Selasa, Maret 11, 2008

Datuk Haji Ahmad, Ulama Brunei Darussalam

Datuk Haji Ahmad dilahirkan di Banjarmasin, Kalimantan, selatan Indonesia. Nama penuhnya Datuk Haji Ahmad bin Haji Abdul Lathif. Nama popularnya di Brunei Datuk Haji Ahmad Banjar saja.

Tarikh lahirnya belum diketahui tetapi beliau dilahirkan dalam keadaan menyalahi adat kebiasaan. Ketika ibunya, Dayang Seri Banun (sebutan di Banjar) atau Dayang Serbanun (sebutan di Brunei) meninggal dunia, anaknya masih dalam kandungan. Lazimnya manakala ibu meninggal dunia bererti anak dalam kandungan turut meninggal dunia, tetapi keajaiban telah berlaku. Beberapa bulan kemudian kedengaran suara menangis dari kubur ibu tersebut. Setelah kubur digali ternyata didapati bayi masih hidup.

Seluruh tubuhnya dalam keadaan utuh kecuali hanya sebelah tangannya dimakan ulat bersama-sama mayat ibunya. Semua yang berlaku demikian adalah dengan ‘kudrat, iradat dan ilmu Allah’ semata-mata, dan di luar daripada kemampuan manusia memikirkannya. Sesuatu yang menyalahi kejadian, menurut lazimnya dalam ilmu akidah, dinamakan ‘khariqul adah’. Sebaliknya jika seperti biasa saja dinamakan ‘sunnatullah’.

Asal usul

Pada zaman dulu hampir-hampir tidak ada ulama besar yang berasal dari Banjar yang terlepas daripada kaitan dengan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, penyusun Sabil al-Muhtadin, yang sangat masyhur itu. Kaitan yang saya maksudkan di sini adakalanya perhubungan nasab dan adakalanya perhubungan keilmuan. Bahkan sebahagian besar kedua-duanya sekali.

Berdasarkan perjalanan sejarah dan cerita daripada pelbagai sumber, Datuk Haji Ahmad Banjar yang berhijrah ke Brunei sebagai penyebar Islam juga tidak terlepas daripada perhubungan itu. Sebelum datang ke Brunei beliau terlebih dulu telah memperoleh aliran ilmu Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang turun kepada beberapa orang anak beliau. Datuk Haji Ahmad Banjar hanyalah sezaman dengan cucu-cucu ulama besar Banjar itu. Kemantapan dilanjutkan di Mekah. Beliau berguru dengan ramai ulama, antaranya Syeikh Ahmad Khathib bin Abdul Ghaffar as-Sambasi.

Oleh kerana Datuk Haji Ahmad Banjar adalah salah seorang murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas, bererti kita dapat menulis sejarah yang agak panjang, lengkap, dan tahun-tahun aktiviti ulama Banjar itu berdasarkan banyak perbandingan. Barangkali sebelum ke Brunei, beliau telah diakui sebagai ulama besar di Banjar. Berdasarkan Syeikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari, Mufti Kerajaan Inderagiri, tulisannya menyebut nama lengkapnya diawali dengan ‘Al-Alim Al-Allamah.

Jika kita membicarakan murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang paling terkenal ia cukup ramai. Antaranya Syeikh Nawawi al-Bantani (lahir 1230H/1814M, wafat 1314H/1896M), tetapi dalam artikel ini hanyalah dipilih yang ada hubungannya dalam persekitaran Borneo/Kalimantan. Salah seorang murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang berasal dari Sarawak bernama Haji Abdul Lathif bin Haji Abdul Qadir Sarawak. Nama ini serupa nama dengan ayah Datuk Haji Ahmad Banjar, kemungkinan juga ayah beliau. Tetapi tidak dapat dipastikan kerana nama datuk pada Datuk Haji Ahmad Banjar belum diketahui. Haji Abdul Lathif pernah merantau ke Pontianak dan Banjar kerana menyebarkan Islam melalui ajaran Tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah Syeikh Ahmad Khathib as-Sambasi.

Oleh sebab kedua-duanya sama-sama belajar dengan Syeikh Ahmad Khathib Sambas, riwayat yang pasti bererti kedua-duanya adalah bersahabat. Murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang berasal dari Borneo/Kalimantan pula ialah Syeikh Nuruddin Tekarang. Ulama ini berasal dari selatan Filipina. Selepas belajar di Mekah dia pulang ke Sambas. Kuburnya terletak di Kampung Tekarang, Kecamatan Tebas, Kabupaten Sambas.

Muridnya Syeikh Muhammad Sa’ad daripada keturunan Sambas asli, kuburnya terletak di Kecamatan Selakau, Kabupaten Sambas. Semua ulama yang berasal dari Borneo/Kalimantan tersebut adalah ikhwan (persaudaraan) Datuk Haji Ahmad Banjar dalam Tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah Syeikh Ahmad Khathib as-Sambasi. Riwayat yang diperoleh dari Brunei pula menyatakan Datuk Haji Ahmad Banjar bersahabat dengan ulama Brunei, Pangiran Abdul Momin bin Pangiran Sabtu (wafat 1298H/1880M). Beliau ini berasal dari Kampung Bakut Siraja Muda.

Sebagaimana pernah saya riwayatkan dalam beberapa tulisan sebelum ini, Syeikh Ahmad Khathib Sambas adalah termasuk murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam pelbagai bidang ilmu kecuali Tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah. Tarekat itu diterima oleh Syeikh Ahmad Khathib Sambas daripada Syeikh Syamsuddin.

Daripada kenyataan ini bererti sanad atau salasilah keilmuan pelbagai bidang ilmu Datuk Haji Ahmad Banjar melalui Syeikh Ahmad Khathib Sambas naik kepada Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani hingga naik kepada yang lebih atas daripadanya. Sanad atau salasilah ini pula dalam beberapa disiplin ilmu adalah sama dengan sanad atau salasilah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari.

Selain dipastikan bahawa Datuk Haji Ahmad Banjar adalah murid Syeikh Ahmad Khathib Sambas, diriwayatkan pula ketika di Mekah beliau telah belajar daripada beberapa ulama Arab yang terkenal pada zaman itu, antaranya Syeikh Utsman ad-Dimyathi, Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan lain-lain.

Daripada riwayat ini dapat diambil kesimpulan bahawa sama ada ilmu-ilmu yang melalui Syeikh Ahmad Khathib Sambas mahupun ilmu-ilmu yang melalui ulama-ulama Arab, semuanya adalah dalam ilmu yang dianggap selamat dari kaca mata penilaian ulama tradisional. Yang saya maksudkan di sini ialah bahawa dalam akidah tetap berpegang kepada Ahli Sunah Wal Jamaah menurut metod Imam Abu Hasan al-Asy’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi. Tentang fikah tetap mengikut satu mazhab saja, iaitu Mazhab Syafie. Tentang tasawuf tetap berpedoman dan berpegang teguh dengan kitab-kitab turas tasawuf seperti karangan-karangan Imam al-Ghazali. Demikian juga pegangan tentang amalan, secara rutin tiada sekali-kali ditinggalkan amalan Tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah yang beliau terima langsung daripada gurunya Syeikh Ahmad Khathib Sambas yang sangat terkenal itu.

Pemerintahan

Tahun kedatangan Datuk Haji Ahmad Banjar di Brunei belum diketahui dengan pasti. Diriwayatkan bahawa beliau berhijrah ke Brunei pada zaman pemerintahan Sultan Brunei yang ke-24, ialah Sultan Abdul Momin yang memerintah dari tahun 1852-1885. Datuk Haji Ahmad Banjar tinggal di Kampung Burung Pingai Ayer dan di sanalah beliau menjalankan aktiviti penyebaran Islam melalui pendidikan dan dakwah.

Murid-murid beliau datang dari beberapa kampung dalam Brunei, kebanyakannya datang dari Kampung Burung Pingai, Kampung Burung Tekuruk, Kampung Lorong Dalam dan lain-lain.

Dipercayai ilmu-ilmu yang diajarkan ialah penekanan tentang fardu ain, terutama akidah, fikah Mazhab Syafie, dan tasawuf. Ilmu fardu ain yang terpenting pula ialah praktik tajwid terutama dalam bacaan al-Fatihah yang wajib dibaca dalam sembahyang. Oleh sebab Datuk Haji Ahmad Banjar termasuk salah seorang ‘Khalifah Mursyid Tarekat Qadiriyah-Naqsyabandiyah’, sekali gus beliau juga telah membaiah dan mentawajjuhkan tarekat tersebut kepada beberapa muridnya. Antara mereka yang menerima tarekat itu ialah Pehin Datu Imam Haji Mokti bin Haji Nasar.

Selain kegiatan penyebaran ilmu-ilmu Islam, Datuk Haji Ahmad Banjar juga dilantik sebagai Pengawas Perkembangan Agama Islam di Brunei Darussalam. Selain itu, beliau juga pernah menjadi Kadi. Sungguhpun demikian, kemungkinan kerana waraknya, Datuk Haji Ahmad Banjar pernah menolak penganugerahan gelaran Datuk Seri Maharaja.

Oleh sebab ada hubungan pertalian kekeluargaan dengan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, salah seorang cucu ulama Banjari ini ialah Haji Thasin bin Mufti Jamaluddin al-Banjari yang pergi ke Brunei dan berkahwin dengan anak Datuk Haji Ahmad Banjar yang bernama Aminah.

Hasil perkahwinan itu, mereka memperoleh anak bernama Haji Ramli. Haji Thasin bin Mufti Jamaluddin al-Banjari selain berkahwin di Brunei juga pernah bernikah di Pontianak, memperoleh beberapa orang anak. Antaranya Haji Yusuf Saigon dan Haji Muhammad Arsyad. Kedua-dua anak Haji Thasin yang di Pontianak ini adalah adik-beradik satu ayah dengan Haji Ramli di Brunei Darussalam. Walau bagaimanapun, saya masih belum dapat mengesan keturunan Haji Ramli bin Haji Thasin di Brunei.

Dipetik dari:
Akhbar Utusan Malaysia, ruangan Ulama Nusantara, Datuk Haji Ahmad, Ulama Brunei Darussalam karya Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah

Tidak ada komentar: