Pages

Rabu, Januari 30, 2008

Tuan Haji Abdul Ghani Haji Awang

Haji Abdul Ghani dilahirkan pada tahun 1888 di Kubang Siam, Kedah. Namun, keluarganya berasal dari Telok Manak, Patani. Haji Abdul Ghani mengaji al-Quran dengan ayah saudaranya Haji Adam di Kubang Siam sehingga khatam beberapa kali kemudian meneruskan pengajiannya untuk melenditkan bacaannya kepada seorang hafiz di Patani bernama Haji Ahmad Jaka. Kemudian, beliau balik ke Kedah dan belajar agama dari bapanya, Haji Awang. Dalam pada itu, beliau berulang-alik ke pondok Tuan Guru Haji Muhammad Saad di Kubang Bongor lebih kurang dua batu dari Kubang Siam.

Setelah dewasa, beliau dihantar pula ke Patani untuk melanjutkan pelajaran agamanya dengan Tok Ayah Bermin, seorang ulama yang mempunyai pondok yang besar di Bermin, Patani. Selepas itu, Haji Abdul Ghani menyambung pula pelajaran pondoknya di Terengganu dengan Tok Sayid. Setelah berada setahun di Terengganu, beliau balik ke Kedah sebelum berangkat ke Mekah.

Di Mekah, beliau tinggal dengan bapa saudaranya bernama Haji Abdul Mutalib. Di samping itu, beliau belajar memasak roti Arab dari Hajah Rahmah yang menjaga makan minum mereka di Mekah. Setiap pagi sebelum subuh, Haji Abdul Ghani akan mengisar sambau membuat tepung dan membakar roti. Setelah masak, roti itu dijunjung atas kepalanya dan dijual di lorong-lorong bandar Mekah.

Selepas subuh Haji Abdul Ghani mempelajari agama dengan beberapa orang guru seperti Syeikh Daud bin Mustaffa al-Fatani. Haji Abdullah Senggora al-Hafiz (bidang pengajian al-Quran), Haji Yahya Reman (pakar ilmu Fiqah), Tuan Omar Sembawa dan Tuan Ahmad Khatib Syarbani.
Haji Abdul Ghani pulang ke tanahair pada tahun 1915 dan tinggal di Kubang Siam dengan keluarganya. Tidak berapa lama di Kubang Siam, Haji Abdul Ghani berangkat ke Pondok Tuan Hussain Kedah di Bagan Ulu, Kuala Merbok. Tuan Hussain meminta Haji Abdul Ghani membantu beliau mengajar lebih 400 orang murid di pondoknya. Beliau kemudiannya dikahwinkan dengan anak gadis tunggal Tuan Hussain bernama Cik Meriam.

Selama lapan tahun Tuan Hussain membuka pondoknya, ramai orang alim yang menjadi rakan karib Haji Abdul Ghani. Di antaranya ialah Tuan Haji Yaakob Legor, Dato' Haji Abdul Rahman Merbok, Haji Ismail bin Sulaiman Kelantan, Haji Khalid Kuala Kangsar, Haji Zabidi Changkat Nering, Perak, Haji Nawawi Telok Intan, Haji Muhamad Saman Kati, Kuala Kangsar, Haji Ghazali Arshad, Bagan Dato', Perak dan Haji Muhammad Yusuf, Bekas Mufti Selangor. Selepas lapan tahun di Bagan Ulu, beliau berpindah pula mengikut Tuan Hussain ke pondok baru di Kampung Selengkoh, sejauh 30 batu ke utara Bagan Ulu.

Sekitar tahun 1922, Haji Abdul Ghani berangkat pergi ke Mekah menunaikan fardu haji sekali lagi dan menemui guru-gurunya di sana. Beliau sampai ke Mekah ketika hampir-hampir tercetusnya peperangan antara Malik Saud dengan pemerintah Mekah Syarif Hussain. Manakala Tuan Hussain, ayah mertuanya sampai di Mekah ketika peperangan sudah pun tercetus. Bagaimanapun Tuan Hussain yang mengetuai rombongan seramai tujuh orang sekeluarga ini selamat pulang ke tanahair. Tuan Hussain membawa tiga orang anak Haji Abdul Ghani iaitu Haji Muhammad Said, Haji Masud dan Haji Abdullah. Dibawanya juga isteri Haji Abdul Ghani iaitu Hajah Meriam di samping mereka suami isteri.

Apabila Tuan Hussain pulang ke Malaysia, Haji Abdul Ghani tidak ikut serta dan hanya pulang pada tahun 1924 ketika keluarga Saudi menyerang dan menduduki Bandar Taif. Haji Abdul Ghani tidak sempat melakukan ziarah ke Madinah kerana keadaan yang tidak aman. Beliau menumpang sebuah kapal India meninggalkan Jeddah menuju ke Pulau Pinang tetapi telah terkandas di Bombay selama tiga bulan. Haji Abdul Ghani bersama penumpang-penumpang lain ditempatkan di sebuah rumah tumpangan bernama "Musafir Khanah". Beliau menawarkan diri menjadi seorang tukang masak di situ. Haji Kassim, pengurus rumah wakaf tersebut membekalkan dua guni beras setiap hari untuk menjamu fakir miskin dan orang-orang yang terkandas.

Apabila Haji Abdul Ghani sampai di Pulau Pinang, beliau terus pulang ke kampungnya di Kubang Siam sebelum melihat anak isterinya di Selengkoh. Haji Abdul Ghani telah memperolehi sekeping tanah seluas sembilan relong di Tandop, mukim Pengkalan Kundur, di selatan Alor Star dan membuka pondoknya dalam tahun 1925. Terdapat 30 buah pondok kelamin dan lapan buah pondok bujang di Tandop, terletak di belakang masjid kampung tersebut. Seperti pondok-pondok lain, pondok Haji Abdul Ghani mengajar pelbagai mata pelajaran umum seperti Nahu, Saraf, Fikah, Tauhid, Tafsir, Hadis dan Usuluddin. Pelajaran membaca al-Quran diajar oleh adiknya Haji Muhammad Isa. Di samping itu, Haji Abdul Ghani juga mengajar kitab-kitab jawi kepada orang-orang kampung. Kepala tala'ah ialah Haji Hussain bin Haji lbrahim yang kemudiannya menjadi imam di Masjid Tandop.

Haji Abdul Ghani yang dikenali oleh orang-orang Tandop sebagai "Tok Syeikh" hanya mengendalikan pondoknya dalam waktu yang singkat. Ini kerana pada tahun 1927, beliau menerima jawatan Kadi dan bertugas di daerah Kulim. Tuan Hussain tidak merestui Haji Abdul Ghani menjadi Kadi dan bertugas di bawah Haji Wan Sulaiman bin Wan Sidek (Syeikh-ul Islam pada tahun 1920 hingga 1935) kerana dia tidak yakin seorang kadi boleh menyemarakkan agama seperti yang boleh dibuat oleh seorang tok guru pondok.

Tidak lama kemudian, Haji Abdul Ghani dilantik memegang jawatan Penolong Kadi Besar Negeri sehingga tahun 1943 dalam zaman pemerintahan Jepun. Bagaimanapun Haji Abdul Ghani diminta menyambungkan perkhidmatannya semula sebagai Penolong Kadi Besar selepas bersara. Perlu dijelaskan sejak 1936, Kedah tidak lagi menggunakan jawatan Syeikhul Islam di dalam pentadbiran Islamnya tetapi diganti dengan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam. Pengerusinya ialah Syeikh Ismail bin Haji Salleh, abang ipar Haji Abdul Ghani. Pada 24 Januari 1951, Haji Abdul Ghani telah terjatuh kerana pitam dan terus menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Sekurang-kurangnya ada tiga buah risalah karangan Haji Abdul Ghani tetapi yang hanya dapat dikesan sebuah sahaja yang bernama "Qurratul 'Ain" pada tahun 1928 iaitu setahun selepas membuka pondoknya di Tandop. Risalah itu membicarakan Tauhid berkaitan dengan "Sifat Dua Puluh" dan "Sifat Nabi Yang Empat". Sungguhpun beliau dilahirkan di Kedah tetapi beliau berbangga dengan tempat tumpah darah datuk neneknya apabila namanya ditulis sebagai "Abdul Ghani Hamzah al-Saiburi". Saiburi ialah sebuah wilayah di Patani di mana terletaknya Telok Manak.

Sumber:
Biografi Ulama Kedah Darul Aman

0 komentar: