Sebagai manusia yang dikasihi Allah, Ahmad memiliki banyak keistimewaan atau karamah. Ianya bersesuaian sekali dengan tingkatan kewaliannya.
Pernah diceritakan mengenai karamahnya, di mana seorang hamba Allah bernama Mubin telah tergerak hatinya untuk memberikan sedikit sumbangan kepada Ahmad. Niatnya itu cuma terlintas di dalam hati dan dia merancang akan memberikan sumbangannya itu kepada Ahmad apabila tiba masanya.
Selang beberapa ketika, seorang pembantu Ahmad tiba-tiba muncul di depan rumah Mubin. Pembantu itu pun memberitahu akan tujuannya datang menemui Mubin, iaitu bagi menyampaikan pesanan Ahmad. Menurut pembantu itu, Ahmad meminta supaya Mubin menunaikan niatnya untuk memberikan sumbangan.
Mubin merasa sungguh hairan. Baru saja hatinya tergerak untuk memberikan sumbangan kepada Ahmad sudah tiba untuk menuntut apa yang dijanjikan. Mubin amat kagum dengan Ahmad kerana boleh mengetahui niat serta gerak hati orang lain. Maka, dia pun dengan tulus ikhlas telah memberikan sumbangan kepada Ahmad sebagaimana niatnya.
Dalam suatu peristiwa lain, salah seorang anak perempuan Ahmad yang masih kecil memintanya menangkap seekor burung yang sangat cantik. Burung itu sedang bertenggek di dahan sebatang pokok. Ahmad segera meminta pembantunya supaya menangkap burung itu.
Pembantu Ahmad pun memanjat pokok itu dengan berhati-hati. Dia khuatir kalau burung itu akan terbang apabila didekati. Bagaimanapun, dia merasa sangat aneh kerana burung itu langsung tidak bergerak dari tempatnya seolah-olah patuh kepada kehendak Ahmad. Pembantu Ahmad pun menangkap burung itu dengan mudah dan diberikan kepada anak perempuan Ahmad untuk dipelihara.
Dalam usia yang semakin meningkat tua, Ahmad telah jatuh sakit. Ramai orang yang datang menziarahinya. Mereka sangat bersimpati melihat penderitaan Ahmad. Apabila ditanya tentang penyakitnya, Ahmad dengan tenang menjawab:
“Orang soleh itu senang dengan musibah atau penderitaan yang dihadapinya, sebagaimana orang yang condong kepada duniawi sangat senang dengan kemewahan hidup!”
Dalam keadaan lemah menanggung sakit, Ahmad bangun untuk berwudhuk. Kemudian beliau menunaikan solat Zohor. Selesai bersolat, Ahmad pun berbaring dengan menghadap arah qiblat.
1 komentar:
Allah ya Rabbi.. Pencipta sekalian Alam.. :")
Posting Komentar