Pages

Sabtu, September 27, 2008

Bergaul Dengan Ulama

Di dalam kitab al-Fushul al-‘Ilmiyyah karya Habib Abdullah bin Alwi al-Haddad, pada fasal 32 menyebut bahawa terdapat beberapa tujuan manusia dalam bergaul dengan orang-orang terpilih (ulama) antaranya:

• Yang paling tinggi dan dan utama adalah mereka yang bersahabat duduk dan bergaul dengan mereka kerana tujuan untuk belajar dari ilmu-ilmu mereka, beradab dengan adab mereka, menyaksikan akhlaq mereka yang mulia dan sifat mereka yang terpuji, amal-amal mereka yang soleh dan juga perkataan-perkataan mereka yang baik. Seterusnya ia cuba
berusaha bersungguh-sungguh setiap waktu untuk mencontohi sifat-sifat
tersebut, berakhlaq dan beramal sholeh seperti mereka. Tiada niat dan
tujuan selain dari itu.

• Golongan seterusnya adalah mereka yang bershahabat, duduk bersama
mereka, bargaul disebabkan rasa kecintaan kepada mereka dan para sifat
mereka yang mengutamakan agama Allah, menegakkan hukum-hukumnya,
menyibukkan diri dengan mengerjakan ketaatan kepadaNya berupa ilmu-ilmu yang bermanfaat, akhlaq yang baik dan amal-amal yang sholih. Ia mencintai mereka semua kerana perkara tersebut dan ingin selalu bergaul dengan mereka serta menuntut diri untuk beramal dan berakhlaq seperti mereka sekadar yang dimungkinkan oleh kelapangan waktu dan dimudahkan oleh keadaan. Dia akan menyesal atas ketidakmampuan ia lakukan seperti mereka dan sangat menginginkan agar beroleh taufiq dan kesempatan untuk itu. Mereka inilah sebagaimana yang disebut dalam hadis:
المرء مع من أحب
Seseorang itu bersama yang di cintainya
من تشبه بقوم فهو منهم
Barangsiapa yang bertasybbuh dengan sesuatu kaum maka ia termasuk dari kalangan mereka.

Ada pula yang bershahabat dan bergaul dengan para ulama dan solehin ini kerana mengharapkan barakah dan doa-doa dari mereka, tanpa mempunyai tujuan atau niat untuk mencontohi akhlaq mereka atau meniru perjalanan hidup mereka. Pun begitu mereka tetap tidak luput dari mendapat keberkatan dan kebaikan dari mereka. Mereka termasuk dalam maksud sepotong hadis qudsi:
هم القوم لا يشقى بهم جليسهم
Mereka itulah kaum yang tidak seorangpun yang duduk dengan mereka akan tertimpa kecelakaan.

Dengan berkat pergaulan itu, membentengi dirinya dari kaum yang zalim, baik dari syaitan-syaitan kalangan manusia dan juga dari jin.

Ada golongan yang bergaul dengan para ulama’ dan solehin ini semata-mata dengan niat supaya diketahui orang. Semoga dengan cara begitu mereka boleh melibatkan diri dalam urusan-urusan yang bercanggah dengan syariat dan lain-lain. Disebabkan orang ramai mengetahui bahawa mereka dekat dan sering bergaul dengan para solehin tersebut, maka tentunya orang ramai tidak bersangka buruk kepada mereka atau berani menuduhnya telah melanggar perkara yang diharamkan syariat. [Pendekatan golongan ini cuba menangguk di air yang keruh]. Golongan inilah yang disebut oleh Imam al-Ghazali dalam bab riya’ iaitu golongan yang berpura-pura mengerjakan pelbagai ketaatan kepada Allah agar dikenal sebagai seorang yang taat. Dengan begitu memungkinkan dia mengerjakan
perbuatan durjana. [Golongan bertopengkan agama]

نسأل الله العافية والحفظ فإنه خير الحافظين

Semoga kita termasuk dalam kategori pertama, kedua atau sekurang-kurangnya yang ketiga. Sesungguhnya Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda (maksudnya): “Dari Abu Musa رضي الله عنه dari Nabi صلى الله عليه وسلم, baginda bersabda: Perumpamaan berkawan dengan orang soleh dan berkawan dengan orang yang jahat adalah seperti orang yang membawa wangian kasturi dan peniup api tukang besi. Orang yang membawa kasturi, samada akan memberikannya kepadamu, atau engkau membeli darinya atau engkau akan mendapati bau harum daripadanya. Sedangkan orang yang meniup api tukang besi, samada dia akan membakar pakaianmu, atau kamu akan mendapati bau yang busuk darinya.

Semoga kita beroleh pelbagai manfaat dari menghadiri majlis, bergaul dan duduk bersama para ulama yang solehin. Semoga keberkatan dari ilmu, amal, akhlaq, asrar dan anwar mereka itu mengalir kepada kita yang serba dhaif.

0 komentar: