Pages

Rabu, Januari 09, 2008

Junaid Al-Baghdadi 2: Beberapa Orang Kristian Masuk Islam Melaluinya

Sebagai memenuhi keinginan dan permintaan saudara semuslim kita di Indonesia yang bertanyakan kepada saya tentang kisah hidup Imam Junaid Al-Baghdadi dengan lebih lanjut melalui YM, setelah beliau membaca artikel saya mengenai Junaid Al-Baghdadi,
http://tamanulama.blogspot.com/2007/12/junaid-al-baghdadi-ulama-sufi-yang.html, di sini sekali lagi saya membawa anda dengan lebih lanjut kisah mengenai Imam Junaid Al-Baghdadi. Selamat menatapinya.

Beberapa Orang Kristian Masuk Islam Melaluinya

Suatu ketika Junaid Al-Baghdadi diserang penyakit mata. Maka dia pun memanggil seorang doktor kristian untuk mengubatnya.

"Jika matamu masih terasa pedih, elakkan dari terkena air." pesan doktor setelah mengadakan pemeriksaan.

Setelah tuan doktor pulang, Junaid ingin mengerjakan solat, tapi wuduknya telah batal. Oleh kerana itu, dia pergi mengambil wuduk tanpa menghiraukan nasihat doktor. Kemudian dia mengerjakan solat, lalu tidur.

Apabila jaga dari tidur, ternyata matanya telah sembuh seperti tidak pernah sakit sebelumnya. Ketika itu juga Junaid mendengar seruan: "Junaid telah rela mengorbankan matanya demi nikmatKu. Sekiranya untuk tujuan yang sama dia berdoa kepadaku untuk semua penghuni neraka, nescaya aku perkenankan doanya."

Pada hari berikutnya doktor yang mengubat mata Junaid datang lagi untuk mengadakan pemeriksaan. Alangkah terkejutnya doktor itu apabila melihat mata Junaid telah sembuh seperti sedia kala.

"Apa yang telah kamu buat?" tanya doktor.

"Aku berwuduk, lalu bersolat." jawab Junaid.

Mendengar keterangan itu, tabib kristian itu sangat terharu dan sedar bahawa agama Junaid adalah benar. Maka dia pun masuk Islam ketika itu juga.

"Kesembuhan ini tentu dari Maha Pencipta, bukan dari makhluk-makhluk ciptaanNya." kata doktor.

Kemudian dia berkata lagi: "Selama ini hatikulah yang sakit, bukan matamu, dan engkaulah pengubatnya."

Pada hari yang lain, tersiar berita bahawa Junaid Al-Baghdadi akan berpidato di sebuah dewan besar. Maka ramailah orang yang datang untuk mendengarnya. Di antara yang hadir ada seorang pemuda beragama kristian, namun tak seorang pun yang tahu bahawa dia kristian. Tiba-tiba pemuda itu mengajukan soalan: "Wahai syeikh Junaid! Rasulullah saw bersabda: "Waspadalah engkau terhadap firasat orang mukmin kerana dia dapat melihat dengan Nur Allah." Apakah maksudnya?"

Junaid menundukkan kepalanya sebentar kemudian diangkatnya semula dan terus memandang ke arah pemuda itu.

"Sesungguhnya masa keislamanmu sudah dekat. Oleh itu, maka Islamlah kamu." jawab Junaid.

Orang ramai terkejut dengan jawapan itu. Akan tetapi ternyata si pemuda itu memang beragama kristian. Maka ketika itu juga dia menyatakan masuk Islam di hadapan Junaid. Ini dilakukannya setelah membuktikan kebenaran sabda Nabi Muhammad saw tersebut.

Kata-Kata Mutiara dari Junaid:

- Aku mencapai bidang kerohanian melalui tiga perkara, iaitu: menjauhkan dunia, berpuasa dan berjaga sepanjang malam.

- Aku ini hamba yang tidak punya kemerdekaan. Aku akan pergi bila Allah menyuruhku pergi, sama ada ke syurga atau ke neraka.

(Dipetik dari buku Ensiklopedia Para Wali oleh Ahmad Muhammad Abdul Ghaffar)

0 komentar: