Pages

Minggu, Maret 30, 2008

Haji Muhammad Yasin, Merantau Kembangkan Ajaran Islam

Ulama tersohor Kedah mengembara, buka pondok pengajian di Kalimantan Barat selepas 20 tahun tuntut ilmu di Makkah

Lebih 100 tahun lalu, ketika British melebarkan jajahannya di seluruh Tanah Melayu, seorang pemuda dari Kedah menaiki kapal dan belayar jauh meninggalkan kampung halamannya di utara tanah air.

Dengan satu cita-cita kudus, dia merentas laut dan akhirnya sampai di kepulauan Kalimantan Barat. Misinya ketika itu hanyalah satu - menyebarkan dakwah ajaran Rasulullah SAW kepada penduduk kawasan asing supaya syiar Islam benar-benar menjangkau seluruh pelusuk dunia.

"Ketibaan Haji Muhammad Yasin di wilayah Pontianak di kepulauan itu kemudian disambut baik Sultan Pontianak ketika itu, Sultan Syarif Yusuf bin Syarif Abdul Hamid al-Qadri," kata Setiausaha Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia (Pengkaji), Abd Halim Muhamed ketika menceritakan jasa dan sumbangan besar tokoh ulama itu.

Beliau berkata, Haji Muhammad Yasin adalah seorang daripada ribuan ulama Melayu Nusantara yang namanya semakin hilang daripada ingatan masyarakat ketika ini. Jasa dan sumbangan mereka dikhuatiri akan lenyap ditelan masa jika tiada usaha untuk mengetengahkan sumbangan dan jasa mereka, dilakukan pihak tertentu.

"Haji Muhammad Yasin, sama seperti ulama lain pada zaman itu dihantar untuk berdakwah dan menyebarkan ilmu agama ke kawasan asing yang penduduknya masih kurang pengetahuan mengenai Islam.

"Akan tetapi berbeza dengan kebanyakan pendakwah pada hari ini, apabila ulama dulu pergi berdakwah ke suatu tempat, mereka tidak pulang-pulang lagi; kebanyakan mereka menetap di kawasan baru itu dan meninggal dunia di sana," katanya.

Menceritakan mengenai asal usul Haji Muhammad Yasin, Abd Halim berkata, kajian dilakukan pengasas Pengkaji iaitu Allahyarham Wan Mohd Saghir Abdullah mendapati ulama dari Kedah itu pernah menuntut ilmu di Makkah lebih 20 tahun sebelum diarahkan berdakwah di Kalimantan Barat.

"Ketika di Makkah, Haji Muhammad Yasin menyara hidupnya dengan mengambil upah menyalin pelbagai kitab Melayu Jawi. Kitab yang paling banyak disalin olehnya ialah kitab Siyarus Salikin karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani," katanya.

Pada zaman itu iaitu lewat abad ke-19, pemerintah di kepulauan Kalimantan Barat terutama Pontianak, Mempawah dan Sambas memiliki hubungan yang rapat dengan institusi keagamaan di Pattani.

Mereka akan mengirim surat, barang dan wang kepada ulama Pattani termasuk kepada Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani pada setiap tahun.

"Oleh kerana banyak surat yang diterima daripada tiga kerajaan itu, maka Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani mengutuskan beberapa muridnya termasuk Haji Muhammad Yasin untuk berdakwah dan mengajar di sana," katanya.

Amanah yang diterima dengan telus itu seterusnya menjadi episod baru bagi kehidupan Haji Muhammad Yasin. Dengan penuh harapan, beliau berangkat ke Kalimantan Barat, suatu kawasan asing yang jauh dari kampung halamannya.

Ketibaan Haji Muhammad Yasin di Pontianak kemudian membuka pintu hati Sultan Syarif Yusuf untuk meminta ulama itu mengajar ilmu agama di istana selain kepada masyarakat kerajaan berkenaan. Permintaan itu dipersetujui Haji Muhammad Yasin pada mulanya tetapi melewati beberapa bulan, jiwanya mula berbuai.

Beliau berpandangan bahawa mengajar ilmu agama dengan cara menerima gaji mencerminkan kurangnya sikap tawakal terhadap Allah SWT. Lalu dimohonnya kepada Sultan Pontianak itu untuk dia mengembara ke utara, menuju Mempawah atau Sambas.

"Wan Mohd Saghir menulis dalam kajiannya bahawa Haji Muhammad Yasin lebih suka berdikari daripada diarahkan oleh orang lain dan beliau memilih mengembara ke arah utara kerana ia simbolik kepada mendaki atau naik ke atas yang melambangkan segala cita-cita akan tercapai.

"Sebaliknya apabila menuju ke selatan, ia adalah bersifat menurun, maka akan menempuh gangguan dan cubaan serta kejayaan sukar dicapai," katanya.

Abd Halim berkata, tujuan pengembaraan Haji Muhammad Yasin sebenarnya bertujuan mencari lokasi yang sesuai untuk dia membuka satu institusi pengajian pondok bagi meneruskan kesinambungan pengajaran ilmu agama dan penyebaran dakwah.

Selepas berjalan kaki sejauh 60 kilometer, Haji Muhammad Yasin kemudian tidak lagi meneruskan pengembaraannya kerana sebuah lokasi yang mengalirnya air sungai dan letaknya di tepi laut, diyakininya sesuai untuk dibuka pondok pengajian.

Kedua-dua jalan air iaitu menerusi lautan dan sungai itu diyakini akan memudahkan orang ramai hadir ke lokasi berkenaan seterusnya mudahlah untuk beliau menyebarkan ilmu agama dan dakwah di situ.

"Tempat berkenaan ialah Kampung Kuala Secapah yang terletak di muara Sungai Mempawah. Di Sungai Mempawah itulah dahulunya tempat pahlawan Bugis bernama Upu Daeng Menambon melabuhkan perahunya sebelum mudik ke hulu sejauh kira-kira empat kilometer, lalu membentuk sebuah Kerajaan Islam yang dinamakan Kerajaan Mempawah," katanya.

Nyata hasrat Haji Muhammad Yasin untuk membuka institusi pengajian pondok di kawasan itu disambut gembira penduduk setempat lebih-lebih lagi mengenangkan beliau adalah ulama tersohor yang mahu mengajar ilmu agama di tempat mereka.

"Kedatangan beliau ke Mempawah dipercayai pada zaman pemerintahan Gusti Ibrahim yang bergelar Penembahan Ibrahim Shafiuddin iaitu dari 1872 hingga 1887," katanya.

Menurut riwayat, Haji Muhammad Yasin membina sebuah rumah yang besar di Kampung Kuala Secapah dan mengasaskan sistem pondok ala Pattani di sana.

Sebaik mengetahui pembukaan institusi pengajian pondok oleh ulama berkenaan, maka ramai orang berbondong-bondong ke kawasan itu untuk menimba ilmu.

Dalam waktu yang singkat, banyak pondok kecil didirikan anak muridnya di sekeliling rumah beliau. Beliau mengajar pelbagai ilmu agama selain kesenian Islam antaranya Hadrah, Berzanji, Nazham dan Burdah dan warisan kesenian itu masih kekal di Mempawah sehingga kini.

"Dari sudut peribadinya, Haji Muhammad Yasin dianggap masyarakat sebagai seorang ulama yang memiliki keramat. Sejak kedatangannya di Mempawah, sengketa sesama penduduk tidak lagi berlaku seperti sebelumnya malah rezeki dan hasil tanaman padi dan kelapa di kawasan itu melimpah ruah.

"Satu daripada keistimewaan akhlak ulama ini ialah beliau tidak mahu membunuh binatang walau sekecil nyamuk sekalipun. Haji Muhammad Yasin sememangnya banyak melakukan ibadat, beliau memiliki bilik khas untuk melakukan beribadat sendirian selain tempat yang digunakan untuk berjemaah," katanya.

Bertahun menabur jasa dan dakwah di tempat itu, Haji Muhammad Yasin kemudian kembali ke rahmatullah. Beliau akhirnya dimakamkan di Mempawah, suatu kawasan asing yang jauh dari kampung halamannya.

"Kewafatan Haji Muhammad Yassin bagaimanapun tidak menamatkan usaha dakwah di Kalimantan Barat khususnya di Mempawah. Usaha beliau diteruskan Haji Abdul Rahman Kelantan dan apabila tokoh ulama itu juga meninggal dunia, usaha dakwah diteruskan pula Pengasas Pengkaji, Wan Mohd Saghir sekitar 1968," katanya.

Ulama berjihad tentang penjajah guna pena, tulisan

Berbanding pahlawan Melayu yang menentang penjajah, jasa dan sumbangan ulama Melayu kurang dikenali masyarakat pada hari ini.

Mungkin ramai sedikit mengenali nama-nama seperti Tok Kenali di Kelantan, Tok Ku Paloh di Terengganu atau Abdullah Fahim di Pulau Pinang, lantaran ulama itu adalah datuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Setiausaha Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara Malaysia (Pengkaji), Abd Halim Muhamed, berkata sebenarnya, terdapat ribuan nama yang tersenarai sebagai ulama Melayu Nusantara malah sumbangan mereka tidak boleh dipertikaikan sama hebatnya dengan pejuang penentang penjajah.

"Jika dilihat kepada peribadi pahlawan dulu, mereka juga arif dalam ilmu agama. Pahlawan dulu berjuang dengan menentang penjajah tetapi watak yang memainkan peranan mencetuskan kesedaran untuk membela agama, bangsa dan tanah air sebenarnya ialah ulama," katanya.

Beliau berkata, berbanding pahlawan yang berjihad menggunakan senjata, ulama berjihad menerusi pena dan tulisan apabila menghasilkan kitab bagi menyebarkan ajaran Islam.

"Malah, kehebatan ulama Melayu silam menyebabkan ada antara mereka yang mengajar ilmu agama di Makkah sehinggakan Bahasa Melayu seolah-olah menjadi bahasa kedua di Tanah Suci itu.

"Mereka juga sanggup dihantar merantau ke tempat yang asing semata-mata mahu menyebarkan syiar Islam malah ramai antara mereka yang tidak pulang lagi ke kampung asal kerana meninggal dunia di tempat asing itu.

Katanya, ulama dulu juga tidak sewenang-wenangnya mengaku diri mereka dengan gelaran 'ulama' sebaliknya gelaran itu diiktiraf sendiri oleh masyarakat dan ulama yang lebih besar.

Abd Halim bagaimanapun berkata, tidak dinafikan yang semakin ramai masyarakat pada hari ini yang tidak lagi mengingati nama dan sumbangan ulama silam dan dikhuatiri warisan berharga itu akan hilang melewati masa jika tiada usaha untuk mengumpul serta menghargai nama dan sumbangan mereka dilakukan pihak bertanggungjawab.

"Kesedaran itulah yang menyebabkan Pengkaji ditubuhkan pada 1996 iaitu untuk mengkaji bagi mengenali sejarah hidup tokoh ulama ini selain memelihara warisan kitab yang dihasilkan mereka.

"Sambutan terhadap pameran ulama yang kami lakukan sebelum ini nyata mendapat maklum balas memberangsangkan sekali gus membuktikan masyarakat mahu mengenali kalangan ulama ini tetapi tidak banyak kajian terhadap mereka yang diketengahkan," katanya.

Beliau berkata, sebelum penubuhan Pengkaji, usaha mengumpul, mendokumentasi dan menyebarkan hasil khazanah ulama Melayu sudah dilakukan pengasas persatuan itu iaitu Wan Mohd Saghir Abdullah.

"Wan Mohd Saghir mula mengkaji dan mengumpulkan maklumat mengenai ulama ini sejak beliau berusia 12 tahun lagi bagi menunaikan wasiat datuknya Syeikh Ahmad al-Fathani yang disampaikan oleh ibunya, Hajah Wan Zainab.

"Bagi mendapatkan maklumat berhubung kajiannya, Wan Mohd Saghir tidak saja meneliti dokumen lama tetapi sanggup pergi ke tempat tokoh ulama itu berdakwah antaranya di Kepulauan Riau dan Sumatera, Brunei, Pattani dan Kalimantan Barat selain dalam negeri," katanya.

Malah, Wan Mohd Saghir sanggup membeli karya dan kitab karangan ulama silam dengan harga mahal semata-mata mengenangkan sukarnya untuk menjumpai kitab berkenaan di mana-mana pada hari ini.

"Sehingga kini sudah lebih 200 biografi ulama yang dikaji Wan Mohd Saghir menerusi Pengkaji selain koleksi transliterasi kitab lama serta karya ulama silam," katanya.

Bagi menyambung usaha memartabatkan warisan ulama silam yang dipelopori Wan Mohd Saghir itu, Pengkaji kini bekerjasama dengan syarikat Khazanah Fathaniyah untuk menerbitkan kembali kitab lama karangan ulama silam bagi membolehkan orang ramai mempelajari ilmu yang terkandung dalamnya.

"Buat permulaan kami mencetak dua kitab lama iaitu kitab ajaran solat 'Mun-yatul Mushali' karangan Syeikh Daud al-Fathani dan 'Faridhatul Faraid' karangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang mengulas persoalan akidah.

"Kami juga berharap untuk menerima sumbangan orang ramai supaya membeli kitab ini untuk diwakafkan kepada pelajar institusi pengajian pondok di Kemboja," katanya.

0 komentar: