Pages

Senin, Mei 19, 2008

Tok Pulau Ubi, Dikagumi Kerana Kuat Ingatan

Sebelum merdeka, kebanyakan ulama dan tokoh agama sangat berpengaruh dalam pembentukan sosial masyarakat kerana mereka cukup disegani berikutan peribadi dan ilmunya.

Kelantan yang juga dikenali sebagai Serambi Makkah adalah antara negeri yang melahirkan ramai tokoh agama termasuk Tok Kenali, ulama tersohor yang dianggap antara tujuh wali Allah di Tanah Melayu.

Selain Tok Kenali, antara ulama besar di negeri Cik Siti Wan Kembang itu ialah Yusuf Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Tok Pulau Ubi.

Yusuf dilahirkan pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad II. Ketika itu, Kelantan dilanda bencana 'angin besar' yang menyebabkan negeri itu menjadi miskin kerana banyak ternakan dan tanaman musnah sehingga ada penduduk terpaksa memakan pucuk kelapa dan pinang untuk hidup, selain ada yang mati kebuluran.

Sebagai anak kesayangan, Yusof cukup bertuah kerana dihantar berguru di Pattani di bawah bimbingan Tuan Guru Abdul Malek dan bapa sepupunya, Abdul Latif Pattani yang turut membiayainya melanjutkan pengajian di Makkah selama 10 tahun.

Sekembalinya ke Sungai Pinang, beliau telah membuka sekolah pondok dalam kawasan rumah Datuk Menteri Che Hasan Muhammad Saleh, tidak jauh dari Pondok Tuan Guru Abdul Malek.

Setelah Mufti Wan Musa meletakkan jawatannya pada 1916, beliau ditawarkan jawatan Mufti Negeri Kelantan tetapi menolak tawaran itu. Jawatan itu diberi kepada Wan Muhammad, abang kepada Mufti Wan Musa.

Yusof kemudian berpindah dari Sungai Pinang ke Pulai Ubi, sebuah kawasan yang tidak berpenghuni, cuma dipenuhi rumput panjang dan semak samun.

Walaupun Yusof tinggal di Pulau Ubi, Datuk Menteri masih menghormatinya, bahkan memberikan sepucuk senapang untuk menjaga keselamatan diri dan kampungnya.
Beliau berhasrat memajukan kawasan itu dan niatnya berjaya kerana selepas itu, ramai yang datang membuka pondok pengajian di situ.

Suasana di situ digambarkan sebagai 'rumput yang panjang telah musnah oleh tangan manusia, kawasan yang lengang mula menjadi riuh rendah dengan suara manusia termasuk bacaan ayat suci al-Quran'. Begitulah Pulau Ubi digambarkan yang penuh dengan aktiviti mendalami ilmu. Pondoknya berkekalan hampir 50 buah sehingga Perang Dunia Kedua.

Anak murid Yusof datang dari pelusuk tempat termasuk Pattani dan beberapa negeri di luar Kelantan. Kemuncaknya ialah selepas seorang guru agama, Husain Mustafa Besut menjadi menantunya dan mereka berdua mengajar silih berganti.

Mengenai peribadinya, beliau dikenali sebagai seorang yang sangat kuat ingatannya. Apabila wujud kemusykilan, beliau memberi jawapan dengan menerangkan nama kitab dan muka suratnya sekali.

Hakikat itu diakui cucunya, Fadhil Abdul Hamid, 57, yang menjelaskan datuknya mempunyai suara nyaring, jika membaca al-Quran di Pulau Ubi, suaranya boleh didengari penduduk Telaga Lanas.

"Datuk saya seorang yang cukup tegas dalam mendidik anak, tidak menegur kesalahan dengan suara lantang untuk menasihati.

"Arwah bapa saya, Abdul Hamid pernah memberitahu bahawa datuk saya adalah seorang yang pendiam dan tidak suka bercakap perkara bukan-bukan, tetapi cukup mesra dengan cucunya.

"Setelah beliau meninggal dunia, bapa saya dan adiknya, Abdullah mewarisi ilmu agamanya, malah sekolah pondok yang dibukanya sebelum ini diambil alih bapa saya," katanya.

Ulama tersohor itu kini mempunyai 251 ahli keluarga merangkumi lima generasi.

Katanya, Yusuf sempat membina pusat pengajian pondok di Kampung Pulau Ubi, namun setelah Jepun menyerang Tanah Melayu pondok berkenaan dipindahkan ke Kampung Telaga Lanas.

Namun, jika berkunjung ke kampung itu, masih ada lagi tinggalan sejarah ulama ini, apabila madrasah yang dibina oleh tokoh agama berkenaan masih kekal hingga kini.

Malah, madrasah itu pada asalnya dibina di kampung kelahirannya di Sungai Pinang, kemudian dipindah ke kampung Pulau Ubi sebelum didirikan kembali di Telaga Lanas oleh Abdul Hamid.

Menyingkap sejarahnya, walaupun ramai guru agama lain sezaman di sekitar Pengkalan Kubor, beliau masih dihormati oleh guru itu kerana kematangannya dalam ilmu agama dan al-Quran.

Satu daripada kelebihannya ialah sebarang perbuatan maksiat tidak boleh dilakukan di kampungnya. Contoh, kalau dibawa ayam sabung, ayam sabung itu tidak dapat bersabung. Kalau bergendang di kawasannya, gendang akan pecah.

"Pernah berlaku kes, seorang pencuri memanjat pokok kelapa untuk mencuri buahnya, ketika turun dia ternampak ular besar di batang pokok dan sejak peristiwa itu, orang ramai segan, hormat dan takut untuk melakukan perbuatan yang menyalahi agama di kampung berkenaan," katanya.

Tok Pulai Ubi juga sangat gemar membaca al-Quran pada waktu malam, suka mentelaah kitab dan pada masa sama mengawal anak muridnya keluar daripada kawasan pondok pada waktu malam.

Petikan:

Ingatan Kuat Tok Pulau Ubi Dikagumi, Berita Minggu, 18 Mei 2008, ruangan Jejak.

0 komentar: