Selasa, Februari 19, 2008

Sayyid Abdullah Siddiq al-Ghumari

Beliau ialah al-Imam al-'Allamah al-Hafiz al-Muhaddith al-Usuli al-Muhaqqiq al-Mudaqqiq Abul Fadhl Sayyid Abdullah bin Muhammad bin Siddiq bin Ahmad bin Muhammad bin al-Qasim bin Muhammad bin Muhammad bin Abdul Mukmin bin Ali bin al-Hasan bin Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin Abdullah bin Isa bin Sa'id bin Mas'ud bin al-Fudhoil bin Ali bin Umar bin al-'Arabi bin 'Allal bin Musa bin Ahmad bin Daud bin Maulana Idris al-Asghor bin Maulana Idris al-Akbar bin Abdullah al-Kamil bin al-Hasan al-Muthanna bin Imam al-Hasan al-Mujtaba bin Amirul Mukminin Sayyiduna Ali dan Sayyidah Fatimah al-Zahra' binti Sayyiduna Muhammad Rasulullah s.a.w. Berkata Sayyid Abdullah al-Ghumari di dalam kitab beliau yang berjudul Sabilut Taufiq dan Bida'ut Tafasir : Inilah susur galur keturunan kami yang popular di kalangan keluarga kami yang menetap di wilayah Ghumarah dan selainnya.

Kelahiran

Beliau dilahirkan di bandar Tonjah (Tangier), Morocco pada hujung bulan Jamadil Akhir atau awal bulan Rejab tahun 1328 Hijrah (1910 Masihi)

Latar belakang keluarga

Sayyid Abdullah al-Ghumari dilahirkan di kalangan keluarga yang terkenal dengan ketaqwaan, keilmuan, kesolehan dan kemuliaan ditambah dengan kesucian keturunan. Ayahanda beliau, Sayyid Muhammad Siddiq al-Ghumari merupakan syeikh para ulama' Morocco. Beliau telah mengasaskan Madrasah Siddiqiyyah yang berjaya melahirkan ramai para ulama' yang $berwibawa. Datuk beliau sebelah ibu, Sayyid Ibnu 'Ajibah al-Hasani merupakan seorang ulama' yang tidak asing lagi. Beliau merupakan pengarang kitab tafsir yang berjudul Bahrul Madid serta syarah Hikam 'Atoiyyah yang bertajuk Iqazul Himam. Abang beliau, Sayyid Ahmad al-Ghumari merupakan seorang tokoh hadith yang terkemuka sehingga mencapai taraf al-Hafiz. Beliau juga telah menghasilkan karya-karya yang bernilai sehingga mencecah ratusan buah. Adik-adik beliau, Sayyid Abdul Aziz, Sayyid Abdul Hayy, Sayyid Ibrahim, Sayyid Hasan dan Sayyid Muhammad Zamzami pula merupakan tokoh-tokoh muhaddithin dan muhaqqiqin. Di kalangan mereka ada yang muncul sebagai pakar tafsir, usul fiqh, hadith dan ilmu-ilmu yang lain. Namun keluarga al-Ghumari sememangnya terkenal dengan keilmuan mereka di dalam bidang hadith di wilayah Tonjah sebagaimana keluarga al-Kittani di wilayah Fas (Fez).

Latar belakang pendidikan

Sayyid Abdullah al-Ghumari memulakan pendidikan seawal usia lima tahun. Ayahandanya memasukkan beliau ke pondok dengan tujuan untuk menghafal al-Quran. Lalu beliau mula menghafal al-Quran dengan riwayat Warasy. Setelah itu, beliau menghafal pula al-Quran dengan riwayat Hafs. Di samping itu beliau turut menghafal sebahagian besar matan-matan ilmu seperti nazam al-Kharraz yang berjudul Mauriduz Zomaan, al-Arba'in al-Nawawiyyah, al-Ajurumiyyah, Alfiyyah Ibnu Malik, Bulughul Maram dan Mukhtasar Syeikh Khalil ibnu Ishaq dalam fiqh mazhab Maliki. Setelah itu, dengan perintah ayahandanya, beliau bermusafir ke wilayah Fas untuk menyambung pengajian di Masjid al-Qurowiyyin yang merupakan pusat pengajian terkemuka di Morocco. Beliau menetap di situ selama lebih kurang 6 bulan. Kemudian beliau pulang semula ke Tonjah dan setelah itu beliau kembali menyambung pengajiannya di Fas. Antara subjek yang beliau pelajari di al-Qurowiyyin: 1) Nahu: Alfiyyah Ibnu Malik dengan Syarah Ibnu ‘Aqil dan Hasyiah al-Suja’i. Juga Syarah al-Makudi dengan Hasyiah Ibnu Haj. 2) Fiqh: Mukhtasor Khalil dengan Syarah al-Khurosyi. Juga sebahagian besar Syarah al-Zurqani dan Syarah al-Dirdir daripada bab al-Ijarah sehingga habis. 3) Hadith: Syarah al-Qostollani bagi Sohih al-Bukhari dan Hasyiah al-Syinwani bagi Mukhtasor Ibnu Abi Jamrah. 4) Tafsir: Tafsir al-Jalalain dengan Hasyiah al-Sowi. 5) Tauhid: Kitab al-Tauhid susunan Imam Ibnu 'Asyur. 6) Usul Fiqh: Jam'ul Jawami' dengan Syarah Jalaluddin al-Mahalli 7) Mantiq: Syarah al-Quwaisani bagi matan al-Sullam. Beliau juga turut mendalami bidang-bidang ilmu yang lain daripada guru yang pelbagai. Setelah menamatkan pengajian di Qurowiyyin, beliau pulang ke Tonjah untuk meneruskan pengajian di Madrasah Siddiqiyyah di bawah seliaan ayahandanya sambil mengajar para pelajar di madrasah tersebut. Dalam tempoh ini juga, ayahandanya memberi galakan supaya beliau mula menulis. Maka beliau mula meringkaskan kitab Irsyadul Fuhul ila Tahqiqil Haq fi 'Ilmil Usul karangan Imam al-Syaukani. Beliau turut menulis huraian matan Ajurumiyyah dalam ilmu Nahu. Setelah selesai mengarang huraian ini, beliau membentangkannya kepada ayahandanya untuk disemak dan diedit. Setelah itu, abangnya Sayyid Ahmad al-Ghumari menamakan huraian ini dengan judul Tashyidul Mabani litaudhih ma hawathul Muqaddimatul Ajurumiyyah minal Haqaiq wal Ma'ani. Semua ini beliau lakukan ketika masih lagi berusia belasan tahun. Ketika berusia 21 tahun, dengan izin ayahandanya beliau bermusafir ke Mesir bersama abangnya Sayyid Ahmad dan adiknya Sayyid Muhammad Zamzami bagi melanjutkan pengajian di al-Azhar al-Syarif. Di Mesir, bintang beliau sebagai seorang ilmuwan lebih-lebih lagi sebagai seorang muhaddith mula menyinar. Dengan galakan daripada rakan-rakan yang mengenali kewibawaannya, beliau menduduki peperiksaan Syahadah 'Alamiyyah Khassah dalam 12 subjek iaitu Usul Fiqh, Ma'ani, Bayan, Badi', Nahu, Sorf, Tauhid, Mantiq, Hadith, Mustolah Hadith, Fiqh dan Tafsir. Dalam peperiksaan ini, beliau memperolehi kejayaan yang cemerlang. Setelah itu, beliau sekali lagi menduduki peperiksaan Syahadah 'Alamiyyah al-Azhariyyah dalam subjek yang sama seperti peperiksaan yang lalu. Cuma ditambah 3 lagi subjek iaitu ilmu al-Wadh'u, 'Arudh Qafiah dan Tasawwuf. Dalam peperiksaan ini juga, beliau beroleh kejayaan yang cemerlang dan berita kejayaan beliau disiarkan menerusi akhbar al-Ahram sehingga Syeikh Mahmud Syaltut yang ketika itu merupakan wakil Fakulti Syariah al-Azhar al-Syarif berkata: Kita mengucapkan tahniah kepada peperiksaan Syahadah 'Alamiyyah al-Azhariyyah kerana ianya telah diduduki oleh Syeikh Abdullah yang sememangnya datang dari negaranya dalam keadaan alim.

Kerjaya

Setelah menamatkan pengajian, beliau mula mengajar di Masjid al-Azhar al-Syarif di dalam ilmu Nahu, Mantiq, Usul Fiqh dan Balaghah. Di samping itu, beliau turut menyumbangkan karya-karya ilmiah kepada majalah-majalah yang pelbagai antaranya: 1) Majalah Hadyul Islami. 2) Majalah al-Irsyad. 3) Majalah al-Rabitoh al-Islamiyyah. 4) Majalah al-Syarq al-'Arabi. 5) Majalah Nasyrul Fadhoil wal Adabul Islamiyyah. 6) Majalah al-Wasilah. 7) Majalah al-Muslim yang diterbitkan oleh 'Asyirah Muhammadiyyah. Selain itu, beliau mula aktif mengarang pelbagai kitab ilmiah yang bernilai terutama di dalam bidang Hadith di samping mentahqiq beberapa kitab turath. Hubungan beliau dengan pertubuhan & gerakan Islam di Mesir Sayyid Abdullah al-Ghumari sememangnya mempunyai hubungan yang baik dengan beberapa pertubuhan dan gerakan Islam di Mesir antaranya: 1) Pertubuhan al-Hidayah al-Islamiyyah yang dipimpin oleh Syeikh Muhammad al-Khidr al-Husain al-Tunisi. 2) Al-‘Asyirah al-Muhammadiyyah di mana beliau merupakan salah seorang panel fatwa dan ahli jawatankuasa pertubuhan ini yang diasaskan oleh Sayyid Muhammad Zakiyyuddin Ibrahim. 3) Pertubuhan Nasyrul Fadhoil wal Adabul Islamiyyah. 4) Pertubuhan al-Robitoh al-Islamiyyah. 5) Gerakan al-Ikhwanul Muslimun yang diasaskan oleh Imam al-Syahid Hasan al-Banna. Berkata Sayyid Abdullah: Saya mempunyai hubungan yang erat dengan al-Ustaz Hasan al-Banna, pemimpin gerakan al-Ikhwanul Muslimun dan ayahandanya al-Ustaz Ahmad Abdul Rahman, pemilik sanad-sanad yang banyak di mana kami seringkali berhubung dan saling ziarah menziarahi. 6) Pertubuhan wanita yang diasaskan oleh Sayyidah Zainab al-Ghazali di mana Sayyid Abdullah al-Ghumari menyampaikan pengajian mingguan beliau di pusat pertubuhan ini.

Guru-guru beliau

Sayyid Abdullah al-Ghumari memiliki seramai 62 orang guru sebagaimana yang disebut oleh beliau sendiri. Antaranya:

1) Ayahanda beliau sendiri Sayyid Muhammad Siddiq al-Ghumari al-Idrisi al-Hasani.
2) Abang beliau al-Hafiz Sayyid Ahmad bin Muhammad bin Siddiq al-Ghumari.
3) Sayyid Ahmad Rafi’ al-Tohtowi, musnid negara Mesir.
4) Al-‘Allamah al-Muhaddith Muhammad Zahid al-Kauthari.
5) Al-‘Allamah Syeikh Muhammad Duwaidar al-Kafrawi al-Talawi al-Syafi’e.
6) Al-‘Allamah al-Faqih al-Usuli Syeikh Muhammad al-Tohir bin ‘Asyur al-Tunisi.
7) Al-‘Allamah Syeikh Abdul Baqi al-Ansori al-Laknawi al-Madani. Muhaddith al-Haramain Syeikh Umar Hamdan al-Mahrasi al-Tunisi. 9) Al-‘Allamah Syeikh Abdul Wasi’ bin Yahya al-Wasi’e al-Yamani.
10) Al-‘Allamah al-Faqih Muhsin bin Nasir Bahrobah al-Hadhrami.
11) Al-‘Allamah al-Faqih al-Musnid Abdul Qadir bin Taufiq al-Syalabi al-Tarablasi al-Hanafi.
12) Al-‘Allamah al-Faqih Muhammad bin Muhammad al-Halabi al-Misri al-Syafi’e.
13) Al-‘Allamah Muhammad Imam bin Ibrahim al-Saqa.
14) Syeikh Darul Hadith Damsyiq al-Muhaddith Badruddin Muhammad bin Yusuf al-Hasani.
15) Sayyidah al-Musnidah Ummul Banin Aminah binti Abdul Jalil bin Salim al-Dimasyqiyyah.

Dan lain-lain lagi di beberapa negara Islam seperti Mekah al-Mukarramah, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Sudan dan Qatar.

Murid-murid beliau

Antaranya:

1) Adik-adik beliau sendiri Sayyid Abdul Aziz, Sayyid Abdul Hayy, Sayyid Hasan, Sayyid Ibrahim dan Sayyid Muhammad Zamzami.
2) Al-‘Allamah Syeikh Muhammad al-Hamid al-Hamawi.
3) Al-‘Allamah Syeikh Abdul Aziz ‘Uyun al-Sud al-Himsi.
4) Al-‘Allamah al-Muhaddith Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah al-Halabi.
5) Al-‘Allamah Syeikh Muhammad ‘Awwamah al-Halabi.
6) Al-‘Allamah Syeikh Muhammad Ali al-Murad al-Hamawi.
7) Dr. Abdul Wahhab Abdul Latif. Dr. Ali Juma’ah al-Misri, Mufti Republik Arab Mesir.
9) Sayyid Soleh al-Ja’afari, Imam Masjid al-Azhar suatu ketika dahulu.
10) Syeikh Hamdi Aslan al-Albani.
11) Dr. Mahmud Sa’id Mamduh al-Misri.
12) Syeikh Mahmud Hasan al-Syeikh.
13) Dr. Hanafi Hasanain.
14) Syeikh Husain al-Batanuti.
15) Dr. Faruq Hammadah.
16) Dr. Muhammad Fuad al-Barazi dan ramai lagi dari seluruh pelusuk dunia.

Karya-karya beliau

Sayyid Abdullah al-Ghumari telah menghasilkan pelbagai karangan yang bermutu tinggi hingga mencecah sebanyak 81 buah dalam pelbagai bidang ilmu terutama ilmu Hadith sehinggakan seorang ulama’ pernah berkata sambil menujukan ucapannya kepada Sayyid Abdullah al-Ghumari: Kami menyangka tiada lagi ulama’ Hadith di Mesir dan Timur selain Syeikh Rasyid Ridho dan Syeikh Ahmad Syakir. Namun setelah kami membaca hasil kajian anda dan semakan-semakan anda di dalam bidang Hadith, maka kami mengatakan andalah orang yang ketiga! Antara karya-karya beliau mengikut susunan bidang ilmu: a) Usuluddin: 1) Itqanus Sun’ah fi Tahqiq Ma’nal Bida’ah. 2) Irsyadul Jahilil Ghabiy ila Wujubi’tiqad anna Adam Nabiy. 3) Irghamul Mubtadi’il Ghabiy bijawazit Tawassul bin Nabiy. 4) Al-Tahqiqul Bahir fi Ma’nal Iman Billah wal Yaumil Akhir. 5) Ithaful Azkiya’ bijawazit Tawassul Bil Anbiya’ wal Auliya’. 6) Iqomatul Burhan ‘ala Nuzul ‘Isa fi Akhiriz Zaman dan lain-lain lagi. b) Ulum al-Quran: 1) Al-Ihsan fi Ta’aqqubil Itqan. 2) Bida’ut Tafasir. 3) Bayan Sohihil Aqawil fi Tafsir Ayat Bani Israil. 4) Taudhihul Bayan liwusul Thawabil Quran. 5) Zauqul Halawah bi Bayan Imtina’ Naskhit Tilawah. 6) Al-Ru’ya fil Quran was Sunnah dan lain-lain lagi. c) Ulum Hadith: 1) Al-Ahadith al-Muntaqah fi Fadhoil Sayyidina Rasulillah. 2) Al-Arba’un Hadithan al-Siddiqiyyah. 3) Al-Arba’un al-Ghumariyyah fi Syukrin Ni’am. 4) Asanidul Kutubus Sab’ah fil Hadith. 5) Nihayatul Amal fi Sihhah wa Syarh Hadithil ‘Amal dan lain-lain lagi. d) Fiqh dan Usul Fiqh: 1) Husnut Tafahhum wad Dark Li Masaalatit Tark. 2) Al-Adillah al-Rojihah 'ala Fardhiyyah Qira'atil Fatihah. 3) Al-Istiqso' li Adillah Tahrimil Istimna'. 4) I'lamur Roki'is Sajid bi Ma'nat Tikhazil Qubur Masajid dan lain-lain lagi. Juga beberapa karangan lagi yang agak banyak untuk disenaraikan di sini dalam pelbagai bidang ilmu.

Sesiapa yang membaca setiap karangan beliau, pasti merasa kagum dengan ketinggian ilmu beliau yang menunjukkan keluasan kajian beliau ditambah dengan kekuatan dalil yang dikemukakan dalam setiap masalah yang beliau bentangkan apatah lagi beliau merupakan seorang pakar hadith yang mencapai martabat al-Hafiz. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa Sayyid Abdullah al-Ghumari sememangnya seorang tokoh yang hebat bagi sesiapa yang meneliti karangan beliau dengan pandangan yang saksama tanpa sebarang perasaan ta'sub.

Ujian hidup yang ditempuhi

Sayyid Abdullah al-Ghumari pernah dipenjarakan pada zaman pemerintahan Presiden Jamal Abdul Nasir atas tuduhan mengintip bagi pihak Perancis sedangkan ini merupakan suatu tuduhan palsu melalui perancangan beberapa pihak tertentu yang merasa tergugat dengan kelantangan dan keberanian beliau. Pada asalnya, beliau dijatuhkan hukuman mati, namun setelah mahkamah mendapati beliau tidak bersalah, beliau dikenakan hukuman penjara selama 11 tahun bermula daripada 15 Oktober 1959 hingga 26 Disember 1969. Walaupun berada dalam penjara, ianya tidak menghalang beliau untuk mengarang beberapa karya yang tidak kurang hebatnya.

Kepulangan ke Morocco dan kewafatannya.

Setelah keluar dari penjara, beliau pulang ke Morocco bagi meneruskan perjuangan dalam bidang ilmu. Sayyid Abdullah al-Ghumari telah berada di Mesir selama 40 tahun dan beliau pulang ke tanah airnya untuk menabur bakti buat anak bangsanya di samping meneruskan kelangsungan Madrasah Siddiqiyyah yang telah diasaskan oleh ayahandanya. Setelah menaburkan bakti di Morocco selama lebih kurang 23 tahun, akhirnya beliau menyahut panggilan Ilahi pada hari Khamis 19 Sya'aban 1413 Hijrah (11 Februari 1993) dalam usia 85 tahun. Jasad beliau disemadikan bersebelahan pusara ayahanda dan bondanya yang terletak di Madrasah Siddiqiyyah. Pemergian beliau ditangisi oleh mata-mata yang mencintai beliau dan mengenali kedudukan beliau. Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh beliau. Amin.

Tidak ada komentar: