Menurut Hamka dalam bukunya Falsafah Hidup, jasa batin yang dapat difikir lebih kekal dari jasa lahir yang dapat dilihat walaupun kemuliaan jasa kekal dari zaman ke zaman. Beliau mengumpamakan Wazir Nizam Muluk mendirikan sekolah-sekolah Islam di seluruh negeri Iraq. Al-Ghazali adalah salah seorang guru yang mengajar di sana. Nama Nizamul Muluk sampai sekarang masih dingat orang juga, tidaklah sekekal peringatan orang kepada al-Ghazali yang mengarang kitab Ihya ‘Ulumiddin. Madrasah di Kufah tidak ada lagi, tetapi kita Ihya masih dibaca orang. Itulah kata-kata Hamka mengenai kemuliaan. Seterusnya beliau menyebutkan:
“Barangsiapa yang telah menanam jasa, satu saat kelak dia akan beroleh hasil dari jasanya itu. Kemuliaan akan menjadi pengiringnya ke mana pun dia pergi. Kalau orang yang sama hidup dengan dia melupakan, namun setelah matinya orang yang kemudian akan membongkar kemuliaan itu kembali dan menyatakannya ke muka khalayak. Orang yang berjasa tidak boleh gamang dan kecewa jika di masa hidupnya dilupakan orang. Orang tidak boleh menyesal jika tinggal di sebuah gubuk yang buruk. Tidak boleh kecewa jika makan minumnya dan pakaiannya tidak semewah orang lain. Sebab kelak buah tangannya akan menjadi modal kemajuan angkatan yang akan datang.”
Hamka menyebutkan buatlah jasa selama hidup untuk sebutan sesudah mati. Sehingga walaupun daging dan tulang belulang kita sudah hancur dimakan tanah dalam kubur, namun nama kita dibaca orang di mana-mana. Kata-kata ini terbukti pada diri beliau sendiri walaupun telah meninggalkan kita hampir 20 tahun. Di mana-mana orang mencari kaset kuliahnya, mencari Tafsir Hamka dan mencari buku-buku Hamka. Hamka menegaskan bahawa sememangnya orang yang berjasa jarang mendapat mendapat pangkat dunia. Sebab pangkat dunia itu didapati dengan berebut-rebut dan berkejar-kejaran, tekan-menekan dan fitnah-menfitnah. Orang yang berjasa tidak pandai berbuat begitu. Dia mahu mendapat kemenangan yang sah, walaupun tidak dilihat dengan mukanya ketika hidupnya. Dia hendak melihat kemenangan itu sesudah matinya, yang kian nyata dan kian lama kian subur.
Kamis, Januari 29, 2009
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
1 komentar:
Menenangkan hati entri ini :)
Posting Komentar