Pages

Sabtu, Februari 02, 2008

Tuan Haji Muhammad Said Yan, Ulama Yang Berdikari dan Seorang Tabib

Tuan Haji Muhammad Said Yan dilahirkan di Kampung Anak Bukit, Alor Setar, Kedah pada 1294 Hijrah/1877 Masihi. Nama sebenarnya ialah Tuan Haji Muhammad Said bin Penghulu Muhammad Taib Yan.

Pendidikan

Muhammad Said mendapat pendidikan awal di Pondok Haji Mat Tamin, Kampung Anak Bukit. Ada juga diriwayatkan bahawa beliau sempat belajar kepada Syeikh Jarum. Diriwayatkan juga bahawa selain mendapat pendidikan pondok, beliau juga pernah memasuki Sekolah Agama al-Hamidiah di Limbong Kapal, Alor Setar, Kedah. Walau bagaimanapun mengenai Muhammad Said pernah memasuki sekolah tersebut terdapat keraguan, kerana sekolah tersebut didirikan pada tahun 1916 Masihi oleh Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq. Sedangkan selisih umur antara Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq dengan Muhammad Said hanya lebih kurang tiga tahun. Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq lahir pada 1291 Hijrah/1874 Masihi, sedangkan Muhammad Said lahir 1294 Hijrah/1877 Masihi.* Sekiranya benar Muhammad Said pernah memasuki Sekolah Agama al-Hamidiah di Limbong Kapal, bererti pada tahun 1916 Masihi itu beliau berusia sekitar 20tahun. Pada usia seperti demikian itu, memasuki sekolah rendah jarang berlaku. Lain halnya dengan sistem pendidikan pondok yang tidak terikat dengan umur seseorang. Kemungkinan Muhammad Said memang benar murid Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq, tetapi adalah menurut sistem pondok bukan sistem persekolahan. Dalam karyanya Anak Kunci, Muhammad Said menyebut bahawa beliau murid Syeikh Sulaiman. Tidak jelas Syeikh Sulaiman mana yang dimaksudkan kerana penulisan nama tidak lengkap. Penulis lebih meyakini bahawa Muhammad Said setelah melalui jalur pendidikan pondok di Kedah, kemungkinan juga di Patani, lalu berangkat ke Mekah. Antara gurunya di Mekah ialah Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Ali al-Maliki dan ramai lagi.
Mengajar

Beliau berpindah ke Titi Bakong, Yan dan mengajar agama dengan membuka kelas agama di rumahnya sendiri. Beliau mengajar berbagai-bagai pelajaran agama kepada orang-orang dewasa, termasuklah ilmu Tauhid, Fikah, Tasawuf, Hadis dan al-Quran. Pelajar-pelajar beliau datang dari merata-rata tempat di sekitar tempat tinggalnya.

Tuan Haji Muhammad Said dilantik menjadi Kadi di beberapa daerah di Negeri Kedah termasuklah sebagai Kadi Daerah Kuala Nerang, Kuala Muda dan Yan. Tetapi akhirnya beliau meletakkan jawatan sebagai Kadi. Setelah berkahwin buat kali ketiga, Tuan Haji Muhammad Said kembali menetap di Titi Bakong dan menyambung pelajaran kelas agamanya. Ketika itulah beliau mula berminat mempelajarai ilmu perubatan tradisional. Beliau mula mencatat segala ilmu perubatan dan mula mengubat beberapa jenis penyakit. Jadi, di samping mengajar agama, beliau mula menjadi bomoh.

Boleh Mengubati Pelbagai Jenis Penyakit

Selain terkenal sebagai guru agama, beliau juga terkenal sebagai seorang tabib. Beliau boleh mengubati berbagai-bagai jenis penyakit. Beliau pernah membuat makjun, membuat minyak untuk penyakit kebas, lenguh, penat dan sebagainya, serta ubat-ubatan daripada akar-akar kayu. Tuan Hj. Muhammad Said juga telah menulis sebuah buku dengan tulisan tangan. Di dalamnya dicatatkan segala petua dan peraturan bagi mengubati segala jenis penyakit. Beribu-ribu jenis ubat dicatatkan di dalam buku itu. Tuan Haji Muhammad Said juga dikenali sebagai "Tabib Haji Muhammad Said" kerana beliau banyak mengeluarkan berbagai-bagai jenis ubat untuk berbagai-bagai jenis penyakit, dan pada botol-botol ubatnya bercetak : 'Diperbuat oleh Tabib Haji Muhammad Said Yan'.

Kekeluargaan

Diriwayatkan bahawa Muhammad Said sepanjang hayatnya pernah berkahwin enam kali. Perkahwinan pertama dengan Che' Dun, anak saudara Syeikh Wan Sulaiman. Daripada perkahwinan ini beliau memperoleh enam orang anak. Perkahwinan kedua dengan Hajah Aisyah binti Haji Kecik, memperoleh seorang anak lelaki, Haji Ismail. Perkahwinan ketiga kalinya di Kuala Muda dengan Che' Lin, memperoleh seorang anak perempuan. Perkahwinan keempat di Pulau Pinang dengan Che' Aisyah, tidak memperoleh anak. Perkahwinan kelima dengan Hajah Aisyah berasal dari Kampung Tok Keling, Alor Setar, tidak memperoleh anak. Perkahwinan keenam dengan Hajah Latifah, berasal dari Tandop, Alor Setar. Sewaktu Muhammad Said meninggal dunia, yang masih bersamanya hanyalah isteri yang keenam ini. Ada pun isteri-isteri yang lain ada yang meninggal dunia mendahului beliau dan ada juga yang bercerai ketika beliau masih hidup. Muhammad Said adalah seorang yang teguh mengikut ajaran Islam. Oleh itu dalam lingkungan keluarga, bersama isteri, anak-anak dan cucu-cucunyasangat ditekankan melakukan sembahyang berjemaah bersama beliau. Diriwayatkan bahawa Muhammad Said adalah seorang yang warak. Setiap kali selesai mengerjakan sembahyang beliau membaca wirid yang banyak, doa yang panjang dengan penuh khusyuk dan syahdu serta bercucuran air mata membasahi mukanya. Di sini, boleh dibuat kesimpulan bahawa Muhammad Said Yan, Kedah adalah seorang ulama yang berjaya mengatasi cabaran hidup duniawi secara wira swasta, kuat berusaha dan kuat beramal. Gabungan daripada kedua-duanya adalah satu rahsia memperoleh keredhaan dan berkat daripada pada Allah s.w.t. Wirid yang panjang tidak menghalang memperoleh kejayaan dunia tetapi di dalamnya ada satu rahsia tersembunyi yang jarang diketahui oleh kebanyakan orang. Antara rahsia wirid, doa, selawat dan sejenisnya, ialah pekerjaan yang sukar menjadi mudah, yang berat menjadi ringan, yang tersembunyi menjadi nyata dan banyak lagi.

Karangannya

Selain daripada meneruskan pengajaran di kelas agamanya serta menjadi tabib, Haji Muhammad Said juga menulis serta mengeluarkan berbagai-bagai risalah kecil berbentuk dakwah. Risalah-risalah tersebut berbentuk buku kecil dan dicetak dalam tulisan jawi yang mengandungi di antara 18 hingga 32 muka surat. Antara risalah yang dikeluarkan bertajuk 'Risalah Banyak-Banyak Syukur', 'Risalah Bicara Tertib Puasa Ramadan' dan 'Risalah Jika Tiada Hendak Sembahyang, Apakah Hendak Jadi?"

Isi risalah-risalah tersebut berbentuk nasihat dan dakwah agar seluruh kaum muslimin dan muslimat taatkan perintah Allah dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya. Risalah-risalah tersebut dicetak mulai tahun 1951 hingga tahun 1958. Di bahagian belakang risalah-risalah tersebut terdapat nama-nama risalah lain yang ditulis oleh Tuan Haji Muhammad Said seperti "Perbendaharaan Mastika Bicara Asmaul-Husna", "Syirah Bardah", "Selusuh Memudahkan Perempuan Beranak", "Wirid-wirid Am", "Kucing Bertuah", "Talqin Bahasa Jawi", "Pati Rahsia", "Risalah Bunga Raya" dan "Mengapa Engkau Tidak Sembahyang?". Semua risalah tersebut dijual ke seluruh negeri-negeri di Malaysia Barat, (ketika itu Semenanjung Tanah Melayu).

Pada muka surat pertama atau kedua risalah-risalah tersebut terdapat 'pengesahan' yang dibuat oleh Tuan Haji Abdullah Pak Him - Mufti Pulau Pinang ketika itu yang juga selaku mudir di Sekolah Agama Dairatul Ma'arif Al-Wathoniah, Kepala Batas, Seberang Perai mengesahkan bahawa risalah tersebut tidak salah atau tidak menyeleweng dan perlu dibaca oleh orang ramai. Ini bererti Tuan Haji Muhammad Said telah mengirimkan semua risalah tulisannya kepada Tuan Haji Abdullah Pak Him terlebih dahulu sebelum dicetak untuk mendapatkan pengesahan tentang tulisannya itu.

Di antara karangannya:

1. Anak Kunci
2. Buah Putik Bagi Kanak-Kanak Pada Permulaan Tumbuhnya.
3. Adabul Katib
4. Punca Kesukaan
5. An-Nashihah Asy-Syabaniyah
6. Majalah Nun
7. Ath-Thabib

Wafatnya

Tuan Haji Muhammad Said meninggal dunia di Titi Bakong, Yan, Kedah pada tahun 1382 Hijrah/1962 Masihi dalam usia 85 tahun dan selamat dikebumikan di tanah perkuburan Yan, Kedah.

Rujukan:
http://ulama.blogspot.com/2005/03/muhammad-said-yan.html
http://www.mykedah2.com/10heritage/102_4_09.htm

0 komentar: