Pages

Sabtu, Januari 17, 2009

Syeikh Atiyyah Muhammad Salim

Syeikh Atiyyah Muhammad Salim dilahirkan pada tahun 1346H bersamaan tahun 1925M di kampung Al-Mahdiyyah, Mesir.

Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya, mulai belajar di sekolah ibtidai’yyah (permulaan) di sana selama lima tahun. Pada tahun 1364H, iaitu sewaktu berumur 18 tahun, beliau berhijrah ke Al-Madinah Al-Munawwarah, bekerja dengan ‘Al-Mabarrah Al-Masriyyah Al-Sihhiyyah’, dan di bumi berkat ini beliau memulakan pengajian dalam bidang agama secara mendalam, di Masjid Nabawi dan di rumah-rumah Syeikh.

Bertukar dari seorang pekerja kepada tolibul ‘ilmi. Sewaktu mula-mula tiba di Madinah beliau dapati di Masjid Nabawi pada masa itu terdapat 15 kumpulan halaqat ilmu. Akhirnya halaqah Syeikh Abdul Rahman Al-Afriqi dirasakan paling sesuai dengannya sebagai pelajar baru. Beliau lalu meminta izin dengan Syeikh untuk belajar dengannya, maka bermulalah sejarah pembelajarannya di Masjid Nabawi.


Guru-gurunya

1. Fadhilat Al-Syeikh ‘Abdul Rahman Al-Afriqi –rahimahullah- diantara kitab yang dipelajarinya ialah; Al-Muwatta’, Nailul Authar, Subul Al-Salam, Riyad Al-Solihin, Al-Baiquniyyah. Beliau sempat bersamanya sehingga tahun 1370H.

2. Fadhilat Al-Syeikh Hammad bin Muhammad Al-Ansari -rahimahullah- belajar kitab: Al-Rahabiyyah fi Al-Faraid, Al-Aajurumiyyah fi Al-Nahu.

3. Fadhilat Al-Syeikh Muhammad bin Turki – rahimahullah- belajar kitab: Sahih Al-Bukhari, Sharh Muntaha Al-Iradaat (Fiqh Hanbali).
4. Fadhilat Al-Syeikh Muhammad Ali Al-Harakan. –rahimahullah- belajar kitab: Sahih Al-Bukhari.

5. Fadhilat Al-Syeikh ‘Ammar Al-Jazairi. –rahimahullah- belajar kitab: Sunan Abi Dawud.

6. Syeikh Muhammadul Amin Al-Shanqiti diawal kedatangannya ke Madinah. Sempat menghadiri kuliah tafsirnya di masjid dan belajar nahu, mantiq serta Usul Al-fiqh di rumahnya.

7. Fadhilat Al-Syeikh Al-‘Arnus, Syeikh Ahmad Yasin Al-Khayyari, belajar tajwid.

8. Juga Syeikh Muhammad Zaki.


Pada tahun 1370H, Maahad Ilmi dan Kulliyah Syariah dibuka di Riyad (sekarang Universiti Imam Muhammad bin Saud), Al-Malik Abdul Aziz menarik ramai mashayikh dari Masjid Nabawi ke Riyadh sebagai tenaga pengajar, termasuklah Syeikh Al-Afriqi dan Al-Shanqithi. Beliau telah meminta jasa baik Syeikh Afriqi agar menyampaikan permohonannya untuk menyambung pelajaran ke Maahad yang baru itu, dan beliau memberi jaminan kepada Syeikh sekiranya diterima beliau akan meninggalkan pekerjaannya di Madinah.

Setelah diterima beliau berpindah pula ke Riyadh untuk memasuki Maahad Ilmi Al-Thanawi, sewaktu tiba di Maahad hanya tinggal sebulan lagi dari tarikh peperiksaan fasal awal, beliau telah berjumpa dengan mudir Maahad memohon untuk terus masuk ke tahun tiga dan akan mengambil sekaligus peperiksaan untuk tahun satu dan dua, akhirnya beliau berjaya di dalam peperiksaan tersebut dengan menjadi salah seorang daripada ‘Top Five’. Beliau kemudiannya terus memasuki Kulliyah Syariah dan Kulliyah Al-Lughah Al-Arabiyah secara serentak, beliau juga dapat menamatkan kedua-dua kulliyah tersebut pada tahun yang sama.


Pada masa di Riyad ini beliau mula berhubung dengan ulama’-ulama’ tempatan juga ulama’-ulama’ besar yang datang dari Mesir, diantaranya ialah; Fadhilat Al-Syeikh Abdul Razzaq ‘Afifi, Samahat Al-Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Syeikh Abdul Aziz bin Rashid dan Syeikh Abdul Razak Hamzah –rahimahumullah-. Pada masa yang sama, beliau juga mula berhubung rapat dengan Fadhilatul Walid Al-Syeikh Muhammadul Amin bin Muhammadul Mukhtar Al-Jakani Al-Shanqithi -rahimahullah-, bukan sahaja sebagai seorang murid dengan guru tapi telah dianggap sebagai bapanya. Beliau mendapat bimbingan dan didikan yang berterusan dalam halaqat ilmu bukan saja di rumah, bahkan di masa rehlah dan musafir.

Sewaktu di Riyadh beliau duduk serumah dengan Syeikh dan sempat mengerjakan haji bersama-sama selama empat tahun berturut-turut. Beliau telah bersama Syeikh selama 22 tahun, semenjak kedatangannya pada tahun 1371H sehingga ke akhir hayat Syeikh, iaitu pada waktu dhuha hari Khamis 17 Zulhijjah 1393H di Makkah selepas menunaikan fardhu haji. Almarhum disolatkan di Masjidil Haram Makkah selepas solat zohor dan dikebumikan di perquburan Ma’lah. Selepas kewafatan Syeikh pun beliau masih menggunakan sebutan “Waliduna Al-Syeikh…” yang bererti: Bapa kami… setiap kali menyebut nama Syeikh, samada dalam ceramah atau kuliah yang disampaikan. –semoga Allah SWT mencucuri rahmat yang sangat luas keatas mereka berdua- Aamin.

Beliau direzekikan Allah SWT dapat bersama-sama dengan Syeikh di Riyadh dan di Madinah, ketika rehlah haji selama beberapa tahun, juga di dalam rehlah ke benua Afrika yang bemula di Sudan dan berakhir di Mauritania, yang mana rehlah tersebut memakan masa selama tiga bulan.

Jawatan dan Kerjaya


Sepanjang hidupnya Syeikh ‘Atiyyah telah diberikan beberapa tanggungjawab besar yang mesti dilaksanakan;

1- Sebelum tamat belajar di Riyadh, iaitu semasa di tahun dua kuliah berlaku kekurangan guru, maka pihak kuliah memilih pelajar yang cemerlang sebagai guru dan beliau telah ditugaskan sebagai guru di Maahad Ilmi di Al-Ahsa’ selama empat tahun.

2- Selepas menamatkan pengajiannya di kulliyah beliau dilantik pula sebagai pensyarah di Maahad Thanawi
Riyadh.

3- Kemudian bertukar sebagai pensyarah di Kulliyah Syariah dan Lughah, dalam subjek: Bulugh Al-Maram, Al-Adab fi Sadr Al-Islam dan Ilm Al-Wadh’i (Lughah).


4- Pada tahun 1381H ditubuhkan sebuah majlis khas (Ad-Hoc) pEnubuhan atau pembukaan Universiti Islam Madinah (UIM), sekali lagi Syeikh dipindahkan ke Madinah dengan arahan Samahat Al-Mufti Muhammad bin Ibrahim –rahimahullah- Beliau bersama-sama dengan Fadhilat Al-Syeikh Abdul Aziz bin Baz sebagai Pengerusi Majlis dan dianggotai oleh: Syeikh Abdul Razzaq ‘Afifi, Syeikh Manna’ Khalil Qatthan dan Syeikh Muhammad Al-Abudi. Tempatnya ialah di Sultanah dan kemasukan pelajar adalah 80% dari luar Saudi dan 20% dari Arab Saudi. Pada awal pengajian di Maahad Thanawi dan Kuliah Syariah terdapat seramai 250 orang pelajar.

5- Di UIM beliau ditugaskan sebagai Dekan Hal-Ehwal Akademik (Syu-uun Al-Ta’lim) disamping mengajar subjek fiqh melalui kitab ‘Bidayah Al-Mujtahid’ yang dipilih sebagai muqarrar kerana ia dianggap kitab terbaik untuk subjek ‘Fiqh Muqaran’, dan subjek Usul al-Fiqh ketika Syeikh Mohammad Amin uzur.

6- Sebagai pensyarah jemputan di Al-Maahad Al-‘Ali li Al-Dakwah, Madinah. Juga di bahagian Dirasat ‘Ulya ( Sarjana ) UIM.

7- Akhirnya pada tahun 1384H sekali lagi Samahat Al-Mufti Muhammad bin Ibrahim –rahimahullah- yang juga selaku Ketua Hakim (Ketua Qadhi) mengarahkan agar Syeikh dipindahkan dari UIM ke bidang perundangan sebagai qadhi, dan kekal dengan jawatan tersebut dengan beberapa kenaikan pangkat sampai ke peringkat ‘Qadhi Tamyiz’, sehingga tamat tempoh perkhidmatan (bersara) pada 01 Rajab 1414H.

Mengajar di Masjid Nabawi

Setelah tertubuhnya UIM, diletakkan satu kerusi khas untuk mashayikh UIM menyampaikan kuliah di Masjid Nabawi, tempat tersebut dikenali dengan nama ‘Kerusi Jamiah’. Letaknya di tengah-tengah masjid iaitu di antara dua kawasan terbuka yang sekarang ini diteduhi dengan payung. Kerusi tersebut pada mulanya diduduki oleh Syeikh Muhamad Amin Al-Shanqiti bergilir dengan Syeikh Abdul Aziz bin Baz –rahimahullah- yang pada ketika itu Timbalan Rektor UIM.

Oleh kerana Syeikh Amin selalu uzur tempatnya diganti oleh Syeikh Abdul Qadhir Shaibatul Hamdi manakala Syeikh Ibnu Baz pula sentiasa sibuk dengan tugas yang dipikulnya maka beliau mengarahkan Syeikh ‘Atiyyah menggantikan tempatnya. Syeikh Abdul Qadhir kemudiannya berpindah ke
Riyadh, maka tinggallah Syeikh ‘Atiyyah seorang. Tetapi dua tiga tahun terakhir ini beliau kembali semula menyampaikan kuliahnya secara bergilir dengan Syeikh ‘Atiyyah.

Menurut cerita Syeikh tentang pengalamannya mengajar di Masjid Nabawi, pada asalnya beliau tidak mahu mengambil tempat tersebut, maklumlah kerusi yang asalnya diduduki oleh mashayikh kibar, tapi Samahat Al-Syeikh Bin Baz tetap bertegas agar beliau menerimanya.

Dengan berkat jasa beliau itu akhirnya Syeikh ‘Atiyyah kekal di tempat itu sehingga ke akhir hayatnya, yang bermula pada awal tahun 80-an hijriah (hampir 40 tahun). Bahkan setiap kuliah yang disampaikannya mendapat sambutan yang begitu menggalakan, hadirin terdiri daripada penduduk Madinah dari berbagai lapisan masyarakat; mahasiswa UIM juga para penziarah yang datang bersolat di Masjid Nabawi.


Menurut Syeikh beliau sangat suka mengajar di Masjid Nabawi, walaupun beliau sedang uzur tetapi apabila berada di kerusi untuk menyampaikan kuliah hilang sekejap rasa sakitnya, sehinggakan doktor menasihatinya agar lebih banyak berehat.

Demikian juga kalau ada masalah yang tidak jelas sewaktu murajaahnya, lalu beliau berfikir akan tangguhkan dulu masalah tersebut tetapi berkat majlis ilmu apabila mula kuliah masalah tersebut menjadi jelas seolah-olah telah tertulis di hadapannya.


Jadual kuliahnya ialah selepas solat maghrib sehingga iqamat solat isya’ setiap malam Sabtu, Ahad dan Isnin. Pada bulan Ramadhan pula setiap hari selepas solat asar sehingga setengah jam sebelum masuk waktu maghrib.

Kebiasaannya beliau menyampaikan kuliah yang berkait dengan puasa dan Ramadhan, tafsir ayat-ayat tentang puasa, beberapa peperangan dan lainnya. Pada musim haji pula kuliah beliau mengenai manasik haji serta sejarah ma’alim Madinah.


Ada juga beberapa kuliah tambahan selepas solat isya’ untuk beberapa subjek seperti; matan Al-Rahabiyah fi Al-Faraid, matan Al-Baiquniyyah fi Al-Mustalah, matan Al-Waraqat fi Al-Usul, juga Al-Balaghah dan lain-lain.


Di antara kitab-kitab yang telah diajar di Masjid Nabawi ialah:

1- Al-Muwattha’ karya Imam Malik. Sebanyak dua kali khatam. Dirakam dalam kaset sebanyak 609 kaset (60 min.), 402 kaset (90 min.).

2- Al-Arba’in Al-Nawawiah. 75 kaset.

3- Syarah Matan Al-Baiquniyah fi Al-Mustalah Al-Hadith. 6 kaset.

4- Syarah Matan Al- Rahabiyah fi Al-Faraidh. 13 kaset.5- Syarah Matan Al-Waraqat fi Usul Al-Fiqh. 11 kaset.

6- Beberapa kuliah tafsir Al-Quran; Surah Al-Hujurat, permulaan surah Al-Baqarah, beberapa ayat dari surah Aali ‘Imran.

7- Beberapa kuliah tentang Sirah Nabawiah, peperangan dan tempat-tempat bersejarah di Madinah.

8- Bulugh Al-Maram susunan Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani. Inilah kitab terakhir yang diajar oleh Syeikh di Masjid Nabawi. Terdapat 330 kaset.

Beberapa aktiviti ilmiah selain dari kuliah

Selain mengajar di Masjid dan di rumah, Syeikh –rahimahullah- juga banyak menyertai program-program di dalam Radio dan Television Arab Saudi, semenjak ditubuhkan rancangan ‘Nidaa-ul-Islam’ di radio, kuliah Syeikh sering ke udara dalam rancangan ‘Durusun min Al-Masjid Al-Nabawi’ bergilir dengan Syeikh Abu Bakar Jabir Al-Jazairi -Hafizahullah- , juga dalam beberapa rancangan khas untuk radio.

Beliau juga banyak menyertai program yang diatur oleh ‘Nadi Al-Madinah Al-Munawwarah Al-Adabi’, sebagai ahli panel forum dan sebagainya. Menyertai beberapa muktamar dalam negeri dan luar seperti:

1- Muktamar ‘I’dad Al-Du’at, di UIM.
2-Muktamar Mukafahah Al-Mukhaddirat, di UIM.
3- Muktamar Mukafahah Al-Jarimah, di Kementerian dalam Negeri, Riyadh.
4- Muktamar Ahl Al-Hadith,
di Islamabad, Pakistan.
5- Muktamar Fiqh Islami, di Malaysia. Yang diadakan pada tahun 1384H, untuk membincang beberapa isu mengenai Islam.

Di antara agenda yang dibincangkan ialah mengenai riba, yang sudah sampai ke peringkat diadakan undian untuk menyokong atau membantah riba diharuskan. Pada waktu itu Syeikh -rahimahullah- sudah hilang kesabarannya, beliau bangun meminta izin untuk bercakap, tetapi pengerusi berkata: “Sekarang masa untuk mengundi bukan untuk bercakap”.

Tetapi Syeikh bertegas dengan permintaannya untuk bercakap, kerana keputusan untuk mengundi adalah salah dari segi peraturan dan bercanggah dengan ilmu, tidak boleh diadakan undian sebelum tamat munaqashah dengan semasak-masaknya. Akhirnya pengerusi memberi masa selama dua minit sahaja.

Maka Syeikh terus menyampaikan ceramah tentang pengharaman riba berdasarkan Syara’ dan akal yang disimpulkan dalam empat hujjah. Selepas itu pihak majlis mengambil keputusan masalah ini ditangguhkan dengan tidak ada sebarang keputusan dibuat. Alhamdulillah.


Catatan: Muktamar Malaysia ini sering kali disebut oleh Syeikh dalam kuliahnya juga ketika menjawab soalan yang dikemukakan, khasnya yang berhubung dengan muamalat. Dan apa yang melucukan ialah apabila Syeikh menceritakan pengalamannya melihat orang asli atau orang hutan sewaktu dibawa melawat selepas muktamar itu, seolah-olah penduduk Malaysia masih belum bertamaddun lagi, walaupun cerita lama tapi setelah diulang semula nampak macam baru, sehinggakan semua pendengar dalam masjid turut ketawa, rahimakallah ya Syeikh.

6- Muktamar Al-Dakwah, di Baghdad, sewaktu peperangan dengan

Iran untuk mencari jalan perdamaian Iraq-Iran.

7- Usbu’ Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, di Universiti Imam, Riyadh.


8- Beberapa program yang dianjurkan oleh UIM pada musim thaqafi dan lainnya. Karya-karya ilmiah:


1- “Tatimmah Tafsir (Menyiapkan tafsir) أضواء البيان في إيضاح القرآن بالقرآن” karya Syeikh M. Amin, dari awal Surah Al-Hashri hingga akhir surah An-Nas. Dicetak bersama dwa’ Al-Bayan.

2- تسهيل الوصول إلى علم الأصول . Sebagai teks Usul Fiqh di Maahad Thanawi UIM, ditulis bersama.


3- الأدب في صدر الإسلام . Teks di UIM dan Universiti Imam,

Riyadh, ditulis bersama.

4- الرق في الإسلام . Kitab yang ditulis bersama Syeikh M. Amin.


5- السؤال والجواب في آيات الكتاب . Asalnya siri-siri kuliah yang disampaikan di radio, kemudian dicetak dan dijadikan teks di Kuliah Tarbiah, King Abdul Aziz Universiti.


6- وصايا الرسول صلى الله عليه وسلم Asalnya siri-siri kuliah yang disampaikan di radio, kemudian dicetak dan dijadikan teks di Kuliah Tarbiah, King Abdul Aziz Universiti.


7- في ظل عرش الرحمن . Huraian kepada hadis tentang tujuh golongan yang dapat berteduh di bawah bayangan ‘Arsy.


8- عمل أهل المدينة . Menjelaskan pegangan Imam Malik terhadap amalan ahli Madinah, sekaligus sebagai menolak pendapat Imam Muhammad bin Hasan tentang perkara tersebut bersadarkan kitabnya: الحجة على أهل المدينة .

9- موقف الأمة من اختلاف الأئمة . Penjelasan tentang adab khilaf dikalangan ulama’.

10- آيات الهداية والاستقامة في كتاب الله . Dua jilid. Merupakan siri-siri rancangan yang disiarkan dalam radio.

11- هداية المستفيد من كتاب التمهيد لابن عبد البر . 12 jilid. Susunan baru kepada kitab Al-Tamhid mengikut bab fiqah berdasarkan susunan kitab Al-Muwatta’, yang asalnya disusun mengikut sanad. Susunan ini dibuat selama dua belas tahun.

12- الدماء في الإسلام . Kitab lengkap yang membincangkan tentang darah, asalnya, jenisnya dan hukum mengenainya. Inilah kitab terakhir dicetak semasa hayat muallif -rahimahullah- , pada tahun 1419H-1998m. Fikrah untuk menulis mengenainya bermula pada tahun 1375H memandangkan tidak ada satu kitab atau risalah khusus membincangkan tajuk ini, juga dengan sebab timbulnya segolongan pelajar ilmu yang berpendapat: ‘darah bersih’, sedangkan pendapat tersebut menyalahi ijma’ ulama’ sepanjang 14 abad yang lalu.

13- Kumpulan الرسائل المدنية “Risalah-risalah Madinah”, iaitu 16 buah kitab yang ditulis dalam berbagai-bagai tajuk perbincangan;

14- صلاة التراويح أكثر من ألف عام في مسجد النبي صلى الله عليه وسلم. Kitab ini ditulis untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh setengah kumpulan pelajar yang mengatakan: “Sembahyang terawih lebih daripada lapan rakaat bid’ah”.

15- مع الرسول صلى الله عليه وسلم في رمضان.16- نكاح المتعة في الإسلام.17- زكاة الحلي.18- تعريف عام بعموميات الإسلام ( عقائد – عبادات – معامل.ات ).19- منهج الإسلام في كيفية المؤاخاة والتحكيم بين المسلمين.20- أصول الخطابة والإنشاء.21- معالم على طريق الهجرة.22- حكمة التشريع في تعدد الزوجات وتحديد النسل.23- رمضانيات.24- آداب زيارة المسجد النبوي والسلام على رسول الله صلى الله عليه وسلم.25- مع الرسول صلى الله عليه وسلم في حجة الوداع.26- الإسراء والمعراج من الكتاب والسنة.27- سجود التلاوة.28- مع المرضى.29- العين والرقية والاستشفاء من القرآن والسنة. 30- أعيان علماء الحرمين من عهد الصحابة إلى اليوم.31- موسوعة المسجد النبوي.

Terdapat banyak lagi maqalah-maqalah yang disiarkan dalam “Majalah UIM” dan lainnya. Juga kertas-kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar-seminar dan muktamar-muktamar. Semoga ianya akan dicetak kembali dalam sebuah buku untuk rujukan orang kemudian.

[Alhamdulillah, pada tahun 2006 kebanyakan hasil pena Syeikh telah dibukukan dalam bentuk yang menarik, kecuali beberapa kertas kerja yang disiarkan di dalam majalah / journal UIM belum dikumpulkan, semoga ianya berada dalam perancangan anak-anak beliau] Syeikh juga banyak menjadi Musyrif (penyelia) kepada tesis-tesis Ph.D dan M.A, juga menjadi Munaqish (pembahas) kepada tesis-tesis yang ditulis. Diantara pandangan dan pendapatnya:


Syeikh tidak bersetuju dengan pendapat ahli perundangan untuk men’taqnin’ kan (legislate) hukum-hukum Syariah. Iaitu menjadikan undang-undang Syariah seperti kanun yang lain berdasarkan seksyen, seperti ‘Majallah Al-Ahkam’ yang dibuat dizaman Uthmaniah.

Beberapa kelebihannya

Petah dalam menyampaikan maklumat dengan hujjah yang tersusun dan teratur. Penyampaiannya sungguh menyeronokkan, tanpa disedari azan isya’ telah berkumandang, kadang-kadang diselitkan dengan cerita-cerita lucu untuk menghilangkan rasa jemu atau mengantuk, peyampaiannya dengan penuh semangat, dalam tajuk-tajuk tertentu boleh mengalirkan air mata kesedihan.

Mempunyai pandangan yang luas, tidak suka menimbulkan perkara-perkara yang membawa kepada perpecahan dan perselisihan. Sangat menjaga adab-adab berkhilaf dan suka berbaik sangka dengan semua pihak. Sering memberi mukafaah (bantuan) kepada pelajar-pelajar yang iltizam dengan halaqatnya.

Zikrayat dan Wasiat


Beliau memulakan rehlah ilmiahnya setelah dewasa, sehingga merasakan telah ketinggalan bas (agak terlewat), jadi terpaksalah beliau menggunakan sepenuh masa, usia dan tenaga untuk sampai ke destinasi sewaktu bersama penumpang lain.

Beliau merasakan satu kerugian masa hatta waktu rehat untuk makan tanpa membaca apa-apa maklumat, sehinggakan waktu berjalan menuju ke tempat tajdid wudhu’ pun dirasakan kerugian masa, kerana itu sewaktu makan beliau mendengar akhbar dari radio atau mendengar apa-apa percakapan untuk mengelakkan pembaziran masa tanpa mendapat sebarang maklumat. Pada suatu malam sewaktu berada di Riyadh, selepas solat isya’, beliau membaca kitab Ibnu Jarir At-Tobari -rahimahullah-, kerana terlalu asyik dengan apa yang dibaca tanpa disedari masa berlalu begitu pantas sehinggalah azan subuh berkumandang.


“أقول لطالب العلم: أن يجعل نصب أعينه ألا يجمع بين طلب العلم وشيء آخر…”

Katanya: “Tujuan saya menyebut cerita ini adalah untuk mengingatkan para pelajar agar menumpukan sepenuh perhatian kepada ilmu dengan tidak mencampur-adukkannya dengan urusan lain.”

Beliau juga menceritakan: Saya terjumpa cerita pelik sewaktu menulis riwayat hidup Imam As-Syafie -rahimahullah- : {Ketika datang seorang tamu kerumahnya, dan tidur bersamanya, selepas beberapa waktu Imam tiba-tiba mengejutkan jariah (hamba)nya agar menyalakan lampu, dan beliau pun menulis sesuatu, kemudian disuruhnya jariah memadamkan lampu tersebut, tidak lama kemudian beliau mengejutkan lagi jariahnya, peristiwa sebegitu berulang sebanyak tiga kali pada malam itu.

Setelah itu tamunya berkata kepada Imam: Tuan telah menyusahkan jariah tuan, kenapa tuan tidak nyalakan lampu itu sendiri kemudian memadamkannya, biarkanlah jariah tidur sepuasnya. Imam telah menjawab dengan suatu jawapan yang mengkagumkan: “Kesusahan menghidupkan lampu boleh menyibukkan hati (pemikiran) saya”. “معاناة السراج تشغل قلبي” }.

Sewaktu membaca ungkapan Imam itu saya telah meletakkan tangan di dahi memikirkan: Bagaimana keadaan para pelajar sekarang yang sibuk dengan anak, masyarakat, dan negaranya, tv dan radio pula banyak menghabiskan masa mereka. Semua ini bukan bermakna seseorang itu terus belajar tanpa mencari rezeki, kerana Imam Abu Hanifah seorang peniaga kain, tapi zuruf (keadaan) belajar di Saudi ini berbeza dengan tempat lain, kerajaan telah menyediakan semua kemudahan untuk belajar dan memberi peluang seluas-luasnya untuk menimba ilmu.

Yang pentingnya: Saya telah keluar dari pengembaraan mencari ilmu dengan natijah yang baik, dan tidak ada dalam kehidupan ini yang lebih lazat dan menyukakan daripada ishtighal (sibuk) dengan mencari ilmu”.


Penutup

عن عبد الله بن عمرو بن العاص رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: (( إن اللهَ لا يَقبضُ العلمَ اتزاعاً ينتزعُه من العباد، ولكن يَقبضُ العلمَ بقبضِ العلماءِ حتى إذا لم يبقَ عالمٌ اتخذَ الناسُ رؤساً جهالاً، فسُئلوا فأفتَوا بغير علمٍ فضلُّوا وأضلُّوا )). البخاري، كتاب العلم، باب كيف يقبض العلم؟ رقم 100.


Maksudnya: Jabir berkata beliau mendengar RasululLah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mengambil ilmu (yang diberikan) dengan mencabutnya daripada hambaNya, tapi diambil ilmu itu dengan matinya para ulama’, sehingga apabila tiada lagi orang alim orang ramai akan mengangkat orang-orang jahil menjadi ketua, apabila mereka ditanya (sesuatu perkara/hukum) mereka akan menjawabnya dengan tidak ada ilmu, maka mereka sesat dan menyesatkan”. Al-Bukhari 100. Dalam hadis yang lain RasululLah SAW telah memberitahu: “Setengah dari tanda-tanda qiamat; ialah diangkatkan ilmu…”. Bukhari 80.

Dalam masa yang singkat ini umat Islam telah kehilangan beberapa ulama’ besar, da’i, murabbi dan penulis-penulis yang banyak meninggalkan hasil karya mereka, di antaranya ialah:

1- Samahah Al-Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Mufti Am kerajaan Arab Saudi. Dilahirkan di Riyadh pada 12 Z/Hijjah 1330H. meninggal pada hari Khamis 27 Muharram 1420H, bersamaan 13 May 1999M.

2- Fadhilah Al-Syeikh Umar bin Muhammad Al-Fullatah. Berasal dari Nafatha, Nigeria. Bekas pensyarah dan Setiausaha Agung (Aminul ‘Am) UIM, guru di Masjid Nabawi, telah menyampaikan kuliah maghrib selama berpuluh tahun, tempatnya di belakang tempat muazzin. Di antara pengasas ‘Syukbah Darul Hadis’ Madinah. Meninggal dunia pada hari Rabu 29 Z/Qaedah 1419H, bersamaan 17/3/1999M di Madinah dan dikebumikan di perkuburan Baqi’ berdekatan dengan maqam Sayyidina Ibrahim.

3- Fadhilah Al-Syeikh Hammad bin Muhammad Al-Ansari. Bekas pensyarah UIM, menjadi tempat rujukan pelajar dirasat ‘ulya (Post-graduate), khasnya dalam bidang makhtutat (manuskrip). Pakar dalam ilmu Hadis. Dilahirkan di Tad Makkah,
Mali pada tahun 1344H, meninggal dunia pada 21/6/1418H bersamaan 22/10/1997M, di Madinah, dan dikebumikan di perkuburan Baqi’.

4- Fadhilah Al-Syeikh Ali bin Mustafha Al-Tontowi, Bekas pensyarah di beberapa buah universiti; Damsyiq, Baghdad,
Riyadh dan Makkah, da’i dan penulis terkenal. Pernah memegang jawatan Ketua Hakim Damsyiq, Syria. Sering ke udara melalui TV Saudi setiap hari Jumaat. Dilahirkan di Damsyiq pada tahun 1327H bersamaan 1909M, meninggal dunia pada malam Sabtu 3 R/Awal 1420H bersamaan 18/6/99, dikebumikan di perkuburan Ma’ala, Makkah.

5- Fadhilah Al-Syeikh Manna’ Khalil Al-Qattan, tokoh pendidik, murabbi, juga penulis yang terkenal. Dilahirkan di Shansyur, Al-Manufia, Mesir pada tahun 1925M bersamaan 1445H. berhijrah ke Arab Saudi pada tahun 1953M. Pernah bersama-sama dengan jihad Ikhwan. Pensyarah di beberapa buah IPT di Riyadh. Meninggal dunia dalam bulan Julai 1999M.

6- Dr. Syeikh Mustafha Ahmad Al-Zarqa’, anggota ‘Majma’ Al-Fiqhi’ OIC dan Rabitah, juga anggota ‘Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah’
Kuwait. Dilahirkan di Halab, Syria pada tahun 1904M, meninggal pada bulan R/Awal 1420H bersamaan Julai 1999 di Riyadh.

7- Fadhilah Al-Syeikh Abdul Fattah b. Mohd Bashir Abu Ghuddah, seorang murabbi dan penulis yang banyak meninggalkan karya ilmiah, lebih 50 buah kitab, lahir pada bulan Rajab 1336H, bersamaan 1917M di Halab (Aleppo) Syria. Meninggal pada hari Ahad 9 Syawal 1417H di Riyadh dan dikebumikan di perkuburan Baqi’.

8- Fadhilah Al-Syeikh Muhammad Al-Ghazali Al-Saqqa, Mesir. Seorang da’i dan penulis terkenal.

9- Fadhilah Al-Syeikh Muhammad Mutawalli Syaarawi, Mesir. Da’i dan juga penulis, terkenal dengan kuliah tafsirnya yang sering ke udara melalui TV Mesir juga Arab Saudi. Bekas pensyarah di Universiti Umm Al-Qura, King Abdul Aziz, dilahirkan pada 15/4/1911M di Mesir. Meninggal pada 22 Safar 1419H bersamaan 17/6/1998M. Semoga Allah SWT mencurahkan rahmat-Nya yang maha luas serta maghfirah keampunan-Nya kepada mereka dan semua guru kami yang telah mendidik dan mentarbiah kami, juga kedua ibu bapa kami, Aamin Ya Rabbal ‘Alamin.

Sumber biografi Syeikh selain dari catatan peribadi ialah:

1- Akhbar Okaz, bil. 10280. Jumaat 25 R. Akhir 1415H, 30 Sep. 94.
2- Majalah Al-Mujtama’, bil. 1360. 14 R. Akhir 1420H, 27 Julai 99.
3- Majalah Al-Mujtama’, bil. 1364. 13 J. Ula 1420H, 28 Ogos 99.
4- Ulama’ wa mufakkirun ‘araftuhum. M. Al-Majzub. Jilid 2.
5- Muqaddimah kitab ‘Ahkam al-Dima’.

Wafatnya

Beliau telah dijemput kembali bertemu Penciptanya pada hari Isnin, 6 R/Thani 1420H, bersamaan 19 Julai 1999M dalam usia 74 tahun. Setelah menات )anggung beberapa penyakit yang menimpanya dengan penuh kesabaran dan seringkali keluar-masuk hospital. Kembalilah guru kami setelah mencurahkan seluruh tenaga dan usianya untuk menyebarkan ilmu di bumi Rasulullah s.a.w. yang berkat ini. Beliau meninggalkan sepuluh orang anak, lelaki dan perempuan.

Jenazahnya disolatkan di Masjid Nabawi selepas solat asar pada hari tersebut, diiringi oleh ribuan muslimin dan dikebumikan di Perkuburan Baqi’ berdekatan dengan maqam Imam Darul Hijrah, Malik bin Anas. Sesuailah dengan jasa dan khidmatnya dalam menyebarkan ilmu Imam Malik melalui kitabnya Al-Muwatta’ yang dipelajari dan diajarnya selama berpuluh-puluh tahun di Masjid Nabawi. Jarak yang membezakan kedua-dua maqam itu hanyalah dua buah kubur dan satu kubur daripada maqam Sayyidina Ibrahim bin Rasulullah s.a.w..

Menurut cerita orang yang hadir pada petang tersebut (Dr. Mustafha Al-Qudhah dan lainnya): “Sewaktu jenazahnya dibawa ke perkuburan Baqi’ panas matahari musim panas cukup terasa, tiba-tiba datang awan mendung meneduhkan kami yang berada di Baqi’”. Semoga Allah SWT mencurahkan limpahan rahmat dan maghfirahNya keatas rohnya, Amin.

Sumber:
Catatan oleh muridnya, Abu Anas Madani, Abdul Basit bin Abdul Rahman dengan sedikit perubahan, http://www.abuanasmadani.com/?p=85

0 komentar: