Senin, Desember 24, 2007

Al-Ghazali: The Alchemist of Happiness

Imam al-Ghazali (waktu tua) yang muncul di dalam filem ini. Filem ini menampilkan beliau di dalam tiga lingkungan umur yang berbeza; kanak-kanak, dewasa, dan tua.

Al-Ghazali: The Alchemist of Happiness merupakan sebuah filem dokumentari yang diarahkan oleh Ovidio Salazar yang berasal dari California. Beliau yang sudah pun berkecimpung selama lebih 20 tahun dalam pembikinan filem dan rancangan dokumentari, seperti Faces of Islam yang ditayangkan di BBC, kali ini bakatnya diuji lagi dan dipersembahkan di dalam The Alchemist of Happiness yang telah pun diterbitkan pada tahun 2004, dan ia mendapat banyak pengiktirafan di beberapa festival filem antarabangsa.

Ovidio Salazar (berbaju hijau) yang turut membintangi filem dokumentari ini.

Inti utama filem ini adalah berdasarkan riwayat hidup sebenar Imam al-Ghazali, ataupun nama sebenarnya Abu Hamid Muhammad al-Ghazali (1058-1111 M), iaitu seorang tokoh pemikir Islam yang sangat terkenal sehingga namanya bergema-gema di ruang lingkup dunia Barat, terutamanya yang melibatkan bidang falsafah dan epistemologi. Dalam dunia Islam pula, rata-rata golongan awam mengenali beliau melalui kitab-kitab tasawufnya seperti Ihya Ulumuddin (Kitab Bimbingan Mukmin adalah versi ringkasan Ihya Ulumuddin yang dilakukan oleh Sheikh Muhammad Jamaluddin al-Qasimi dari Damsyik) dan Ayyuhal Walad al-Muahib (Wahai Anakku Sayang) .

Namun, bagi mereka yang betul-betul mengkaji sejarah dan latar hidup beliau, maka mereka akan mendapati bahawa Imam Al-Ghazali ini bukan sahaja pakar dalam ilmu tasawwuf, malah fiqh, aqidah, falsafah, mantik, dan sebagainya. Tidak hairanlah beliau juga diberi nama timangan Imam Shafi'i Kedua, di samping gelaran yang selalu kita dengar: Hujjatul Islam. Di samping itu beliau merupakan salah seorang tokoh mujaddid (pembaharuan) kurun ke-5 Islam tanpa ada khilaf di kalangan para ulama tentang taraf mujaddid beliau ini.

Beliau dilahirkan di Tus yang terletak di wilayah Khurasan negara Parsi (hari ini ia terletak di bahagian utara negara Iran) pada tahun 450H/1058M. Sewaktu di Tus dan Nishapur, pengajian beliau lebih tertumpu kepada fiqh dan syariah, dan kemudian beliau mula mengembara dan berguru ke serata pelusuk dunia Islam; ke Baghdad, Damsyik, Jerusalem, Kaherah, Iskandariah, Mekah dan Madinah. Guru kepada Imam al-Ghazali yang paling terkenal ialah Imam al-Haramain al-Juwaini yang dianggap sebagai ulama terkemuka dunia Islam waktu itu. Dan ironinya, Imam al-Ghazali juga merupakan legasi dan anak murid beliau yang paling hebat dan cerdas, malah dikatakan juga bahawa kehebatan Imam al-Ghazali telah pun mengatasi gurunya yang sangat masyhur itu.

Kawasan ini terletak di Tus, iaitu tempat kelahiran Imam al-Ghazali, dan juga tempat kembalinya beliau sesudah bermusafir bertahun-tahun. Di sini terdapat memorial Imam al-Ghazali. Malangnya, kubur sebenar Imam al-Ghazali tidak dapat dipastikan di mana lokasinya pada hari ini.

Al-Ghazali: The Alchemist of Happiness memaparkan riwayat hidup Imam al-Ghazali melalui 3 kaedah utama yang saling diselang-selikan sepanjang filem ini berlangsung selama lebih kurang 80 minit.
Pertama adalah melalui teknik lakonan yang dibintangi oleh para pelakon berbangsa Iran. Dalam kes ini, Ghorban Nadjafi berlakon sebagai Imam al-Ghazali. Kesemua dialog di antara watak-watak utama yang lain seperti Nizam al-Mulk dan Ahmad al-Ghazali (iaitu adik Imam al-Ghazali), di samping watak-watak kodi, adalah di dalam bahasa Parsi secara total. Filem ini juga turut dibintangi oleh seorang aktres Iran, Mitra Hajjar, yang memegang watak sebagai isteri Imam al-Ghazali. Namun demikian, tidak wujud sama sekali sebarang dialog di antara Imam al-Ghazali dan isterinya di dalam filem ini. Mereka sekadar berkomunikasi melalui bahasa badan, terutama sekali melalui lenggok mata. Saya kira, ini mungkin untuk mengelakkan sebarang kontroversi yang mungkin timbul. Namun demikian, adalah lebih molek jika Mitra Hajjar menutup auratnya dengan lebih sempurna di dalam filem ini, terutama sekali pada bahagian rambut, memandangkan beliau memegang watak sebagai isteri kepada seorang ulama besar dunia.
Teknik kedua pula adalah melalui kaedah naratif atau pun penceritaan. Robert Powell, yang merupakan aktor TV dan filem UK yang terkenal, telah dipilih untuk menjadi ‘suara’ kepada Imam al-Ghazali. Teks kepada ‘suara’ ini diambil daripada autobiografi yang ditulis oleh Imam al-Ghazali sendiri iaitu, al-Munqidh min al-Dalal (Penyelamat dari Kesesatan), yang menceritakan perjalanan hidupnya, yang akhirnya membawa beliau memfokuskan kepada ilmu tasawwuf.
Teknik ketiga pula adalah dengan cara menemubual tiga tokoh penting Islam di Barat, iaitu Hamza Yusuf, T.J. Winter (iaitu Abdul Hakim Murad), dan juga Seyyed Hossein Nasr, di samping beberapa lagi individu lain. Ruang lingkup teknik ini lebih menuju ke arah analisis kritikal kehidupan Imam al-Ghazali. Di sinilah penonton akan dapat melihat bagaimana tokoh-tokoh yang ditemubual itu cuba untuk membawa kerelevanan idea-idea Imam al-Ghazali untuk dihidupkan semula di abad ke-20 ini, iaitu abad yang menyaksikan dunia yang lebih mengelirukan dan membejatkan berbanding dahulu. Oleh itu, salah satu tema utama filem ini ialah ‘Al-Ghazali adalah ubat kepada dunia yang sedang tenat pada hari ini’.
Sumber:
Untuk melihat filem dokumentari tersebut, anda bolehlah melihatnya di multiply saya, di sini: http://potretulama.multiply.com/video/item/8/Al-Ghazali_-_The_Alchemist_Of_Happiness
Selamat menonton.

Tidak ada komentar: