Pages

Minggu, Agustus 10, 2008

Menyusuri Ulama Pejuang Kemerdekaan

Para alim ulama juga memikul beban amanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw, untuk meninggikan Islam di atas semua kepercayaan dalam menggalas perjuangan menentang penjajah samada Barat atau Timur. Penjajahan Barat yang penuh dengan palitan noda hitam yang bernuansakan penyebaran agama Kristian tidak dibiarkan percuma oleh para alim ulama di setiap inci bumi umat Islam, mereka telah bangkit dengan gagah meniupkan api perjuangan kepada ummat yang sedang lena diulit mimpi. Ulama ini dengan anugerah ilmu telah mencetuskan kesedaran untuk membebaskan diri daripada penjajah jauh lebih awal daripada kelompok nasionalis sekular yang telah menculik buah kemenangan, malah hari ini mandabik dada dengan seluruh kepungan media bahawa merekalah pembebas tanahair daripada belenggu penjajah.
Sebahagian ulama ini telah menjadi korban penjajah samada syahid ditali gantung seperti Umar Mukhtar atau dipaksa mendekam dipenjara tanpa pembicaraan seperti Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, juga dibuang negeri seperti Imam Diponegoro, Uthman Den Fodio, Haji Abdul Rahman Limbong. Selain itu, ulama lainnya pula yang turut berjuang menentang penjajah dan yang ada kaitannya dengan kemerdekaan negara ialah Tokku Paloh, Sheikh Abdullah Fahim, Haji Sulong al-Fatani, Imam Bonjol dan lainnya lagi. Hari ini paparan sejarah di skrin televisyen telah memadamkan kebaktian mereka dan generasi muda dipaksa menerima versi sejarah baru bahawa kemerdekaan telah diperjuangkan oleh golongan elit sekular yang sememangnya menjadi anak suruhan penjajah.

Diharapkan supaya generasi muda menekuni kembali sejarah getir perjuangan kemerdekaan yang telah banyak diselewengkan, bahkan juga kita tidak mampu memadamkan pahatan sejarah kelompok aliran kiri yang turut berjuang menentang imperialisme di seluruh dunia. Ikuti kisah kemerdekaan yang dirintis oleh alim ulama melalui kisah hidup mereka satu persatu di blog ini sepanjang bulan ogos ini sempena bulan kemerdekaan ini.

0 komentar: