Pages

Rabu, April 15, 2009

Ulama Sekarang Kurang Menulis?

Pada zaman ini kita dapati ulama yang menulis dua buah buku setiap tahun pun susah. Itu baru dari satu sudut penulisan. Bagaimana dengan peranan ulama sebagai ‘pewaris nabi’ yang ditugaskan untuk mendidik umat? Mana ada ulama yang benar-benar dijadikan idola, dicontoh akhlak, ibadah dan mindanya? Dijadikan idola sehingga hati umat merasa sangat cinta dan taksub kepadanya sebagaimana yang terjadi kepada ulama-ulama di zaman silam. Benarlah kata seorang ahli agama, di akhir-akhir ini, di akhir zaman ini, ulama yang mujtahid sudah pupus, ibarat padamnya lampu yang menerangi alam. Dan sekarang memang roh alam sedang dalam kegelapan.

Sedikit biografi tiga ulama silam

1. Imam al-Ghazali

Umurnya pendek sahaja iaitu sekitar 54 tahun. Beliau mula mengarang selepas sahaja habis beruzlah di kubah Masjid Umawi di Syria. Umurnya waktu itu sekitar 40 tahun. Ertinya dalam hidupnya dia mengarang sekitar 14 tahun. Dalam waktu yang pendek ini dia sempat mengarang 300 buah kitab yang tebal-tebal, yang bermacam-macam jenis ilmu pengetahuan termasuklah kitab yang paling masyhur iaitu Ihya Ulumuddin, kitab tasauf (dua jilid yang tebal-tebal) dan Al-Mustasyfa (ilmu usul fiqh yang agak susah difahami).

Cuba anda fikirkan, bolehkah manusia biasa seperti kita ini menulis sebanyak itu. Walau bagaimana genius sekalipun otak seseorang itu, tidak mungkin dalam masa 14 tahun boleh menghasilkan 300 buah kitab-kitab tebal, kalau bukan kerana dia dibantu dengan ilmu laduni yakni ilmu tanpa berfikir, yang terus jatuh ke hati dan terus ditulis.

Dalam pengalaman kita kalau ilmu hasil berfikir dan mengkaji, sepertimana profesor-profesor sekarang, dalam masa empat tahun baru dapat membuat satu tesis di dalam sebuah buku.

Kalau satu buku mengambil masa empat tahun, ertinya kalau 14 tahun dapat tiga buah buku. Terlalu jauh bezanya dengan Imam al-Ghazali yang mencapai 300 buah buku itu.

2. Imam Suyuti

Umurnya juga pendek, hanya 53 tahun. Beliau mula mengarang sewaktu berumur 40 tahun dan dapat menghasilkan 600 buah kitab. Dalam masa hanya 13 tahun dapat menghasilkan sebegitu banyak kitab.

Ertinya dia dapat menyiapkan sebuah kitab setiap dua minggu. Kitabnya itu pula tebal-tebal dan tinggi perbahasannya dalam bermacam-macam jenis ilmu. Antara kitabnya yang terkenal Al-Itqan fi Ulumil Quran, Al-Hawi lil Fatawa (dua jilid), Al-Jamius Shaghir (mengandungi matan-matan hadis), Al-Ashbah wan Nadzair, Tafsir Jalalain, Al-Iklil dan lain-lain lagi.

Kalaulah beliau menulis atas dasar membaca atau berfikir semata-mata, tentulah tidak mungkin dalam masa 13 tahun dapat menulis 600 kitab atau tidak mungkin dalam masa hanya dua minggu dapat tulis sebuah kitab. Inilah ilmu laduni.

3. Imam Nawawi

Beliau adalah antara ulama yang meninggal sewaktu berusia muda, iaitu 45 tahun. Beliau tidak sempat berkahwin tetapi banyak mempusakakan kitab-kitab karangannya.

Di antara yang terkenal ialah Al-Majmuk yakni kitab fekah. Kalau ditimbang berat kitab itu lebih kurang 3 kilogram, yakni kitab fekah yang sangat tebal.

Selain itu termasuklah kitab Riyadus Salihin, Al-Azkar dan lain-lain lagi. Untuk mengarang kitab Al-Majmuk saja kalau ikut kaedah biasa yakni atas dasar kekuatan otak, tidak mungkin dapat disiapkan dalam masa dua atau tiga tahun. Mungkin memakan masa 10 tahun. Ini bererti dia mula mengarang semasa berumur 20 tahun. Biasanya di umur ini orang masih belajar lagi.

Tetapi di usia semuda itu Imam Nawawi mampu mengarang bukan saja Al-Majmuk, tetapi turut mengarang kitab-kitab besar yang lain. Ini luar biasa! Biasanya orang jadi pengarang kitab di penghujung usianya.

Ini membuktikan selain dari cara belajar, ada ilmu yang Allah pusakakan tanpa belajar, tanpa usaha ikhtiar dan tanpa berguru. Itulah dia ilmu laduni atau ilmu ilham.

Sesudah kita mengkaji kemampuan ulama-ulama dahulu, kita lihat pula ulama-ulama sekarang ini dan cuba kita bandingkan. Berapa banyakkah buku-buku atau kitab yang telah ditulis oleh mereka sekalipun setelah mereka ada Phd?

Oleh itu, jika ulama-ulama dulu mampu menulis kitab-kitab yang banyak dan tebal-tebal dalam masa yang singkat tentulah ianya bantuan Allah yang luar biasa melalui ilmu laduni atau ilmu ilham yang bersifat wahbi di samping ilmu kasbinya.

Jelaslah sekarang ini sudah tidak ada lagi ulama yang dapat ilmu laduni.

Ini kerana kita semua sudah bersalut dengan cinta dunia dan berkarat dengan mazmumah. Lihatlah zaman sekarang ini, susah untuk kita dapati ulama yang mengarang buku atau kitab. Mereka tidak mampu mengarang kerana kekeringan minda, sibuk dengan dunia, di samping perlu menggunakan otak, berfikir, membaca, banyak mentelaah dan kena banyak rujukan yang tentunya memakan masa yang lama. Ini semua membosankan dan meletihkan, banyak ambil masa serta tidak cukup masa. Mereka tidak dapat pula ilmu melalui saluran ilham. Maka inilah rahsia kenapa ulama sekarang tidak menulis atau kurang menulis.

http://heliconia.wordpress.com/2007/12/21/ulama-sekarang-kurang-menulis

1 komentar:

Harakah Islamiyah mengatakan...

salam shabat..ana baru mengikuti blog anta..ana barminat ttg karya2 yang anta kumpulkan.n ana menyokong penuh usaha2 seperti ini..cuma ada beberapa perkara yang ana rasa kurang tepat..janji Allah, mereka yang bertaraf wali dan beriman dengan iman yang mantap akan sentiasa wujud. bukankah janji nabi islam pasti akan terbela..mereka yang membela islam pasti mempunyai ilmu laduni. kerana kekuatan akal sahaja xkan mampu melawan kafirin dan munafikin dewasa ini..ulama pewaris para nabi jug bukan sekadar yang menulis kitab..mereka yang terus berjuang menegakkan islam juga adalah pewaris para nabi..cukup ramai dari kenalan saya yang sanggup meninggalkan kesenangan dunia dan terus berjuang dierata ceruk untuk menegakkan kalimah Allah..kerana Nabi bukan hanya berkata..tapi nabi juga berjuang seluruh jiwa raga untuk menyampaikan islam..ulama yang mengikut sunnah perjuangan tetapi tidak mengarang kitab, adakah mereka tidak menjadi sebahagian dari ulama pewaris para nabi? minta anta ubah semula pendapat dalam ruangan ulama sekarang kurang menuis..ada ang betul tapi ada yang kurang tepat..