Pages

Minggu, Januari 27, 2008

Syeikh Mutawalli Sya'rawi, Lampu Kebenaran (Kealiman Yang Dikagumi, Kematian Yang Ditangisi)

Syeikh Mutawalli Sya'rawi dilahirkan pada 15 April 1911/12 Rabiulakhir 1328H di Daqadus, daerah Mit Ghamir, Negeri Daqaliyyah, Mesir. Nama sebenarnya ialah Muhammad bin Mutawalli Sya’rawi Husaini yang nasab keturunan bapanya sampai kepada Husain bin Ali ra. Beliau dibesarkan di kalangan keluarga petani namun kedua orang tuanya terkenal sebagai orang yang soleh dan mulia.

Semasa Kecil dan Pendidikannya

Syeikh Sya'rawi tamat menghafaz al-Quran ketika berusia 11 tahun. Pada tahun 1916, beliau telah memasuki Sekolah Rendah Zaqaziq dan berjaya memperolehi Sijil Sekolah Rendah pada tahun 1923 dan kemudiannya memasuki sekolah peringkat menengah. Beliau terkenal dengan seorang yang sukakan syair dan kesusasteraan Arab sehingga rakan-rakannya melantik beliau menjadi Ketua Persatuan Pelajar dan Ketua Persatuan Kesusasteraan di daerah Zaqaziq.

Syeikh Sya'rawi mengambarkan kampungnya yang begitu indah dengan pemandangan, subur dengan tanaman hijau-hijauan di perlembahan Sungai Nil.

Sejak kecil lagi beliau dikenali dengan nama as-Syeikh al-Amin (yang amanah) dan pernah dipenjara ketika beliau menuntut di Ma'had Zaqaziq selama sebulan akibat mengadakan sambutan sempena mengingati Saad Zaghlul, seorang ulama al-Azhar yang pada ketika itu berjuang menentang kerajaan.

Satu peristiwa yang terpenting dalam hidupnya yang berubah segala-galanya apabila keinginan bapanya untuk meminta beliau melanjutkan pelajaran ke al-Azhar di Kaherah sedangkan beliau hanya ingin tinggal bersama-sama saudaranya di kampung dan menjadi petani. Menurutnya, tidak ada bagi seorang kanak-kanak cita-cita atau keinginan tertentu. Baginya hanya apa yang ada di sekeliling iaitu untuk menjadi petani dan bekerja di situ. Tetapi keinginan ayahnya yang inginkan beliau belajar di Kolej al-Azhar apabila beliau telah tamat menghafaz al-Quran. Namun keinginan beliau untuk menjadi petani menjadikannya membuat berbagai helah agar tidak masuk ke Kolej al-Azhar. Beliau telah memasukkan habuk tanah ke dalam matanya agar menjadi rabun dan ditolak semasa peperiksaan kesihatan. Namun helah ini juga tidak berjaya kerana kolej itu menerima orang buta. Helah kedua ialah gagap dan berbuat lupa ketika ujian hafalan al-Quran. Namun guru tersebut tetap menerimanya sebagai pelajar. Helah ketiga ialah meminta ayahnya membeli kitab-kitab yang besar dan mahal harganya di kedai dengan mengatakan ini adalah silibus kolej. Lalu dibeli oleh ayahnya. Apabila pulang ayahnya berkata : “ Wahai Amin (gelaran yang diberikan oleh ayahnya), janganlah kamu menyangka aku lupa bahawa semua buku-buku tersebut bukanlah silibus untuk kamu. Harga buku silibus kamu tidak sampai 37 Qurus sahaja. Tetapi, wahai anakku, semoga Allah memanfaatkan kamu dengan buku-buku ini.”
Inilah peristiwa yang merubah hidupnya untuk mendalami ilmu dan membaca buku-buku yang muktabar. Beliau telah memasuki Kolej Agama Zaqaziq pada tahun 1930an dan mendapat sijil agama pada tahun 1936.
Beliau telah memasuki Kuliah Bahasa Arab pada tahun 1937 dan beliau aktif dalam persatuan pelajar di Universiti al-Azhar. Beliau menjadi graduan pada tahun 1941 dan menyambung pelajaran dalam Pengkhususan Bahasa Arab (peringkat M.A) dan berjaya dalam tahun 1943. Beliau pernah dipenjara ketika beliau menuntut di Ma'had Zaqaziq selama sebulan akibat mengadakan sambutan sempena mengingati Saad Zaghlul, seorang ulamak al-Azhar yang pada ketika itu berjuang menentang kerajaan. Apabila ia tamat graduan, beliau bertugas sebagai guru agama di Kolej Tanta, kemudian berpindah di Kolej Zaqaziq, kemudian berpindah ke Kolej Agama Iskandariah. Pada tahun 1950, beliau menjadi guru di Kolej al-Anjal di Arab Saudi dan kemudian menjadi pensyarah syariah di Universiti Ummul Qura, Mekkah. Beliau mengajar di situ sehingga tahun 1963. Al-Sya’rawi mengambarkan bahawa kuliah Syariah ini terletak berhampiran dengan Masjidil Haram. Ketika saya mengajar, saya dapat melihat dengan jelas Kaabah dan ini memberi kesan yang besar terhadap jiwa saya, jiwa para guru dan pelajar-pelajar di situ. Pada waktu itu, tidak terlepas seditikpun dari mengingati Allah dan rasul-Nya.

Pada tahun 1963, apabila berlaku krisis antara Gamal Abdul Naser. Presiden Mesir dengan Raja Saud, maka Gamal Abdul Naser melarang beliau untuk ke Arab Saudi dan melantik beliau menjadi Pengarah di Pejabat Syeikh al-Azhar Syeikh Hassan Makmun. Kemudian beliau bertugas di Algeria sebagai Wakil al-Azhar dan menetap di sana selama tujuh tahun. Apabila beliau pulang ke Mesir, beliau dilantik menjadi Pengarah Kementerian Wakaf, Negeri Gharbiyyah kemudian menjadi wakil bahagian Dakwah dan Pemikiran dan kemudian menjadi wakil al-Azhar. Selepas itu, beliau pergi ke Arab Saudi untuk mengajar dui Universiti Raja Abdul Aziz.

Hikmah Anugerah Allah

Beliau telah dikurniakan oleh Allah SWT dengan ilmu yang tinggi, ingatan yang kuat serta peribadi yang sempurna. Sewaktu beliau menjawat Menteri Waqaf Mesir pada November 1976 , seorang doktor pernah berkata : "Aku bimbang apabila kamu menjawat jawatan ini, ia akan menyibukkan kamu dalam banyak perkara". Lalu Syeikh Sya'rowi menyatakan : "Bertenang! Sesungguhnya mereka (kesibukan) tidak akan dapat menewaskan aku."

Syeikh Sya'rawi menjadi Menteri Waqaf Mesir selama 2 tahun, walaupun demikian, jawatan tersebut tidak mengubah pendiriannya sedikitpun. Beliau merupakan seorang yang amat pemurah dan menafqahkan gaji yang diperolehi kepada pelajar-pelajar dan orang-orang faqir. Beliau juga amat cinta kepada kaum keluarga Nabi SAW. Beliau lebih gemar tinggal berhampiran dengan kawasan Hussain dan sentiasa menziarahi maqam Saiyyidah Nafisah serta sentiasa menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul di perkarangan Masjid Hussain.
Syeikh Sya'rawi juga merupakan seorang peniaga yang berjaya. Salah seorang anaknya, Ahmad berkata bahawa ayahnya telah mengkhaskan gaji kepada beberapa orang penduduk yang tinggal di Kaherah, Tanta dan Doqdus (kampung beliau). Beliau juga mengkhaskan bayaran ceramah di radio-radio dan televisyen serta tulisan-tulisan dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah untuk kebajikan. Wang 250 juta Pound Mesir (lebih kurang 73 juta Us Dollar) yang merupakan hadiah daripada Raja Dubai telah didermakan sebanyak 500,000 Junaih (lebih kurang 146,000 Us Dollar) kepada pelajar-pelajar al-Azhar dan yang selebihnya telah didermakan kepada Kementerian Waqaf bagi diedarkan kepada penghafaz-penghafaz al-Quran.

Beliau menjadi menteri sehingga tahun 1978 selama dua tahun. Beliau memegang jawatan ini bukan kerana kepentingan dunia dan dikenali sebagai seorang menteri yang mudah berinteraksi dan bertanggungjawab. Pintu pejabatnya sentiasa untuk para ulamak, kawan-kawan dan pelajar-pelajar untuk berbincang dengannya. Walaupun menjawat jawatan menteri, jawatan tersebut tidak mengubah pendiriannya sedikitpun. Beliau merupakan seorang yang amat pemurah dan menafkahkan gajinya kepada para pelajar dan orang miskin.

Beliau juga terkenal sebagai seorang dermawan dan membuat kebajikan. Beliau mendirikan di kampungnya Daqadus Maahad Al-Azhar, Sekolah Tahfiz, Masjid dan Pusat Kesihatan untuk orang Miskin. Royalti buku-buku beliau didermakan untuk kebajikan.

Menurut anaknya, Ahmad bahawa bapanya telah mengkhaskan daripada gajinya kepada beberapa orang penduduk yang tinggal di Kaherah, Tanta dan kampungnya. Malahan wang yang diperolehi dari ceramah-ceramah, royalti buku dan majalah disedekahkan untuk orang ramai. Beliau pernah menafkah wang berjuta dolar yang dihadiahkan oleh Raja Dubai untuk aktiviti dakwah.

Mengenai kenapa beliau tidak memakai pakaian rasmi al-Azhar (iaitu berjubah dan serban Merah), beliau menjawab sememangnya beliau menyukai pakaian rasmi al-Azhar namun setelah beliau dituduh ingin merebut jawatan syeikh al-Azhar maka beliau menanggalkan pakaian tersebut untuk selamanya. Hal ini terjadi kerana beliau memberikan ciri-ciri dan syarat-syarat kelayakan untuk menjawat jawatan Syeikh al-Azhar kepada Anwar Sadat, Setelah itu orang beranggapan bahawa beliau menginginkan jawatan tersebut.Oleh kerana itu, untuk membuktikan keikhlasannya beliau menanggalkan pakaian yang amat disukainya.

Bintang Pujaan

Syeikh Sya'rawi muncul dalam kegawatan politik dan banyak meninggalkan jasa dan kenangan. Beliau juga adalah seorang Syeikh yang berjaya memenangi hati jutaan rakyat Mesir, orang Arab dan Muslim umumnya. Melalui pegangannya yang begitu kuat kepada Al-Quran dan kebolehannya dalam membakar semangat melalui ucapan yang ringkas dan bernas dan tulisannya yang sesuai untuk semua.
Setiap hari Jumaat selama 20 tahun, beliau muncul dalam "Khawater Sya'rawi" di Masjid Arba'een di kampungnya dan dua masjid di Kaherah. Beliau selalu berkhutbah dan mentafsir al-Quran sehingga berjaya memikat pendengarnya yang terdiri dari kalangan masyarakat biasa. Sungguhpun begitu, para pendengar dari kumpulan sekular yang intelek seperti Syeikh Al-Qimani, sentiasa memerhatikan setiap pergerakan dan kenyataannya seterusnya melaporkannya ke pejabatnya yang terletak di Jalan Al-Ahram di Giza.
Menurut bekas pembantu editor majalah Ras Al-Yusuf, Adel Hamanda, Syeikh Sya'rawi umpama bintang (Bintang Agama). Beliau mempunyai banyak maklumat dan berjaya menarik perhatian orang ramai.
Bersama Pemuda

Beliau adalah seorang ulama’ yang rapat dengan golongan pemuda. Beliau sering mengadakan perjumpaan dan nadwah dengan mereka sehinggakan beliau sendiri yang menjadi ketua yang pertama Majlis Kelab Sukan Daqadus ketika mula-mula ditubuhkan.
Sifat Peribadi dan Rahsia Dirinya

Syeikh Sya’rawi adalah merupakan Saiyidul Abidin yang dikurniakan dengan limpahan cahaya dan dapat melihat dengan cahaya Allah SWT. Sahabat akrabnya pernah beberapa kali mengintip perbuatannya di waktu malam. Ternyata didapati beliau tidak tidur malah didapati sedang asyik sujud mengabdikan diri kepada Allah SWT. Beliau menghidupkan malamnya dengan berdiri, rukuk, sujud dan membaca Al-Quran sepanjang malam sehingga mencapai 70 rakaat sembahyang bertahajjud kepada Allah SWT.

Sewaktu di Madinah Munawwarah dan Mekah, beliau berjalan tanpa menggunakan alas kaki sedangkan darjah kepanasan pada masa tersebut terlalu panas lebih kurang 50 C kerana memuliakan tempat tersebut. Maha Besar Allah sewaktu di Masjidil Haram beliau tidak melaksanakannya seperti orang lain yang pada kebiasannya bertawaf sebanyak tujuh kali. Rasa cintanya dengan Allah terlalu mendalam, walaupun dalam keadaan panas yang amat terik beliau mampu bertawaf sehingga 14, 21 dan 28 kali. Beliau pernah melarang maqam Nabi Ibrahim dipindahkan dari tempatnya dengan berpendapat bahawa maqam tersebut adalah tempat peribadatan haji dan tidak boleh diubah..
Beliau menyayangi kanak-kanak dan insan lain lebih dari anak-anaknya sendiri. Kecintaannya terhadap Rasulullah saw terlalu mendalam sehinggakan beliau sentiasa bertasbih dan bersalawat kepadanya. Insan yang benar-benar ingin mendekatkan dirinya kepada Tuhan seharusnya menjadikan beliau antara contoh muqarrabin yang selayaknya diikuti. Beliau juga adalah seorang yang mantap ilmunya, kuat ingatannya dan insan kamil lagi mutakamil. Sewaktu membeli beliau tidak mengambil baki wang yang dihulurkan malah menyenangkan orang lain dalam muamalahnya. Sifat dermawannya tidak dapat disangkal lagi malah beliau adalah orang yang tidak pernah jemu menyalurkan gajinya di jalan Allah dengan menafkahkannya kepada faqir miskin di Daqadus dan tempat-tempat lain yang memerlukan. Namun beliau bukanlah seorang yang berbangga dengan amalnya malah beliau sentiasa menutupi setiap sumbangannya agar tidak diketahui oleh ‘tangan kirinya’.
Beliau memegang jawatan wazir hanya dari tahun 1976 hingga 1978 kerana memandangkan jawatannya ini tidak memberikan sesuatu kesan untuk dia melaksanakan Islam dengan baik. Bahkan beliau jarang dapat pulang kekampungnya dan melihat keluarganya. Sewaktu diminta oleh sahabatnya untuk membela dirinya yang difitnah pada masa tersebut, beliau akan memperingatkan sahabatnya dengan Ayat Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman dan yang sentiasa mendoakan bagi mereka yang sesat akan mendapat hidayah dan petunjuk dariNya”.
Tidak sampai sebulan sebelum kematiannya, sahabat karibnya, Muhammad As Sa’di menemuinya di hospital dan menceritakan kembali kepadanya tentang mimpinya bertemu dengan Saidatina Zainab yang telah berkata kepadanya “ Katakanlah kepada Sya’rawi, janganlah takut ”. Ternyata beliau masih ingat dengan mimpi tersebut yang menunjukkan beliau bukanlah seorang yang mudah terlupa.
Mujaddid Kurun Ke-20

Allah SWT telah menzahirkan baginya ilmunya, kefahaman yang mendalam, cahaya hatinya penjagaan lisannya dan mewarisi akhlak Rasulullah saw. Beliau sering memberi nasihat dengan firman Allah Taala yang memberi maksud “Katakanlah dan Aku tidak meminta dari mereka sebarang balasan kecuali berkasih sayanglah sesama saudara kaum kerabat”. Kesufiannya amat tinggi. Ketika ditanya oleh As-Sanrawi, “Apakah dia jalan suluk kepada Allah?. Beliau menjawab “Apabila kamu mengosongkan dirimu dari sebarang pergantungan dan menghiasinya dengan manhaj Allah. Maka Allah akan melimpahkan bagimu limpahanNya yang Maha Agung”. Beliau merupakan imam yang sufi dan zuhud. Selepas meninggalkan jawatannya dalam wazir, beliau berkhidmat sebagai ulama’ Al-azhar. Namun beliau enggan memakai pakaian Al Azhar dan beliau hanya memakai kopiah dan jubahnya.

Pandangan Sahabat dan Ulama Mengenainya
Ahmad Bahjat menyifatkan Syeikh al-Sya’rawi seorang ahli tafsir semasa yang dapat menafsirkan ayat-ayat al-Quran dengan uslub yang mudah difahami oleh orang umum. Sementara Omar Hashim, bekas Rektor al-Azhar menyifatkannya sebagai seorang mujadid abad ini. Yusuf al-Qaradawi menyifatkan Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi seorang ahli al-Quran. Beliau merupakan seorang yang dikurniakan Allah kefahaman al-Quran dan rahsia-rahsianya serta pandangan-pandangannya mempunyai kesan kepada masyarakat umum, sama ada golongan terpelajar mahupun tidak. Tidak semua orang yang membaca al-Quran dapat menyelami makna-makna kecuali diberikan Allah kefahaman tersebut. Dan Syeikh al-Sya’rawi adalah orangnya yang diberikan Allah kurniaan tersebut. Menurut al-Qaradawi, Syeikh al-Sya’rawi keseluruhan hidupnya adalah untuk berkhidmat kepada agama Islam dan menyebarkan ilmu dan kematian ulamak merupakan satu kehilangan besar dan musibah kepada umat kerana apabila Allah menarik ilmu adalah dengan kematian ulama. Apatah lagi dalam masa terdekat beberapa ulamak lainpun telah meninggal dunia sebelumnya seperti Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Khalid Muhammad Khalid, Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq (Syeikh al-azhar), Syeikh Abdullah bin Zayd Ali Mahmud, Syeikh Abdul Fatah Abu Ghadah. Menurutnya lagi, sememanng ada yang bersepakat dengan Syeikh al-Sya’rawi dan ada yang berbeza pendapat dengannya seperti pandangannya mengenai pemindahan organ. Beliau tidak bersetuju pemindahan organ. Beliau juga tidak bersetuju untuk mengambil pendekatan menentang kerajaan dan mengambil pendekatan tadaruj sedangkan ada sesetengah golongan inginkan pendekatan kekuatan dan menentang pemerintah. Perkara ini sudah tentu berbeza dengan Syeikh al-Sya’rawi. Namun, kesemuanya bersetuju atas sumbangan dan khidmatnya dalam khidmat kepada agama Islam keseluruhannya, meninggikan kalimatnya dan berdakwah kepada masyarakat dengan bahasa yang mudah dan semasa. Al-Qaradawi menyebutkan lagi, Syeikh al-Sya’rawi merupakan gurunya dalam subjek Balaghah semasa beliau menuntut di Kolej Al-Azhar Tanta. Menurut al-Qaradawi, pada tahun 1417H, apabila beliau dianugerah Pingat Antarabangsa Syahsiyat Islam Dubai, saya telah diminta oleh pihak penganjur untuk menghadiri bagi menghormati beliau. Saya telah hadir dan apabila beliau mengetahui kehadiran saya beliau merasa sungguh seronok dan bergembira. Saya menghadiri majlis tersebut sebagai tanda menghormatinya dan sepatutnya kita sebagai seorang muslimin juga menghormati para ulamak kita seperti Syeikh al-Sya’rawi dan Muhammad al-Ghazali.
Perkahwinannya dan Anak-Anaknya
Syeikh al-Sya’rawi telah berkahwin dalam usianya yang masih muda atas permintaan bapanya yang inginkan beliau berkahwin awal dan isterinya adalah pilihan keluarga. Mereka dikurniakan 5 orang anak iaitu Sami, Abdul Rahim, Ahmad, Fatimah dan Solehah. Mengenai pendidikan anak-anak, al-Sya’rawi menyebutkan bahawa perkara yang penting ialah memberi contoh teladan dan sekiranya kita menunjukkan akhlak yang mulia sudah tentu mereka akan mengikutinya. Adalah menjadi kewajipan kita mendidik mereka dengan akhlak dan perangai yang mulia dan memelihara telinga dari mendengar perkara yang buruk, memelihara matanya dari melihat yang mungkar. Kita hendaklah mendidik anak-anak dengan pendidikan Islam dalam menunaikan amalan dan kewajipan agama, tekun dalam membuat kerja dan menunaikan solat pada waktunya.

Karya-Karyanya

1. Tafsir al-Sya’rawi (Tafsir al-Sya’rawi)
2. al-Isra’ wa al-Mi’raj (Isra dan Mikraj) Terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Dinie Publihers
3. al-Islam wa al-Fikr al-Mu’asir (Islam dan Pemikiran Semasa)
4. al-Islam wa al-Mar’ah (Islam dan wanita)
5. al-Tariq ila Allah (Jalan Menuju Allah)
6. al-Fatawa (Fatwa-Fatwa)
7. Mu’jizat al-Qur’an (Mukjizat al-Quran) Terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Pustaka Nasional)
8. Min Fayd al-Rahman (Dalam Limpahan al-Rahman) Terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Pustaka Yasmeen)
9. al-Qada’ wa Qadar (Qada dan Qadar)
10. al-Salat wa Arkan al-Islam.(Solat dan Rukun-Rukun Islam)
11. Nazarat fi al-Qur’an (Pandangan-Pandangan al-Quran)
12. Hadha Huwa al-Islam (Inilah Islam)
13. al-Hayat wa al-Maut (Kehidupan dan Kematian)
14. Al-Taubat (Taubat)
15. al-zalim wa al-zalimun (Zalim dan orang-orang Zalim)
16. Sirah al-Nabawiyyah ( Sejarah Nabi Muhammad s.a.w.)

Dan masih lagi banyak lagi buku-buku beliau terutama dalam penafsiran al-Quran dan persoalan umat semasa.
Menurut Sya’rawi beliau tidak mengulangi mana-mana buku kecuali al-Quran. Al-Quran telah memberi ufuk yang luas kepada jiwa dan pemikirannya. Beliau menafsirkan al-Quran dengan menamakannya sebagai “Khawatir al-Imaniah”. Ia bukan semata-mata tafsiran ayat demi ayat mengikut tertib mashaf serta menerangkan kalimah dan menafsirkan ayat tersebut.

Wasiat

Sebelum Syeikh Sya' rawi meninggal dunia, beliau telah mengumpulkan anak-anak cucunya lalu berwasiat agar tidak bergaduh dalam masalah harta. Sesiapa yang inginkan harta, ambillah hartanya. Malah beliau berwasiat bahawa perbalahan mereka biarlah pada masalah agama. Pusaka agama yang beliau tinggalkan ialah tafsir al-Quran, hadis dan ilmu-ilmu beliau. Beliau juga berwasiat perkara yang sama kepada seluruh umat Islam.

Saat Kematian

Sebelum kematiannya, beliau telah dapat merasakan saat-saat kematiannya yang makin hampir. Ini terbukti semasa perasmian sebuah masjid di kampungnya tiga bulan yang lalu beliau mengatakan, "Semua harta adalah milik Allah dan setiap apa yang telah diberikan oleh Allah kepadaku, akan aku nafkahkannya pada jalan Allah. Sesungguhnya aku tidak memiliki apa-apa. Harta dan diriku hanya untuk Allah. Seandainya setiap orang merasa bertanggungjawab pada kampung dan bandar tempat kelahirannya, nescaya tempat itulah lebih indah dari bandar-bandar besar di seluruh dunia. Aku ingin tanah tempat kelahiranku ini bakal menimbusi jasadku nanti."

Walaupun sewaktu hayatnya, Kerajaan Saudi telah menawarkan kepada beliau tanah perkuburan di perkuburan Baqi' tetapi Al Fadhil Syeikh menolak dengan mengatakan, "Tanah kelahiranku lebih layak menerima jasadku hingga dia dapat memelukku ketika aku mati sebagaimana aku memeluknya dan memeliharanya ketika hayatku." Malah dua hari sebelum meninggal dunia, beliau berwasiat agar mempersiapkan kuburan untuknya di kampung.

Semasa di akhir hayatnya juga, beliau mengalami kesakitan yang parah pada dadanya menyebabkan beliau tidak mampu untuk hernafas dengan baik dan sakit tulang. Anak saudaranya yang bernama Hajah Suad menyatakan bahawa sewaktu hampir saat kematian, beliau cuba untuk bangun dan berteriak dengan suara yang jelas sehingga didengari oleh orang yang berada di sekelilingnya, "Selamat datang wahai Hussain! Kamu telah datang sendiri berjumpa aku, aku gcmbira dengan kedatanganmu".

Pada pagi Rabu 17 Jun 1998/22 Safar 1419H, sejarah tersulam di dalam diari Islam, setelah mengalami kegeringan akhirnya beliau kembali ke pangkuan Ilahi. Jenazahnya telah dimandikan oleh Dr Omar Hashim dan diimamkan oleh Dr Sayyid al-Tantawi.
Umat Islam ketika itu terkejut dan tersentak apabila seorang Imam yang memperjuangkan Islam sehingga digelar sebagai "Lampu Kebenaran" telah wafat ketika berumur 87 tahun.

Jenazah beliau telah dikebumikan di kampungnya iaitu Doqdus berdasarkan wasiat beliau sendiri. Jenazahnya telah dibawa oleh anak-anak muridnya, penduduk kampung serta semua pencinta beliau. Hampir sejuta orang telah menghadiri pengkebumian beliau.
Pemergian ulama besar ini telah menghimpunkan jutaan manusia sebagaimana mereka
berasak-asak dalam perhimpunan untuk mendengar tazkirah dan kuliah semasa hidupnya. Kegembiraan penduduk kampung Daqadus, Mansurah (Tempat asal al Fadhil) bertukar dengan linangan airmata kerana pemergiannya. Tersambar di hati-hati mereka suatu keperitan dan kesedihan di atas pemergian dan perpisahan yang tidak diingini ini.
Pemergiannya juga menandakan kehilangan seorang tokoh agamawan yang kontroversi dalam
sejarah moden bumi Mesir. Al Fadhil Syeikh amat dikasihi oleh penduduk kampungnya kerana beliau banyak menafkahkan harta-hartanya untuk kebajikan umat Islam. Beliau telah mendirikan sekolah rendah serta Maahad Azhar di Daqadus untuk kemudahan penduduk kampungnya. Walaupun beliau pergi untuk selamanya namun jasa dan keprihatinannya terukir indah dan tidak mungkin dapat dilupakan oleh mereka. Pada tahun 1967, Mesir telah digugat oleh isu kemiskinan, kemunculannya memberikan satu jasa yang besar dan beliau merupakan lambang keamanan dan kemiskinan. Omar Abdul Rahman dan Syeikh Tantawi menyatakan bahawa beliau adalah merupakan the silent hero untuk the silent people yang tidak menimbulkan sebarang pemberontakan. Beliau tidak pernah masuk bertanding di dalam pilihanraya.

Ramai di kalangan intelektual terutamanya yang berhaluan kiri seperti Hamanda mengesyaki adanya pakatan sulit antara kerajaan dan stesyen t.v. yang menayangkan rancangan Syeikh Sya'rawi, Nasional T.V. hanya menyiarkan 15 minit untuk pengkebumian Syeikh Sya'rawi. Liputan akhbar Ahrar menyatakannya sebagai 'Lawak Dekad Ini'.

Dari Baba Shunadah Kepada Syeikh Sya'rawi

Dalam kesedihan umat Islam di atas pemergiannya, seorang insan turut mendakwa bahawa dirinya juga merasakan kepiluan dan kehilangan walaupun jelas berlainan agama dan aqidah. Kata-kata inilah yang telah dilafazkan oleh Baba Shunadah, Paderi Besar di Mesir. Beliau melahirkan rasa yang amat sedih sehingga beliau sering menyendiri bila teringatkan saat-saat manis yang pernah dilalui bersama sewaktu hayat Al Fadhil Syeikh Sya'rawi.
Persahabatan antara mereka bermula ketika beliau mengirim jambangan bunga dan sekotak coklat kepada Al Fadhil Syeikh yang terlantar sakit di Hospital England. Beliau tidak menduga pemberiannya itu telah meninggalkan kesan yang mendalam ke dalam jiwa Al Fadhil Syeikh yang mana Al Fadhil Syeikh telah menziarahinya pula di kediaman beliau di Abbasiah setelah kembali dari England.
Semenjak saat itulah bermulanya bibit-bibit kemesraan yang terjalin di antara mereka. Minat mereka yang mendalam terhadap syair dan puisi telah mengutuhkan dan mengeratkan lagi persahabatan itu. Di dalam setiap pertemuan mereka sering membincangkan ilmu bahasa arab yang penuh dengan keindahan.
Beliau mengakhiri pertemuannya dengan wartawan majalah Sa'ah sambil menegaskan bahawa hanya Tuhan yang mengetahui betapa terkesan serta sedih hatinya di atas pemergian sahabatnya Al Fadhil Syeikh dan mendakwa bahawa persahabatan erat yang terjalin di antara mereka walaupun tidak diketahui umum tetapi telah memberikan banyak manfaat kepada umat Islam dan Masihi. Beliau mendakwa lagi Al Fadhil Syeikh benar-benar merupakan sahabatnya.
Hanya Allah yang mengetahui sejauh manakah ikhlasnya beliau di dalam persahabatan yang telah dijalankan bersama Al Fadhil Syeikh. Apakah benar dakwaan Baba Shunadah bahawa persahabatan tersebut telah membantu umat Islam dan Masihi atau sebaliknya?
Sebagai umat Islam, kita dituntut supaya berbuat baik sesama manusia tanpa mengira agama sepertimana yang telah dilakukan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad saw namun demikian perlu ada sifat "hazar" dalam diri kerana kaum kuffar tidak pernah mengenal erti penat dan jemu dalam mengatur strategi untuk melemahkan umat Islam.
Rujukan:

Jenazah Syeikh Mutawalli Sya'rawi (Esklusif)

1 komentar:

Amir Mat :) mengatakan...

mhon shre untk mnfaat umum