Pages

Minggu, November 08, 2009

Fairuzabadi, Sanggup Membeli Buku Walau Harganya Mahal dan Sukar Didapati

Fairuzabadi ialah seorang ulama yang tawaduk, luas ilmunya di samping mendapat julukan sebagai salah seorang tokoh bahasa dan sastera. Beliau dilahirkan di Kazrawan sebuah kampung berhampiran Syiraz, Iran pada tahun 729 H/1329 M. Nama sebenarnya ialah Abu Tahir Muhammad bin Yakkub bin Muhammad al-Fairuzabadi.

Sejak berusia lapan tahun, Fairuzabadi telah mulai belajar bahasa dan sastera secara mendalam dari ayahnya sendiri dan al-Qawwam bin Najm serta ulama-ulama terkenal lainnya di Syiraz. Minat beliau terhadap bahasa sangat besar, sehingga mengatasi teman-teman lainnya. Beliau juga belajar ilmu feqah, mendengarkan hadis-hadis Sahih Bukhari dari Muhammad bin Yusuf al-Zarandi dan mengkajinya secara mendalam.

Sanggup Membeli Buku Walau Harganya Mahal dan Sukar Didapati

'Tidak ada masa tanpa buku' ialah semboyan dalam hidup Fairuzabadi yang selalu dahagakan ilmu itu, sehingga beliau boleh dikatakan sebagai 'kutu buku' yang kuat. Minat beliau terhadap buku-buku sangat besar sehingga sanggup membelinya walaupun harganya sangat mahal dan sukar didapati. Beliau berani mengeluarkan wang berapa saja untuk sesebuah buku yang diingininya.

Diceritakan bahawa beliau sentiasa berdampingan dengan buku-bukunya sama ada ketika menetap di suatu tempat atau sedang dalam perjalanan. Jika beliau berpergian selalu kelihatan membawa beberapa buah peti yang penuh dengan buku. Beliau akan membaca buku-buku yang dikehendakinya setiap kali berhenti rehat, kemudian ditutupnya dan meneruskan perjalanannya.

Selain terkenal kerana alimnya, Fairuzabadi juga terkenal kerana borosnya, tidak berkira dalam membelanjakan hartanya terutama untuk membeli buku. Apabila sudah tidak punya wang langsung untuk membeli barang keperluan asasnya, beliau menjual beberapa buku koleksinya dan membelanjakan wang hasil dari jualannya itu. Apabila sudah punya wang, beliau membeli buku lagi. Begitulah seterusnya.

Karyanya

Karyanya yang sangat terkenal ialah kamus Al-Muhit, yang telah mendapat sanjungan di serata dunia Islam dan merupakan buku yang paling banyak ditatapi oleh para penulis.

Menetap Di Zabid Sehingga Wafatnya

Ketika berusia lima puluh tahun, Fairuzabadi mengembara ke berbagai negara. Mula-mula pergi ke Syria dan tinggal di sana beberapa masa. kesempatan itu telah digunakan oleh orang ramai untuk mengambil ilmu daripada beliau dan namanya menjadi terkenal.

Fairuzabadi pula mengambil kesempatan untuk bertemu dengan ulama-ulama terkenal di Syria seperti Ibnu Qayyim, Ibnu al-Hamawi, Ahmad bin Mattar An-Nablusi dan lain-lain. Kemudian beliau mengunjungi kota Kaherah dan beberapa kota lainnya di belahan utara sehingga sampai ke India.

Setelah itu, beliau berziarah ke kota Zabid di Yaman dan disambut dengan penuh penghormatan oleh Sultan al-Asraf Ismail bin Rasul yang memerintah Yaman ketika itu. Kebetulan Kadi Besar Yaman iaitu Jamaluddin Ar-Rini baru saja wafat, maka Sultan melantik Fairuzabadi menjadi Kadi Besar. Hubungan Fairuzabadi dengan Sultan Yaman bertambah rapat lagi, kerana seorang puteri Fairuzabadi yang sangat cantik jelita telah dikahwin oleh Sultan Yaman itu.

Diceritakan bahawa Fairuzabadi pernah mempersembahkan sebuah karyanya kepada sultan di dalam sebuah dulang. Sultan telah memenuhkan dulang tersebut dengan wang dirham dan diberikan kepada Fairuzabadi sebagai balasannya. Beliau menetap di Zabid sehingga wafat. Beliau wafat pada tahun 1415 M.

Susunan:
M.A.Uswah,

Sandakan,

9 November 2009.


Rujukan:
Ensiklopedia Para Wali

0 komentar: