Senin, Agustus 10, 2009

Wafatnya Syeikh Abul Hasan al-Kurdi (Kemaskini)

Inalillahi wa inalilahi rojiun.

Ulama qurra' Syria terkenal, Syeikh Abul Hasan al-Kurdi telah wafat pada hari Jumaat lalu, 7 Ogos 2009 bersamaan 16 Syaaban 1430 H. Beliau ialah seorang ulama besar Syam yang tersangat alim di dalam bidang al-Quran. Dan kita berasa kehilangan dengan pemergiannya.

Beliau telah meninggalkan warisan yang besar bagi siapapun yang belajar al-Quran dari generasi lelaki, wanita dan anak-anak di mana sanad al-Qurannya bersambung hingga Rasulullah saw.

Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada kita supaya dapat mencintai dan meneladani ulama, ketika mereka telah pergi dari dunia ini, bumi juga turut bersedih di atas kematian mereka.

Semoga beliau di tempatkan di kalangan para anbiya', syuhada dan orang-orang soleh. Amin.

Biografi Syeikh Abul Hasan al-Kurdi

Beliau telah dilahirkan pada 1330 H bersamaan 1912 M. Nama sebenarnya Abul Hasan Muhyiddin bin Hasan bin Mar'i bin Hasan Agha bin Ali al-Kurdi Ad-Dari. Beliau wafat menemui kekasihnya ketika berusia 97 tahun. Khidmat beliau kepada al-Quran dan ummah tidak dapat dinafikan. Wajahnya yang suci dan mempesonakan itu menzahirkan sifat tawaduknya.

Beliau merupakan syeikh di Markaz Zaid bin Thabit, Damsyik. Majalah Ad-Diya' bilangan ke-4 yang diterbitkan pada Ramadhan 1429 H di Arab Saudi ada menyiarkan sejarah hidupnya melalui sesi temuramahnya bersama Doktor Abdullah bin Muhammad bin Sulaiman Al-Jar Lillah. Bagaimanakah kehidupannya, kesungguhannya dalam menuntut ilmu, akhlaknya bersama keluarga dan pelajar-pelajarnya. Beliau juga memberikan nasihat kepada para penuntut ilmu secara umumnya dan Ahlul Quran secara khusus.

Beliau ialah seorang syeikh yang tersangat zuhud dan dipanjangkan umurnya. Beliau merupakan salah seorang Fuqaha' Besar Syam dan ulama al-Quran yg tersohor. Beliau ialah syeikh di Markaz Zaid bin Thabit di Damsyik, Syria.

Antara ulama paling masyhur yang mengajar dan teliti dalam menyebut huruf al-Quran dengan betul. Pakar dalam membaca al-Quran dengan Qiraat yang pelbagai. Selalu mengkhatamkan al-Quran, kuat berpuasa, kuat bangun malam dan menunaikan haji dan umrah setiap tahun kecuali setelah beliau ditimpa sakit.

Dari kiri: Syeikh Abul Hasan Al-Kurdi, Habib Ali Al-Jufri dan Doktor Nuruddin 'Itr

Sesiapa sahaja yang memandangnya pasti terdetik di hatinya akan kesolehan dan kewarakan Syeikh Abul Hasan al-Kurdi rahimahullah. Pertama kali melihat wajahnya, ketenangan akan meresap ke dalam hati. Beliau sangat tawaduk dan tenang. Sentiasa menghina dan mentohmah dirinya sendiri bahawa beliau seorang yang lemah dan lalai. Beliau sentiasa memakai wangi-wangian, berpakaian bersih dan menjaga penampilan diri.

Beliau seorang yang sangat zuhud. Perkara ini jelas dilihat dari segi pekaian dan penampilannya. Keadaan rumahnya mempamerkan lagi sifat zuhud yg tertanam di hatinya. Perabot di bilik tidurnya amat ringkas, begitu juga katil tempat tidurnya. Beliau pernah diberikan hadiah lalu beliau menolaknya dengan marah, "Jangan rosakkan pembacaan al-Quran kami, sesungguhnya kami mahukan ganjaran yang sempurna dari Allah SWT."

Ketika menunaikan ibadah haji, bekalannya telah dicuri. Lalu beliau berdoa, "Ya Allah, jadikanlah apa yang dicuri daripadaku itu sebagai sebab kepada hidayahnya."

Sumber:
- http://www.sadazaid.com
- http://lamanulama.blogspot.com/2009/08/syeikhul-qurra-abu-hasan-al-kurdi.html
- http://questforthedivine.blogspot.com/2009/08/shaykh-abu-hassan-al-kurdi-passes.html

1 komentar:

Redhwan mengatakan...

Innalillahi wa inna ilaihi raajiuun!