Pages

Rabu, Mei 23, 2012

Drs. Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris, Tokoh dan Penulis Buku Hadith di Malaysia

Seorang tokoh yang sederhana hidupnya dan amat meminati bidang ilmu hadith dan sanggup berbakti demi penyebaran hadith Baginda s.a.w. hingga ke akhir hayatnya.


Drs. Abdul Ghani Azmi bin Haji Idris dilahirkan pada 30 Januari 1933 di Kampung Gaal, Pasir Puteh, Kelantan.


Pendidikan


Setelah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Gaal, Pasir Puteh seperti kanak-kanak yang sebaya dengannya. Beliau kemudiannya telah melanjutkan pengajian agama pondok Wakaf Bunut, Pasir Puteh Kelantan. Manakala di peringkat sekolah menengah pula beliau telah melanjutkan pelajaran di Kota Bharu di Jami’ Merbau al-Ismaili dari tahun 1949 hingga tahun 1945. Semasa di Jamie’ Merbau al-Ismaili beliau merupakan salah seorang murid yang pintar dengan mendapat Syahadah Ibtida’iyyah (Mumtaz) dengan pencapaian keseluruhan sebanyak 81.2.18.


Setelah menamatkan pengajian peringkat Thanawi di Jami’ Merbau, beliau telah menyambung pengajian di peringkat Ijazah Perguruan Tinggi Agama Islam Negeri (P.T.A.I.N) Jogjakarta, Indonesia pada tahun 1955 dengan mengikuti kursus pra perguruan selama 2 tahun hingga 1957. Setelah itu beliau menyambung pengajian lagi di Fakulti Syariah, Institut Agama Islam Negeri (IAIN) al-Jami’ah al-Islamiyah, Jogjakarta Indonesia pada tahun 1957. Semasa di IAIN itu, beliau telah mengikuti kursus Quda’ selama beberapa tahun. Akhirnya beliau berjaya meraih gelar Sarjana Agama dari Fakulti Syariah setelah tamat pengajian.


Semasa menuntut di IAIN, minat beliau dalam bidang ilmu hadith mula membara apabila beliau amat terpengaruh dengan guru-gurunya seperti Prof Dr. T.M. Hasbi as-Siddiqi yang juga banyak memberi sumbangandalam bidang penulisan buku-buku hadith. Selain dari Prof Dr. T.M. Hasbi as-Siddiqi beliau juga banyak berguru dengan tokoh-tokoh besar seperti Prof Dr Hamka, Profesor Qahar Muzakkir, Prof Mokhtar Ali, Dan Pro Dr Abmad Shalabi dari Mesir


Keperibadian


Beliau merupakan seorang bapa yang penyayang terhadap anak-anak dan keluarga.


Seorang kenalan rapat beliau, En. Nik Mohd Yusoff menyatakan, “Drs. Abdul Ghani Azmi adalah seorang yang tekun dan tetap pendirian dalam sesuatu perkara yang dilakukannya.” Malah beliau amat komited dengan tugas dan minat yang mendalam terhadap ilmu hadith sehinggakan beliauakan memperuntukan masa pada setiap hari untuk menulis khususnya dalam bidang hadith.


Tidak Fanatik Mazhab


Drs Abdul Ghani sempat mempertahankan tesisnya yang bertajuk “Masalah Pidana Mati Kerana Riddah Dalam Hukum Islam” pada 20 September 1963 di hadapan suatu kumpulan yang terdiri dari tiga orang pemeriksa iaitu Prof T.M. Hasbi as-Siddiqi, A. Hanafi (M.A.) dan Wasith Aulawiy (M.A.), tepat pada saat beliau dan rakan-rakanya dipanggil pulang justeru konfrantasi yang tengah mengamuk.


Selepas merangkul gelar ‘Drs.’ Abdul Ghani dikenal sebagai seorang anak muda yang tidak fanatic mazhab. Sangat jelas betapa semasa di Indonesia beliau telah terpengaruh banyak oleh guru-gurunya, di samping terbawa-bawa arus pemikiran pemurnian Islam gaya Muhammadiyah yang pada waktu itu sangat dominan di Jogjakarta.


Ketegasannya Terhadap Hadith-Hadith Dhaif dan Maudhu’


Ciri menarik daripada personaliti beliau ialah ketegasannya atau katakanlah keterbukaannya dalam menentang amalan-amalan khurafat dan bid’ah dalam masyarakat umat Islam. Beliau pernah menyatakan kekesalannya tentang banyaknya penggunaan hadith-hadith dhaif dan malahan maudhu’ dalam kehidupan keagamaan umat Islam, yang akibatnya tidak lain ialah: berlakunya penyimpangan amalan dari ajaran atau sunnah Rasulullah saw.


“Saya sangat menyayangkan apabila institusi agama yang sepatutnya berperanan meluruskan amalan umat, tiba-tiba menjadi penyebar hadith dhaif atau maudhu’ pula.” Kata-kata yang pernah diluahkannya.


Menurut beliau, hadis-hadis seperti ini banyak ditemui dalam khutbah-khutbah Jumaat dan khutbah nikah terbitan Majlis-Majlis Agama Islam negeri.


Seperti inilah biasanya nada ucapan beliau dan di atas keyakinannya yang seperti ini, selepas bersara, beliau berusaha mengumpul, mengkaji dan menyemak hadith-hadith yang kemudiannya diterbitkan dalm bentuk buku dan sesetengahnya menjadi siri rencana bersambung dalam majalahPengasuh.


Beliau berpendapat bahawa memang terdapat banyak amalan dan kepercayaan bi’dah dan khurafat dalam masyarakat umat Islam di Malaysia hari ini. Sebahagiannya tidak lain, menurutnya, adalah kerana meluasnya penggunaan ‘hadith-hadith’ yang sebenarnya bukan hadith. Malangnya, kata beliau, “Hampir tidak pernah ada usaha lagi membanteras keadaan seperti ini oleh institusi-institusi yang berkaitan atau individi-individu berwewenang.”


Masih menurut beliau lagi ialah: Turut berperanan dalam penyebaran ini ialah pengajian kitab-kitab jawi yang banyak mengandungi hadith-hadith yang dipertikaikan kesahihannyaa. Juga pengajian kitab-kitab klasik, termasuk tafsir yang memuat unsur-unsur dongeng dan Israiliyyat. “Sayangnya, kitab-kitab inilah yang banyak dipelajari dan dibaca di masjid-masjid dan madrasah-madrasah,” katanya.


Memberi Tumpuan Pada Menulis


Selepas bersara dari menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Kota Bharu dan Ketua ABIM Negeri Kelantan pada Disember 1988, beliau mengunci diri di rumah, memberi perhatian sepenuhnya kepada bidang yang menjadi minatnya selama ini iaitu menulis, tetapi tidak sempat dilaksanakan kerana sibuk dengan tugas jawatan. “Inilah masanya beliau tidak diganggu,” kata isterinya.


Difahamkan, pada waktu ini, beliau bekerja sepanjang hari di kamarnya, berhabis masa dengan membaca, menulis, menyalin, menyemak dan menterjemah. Selama tempoh ini dia tidak kemana-mana, tidak ada kegiatan kemasyarakat, tidak ada seminar, tidak ada politik dan tidak ada segala-galanya. “Beliah hanya keluar rumah sekali-sekala, itu pun lebih banyak atas urusan keluarga,” cerita isterinya.


Menurut isterinya lagi, masa kerja beliau cukup padat, iaitu mulai jam 7.30 pagi hingga 12.00 malam. Tidak ada masa rehat, kecuali untuk makan, mandi dan solat. Jadual ini berlangsung tetap untuk selama lima tahun pertama, ertinya sehingga 1993. Mulai 1994 jadual ini berkurang sedikit, tetapi tetap tidak ada hari yang sunyi dari bunyi ketikan mesin taip di rumahnya (beliau masih menggunakan cara lama dalam menulis).


“Malah, sehinnga pada waktu beliau ditimpa sakit pada 1996 pun, beliau masih lagi aktif menulis dan menyemak pruf untuk buku-bukunya,” lanjut isterinya.


Karya-karyanya


Drs Abdul Ghani telah menghasilkan sejumlah lebih 20 buah tajuk buku, antaranya 13 judul yang telah terbit (tidak termasuk siri tulisan dalam Pengasuh yang terbit hamper setiap keluaran). Buku-buku yang telah terbit antaranya ialah:

1. Himpunan Hadith-Hadith Sahih (3 Jilid)

2. Himpunan Hadith Maudhu’ dan Yang Sangat Dhaif (Jilid 1)

3. Amalan Bi’dah Bulan Muharam, Rejan, Sya’ban dan Ramadhan (al-Hidayah Publishing)

4. Panduan Solat Sunat Rasulullah s.a.w.(Darul Numan)

5. Persoalan Aqidah Islam (terjemahan daripada risalah Syeikh Abdul Aziz Baz)

6. Kewajipan Wanita Islam (Pustaka Aman Press)

7. Kedudukan al-Sunnah Dalam Syariat Islam (terbit sendiri)

8. Dan lain-lain.

Manakala buku-buku yang belum terbit (sesetengahnya dalam pruf akhir):

1. Asas Ulum al-Quran dan Ulum al-Hadith

2. Kutukan dari Langit dan Bumi

3. Himpunan Hadith-Hadith Dhaif (Jilid 1, 2)

4. Solat-Solat Sunat yang bukan Berasal dari Sunnah

5. Dan lain-lain


Pulang Ke Rahmatullah


Setelah mengalami dan menderita sakit barah selama hampir 2 tahun, akhirnya pada hari Sabtu, 4 April 1998 jam 7.30 pagi, beliau menghembuskan nafas yang terakhir di sisi keluarga di rumahnya berhampiran Masjid Telipot, Kota Bharu, Kelantan. Ramai keluarga dan sahabat kenalan mengiringi jenazah beliau ke tempat peristirehatannya yang terakhir.

Beliau meninggalkan seorang balu, Hajah Rashidah binti Haji Wan Ismail, bekas sisiwi Univerisiti Muhammadiyah, Surakarta pada tahun 1961 dan lapan orang anak (empat lelaki dan empat perempuan).


Harapan beliau dalam usahanya untuk mempertahankan kesucian agama Islam melalui pemutihan hadith-hadith Baginda s.a.w. amatlah terpuji dan perlu dilangsungkan. Ternyata usaha murni beliau telah diteruskan oleh anak perempuan beliau Cik Ismah yang kini giat menyempurnakan kajian dan penulisan buku yang pernah diusahakan oleh Drs Abdul Ghani Azmi.


Walaupun terdapat beberapa pandangan yang berbeza antara beliau dengan beberapa orang tokoh penulis Pengasuh dalam menentukan hadith-hadith yang diklasifikasikan sebagai daif namun apa yang boleh diambil pengajaran ialah semangat dan gaya penulisannya yang dapat diterima oleh pembacaPengasuh. Beliau amat mengharapkan agar dengan terbitnya buku “Himpunan Hadith Da’if Dan Maudu’”, “Himpunan Hadith-Hadith Sahih” sebanyak 3 jilid dan banyak lagi dapat memberi manfaat kepada masyarakat Islam dan membantu mereka dalam menjaga kesucian agama.


Disusun oleh:

Muhammad Abdulloh Suradi,

11 Jun 2011.


Rujukan:

1. Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (Jilid 2) diselenggara oleh Ismail Che Daud

2. Kertas Kerja Drs. Abdul Ghani Azmi bin Idris: Tinjauan Terhadap Sumbangan dan Penulisan Beliau dalam Majalah Pengasuh Mengenai Ilmu Hadith oleh Ahmad Faisal bin Abdul Hamid

0 komentar: