Pages

Jumat, Januari 25, 2008

Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau, Merendah Diri dan Kuat Beribadah

Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau dilahirkan pada tahun 1325H/1907M, di Kampung Seri Lemak, Rembau, Negeri Sembilan. Nama sebenarnya ialah Haji Ibrahim bin Haji Muhammad Dahan bin Hasan. Sanad keilmuan beliau yang bersangkut-paut dengan Syeikh Ahmad al-Fathani tidak dapat diragui walaupun tahun kelahiran beliau merupakan tahun ‘pemergian’ Syeikh Ahmad al-Fathani.

Pendidikan Beliau

Tuan guru Haji Ibrahim mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Salak dalam tahun 1916-1922 dengan kelulusan darjah 5. Guru al-Qurannya di kampung ialah Tuan Mumkin Dhahir bin Darus dan kemudian mendalami ilmu tajwid dengan Tuan Haji Muhamaad haji Mustafi. Pengajian kitab-kitab dan Bahasa Arab diikutinya melalui lidah Tuan Guru Haji Mustaffa Haji Mohamad di kuliah yang diadakan di surau Pekan Chengkau, Masjid Seri Lemak dan Masjid Pekan Rembau.

Dalam tahun 1925-1930 Haji Ibrahim melanjutkan pengajian agamanya di sekolah Arab Al-Ahmadiah, Alor Setar dan belajar ilmu falak dengan Tuan Guru Haji Wan Sulaiman Wan Sidik Syeikh Islamiah, Kedah. Beliau kemudiannya memondok pula selama satu tahun setengah. Selain negeri jelapang padi itu menjadi tumpuan menimba ilmu agama, Haji Ibrahim tidak melepaskan peluang untuk menadah kitab dengan di pusat pengajian di Kota Bharu selama 4 tahun. Di sana beliau mendalami ilmu agama dengan beberapa tuan guru terkenal dan mendalami pelajaran ilmu falak yang diminatinya. Haji Ibrahim turut belajar dengan tokoh ulama terkemuka zaman itu iaitu Tok Kenali selama beberapa tahun sebelum ulama besar itu meninggal dunia.

Guru-Guru Beliau

Abdul Razak Mahmud dalam Pengasuh menyenaraikan nama para guru Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau, yang berasal dari Kelantan selain Tok Kenali, mereka ialah Haji Ya’qub Legor, beliau belajar fiqh dan hadis, Haji Saad Kangkung, Haji Ali Pulau Pisang, Haji Wan Musa, beliau belajar tasauf, Haji Umar Sungai Keladi, beliau belajar falak, Haji Abdullah Thahir, Haji Ahmad Hakim, Haji Ya'qub Lorong Gajah Mati, dan Haji Nik Mat Nazhir.

Beberapa orang ulama yang disebut oleh Abdul Razak Mahmud itu adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani dan beberapa orang pula adalah murid Tok Kenali atau bererti cucu murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Daripada para ulama yang tersebut bersanad kepada Syeikh Ahmad al-Fathani dan selanjutnya akan naik lebih jauh ke atas, semuanya dengan sanad dan salasilah yang sah. Selain salasilah dan sanad kepada Syeikh Ahmad al-Fathani juga kepada ulama-ulama lainnya.

Sanad keilmuan Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau melalui Tok Kenali tentang ilmu nahu, ilmu sharaf, dan ilmu-ilmu Arabiyah lainnya, yang naik kepada Syeikh Ahmad al-Fathani dapat dirujuk kepada kertas kerja Ustaz Wan Mohd Shaghir yang diberi judul Sanad Keilmuan Syeikh Ahmad al-Fathani dan Ulama Di Selangor.
Demikian halnya tentang sanad ilmu akidah atau ilmu tauhid sekiranya Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau juga belajar dengan salah seorang murid Syeikh Ahmad al-Fathani sanadnya dapat dirujuk dalam kertas kerja yang sama.

Sanad ilmu-ilmu yang lain, tentang tasauf, sanad Kitab Hikam, Minhaj al-‘Abidin, Ihya ‘Ulum ad-Din, Barzanji, Burdah Bushiri, dan lain-lain, dapat dirujuk dalam kertas kerja Sanad Keilmuan Syeikh Ahmad al-Fathani, Aktiviti Pengajian Pondok Kelantan dan Selangor.

Kitab-kitab Tasawuf yang diajar oleh Tuan Guru Haji Ibrahim disenaraikan seperti yang berikut:
1. Minhaj al-‘Abidin
2. Hikam Ibnu ‘Atha’
3. Ad- Durr an-Nafis
4. Taj al-‘Arus
5. Siyar as-Salikin

Kitab-kitab fiqh dan akidah:

1. Wusyah al-Afrah
2. Mathla’ al-Badrain
3. Daqaiq al-Akhbar
4. Kasyf al-Ghaibiyah
5. Matn al-Jauharah

Semasa berada di Kelantan, beliau telah berguru dengan Haji Wan Musa bin Syeikh Abdush Shamad al-Kalantani Tuan Tabal. Beliau bukan sahaja gigih mengajar malah masih gigih belajar sehingga ke akhir hayatnya.

Semasa berada di Kelantan juga, Tuan Guru Haji Ibrahim telah bertemu jodoh dengan Hajah Esah binti Ujang pada tahun 1933 dan dikurniai 13 orang anak. Setelah gurunya, Tok Kenali meninggal dunia pada 9 November 1933, beliau pulang ke Rembau pada akhir tahun 1935 dan menubuhkan sekolah pondoknya pada tahun 1936.

Mencurah Khidmat

Pada akhir tahun 1935 beliau balik ke kampung dan mula mengajar serta membuka pondok di Kampung Bongek. Allahyarham juga turut dipanggil mengajar dibeberapa surau dan masjid di Tampin dan Johol. Bagi merealisasikan ilmu di dada, beliau menubuhkan Madrasah Islamiah Bongek dalam tahun 1946. Difahamkan setiap tahun hingga tahun 1959, madrasah tetap mengadakan majlis ikhtifal.


Pada tahun 1949, beliau telah menunaikan fardhu haji. Di sana beliau berguru dengan Syeikh Sulaiman Ambon. Dalam tahun 1962 hingga 1968, Haji Ibrahim mengajar secara formal di Sekolah Menengah Undang Rembau. Setahun kemudiannya dilantik memegang jawatan penguatkuasa zakat fitrah baitulmal di Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Tahun 1974, Haji Ibrahim lagi sekali berpeluang mengerjakan haji dan mengadakan ziarah ke Mesir, Turki dan India. Ramai rakan-rakan sepengajian beliau yang turut berbakti dalam menyebarkan ilmu agama seperti Tuan Guru Haji Abdul Wahid Sungai Udang , Haji Abdul Ghani pondok Pasir Mas, Tuan Guru Haji Abdul Aziz Ibrahim di Pendang, Tuan Haji Salleh Kemboja dan Haji Mohd Yatim Zainal Abidin.

Karya-Karya Beliau
Seperti tokoh ulama yang lain, Tuan Guru Haji Ibrahim juga tidak terkecuali menghasilkan karya-karya, penulisan risalah ataupun kitab-kitab untuk pedoman dan rujukan pelajar-pelajarnya. Antara penulisan yang dihasilkan oleh beliau ialah:

1. Nur al-Aulad (1939 dan dicetak berulang kali pada 1949, 1952, 1963, 1975, 1989 dan 1991)
2. Taqwim Sholat bagi kawasan Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka dalam tahun 1954.
3. Shalah al-Ghilman fi ‘Ibadah Rabb ar-Rahman (1976)
4. Risalah kecil mengandungi doa, waktu sholat dan Arah Qiblat, 1976.
5. Risalah mengerjakan haji dan umrah serta teks khutbah jumaat dan hari raya.

Selain itu, beliau juga bertanggungjawab menyusun takwim solat yang digunakan di Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan beberapa negeri lain yang masih digunakan sehingga ke hari ini.
Sifat dan Peribadi Beliau

Berbicara mengenai Tuan Guru Haji Ibrahim, tidak banyak yang dapat dibongkar memandangkan beliau seorang yang merendah diri dan bersifat tidak menonjolkan diri di khalayak ramai.

Menurut Ustaz Fuad bin Kamaludin yang merupakan murid dan tenaga pengajar di Madrasah Al-Islamiah ini, Tuan Guru Haji Ibrahim bukanlah tergolong dalam golongan guru biasa. Tidak keterlaluan jika dikatakan Tuan Guru Haji Ibrahim merupakan seorang ‘murobbi’ dan ‘mursyid’ yang mengamalkan apa yang dituturkan. Sifat berhati-hati yang ada pada Tuan Guru juga tidak dapat diperlekehkan terutama dalam hal-hal yang berkaitan dengan kebersihan dan seterusnya membawa kepada aspek ketaatan dalam beribadah. Tuan Guru Haji Ibrahim juga taat mengamalkan solat sunat tahajud dan solat sunat dhuha dan yang paling penting beliau tidak pernah mengabaikan solat berjemaah terutama bersama isteri dan anak-anaknya.

Kegigihan Tuan Guru Haji Ibrahim dalam menyebarkan dakwah Islamiah juga tidak perlu dipertikaikan. Walaupun beliau tidak banyak mengembara ke serata negeri untuk mengajar, ketekunan dan keikhlasannya mengajar di surau-surau atau masjid-masjid di beberapa daerah di Negeri Sembilan tidak boleh dipandang sebelah mata. Antara masjid yang menjadi persinggahan beliau dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiah ialah Masjid Tanggai Johol, Masjid Bandar Gemas, Masjid di daerah Rembau dan daerah-daerah lain. Amanah yang dipikul dilaksanakan sebaiknya. Walaupun jumlah pelajar yang hadir di masjid hanya tiga orang, beliau tetap bersungguh menyampaikan kuliah tanpa mengenal erti kepenatan.

Ketertiban dan ketaatan Tuan Guru Haji Ibrahim dalam mengerjakan ibadah dan menyampaikan dakwah kepada pelajar-pelajarnya amat dikagumi. Hasil dari didikan dan sifat peribadinya itu tidak hairan sebilangan besar pelajarnya berjaya dalam pelajaran dan berkhidmat dengan kerajaan dan masyarakat sebagai imam, bilal, penceramah bebas dan juga pegawai-pegawai agama.

Tuan Guru Haji Ibrahim adalah antara ulama di Rembau yang berjaya menaikkan nama Rembau sebagai salah sebuah tempat yang aktif dengan aktiviti dakwah. Keupayaan dan kesungguhan beliau menubuhkan madrasah untuk anak watan Rembau memberi kesan yang besar dalam sistem pendidikan beragama anak-anak watan Rembau khasnya, Negeri Sembilan amnya.

Walaupun telah berusia 70 tahun, madrasah Al-Islamiyah masih tetap menjalankan aktiviti-aktivitinya secara terus-menerus sehingga ke hari ini. Kelas pengajian hari Rabu yang dimulakan oleh Tuan Guru Haji Ibrahim pada sekitar tahun 1970-an masih berjalan sehingga ke hari ini.

Wafat Beliau

Tuan Guru Haji Ibrahim meninggal dunia pada 29 Rabiulawal 1418H/3 Ogos 1997. Madrasah Al-Islamiah yang didirikan di atas tanah kepunyaan Tuan Guru Haji Ibrahim dengan perbelanjaan sendiri dan derma dari orang ramai masih berfungsi dengan baik demi meneruskan cita-cita dan usaha murni Allahyarham tuan guru. Kini, madrasah tersebut telah diteruskan oleh cucu Allahyarham sendiri, iaitu Al-Fadhil Ustaz Haji Mohd Khairuddin bin Haji Yusoff.

Pada hari ini, madrasah ini masih berfungsi sebagai pusat kegiatan agama yang aktif. Di samping kelas dewasa, kelas-kelas fardu ain untuk kanak-kanak juga masih bergerak sejak tahun 1957. Sehingga kini, madrasah ini dikenali dengan nama Sekolah Rendah Agama Rakyat Haji Ibrahim.
Rujukan:

0 komentar: