yang terletak berdekatan Damsyik, di pinggir daerah Hauran.

Imam Nawawi dilahirkan di sana pada Muharram 631H dan bapanya adalah seorang alim yang menyedari kelebihan anaknya itu sejak kecil lagi. Malangnya Nawa bukanlah tempat yang sesuai untuk anaknya mengembangkan ilmu dan bakatnya kerana tempat itu tidak mempunyai akademi atau institusi pengajian agama.

Menimba Ilmu

Jadi bapanya membawa Imam Nawawi ke Damsyik yang ketika itu terkenal sebagai pusat pengajian dan ilmu, serta menjadi tumpuan pelajar dari serata tempat. Damsyik sudah pun mempunyai lebih 300 institut, kolej dan universiti dan Imam Nawawi belajar di Madrasah Rawahiyah yang bergabung dengan Universiti Ummvi. Pengasasnya ialah seorang saudagar bernama Zakiuddin Abul Qassim, yang juga dikenali Ibnu Rawahah.

Di madrasah inilah Imam Nawawi menimba ilmu daripada guru-guru terkenal selama dua tahun tanpa mengenal penat lelah. Pihak madrasah hanya menampung sedikit makan minumnya, tetapi itu sudah mencukupi bagi Imam Nawawi. Itu bukanlah satu keperluan yang amat dipentingkannya, malah tidur pun dihadkan sedikit sahaja pada waktu malam. Baginya masa adalah sesuatu yang amat berharga, apabila keletihan, dia akan berehat sebentar sahaja di hadapan kitab-kitabnya, sebelum meneruskan pelajarannya.

Guru-Guru Beliau

Di Damsyik, Imam Nawawi berguru dengan lebih 20 ulama. Sesetengah mereka terkenal sebagai pakar dalam bidang masing-masing. Beliau mempelajari ilmu hadis, perundangan Islam dan pelbagai ilmu lain daripada ulama-ulama terkenal waktu itu, antaranya, Abu Ibrahim Ishaq bin Ahmad al-Maghribi, Abu Muhammad Abdurrahman bin Ibrahim al-Fazari, Abul-Abbas Ahmad bin Salim al-Misri, Abu Abdullah al-Jiyani, Abu Muhammad at-Tanukhi dan ramai lagi.

Sifat Peribadi

Sikap Imam Nawawi terhadap ilmu memang jarang terdapat pada orang lain. Beliau sentiasa dahagakan ilmu dan dalam amalan seharian, dia akan membaca 12 bab, menulis ulasannya dan membuat penambahan-penambahan penting. Apa jua buku yang ditelaahnya, dia akan membuat nota dan penerangan mengenainya.

Sikap ini, kecerdikan, usaha keras dan kecintaannya terhadap pelajaran mendapat pujian daripada gurunya. Mana tidaknya, beeliau memperuntukkan sepenuh masanya untuk mendalami ilmu. Selain membaca dan menulis, beliau memperuntukkan masa untuk berfikir mengenai isu-isu yang kompleks dan mencari rumusannya.

Kelebihan daya ingatan tinggi dan ketajaman fikiran yang dikurniakan Allah SWT kepadanya digunakan sepenuhnya oleh Imam Nawawi sehingga mencapai tahap keilmuan yang amat membanggakan.

Selain itu, beliau juga disenangi kerana keindahan budi dan akhlak, serta dikenali sebagai seorang yang warak. Imam Nawawi gemar berpakaian sederhana dan hanya mekan sedikit sahaja. Beliau tidak mudah leka dengan hal-hal keduniaan sebaliknya memberi sepenuh tumpuan untuk mencari dan menyebarkan ilmu. Bagaimanapun Imam Nawawi tidak menjauhkan diri daripada masyarakat, malah beliau mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan ilmuan pada zamannya.

Beliau seorang yang begitu bertaqwa menurut erti kata sepenuhnya, wara’nya dan kebersihan jiwanya. Seorang ulama yang amatlah sukar ditemui. Ada juga riwayat yang mengatakan bahawa keengganan beliau untuk makan buah-buahan di Damsyik itu bukan hanya khuatir akan mengantuk tetapi kerana buah-buahan di Damsyik dikala itu terlalu banyak mengandungi syubhat.

Tiga kualiti yang dimilikinya menyebabkan Imam Nawawi menjadi ulama rujukan ketika itu, keilmuan tinggi dan kesediaan menyampaikannya, tidak cenderung dengan hal-hal keduniaan, dan sentiasa mengamalkan yang makruf dan mencegah kemungkaran.

Murid-Murid Beliau

Di antara murid-murid beliau ialah Sulaiman bin Hilal al-Ja’fari, Ahmad bin Farah al-Isybili, Ali bin Ibrahim Ibnul Atthar, Syamsuddin bin Naqib, Syamsuddin bin Ja’wan dan yang lainnya.

Di Antara Keadaan-Keadaan Beliau

Ibnu Atthar berkata, “Guru kami an-Nawawi menceritakan kepadaku bahawa beliau tidak pernah sama sekali menyia-nyiakan waktu, tidak di waktu malam atau di waktu siang bahkan di jalan pun beliau terus dalam menelaah dan menghafal.”

Rasyid bin Muallim berkata, “Syeikh Muhyiddin an-Nawawi sangat jarang masuk kamar kecil, sangat sedikit dalam makan dan minumnya, sangat takut mendapat penyakit yang menghalangi kesibukannya, sangat menghindari buah-buahan dan mentimun kerana takut membasahkan jasadnya dan membawa tidur, beliau sehari semalam makan sekali dan minum seteguk air di waktu sahur.

Fatwa Imam Nawawi Yang Menggemparkan

Menurut riwayat bahawa apabila baginda Sultan al-Malik al-Zahir telah mengadakan persiapan perang untuk memerangi orang-orang Tatar (Monggol) lalu digunakanlah fatwa ulama yang mengharuskan mengambil harta rakyat untuk kepentingan perang melawan musuh. Ulama fiqh Syria telah menulis menerangkan fatwa tersebut, tetapi baginda belum merasa senang hati kalau imam Nawawi tidak memberi fatwanya. Lalu baginda bertitah “Masih adakah lagi orang lain.” “Masih ada, Syeikh Muhyiddin an-Nawawi,” demikian jawapan yang disampaikan kepada baginda.

Kemudian baginda menjemput Imam Nawawi dan meminta beliau memberi fatwanya bersama ulama fiqh mengenai pengambilan harta rakyat untuk peperangan. Beliau berterus terang tidak mahu memberi fatwanya dan enggan. Baginda bertanya: “Apakah sebabnya kamu enggan?” Lalu beliau memberi penjelasan mengapa beliau terpaksa menerangkan sikapnya dan keenggannya memfatwakan sama seperti para ulama.

Beliau dalam penjelasan kepada baginda menerangkan seperti berikut:

“Ampun Tuanku! Adalah patik sememangnya mengetahui dengan sesungguhnya bahwasanya tuanku adalah dahulunya seorang tawanan tidak ada sebarang harta benda. Tetapi pertolongan Allah telah dilimpahkan kurnianya kepada tuanku dengan dijadikan tuanku seorang raja. Ampun Tuanku! Adalah patik telah mendengar bahawanya tuanku ada memiliki seribu orang hamab tiap-tiap seorang ada mempunyai beberapa ketul emas. Manakala dua ratus orang khadam wanita milik tunaku, masing-masing mempunyai perhiasan yang bernilai. Andaikata tuanku sendirian membelanjakan kesemua itu untuk keperluan pernag sehingga mereka tidak lagi mempunyai barang-barang itu, maka patik bersedia memberi fatwa untuk membenarkan tuanku mengambil harta rakyat.”

Kesimpulannya, beliau berfatwa tidak membenarkan baginda mengambil harta rakyat selama kekayaannya sendiri masih dapat dipergunakan. Baginda al-Malik al-Zahir murka kepadanya kerana fatwanya yang amat menggemparkan sehingga baginda mengeluarkan perintah supaya beliau segera keluar dari Damsyik. Imam Nawawi terima saja perintah pengusirannya itu dengan nada yang tenang. Lalu beliau pun keluar ke Nawa. Para ulama Syria telah berusaha menjemput beliau balik semula ke Damsyik, tetapi beliau enggan dengan berkata: “Saya tidak akan balik ke Damsyik selama baginda masih berkuasa.”

Beliau bukanlah seorang ulama yang mencari kebenaran untuk dirinya sahaja, beliau hidup di dalam masyarakat. Beliau tidak menjual ilmu yang dimiliki dengan harta benda dunia. Beliau mencurahkan ilmu kepada masyarakat umat. Beliau memimpin umat bukan umat yang memimpin beliau. Mengeluarkan fatwa tanpa memandang sesiapa, walaupun fatwanya itu meyusahkan kedudukannya. Inilah contoh ulama pewaris nabi (warisatul anbiya).

Karya-Karya Beliau

Di antara tulisan-tulisan beliau dalam bidang ilmu hadis ialah Syarah Sahih Muslim, Al-Adzkar, Arbain, Syarah Sahih Bukhari, Syarah Sunan Abi Daud dan yang terkenal, Riyadus Shalihin.

Di antara tulisan-tulisan beliau dalam bidang fiqh ialah Raudhatu Thalibin, al-Umdah fi Tashhihi Tanbih dan Majmu Syarah Muhadzdzab.

Di antara tulisan-tulisan beliau dalam bidang ilmu al-Quran ialah at-Tibyan fi Adabi Hamalatil Quran.

Wafat Beliau

Malang sekali insan yang cukup istimewa ini lebih disayangi Penciptanya. Selepas mengabdikan dirinya selama 28 tahun kepada ilmu, khususnya di Damsyik, Imam Nawawi kembali ke kampungnya di Nawa. Beliau kemudian jatuh sakit dan wafat pada 24 Rejab 676H dalam usia 45 tahun dan dikuburkan di Nawa, setelah sekian lama beliau hidup dengan membujang tidak beristeri di tengah-tengah suasana masyarakat Damsyik dan telah berjaya menyumbangkan tenaga fikiran dan ilmunya kepada Islam dan umatnya.

Namun sehingga hari ini, Imam Nawawi seolah-olah masih hidup, hasil karyanya yang tidak ternilai masih menjadi rujukan umat Islam di seluruh dunia. Semoga Allah meredhai dan menempatkan beliau dalam keluasan jannahNya.

Susunan:
M.A.Uswah,

Sandakan,
12 Oktober 2008.

Rujukan:
- Barisan Ulama Pembela Sunnah Nabawiyyah tulisan Abu Aisyah Arif Fathul Ulum, terbitan Media Tarbiyah, Bogor, Indonesia, cetakan pertama Januari 2006.
- Majalah Al-Islam, bulan April 2007.
- Hadis Empat Puluh terbitan Dewan Pustaka Fajar.

1 komentar:

Air Setitik Team mengatakan...

Please visit our updated blog at http://airsetitik.tk

Regards,

Air Setitik Team