Pages

Rabu, Februari 13, 2008

Kenangan Bersama Syuaib al-Arnauth

Sesampainya saya dan rakan-rakan di Jordan penghujung tahun 1996, kami sibuk diberi taklimat tentang keadaan di sana oleh para ‘senior’. Bermula daripada cara mendaftar subjek hinggalah kepada cara mendapatkan bekalan makanan di kedai, semuanya diceritakan kepada kami. Termasuk juga kami dibawa melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah. Tapi saya tidak pernah tahu bahawa di Jordan terdapat seorang alim yang berpengalaman khususnya dalam bidang hadith. Mungkin maklumat itu tidak penting atau mungkin kerana kami baru saja sampai, nak berkomunikasi pun masih merangkak-rangkak, bagaimana pula nak menghadiri kuliah seorang syeikh hadith?

Sebelum mengenali Syuaib al Arnaouth dan menghadiri kelasnya, saya tidak memandang serius ilmu hadith walaupun telah mengambil subjek Ulum Hadith di universiti. Sikap saya masih sama seperti sewaktu di sekolah dahulu, tak peduli siapa yang meriwayatkan hadith, asalkan penulis menyebutnya sebagai hadith, saya pun akan menyebutnya sebagai hadith. Buku-buku hadith pun dibeli tanpa memperdulikan adakah buku tersebut telah disemak (tahqiq) isi kandungannya dan dikaji kesahihan hadith-hadith di dalamnya.

Akhirnya, didorong oleh beberapa orang senior yang telah pun mengecap ‘kemanisan’ ilmu hadith, saya mula mengenali Syuaib al Arnaouth dan menghadiri kuliahnya di Amman. Kelasnya diadakah sebanyak 2 kali seminggu. Beliau mengajar Tafsir al Qurthubi dan Subul al Salam. Lama kelamaan, makin ramai rakan-rakan yang mula menunjukkan minat. Kami sama-sama akan menaiki bas, sampai sahaja di Amman, terpaksa naik teksi untuk sampai ke rumah tempat Syeikh Syuaib mengadakan kuliahnya. Terasa macam mengembara mencari hadith…tapi sudah pasti la menaiki bas dan teksi serta singgah pula makan minum kat tepi jalan amat berbeza dengan ulama silam yang menaiki tunggangan dan merentas gurun dan padang pasir.

Syeikh Syuaib orangnya besar…berketurunan Albania. Ada orang kata dia gemuk, tapi istilah yang sesuai ialah besar. Muka nampak serius je masa mula2 sampai ke tempat kuliah. Rambutnya dah putih begitu juga janggutnya. Janggutnya tak tebal sangat, nipis pun tak nipis tapi tak le panjang macam syeikh2 dari Tanah Arab yang lain. Suka pakai jubah dan beliau pernah menyebut bahawa beliau juga mahu memakai pakaian lain, tetapi bentuk badannya sesuai dengan jubah sahaja. Memakai kopiah putih tapi tak pernah memaksa atau menyuruh murid2nya memakai pakaian seperti beliau. Sehinggakan muridnya yang paling lama belajar dengannya pun memakai pakaian mengikut kesesuaian sahaja.

Beliau mengadakan kuliah itu di rumah anaknya dan ruang tamu akan dipenuhi dengan pelajar daripada pelbagai bangsa dan kebanyakannya orang Arab. Apa yang pelik ialah beliau tidak akan duduk berseorangan di hadapan (seperti kelaziman kelas-kelas pengajian), tetapi beliau akan duduk bersama siapa sahaja yang ingin duduk di sebelahnya kerana terdapat lebih daripada satu tempat duduk di hadapan ruang tamu. Kadang-kadang ramai pulak yang duduk di hadapan dan semuanya berjubah, mungkin orang yang baru pertama kali datang akan tertanya-tanya…’mana satu Syeikh Syuaib?’.

