Minggu, Mei 18, 2008

Tuan Guru Haji Yusoff, Menabur Bakti Dalam Pendidikan

Sempena Hari Guru kali ini, saya akan membawa sebuah biografi seorang ulama dan guru yang telah menyerahkan seluruh hidupnya dalam kebaktian pada pendidikan iaitu Tuan Guru Haji Yusoff.

Tuan Guru Haji Yusoff bin Haji Saad dilahirkan pada tahun 1918 di Kampung Relau, Bandar Baharu, Kulim Kedah. Namanya terkenal dan meniti di bibir masyarakat Seberang Perai Selatan dan utara Perak. Beliau telah diasuh dan dididik dengan penuh nilai keislaman serta kasih sayang oleh kedua ibu bapanya. Suasana itu menyebabkan beliau sangat disenangi oleh masyarakat kerana sikap lemah lembutnya tetapi tegas dalam perkara melibatkan akhlak anak-anak muridnya.

Pendidikan Awal

Beliau mendapat pendidikan awal di Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan Kuala Kangsar, Perak iaitu sebuah madradah yang tidak asing lagi dimata masyarakat Islam di sebelah utara. Di situlah lahirnya ramai cerdik pandai dan agamawan yang ulung. Beliau memulakan pengajian bersama sahabat karibnya, Tuan Guru Ustaz Haji Ibrahim, yang juga sepupunnya. Setelah tamat pengajian beliau menyambung pengajian di Pondok Guar Chempedak, Yan Kedah yang ketika itu dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdullah Sanaf, seorang guru yang alim.

Setelah beberapa tahun kemudian beliau melanjutkan pengajian ke Madrasah Daeratul Maarif Wataniah, Kepala Batas yang dipimpin oleh seorang ulama yang sangat disegani ramai, Tuan Guru Haji Abdullah Fahim. Beliau sempat mengutip mutiara-mutiara ilmu dari Abdullah Fahim. Kemudain beliau melanjutkan lagi pengajian ke Madarasah Manabiul Ulum Wamataliu’nujum yang ketika itu dipimpin oleh seorang ulama terkemuka bernama Syeikh Usman Jalaluddin al-Kalantani yang merupakan murid kepada Tok Kenali. Di sini kewibawaan beliau mula terserlah apabila beliau diamanahkan mengetuai usrah-usrah dan majlis muzakarah di madrasah tersebut.

Seterusnya beliau beriltizam untuk meneruskan pengajian ke gedung ilmu yang termasyhur iaitu Makkah. Hasrat beliau itu tercapai apabila tamat pengajian di Manbiul Ulum dan terus melanjutkan pengajian ke Makkah. Ketika di sana beliau sempat bersahabat dengan beberapa tokoh yang terkenal seperti Tuan Guru Abu Bakar Baqir, pejuang kemerdekaan dan juga pengasas Mahaad Ehya Syariff.

Mendirikan Rumah Tangga

Setekah selesai pengajian di Makkah, pada tahun 1953 beliau pulang dan bertemu jodoh dengan Hajah Kalsom Haji Putih adik perempuan kepada sahabat beliau Tuan Guru Haji Talib bin Haji Putih. Hasil perkongsian hidup dengan Hajah Kalsom,mereka dikurnaikan enam cahaya mata. Salah seorangnya ialah Ustaz Haji Abdul Aziz, yang kini memikul tanggungjawab sebagai mudir Madrasah Irshadiyah al-Asharaf al-Wataniah.

Membuka Madrasah

Pada tahun 1953, beliau telah melihat dan mengkaji perlunya masyarakat tempatan di sekitar daerah Seberang Perai khususnya Sungai Bakap kepada sebuah madrasah atau pusat pengajian yang berteraskan pondok. Oleh sebab itu, beliau telah memilih sebuah perkampungan Islam di Jalan Stesen, Sungai Bakap untuk mendirikan sebuah musolla dan seterusnya menjadi sebuah madrasah. Atas keprihatinan dan bantuan penduduk setempat akhirnya hasrat beliau itu tercapai. Madrasah tersebut dinamakan Madrasah Irsyad al-Ashraf al-Wataniah yang bermaksud Petunjuk dan Penggerak Anak-anak Bangsa.

Dengan tertubuhnya madrasah ini, maka ramailah anak murid yang dating untuk menuntut ilmu. Anak muridnya tidak terbatas sekadar di kawasan Sungai Bakap sahaja malah hingga ke daerah Kerian seperti Perit Buntar, Tanjung Piandang, Kuala Kurau, Bagan Serai dan kawasan sekitarnya.

Menyedari suasana pendidikan yang sentiasa berubah, maka beliau telah menerima cadangan yang dikemukakan oleh Tuan Guru Haji Abdul Halim anak saudaranya, untuk membahagikan pengajian kepada dua bahagian iaitu nizami dan umummi. Tuan Guru Haji Yusoff mengajar dan mentadbir bahagian umummi manakala Tuan Guru Haji Abdul Halim mengajar dan mentadbir bahagian nizami.

Tuan Guru Haji Yusoff mengajar dengan penuh rasa tanggungjawab demi memastikan anak-anak muridnya mendapat ilmu pengetahuan yang secukupnya. Oleh sebab itu beliau sangat bertegas dengan tatatertib dan disiplin diri seorang pelajar. Antara perkara yang dititik beratkan ialah, beliau tidak suka pelajar menyimpan rambut panjang dan membaca majalah-majalah yang tidak berfaedah.

Kembali ke Rahmatullah

Sudah menjadi sunnatullah, setiap yang hidup akan meninggal dunia. Begitulah juga dengan Tuan Guru Haji Yusoff. Beliau kembali ke rahmahtullah pada 1 Muharam 1399/20 Disember 1979. Pemergian beliau ini telah meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada anak murid dan masyarakat setempat.

Tugas beliau akhirnya dipangku oleh anak saudaranya Tuan Guru Haji Abdul Halim. Jasa beliau tidak mungkin dapat dilupakan oleh masyarakat setempat kerana telah mewariskan sebuah institusi pendidikan yang sangat berjasa pada anak bangsa. Antara pesanan terakhir kepada anak murdnya ialah: “Aku mengajar supaya kamu boleh belajar”. Begitulah jasa dan sumbangan Tuan Guru Haji Yusoff pada masyarakat setempat. Semoga roh beliau sentiasa dicucuri rahmat oleh Allah SWT.

1 komentar:

joe@azamaju mengatakan...

Assalamualaikum tuan blog,Pertama saya amat berterima kasih pada saudara kerana menulis artikel tentang Tn. Guru Hj. Yusuf, Walau saya tak pernah bertemu beliau,tetap kagumi pencapaiannya dlm bidang ilmu/dakwah n lain-lain.Kebetulan sy sendiri pernah belajar di pondok beliau sekitar tahun 1990-2000. walau tidak terus berguru dgn beliau,syukur jugak la antara ustaz di sana tlh beri ilmu yang baik untuk saya yang mereka sendiri belajar dari Tn.Guru. Terima kasih pada sauda atas usaha yang di lakukan moga allah sentiasa merahmati kita semua.