Pages

Senin, Desember 17, 2007

Salam Aidiladha: Hajinya Di Depan Pintu


Salam Aidiladha buat seluruh kaum muslimin dan muslimat. Semoga hari raya aidiladha kali ini kita sambutnya dengan penuh pengertian dan penghayatan. Pengertian dan penghayatannya yang sebenar ialah mengenai erti pengorbanan seluruhnya. Salah satu pengorbanan yang patut kita ingati dan kenangi selalu ialah pengorbanan dan kasih sayang Rasulullah saw pada kita. Itu adalah sebesar-besar pengorbanan yang patut kita hargai dan tidak patut kita melupakannya.

Selain itu, kita patut berkorban apa saja dalam menolong seseorang insan dengan hati yang ikhlas dan rela. Misalnya, kita sepatutnya sanggup membantu sahabat kita dan berkorban apa saja deminya. Supaya ikatan ukhwah dan jalinan sahabat sejati di antaranya kekal selama-lamanya keranaNya.

Sempena hari raya qurban ini juga, sambil kita menyambut dan meraihkannya juga, janganlah kita lupa kepada saudara semuslim kita di Palestin sekarang, yang telah menjadi korban kekejaman askar Israel. Sama-samalah kita berdoa semoga mereka di sana sentiasa kuat dan tabah dalam menghadapi ujian Ilahi ini.

Kepada mereka yang menunaikan haji kali ini, selamat mengerjakan haji dan semoga dapat mengikuti sunnah Rasulullah saw dalam menunaikan haji dan umrah yang sebenarnya. Dan semoga mendapat haji yang mabrur.

Baiklah, saya akan membawa anda ke sebuah taman ulama dan orang soleh zaman salafus soleh melalui perjalanan kisah sempena hari raya aidiladha ini. Sama-samalah kita menyusuri dan menghayatinya.

Hajinya Di Depan Pintu



Abdullah bin Mubarak turut mengerjakan haji pada suatu musim haji. Dia telah tertidur di Masjidil Haram lalu bermimpi. Dalam mimpinya itu, telah turun dua malaikat. Mereka mengisahkan bahawa pada tahun itu seramai enam ratus ribu orang telah mengerjakan haji, tetapi tidak seorang pun diterima haji mereka.

Namun ada seorang lelaki yang tidak mengerjakan haji tetapi disebabkan berkatnya, menyebabkan semua orang yang mengerjakan haji itu diterima hajinya. Lelaki itu bernama Muwaffaq, seorang tukang kasut yang tinggal di Damsyik.

Setelah terjaga dari tidurnya, Abdullah lalu pergi ke Damsyik untuk mencari lelaki itu. Setelah bertemu dan memperkenalkan dirinya, Abdullah lalu bertanya apakah amalan yang telah dilakukannya sehingga dia mendapat darjat yang begitu tinggi.

Muwaffaq pun menceritakan bahawa dia telah mengumpulkan wang hasil dari pekerjaannya. Jadi dia berhasrat untuk menunaikan haji. Suatu hari, isterinya yang sedang hanil telah terhidu bau masakan jirannya. Dia teramat ingin untuk merasai masakan tersebut.

Muwaffaq pun pergi ke rumah jirannya dan memberi tahu keinginan isterinya itu. Jirannya dengan sedih memberitahu rahsia yang sebenarnya. Dia bersama anak-anaknya yang yatim sudah tiga hari tidak makan. Jadi dia pun keluar mencari rezeki. Akhirnya dia telah bertemu dengan bangkai himar. Dia lantas mengambil sebahagian dagingnya lalu membawa pulang ke rumah untuk dimasak.

Jelas wanita itu lagi, makanan itu halal bagi mereka tetapi haram buat Muwaffaq. Muwaffaq berasa kasihan mendengar penjelasan jirannya itu. Dia terus pulang ke rumah dan mengambil wang yang dikumpulnya selama ini. Wang itu lalu diberikan kepada jirannya sebagai perbelanjaan buat anak-anaknya yang yatim.

Sebab itulah dia tidak dapat menunaikan haji pada tahun itu. Disebabkan keikhlasan membantu jirannya, Allah SWT mengurniakan ganjaran pahala haji kepadanya. Muwaffaq menyatakan lagi bahawa sebenarnya hajinya berada di depan pintu rumahnya.

0 komentar: