Oleh Drs. Abdul Ghani Azmi Idris, tokoh hadith Malaysia (meninggal 1998)
Majalah Pengasuh Terbitan Majlis Agama Islam Kelantan. Bil. 558.
Para ahli sejarah selama ini mencatatkan bahawa semasa di dalam gua Thur itu Rasulullah s.a.w. dilindungi oleh BURUNG MERPATI dan LABAH-LABAH yang membuat sarang di pintu gua sehingga meyakinkan pemuda-pemuda Quraisy itu bahawa tiada sesiapa yang berada di dalam gua itu. Sehingga terselamatlah Rasulullah sa.w. dan sahabatnya Abu Bakar dari buruan pemuda-pemuda tersebut. Demikianlah apa yang tertulis dalam sejarah dan telah menjadi keyakinan umum di seluruh dunia Islam, sehinggalah sarang Labah-Labah itu dijadikan lambang bagi peristiwa Hijrah itu. Sebenarnya kepercayaan tersebut tidaklah benar dan catatan sejarah itu menyimpang dari hakikat sebenarnya. Walaupun ada hadith-hadith yang menyokong kepercayaan itu tetapi hadith-hadith itu semuanya tidak SOHEH BELAKA. Diantara hadith-hadith yang dijadikan hujah mengenai kejadian tersebut ialah : 1- Al-Hafidz Abu Bakar al-Qadhi meriwayatkan daripada al-Hasan, katanya : Maksudnya : "(Nabi s.a.w.) dan Abu Bakar pergi ke gua (Thur) lalu beliau berdua masuk ke dalamnya. Maka datanglah Labah-Labah lalu membuat sarang di atas pintu gua. Orang-orang Quraisy yang datang mencari / memburu Nabi s.a.w. tetapi apabila mereka melihat pintu gua yang telah dibuat sarang oleh Labah-Labah, lalu mereka berkata : "Gua ini tidak di masuki oleh sesiapa." Adalah Nabi s.a.w. sedang bangun bersolat dan Abu Bakar berjaga-jaga. Maka berkatalah Abu Bakar r.a. kepada Nabi s.a.w. : "Saya menebus anda dengan bapa dan ibu saya ! kaum anda itu mengejar anda! Demi ALLAH saya menangis bukan kerana kuatirkan keselamatan diri saya tetapi kerana takut melihat sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas Rasulullah s.a.w." Maka Rasulullah s.a.w bersabda : "Janganlah engkau berduka cita, sesungguhnya ALLAH bersama-sama kita." *** Hadith ini Dhoief (Lemah). Di dalam sanadnya (Rangkai nama periwayat Hadith) terdapat Bassyar bin Musa. Ia seorang yang Dhoief. (Musnad Abu Bakar (Q91/1-2), Silsilah al-Ahadith as-Sohehah 3/1129/260, al-Mizan 1/1180/310-311.) 2. Ad-Dailami meriwayatkan daripada Abu Hurairah, daripada Abu Bakar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda : Maksudnya : "ALLAH telah memberikan ganjaran kepada Labah-Labah yang telah melindungi kami kerana ia telah membuat sarang ke atas aku dan ke atas engkau wahai Abu Bakar, di dalam gua sehingga orang-orang musyrikin tidak melihat kita dan tidak sampai kepada kita." *** Hadith ini Mungkar kerana Abdullah bin Musa as-Salami yang terdapat di dalam sanadnya seorang yang Dhoief (Lemah) dan gurunya seorang yang Majhul (Tidak dikenali). (Silsilah al-Ahadith ad-Dhoiefah wa al-Maudhu'ah 3/1189) Sesungguhnya tidak ada sebuah Hadithpun yang Soheh yang menguatkan Hadith-Hadith tersebut di atas. Malahan Hadith-Hadith tersebut berlawanan dengan hakikat sebenar yang dinyatakan oleh ALLAH di dalam al-Quran : Firman ALAH s.w.t. : Maksudnya : "Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad), maka sesungguhnya ALLAH telah menolongnya. Iaitulah ketika orang-orang Kafir (Musyrikin Mekah) mengusirnya (dari Mekah) sedangkan dia salah seorang dari dua orang ketika kedua-duanya berada di dalam gua, diwaktu dia (Nabi s.a.w.) berkata kepada temannya : "Janganlah engkau berduka-cita, sesungguhnya ALLAH beserta kita." Maka ALLAH menurunkan ketenangan kepada (Muhammad) dan membantu dengan tentera yang kamu tidak melihatnya." (Al-Quran al-Karim, surah at-Taubah ayat 40) Ayat ini menunjukkan dengan jelas bahawa ALLAH memberikan pertolongan kepada Nabi dengan sakinah (ketenangan) dan dengan tentera-tentera yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, iaitulah para Malaikat, bukan dengan Labah-Labah membuat sarang, bukan dengan dua ekor burung Merpati dan sebagainya. Oleh kerana itulah al-Baghawi berkata di dalam tafsirnya : Maksudnya : "Mereka ialah para Malaikat yang turun untuk memalingkan muka dan penglihatan orang Kafir dari melihat Nabi s.a.w." Dalam sebahagian hadith ada yang memperkuatkan pengertian ini. Abu Naim mentakhrijkan daripada Asma' binti Abu Bakar as-Siddiq r.a., katanya : Maksdunya : "Bahawasanya Abu Bakar melihat seorang lelaki menuju ke gua, lalu beliau berkata : "Ya Rasulullah ! dia sedang melihat kita." Rasulullah s.a.w. bersabda : "Tidak ! Sesungguhnya para Malaikat melindunginya sekarang ini dengan sayap-sayapnya." Tidak lama kemudian lelaki itu duduk kencing menghadap kepada mereka berdua. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda : "Wahai Abu Bakar ! Jika dia melihat, tentulah dia tidak melakukan perkara ini." *** Hadith ini Sanadnya Hasan (Baik) (Silsilah al-Ahadith ad-Dhoiefah wa al-Maudhu'ah 3/261-264) Dengan keterangan ini jelaslah kiranya kepercayaan bahawa Nabi s.a.w. dilindungi oleh Labah-Labah dengan sarangnya dan dua ekor burung Merpati yang bersarang di mulut gua Thur itu tidak benar. Oleh kerana itu ianya tidak lebih dari satu Khurafat belaka. Wallahu a'lam bis Sowab. Tulisan penuh di al-qayyim.net/index.php?option=com_content&task=view&id=43&Itemid=65 |
0 komentar:
Posting Komentar