Pages

Minggu, Februari 03, 2008

Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal

Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal dilahirkan di Kampung Kerasak, Limbat, Kota Bharu, Kelantan sekitar 1903. Nama sebenarnya ialah Haji Daud Shamsuddin bin Haji Omar al-Libadi. Ibunya, Wan Halimah binti Haji Ismail ialah adik kepada Tuan Guru Haji Wan Ahmad bin Haji Ismail (lebih terkenal dengan panggilan Haji Awang Limbat). Manakala bapanya Haji Omar bin Taib berasal dari Kampung Mantera, Bukit Marak. Antara guru-guru awalnya: Haji Awang Limbat, Haji Sulaiman Kubang Kachang, Tok Kenali, Tok Seridik, Haji Omar Sungai Keladi, Haji Nik Abdullah Khatib, Yaakub Legor dan Tok Khurasan.

Di kota Makkah pula antara lain beliau mendalami pengajiannya dengan Syeikh Omar Hamdan, Syeikh Mohd Ali al-Maliki, Syeikh Hasan al-Masyat, Syeikh Hasan al-Yamani, Syeikh Muhammad al-Azhari dan Syeikh Mohd Shafie Kedah (Tok Shafie). Setelah kembali dari Makkah pada wal tahun 1941, beliau berkebun sambil mengajar agama di beberapa tempat. Akhir sekali pulang menetap di Bukit Abal, Pasir Puteh lalu berusaha menghidupkan semula sekolah pondok peninggalan bapa mertuanya Haji Awang Limbat.

Peringkat awalnya kurang mendapat sambutan, mungkin kerana namanya belum terserlah. Hanya selepas 1968 barulah majlis ilmunya mula mendapat perhatian ramai. Kupasan ilmu ussuluddin, furu’uddin (fiqh 4 mazhab) dan ihsanuddin yang menjurus kepada pengamalan zikir tarekat kemudiannya terbukti sangat popular. Untuk kemudahan murid-muridnya beliau mengulang cetak karyanya sendiri, iaitu Risalat al-Aqaid wa al-fawaid (cetakan pertama 1956); dan pada awal 1970an diedarkan pula stensilan Risalat al-Tasawuf yang sempat disusun setakat 8 siri sahaja kerana masalah kesihatannya.

Tuan Guru Haji Daud meninggal dunia di Bukit Abal ketika pondoknya sedang berkembang maju, iaitu pada pukul 2.00 petang Ahad 1 Safar 1396 bersamaan 1 Februari 1976.
Warisan ilmunya kini disebarkan pula oleh tokoh-tokoh seperti Tuan Guru Haji Ghazali Tunjong, Pak Da Awang Kampung Pek, Ustaz Mustafa Muhammad al-Ahmadi (pengarang buku Mengenal Diri dan Wali Allah yang sangat popular itu), Ustaz Wan Hassan Muhammad Bukit Tanah (ahli Jemaah Ulama MAIK), Drs Abdul Rahman Haji Ahmad (Timbalan Ketua Pengelola Dakwah Halaqat Negeri Kelantan) dan Prof. Dr. Hamdan Hassan (Universiti Brunei Darusssalam).

0 komentar: