Pages

Rabu, April 15, 2009

Membangun Tradisi Keilmuan Islam

Islam merupakan agama yang amat mementingkan ilmu kepada umatnya. Perkara ini terbukti dengan adanya ayat-ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. yang menggalakkan umatnya, belajar, mengajar dan memberi ganjaran serta kelebihan orang yang berilmu (Taha 114,al-Zumar 9, al-Mujadalah 11). Tradisi keilmuan Islam berkembang pesat dengan tertubuhnya pusat pengajian terkenal di Baghdad, Basrah, Kufah dan Andalus. Begitu juga perkembangan perpustakaan yang menjadi pusat penyelidikan para ilmuan Islam.

Pada mulanya masjid dijadikan pusat penyebaran ilmu sebelum terdirinya kuttab (tadika), madrasah (sekolah) dan Jami’ah (universiti). Ada beberapa faktor yang menyebabkan tradisi keilmuan Islam ini berkembang pesat iaitu galakkan daripada pihak khalifah dengan mendirikan institusi pendidikan, toko-toko buku dan perpustakaan berkembang pesat, guru-guru yang mengajar dengan penuh keikhlasan serta kegiatan pembukuan dan menjilid yang pesat ketika itu.

Kita sungguh kagum apabila membaca sejarah umat Islam dahulu yang begitu berminat membaca , mengajar serta memperkembangkan ilmu. Masing-masing berlumba-lumba untuk memberi saham dalam memajukan institusi pendidikan dengan mewakafkan sebahagian daripada harta mereka.

Dalam tradisi keilmuan Islam, kita dapati ada tiga jenis perpustakaan iaitu perpustakaan umum, perpustakaan khas dan perpustakaan khas-umum. Perpustakaan umum iaitu perpustakaan yang dibuka untuk orang awam seperti perpustakaan di masjid-masjid. Antaranya perpustakaan Basrah dan Perpustakaan al-Azhar. Di Baghdad sahaja terdapat 38 buah perpustakaan umum dan di Cordova terdapat 70 buah perpustakaan.

Perpustakaan khas ialah perpustakaan peribadi yang dimiliki oleh para pembesar dan ulama seperti perpustakaan Fatah bin Haqan (w. 247H) dan perpustakaan Ibn Khasyab (m. 567). Perpustakaan umum-khas iaitu perpustakaan yang khusus untuk para ulama, sarjana dan pelajar. Perpustakaan ini tidak dibuka kepada umum tetapi dibenarkan kepada ahli-ahlinya sahaja. Antaranya Perpustakaan Baitul Hikmah yang didirikan oleh Harun al-Rasyid di Baghdad, Perpustakaan Dar al-Hikmah yang didirikan oleh Hakam Amrillah pada tahun 395H di Kaherah dan Perpustakaan Cordova.

Dar al-Hikmah mempunyai 100 ribu jilid buku dan 600 buah manuskrip. Perpustakaan Cordova yang dibina oleh Hakam al-Mustansir bin Abdul Rahman pada kurun ke 4 hijrah mempunyai enam ratus ribu buah buku dan katalognya berjumlah 44 buah buku. Perpustakaan Sabor di Baghdad yang didirikan oleh Sabor bin Ardashir seorang menteri Ibn Buwaih pada tahun 383H. Perpustakaan ini terdapat seribu al-Quran tulisan tangan dan 10,400 buah buku dalam pelbagai bidang. Di Baghdad terdapat seratus buah toko buku dan ulama yang tinggal di situ mencecah lapan ribu orang.

Begitulah rancaknya kegiatan tradisi keilmuan Islam pada ketika itu sedangkan dunai eropah dalam keadaan kekurangan buku dan perpustakaan. Dalam abad ke 9 Masehi, Perpustakan Katidral di Bandar Kensington hanya menyimpan 356 buah buku sahaja dan Perpustakaan di Hamburg mempunyai 96 buah buku sahaja. Ini menunjukkan orang Islam dari semua peringkat sangat menghargai buku dan ilmu. Mereka berusaha menyalin semula salinan-salinan manuskrip terutama al-Quran, hadis, sastera dan sains. Ibn Ishaq Nadim telah menulis buku yang berjudul al-Fihrist (Katalog) yang membicarakan buku-buku serta pengarangnya sehingga abad 10 masehi. Buku ini merupakan karya bibliografi dan katalog yang paling lengkap tentang manuskrip-manuskrip yang ditulis atau diterjemahkan oleh sarjana muslim. Walaupun begitu, banyak buku-buku tersebut telah hilang akibat peperangan dan pemusnahan perpustakaan. Kegigihan Imam al-Ghazali dalam menuntut ilmu patut dijadikan contoh. Walaupun beliau telah menjadi hujjat al-Islam tetapi masih lagi berguru dalam bidang hadis pada saat-saat akhir hayatnya.

Kegiatan keilmuan ini membuktikan bahawa tradisi keilmuan Islam berkembang pesat pada zaman tersebut bersama dengan kegemilangan tamadunnya. Sesuatu tamadun tidak dapat dibina tanpa tradisi keilmuan. Dengan kata lain, sesuatu tamadun berkembang berseiringan dengan tradisi keilmuan yang mantap dan tuntas. Oleh sebab itu, pembinaan tamadun kini mesti mengambil kira tradisi keilmuan dengan mewujudkan dan memperbanyakkan institusi pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa. Begitu juga, kita perlu melahirkan ulama, sarjana dan pemikir yang berkaliber yang mampu membuat kajian, penyelidikan dan penterjemahan. Tanpa unsur-unsur tersebut institusi pendidikan dan keilmuan tidak akan berkembang.

Perkara yang kita kehendaki sekarang ialah ibukota Kuala Lumpur bukan sahaja terkenal sebagai destinasi pelancongan tetapi juga dikenali sebagai pusat keilmuan sekurang-kurangnya di rantau ini sebagaimana yang berlaku di kota metropolitan yang lain seperti London, Paris, St. Andrew, Sorboune dan Kaherah. Mereka datang bukan sahaja membawa balik barangan elektronik buatan Malaysia tetapi beg-beg mereka penuh dengan buku-buku tulisan ilmuan kita. Inilah yang kita harapkan.

Untuk mencapai impian tersebut maka para sarjana dan intelek Islam tempatan perlu bekerja keras dalam mewujudkan suasana tradisi keilmuan yang harmonis. Perkara-perkara asas seperti buku rujukan perlu diperbanyakkan, penyelidikan mesti diperhebatkan dan perpustakaan perlu ditambah lagi atau sekurang-kurang buku-bukunya. Tabiat menulis di kalangan para sarjana dan ulama perlu dipertingkatkan lagi. Mereka perlu memikir apakah jenis buku serta penyelidikan yang diperlukan oleh masyarakat hari ini terutama dalam menghadapi pasca modernisme. Adakah hanya terbatas kepada buku-buku ringan semata-mata. Para penulis Islam perlu mengenal arus perdana dan keperluan yang harus dihadapi di zaman pasca modenisme ini. Sesungguhnya cabaran ilmuan sekarang lebih sengit dan tajam lalu menuntut penglibatan yang total daripada ilmuan itu sendiri.

Pada hari ini para ulama dan sarjana tidak boleh maju hanya berbekalkan “air liur” semata-mata tanpa menghasilkan buku ilmiah terutama karya-karya agung Melayu yang sewajibnya diterjemahkan ke bahasa antarabangsa. Walaupun kemungkinan kita akan mengalami kerugian dari segi material. Dengan demikian, harapan untuk menjadikan Kuala Lumpur tempat tumpuan peminat-peminat buku untuk berkunjung akan tercapai. Penulis pernah bertemu dengan beberapa orang profesor dari barat (orientalis) yang datang ke Pameran Buku Antarabngsa Kaherah untuk mencari manuskrip dan buku-buku turath untuk disunting dan diterbitkan semula. Mereka sanggup menghabiskan wang yang banyak hanya untuk mencari sebuah manuskrip atau buku. Kegigihan seperti ini yang masih kurang di kalangan sarjana muslim kini berbanding sarjana barat.

Usaha-usaha yang dilakukan oleh Profesor Syed Naquib Al-Attas dengan membeli serta menggalakkan pelajarnya membuat kajian manuskrip harus diberi penghargaan. Begitu juga usaha beliau menubuhkan ISTAC sebagai pusat ilmu di rantau ini. Di rantau Melayu ini, masih banyak lagi tulisan-tulisan manuskrip yang memerlukan kajian dan penyuntingan daripada para pelajar dan sarjana. Usaha ini memerlukan sokongan dari semua pihak terutama dari pihak universiti, Perpustakaan Negara, Institut Terjemahan Negara dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menggalakkan para pelajar dan pensyarah membuat penyelidikan dengan membiayai sepenuhnya projek tersebut. Sepertimana yang kita maklum, asas tradisi keilmuan ini telah mengakar dan merimbun pada zaman kesultanan Melaka. Raja-raja ketika itu turut sama menyumbang dengan menjadikan istana-istana sebagai tempat pertemuan alim ulama dan di situlah mereka berbincang mengenai hal-hal agama. Tradisi ini telah berkembang sehingga kini dan menjadi tanggungjawab generasi kini mempergiatkan lagi usaha supaya Malaysia menjadi pusat tumpuan para sarjana dari seluruh dunia.

Dalam meningkatkan tradisi keilmuan, sikap individu itu sendiri amat penting. Tradisi ilmu tidak akan berjaya hanya bersandarkan kepada bentuk fizikal bangunan institusi pendidikan tersebut dengan segala kemudahannya. Malahan yang lebih utama ialah kesedaran orang awam dalam menghargai ilmu dan budaya membaca yang tinggi. Kadar membaca di kalangan masyarakat Malaysia belum boleh dibanggakan lagi. Di negara-negara maju, kita boleh lihat masyarakatnya sentiasa berkepit dengan buku di mana-mana sahaja. Keadaan ini belum lagi berlaku di negara kita. Kalau adapun mungkin sebilangan kecil sahaja atau membaca bahan-bahan bacaan berunsur hiburan.

Sepatutnya kita mengambil manfaat sebanyak mungkin dalam dunia teknologi maklumat bagi menjana ilmu. Melalui internet, kita boleh mendapat bahan-bahan ilmu dengan mudah dan cepat, mengetahui buku-buku terbaru dalam pasaran dan tesis-tesis yang telah dibuat di universiti-universiti di seluruh dunia. Secara ringkasnya, tradisi keilmuan perlu penyegaran semula dan ia memerlukan sokongan semua pihak terutama mereka yang bergelar ulama, sarjana dan pemikir.

Ulama yang sebenarnya adalah ulama karyawan yang menulis buku-buku untuk generasinya dan generasi kemudian. Perkara ini disentuh oleh Abu Hasan Ali al-Nadwi kepada salah seorang anak muridnya dengan menyebutkan bahawa beliau menulis buku bukan untuk dirinya atau mengaut keuntungan tetapi untuk generasi kamu dan generasi selepas kamu.

http://www.mindamadani.my/content/view/32/3

0 komentar: