Pages

Rabu, Juni 03, 2009

Benarkah Penyair Mati Muda?

“Poets die young” demikian tanggapan yang pernah dilontarkan terhadap kalangan penyair beberapa tahun yang lalu untuk dicerna. Kajian itu dilakukan oleh Dr James C. Kauffman dari Institut Kajian Pembelajaran, California State University. Dr Kauffman , seorang psikologis, juga Pengarah Learning Research Institute bertempat di San Bernardino, California, USA, membuat kajian tabulasi purata usia kematian berdasarkan gender bagi novelis, penulis drama, penyair dan penulis non-fiksyen (prosa).

Beliau mengumpul data kematian hampir 2,000 penulis ternama di abad ke 19 dan 20 dari Benua Amerika (termasuk Kanada dan Mexico), Turki, China dan Eropah Timur. Cukup menarik kesimpulan yang dibuat atas hasil telitian beliau. Menurut beliau, statistik tidak berbohong. Jelas, penyair mendahului (siapa meninggal dunia dahulu) dalam perbandingan jangka hayat di antara sasterawan (penulis). Maknanya penyair meninggal dunia lebih awal dibandingkan dengan penulis fiksyen (novelis) dan penulis non-fiksyen.

Jika data yang sama dibandingan saintis sosial, penyair cuma dapat hidup purata 59.6 tahun dibanding 73.5 tahun untuk sosial saintis, penulis prosa 70.6 tahun sedangkan penghibur muzikal mendahului penyair dengan purata usia kematian 57.2 tahun.

Angka purata tentunya tidak menggerunkan penyair kerana ramai penyair lain dapat hidup lama. Tetapi jika disoroti beberapa penyair yang mati muda seperti penyair Amerika Sylvia Platia yang meng-gaskan kepalanya ke dalam ketuhar, mati pada usia 30 tahun, tentu kita tersentap seketika. Bunuh diri di kalangan penyair bukan terbatas kepada penyair wanita sahaja, penyair Hart Crane mengakhiri hayatnya dengan terjun ke laut dari dek kapal pada usia 32 tahun. Kadar bunuh diri di kalangan penyair menjangkau lebih 4 % dibandingkan hanya 1 % dalam populasi umum.

Nama-nama penyair lain yang meninggal relatif muda seperti Sarah Teasdale 49 tahun, Anne Sexton 47 tahun dan Dylon Thomas pada usia 49 tahun. Kematian penyair Paul Laurence Dunbar pada usia 30 tahun kerana diserang penyakit Tuberculosis (batuk kering) tentu mengingatkan kita kepada penyair Nusantara teragung, yang amat terkenal dengan puisi AKU “Aku binatang jalang / dari kumpulannya yang terbuang...........”, Chairil Anuar yang juga menjadi korban penyakit Tuberculosis. Tidak seperti bait immortalnya ‘Aku mau hidup seribu tahun lagi’ beliau tewas setelah kalah berjuang melawan penyakit TB pada tahun 1949 dalam usia belia 27 tahun.

Puisi Aku ditulis pada bulan Maret 1943, enam tahun sebelum kematiannya.

Seorang lagi penyair Nusantara yang gugur awal adalah Amir Hamzah yang terkenal dengan puisi Buah Rindu dan Nyanyi Sunyi. Amir Hamzah dipercayai dibunuh pada tahun 1946 dalam usia 35 tahun. Pembunuhnya atau pembunuh-pembunuhnya menyangka dia seorang feudalis, penyokong Belanda; disebabkan dia berdarah bangsawan. Hanya pada tahun 1975, beliau diikhtiraf sebagai Pahlawan Bangsa Indonesia.

AKU
Kalau sampai waktuku
'Ku mau tak seorang kan merayu
Tidak juga kau
Tak perlu sedu sedan itu
Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang
Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang
Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri
Dan aku akan lebih tidak perduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi

Chairil Anwar
Maret 1943

Di Afghanistan juga kehilangan seorang penyair wanita pada usia 25 tahun pada tahun 2005. Beliau ialah Nadia Anjuman, meninggal dunia dalam kontraversi antara di bunuh suaminya atau dia membunuh diri. Pihak keluarga suaminya tidak membenarkan autopsi. Nadia menulis dalam antalogi sajak “Kembangan Gulita Merah.”

Petikan stanzanya:

Tika malam, kata-kata ini datang kepadaku
Atas panggilan suaraku, kata-kata datang kepadaku

Kutidak tahu dari mana datang kata-kata indah itu
Oh bayu segar, larikan kesunyian jauh dariku

Dari gemawan cahaya datang sinar ini
Tiada ada hasrat lain yang mengunjungiku

(terjemahan bebas oleh penulis)

Persoalan timbul sekarang, kenapa penyair mati muda? Apakah penyair merupakan insan yang jiwanya luka, hatinya merana.

Secara apriori, saya mengandaikan penyair menggunakan otak mereka secara berlebihan dan untuk menghasilkan pemikiran puisi terpaksa menggunakan tenaga (baca ATP) yang cukup besar. Otak yang berfikir mempunyai kadar metabolisme yang tinggi. Teori terbaharu mengatakan setiap buah fikiran merupakan perangkaian pelbagai jenis protein yang disintesis sekelip mata sehingga menggunakan tenaga yang besar pula. Akibatnya tenaga untuk menjana imuniti juga terjejas. Apa lagi penyair ramai yang sukar tidur dan menghabiskan masa tidur untuk berkarya.

Semoga paparan ringkas ini mengundang perbincangan antara penyair dan pemuisi. Jika anda ada info mengenai penyair Malaysia yang kembali ke rahmatullah pada usia belia di bawah 40 tahun, jangan ragu-ragu, kongsikan bersama dengan menghantar komen dalam artikel ini.

(Petikan daripada esastera.com tulisan Rahmat Haroun Hashim)

1 komentar:

Penulis Maya mengatakan...

Assalamualaikum W.B.T

Seingat saya, 'Amru Bin Kalthum, penyair Arab Jahili mati pada usia 150 tahun...