Beliau seorang yang suka bergurau senda dan tidak terlalu serius. Dan beliau akan memberi peluang seluas-luasnya bagi sesiapa sahaja yang ingin bertanya atau memberikan pendapat. Kadang-kadang sesama murid hangat berbincang, beliau akan melihat dan tersenyum saja. Kalau nak dikatakan kelakar, memang kelakar. Lawaknya juga banyak versi dan banyak topik. Selalu juga beliau bercerita tentang kehidupannya di zaman kanak-kanak dan remaja.

Amat sukar untuk mendengar beliau mengutuk atau menghentam mana-mana ulama. Kalau ingin dinyatakan kesalahan pun dalam keadaan penuh adab dan ilmiah. Pernah beliau menceritakan pengalamannya menegur seorang alim lalu saya bertanya kepada beliau (selepas tamat kuliah) dan meneka nama orang alim itu. Beliau hanya tersenyum.

Siri 2

Setelah mengenali beliau, barulah saya mula mencari, membeli dan membaca buku-buku yang beliau kaji (tahqiq). Tak sangka pulak, inikah syeikh yang buat kuliah di Amman tu? Macam tak percaya pulak. Bukannya apa, mula-mula saya dan rakan-rakan menyangka kuliah tersebut hanyalah dari seorang alim biasa yang tidak dikenali. Rupa-rupanya beliau amat dikenali dalam kalangan ahli akademik dan bukunya juga popular di rantau Arab. Pernah saya berbincang dengan seorang pensyarah bahasa, beliau bertanya kepada saya, ‘dari mana kamu ambil pendapat ini?’ (pendapat saya berlainan dengan pendapat pensyarah tersebut). Apabila disebut nama Syuaib al Arnaouth, terus pensyarah tersebut ‘cool down’. Kata pensyarah itu, ‘saya mempunyai pendapat tersendiri dan pendapat Syuaib al Arnaouth juga kuat, Syuaib al Arnaouth adalah orang yang paling berilmu di Jordan’. Terkejut juga saya dibuatnya. Biasalah tu, orang alim menghormati orang alim.

Kalau ada pelajar-pelajarnya bertanya tentang hadith, selalunya beliau akan menjawab secara spontan berdasarkan ingatannya. Beliau pernah menegaskan bahawa ilmu hadith adalah berdasarkan pengalaman. Beliau sendiri tidak ingat seratus-peratus hadith seperti tertulis dalam buku berserta nombor dan susunannya. Tetapi apabila ditanya tentang sesuatu hadith, beliau boleh mengingatinya semula kerana pernah ‘berinteraksi’ dengan hadith tersebut melalui pembacaan dan kajian. Inilah rahsia kehebatan beliau.

Pernah berlaku satu kisah yang melucukan di mana seorang pelajar yang sedang menyambung Phd datang buat kali pertama dalam kuliah Syeikh Syuaib. Beliau terus ke hadapan dan mencium tangan syeikh. Tiba-tiba beliau dimarahi oleh Syeikh Syuaib. Rupanya dia tidak diberitahu bahawa syeikh amat tidak suka orang bersalam sambil mencium tangannya. Malu juga penuntut tu, tapi apa nak buat, syeikh pun dah tua. Orang tua ni kita kena bersabarlah dengan gelagatnya. Beliau pernah berkata, kalau ingin menghormati saya, bukan dengan mencium tangan saya, tapi dengan mengambil ilmu dan mengamalkannya.

Ramai di kalangan muridnya adalah pensyarah universiti atau penuntut yang menyambung Master atau Phd. Mulanya terasa hairan, kenapa agaknya seorang pensyarah yang sudah ada ijazah kedoktoran (hinggakan ada yang dapat Phd dalam hadith juga belajar dengan Syeikh Syuaib) ingin datang dan duduk belajar bersama-sama pelajar lain di hadapan Syuaib al Arnaouth? Ditambah pula Syeikh Syuaib tidak ada apa-apa ijazah. Itulah sikap yang patut dicontohi oleh kita di Malaysia. Tuntutlah ilmu pada orang yang berilmu dan jangan ukur ilmu itu semata-mata dengan ijazah dan sijil. Bayangkan, pensyarah hadith tempat kami belajar di universiti rupanya sama-sama menjadi murid kepada Syuaib al Arnaouth!

Dalam mengutarakan pendapatnya dalam fiqh, beliau selalu menegaskan bahawa beliau tidak mahu digolongkan dalam mana-mana puak atau mazhab. Sebaliknya beliau gembira dengan mengikuti jalan para ahli fiqh terutama empat imam mazhab yang terkenal. Ayat yang sering beliau ungkapkan...'Alaikum Bitoriqatil Fuqaha'..hendaklah kamu melazimi jalan ahli fiqh. Ahli fiqh yang beliau maksudkan ialah para imam mazhab empat yang terkenal. Seringkali beliau memberikan pendapat berdasarkan hujah yang paling kuat di sisi beliau. Mulanya beliau akan memberikan pendapat para ulama terkenal dan kemudian beliau akan menilai kekuatan hujah dan akhirnya memberikan pendapat yang paling rajih.

Beliau sering melarang para pelajarnya daripada taksub kepada beliau. Memang para pelajar yang belajar dengannya memahami dan mereka berani membincangkan kembali pendapat Syeikh Syuaib dan saya pernah menyaksikan Syeikh Syuaib menerima teguran dan pendapat yang berbeza dengan pendapatnya kerana hujah pelajarnya itu lebih kuat. Pernah beliau berbeza pendapat tentang kisah Nabi terdahulu di mana Syeikh Syuaib lebih cenderung kepada pendapat daripada Israiliyyat (yang tidak bertentangan dengan aqidah), maka salah seorang muridnya terus mencelah dengan mengemukakan pendapat ahli tafsir terkenal di Jordan, Dr. Solah Abd. Fattah al Khalidi. Hangat juga perbincangannya. Pada minggu seterusnya, Syeikh Syuaib mengumumkan kepada semua pelajarnya bahawa beliau menarik balik pendapatnya dan mengambil pendapat yang terbaik iaitu tidak mengambil israiliyyat walaupun tidak bertentangan.

Beliau banyak menghafal syair arab dan masih mengingati apa yang dihafalnya sejak zaman remaja. Pernah kelas kami terhenti kerana mendengar beliau mengungkapkan kembali syair-syair yang telah dihafalnya bahkan syair yang dicipta beliau sendiri sempena peristiwa tertentu seperti syair yang beliau cipta semalaman kerana salah seorang gurunya ingin pergi menunaikan haji. belaiu pernah mengeluh sambil tersenyum...'kenapa guru-guru kami suruh kami menghafal terlalu banyak syair?'. Kadang-kadang beliau menguji para pelajarnya dengan soalan berkaitan arudh (syair) dan juga I’rab (nahu). Bahaya jugak duduk kat depan syeikh!

Beliau pernah berpesan supaya membeli buku-buku karya ulama lain yang popular seperti buku-buku karya Dr. Yusuf al Qaradhawi kerana beliau disifatkan sebagai seorang yang berani mengetengahkan pendapat. Beliau juga pernah berpesan supaya para pelajarnya mengambil hasil kajian Syeikh al Albani. saya sendiri pernah bertanya beliau tentang buku Silsilah (sahihah dan dhaifah) maka beliau menyarankan agar saya berpegang dengan pendapat al Albani dan beliau sering memuji al Albani kerana kesungguhan dalam mengkaji hadith.

Sepanjang saya dan para sahabat lain belajar dengan beliau, kami tidak pernah mendengar beliau mengkritik Syeikh al Albani walaupun Syeikh al Albani pernah mengkritik beliau dalam beberapa buah buku seperti Adab al Zifaf, Silsilah dan Sifat Solat al Nabi. Malangnya, segelintir ulama yang mengkagumi Syeikh al Albani telah mengulangi kritikan-kritikan ini dan menyebarkannya tanpa mereka mengiktiraf kehebatan Syuaib al Arnaouth dalam kajian hadith.

Mungkin mereka tidak tahu bahawa Syuaib al Arnaouth pernah berkerja bersama Syeikh al Albani dan membantu beliau ketika di Maktab Islami, Syria bersama-sama seorang lagi pengkaji, Abd. Qadir al Arnaouth. Mungkin mereka juga tidak sedar bahawa Syeikh al Albani pernah berterima kasih kepada Syeikh Syuaib kerana membantunya di dalam kajian sanad. Carilah di dalam Silsilah Sahihah. Ada juga yang berkata ‘Syeikh Syuaib tak salafi, jadi kita tak pergi belajar dengan dia’. Balik-balik salafi, tak salafi, salafi, tak salafi. Berpuak-puak sampai tak nak pergi kuliah untuk menimba ilmu! Rugi, alangkah ruginya sesiapa yang bersikap sebegini.

Sikap ini mungkin dibawa juga dan diamalkan di kalangan ulama Malaysia pula...ustaz tu salafi, ustaz ni tak salafi. jangan belajar dan jangan ambil pendapat ustaz yang tak salafi. Tak habis-habis berpuak dan berpecah. Mungkin orang yang mengkritik Syeikh Syuaib tidak tahu bahawa ramai ulama dari Arab Saudi memuji dan mengiktiraf hasil kajian Syeikh Syuaib. Bahkan kalau anda melihat buku Musnad Ahmad yang ditahqiq oleh Syeikh Syuaib dan para pelajarnya, anda akan dapati bahawa projek menyiapkan Musnad itu adalah hasil cadangan dan biayaan Kerajaan Arab Saudi di bawah seliaan seorang ulama terkemuka iaitu Syeikh Abdullah al Turki. Mereka yang memilih Syeikh Syuaib untuk melengkapkan kajian tersebut. Inilah pertama kali Musnad Ahmad ditahqiq lengkap setelah Muhaddith agung Mesir, Ahmad Syakir cuba menyiapkannya tetapi tidak berjaya.

Pernah salah seorang penuntut ilmu daripada Madinah yang memang salafi, datang menziarahi beliau dan mengikuti kelas bersama-sama kami. Di hujung kelas, beliau berkata pada Syeikh Syuaib 'alangkah baiknya kalau syeikh dapat datang dan menetap di Madinah'. SYeikh Syuaib hanya tersenyum. Insya Allah, sekiranya ada lagi kenangan yang terlintas di ingatan, akan saya coretkan di al-ahkam untuk sama-sama menjadi kenangan dan pengajaran.

Sumber:
Artikel berjudul Kenangan Bersama Syuaib al-Arnaouth Siri 1 & 2, karya Adlan Abdul Aziz

1 komentar:

AMISHA mengatakan...




Saya selalu berpikir bahwa semua perusahaan pinjaman online curang sampai saya bertemu dengan perusahaan peminjam yang meminjamkan uang tanpa membayar terlebih dahulu.

Jika Anda mencari pinjaman, perusahaan ini adalah semua yang Anda butuhkan. setiap perusahaan yang meminta Anda untuk biaya pendaftaran lari dari mereka.

saya menggunakan waktu ini untuk memperingatkan semua rekan saya INDONESIANS. yang telah terjadi di sekitar mencari pinjaman, Anda hanya harus berhati-hati. satu-satunya tempat dan perusahaan yang dapat menawarkan pinjaman Anda adalah SUZAN INVESTMENT COMPANY. Saya mendapat pinjaman saya dari mereka. Mereka adalah satu-satunya pemberi pinjaman yang sah di internet. Lainnya semua pembohong, saya menghabiskan hampir Rp35 juta di tangan pemberi pinjaman palsu.

Pembayaran yang fleksibel,
Suku bunga rendah,
Layanan berkualitas,
Komisi Tinggi jika Anda memperkenalkan pelanggan

Hubungi perusahaan: (Suzaninvestment@gmail.com)

Email pribadi saya: (Ammisha1213@gmail.com)