Pages

Senin, Maret 31, 2008

Dua Ulama Luar Berperanan Besar Dalam Kerajaan Pontianak


HAJi Ismail Al-Kalantani (kiri) dan Saiyid Abdullah Az-Zawawi dua ulama luar yang berperanan besar dalam kerajaan Pontianak.

Ismail Al-Kalantani, Mufti Kerajaan Pontianak

Ulama yang berasal dari Kelantan ini pernah penulis riwayatnya di dalam Majalah Pengasuh yang diperlengkapkan oleh Ismail Awang. Selanjutnya dimuat dalam buku Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu (jilid 1), yang diselenggarakan oleh Ismail Che Daud dan diterbitkan oleh Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, cetakan pertama, 1988. Beberapa tahun kemudian penulis menemui data-data baru mengenai ulama Kelantan yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak di Kalimantan Barat ini, oleh itu riwayat mengenainya ditulis kembali di dalam ruangan Agama, Utusan Malaysia ini. Nama lengkapnya ialah Ismail bin Haji Abdul Majid bin Haji Abdul Qadir al-Kalantani. Lahir di Kampung Labok, Macang, Kelantan. Mengenai tahun lahir dan wafatnya masih perlu dikaji kembali. Pendapat awal menyebut bahawa Ismail Kelantan lahir pada tahun 1293 Hijrah/1876 Masihi. Ismail Che' Daud menjelaskan pada notanya bahawa ulama tersebut lahir pada awal tahun 1300 Hijrah/1882 Masihi. Demikian tentang wafatnya bahawa pendapat awal menyebut tahun 1365 Hijrah/1946 Masihi, Ismail Che' Daud menyebut kemungkinan pada tahun 1370 Hijrah/1951 Masihi atau terkemudian lagi.

Pendidikan

Ismail dan abangnya Muhammad Nuh (yang kemudian dikenali sebagai Haji Nuh Kaya) setelah memperoleh pendidikan asas di Kelantan, dihantar belajar ke Mekah. Di Mekah, Ismail sempat mengikuti majlis pengajian Syeikh Ahmad al-Fathani, sama ada di rumah mahu pun di Masjid al-Haram. Ada orang meriwayatkan bahawa Ismail Kelantan pulang ke Kelantan sesudah haji pada tahun 1325 Hijrah/1908 Masihi, iaitu tahun kewafatan Syeikh Ahmad al-Fathani (wafat 11 Zulhijjah 1325 Hijrah/18 Januari 1908 Masihi). Riwayat lain menyebut bahawa setelah Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia, Ismail Kelantan meneruskan pengajiannya kepada beberapa orang ulama besar Mekah, antaranya Saiyid Abdullah az-Zawawi (lahir 1266 Hijrah/1850 Masihi, wafat 1343 Hijrah/1924 Masihi), Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi dan ramai lagi. Syeikh Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi berasal dari Termas (Jawa) adalah seorang ulama besar Mazhab Syafie dan ahli dalam ilmu hadis. Beliau mempunyai beberapa karangan yang besar, antaranya Muhibah Zawin Nazhar yang tebalnya empat jilid.Hubungan mesra antara Ismail Kelantan dengan Saiyid Abdullah az-Zawawi sejak beliau belajar di Mekah lagi, yang ketika itu Saiyid Abdullah az-Zawawi adalah seorang Mufti Mazhab Syafie di Mekah. Ketika pergolakan Wahhabi di Mekah, beberapa orang ulama tidak aman tinggal di Mekah, termasuklah Saiyid Abdullah az-Zawawi. Haji Ismail Kelantan mengikut gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi itu berhijrah dari Mekah ke Riau dan selanjutnya ke Pontianak. Sewaktu Saiyid Abdullah az-Zawawi menjadi Mufti Pontianak, Ismail Kelantan terus bersama gurunya itu, belajar pelbagai bidang ilmu tiada henti-hentinya walau pun ilmu yang dikuasainya cukup banyak dan memadai. Riwayat lain menyebut bahawa Ismail Kelantan pulang ke Kelantan lebih awal (1325 Hijrah/1908 Masihi), dan selanjutnya pergi ke Cam/Kemboja.

Ilmu Falak

Ismail Kelantan tidak sempat menamatkan ilmu falak yang dipelajarinya daripada Syeikh Ahmad al-Fathani. Oleh itu setelah Syeikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia, beliau meneruskan pendidikan khusus tentang ilmu falak itu daripada Syeikh Muhammad Nur bin Muhammad bin Ismail al-Fathani. Ketika mempelajari ilmu falak daripada Syeikh Muhammad Nur al-Fathani, beliau bersama Syeikh Haji Abu Bakar bin Haji Hasan Muar.Mengenai ketokohan Ismail Kelantan dalam ilmu falak dapat dibuktikan dalam karyanya Pedoman Kesempurnaan Manusia. Menurut cerita Ustaz Abdur Rani Mahmud (ketika masih hidup sebagai Ketua Majlis Ulama Kalimantan Barat), bahawa Ismail Kelantan adalah orang pertama yang menyebarluaskan ilmu falak di Pontianak, khususnya atau Kalimantan Barat umumnya.

Ke Pontianak Sebagai Mufti

Selain bersama gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi di Pontianak, Ismail Kelantan pernah menziarahi Syeikh Muhammad Yasin, seorang ulama yang berasal dari Kedah, yang tinggal di Kuala Secapah, Mempawah. Pada tahun kedatangan Ismail Kelantan ke Kuala Secapah, Mempawah itulah Syeikh Muhammad Yasin Kedah meninggal dunia. Ismail Kelantan juga menziarahi Wan Nik, seorang ulama sufi yang berasal dari Patani. Beliau tinggal dalam bandar Mempawah.Dalam waktu yang relatif singkat, kealiman Ismail Kelantan tersebar di sekitar Mempawah dan Pontianak. Oleh sebab itu Adam, seorang hartawan Bugis di Sungai Itik, Pontianak, iaitu seorang yang sangat haus dengan ilmu pengetahuan, menjemput Ismail Kelantan mengajar di rumahnya.
Bukan itu saja, atas kehendak Adam dan Mu'minah binti Haji Muhammad Thahir, mereka menjodohkan anak perempuannya dengan Ismail Kelantan. Perkahwinan dengan anak Adam itu merupakan perkahwinan Ismail Kelantan yang pertama di Pontianak. Detik-detik terakhir akan kepulangannya ke Kelantan, Ismail berkahwin lagi dengan Jamaliah yang berasal dari Tasik Malaya, Jawa Barat. Perkahwinan kedua ini adalah atas kehendak dan perintah Sultan Muhammad, Sultan Pontianak. Daripada sepucuk surat Ismail Kelantan kepada Syarif Muhammad bin Syarif Yusuf, Sultan Pontianak, tarikh Pontianak: 28 Februari 1924, dapatlah diketahui bahawa mula-mula beliau dilantik sebagai Naib Hakim di Rad Agama Pontianak mulai tarikh 12 Ogos 1920 Masihi. Pada tarikh penulisan surat 28 Februari 1924, kedudukan Ismail Kelantan adalah sebagai Mufti di Kerajaan Pontianak. Sewaktu Ismail Kelantan menjadi Mufti Pontianak, ada tiga orang ulama yang bernama Ismail. Dua orang lagi ialah Ismail bin Abdul Lathif (lebih dikenali dengan Ismail Jabal) dan Ismail bin Abdul Karim (lebih dikenali sebagai Ismail Mundu). Ismail bin Abdul Lathif berpangkat Adviseur Penasihat Rad Agama Kerajaan Pontianak. Ismail bin Abdul Karim (wafat pada hari Khamis, 15 Jamadilakhir 1376 Hijrah/16 Januari 1957 Masihi) pula adalah Mufti Kerajaan Kubu, sebuah kerajaan kecil di bawah naungan Kerajaan Pontianak. Ketiga-tiga ulama tersebut sangat terkenal di dalam Kerajaan Pontianak. Bahkan kerajaan-kerajaan lain di seluruh Kalimantan/Borneo.

Pulang Ke Kelantan

Ismail Kelantan pulang ke Kelantan sekitar tahun 1937. Di Kota Bharubeliau menjadi guru di Jami' Merbau yang berstatus sebagai pendidikan tinggi Islam ketika itu. Murid-murid yang diterima di Jami' Merbau adalah orang-orang yang telah mendapat pendidikan yang cukup memadai, yang datang dari seluruh Semenanjung dan Patani.
Semangat
Selain mengajar di Jami' Merbau, Ismail Kelantan juga menjadi guru dan imam di Istana Sultan Kelantan. Ismail Kelantan adalah hafiz al-Quran tiga puluh juzuk, fasih ketika berpidato dan berkhutbah di atas mimbar. Kelebihannya pula dapat mempengaruhi dan membakar semangat pendengar. Dalam satu peristiwa pergaduhan yang didalangi Bintang Tiga yang terjadi di Kota Bharu, Ismail Kelantan telah berpidato sehingga menaikkan semangat juang orang Melayu.

Penulisan

1. Fatwa Daripada as-Saiyid Abdullah Ibnu Almarhum as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi Jawab Soal Dari Tanah Jawa, diselesaikan pada 25 Syawal 1330 Hijrah. Kandungannya mengenai ayat-ayat al-Quran dalam piring hitam. Diberi gantungan makna dalam bahasa Melayu daripada karya asalnya yang ditulis dalam bahasa Arab, Rejab tahun 1326 Hijrah. Dicetak dengan kehendak as-Saiyid Ja'far bin Pangeran Syarif Abdur Rahman al-Qadri Pontianak. Dicetak di Mathba' Haji Muhammad Sa'id bin al-Marhum Haji Arsyad, No. 82 Arab Street Singapura, pada 25 Syawal 1330 Hijrah oleh Muhammad bin Haji Muhammad Sa'id, Basrah Street, No. 49 Singapura.
2. Risalah Pada Bicara Jum'at dan Sembahyang Zhuhur Mu'adah, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan. Tarikh salinan 3 Rabiulawal 1345 Hijrah. Manuskrip disalin oleh Khathib Peniti Kecil, diperoleh di Pontianak pada 8 Syawal 1422 Hijrah/22 Disember 2001 Masihi. Kandungan perbahasan khilafiah mengenai sembahyang Jumaat dan sembahyang Zuhur atau mu'adah.
3. Pedoman Kemuliaan Manusia, kandungannya membicarakan rampaian berbagai-bagai ilmu, termasuk falakiyah. Cetakan yang pertama Mathba'ah al-Ma'arif, Kota Bharu, Kelantan. Taqriz/pujian: Tuan Guru Ahmad Mahir bin Haji Ismail Kemuning, Kadi Besar Negeri Kelantan (ditulis pada 22 Januari 1938), Tuan Guru Nik Muhammad Adib bin Syeikh Muhammad Daud, Jawatan Tinggi Kadi Pelawat atau Pemeriksa Kadi-kadi Dalam Kelantan (ditulis 22.11.37), Tuan Guru Abdullah Tahir bin Ahmad, Guru Besar Ugama Dalam Kelantan dan Anggota Ulama Dalam Majlis Ugama Islam Kelantan (ditulis 14 Zulkaedah 1356 Hijrah).

Keturunan dan Murid

Sewaktu Ismail Kelantan pulang ke Kota Bharu, Kelantan, tiga orang anaknya dengan isteri pertama telah berumah tangga, ketiga-tiganya tidak ikut pulang ke Kelantan. Anak-anaknya yang pernah ditemui penulis ialah anaknya yang tinggal di Parit Sungai Keluang, Peniti, Kecamatan Siantan, Kabupaten Pontianak. Suaminya bernama Arif. Seorang anak Ismail Kelantan yang perempuan lainnya tinggal di Pontianak. Dipercayai ketiga-tiga anak Ismail Kelantan melahirkan keturunan yang ramai di Pontianak atau pun telah berpindah ke tempat-tempat lainnya.Antara sekian ramai murid Ismail Kelantan di Pontianak yang sangat rapat dengan penulis ialah Ustaz Abdur Rani Mahmud. Beliau termasuk salah seorang guru penulis. Jawatan terakhir beliau ialah Ketua Majlis Ulama Kalimantan Barat. Beliau adalah tempat rujukan segala kemusykilan mengenai Islam bagi masyarakat umum dan pihak pemerintah di Kalimantan Barat. Cerita-cerita mengenai kelebihan atau keistimewaan Ismail Kelantan banyak penulis dengar dan catat daripada Abdur Rani Mahmud. Menurut Abdur Rani Mahmud, Ismail Kelantan adalah orang pertama menyebarkan ilmu falak secara meluas di Pontianak. Katanya, ``Kemungkinan Haji Ismail Kelantan hafal Quran tiga puluh juzuk kerana di mana saja beliau duduk, mulutnya sentiasa membaca ayat-ayat al-Quran. Tangannya senantiasa memegang tasbih. Kalau mengajar mata pelajaran apapun yang diajarkannya semuanya secara hafal walau pun kitab ada di depannya.''

Saiyid Abdullah Az-Zawawi, Mufti Syafi'iyah Makkah

Ulama yang dibicarakan kali ini juga seorang bangsa Arab yang cukup terkenal di dunia Melayu, bahkan secara berantai mulai datuk, ayah, beliau sendiri hingga keturunannya berperanan penting dalam penyebaran ilmu-ilmu Islam di dunia Melayu. Untuk menulis riwayat ini saya gunakan beberapa sumber.

Sumber daripada bahasa Arab ialah tulisan Syeikh 'Umar Abdul Jabbar yang dimuat dalam Kitab as-Siyar wa at-Tarajim. Sumber bahasa Melayu ialah sebuah risalah judul Kaifiyah 'Ala Thariqah An-Naqsyabandiyah Al-Mujaddidiyah Al-Ahmadiyah Li Al-'Allamah Al-Quthub Ash-Shufiyah As-Saiyid Muhammad Shalih Ibnu As-Saiyid Asy-Syarif 'Abdur Rahman Az-Zawawi (cetakan Mathba'ah al-Ahmadiyah al-Kainah fi Bandar Riau al-Mahrusah al-Mahmiyah, 11 Muharam 1313 H). Selain itu, sumber yang paling penting ialah catatan-catatan (manuskrip) yang saya peroleh dari istana kerajaan Pontianak.

Sumber yang tidak kurang penting ialah wawancara beberapa orang di antaranya keturunan beliau Saiyid Muhammad Yusuf bin Saiyid 'Ali az-Zawawi (pernah menjadi Mufti Terengganu).

Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdullah bin Saiyid Muhammad Shalih bin Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi. Lahir 1266 H/1850 M. Saya masih meragui tahun wafat 1343 H/1924 M yang disebut oleh Syeikh 'Umar Abdul Jabbar, kerana beberapa tahun sesudah tahun itu Saiyid Abdullah az-Zawawi masih berada di Pontianak. Jika diperhatikan tahun lahir tersebut, ia bersamaan dengan tahun lahir Saiyid Abu Bakri Syatha (lahir 1266 H/1849 M). Dengan maklumat ini mudahlah kita menjejaki guru-guru ulama yang diriwayatkan ini.

- Apabila kita membicarakan ulama Arab keturunan ‘Saiyid’ yang tersebut pada judul, dapat kita jejaki mulai dari datuknya lagi yang pernah datang ke dunia Melayu. Datuk beliau bernama Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi. Dalam sebuah catatan yang diperoleh dari istana kerajaan Pontianak disebutkan bahawa pada tahun 1295 H/1878 M, Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi datang di Pontianak mengajar beberapa ilmu dan membaiah Tarekat Naqsyabandiyah.

- Anak Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi yang bernama Saiyid Muhammad Shalih (lahir 1246 H/1830 M, wafat 1308 H/1890 M) pula pernah datang ke Pulau Penyengat, Riau. Beliau juga mengajar pelbagai ilmu dan sempat membaiah Tarekat Naqsyabandiyah al-Mujaddidiyah al-Ahmadiyah kepada Raja Muhammad Yusuf al-Ahmadi (wafat 1317 H/1899 M), iaitu Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga yang ke-X (Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga yang terakhir).

- Syeikh 'Umar Abdul Jabbar menulis bahawa Saiyid Abdullah az-Zawawi belajar di Madrasah ash-Shaulatiyah, Mekah. Sebagaimana diketahui dalam sejarah bahawa yang mendirikan madrasah tersebut ialah Syeikh Rahmatullah bin Khalilur Rahman al-Hindi al-'Utsmani (salah seorang keturunan Saidina 'Uthman bin 'Affan). Oleh sebab sudah jelas bahawa Saiyid Abdullah az-Zawawi belajar di madrasah tersebut, maka sudah pasti beliau adalah termasuk golongan murid yang pertama belajar kepada ulama keturunan Saidina 'Uthman bin 'Affan r.a itu. Sanad pelbagai ilmu Islam dapat diketahui melalui Syeikh Rahmatullah bin Khalilur Rahman al-Hindi al-'Utsmani yang banyak dibicarakan dalam pelbagai kitab.

Sumber Arab

- Pendidikan Saiyid Abdullah az-Zawawi melalui jalan yang lain pula, terutama dalam ilmu tasawuf dan tarekat, dapat diketahui daripada sumber Arab dan Melayu. Saiyid Abdullah az-Zawawi belajar kepada ayahnya, iaitu Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi. Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi belajar kepada ayahnya, iaitu Saiyid Abdur Rahman az-Zawawi. Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi selain belajar kepada ayahnya juga belajar dengan Saiyid Muhammad Mazhhar al-Ahmadi. Beliau ini belajar dengan Syeikh Ahmad Sa'id al-Ahmadi yang belajar dengan Syeikh Abi Sa'id al-Ahmadi. Syeikh Abi Sa'idbelajar dengan Syeikh Abdullah ad-Dahlawi. Syeikh Abdullah ad-Dahlawi ini adalah ulama yang sangat terkenal terutama dalam bidang ilmu hadis. Selain nama-nama yang tersebut di atas, Saiyid Abdullah az-Zawawi juga belajar dengan beberapa orang ulama di Mekah termasuk juga dengan Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan.

- Telah diketahui umum bahawa Saiyid Abdullah az-Zawawi ialah Mufti Mazhab Syafie di Mekah. Hampir-hampir tidak ada orang menceritakan bahawa beliau menduduki beberapa jabatan penting di Makkah ketika beliau belum berpindah ke dunia Melayu. Tetapi Syeikh 'Umar Abdul Jabbar menulis bahawa pada zaman pemerintahan Syarif Husein di Mekah, Saiyid Abdullah az-Zawawi memegang jawatan sebagai Ketua Majlis Syura, Ketua Majlis Syuyukh dan Ketua 'Ain Zubaidah. Di samping menyandang kedudukan yang tinggi di Mekah, Saiyid Abdullah az-Zawawi juga giat mengajar. Ramai ulama yang berasal dari dunia Melayu belajar dengan beliau di Makkah yang kemudian menjadi ulama besar yang berperanan penting dalam penyebaran Islam di negeri mereka masing-masing atau tempat-tempat lainnya.

- Saiyid Muhammad Yusuf az-Zawawi, salah seorang cicitnya, ketika saya temui di Masjid Negara meriwayatkan bahawa sewaktu Prof. Dr. Snouck Hurgeronje datang ke Mekah dia kagum dengan kehebatan ilmu dua orang ulama. Yang seorang bangsa Arab, iaitu tok Ana (maksudnya diri beliau atau Saiyid Yusuf az-Zawawi, pen:) yang bernama Saiyid Abdullah az-Zawawi. Snouck belum puas kerana yang dimaksudkannya bukan ulama Arab tetapi ulama yang berasal dari dunia Melayu. Dia mencari ulama itu untuk kepentingan bangsanya, bangsa Belanda. Akhirnya, Snouck datang kepada Tok Enta (maksudnya diri saya atau Mohd. Shaghir Abdullah, pen:) iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.

Syeikh Ahmad al-Fathani marah kepada Snouck kerana beliau yakin bahawa Snouck masuk Islam hanyalah sebagai tipu muslihat. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh Snouck mengucap syahadat. Saiyid Muhammad Yusuf az-Zawawi menutup perbualan bahawa dalam buku Snouck Hurgeronje judul Mecca, cetakan awal dalam bahasa Belanda, terdapat dua keping gambar. Pada bahagian depan ialah gambar Saiyid Abdullah az-Zawawi dan pada halaman berikutnya gambar Syeikh Ahmad al-Fathani. Saiyid Muhammad Yusuf az-Zawawi juga meriwayatkan bahawa kewafatan Saiyid Abdullah az-Zawawi adalah kerana ditembak sewaktu beliau hendak keluar dari rumahnya di Taif.

Hijrah ke dunia Melayu

- Menurut tulisan Syeikh 'Umar Abdul Jabbar, Saiyid Abdullah az-Zawawi pernah mengembara ke India, Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia, China dan Jepun tanpa memberikan keterangan yang lengkap tujuan pengembaraan itu. Daripada beberapa informasi yang diperoleh melalui wawancara, kedatangan Saiyid Abdullah az-Zawawi di dunia Melayu adalah sebab beliau membantah fahaman yang beraliran Syeikh Muhammad bin 'Abdul Wahhab yang sangat terkenal sebagai pencetus fahaman Wahabiyah.

- Menurut riwayat, ada beberapa orang ulama terpaksa berhijrah dari Mekah ke dunia Melayu kerana mereka menolak fahaman Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab yang berpengaruh dalam pemerintahan di Hijaz termasuk Mekah. Antara ulama Mekah yang berhijrah itu termasuk ulama besar Mufti Syafi'iyah Makkah iaitu Saiyid Abdullah az-Zawawi. Saiyid Abdullah az-Zawawi pernah datang ke Johor dan Riau - Lingga, namun atas permintaan Sultan Pontianak beliau meneruskan perjalanannya di Pontianak. Di Pontianak, beliau dilantik sebagai Mufti Kerajaan Pontianak.

- Ketika Saiyid Abdullah az-Zawawi berada di Pontianak, orang yang membantu beliau dalam banyak hal terutama dalam berkomunikasi dengan orang-orang Melayu ialah Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani, salah seorang murid beliau sejak ketika masih berada di Mekah lagi. Belum dijumpai riwayat yang jelas apakah ulama Kelantan itu datang ke Pontianak ikut bersama-sama gurunya itu berhijrah dari Makkah sebab tekanan pemerintah yang berfahaman Wahabi atau sebab-sebab lain. Yang jelas Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani pernah menjadi Mufti Kerajaan Pontianak kemudian daripada gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi.

- Syeikh 'Umar Abdul Jabbar tidak menyebut sesuatu judul penulisan Saiyid Abdullah az-Zawawi. Tetapi ada sebuah karya Saiyid Abdullah az-Zawawi saya peroleh daripada simpanan istana Sultan Pontianak melalui Syeikh 'Isa asy-Syarwani, salah seorang keturunan ulama besar sahabat Saiyid 'Abdullah az-Zawawi. Beliau ialah Syeikh 'Abdul Hamid asy-Syarwani, penulis Hasyiyah Tuhfah Syeikh Ibnu Hajar. Risalah yang ditulis dalam bahasa Arab diberi terjemahan makna bahasa Melayu oleh murid beliau, Haji Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani. Pada halaman depan tertulis: “Ini fatwa daripada as-Saiyid Abdullah ibnu al-Marhum as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi jawab soal dari tanah Jawa ghafarallahu lahu Amin, bertarikh 25 Syawal 1330 H.” Diberi keterangan di bahagian bawahnya, “Dicapkan dengan kehendak as-Saiyid Ja'far bin Pangeran Syarif Abdur Rahman al-Qadri Pontianak, Amin Dicapkan pada Mathba' al-Haji Sa'id bin al-Marhum al-Haji Arsyad, tukang cap dan penjual serba serbi jenis kitab-kitab Arab - Melayu, nombor 82 Jalan Arab Street, Singapura pada 25 Syawal 1330 H oleh Muhammad bin Haji Muhammad Said Basrah Street, nombor 44, Singapura.”

Kalimat terakhir dicatatkan, “Diharap kepada ahli al-ilmi yang memandang segala makna yang tergantung ini sekiranya jika ada salah dan terang salahnya mintalah dibetulkan supaya jangan jadi panjang kesalahannya.” Selanjutnya disebut Ismuhu al-faqir ilallah nail al-amani Ismail bin Abdul Majid al-Kalantani.

* Kandungan Risalah Fatwa Saiyid Abdullah az-Zawawi membicarakan suara dalam piring hitam. Yang diutamakan adalah mengenai hukum ayat-ayat atau surah-surah al-Quran yang dimuat dalam piring hitam. Atau dalam perkembangan sekarang seperti kaset, cakera padat dan lain-lain. Sebagai contoh terjemahan bahasa Melayu yang digunakan adalah seperti berikut, “telah zahir satu alat yang bercakap dengan huruf dengan berlagu dan pantun-pantun yang bersalah-salahan, berlagu-lagu dan menjerit. Dan ada zahir pada setengah-setengah lauhnya yang dinamakan piring itu rekod namanya bacaan Quran dan bang. Dan jadilah ia berpanjangan pada tiap-tiap pasar, dan pada tiap-tiap perkumpulan, dan pada tiap-tiap kedai kopi. Dan dijualkan dia pada tiap-tiap toko (kedai) dan kebanyakan yang menjual itu bangsa Nasrani dan Majusi (China), dan lain daripada mereka itu....”

Dipetik dari:
Akhbar Utusan Malaysia, ruangan Uama Nusantara karya Ustaz Wan Mohd Shaghir Abdullah

0 komentar: